Langkau ke kandungan utama

Dia yang satu - cerpen

1
Farhana termenung sambil duduk di birai katil. Sepasang mata seolah-olah memandang jauh, sayup-sayup entah ke mana. Jelas, fikiran sedang dalam keadaan amat celaru. Kusut rambutnya, kusut lagi akalnya. Angan-angan dan jalan fikirannya panjang merewang. Tidak tetap dan berubah-ubah.

“Maksu, opah suruh keluar. Opah ada hal nak cakap dengan maksu.”

Farhana menganggukkan kepala tanda dia faham kata-kata Alin, anak saudaranya yang berumur 10 tahun. Hati berbolak-balik untuk keluar. Rasa malas, rasa sebal, rasa sedih dan pelbagai lagi rasa patah hati, sedang menindihnya. Dia seakan pasti apa yang bakal dikatakan oleh ibunya. Dan, itulah nanti yang bakal menjadi hukuman mati terhadap dirinya. Kata-kata yang bakal membunuh cinta dan citanya.

Puan Saodah memerhati gerak langkah yang diatur oleh anak bongsunya, Farhana, yang lemah, ketika gadis itu mendatanginya. Riak wajah yang biasanya ceria, tidak ada tanda-tanda gembira. Dia tahu, semua itu gara-gara keputusan mandatori yang telah dibuatnya.

“Dah buat keputusan?” tanya si ibu. Dipandangnya tajam muka anak gadisnya yang sudah berusia 27 tahun itu.

Farhana mengangguk. “Tapi, Farha nak jumpa dia dulu.” Jawabnya.

“Buat apa? Nak suruh dia batalkan hasrat dia?” Puan Saodah menjegilkan sepasang mata.

“Mak, zaman ini, bukan macam dulu. Dulu, pandangan tak luas. Perempuan dulu tak jumpa ramai lelaki di luar sana. Tapi, sekarang ni masalahnya ialah Farha dah jumpa lelaki idaman Farha. Lelaki yang mak tolak, tak mahu jadikan menantu. Sebab mak dah ada calon menantu pilihan mak. Mak, Farha tahu, niat mak baik. Jodoh yang mak pilihkan untuk Farha jugak baik. Ustaz, lepasan universiti kat Jordan, alim, anak Mufti, memang pakej yang menarik tapi bagilah peluang Farha tengok dia. Kenal dia dulu, sebelum kami disatukan. Susah sangat ke nak penuhi permintaan Farha, mak?”


Puan Saodah menggelengkan kepala.

“Tidak! Kamu kahwin dulu dengan dia. Kenal-mengenali, mesra-memesrai, semua tu boleh dibuat lepas kamu kahwin. Keputusan mak ni, muktamad. Mak tak harap nak buat kenduri besar dan meriah. Bagi mak, cukuplah kalau kamu nikah aje pun! Mak dengan pihak lelaki dah sepakat nak langsungkan majlis kamu dengan Ahmad Faizal bulan depan.”

‘Oh, nama lelaki tu, Ahmad Faizal.’ Fikir Farhana lemah.

Wajah ibu ditatap tajam. Dia ingin tahu tentang sesuatu.

“Mak, mak pernah jumpa abang Lutfi. Mak pernah puji, kata, dia lelaki yang baik. Tapi, kenapa mak sanggup pisahkan Farha dengan abang Lutfi, mak? Apa kurangnya dia kalau nak dibandingkan dengan lelaki yang bernama Ahmad Faizal tu?”

Puan Saodah tidak kuasa hendak menjawab. Dia bangun untuk pergi turun ke dapur. Banyak yang ingin dia buat. Malas dia hendak membuang masa melayan pertanyaan Farhana.

Farhana mendengus kasar. Sikap ibunya semakin tidak dapat dia fahami.    
..................................
2
“Siapakah yang dapat memberi jaminan bahawa kalau kau pilih Lutfi, kau akan bahagia? Dan, siapakah pula yang boleh mengatakan andai kau mengikut kehendak ibumu, menerima Ahmad Faizal, hidupmu akan derita?”

Kata-kata Nuha membuat Farhana tersentak. Wajah temannya ditatap. Cantik, tenang dan sejuk mata memandang, itulah Nuha Abdul Rahman. Gadis manis yang baru sahaja melangsungkan majlis pernikahan dengan teman lelaki pilihannya.

‘Ingatkan, dia hendak menyokong aku. Memberi kata-kata perangsang untukku. Menyabarkan aku.’ Hati Farhana berbisik.

Namun persoalan yang dikemukakan membuat Farhana terpana. Dia merenung anak mata Nuha, sahabat baiknya sejak mereka sama-sama menuntut di Universiti Tekonologi Malaysia dahulu. Renungannya memberitahu bahawa Farhana tidak memahami dan dia mahu Nuha menjelaskan lebih lagi...

“Tiada bahagia yang kekal dalam hidup kita, Farha. Sekarang, mungkin kau rasa bahagia, kejap lagi mungkin kau ditimpa musibah lalu kau menangis. Takkanlah kau tak tahu bahawa bahagia di dunia ini diselangseli dengan derita dan kecelakaan? Bukankah hidup umpama roda?” tanya Nuha.

“Itu aku tahulah, Nuha. Kau selalu bayangkan depan mata aku ni tayar basikal yang bergolek-golek. Kau selalu cakap yang itulah ritma hidup kita. Di atas, maknanya kita senang. Di bawah maknanya kita sedang susah.”

Nuha mengangguk.

“Kaitkanlah ia dengan hidup kau. Percayalah, hidup ini tiada kepastian, Farha. Kalau Lutfi yang kau pilih pun, kau masih tidak dapat memastikan kebahagiaanmu bersama-samanya, kan?” tegas Nuha.   

Farhana akur, menyetujui kata-kata itu namun ada yang ingin ditambah.

“Memang betul, Nuha. Tapi, kalau aku pilih Lutfi, aku tahu matlamat aku, matlamat kami. Kami saling mencintai. Takkan nak dibiarkan cinta berkubur? Tentulah kami akan sama-sama saling membahagiakan. Dengan si Faizal ni, kenal pun tidak. Memang dia seorang ustaz, memang dia alim, anak mufti, tapi bukankah iman tidak diwarisi? Zahirnya alim tapi kalau hati dia busuk, macam mana? Lelah aku macam ni. Aku boleh bayangkan hidup aku dengan dia. Tentu membosankan. Memualkan. Aku yakin, kami tidak akan bahagia.” Farhana beria-ia menafikan setiap patah nasihat kawannya.

