apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

1.11.10

kbd 3

Siti Umairah meletakkan beg tangannya perlahan-lahan di atas meja. Dadanya masih berdebar-debar tidak tentu arah.
Rasa berdosa begitu mencengkam diri. Berdosa kerana membenarkan lelaki itu memeluk dirinya. Dia rasa berdosa kepada arwah suaminya.


Mengapa? Mengapa lelaki itu tidak membiarkan sahaja dirinya supaya jatuh terus? Mengapa harus melakukan begitu? Mengapa harus memeluknya?
         
Entah kenapa, dia masih ingat betapa kuatnya dia telah memaut tubuh sasa itu. Begitu cekap pula lelaki itu menangkap dia dengan melingkarkan tangannya di pinggang. Ah, malu sungguh!

Dia sangat-sangat berharap agar lelaki itu tidak akan ditemuinya lagi!   
         
Rasa bersalah mencengkam jiwa. Suaminya baru meninggal dunia. Baru setahun! Dan dia? Dia telah memandang lelaki lain. Dadanya berdebar apabila matanya bertentangan dengan sepasang mata lelaki itu.

Umairah mengeluh. Baru semalam, dia menangis, merintih merindui arwah suaminya. Hari ini? Ya, hari ini, dia seolah-olah merasa bahagia dan selamat dalam pelukan lelaki itu! Oh tidak. Tidak!

Maafkan Maira, abang Amir. Maira tak sengaja! Hatinya merintih.

Wajah sugul itu semakin tidak bermaya. Semakin sayu. Semakin layu. Dugaan ini bagai tidak tertahankan lagi. Dugaan ini benar-benar menduga kesabaran. Menduga keimanannya. Menggoncang tekadnya untuk terus setia. Setia pada cinta. Setia pada yang telah pergi. Dan dia tidak tertahan lagi. Wajah disembamkan ke meja. Umairah menangis teresak-esak di situ. Menangis dan terus menangis lagi!
..................

“Maira, jom makan. Dah dekat pukul satu dah ni!” Lela, sahabat baiknya di pejabat itu mengajak. Tiba-tiba sahaja wajahnya tersembul di muka pintu.

Melihat Umairah diam tidak menyahut panggilannya, Lela masuk ke dalam bilik. Mendekati sahabat yang kelihatan begitu leka menghadap komputer.

“Oi, jom pergi makan!”

Umairah mengangkat wajah. 

“Berapa kali aku nak bagitahu? Jangan jerit! Aku bukan pekak!” Marahnya kepada Lela.

Kali ini, giliran Lela pula yang terpegun. Wajah Siti Umairah dipandang dengan penuh persoalan. Masakan tidak! Wajah Umairah sembab. Di sekeliling mata itu pula kelihatan bengkak. Kesan menangis tentunya!

“Kenapa dengan kau, Maira? Mata tu? Kenapa mata kau tu? Bengkak semacam aje aku tengok!” Soal Lela ingin tahu.

Umairah segera mencapai cermin kecil di dalam laci yang terbuka. Dibelek-belek wajahnya itu. Dia kemudian menggeleng-gelengkan kepala. Memang sangat jelas kelihatan matanya bengkak dan sembab.

“Nampaknya, kenalah aku pakai cermin mata hitam ni lagi, Lela.” Dia memberitahu.

“Macam mana boleh bengkak sampai macam tu? Kau buat apa? Menangis lagi?” soal Lela. Wajah Umairah ditatap. Wajah yang mendung dan penuh hiba. Hatinya turut menumpang sedih. Hatinya turut bersimpati kepada sahabat yang sudah kehilangan suami pada usia yang masih terlalu muda ini.

“Semalam, genap setahun Abang Amir meninggal dunia, Lela.” Umairah memberitahu.
         
Lela terpempan. Wajah sahabat baiknya itu ditatap untuk mencari kesahihan cerita. Melihat wajah sedih Umairah, Lela menarik nafas panjang. Sambil menggosok belakang tubuh Umairah, dia cuba memberikan nasihat.
         
“Sabarlah, Maira!”

Umairah tersenyum hambar.

“Hai, diam tak diam, dah setahun rupa-rupanya. Dah setahun abang Amir tinggalkan kau. Tapi kau ni kan, Maira..... Masih sama aku tengok." Lela berkata dengan suara yang agak sinis. 

"Apa maksud kau, Lela? Sama macam mana tu?" Umairah ingin tahu.

"Yalah, maksud aku, keadaan kau, rupa kau! Walaupun dah setahun dia pergi tinggalkan kau, kau tetap berperangai seolah-olah Abang Amir baru mati semalam. Cubalah diri tu diceriakan sikit! Yang mati dah tentu mati, tapi yang hidup tetap kena teruskan kehidupannya." bebel Lela. 

"Kau tak rasa apa yang aku rasa, Lela. Hanya mereka yang mengalami saja yang tahu rasa kehilangan ini." Umairah membalas.

