Langkau ke kandungan utama

Tak akan pernah tahu

Kawan-kawan, mungkin ada di antara anda yang tidak puas membaca cerpen ini apabila aku masukkan ia secara bersiri. so, di cni aku masukkan keseluruhan cerpen. kenapa? 
1. sbb aku nak TAPT diabadikan sbg satu cerpen bukan cerpen bersiri. 
2. aku nak beritahu anda bahawa cerpen ini aku dedikasikan kepada pengidap SLE di seluruh dunia amnya, dan khas untuk anak keduaku, Nurul Ashikin yang didiagnos sebagai pengidap SLE pd Oktober 2009. 
Ada yg bertanya, org SLE boleh kahwin tak? jwbnya boleh. malah boleh ada anak pun. penyakit keturunan ke? No. dia dtg mcm ribut.... tak ada sejarah dlm keluarga. makan ubat? ya, berterusan. berapa lama? entah? Allah Maha Mengetahui. 
Jangan jemu, ya! 

1
Aku sedih bila melihat dia sedih. Bila dia macam nak menangis, aku yang terlebih dahulu hujan. Basah sapu tangan yang dia hulurkan padaku terkena rembesan air mata yang tak mahu berhenti. Tapi yang geramnya, bila aku beria-ia menangis, dia akan ketawakan aku. Dia bilang, “Ika, siapa yang putus cinta ni? Kau ke, aku?”

Aku termalu sendiri.

Selalunya, begitulah. Aku akan menjadi pendengar yang baik setiap kali dia bercerita. Hmm, wajahnya cukup ceria saat dia jatuh cinta. Aku suka dengar dia ketawa. Jelas kebahagiaan itu kelihatan di wajahnya.

Siapa dia? Siapa pula aku?

Namanya Nazmi Syazwan bin Iskandar. Umurnya 33 tahun, tua 5 tahun daripadaku. Kerja? Dia cikgu. Aku pun sama. Kami mengajar di sekolah yang sama. Nama sekolah? Biarlah rahsia. Tapi, dia cikgu Bahasa Melayu. Aku mengajar Bahasa Inggeris. Oh ya, namaku Syafika. Nur Syafika binti Idris.

Nazmi orang tempatan. Dia memang berasal daripada tempat ini. Dia anak sulung daripada 7 beradik. Ayahnya seorang kerani sementara ibunya seorang suri rumah. Sebagai anak sulung, tanggungjawab Nazmi berat. Sejak bekerja, dia banyak membantu ayah dan ibunya untuk menyara keluarga. Yang bagusnya, Nazmi tidak pernah merungut.

“Itu tanggungjawab aku sebagai anak sulung!” dia sering memberitahuku begitu.

Aku? Aku orang Ampang. Keluargaku? Ayahku guru Sains. Ibuku pula seorang jururawat. Sekarang dah berpangkat bidan di Hospital Ampang Puteri. Adik beradik? Hmm, ini yang menyedihkan sebab aku anak tunggal. Manja? Tentulah! Kata ayah, akulah racun, aku penawar hidupnya. 

Sejak aku mula ditugaskan di sini, aku menginap di kuarters guru. Sewaktu kami datang melapor diri kira-kira 3 tahun dahulu, aku datang bersama-sama 3 orang lagi guru perempuan. Tapi kami tak setuju angin. Awal-awal lagi aku sudah memberitahu mereka yang aku hendak duduk di kuarters. Senang, lagipun keselamatan terjamin. Tapi mereka tak mahu. Kata mereka, sayang aje. Rugi duit elaun rumah dan cola. Jadi, aku pun dianggap sebagai kera sumbang. Duduk menyendiri sementara mereka menyewa di luar. Tidak mengapalah. Aku tak kisah!

Bagaimana sejarah aku dan Nazmi bermula? 

Tak ada sejarahnya. Aku awal-awal lagi dah mengelak dia. Masakan tidak! Dalam bilik mesyuarat, ketika aku diperkenalkan oleh Tuan Pengetua, dia yang lebih-lebih bertanya. Miangnya bukan main! Segala tentang aku ingin diketahuinya. Tiap kali dia bertanya, semua orang di dalam Bilik Gerakan akan ketawa dan kerana sakit hati, aku hadiahkan sebuah jelingan padanya. 