Nuha menggeleng-gelengkan kepala.

“Siapakah penentu masa depanmu sehingga begitu yakin engkau menyebut begitu? Engkaukah? Tuhanmu kah? Beristighfarlah, Farha! Lupakah pada rukun Iman ke enam? Percaya kepada Qada dan QadarNya? Lupa?” Marahnya. Lama dia berjeda sebelum menyambung, “Kawanku, pilihlah Lutfi kalau kau yakin benar bahawa dia mampu membahagiakanmu tapi ingatlah bukan pilihanmu yang menentukan kebahagiaan, bukan juga cintanya yang tulus. Tetapi DIA.... Kalau DIA izinkan, semuanya menjadi mudah untukmu. Kalau tidak, bukan pada Dia harus kau marah. Bukan juga pada diri harus kau menyesal tetapi anggaplah bahawa,

‘Yang baik untukmu, pada fikirmu, belum tentu yang terbaik untukmu di sisi Allah. Begitu juga...yang kau sangkakan buruk dan tidak sesuai denganmu, itulah yang Allah mahu kau ambil kerana Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’"
.........................
3
Lutfi memandang wajah manis di hadapannya, penuh kesayuan. Kad jemputan kahwin yang Farhana hulurkan ditatap penuh kehampaan.

Hari ini, penamat kepada kisah cinta mereka berdua. Hari ini, dia harus belajar melupakan. Di antara mereka berdua, sudah ada Ahmad Faizal di tengah-tengah. Ahmad Faizal, lelaki yang bakal menjadi suami kepada Farhana, minggu hadapan.

“Abang doakan Farha bahagia dengannya. Jadilah isteri yang baik dan sempurna, dan lupakanlah segala tentang kita. Ingatlah, berdosa untuk Farha mengingati lelaki lain, bila Farha sudah bergelar seorang isteri.” Nasihat Lutfi kepada gadis itu yang kini sedang menangis tersedu-sedu.

Farhana cuba menghentikan air mata yang mengalir. Wajah tenang Lutfi kemudian ditatap, kerana dia tahu itulah tatapannya yang terakhir. Mereka tidak akan bertemu lagi. Selepas berkahwin, dia akan berhenti kerja dan berpindah mengikut suami yang kini sudah menetap di Kuala Pilah. Semuanya atas permintaan Ahmad Faizal dan ibunya bertegas mahukan dia mematuhi, tanpa ingkar.

“Abang, maafkan Farha. Cinta kita setakat ini saja, ya.”  Katanya dalam sedu sedan.

Lutfi mengangguk. Tidak lama selepas itu, mereka berpisah. Masing-masing membawa bingkisan cinta yang pernah diberi kepada pasangan. Segala-gala sudah dikembalikan. Hanya hati yang telah dicuri, tidak mampu dipulangkan. Hanya janji termetri untuk saling menjauhkan diri dan fikiran daripada mengingati kenangan bersama.

“Biarlah kita putus dalam erti kata yang sebenarnya. Jangan ada secebis kenanganpun yang melekat di sanubari kerana itu boleh menyebabkan hati Ahmad Faizal terhiris.”  Bisik Lutfi penuh duka.

Farhana semakin hiba.
...............
4
Sudah sebulan dia dan Ahmad Faizal mendirikan rumah tangga. Faizal bercuti selama seminggu. Selama itu mereka berdua berulang alik di antara rumah emak Farhana, Puan Saodah dengan rumah mentuanya, Tuan Mahmud dan Puan Endon. Tiada istilah bulan madu untuk mereka berdua. Faizal langsung tidak menyebut tentangnya. Baik semasa di dalam bilik tidur mahupun ketika bersama-sama dengan orang tua.

Faizal seorang yang pendiam bila dengan dirinya. Komunikasi di antara mereka sangat terhad. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak memulakan. Namun, mengapa bila bersama kaum kerabatnya yang lain, lelaki itu begitu rancak bercerita? Banyak pula celotehnya? Senyum mekar menghiasi wajah?

Habis cuti seminggu, Faizal memberitahu ibunya bahawa dia hendak membawa Farhana pindah ke Kuala Pilah. Farhana tidak menyangka ia akan terjadi secepat itu. Namun dia akur kerana perkara ini sudah lama diketahui. Barang-barang pun sudah lama dia sediakan.

“Nak buat apa bawa semua pinggan, mangkuk, kuali, periuk, sudu, garpu... segala ni?” itulah kali pertama, soalan pertama yang Faizal tanyakan, dengan benar-benar merenung ke dalam anak mata Farhana. Gementar juga perasaan bila ditenung dengan tajam begitu. Gelabah juga bila hendak menjawab.

“Nak buat apa? Nak bawa balik rumah awaklah!” jawabnya dengan suara yang cuba menggambarkan ketegasan.  

Faizal melontar senyum. “Di rumah kita tu dah ada segala-galanya, Puan Farhana. Saya dah cukupkan se adanya. Kalau nanti masih ada yang tidak lengkap pada pandangan awak, kita boleh beli di sana. Di Kuala Pilah tu semua ada dijual. Tak perlulah hendak berangkut semuanya dari rumah ini.” Katanya sambil memasukkan semula barang-barang yang tadi dipunggah keluar kotak. Kotak itu kemudian diangkat untuk dibawa turun.

“Awak nak pergi ke mana pulak dengan kotak tu?” tanya Farhana.

“Nak bawa turun, bagi pada mak, supaya mak boleh guna barang-barang ni semua.” Balas Faizal.

“Tapi, itu kan hadiah untuk kita? Hadiah perkahwinan kita?”

“Tak apa. Yang ini semua kita sedekahkan pada emak saya dan emak awak. Di rumah kita, saya dah beli semua benda baru. Saya harap awak lebih hargai yang itu sebab semua itu, saya, suami awak yang beli. Boleh?”

Farhana tidak tahu mahu berkata apa lagi. Lalu, dia menjungkitkan bahu. ‘Suka hati engkaulah, Labu!’

Kekok sungguh bila tinggal sebumbung dengan seorang yang tidak pernah dikenali. Hendak dipanggil apa kepada lelaki itu, pun dia tidak tahu. Kerana itu dia menggunakan istilah awak dan saya. Faizal juga tidak begitu selesa bila dengannya. Yang pelik, setiap kali inginkan sesuatu, Faizal pasti akan memanggilnya, Puan Farhana. Puan Farhana ini, Puan Farhana itu, sambil menggunakan ganti nama, ‘saya’ dalam perbualan mereka.

