apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

28.11.10

Bukan niatku!

1
Sarah berlari dengan laju dalam kepekatan malam, tanpa tahu ke mana kaki dibawa. Apa yang dia tahu, dia mesti pergi. Kalau boleh, dia harus segera jauh meninggalkan segala-gala yang dia ada di belakangnya. Dia takut! Tidak pernah dia merasa setakut ini.

Tanpa sedar, dia sudah berada di pesisiran pantai. Angin malam yang berhembus, dingin bayu yang bertiup, kesejukan dan kedinginan seakan-akan tidak memberi kesan kepada dirinya. Dia masih berlari. Masih juga tertoleh-toleh ke belakang. Gundah hatinya, usah ceritalah, hanya dia yang tahu!   

Dalam pelariannya, dia terpandang sebuah khemah berwarna oren yang didirikan di satu ruang yang agak tersorok di antara batu-batu besar yang teguh dan kukuh. Kedudukannya agak tinggi kerana yang pasti ia tidak akan dimasuki air bila air laut pasang tengah malam nanti.

Demi terpandang khemah itu, Sarah tahu apa yang patut dia lakukan. Dia segera bergerak ke arahnya. Dia ingin masuk ke dalam khemah itu. Dia yakin, orang-orang yang mencarinya tidak akan menduga bahawa dia menyorok di situ. Dan, dia tahu, dia akan selamat di dalam persembunyian.  
.....................................
2

“Malam ni gelap pulak, ya, Amri?”

Sebaik mendengar kata-kata Tok Penghulu, anak muda itu tersenyum seraya mendongak ke langit. Sungguh, memang gelap pekat keadaan di atas sana. Bulan dilitupi awan dan bintang-bintang mungkin malu untuk menampilkan diri. Tiada apa yang terlihat. Malah sunyi dengan bunyi desiran ombak sahaja yang dapat didengari.

“Eh, kereta siapa tu, Tok? Bukan orang sini nampaknya?” Soal Amri kepada Tok Penghulu di sebelahnya. Kereta jenama BMW itu siapakah yang mampu memilikinya kecuali orang-orang dari bandar besar yang datang?

Tok Penghulu Shuib terpaksa memerhati betul-betul kereta yang terletak lebih kurang 40 m di hadapan.

“Oh..itu! Orang Kolumpo, Amri. Tadi, dia ke rumah aku, mintak izin nak pasang khemah di tepi laut ni hah!” Tok Penghulu memberitahu. Kepalanya tergeleng-geleng memikirkan kepelikan perangai anak muda zaman sekarang. Dah elok-elok ada rumah, boleh pulak nak tidur atas tanah? Tepi laut pulak tu? Boleh ke tidur bila dengar bunyi ombak menghempas ke pantai yang kuat di malam sepi ini?   

Amri ketawa bila Tok Penghulu bertanyakan soalan-soalan itu kepadanya.

“Apa pulak, Tok? Orang bandar memang begitulah mereka. Tilam empuk, rumah besar, bilik mandi macam toilet di hotel, tapi, semua tu tak dapat tenteramkan hati. Tu, bila dengar bunyi ombak, bunyi angin...baru boleh lena, Tok. Stress jadi orang kaya ni!” Amri mengomel.

Tiba-tiba kedua-duanya melihat seseorang berlari menuju ke arah mereka. Semakin lama, semakin jelas di mata bahawa gerak lenggok itu milik seorang wanita. Hati masing-masing bertanya. Perempuan mana pulak ni? Mengapa malam-malam buta berlari di tepi pantai bagai ada orang yang mengejar? Kenapa memilih ke sini?

Beberapa ketika kemudian, kedua-dua lelaki itu memperolehi jawapannya. Perempuan itu kelihatan terhendap-hendap dan bergerak perlahan-lahan mendekati khemah. Sebelum menghilangkan diri memasuki khemah itu, perempuan itu memanjangkan leher merenung arah dia datang. Sekelip mata, dia kemudian menyelinap masuk, meninggalkan dua lelaki ini bersama-sama andaian mereka.

2 ulasan:

  1. yeahhhhh kak sofi ada cite baru... next kak ...

    BalasPadam
  2. nnt kak sofi sambung lagi

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.