"Kalau awak nak tahu, dialah 'playboy' terkemuka di sekolah ni. Kata orang putih, 'The most eligible bachelor', hah, itulah gelaran kami pada dia. Awak kena hati-hati sikit dengan dia ni. Kena 'ngap' dengan dia, susah awak nanti!" Cikgu Dian memberi amaran kepadaku. 

Jadi, sebaik aku meninggalkan bilik mesyuarat, aku bertekad untuk menjauhi guru lelaki yang bernama Nazmi Syazwan itu. Malangnya nasib aku, rupa-rupanya, di bilik guru, aku duduk bertentangan dengannya. Puas aku mencari tempat kosong yang lain, tak jumpa. Jadi, mahu atau tidak, aku pun duduklah di situ. 

Sewaktu aku sedang mengemaskan meja, dia datang bersama-sama sekeping cermin.

"Bangun!" Arahnya padaku. 

Aku akur. Aku melihat sahaja dia meletakkan cermin itu di atas mejaku.  

"Err, cikgu....." Tergagap-gagap aku memanggilnya, ingin bertanya mengapa dia perlu meletakkan cermin itu di situ. 

"Sebab, aku pecahkan cermin di meja kau tu tahun lepas." ringkas Nazmi menjawab. 

"Berapa saya kena bayar cikgu ni?" tanyaku.

"Belanja aku makan tengah hari di Restoran Minang, karang." balasnya girang. 

Huh, kalau dah memang dasar buaya darat, kan? Gatal tetap gatal. 

"Maaf, ya. Saya tak boleh balas cara macam tu. Saya bayar 'cash' aje! Berapa?" 

Dia merenungku tajam. "Jual mahal, ek?" Dia sedikit berrbisik. 

Aku tersengih, sengaja ingin menyemarakkan api kemarahannya. "Saya tak jual apa-apapun, cikgu. Saya datang sini jadi cikgu, macam cikgu. Bukan nak jadi jurujual." balasku sinis. 

Pipinya merona merah. Matanya menjegilku. Agaknya, itulah kali pertama dia kehilangan kata-kata, kut. Tapi, si Nazmi Syazwan ni kemudiannya terus tersengih padaku. 

"Whatever!" bisiknya dan terus meninggalkan aku di situ. 
...........................................
2
Jadi cikgu baru memang jerih. Kenapa? Korang nak tahu tak? Boleh dikatakan, nama kami yang baru mula bertugas ni, ada di semua mukasurat yang terdapat di dalam Buku Takwim. Okey, sebelum memulakan sesi baru persekolahan, sekolah-sekolah akan mengagihkan tugasan guru kepada 3 bahagian; Kurikulum, Ko-kurikulum dan Hal Ehwal Murid. Bila aku merujuk dan mencari nama Nur Syafika binti Idris, wah... punyalah panjang senarai tugas dan tanggungjawabku?

Aku ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani. Okeylah tu! Lepas tu dilantik menjadi setiausaha dalam ke dua-dua panitia. Okey juga! Menjadi Guru Penasihat Persatuan Bahasa yang ketuanya ialah si mamat buaya tu. Hmm... Jadi guru Persatuan Bola Jaring, Guru Olahraga, Guru Media. Guru Tingkatan 3K2 pulak. Rasa nak tersembul biji mata aku melihat senarai tugasan itu. Memang beginikah nasib guru baru?

“Memang macam tu, dik.” Cikgu Wati tersenyum lebar bila aku bertanyakan soalan itu kepadanya. “Bukan apa! You all kenalah mencari pengalaman banyak-banyak. Sebab itu bukan mudah jadi cikgu ni. Semuanya kita kena tahu, jadi cara terbaik ialah dengan memegang semua jawatan penting di dalam kelab, persatuan, HEM. Redha ajelah!”

