apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

2.11.10

kbd 5

Helmi Qushairi Ali segera meminta diri bila dilihatnya Tn Hj Ramli tidak ada apa-apa lagi untuk dikatakan. Tanpa singgah untuk berbual-bual dengan Faridah seperti yang sering dilakukannya, dia terus menonong ke arah lif.
‘Ai, takkanlah dah hilang kut?’ soal di hati bila kelibat Siti Umairah tidak kelihatan di mana-mana. 

Dia lantas memilih untuk turun melalui tangga. Hatinya kuat mengatakan bahawa Umairah ke situ. Langkah yang besar-besar membolehkan dia turun dengan cepat dan dari atas, dia sudah dapat melihat lenggok Umairah dua tingkat di bawah.

“Maira!” Helmi melaung nama gadis itu. 

Siti Umairah tersentak. Mendongak, dia melihat Helmi menghampiri. Hati yang tenang berkocak tiba-tiba. Gementar jadinya. Aduhai, mengapakah lelaki ini harus mengekorinya? Apakah dia sudah tidak ada kerja untuk dilakukan? Dan, hati? Mengapakah hati ini bergetaran? Mengapa mesti berdebar-debar?

“Kenapa tak tunggu abang?” Helmi menyoal sebaik dia dapat bersaing di sisi Umairah.

Dahi Umairah berkerut.

“Kenapa?” soal Helmi lagi.

“Kenapa saya nak kena tunggu Encik Helmi pulak? Tadi, di depan Tuan Haji, encik kata encik tak ada apa-apa nak cakap pada saya.” jawab Umairah, penuh ketegasan.

Helmi ketawa besar menyebabkan dahi Umairah sekali lagi berkerut-kerut jadinya. “Apahal pulak panggil encik pada abang ni? Maira, Maira! Tak sangka sikap Maira yang lucu masa kecik-kecik dulu, masih tak berubah. Maira masih boleh buat abang ketawa! Macam dulu-dulu jugak!” katanya bersama senyuman yang memikat itu.

Siti Umairah mengerdipkan matanya. Ingatan masa lampau itu mengimbau. Ya, sememangnya dia dahulu seorang yang suka bercakap. Mulutnya petah berbicara. Helmi salah seorang pendengarnya yang setia. Yang seronoknya, Helmi suka benar mendengar dia berceloteh dan sering ketawa bila ada yang melucukan. Itu salah satu sebab mengapa dia….

Tidak! Lebih baik usah diingat. Semua cerita lama itu sudah berkubur. Semua cerita lama itu sudah mati. Sama seperti Amir! Sama seperti arwah suaminya! 

“Maira…”

Umairah sengaja menunjukkan wajah yang kebosanan. “Tolonglah, Encik Helmi. Kalau ada apa-apa yang encik nak cakap, boleh tak kalau encik cakap bila saya dah sah jadi PA encik nanti. Sekarang ni, saya nak kemas barang-barang saya. Takut terlambat pulak nanti.”

Umairah tahu, Helmi terkedu mendengar ucapan tegasnya itu. Namun dia terpaksa setegas itu untuk melepaskan diri. Sepanjang hari ini, Helmi asyik mengekorinya. Di dalam fikiran mahupun di alam realiti! Dia susah hati.

Tiba-tiba Helmi ketawa. Semakin lama semakin kuat sehingga Umairah terpaksa memandang wajah lelaki itu dengan penuh tanda tanya.
         
Melihat wajah manis yang penuh dengan persoalan, Helmi menghampiri Umairah sambil berkata, “Abang rasa lucu dengan cara kita dipertemukan semula!”

Sepasang mata memandang Umairah dengan penuh asyik. Bibir berbisik manja…,    
“Pagi tadi, Maira tengok abang sambil memakai cermin mata hitam tu. Tak sempat abang nak buat apa-apa, Maira terus pergi naik tangga. Nyaris tak jatuh pulak tu! Tapi sekarang? Sekarang, kita sama-sama kat tangga jugak. Tapi bukan lagi macam pagi tadi. Sebab, sebenarnya, kita dah lama kenal antara satu sama lain cuma masa memisahkan kita. Yang syoknya, sekarang ni, abang bos Maira. Dan Maira…. PA abang. Aneh kan, hidup?”
         
Umairah tidak mahu berkata apa-apa. Dia lebih suka mendiamkan diri.

Lama keadaan sunyi dan sepi sehingga akhirnya Helmi bersuara penuh kesalan.
         
“Hai, buat pertama kali sejak abang kenal Maira, abang terasa hati, tau! Abang jauh hati dengan sikap Maira ni. Maira macam….. macam tak suka sangat pada abang. Macam…... macam abang ni dah kacau hidup Maira. Maira seolah-olah membenci! Kenapa?"

Lama dia menanti Umairah bersuara, untuk menangkis tuduhannya. Namun, gadis itu tetap diam, tidak membalas. Malah sepasang mata bundar itu merenung jauh, entah ke mana fikiran dibawa melencung.

"For the first time in my life, Maira, I feel that a lady seems to hate every inch of my being. Kenapa agaknya? Adakah abang ni mengingatkan Maira pada dia? Pada suami Maira yang dah mati tu?”

