apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

28.11.10

Bukan niatku! 2

3

Tiba-tiba satu jeritan halus kedengaran diikuti dengan suara garau seorang lelaki mengaduh, kesakitan. Beberapa detik kemudian, perempuan itu keluar daripada khemah dengan keadaan kalut. Diikuti oleh satu lagi gerakan yang hampir merobohkan khemah itu.

“Siapa kau? Apa kau buat masuk dalam tempat tidur aku? Perempuan tak malu! Perangai tak senonoh! Dah kemaruk sangat ke?” Lelaki itu mengamuk, menghambur kemarahan kepada gadis yang mengganggu kedamaiannya. Gadis yang mengganggu tidurnya yang lena. Gadis yang kini menampar kuat pipinya!

“Tu, sebab mulut awak tu kurang ajar sangat! Saya dah cakap yang saya tak sengaja, kenapa tak mahu percaya? Saya takut, saya lari dari orang yang mengejar saya, saya nampak khemah ni, sebab itu saya masuk. Saya cuma nak berlindung. Mana saya tahu ada orang di dalam?” Sarah membela diri.

Irham Farouq mengusap pipi yang baru sahaja dilempang. Tidaklah sesakit mana namun keberanian gadis ini meletakkan jari ke pipinya membuat dia terpana seketika. Hati yang hangat menjadi semakin panas.

“Nak berlindung, konon! Entah-entah, kau sengaja nak perangkap aku, kan? Maklumlah, aku ni lelaki macho, datang dari KL, memandu kereta besar.... kalau kita ditangkap khalwat, tentu kau akan paksa aku kahwin dengan kau, kan?” bidasnya sesedap rasa.

Kali ini, dia sudah bersedia. Tangan yang ingin menamparnya buat kali kedua berjaya ditangkap. Dia kemudian menolak tubuh Sarah sehingga gadis itu jatuh terduduk di atas pasir.
“Kau ni sama aje dengan perempuan-perempuan lain, tahu! Murah! Kau nak duit sangat, kan?” Farouq segera mengeluarkan dompet dari kocek belakang jeansnya lalu mengeluarkan kepingan-kepingan not RM50 dan membalingnya di wajah Sarah. “Ambil! Guna duit tu untuk beli mana-mana jantan yang nak tubuh kau tu!”

Menitis air mata Sarah mendengar penghinaan itu. Amri dan Tok Penghulu yang menyaksikan lakonan itu turut tergamam. Semakin tergamam bila melihat lelaki itu menonong menuju ke arah keretanya. Begitu tergesa-gesa dia hendak meninggalkan tempat itu sehinggakan khemah pun tidak dipedulikannya. Malah kehadiran dua lelaki yang menjadi saksi, tidak disedarinya. Yang Farouq tahu, dia mesti pergi dari situ. Dia tidak mahu ditangkap khalwat. Dia tidak rela!
.........................

4

Bangunan yang berdiri gagah di hadapannya direnung. Pandangan tertumpu kepada nama yang tertera. “Hayat Prints Sendirian Berhad.” Mata dituntas pula kepada kad nama yang ada dalam genggaman. Memang tidak salah lagi. Dia berada di tempat yang betul.

Sudah lama dia ingin ke sini namun dia rasa berat hati. Walau banyak yang ingin dia katakan kepada lelaki itu, dia masih belum berani bersemuka. Dia bimbang lelaki itu masih mengenalinya. Namun, kata-kata perangsang dari Amri memberi dia kekuatan.

“Sarah beranikanlah diri tu. Cuba berterus terang dengan dia. Saya yakin, dia akan faham.”

Entah ya, entah tidak. Lelaki itu bukan seorang yang mudah bertolak ansur. Sarah merasakan bahawa bukan mudah untuk mendekati lelaki yang bernama Irham Farouq bin Zawawi, pengurus merangkap pemilik syarikat percetakan di hadapannya ini. Ketegasan lelaki itu menakutkannya tetapi ketegasan itulah yang membawa dirinya ke sini. Ketegasan itu telah merantai hatinya.

Ya, dia asyik teringat. Dia asyik terkenang. Ada rindu! Ada rasa yang tidak pernah dialami selama ini. Dan, dia sudah bertekad. Sebaik dia menamatkan pengajiannya, dia akan mencari lelaki ini. Dia akan mendekati. Akan cuba membuat lelaki itu  jatuh cinta kepadanya kerana sejak kejadian malam itu, dia tahu, hanya lelaki ini yang layak memiliki hatinya.   

4 ulasan:

  1. next entry plsss..
    sesedap rasa jer mengorder..hehehe

    BalasPadam
  2. ala sian sarah... salah faham yg tak disengajakan.. lagi kak

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.