Aku rasa tersindir. Memanglah aku redha, Kak Wati oi. Dan demi tugas, tentunya aku akan memberikan yang terbaik. Namun sesekali aku rasa hendak marahlah juga. Mentang-mentanglah baru bertugas, semua hendak disuruh aku membuatnya. Ada seorang guru perempuan ni, orang lama, veteran. Tiap kali mendapat surat ‘relief’ bermakna akulah yang kena mengambil alih tempatnya. Kadang-kadang aku sampai tak sempat hendak makan. Tapi, aku akur. Tak sabar hendak menunggu tahun yang baru. Hmm....

Si Nazmi pula nampaknya seolah-olah berdendam dengan aku. Sejak aku menolak pelawaannya, dia banyak membuliku. Bila dia nampak aku hendak pergi ke kantin, dia mesti menyuruh aku belikan dia makanan dan minuman. Lepas tu, bukan tahu hendak membayar balik.

“Cikgu, dalam buku 555 ni, saya dah kumpulkan hutang cikgu pada saya, tahu. Tolong bayar!” pintaku pada suatu hari.

Nazmi membuka buku kecil itu. Bulat matanya memerhati. Mahunya tidak. Sepanjang 3 bulan aku kumpulkan, harga makanan dan minuman tersebut mencecah RM240. Dia kemudian selamba memulangkan buku itu kepadaku.

“Cukup tahun nanti aku bayar.” Katanya.

Geramnya aku!

“Mana boleh? Buatnya cikgu mati esok, macam mana? Terawang-awang roh cikgu, tahu tak?” marahku.

Aku ingatkan dia hendak marah sebaliknya boleh pula dia gelak.

“Kau ni kan, Cikgu Nur Syafika.....? Mulut kau tu memang laser! Sedap-sedap aje kau mendoakan aku mati, ya? Tak apa, mulai esok, biar aku belanja kau makan di kantin. Kita makan sama-sama, aku bayarkan untuk kau. Cukup RM240, kau bayarlah sendiri. Camne?”

Laju-laju aku menggelengkan kepala. Cadangan itu tidak bernas langsung. Makan berdua? Tak kuasa! Bertambahlah merebaknya gosip panas tentang kami berdua nanti. Sekarang inipun sudah macam-macam yang aku dengar. Cuma kutulikan telingaku sahaja. Malas mengiyakan, apatah lagi menidakkan. Sesuatu yang aku pelajari di sekolah ini, ialah, kalau semua perkara hendak diambil pusing maka kurus keringlah jadinya. Bersikap berdiam diri adalah yang terbaik. Dan, kalau boleh dielak, itu lagi bagus!

Dia ni pun satu. Semua cikgu perempuan bujang hendak dibelanja. Alah, bukan aku tak tahu. Kawan-kawan guru suka bergosip. Anak murid pun sama. Tiap hari ada sahaja cerita tentang Nazmi Syazwan. Dia keluar dengan siapa, naik apa, ke mana, semua dalam pengetahuan mereka. Jadi, aku rasa, aku tidaklah perlu menempelkan diri untuk dijadikan koleksinya, kan?

“Kenapa kau ni susah sangat aku nak dapat?”

Soalannya mengejutkan diri ini. Wajahnya kurenungi.

“Kau asyik menolak aje bila aku ajak pergi ke mana-mana. Kenapa? Kau ingat aku ada Aids?” tanya dia penuh ketegasan.

Aku ketawa. “Cikgu ada Aids ke?” usikku.

Air wajahnya berubah. Dia mendekatkan dirinya padaku. Takut aku melihat wajahnya ketika itu.

“Kalau aku ada Aids, dah lama aku ambil pisau, torehkan jari aku, torehkan jari kau, lepas tu aku letak darah aku dalam luka kau tu. Gadis sombong macam kau memang elok diajar begitu.”

Amboi, amboi, bukan main celupar mulut dia. Sakit hati aku mendengar kata-katanya tadi. Tanpa sedar, aku baling buku teks English Form 3 ke mukanya. Gedebuk! Padan muka dia! Kutuk aku lagi!