Umairah mendengus. Dia marah. Kata-kata Helmi yang tepat itu bagai suatu panahan halus yang tajam menikam kamar hatinya. Bagai tembakan yang mengena sasaran.

“Maira!”

“Hei, apa ni?”

Tangan yang ingin menyentuh jemarinya ditepis kasar.

“Jangan nak sentuh-sentuh saya, Encik Helmi. Awak tak berhak! Dan saya nak ingatkan awak tentang satu perkara. Jangan ungkit-ungkit cerita zaman tok kaduk dulu tu. Itu cerita lama. Budak lelaki kawan abang saya tu pergi tinggalkan kami macam tu aje. Dia tinggalkan kami tanpa khabar berita. Dia pergi seolah-olah kami ini bukan sesiapa dalam hidupnya. Dia tak pernah mahu mengambil tahu tentang kami yang ditinggalkannya di sini. Sebab tu, saya anggap dia sudah tak wujud lagi." 

Helmi Qushairi Ali terkedu mendengar kemarahan yang dipamerkan oleh Siti Umairah. Dia ingin mencelah namun langsung tidak berpeluang bila Umairah menyambung kata, 

"So, antara kita sekarang hanya ada satu hubungan sahaja iaitu hubungan di antara seorang ketua dengan pekerjanya. Itu pun, belum rasmi lagi, okey! Akhir sekali, saya nak ingatkan awak supaya jangan sekali-kali fikir yang awak boleh sesedap rasa menyentuh tentang arwah suami saya. Awak siapa, Encik Helmi?    Awak kenal arwah Amir pun tidak. Awak tu bukan sesiapa pada saya jugak. Awak bukan sesiapa! Faham?" 

Helmi tidak menyangka bahawa Umairah mampu bersikap sekasar itu terhadap dirinya. Bahasa kesatnya tidak pernah didengari dahulu. Wajah ayu itu ditatap seketika. 

"Apa yang sudah terjadi pada Siti Umairah ni? Kenapa mengherdik abang begini?  Pelik betul! Beginikah cara hidup dan gaya Siti Umairah yang baru? Sebetulnya, abang lebih suka pada kelembutan Siti Umairah yang dulu!" ujar Helmi perlahan tetapi sinis sebelum dia melangkah turun dengan hati yang sebal. 
................................ 

Petang itu, segala urusan mengemas selesai. Barang-barangnya sudah dipindahkan ke tempat baru. Umairah memerhati sekeliling. Dia sedang berada di ruang kerjanya. Melalui cermin kaca, dia dapat melihat Helmi yang sedang tekun membaca dokumen di dalam bilik. Dia menarik nafas perlahan-lahan dan kemudian menghembuskannya perlahan-lahan juga.

Pintu bilik diketuk. Mendengar suara garau itu menyuruh dia masuk, dia segera membuka pintu. Mata melingas memerhati ruang yang serba mewah. Bilik itu sungguh kemas pada pengamatannya. Segala perabut tersusun rapi. Tiada kertas yang bersepah-sepah di atas meja.

“Puan Siti Umairah, biar saya beritahu awak rutin saya seharian.” Helmi Qushairi bersuara tegas. “Mulai pukul sepuluh pagi, baru awak aturkan temu janji untuk saya. Jangan sebelum itu sebab masa-masa awal pagi, saya nak buat persiapan. Maklum nak jumpa klien, kenalah tau apa yang hendak dicakapkan. Ada soalan?”

Umairah menggeleng.

“Waktu kerja awak sampai pukul 6 petang tiap-tiap hari kecuali kalau ada hal-hal yang tak dapat dielakkan. Faham?”

Kali ini Umairah mengangguk.
         
“Saya tak suka orang bisu menjadi setiausaha saya!”

Nada suara yang keras itu membuatkan Umairah mengangkat kepala. Wajah serius itu dipandang. Sepasang mata itu merenung tajam dirinya. Semua itu membuat dia tidak selesa. 

“Kita kena bekerja sebagai satu pasukan. Kalau asyik saya yang bercakap, saya akan bosan. Sebab itu awak kena bersuara. Jangan pendam. Jangan simpan kalau ada yang tak kena atau kalau ada yang awak tak suka. Awak faham tak ni?”
         
Umairah mengangguk juga.

Kelegaan, Helmi menyambung, “Kalau apa yang terjadi pagi tadi masih mengganggu awak, lupakan aje. Dekat tangga tu, saya hanya menolong. Tak ada niat lain, tak ada! Saya akan buat perkara yang sama walaupun nyonya tua yang jatuh tadi!”

Lucu kata-kata itu membuat Umairah tersenyum kecil.
         
Helmi mendapat sedikit kekuatan bila melihat senyuman yang terukir walaupun sekilas cuma. Bagaimanapun, dia tidak mahu dibuai mimpi. Sikap kasar Umairah tadi masih terkesan di dalam hati. Lantas dia terus menyuruh Umairah keluar bila tiada apa-apa untuk dicakapkan lagi.