“Puan Farhana, saya tak balik makan tengah hari ini. Kerja saya banyak, dan kami ada mesyuarat lepas Zohor. Awak makanlah sendiri, ya.” Pesan suaminya pada suatu hari, sambil terus meletakkan gagang telefon. 

Argh.... tension! Kenapalah tidak memberitahu lebih awal? Sekarang ini, dia sudah masak untuk dua orang, tidakkah membazir? Bisik hati Farhana sambil merenung lauk pauk di atas meja. Ada masak lemak cekur ikan keli yang sudah dibakar, ada sambal belacan, ada ulam, ada sayur kangkung goreng ikan masin. Kononnya, lauk itu semua ialah lauk kegemaran Faizal. Kecur liurnya namun seleranya terus mati bila kemarahan kepada suaminya hadir kembali.

Perlahan-lahan, dia memanjat tangga. Dia berhenti di luar pintu bilik suaminya. Oh, mereka tidur asing-asing. Suaminya belum pernah menyentuh dia. Bukan dia yang meminta tetapi entahlah, Ahmad Faizal yang memberi ruang untuk dia memilih biliknya, jadi Farhana membuat andaian bahawa lelaki itu tidak mahukan dirinya.

Dia memasuki kamar  tidur Faizal buat pertama kali setelah sebulan berpindah. Sangat maskulin dengan cat dinding berwarna biru hitam. Ada set ‘home theater’ lagi. Ewah! Rock juga ustaz ni, fikirnya apatah lagi bila melihat koleksi lagu dan VCD yang terdapat di dalam simpanan suaminya. Baru dia tahu bahawa Faizal bukanlah sekolot yang dia fikirkan.

Tiba-tiba, di suatu sudut meja kerja Faizal, ada sekeping gambar berbingkai yang sudah ditelangkupkan. Hati mendesak untuk tahu. Gambar siapakah itu? Dengan segera gambar itu dicapai.

Alangkah terkejut bila melihat paparannya. Pucat muka Farhana. Jantung berdegup laju. Hati menjadi tidak ketahuan arah. Setitis air mata jatuh, mengiringi sendu yang sedang bermukim di dalam hati.     
....................
5
Lewat jam 3 pagi, suaminya, Ahmad Faizal masih belum pulang-pulang. Hati yang membara kepanasan semakin terbakar. Tidak sepicing dia dapat melenakan diri bila segala persoalan yang sedang ligat berputar di dalam kotak fikirannya, tidak menemui jawapan yang dicari-cari.

Tanda soal ada di mana-mana. Mengapa? Apa? Di mana? Siapa? Ligat segala-gala, lepas satu, satu, menguasai otak. Siapakah Ahmad Faizal yang sebenar? Di mana gambar itu ditangkap? Apakah hubungan di antara Ahmad Faizal dengan....? Mengapa mengahwininya setelah....?

Penantian ini amat menyiksakan dirinya. Dia ingin tahu semua jawapan kepada semua soalan-soalan itu. Dia tidak mahu ada rahsia yang disembunyikan daripada pengetahuannya lagi. Ahmad Faizal berhutang dengannya. Ya, hutang itu perlu dilunaskan! Perlu! Kerana sekeping hatinya berasa tidak enak. Kerana sekeping hatinya berasa sangat bersalah.

Bunyi deruman enjin kereta memasuki pagar rumah menunjukkan kepulangan lelaki bergelar suaminya itu. Farhana duduk tegak di atas sofa, menanti pintu rumah dibuka sendiri oleh Ahmad Faizal. Sepasang mata tajam ke arah itu. ada jugak yang bakal dicederakan pada waktu dinihari ini....

Faizal terkejut melihat isteri yang jelas kelihatan seperti menanti dirinya. Tentulah kehairanan bila perlakuan ini tidak pernah dibuat oleh Farhana. Argh, gadis yang dikahwini sebulan dulu yang masih belum pernah menjadi miliknya dalam erti kata sebenar. Rasa bahagia menyelinap dalam hati untuk seketika kerana merasakan ada sikap bertanggungjawab yang cuba Farhana tunjukkan. Malangnya, hati juga serta merta dibaluti keresahan kerana tiada keceriaan yang kelihatan di wajah. Tentu ada sesuatu yang sedang membebani fikiran isterinya, dia memikir.

“Tak tidur lagi? Kan dah lewat ni?” tanya dia sambil cuba menutup mulut yang sedang menganga akibat menguap.

“Saya tak boleh tidur sebab saya ada masalah. Fikiran saya ni kusut. Kepala saya bengang. Sejak siang tadi saya cuba kawal, tapi tak boleh. Sebab memang perangai saya macam ni. Selagi masalah tidak selesai, saya tak boleh bertenang.” Meluncur laju Farhana menuturkan, mengulangi bait demi bait perkataan yang sudah dihafal berulang kali di sepanjang hari. Dan Ahmad Faizal harus bersyukur kerana dia tidak marah. Ayat-ayat yang keluar tadi, terpantul dengan tenang. Mungkin kerana segalanya mengambil masa melebihi 12 jam, sudah agak senggang waktu berselang. Kalaulah Faizal pulang tengah hari tadi, tentu perang mulut meletus.

“Owh.. jadi Puan Farhana bukanlah menunggu saya pulang sebagai selayaknya seorang suami disambut oleh isterinya? Puan Farhana sedang menunggu saya menjelaskan tentang sesuatu, begitu? Maksudnya, tadi, Puan Farhana ada masuk ke dalam bilik sayalah, ya?”

Mereka berdua berbalas renungan. Tajam menikam anak mata masing-masing diiringi getaran kencang dalam hati.

“Awak memang mahu saya masuk ke dalam bilik awak dan menjumpai gambar tu?”

Faizal mengangguk. “Dah lama saya harap awak jumpa gambar tu!” balasnya tenang.

“Tapi, kenapa? Apa hubungan awak dengan dia? Kenapa mesra benar berpelukan?”

Faizal tidak mempedulikan suara nyaring Farhana. Dia dengan selamba duduk di sisi isterinya. Tangan disambar dan dipegang erat-erat kerana dia tidak mahu melepaskan biar sekuat mana rontaan Farhana. Kalau gambar sudah dijumpai, kebenaran harus tersingkap. Dia perlu berterus terang. Dan si dia di sebelahnya ini mesti cekal menerima apa yang bakal dia memberitahu.

“Jawab dengan ikhlas! Apakah awak, Puan Farhana, sudah bersedia mendengar suatu kebenaran? Walau ia nanti amat menyakitkan?”