Aku malas melihat apa terjadi kepadanya. Hatiku panas. Aku keluar untuk ke Pusat Sumber. Di PSS ada pendingin hawa. Mudah-mudahan hatiku akan sejuk di sana.
.......................................
3
Cerita tentang angin puting beliung yang ada padaku sudah tersebar luas. Ada yang mengucapkan syabas, tidak kurang juga yang menyindir. Ada juga yang mengucapkan tahniah. Aku hanya mampu tersenyum. Untuk masuk ke bilik guru? Tak berani aku! Malah, kalau aku ternampak kelibat Nazmi, cepat-cepat aku sembunyikan diri. Bukan takut! Sekadar berhati-hati. Yalah, buatnya dia pulak membaling muka comel aku ni dengan buku teks Bahasa Melayu? Tak ke jatuh saham aku nanti?

“Assalamualaikum, cikgu.”

Aku menoleh ke muka pintu. Sekarang ni, aku banyak menghabiskan masaku di Makmal Komputer. Jadi, bila ada murid menyapaku, terkejutlah jugak. Tambahan pula, aku tak cam budak lelaki ini. Siapa dia?

“Cikgu tak jawab salam saya. Berdosa tahu!”

Ewah! Cara dia bercakap sebiji sama macam si Nazmi. Hisy, kenapa pulak nak ingatkan dia tu? Bukankah kerana dia aku menjadi perantau sepi ini? Asyik membawa diri jauh daripada bilik guru?

“Waalaikumsalam. Hah, saya dah jawab salam awak. Nak apa?” soalku penuh ketegasan. Itu pesan ayahku. Menjadi guru mesti tegas, kalau tidak nanti kepala akan dipijak oleh murid.

“Betullah cakap abang saya. Cikgu ni memang sombong. Maklumlah orang KL. Dah tu ajar Bahasa Inggeris pulak. Dalam kelas pun asyik cakap orang putih, bukan peduli anak murid faham ke tidak?”

Memang mencari nahas budak ni. Kenal pun tidak, senang-senang dia mengkritik aku. Ajar dia pun tidak, tetiba aje dia kutuk aku kaw kaw. Dia ingat dia tu siapa? Nazir-nazir pelawat sekolah? Atau dia sedang isi borang prestasi aku, sedang mencatat markah? Grr...geram!!

Akupun berdiri, lantas bercekak pinggang di hadapannya. “What is your brother’s name? What class is he in? Do I teach him?”

Hah, kan dah bulat mata dia pandang aku? Lepas tu, terus menggaru-garu kepala. Sah! Mesti dia tak faham apa yang aku cakap.

“Err, my brother teacher this school. He....he... suruh bagi errr.... letter ni pada cikgu.”

Sebaik dia meletakkan sampul surat berwarna biru di tapak tanganku, budak lelaki itu terus membuka langkah seribu. Agaknya, saat itu, dia mesti mengakui bahawa benarlah khabar angin yang didengarinya. Tentu sahaja akan tersebar di seluruh sekolah bahawa akulah singa betina dan bakal menyandang jawatan guru disiplin tidak lama lagi. Huhu..

Okey, buat pertama kali dalam hidup, aku dapat surat. Memang sesuatu yang tidak terduga. Hai, siapalah anak murid yang dah balik ke zaman / era 80–an ini?

Sebaik sampul itu terkoyak, bau semerbak harum menyentuh hidungku. Hmm...wanginya! Aku pun terus tersenyum, menyangka bahawa aku sudah ada murid yang menjadi ‘secret admirer’. Mestilah seronok! Sekurang-kurangnya terbukti sudah bahawa untuk mempunyai peminat, tidak semestinya aku menjadi penyanyi, pelakon, penulis ataupun pelawak. Jadi cikgu pun boleh! Kan?

‘Ke hadapan Cik Nur Syafika binti Idris. Sampai bila kau nak lari? Sampai bila nak menyorok? Dah buat salah, tahu pula takut, ya? Lepas kau baca surat ni, kau mesti datang ke bilik guru dan duduk di tempat kau seperti biasa. Kalau tidak, nanti masa perhimpunan pada hari Isnin depan, aku umumkan di hadapan semua murid bahawa kau baling aku dengan buku sebab kau cemburukan aku yang rapat dengan murid-murid perempuan. Dan, aku akan cakap yang kau cemburu sebab kau dah jatuh cinta pada aku. Yang Benar...Kau tentu kenal aku!”

