apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

1.11.10

kbd 2

kau bukan dia
Hari Isnin. Jam baru menunjukkan pukul 7.45 pagi ketika Siti Umairah sampai di tingkat bawah bangunan 20 tingkat di Jalan Ampang itu. Masih terlalu awal walaupun tadi, dia dalam keadaan tergesa-gesa sewaktu keluar dari rumah.
Masakan tidak! Puas dia menggeledah seluruh bilik namun cincin yang selama ini tersarung di jari manis, hilang entah ke mana. Cincin kesayangannya, cincin yang disarungkan oleh Amir ke jarinya pada hari pernikahan mereka. Kalau tidak kerana dipaksa oleh Hj Abas dan Hjh Nurain, tak mahu dia meninggalkan rumah hari ini. Dia mahu terus mencari cincin itu. Bagaimanapun, dia akhirnya mengalah apabila ibu mentuanya berjanji untuk sungguh-sungguh mencari lagi.

Umairah hanya mengenakan sepasang baju kurung berwarna kuning berbunga halus yang dipadankan dengan sehelai tudung berwarna hijau muda. Seperti selalu, dia hanya memakai bedak asas dan mencalitkan sedikit gincu berwarna maple di bibir. Dia tidak mahu ada yang menegur wajahnya pucat lagi. Yang lebih unik pada pagi ini, dia terpaksa memakai kaca mata hitam bagi menutupi sepasang mata yang bengkak akibat terlalu banyak menangis malam tadi.

Walaupun masih lagi awal, orang ramai sudah berpusu-pusu di hadapan pintu lif. Siti Umairah memperlahankan langkah. Dia tidak mahu berebut-rebut. Bukan dia hendak ke manapun, cuma untuk naik ke tingkat lima sahaja.

Mata-mata nakal tetap mencuri pandang ke arahnya. Sebagai seorang wanita yang tinggi mencecah 170cm, ketinggiannya sering menarik perhatian ramai. Wajah cantiknya sering menjadi tumpuan. Namun, wanita yang kehilangan ini tidak pernah mengambil pusing. Malah dia langsung tidak menyedarinya. Kerana, dia masih tenggelam dalam duka. Kerana dia masih bersembunyi di dalam hiba.
        
Tiba-tiba langkah yang diaturnya mati. Terhenti dan menjadi kaku. Seluruh tumpuannya kini terarah kepada sekumpulan lelaki yang sedang berdiri di tengah-tengah ruang legar itu. Sepasang matanya sedang merenung tepat pada suatu susuk tubuh seorang lelaki. Lelaki itu sedang berdiri membelakanginya. Lelaki itu sedang menundukkan kepala. Sedang begitu khusyuk  mendengar celoteh seorang lelaki lain di sebelahnya. Dan, jiwa Umairah amat terseksa melihat sekujur tubuh itu!
        
Dari belakang, lelaki itu dilihatnya seperti Amir. Dari belakang, sekujur tubuh itu adalah Amir. Rambut yang hitam lebat itu sedikit berombak, kemas dan pendek. Bahu yang tegap itu amat bergaya dengan kemeja kelabu berlengan panjang. Seluar slack berwarna hitam yang dipakai nampak begitu sesuai untuknya.

Akal waras Umairah berkecamuk. Kerinduan kepada Amir mengatasi daya fikir. Tidak berfungsi otaknya untuk merasionalkan desakan hati. Yang dia tahu, lelaki itu ialah suaminya. Yang dia pasti, itu ialah abang Amirnya. Saat itu dia benar-benar yakin bahawa Amir Asyraf sudah kembali ke pangkuannya. 

Resah dalam hati selagi wajah itu tidak dapat dilihat.

Kenapa abang Amir begitu asyik berbual-bual? Tidakkah dia ingin berkalih memandang diri ini? Tidakkah rindu pada diriku?

Pusingkanlah tubuhmu itu wahai lelaki!

Seakan-akan mendengar rintihan Umairah, lelaki itu terus sahaja meluruskan badannya. Sejurus selepas itu, dia memusingkan tubuhnya sebanyak seratus lapan puluh darjah. Kini, mereka saling berhadapan. Ya, lelaki itu sedang memandang tepat ke arah Umairah.

Lama Umairah membalas renungan lelaki itu. Lama dibiarkan mata mereka saling berpandangan. Lama dia memerhati sebelum akhirnya dia meleraikan tatapan.

Bukan dia! Bukan dia! Bukan abang Amir! Bukan! Bukan! Desahnya perlahan.

Mengapa buta benar dirinya? Mengapa tidak perasan? Bagaimana boleh mengatakan itu Amir sedangkan sesungguhnya, lelaki itu begitu jauh berbeza perawakannya? Tiada persamaan langsung di antara kedua-dua mereka!

Amir Asyraf sama tinggi dengannya. Lelaki ini? Dia terpaksa mendongak untuk melihat seraut wajah itu. Amir Asyraf kulitnya sawo matang. Lelaki ini? Cerah. Yang pasti, hidung suaminya kecil dan comel sedangkan lelaki ini? Hidung mancungnya terpacak. Dan yang paling jelas berbeza, suaminya mempunyai bibir yang merah tetapi lelaki ini sedang beria-ia menghembuskan asap rokoknya!

‘Bukan, lelaki itu bukan Amir.’ Hati Umairah merintih sedih.
        
Di sebalik cermin mata hitamnya itu, ada air mata yang sudah menitis. Umairah telah kembali ke alam realiti. Alam fantasinya telah berakhir. Menyedari kesilapan yang baru sahaja dilakukan, menyedari sikapnya yang tidak sopan tadi, membuat dia merasa tersangat malu.