Farhana mengumpul nafas. Terasa dirinya bergegar dengan seribu satu macam perasaan. Pergolakan emosi jelas terpampang di wajah. Namun dia mengangguk. Ya, dia sudah bersedia kini.

“Puan Farhana, awak tentu kenal lelaki di dalam gambar yang saya peluk tu, kan? Dia bekas kekasih awak. Nama dia Ahmad Lutfi Idris. Tapi, apa yang awak tak tahu ialah dia, Lutfi, ialah abang ipar saya. Dia, suami kakak saya bernama Fazira, Puan Farhana!”   
.............................
6
Farhana kini sedang bersendirian di dalam biliknya. Walau hari sudah tinggi, dia belum bercadang untuk turun ke bawah. Dia belum bersedia untuk bersemuka dengan suaminya. Dia masih dibebani rasa malu yang tidak mahu pergi.

“Sudah 3 tahun abang Lutfi berkahwin dengan Kak Faz. Mereka berkahwin atas dasar cinta sebab itu Kak Faz gagal menghargai abang Lutfi. Dia fikir abang Lutfi lembut selama ni dan sanggup buat segala-gala untuk dia. Dia tak tahu yang dalam diam, hati abang Lutfi dicuri seseorang.”

Kata-kata Ahmad Faizal terpantul kuat ke kotak ingatan. Kata-kata yang membuat hati kecil Farhana dibebani rasa bersalah. Bersalah kerana jatuh cinta pada suami orang.

Mengapa dia tidak tahu? Mengapa Lutfi tidak pernah memberitahunya bahawa Lutfi sudah berkahwin? Mengapa dalam lembut tutur kata, mengapa dalam manis budi bahasa, mengapa dalam gurau senda mereka, dia tidak menyedari siapa Lutfi sebenarnya? Ataukah dia sudah menjadi buta? Tidak nampak segala-gala yang seharusnya dia amati?

“Puan Farhana, kalau awak fikir yang abang Lutfi tipu awak, sebenarnya, tidak! Dia memang sayangkan awak cuma cintanya milik Kak Faz.” Ahmad Faizal menambah kata, menambah luka.

Betapa hancur sekeping hati mendengar Ahmad Faizal berkata begitu.

Lutfi sayangkan dirinya. Hanya sayang kepada seorang Farhana, bukan cinta. Lutfi tidak mencintainya tapi cintakan isterinya? Jadi, selama ini Lutfi hanya berpura-pura? Mempermainkan hatinya? Mempersendakan cintanya?

Air mata yang mengalir di pipi diseka. Sungguh, dia benar-benar malu. Malu kerana baru menyedari bahawa selama ini dirinya yang terhegeh-hegeh mencintai Lutfi sepenuh hati. Sedangkan tiada keikhlasan di pihak lelaki itu terhadapnya.

“Macam mana awak boleh tersembul dalam cerita kami pulak?” tanya dia kepada Ahmad Faizal. Mengapa pula lelaki ini boleh muncul di tengah-tengah mereka?

“Abang Lutfi kasihankan awak. Dia rasa bersalah sebab mempermainkan awak. Mempermainkan hati dan perasaan awak. Dia ceritakan tentang awak pada saya. Dia suruh saya ambil alih tempat dia.”

Kalau tadi, semasa di hadapan Ahmad Faizal mulutnya ternganga mendengar kata-kata lelaki itu, kini, kemarahan menguasai diri. Dia yang sedang berdiri di hadapan almari solek terus sahaja menolak semua alat-alat mekapnya hingga habis jatuh ke atas lantai yang diperbuat daripada jubin berkualiti tinggi. Ada kaca yang pecah berselerakan, berderai seperti hatinya ketika ini. Bau di dalam bilik sudah bercampur baur di antara harum perfume dan pelbagai lagi bahan yang sudah tertumpah.

“Astaghfirullah, apa dah jadi ni, Farha? Mengamuk sakan, nampak?” Ahmad Faizal yang terjengul di muka pintu menyapa dirinya. Wajahnya agak terperanjat melihat bilik yang sudah semak dan bersepah dengan kaca bertaburan di sana sini.

Mata Farhana membuntang. Rasa macam hendak ditelannya lelaki di hadapannya ini. Buat lawak konon?

Dia mendengus kasar. Entah mengapa, dia rasa perlu menjauhi lelaki itu yang sudahpun masuk ke dalam biliknya. Dalam amarah, dia lalai menjaga langkah lalu kaki terpijak serpihan kaca. Langkah terhenti. Dahi pula berkerut menahan sakit.

Ahmad Faizal menggelengkan kepala. Dengan berhati-hati dia mendekat dan tanpa amaran, tubuh kurus isterinya dicempung. Dia ingin membawa Farhana untuk dibaringkan di atas katil.

Farhana yang terkejut, meronta-ronta sambil menjerit-jerit meminta dirinya dilepaskan. Badan suami dipukul-pukul. Tindakannya menyebabkan Faizal tidak dapat menyeimbangkan tubuh lalu kedua-duanya jatuh ke atas tilam. Terlalu rapat. Terlalu dekat sehingga degupan jantung masing-masing dapat didengari.

“A...Aw....”

“Syy....” jari telunjuk dilarikan di sepanjang bibir mungil si isteri.

Farhana tidak mampu lagi bersuara. Kesakitan di kaki sudah tidak terasa. Dia ditewaskan oleh renungan Faizal yang menggoda. Sentuhan lembut Faizal memangkah semua kemarahan, memadam semua kepalsuan Lutfi. Dan, dia merelakan bila suami melafazkan….

Maksudnya : Ya Allah! Jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang engkau rezekikan kepada kami.
................................
7
Faizal tenang memerhati isteri yang kini sedang sibuk menyediakan makan malam. Dia duduk diam di atas kerusi makan. Sepasang mata sentiasa mengekori setiap pergerakan yang Farhana buat. Air kopi yang dihidangkan disisip perlahan-lahan.

Bibir mengukir senyum mengenangi peristiwa manis sepanjang hari. Rasa bahagia menzahirkan kesyukuran di dalam hati. Dia tidak tahu betapa di hadapannya, hati Farhana sedang keliru. Dia tidak tahu betapa Farhana sedang dihambat kekesalan. Farhana sedang menyesali perbuatannya menyerahkan diri kepada suami yang masih tidak sepenuhnya dikenali.

“Farha...”

Kerana panggilan tidak bersahut, dia bangun lalu mendekati isterinya. Gelagat isteri yang cuba mengelak renungannya diperhati dan sekilas, dia dapat melihat manik-manik halus menitis di pipi. Faizal menggelengkan kepala.