"Memang betul tu, tapi, kau tu masih muda. Takkan kau nak biarkan diri kau terus tenggelam dalam rasa sedih kau tu? Sampai bila?" marah Lela. 

"Entahlah... yang aku tahu, aku belum bersedia untuk berhadapan dengan dunia. Belum bersedia untuk melepaskan kenangan bersama-sama arwah." lembut  bicara meniti bibir Siti Umairah. 

"Maira, cubalah lupakan dia. Dia dah tak ada. Tapi kau masih hidup. Kau kena belajar meluapakan dia untuk meneruskan kehidupan. Bukan jadi pasif macam gini!” pujuk Laila.

Umairah memandang tepat raut wajah bujur sirih teman baiknya. Bagaimana harus dia memberitahu bahawa bila Amir meninggal dunia, dirinya juga dirasakan bagai sudah mati? Memang jasadnya masih di atas muka bumi ini, namun hatinya telah dibawa pergi. Tiada apa yang tinggal lagi di sini! 

Penderitaan, kesedihan, kelukaan...., semua itu ditanggung sendirian. Tidak tahu bagaimana untuk dikongsikan perasaan ini. Tidak tahu dengan siapa untuk dikongsipun! Apa yang dia tanggung, apa yang dia rasa, siapakah yang benar-benar memahami? Siapakah yang benar-benar mengetahui? Merasai? 

Bukankah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul?

“Insya-ALLAH, Lela. Aku dah tak apa-apa. Aku dah cukup kuat sekarang! Usahlah kau risau. Menangis tu...biasalah, kan? Dia kan suami aku?” Balasnya perlahan, sambil cuba menguntum senyuman.

Lela terdiam. Wajah itu sudah menjadi semakin sedih. Jika dibiarkan, mahu meleleh semula air matanya. Alahai, lebih baik dia mengajak Umairah ke kantin segera. Jika tidak, hilang habis keinginan untuk menjamu selera.

Lela menarik tangan Umairah untuk bangun. Dia mengajak, "Dah, jom! Nanti kau tu bila dah sedih sangat mulalah tak lalu nak makan. Masuk angin perut tu nanti, kau sendiri yang susah. Dah, lain kali kita sembang lagi bab ini, okey. Jom!"

"Kau memang! Kalau pasal memaksa orang..." 

Lela ketawa kecil namun tangan kanan Umairah masih dipegangnya. Bagai anak kecil, wanita itu diheret ke kantin. 
.........................................

Mereka turun ke tingkat dua untuk ke kantin syarikat. Ketika mereka sampai, orang tidaklah terlalu ramai. Selalunya di waktu puncak ini, tak menang tangan Mak Limah dibuat mereka. Tetapi hari ini, dek kerana masih lagi awal bulan, ramai yang memilih untuk makan di tempat lain. Alasan mereka? Sudah jemu!

Lela dan Umairah adalah pengunjung tetap di kantin Mak Limah. Mereka berdua tidak pernah makan di tempat lain kecuali ada insan yang sudi menjadi 'sponsor'. Ramai menuduh mereka berdua kedekut. Tidak dipedulikan. Yang penting, ‘soru tak miss.’

“Hai, apa hal kamu ni, Umairah? Kamu ni kan di dalam kantin Mak Limah? Bukan di tengah padang rasanya! Yang kamu pakai kaca mata hitam tu, kenapa? Nampak ke tidak tu?” Mak Limah menegur, mungkin mewakili khalayak yang ada kerana pada ketika itu, ramai juga yang sedang tersenyum-senyum melihat Umairah.

Umairah segera berbisik di telinga Lela, "Agaknya semua orang ingat aku ni dah biul, kut?"

Tiba-tiba dia teringat kepada lelaki itu. Tadi, lelaki itu juga mengusiknya,  mempersenda dirinya kerana memakai cermin mata hitam di pagi hari. Di dalam bangunan pula tu!

'Aduhai, Maira! Lain kali, menangis lagi, okey!' Diri dimarahi.

“Maira sakit mata, Mak Limah. Bengkak tu! Merah tak usah cakaplah, dah macam bijik saga dah! Kalau dia buka spek tu, sah, mesti menjangkit pada kita semua nanti!” Kata-kata Lela menjadi penyelamatnya. Maira hanya mampu mengukir senyum tanda ucapan terima kasih kepada kawan baiknya itu.

“Kamu tak pergi ke hospital, Maira? Kalau dah pergi, mesti doktor dah bagi MC pada kamu. Takkan bolehnya kamu datang kerja. Diorang takut menjangkit nanti.” Mak Limah inginkan kepastian.

Umairah tersenyum. “Maira malas nak pergi hospitallah, Mak Limah. Tu sebab Maira pakai cermin mata. Esok-esok baiklah, kut.” balasnya.

“Tapi, kalau rasa sakit sangat, baik pergi,ya!” Mak Limah berpesan sambil menghulurkan pinggan yang berisi nasi separuh kepada Umairah. 