Kalau korang yang dapat surat tu, apa korang buat? Aku? Menangislah! Apa lagi?

Terhendap-hendap aku ketika ingin masuk ke dalam bilik guru. Bimbang dia ada di tempatnya. Bila tempat duduknya kosong, aku segera melepaskan nafas. Fuhh, lega! Dia ada kelas, kut, fikirku.

Banyak mata yang merenungku. Cikgu-cikgu lelaki tersengih-sengih. Agaknya mereka sedang berfikir dan menimbang-nimbang untuk tidak menggangguku di lain kali. Hisy, tentulah mereka bimbang, kan? Nanti entah apa pulak akan kulakukan. Cikgu-cikgu  perempuan seperti biasa, selamba sahaja. Cuma mungkin yang muda-muda dan belum kahwin marahkan aku. Maklumlah, kini, hidung lelaki pujaan mereka sedang terluka.... Nasib baik hidung. Kalau hati? Macam mana?

Ketika aku mengatur langkah ayu dan ingin duduk dengan santun, Nazmi Syazwan Iskandar memasuki bilik. Dalam terkesima, wajahnya kuperhatikan. Ada plaster merentasi hidungnya. Itu saja, tak adalah teruk sangat, fikirku.

Kini dia sedang berdiri tercegat di mejanya. Aku tahu, dia sedang memandangku. Tentu dia masih marah. Yalah, punya lama dia berdiri tanpa suara... Ataukah aku sudah membisukan dirinya dengan balingan itu? Risau pula rasa hati. Aku pun mendongak.

Sebaik sahaja aku melihat ke wajahnya, dia terus menjerit lantang,

“Assalamualaikum semua. Saya nak buat pengumuman. Dengan adanya Cikgu Nur Syafika di sini, bermakna, dia sudah bersetuju untuk menebus balik kesalahannya mencederakan saya. Dan dia dah berjanji akan belanja saya makan di kantin hari-hari mulai hari ini. Jangan jeles, ya!”  

................................................................
4
Esoknya, Nazmi sudah bersedia menantiku di tempatnya. Sebaik aku turun daripada kelas 3M, dia tersenyum simpul memandangku. Aku membalas, memberikan senyuman paling manis untuknya. Biar ternganga mulutnya dan masuk lipas... uisy, kesianlah pulak!

“You are waiting for me, right?” tanyaku.

“Lama dah! Dan, tolong jangan cakap orang putih dengan aku. Aku bukan anak murid kau!” balasnya.

Aku ketawa. “Oh, I forgot. Your english is not good. You are not from KL, you are just a kampung boy, right?”

Tanpa mengendahkan dirinya yang sudah bengang mendengar hujahku, aku terus meninggalkannya. Langkah kuatur menuju kantin. Seketika kemudian, dia sudah di sisiku, dan kami berjalan seiringan.

“Habislah kau hari ini, Ika. Jatuhlah saham kau sebab berjalan dengan aku. Tentu ramai cakap, kau dah masuk perangkap. Jerat aku dah mengena.” Bisiknya sambil ketawa-ketawa.

Aku hanya tersenyum kecil.

Di kantin, Nazmi dengan sifat ramahnya bergurau senda dengan makcik Saerah. Aku hanya mencelah bila perlu sahaja. Yalah, aku ni kan guru baru, masih lagi kekok dengan suasana luar bandar ini. Lainlah dia! Semua orang dikenalinya. Sebab itu dia menjawat jawatan Setiausaha PIBG. Kata kawan-kawan guruku yang lain, Nazmi akan menyandang jawatan itu secara tetap dan berpencen.     

Buntang mataku melihat pinggan Nazmi. Kalau boleh, dia hendak makan ke semua lauk yang makcik Saerah masak. Penuh membumbun pinggannya diisi! Mak aiii, dia ni nak makan ke nak melantak? Kutukku di dalam hati. Tapi, aku terpaksa bersabar.