Umairah ingin sekali meminta maaf kerana bersikap biadap terhadap Helmi namun lidahnya kelu. Lagipula dia tidak berani bersuara bila seraut wajah Helmi tidak menunjukkan bahawa lelaki itu ingin berkompromi.
......................................

“Wah, wah, cik kak! Sampai hati kau tak beritahu aku yang kau ialah PA si handsome tu sekarang! Kalau kawan-kawan di bahagian kewangan tak beritahu? Entah sampai bila kau diamkan. Tergamak kau rahsiakan daripada aku, Lela, kawan karib kau sendiri, Maira!”

Suara Lela yang seakan-akan merajuk membuat Umairah tersengih. “Kenapa? Kau nak kerja dengan dia ke? Ambillah! Aku tak kisah. Kau hendak aku beritahu dia sekarang?” tanya dia sambil berdiri. 

Lela pula menarik tangan Umairah sehingga wanita manis itu kembali duduk di atas kerusi. "Best tak?” soalnya sambil menguntum senyum.

Umairah terpinga-pinga mendengar soalan itu. "Best? Apa yang best?" soalnya.

Lela ketawa. Hai, kawan aku ni, lembab betul! Dia terus mengusik, "Best tak kerja dengan hero tu? Macam mana dia layan kau? Mesti dia dah tergoda, kan! Awek cun jadi PA dia. Tentulah bahagia, iya tak?”

Kata-kata Lela disambut dengan muka yang mencuka. Jelas, Umairah tidak suka dipermainkan begitu. Walaupun Lela ialah kawan rapatnya, dia tetap tidak suka diusik dan dikaitkan dengan bos barunya itu!
         
Lela menyedari perubahan pada air muka sahabatnya. Dia tahu, Umairah berkecil hati. Dia juga tahu bahawa Umairah berjauh hati.
         
“Maafkan aku! Silap aku! Tolong jangan kecik hati. Aku tak sengaja. Bukan niat aku nak buat kau marah, Maira. Tolonglah! Maafkan kesalahan aku.”

Namun air mata sudah mengalir di pipi Umairah. Cepat-cepat air mata itu diseka bila terdengar bunyi pintu bilik terbuka.

“Saya nak keluar. Hari ni, awak tak payah tunggu sampai pukul enam. Baliklah awal sikit.”

Kedua-dua wanita itu memandang Helmi meninggalkan mereka. Bagi Umairah, dia lega bila lelaki itu tidak lagi berjenaka dengannya. Tetapi, bagi Lela pula, dia kehairanan melihat kedinginan di antara kedua-dua majikan dan pembantu peribadinya. Kerana, setahu dia, Helmi Qushairi alias Q ialah seorang bos yang peramah dan mesra.

Apa yang tak kena ni? Berkobar-kobar perasaaannya ingin tahu namun wajah kelat Umairah mematikan niat.

Waktu dia sampai di rumah, azan Maghrib sedang berkumandang. Haji Abas sudah pergi ke surau.
         
Melihat ibu mentua yang sudah berada di atas tikar sembahyang, Umairah cepat-cepat mandi dan mengambil wuduk. Dia kemudian menjadi makmum. Selepas solat, mereka mengaji bersama-sama sementara menunggu waktu Isyak. Walau disuruh makan oleh Hajah Nurain, Umairah menggelengkan kepala.
         
“Maira nak makan dengan ayah. Dengan emak.” katanya manja.

Hampir pukul sembilan malam barulah Haji Abas sampai ke rumah. Dia risau bila mendapati Umairah masih menunggu untuk makan malam bersama-sama dengannya.

“Lain kali, Maira makan dulu. Nanti masuk angin perut tu. Makan awal, boleh tidur awal. Ni tengok, dah pukul berapa dah?”

Umairah tersenyum. Dia amat bahagia mendapat perhatian daripada ayah mentua. Dia tahu orang tua itu amat sayangkan dirinya.
         
“Makan sorang-sorang tak seronok, ayah. Makan dengan ayah, dengan mak, boleh kita bersembang.” Jawabnya sambil menyuap nasi ke dalam mulut.
         
“Macam mana kerja hari ini? Baik?” tanya emaknya.

Umairah tersenyum. Soalan itu akan ditanya setiap kali dia balik dari kerja. Lalu dia menganggukkan kepala. Tidak ada apa-apa yang istimewa untuk diceritakan kepada mereka, fikirnya.

“Alhamdulillah, Maira. Ingat, perjalanan hidup Maira masih jauh lagi. Sambil kerja tu, Maira berkawanlah. Jangan menyendiri. Ayah nak tengok Maira gembira macam dulu. Maira masih muda.”
         
Umairah hanya membisu. Di dalam hati, dia bertanya. ‘Macam manalah aku nak gembira? Macam dulu? Orang yang aku sayang dah tak ada. Abang Amir…’

Malam itu, ketika dia melabuhkan badannya di atas katil, dia terus sahaja terlena. Letih benar dia dengan apa yang dihadapinya sepanjang hari. Tidak ada mimpi sedih yang mendatanginya seperti selalu. Tidak ada bunyi tangisan yang kedengaran.
         
Umairah hanya terjaga bila azan Subuh ke udara sayup-sayup keesokan harinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.