Kerinduan terhadap arwah Amir membuat dirinya tidak keruan!
        
Umairah perlu meninggalkan ruang legar itu. Nafasnya dirasakan sesak tiba-tiba. Udara dalam bilik itu seolah-olah telah kekurangan oksigen. Jantungnya pula berdenyut kencang. Hatinya berdebar-debar. Ya, Umairah tahu, dia harus keluar dari kawasan itu. Dia harus pergi meninggalkan lelaki itu, lelaki yang masih lagi merenung dirinya dengan pandangan yang tajam.
        
Siti Umairah lantas membuat keputusan untuk menaiki tangga sahaja. Memanglah pejabatnya di tingkat lima namun dek kerana malu, walau ke tingkat 20 pun, dia pasti akan meneruskan niatnya. Tidak kisahlah kalau terpaksa merangkak pun, dia rela! Asalkan dia dapat melarikan diri daripada lelaki itu. Ya, dia harus melarikan diri daripada lelaki itu. Dia benar-benar malu.

Oh Tuhan, apakah yang sedang difikirkan oleh lelaki itu terhadap dirinya? Apakah anggapan lelaki itu terhadapnya? Mengapakah pada pagi ini, selepas setahun kematian suaminya, dia melakukan kesilapan ini? Mengapa?
        
Entah kerana kesedihannya atau mungkin kerana tidak menumpukan perhatian kepada anak-anak tangga yang dipijak, kaki Siti Umairah tergelincir. Nyaris dia tidak terguling. Nyaris tidak jatuh tersungkur! Nyaris dirinya dapat disambut oleh seseorang!

‘Alhamdulillah. Nasib baik tak jatuh.’ Bisik Umairah dalam hati. ‘Kussssss semangat!’

Berasa tenang dalam kehangatan pelukan itu. Berasa damai dan selamat dalam dakapan erat itu. Berasa selesa dan ingin terus dibelai oleh tangan yang sedang mengusapi belakang tubuhnya. Mata terpejam rapat. Usapan menyebabkan dia merapatkan diri, membiarkan tubuh disandarkan manja.

“Hei, awak ok tak ni?”

“Hmmm....”

“Cik adik, kita ni bukan muhrim, tau?”

“Hah?”

Siti Umairah segera meleraikan pelukan. Segera menjauh. Dia sedang cuba mencerakin perbuatannya ketika suara garau itu berkata dalam tawa, “Though I like that very much, too!”

Umairah membisu tanpa suara. Dia kebingungan.

“Itulah, yang pagi-pagi buta ini saudari pakai cermin mata hitam tu, kenapa? Macam mana nak nampak tangga? Kan gelap lagi ni? Nasib baik saya ada, kan? Kalau tidak.....?” Lelaki itu terus mengusiknya lagi.

Tidak tahu bagaimana hendak digambarkan perasaan Umairah ketika itu. Pipinya merona merah. Dadanya berdegup kencang. Hatinya berdebar-debar. Yang pasti, sekali lagi, dia telah memalukan dirinya sendiri. Yang pasti, sekali lagi, dia telah melakukan sesuatu yang tidak seharusnya dia lakukan. Yang pasti, dia bukan dirinya hari ini!

Tadi, di ruang legar dia telah melakukan satu kesilapan. Dan kini, dia melakukan kesilapan lagi. Mengapakah dengan dirinya hari ini? Apakah yang tidak kena? Kenapakah dia melakukannya? Di manakah kewarasan fikiran? Atau sememangnya dia sudah hilang akal? Sudah gila?

Siti Umairah ingin meminta maaf. Ingin memberitahu bahawa bukan niat dia untuk melakukan apa yang dia telah buat. Ingin menjelaskan bahawa dia bukan begitu sifatnya, memeluk seorang lelaki sesuka hati. Bukan! Dia bukan begitu!

Demi ingin meminta maaf, Umairah terpaksa mendongak untuk memandang ke arah lelaki yang baru sahaja menyelamatkannya tadi. Namun bila mata bertentangan, dia mendapati bahawa dirinya kini sedang berhadapan dengan lelaki yang berada di ruang legar tadi. Lelaki yang telah dipandang dengan penuh asyik. Lelaki yang sama, yang disangkanya Amir?
        
kau bukan dia
Umairah tidak jadi hendak meminta maaf. Malah, dia tidak lagi mahu meminta maaf. Saat itu, apa yang ingin dilakukannya ialah dia ingin pergi dari situ. Ingin menjauhi lelaki itu. Dengan harapan mereka tidak akan bertemu lagi. Ya, dia tidak lagi mahu menemui lelaki itu!

Tanpa sepatah kata, Umairah menanggalkan kasutnya. Dari ekor mata, dia dapat melihat lelaki itu menjungkitkan kening, tanda ingin tahu apa yang akan dilakukannya. Umairah tidak peduli. Persoalan yang bermain di minda lelaki itu, tidak harus diambil tahu. Lantas, kasut itu dijinjit. Dia naik ke atas dengan berkaki ayam. Langkah diteruskan untuk menuju ke pejabatnya.Tanpa menoleh, dia dapat mendengar suara garau itu tertawa. Ya, lelaki itu sedang mentertawakan dirinya. Benar-benar ketawa!

3 ulasan:

  1. huuu.. sambung cepat2 cikgu! citer feveret ni! hehe

    BalasPadam
  2. salam...
    nza sowi lambat balas huhu
    hana, thanx sbb suka..

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.