apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

29.11.10

Bukan niatku! 5

Perasaan cinta ini semakin membara. Dia cuba menidakkan namun semakin ingin melupakan, semakin dia gagal menghilangkan wajah itu daripada ingatan. Dia tahu lelaki itu sudah beristeri malah sekarang ini, cik puan Azrina sering benar datang, eh bukan, bermastautin, di pejabat ini. Pagi hingga petang kadang-kadang membawa ke malam, dia bertunggu bertangga di sini. Yang peliknya, dia akan duduk di atas sofa di bilik rehat. Dia tidak pula duduk di dalam bilik bos. Musykil sungguh Sarah memikirkan kelakuannya. Sama seperti dia kehairanan melihat cara encik Farouq melayan isterinya. Tidak langsung berciri romantika.

“Kamu teringatkan siapa senja-senja begini, Sarah?”

Soalan ibunya, Mak Yon, mengembalikan diri ke alam realiti. Melihat seraut wajah separuh abad ibunya, ingatan lampau itu terimbas semula.

Malam itu malam kedua dia berada di kampung. Dia ada 5 hari lagi untuk menghabiskan percutian semester universiti bersama-sama dengan ibunya. Bukan selalu dapat balik ke kampung nelayan di pinggir pantai Mersing itu. Apatah lagi, tempat belajar nun jauh di UiTM Arau.

Semalam, mereka berdua beranak berbual-bual hingga dinihari. Dia dengan manja tidur di atas ribaan ibunya. Bagaimanapun, malam itu, emaknya dijemput oleh abang Ayob untuk pergi ke rumah lelaki itu. Isterinya, kak Bedah terjatuh di dalam bilik air dan kakinya terseliuh. Abang Ayob datang untuk meminta tolong emak mengurut kaki isterinya yang sudah membengkak. Mak Yon memang pandai mengurut. Dia juga biasa menjadi bidan terjun.

Entah mengapa, hati berasa tidak sedap sejak emaknya pergi. Rumah separuh papan itu sudah berkunci dengan elok namun dia masih diburu ketakutan. Bagaikan ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Dan, jangkaannya tidak meleset. Pada jam 10 malam, ada orang mengumpil pintu dapur. Dia yang sedia takut terus mencari tempat persembunyian.

Ada dua orang lelaki yang masuk. Dia tidak kenal mereka. Dia tidak cam. Mungkin dari kampung seberang kut, fikirnya. Nampak macam budak sekolah sahaja. Jadi, tanpa berfikir panjang dia telah menjerkah mereka. Malangnya, sebaik terpandangkan dia, lain pula yang terjadi. Hilang niat untuk mencuri. Sebaliknya, tubuh Sarah yang mereka ingini. Mujurlah Sarah lebih pantas. Pengalaman menjadi ratu pecut di sekolah dan di universiti, digunakan untuk melepaskan diri.          

Di dalam pekat malam, dia berlari sambil tertoleh-toleh ke belakang. Sehinggalah kakinya membawa dia ke khemah milik encik Farouq. Dia menonong masuk. Tidak pernah dia terfikir, ada seorang lelaki sedang enak tidur di dalam khemah itu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk mengganggu. Kerana, waktu itu, dia hanya memikirkan dirinya. Memikirkan keselamatannya.

Dia baring sambil mengerekot. Dia kedinginan. Namun baru hendak menarik nafas kelegaan, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu menjalar di atas kakinya. Dia menjerit kerana berasa geli. Dan, pada ketika itulah, lelaki itu terjaga lalu menyalakan lampu suluh. Demi melihatnya, encik Farouq terus melontarkan kata-kata cemuhan tanpa sempat dibalas oleh Sarah.

“Seronok ke dapat bekerja dengan si Farouq tu?”  soalan ibunya mengganggu kenangan. Terlontar jauh kesemuanya.

“Seronok! Tapi, rupa-rupanya, dia dah kahwin, mak!” balasnya.

Mak Yon mengerutkan dahi. “Amri tak cakap pun.” Ucapnya keliru.

“Alah, bukan semua benda abang Amri tu tahu, mak.” kata Sarah.

“Tapi, dah alang-alang dia tu menolong kamu, susah payah mencari maklumat tentang si Farouq yang langsung kamu tak kenal, kenapa perkara mudah macam tu boleh pulak terlepas pandang?” bebel ibunya. Dia risau dengan sikap Sarah. Dari kecil, kalau Sarah mahukan sesuatu, akan dicuba mendapatkannya. Tidak boleh tidak! Apakah kini, Sarah masih begitu. walau encik Farouq itu suami orang, Sarah tetap mahukan lelaki itu?

“Tak apalah, mak. Nampaknya, encik Farouq ni bukan untuk Sarah, ya, mak? Biar ajelah. Azam Sarah sekarang ni ialah, Sarah nak kerja elok-elok di situ."

Mak Yon bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata Sarah itu. Tidak tercapai akalnya bahawa Sarah sanggup mengundur diri. Namun dia bersyukur. Amat bersyukur!

"Oh ya, mak. Abang Amri nak kahwin. Bulan 3, kalau tak silap hari Ahad, 10 haribulan. Mak datanglah KL, tidur rumah Sarah. Kak Aya pun cakap dia dah rindu sangat pada emak.” Sarah mengubah tajuk perbualan. 

"Mak tahu. Amri jemput semua orang masa majlis tahlil di masjid hari tu. Kamu tahu, Sarah, bakal isteri dia kerja di pejabat Agama juga. Comel budaknya. Makcik Liah, isteri Tok Penghulu yang beritahu. Alah, mereka tu kan emak, bapak angkat si Amri tu? Diorang pergi sama meminang budak tu tempohari." panjang lebar Mak Yon memberitahu anaknya. 

Sarah hanya tersenyum. Bahagianya orang yang cintanya berbalas. Dia? Usah kata hendak dibalas, encik Farouq tahu pun tidak. Entah sampai bila harus ditahankan perasaan ini? Eh, bukankah tadi dia cakap dia hendak melupakan lelaki itu? Makk...kenapa berbolak-balik perasaan ini?

Tak.... aku tidak akan sekali-kali membiarkan diri hanyut di laut cinta yang tidak berpenghujung! Aku mesti melupakannya! Mesti!
..........................

2 ulasan:

  1. yes sarah.. that the spirits... jangan cpt kecewa kerana cinta..

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.