Umairah mengangguk dan dengan segera dia memilih lauk yang ada. Kalau diikutkan hati, manalah dia ada selera tetapi dia perlu makan juga. Lantas dia mengambil sedikit sambal belacan, ulam-ulaman, sup sayur dan ikan kembung bakar.

Setelah membayar harga makanan, mereka duduk di tempat biasa, di suatu sudut yang agak terpencil dalam dewan makan itu. Masing-masing diam, menikmati hidangan. Umairah menyuapkan makanannya perlahan-lahan. Melihat Lela yang makan dengan enaknya, dia ingin teruskan suapan sehingga tidak ada sebutir nasipun yang tertinggal nanti.
Tiba-tiba suara Lela memecah kesunyian, “Eh, kau tahu tak yang kita dapat bos baru di bahagian pemasaran?”

Umairah mengangkat wajah lalu menggeleng, tanda dia tidak tahu.

"Tak tahu bila dia masuk kerja, tapi Kak Nora cakap, orangnya handsome, Maira!”         

Bila Umairah masih membisu, Lela tidak berpuas hati. “Maira, aku cakap dengan kau ni, kau dengar ke tidak?” Soalnya.
         
“Dengar! Janganlah menjerit! Aku dengar ni...” Umairah bersuara selepas agak lama mendiamkan diri.
         
“Habis tu, kenapa tak ada respons?” Lela menyoal balas.

Umairah tersenyum. Lesung pipit di pipi jelas kelihatan. Malas dia hendak bercakap atau mencelah.
         
“Menyampahlah bercerita dengan kau ni. Tapi tak apalah, aku tetap nak cerita jugak! Dari maklumat tidak rasmi yang aku terima, dia ni masih belum kahwin, umur 30 tahun macho gila cuma...ego sikit kut! Orang macam aku ni setakat kerani cabuk, dia tak pandang! Tapi tak kisahlah kan? Tak dapat dia, jadi secret admirer dia pun, cukuplah. Betul tak?” Lela memberikan maklumat tanpa diminta.

“Lela, Lela! Kau tu kan dah kahwin? Tapi bila bercerita pasal lelaki, bukan main lagi, ya? Kalau Zaki ada kat sini, mesti dia jeles, tau!” Marah Umairah.

Lela ketawa. “Alah, aku cerita aje, bukannya aku hendakkan bos baru tu!"

Umairah tidak lagi mendengar apa yang dikatakan oleh Lela. Matanya terpaku ke ruang masuk dewan makan itu. Hatinya tiba-tiba berdebar terpandangkan lelaki berkemeja kelabu yang sedang berjalan beriringan dengan Tuan Haji Ramli. Tiba-tiba dia menjadi cemas. Dia rasa dia perlu melarikan diri daripada lelaki itu sebelum lelaki itu melihatnya. Peristiwa pagi tadi masih menghantuinya.

“Eh, kenapa dengan kau, Maira? Tiba-tiba aje muka tu jadi pucat?” Lela tersedar akan perubahan pada diri kawannya.

Siti Umairah menggeleng-gelengkan kepalanya yang dipenuhi pelbagai persoalan. Mengapakah lelaki itu berjalan bersama-sama dengan tuan yang empunya syarikat merangkap tuan pengarah? Mengapa serius benar perbualan seolah-olah ada perkara penting yang sedang dibincangkan? Mengapa dirinya selaku Penolong Pengurus Sumber Manusia tidak mengenali siapa lelaki itu?

“Maira?”

Panggilan Lela menyebabkan Umairah merenung ke arah sahabat baiknya semula.

“Aku ok, cuma pening kepala sikit. Kau dah habis makan ke? Kalau dah, jom kita naik!”

Umairah bangun bila melihat anggukan Lela. Dia ingin pergi dari situ. Dia ingin pergi sebelum Tuan Haji Ramli melihat dia. Dia yakin jika Tuan Haji melihatnya, pasti lelaki itu akan datang ke meja. Dan kalau Tuan Haji datang, pasti lelaki berbaju kelabu itu juga akan datang mendekatinya.

Umairah tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki itu. Siapapun dia, Umairah tidak peduli. Yang penting, mereka tidak bertembung lagi. Dia masih tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku pagi tadi. Dia risau jika lelaki itu juga masih mengingatinya. Pagi tadi, lelaki itu mentertawakan dirinya. Tidak mustahil, dirinya akan menjadi bahan usikan lelaki itu lagi.

Umairah menjeling ke arah Lela yang sedang membelek-belek telefon bimbitnya. Tanpa perasaan, tangan sahabat baiknya itu ditarik untuk keluar melalui pintu sisi yang terbuka luas.

“Maira, kau ni apasal? Sakit tangan aku!” Lela tidak senang dengan sikap kasar Umairah.

“Yang kau tu jalan perlahan sangat, apasal pulak? Nanti-nantilah kalau kau nak telefon suami kau tu. Sekarang jom kita ke surau. Nanti lambat pulak masuk ofis.” Umairah berkata sambil meninggalkan Lela terpinga-pinga. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.