Kami makan dalam suasana sunyi sepi. Aku memang tidak ada mood hendak melayannya. Sebab itu selepas 5 minit, dia pun diam. Alhamdulillah! Bolehlah aku makan dengan aman.

“Kau kira bilangan setiap butir nasi yang kau makan ke, Ika? Atau kau tak selera sebab aku? Sampai macam tu sekali kau tak sukakan aku?”

Soalannya aku dengar tapi aku tidak mampu menjawabnya. Kepalaku yang sedia sakit sedang berdenyut-denyut. Mataku pula terasa pedih. Kuletakkan belakang tangan di dahi. Rasa berbahang kulitku. Ah, sudah! Demamku datang kembali, nampaknya.

“Kau demam ni!”

Entah bila dia meraba dahiku, tak perasan pula. Tapi, bila aku mendengar suaranya yang cemas, aku rasa amat terharu. Keprihatinan jelas ditunjukkannya.

“Sejak bila kau demam?” dia bertanya padaku.

“Malam tadi, cikgu.” Balasku ringkas.

“You know what? With our students, we keep telling them that if they are sick, they do not have to come to school. But with us, it is a different matter, yes?”

Dalam keadaan yang tidak selesa inipun, aku mengaku terpaksa menunjukkan rasa kagum terhadapnya. Tuduhanku bahawa dia budak kampung yang tak pandai berbahasa Inggeris terpaksa kutarik balik. Tak kiralah sama ada dia hendak menunjuk, ataukah dia tidak sengaja bertutur dalam bahasa itu, aku akui sebutannya lancar dengan nahu yang betul. Hmm!

“Dah jumpa doktor?”

Alamak mamat ni... tak payahlah prihatin sangat. Aku rimas. Poyo betullah!

Aku bangun dalam keadaan tergopoh gapah dan itulah kesilapanku. Badanku, aku rasa melayang-layang. Tubuhku bagaikan terbang. Dan, perkara terakhir yang aku sedar ialah seseorang menangkapku bersama jeritan...

“Ika!!!”
........................................
5
Itulah permulaan kepada persahabatan kami. Kepada eratnya hubungan seorang lelaki dengan seorang perempuan sebagai sahabat karib. Siapa kata lelaki dengan perempuan tidak boleh berkawan? Siapa kata persahabatan antara lelaki dan perempuan akan berakhir dengan cinta? Tidak semestinya!

Bagaimana boleh jadi begitu? Biar aku cerita. Sebaik aku dimasukkan ke dalam hospital, Nazmi menelefon ibu dan ayahku. Bergegas mereka datang dari Ampang. Biasalah, ibu mana yang tidak cemas bila anak kesayangan dimasukkan ke hospital, iya tak? Ayah aku pulak memang seorang yang terlalu sensitif jika terjadi apa-apa pada diriku ini. Dialah yang menangis sakan. Dan dialah juga yang telah membuka rahsia tentangku kepada semua orang.

Ya, simpati yang melimpah ruah aku terima sebaik aku dibenarkan mengajar semula setelah bercuti sakit selama seminggu. Masing-masing datang dan bertanya tentang penyakitku.

“Sejak bila kau dapat penyakit SLE ni?” Tanya Cikgu Dian kepadaku. Belum sempat aku menjawab, dia menyambung pertanyaannya, “SLE tu apa? Bahaya ke? Apa tanda-tandanya?”

Nazmi kulihat merenung tajam diriku. Mungkin dia juga tidak sabar untuk mengetahui tentang penyakitku ini. Tidak puas agaknya mendengar penjelasan ayahku tempoh hari.

“Systemic Lupus Erythematosus (SLE) ialah penyakit auto-immune yang kronik. Puncanya tidak diketahui. Apa yang berlaku ialah badan pesakit membuat kuantiti protin yang banyak iaitu antibodi dan antibodi ni pulak bertindak ke atas tisu pesakit itu sendiri. Bahaya? Bahayalah jugak kut sebab SLE boleh merebak ke organ-organ dalam badan.” Aku menjelaskan.