“Apa yang menyebabkan isteri abang menangis ni? Farha menyesal?” tanya dia dalam nada kesal.

Lama Farhana diam sebelum akhirnya dia membalas, “Kita tak saling kenal. Cerita awak pun belum habis lagi. Saya keliru. Saya tak faham. Memang saya menyesal. Saya tahu, saya tak patut cakap macam ni tapi saya betul-betul menyesal.”

Faizal beristighfar di dalam hati, melawan desakan syaitan yang mahukan dia melenting dan memarahi Farhana. Saat ini, dia sedang sangat berkecil hati bila mengetahui bahawa isterinya menyesali apa yang indah pada anggapannya.

“Letak semua benda yang awak pegang tu, Puan Farhana. Lepas tu mari duduk di depan abang ni. Abang nak tahu apa yang buat awak menyesal sangat tu! Mari kita huraikan kekusutan yang buat hidup awak haru biru.” Katanya sambil memaksa tangan Farhana yang sedang memotong sayur melepaskan kubis yang sedang dipegang. Dia kemudian mengalirkan air dan membasuh tangan itu dengan lembut. Selepas mengelapkan tangan, Farhana ditarik untuk duduk. Dia kemudian mengambil tempat di hadapan isterinya.

“Saya minta maaf, awak!” bisik Farhana perlahan.

“Untuk apa?”

Farhana menggelengkan kepala kerana dia juga tidak tahu mengapa dia harus meminta maaf.       

“Sayang, abang dah lama cintakan awak. Abang lebih dulu mencintai awak berbanding abang Lutfi. Abang Lutfi tahu itu.”

Farhana benar-benar terkejut. Wajah suami ditatap dengan pandangan penuh keraguan. Dia tahu seluruh wajah menggambarkan rasa tidak percaya. Argh, kalaulah dia mampu ketawa saat ini? Ya, dia ingin ketawa terbahak-bahak pada lelucon yang diucapkan oleh Ahmad Faizal. Sungguh!

“Awak memang boleh ketawa kalau apa yang abang sebutkan itu lucu pada awak, Puan Farhana. Tapi sebenarnya, ia bukan cerita lawak. Abang jatuh cinta pada awak sejak kali pertama awak jejakkan kaki ke universiti. Pada minggu suaikenal itu, abang salah seorang fasilitator tapi abang tak terkenal. Maklumlah, pendiam, tak handsome, nak tegur perempuan pun tak berani walaupun perempuan tu dah ada depan mata, jatuhkan pen. Masa hulurkan pen pada awak pun, tangan abang terketar-ketar sampai awak dengan kawan-kawan awak ketawakan abang. Abang malu betul masa tu tapi senyuman awak lekat dalam hati ini. Abang selalu perhatikan awak dari jauh. Tengok awak, rindukan awak dan berdoa supaya satu hari awak jadi milik abang.”

Mata saling bertatapan untuk seketika. Farhana ingin mencari kejujuran dalam pandangan yang Faizal lemparkan. Faizal pula sedang malu kerana meluahkan rahsia hati.

“Rasa susah hendak percaya...” akhirnya itu sahaja yang mampu dikatakan oleh Farhana. Kerana, dalam kotak ingatannya, tidak ada langsung memori tentang Ahmad Faizal. Langsung dia tidak mengingati.

Wajah suami ditatap sambil bertanya, “Kenapa tak cuba dekat? Kenapa tak cuba mengurat? Farha mana ada kekasih masa di universiti? Bila dah kerja, kebetulan sepejabat dengan abang Lutfi, barulah terbuka hati ini hendak bercinta. Awak ada banyak peluang dulu, kan? Kata dah jatuh cinta, tapi kenapa tak berusaha?”

Ahmad Faizal tersengih lalu diikuti dengan ketawa kecil. “Kan abang dah cakap, abang tak berani? Abang takut awak tolak salam perkenalan abang.”

“Tapi, awak kenalah cuba. Tak cuba, mana nak tahu saya terima ke, saya tolak ke? Apa yang penakut sangat tu?” Farha geram lalu meninggikan suara.

Ketawa Ahmad Faizal meledak kuat menyebabkan dahi Farhana berkerut-kerut. ‘Hai, kena tengking pun boleh gelak?’ tanya dia di dalam hati.

“Abang simpan gambar awak. Farha, abang tak lama di UTM. Abang tak tamat belajar pun. Abang tak minat. Sebab tu emak dengan ayah hantar abang ke Jordan jadi abang tak sempat nak cari awak. Hanya gambar itu yang jadi kenangan.”

“Awak ada gambar saya?”

Faizal mengangguk. “Gambar masa hari orientasi dulu tu.”

“Owh...”

“Gambar itulah yang abang Lutfi nampak, yang membongkar kisah cinta abang pada Farha dan membongkar kisah cinta Farha dengan dia. Dia beritahu abang semuanya. Jadi, untuk selamatkan rumah tangga mereka, abang mintak izin dia untuk lamar Farha. Abang Lutfi kemudian bawak abang jumpa emak Farha. Kami ceritakan semuanya pada emak.”

Mendengar penjelasan itu, Farhana tidak mampu mengawal perasaan. Dia berasa terlalu sedih sehingga menyebabkan dia menangis pilu. Sayu kedengaran bunyi tangisannya. Sendu, hiba melanda jiwa. Dia benar-benar hampa.

“Farha...”

Dalam linangan air mata, Farhana mendongak, memandang wajah suami yang kabur di pandangan. Kekecewaan diluahkan....

“Sampai hati awak dengan dia buat saya macam bola. Dia tak mahu saya, awak sambar. Tak sikitpun hendak beritahu pada saya. Dia nak selamatkan rumah tangga dia? Kenapa? Dia ingat, kalau saya tahu dia dah kahwin, saya sanggup teruskan hubungan kami? Awak pulak, kalau saya ni bukan perempuan yang kononnya awak cinta, awak masih sudi jadi pak sanggup demi menyelamatkan maruah abang ipar awak? Demi menyelamatkan rumahtangga kakak awak? Sanggup?”

Faizal terkedu mendengar kemarahan isterinya. Dia dapat menyelami kekesalan. Dia turut merasai kedukaan. Dia kasihan. Namun, hati tetap bertanya, salahkah apa yang telah dilakukan?          
.....................
8  
“Farha, jom pergi makan!”

Farhana segera mendongak apabila mendengar suara rakan baiknya, Nuha, mengajak dia pergi makan tengah hari. Dia kemudian memerhati muka jam tangannya.

“Hmm, dah pukul 1 tengah hari dah? Alah, cepatnya masa berjalan. Kan, Nuha?” tanya dia sambil membuka bedak kompak jenama ZA. Bukan untuk berbedak, hanya hendak melihat wajahnya di dalam cermin kecil itu.

“Comel dah tu...” kata Nuha sambil cuba menarik tangan Farhana untuk bangun.

“Alah, kejaplah!” Farhana berdegil, masih lagi ingin memerhati penampilan diri.

“Dah, dah! Bukannya kau nak keluar dengan Faizal. Kau nak pergi makan dengan aku aje. Cepat! Nanti habis pulak masa makan kita!” Nuha bertegas. Langkah semakin dicepatkan.

Farhana berasa moodnya hilang bila nama lelaki itu disebut. Sudah agak lama mereka tidak bertemu. Pada kiraannya, sudah 6 hari, 7 jam dan 35 minit. Faizal tidak langsung dapat dihubungi. Talian telefonnya ditutup. Bila Farhana menelefon ke pejabat, Faizal dikatakan sedang berada di luar daerah.

Mengimbas kenangan 3 bulan yang lalu, hati Farhana dibuai sayu. Sebaik Faizal memberitahu tentang persepakatan di antara dirinya dengan Lutfi, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Faizal. Dia meminta agar mereka berpisah buat seketika. Dia tahu, Faizal kecewa meladeni permintaannya namun katanya pada Faizal, dia hanya ingin mereka berjauhan buat sementara. Dia sendiri tidak mahu bercerai cuma dia masih berkecil hati dengan tindakan lelaki itu terhadap dirinya.

Farhana kembali ke Kuala Lumpur dan bekerja satu pejabat dengan Nuha, membantu gadis itu di syarikat miliknya. Seminggu dia bekerja di situ, meja kerjanya mula dipenuhi bunga hasil kiriman Faizal. Dalam setiap kad yang diselitkan, Faizal menitipkan kata-kata penuh romantis; tentang cinta, tentang rindu, tentang hati. Selepas sebulan pula, lelaki itu mula mengajaknya keluar untuk makan malam bersama-sama. Diikuti oleh makan tengah hari dan berjalan-jalan di pusat membeli belah.

“Awak, awak selalu sangat  datang KL, tak ganggu kerja awak ke?” tanya Farhana pada suatu hari.

“Eh, abang tak bagitahu pada isteri abang ke yang abang dah bekerja di sini? Abang kerja di pejabat Pak Ngah. Dah lama adik ayah tu mintak tolong abang buat kerja-kerja akaun.” Balas Faizal sambil tersenyum manis. “Abang nak tinggal dekat dengan isteri abang, dapatlah abang tengok muka dia hari-hari. Duduk kat KP, jauh... rindulah..”

Bulat sepasang mata Farhana, bagaikan tidak percaya mendengar suaminya yang pemalu itu berkata tentang rindu.

“Farha rindu abang tak?”

Huh! Rindu konon? Rindulah sangat sampai tak ada khabar berita pada aku! Saja suka menyakitkan hati orang! Elok duduk jauh-jauh, datang duduk di KL ni. Kerja di sini. Lepas tu, pandai pulak mengurat. Memujuk rayu. Mengayat. Sengaja nak buat aku lentok... lepas tu, terus hilang. Diam, bisu, lenyap! Tak ada petunjuk tentang dia. Mak tak tahu dia ke mana. Semua orang tak tahu!

“Kau tu marahkan siapa? Dari tadi, aku tengok mulut kau terkumat kamit? Mengumpat suami, ek? Tak baik tahu! Berdosa!” tegur Nuha bersama senyum yang meleret.

“Aku bencilah kat dia. Jangan sebut fasal dia, nanti selera aku mati.”

“Benci? Bukan rindu? Farha! Farha! Sampai bila hendak menafikan perasaan cinta yang ada dalam hati tu?”

“Hellooo...aku tak cintakan Ahmad Faizal, okey! Aku tak pernah cintakan dia. Never!” Farhana cuba menafikan perasaannya. Cinta? Tak mungkin! Mustahil!

Nuha mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Baguslah kalau kau tak cintakan dia sebab aku rasa dia pun dah jemu dengan kerenah kau pada dia. Tu pasallah dia sekarang ni sedang bersama dengan perempuan tu. Cuba kau tengok tu.” Nuha memuncungkan bibir ke arah sebuah meja di sudut kanan restoran. “Wah, bukan satu tapi dua lagi...habislah kau, Farha. Kena madu tiga dah ni...”

Bulat mata Farhana memandang ke arah yang Nuha tunjukkan. Memang benar, saat ini, suaminya sedang bersama-sama bukan seorang malah dua orang perempuan yang muda lagi cantik. Anggun bergaya dengan bertudung litup. Sopan santun kelihatannya.

Faizal yang menyedari dirinya diperhati, seolah-olah mencari-cari sesuatu. Atau mungkinkah seseorang? Dan , ketika saling bertatapan dengan Farhana, dia menguntum senyum di bibir. Wajah isteri diperhati dari jauh sebelum tumpuan kembali kepada dua orang gadis di sebelahnya. Dia tidak berhasrat untuk mendekati. Dia tidak berhajat untuk menemui Farhana.

Farhana berasa amat sedih. Walau siapapun perempuan-perempuan yang bersama-sama suaminya, dia tidak kisah. Yang disedihkannya, Faizal tidak datang kepadanya. Tidak menegurnya. Tidak mempedulikannya.

Siapakah dia di hati lelaki itu kini?      
................................
9
 “Dah nak balik dah?” sapa Faizal, ketika Farhana dan Nuha mampir di meja di mana dia sedang berada.

Farhana tidak mempedulikan soalan itu walaupun sudah jelas Faizal sedang menagih jawapan darinya.

Nuha menggelengkan kepala. Geram melihat sikap biadap seorang isteri kepada suaminya. Lalu dia yang membalas sapaan itu.

“Ada orang dah kenyang tengok Faizal dengan gadis-gadis cantik ni. Sebab itu dia ajak Nuha balik semula ke pejabat.”

Ahmad Faizal tersengih bahagia. Berjaya juga dia membuat hati Farhana berkocak. Ingatkan tak rasa apa-apa tadi, gumamnya di dalam hati.

Melihat sengihan Faizal, Farhana menjadi semakin geram. Dia terus sahaja ingin pergi meninggalkan suaminya. Biarlah dia bahagia bersama-sama wanita-wanita itu, fikirnya. Namun, tangannya Faizal tarik dan genggam erat sebelum dia boleh melangkah lebih jauh.

“Lepaslah! Apa pegang-pegang orang ni. Tak sukalah!” marahnya.

“Suka atau tidak, lebih baik awak duduk di sebelah suami awak, puan Farhana. Toksahlah hendak cemburu pada kami berdua. Tak ada gunanya. Untuk pengetahuan awak, saya ni PA dia, dan, dah ada anak 2 pun.” Kata perempuan berbaju biru.

“Saya pulak....”

“Najla? Cucu mak ngah Pijah?”

Arghh, baru Farhana perasan. Dari jauh tadi dia tidak berapa cam wajah ini. Sekarang, memang tidak syak lagi. Dia ingat pada Najla sebab sewaktu kenduri dahulu, inilah gadis yang paling ramah menegur dirinya meskipun ketika itu dia tidak langsung mahu diajak berbual-bual.

“Told you, pak su... she will remember me. So where is my present?” 

“Assalamualaikum...”

Belum sempat Faizal hendak membalas, mereka semua dikejutkan dengan kehadiran Lutfi. Masing-masing berpaling ke arah suara garau yang baru menegur mereka itu. Demi melihat wajah itu, semangat Farhana yang sedia kurang, bertambah luntur. Dia semakin ingin menjauhkan diri. Dia cuba menarik tangannya yang Faizal masih genggam dengan erat.

“Duduklah Farha. Boleh kita berbual-bual.” Lutfi meminta.

“Saya nak balik ke ofis dah ni.” Balas Farhana.

“Tak ada maknanya. Awak akan duduk sini Puan Farhana, di sebelah saya, suami awak. Yang akan balik hanya diorng bertiga sahaja. Betul tak, Nuha?”

Nuha mengangguk lantas memberitahu Farhana bahawa pertemuan ini diatur untuk menghuraikan kekusutan di antara dia dengan Faizal. Mereka berdua perlu meletakkan ego ke belakang demi sebuah rumah tangga yang baru terbina. Kata Nuha, jangan biarkan kasih sayang hilang hanya kerana dendam dan rasa marah yang tidak berpenghujung.
Akhirnya mereka ditinggalkan bertiga sahaja. Farhana kini duduk diam di sisi suaminya. Berhadapan pula dengan bekas kekasih. Terasa canggung duduk bertiga-tiga begini. Tambah pula, masing-masing kelu, bisu, tanpa suara.

Akhirnya Lutfi memecah kesepian.

“Farha, maafkan abang sebab buat Farha menderita. Abang tahu, ini semua silap abang. Abang tak rancang untuk buat Farha jatuh cinta pada abang. Waktu itu, abang sekadar ingin melupakan kesunyian abang.”

Farhana tidak menyahut. Dia tunduk merenung lantai. Di belakang tengkuknya, ada jemari kasar sedang meramas-ramas. Mungkin itu satu cara bagi Faizal cuba mententeramkan isterinya.

“Abang atau Faizal tak pernah anggap Farha sebagai bola ataupun sebagai barang dagangan. Saat abang sedang keliru antara ingin berterus terang dengan Farha tentang abang yang dah kahwin, tentang rasa bersalah kerana terpaksa melepaskan Farha, abang ternampak gambar Farha dalam simpanan Faizal. Abang ceritakan segala-gala pada dia. Dapatlah juga beberapa biji penumbuk suami kamu ni!”

Farhana menatap wajah Faizal, seolah-olah tidak mempercayai  bahawa Faizal sanggup menumbuk abang iparnya hanya kerana dia?

“Bagi abang, abang Lutfi seorang yang zalim. Dia bukan saja menzalimi Farha, tapi dia juga menzalimi kak Faz. Nasib baik kak Faz tak tahu apa-apa....”

“Kalau ada yang bersalah, orang itu hanyalah abang Lutfi, Farha. Kamu marahlah abang, bencilah abang tetapi janganlah kamu berkelahi dengan Faizal. Sekarang ini, semua orang susah hati disebabkan kamu dengan dia yang tinggal berasingan. Emak, ayah, Faz...semua mereka tertanya-tanyakan sebabnya. Abang Lutfi dan Faizal sudah sepakat, Farha. Sebelum mereka semua berburuk sangka dengan kamu, kami bercadang untuk berterus terang. Abang Lutfi hendak mengaku salah pada Faz.”

“Abang akan mengaku pada emak dengan ayah bahawa sebenarnya abang memaksa Farha berkahwin dengan abang. Lagipun memang salah abang kerana abang ingat, Farha boleh terima abang setelah apa yang abang dengan abang Lutfi buat. Abang faham, cinta bukan boleh dipaksa-paksa. Abang...”

Farhana bangun secara mendadak. Tindakan spontan yang entah mengapa, membuatkan pandangan jadi berbalam-balam. Dia pening. Dia rasa meloya. Tiba-tiba sahaja dia merasakan isi perutnya hendak terkeluar.

“Farha, kenapa ni....” ayat belum habis diucapkan seluruh wajah Faizal sudah menerima semburan muntah dari mulut isterinya. Kejadian yang mengakibatkan satu restoran menjadi sunyi sepi.

Dalam keadaan nafas yang turun naik, Farhana hanya mampu berkata...

“Maafkan Farha, abang!”
...................................
10

Farhana berasa berat untuk membuka sepasang mata. Tidak berkudrat dia. Tidak berdaya juga. Usahkan kelopak sepasang mata itu, jari-jemari juga dirasakan bagai kaku, tidak mampu menguit.

Di manakah dia sekarang? Aduh, sakitnya kepala. Berdenyut-denyut.

“Mak....”

Dia tidak sedar yang dia sedang mengerang kesakitan. Erangan yang menyebabkan Ahmad Faizal bergegas mendapatkannya. Terus sahaja menggenggam erat tangan isterinya.

“Syy... sayang, abang ada di sini. Mak pun ada juga, malah semua orang termasuk emak dan ayah abang, Kak Faz, abang Lutfi pun ada. Sayang kalau tak larat, tak apa. Jangan buka mata tu. Relaks, tenangkan diri. Sayang tidur, ya?” Lembut Faizal memujuk sambil bibir menyentuh lembut penuh syahdu dahi si isteri. Jelas, kasih sayang terpapar. Menampilkan senyum pada seraut wajah tua Puan Saodah. Membuat ayah dan ibu sendiri berasa gembira.

“Kiranya, Odah, diorang ni duduk jauh sebab bawaan budaklah, ya? Macam-macam ujian ni kan? Ada tu, nak makan benda pelik-pelik macam sabunlah, beras. Ada pulak, yang nak cium bau yang bukan-bukan sampai sanggup berulang-alik 5, 6 kali ke stesen minyak nak hidu bau minyak, kan? Ni, menantu kami ni pulak tak tahan bau Faizal sampai muntah kat atas badan dia di restoran tadi.” Puan Endon ketawa besar. Hilang sudah gundah di hati memikirkan anak dan menantu. Selama ini dia menyangka Farhana tidak sukakan anaknya. Geramlah juga walau berkali-kali Faizal menafikan. Rupa-rupanya, ialah... orang baru berkahwin? Malulah hendak bercerita tentang rahsia rumah tangga kepada orang tua.

“Kesian kamu, Faizal. Macam-macam kerenah Farha terpaksa kamu layan.” Puan Saodah melahirkan simpati kepada menantu.

Faizal membawa jari jemari Farhana ke bibirnya. Dia tidak mampu menyembunyikan rasa bahagia yang sedang dirasai. Maklumlah, diri bakal bergelar seorang ayah tak lama lagi. Tentulah gembira. Dan, rasa cinta kasihnya kepada Farhana semakin dalam. Inilah isterinya, yang bakal melahirkan anak-anak mereka.

“Mak rasa bahagia sangat, korang. Lutfi, kamu tahu tak yang si Fazira ni pun dah mengandung. Tak silap mak dah 3 bulan tu?”

Lutfi segera menatap wajah isterinya. Rasa syukur terus dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Dia dilimpahi bahagia. Semakin bahagia bila ayah mentua dan adik ipar, sama-sama memeluk tubuhnya, menyampaikan ucapan tahniah.

“Kak Faz dulu sebulan, lepas tu Farha pulak bersalin. Tentu hubungan anak-anak kita nanti rapat sangat, kan?” Kata Faizal teruja.

“Mestilah, dik. Anak akak mesti sayangkan maksu dan paksunya. Dan anak korang mesti sayangkan uncle Lutfi dan aunty Faznya. Hmm, Kak Faz sayang sangat pada adik kakak ni. Saaayangg Faizal!”

Dua beradik saling berpelukan lagi, menunjukkan keakraban hubungan.

“Saya pun sayang kak Faz jugak dan saya sangat-sangat cintakan Farhana.” Faizal bercanda disambut gelak ketawa ramai.

“Eleh, macamlah orang tak tahu!” usik Lutfi pula.

Walau mata terpejam, Farhana masih dapat mendengar semuanya. Dia berasa amat terharu. Pengakuan suaminya tidak pernah jemu. Hati teringin menatap seraut wajah lembut milik Faizal. Ingin merenung dalam ke anak mata, menyatakan bahawa dia sudah tidak lagi ada cinta untuk Lutfi. Kelembutan Faizal, keluhuran sikap, pandai memujuk berjaya juga mencantumkan kembali hati yang berkecai dulu. Kini hati itu sudah dipanah cinta tulus Faizal. Hati itu sudah menjadi milik Faizal.

“Abang tak marah pada Farha sebab muntah atas muka dan badan abang tadi?”

Err, kenapa soalan itu pula yang aku tanya? Soal hati. Namun sepasang mata tetap dibuka untuk memandang tepat ke arah Faizal.

“Ada ke tanya soalan tu? Tentulah marah! Busuk tahu!” gelak Faizal. Semakin galak tawanya melihat wajah Farha yang sudah merona kemerahan. Malulah tu.

“Tapi, abang bersyukur pada Tuhan. Muntahlah, tak apa! Abang tak kisah sebab abang tahu yang lepas ni Farha tak akan sampai hati tinggalkan abang lagi. Kita bakal ada anak. Puan Farhana tentu akan jadi semakin matang lepas ini, kan?”

Farhana tersenyum memandang satu wajah ke satu wajah yang lain. Teringat semula pada potongan ayat...

‘Yang baik untukmu, pada fikirmu, belum tentu yang terbaik untukmu di sisi Allah. Begitu juga...yang kau sangkakan buruk dan tidak sesuai denganmu, itulah yang Allah mahu kau ambil kerana Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’"

Ya, insan hanya boleh merancang, tapi takdir, Allah yang pegang. Serahkan pada Dia kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui segala-gala yang ada di langit dan di bumi.

Malam itu, ketika suami sedang lena menemani tidurnya  di atas katil usang di hospital Subang Jaya itu, Farhana mengelus anak rambut yang berjuntaian di dahi suaminya. Perlahan-lahan dia tunduk lalu mengucup dahi luas Faizal, perlakuan yang sering dilakukan Faizal kepadanya saban malam setiap kali menghantar dia pulang ke rumah sejak dua menjak ini.

Dia berbisik, “Farha bersyukur sangat kerana mematuhi perintah emak yang mahukan Farha memilih abang walaupun mak tidak pernah memberitahu Farha tentang abang Lutfi. Terima kasih kerana ikhlas mencintai Farha, bang. Terima kasih kerana bersabar dengan sikap buruk dan ego Farha. Farha tak mahu berjanji tapi cukuplah abang tahu bahawa dalam hati Farha ini, tak ada dah abang Lutfi. Abang dah berjaya ambil hati ini dan Farha sudah lama merelakannya. Farha harap sangat yang Farha dapat membalas cinta abang pada Farha. Bersyukurlah kerana Dia yang satu di atas sana menentukan jodoh kita. Dia yang satu jugalah pengatur hidup kita. Farha tak mahu berkeluh kesah lagi. Kerana Dia yang satu sudah memberikan Farha sinar kebahagiaan yang Farha inginkan selama ini.”

Faizal mengukir senyuman yang menggambarkan kebahagiaannya. Farhana tidak perlu melihat senyumnya, cukup melalui dakapan yang semakin erat. Bahasa tubuh lebih mudah difahami bukan?
     
tamat...        




Ulasan

  1. Pn. Endon ke...Pn. khadijah???
    Fariza ke...Fazira???

    BalasPadam
  2. @Anonymous
    saya amat terharu kerana saya ada pembaca prihatin seperti anda yang membantu mengesan kesilapan yang saya dah buat. sekalung penghargaan, anonymous! thanx.

    BalasPadam
  3. haha. sy xprasan pun slh ejaan tu.kekekke. cerpen ni baru asuk list cerpen kat link eh? hari tu cari tader pun...hehe. besttt!

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…