“Tanda-tandanya? Simptom?” Cikgu Dian ialah cikgu subjek Biologi. Peneranganku tentulah penting baginya sebagai maklumat tambahan ketika dia mengajar nanti.

“Entahlah, kak. Yang saya tahu, semuanya bermula dengan rasa letih, lemah badan, kemudian demam. Tak lalu makan. Gusi berdarah. Macam tu aje. Tahu-tahu, dah tak larat hendak berjalanpun. Waktu pertama kali dimasukkan ke dalam hospital, tahap haemoglobin tubuh saya turun sehingga menjadi 4 sedangkan orang-orang yang sihat mempunyai tahap haemoglobin 14. Waktu tu, doktor nak masukkan darah pun tak berani sebab antibodi dalam tubuh saya ni asyik memecahkan sel darah merah. Semua tu mak dengan ayah yang cerita. Saya bukan sedarpun!” aku memberitahu.

“Dahlah tu, Dian. Bagilah Ika berehat. Kalau nak tahu lebih banyak lagi, pergi bukak internet dan cari perkataan lupus. Kau akan faham apa yang Ika tanggung sekarang.” Tegas Nazmi menegah Cikgu Dian daripada terus menggangguku. Aku berterima kasih atas keprihatinannya itu.

Sejak itu, Nazmi sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Kadang-kadang aku jadi rimas dengan sikapnya yang terlalu mengambil berat. Aku jadi benci bila semua aktiviti kegemaranku ditegahnya daripada melakukan. Aku angin satu badan bila segala-galanya dia cuba sekat. Aku marah!

“Kau tak ada hak menegah aku nak buat itu ini! Semuanya kau nak larang. Benci, tahu tak?” suara geramku beralun lantang. Ah, gasaklah! Peduli apa kalau orang lain dengar. Aku memang sudah tidak tahan dengan sikap dan perangainya!

Nazmi mengumpul nafasnya lalu berkata, “Kalau begitu, bagi aku hak itu!”

Aku menjegilkan sepasang mata. “Hak apa?” tanyaku, suaraku masih lagi di amplitud tertinggi.

“Aku nak kahwin dengan kau.”

Wajahnya kutatap. Memang jelas, dia bersungguh-sungguh ingin mengahwiniku. Wajahnya betul-betul serius.

Tapi, bagi aku, dialah lelaki paling bodoh di dalam dunia. Berkahwin kerana kasihankan aku? Tidak, aku tidak memerlukan rasa simpatinya. Dia tidak tahu apa yang akan dia tempuhi bersama-samaku. Dia tidak tahu bahawa aku perlu makan ubat setiap hari. Bukan setakat ubat, malah segala macam vitamin dan makanan tambahan juga. Dia juga tidak tahu bahawa tulangku sudah mereput. Keadaanku kini bagaikan wanita yang sudah menopous. Segala-galanya serba menurun.

“Ika? Aku serius ni! Aku dah lama jatuh cinta dengan kau, sejak kali pertama aku tengok muka kau dulu. Tapi, kau asyik menolak. Tapi, sekarang, aku harap kau faham yang aku hendak menjaga kau. Semua itu aku boleh buat kalau kita kahwin.”

Aku mendengus. Dia kuhampiri. Dengan tegas, aku berkata kepadanya,

“Aku tak perlukan seorang suami. Aku tak perlukan penjaga. Aku masih boleh hidup berdikari. Yang lebih penting, aku tak perlukan simpati. Dan, aku tak mahu Nazmi Syazwan Iskandar yang ini, yang serius dan susah hati memikirkan diriku. Aku tak suka Nazmi yang ini. Dia tak langsung menceriakan hidupku. Kalau kau kawan aku, jadi balik Nazmi yang suka mengusik, yang sentiasa ketawa dan si ‘playboy’ yang terkenal. Mana tahu kut-kut nanti kau akan bertemu jodoh dengan perempuan yang lebih sihat. Nazmi, kita hanya kawan, okey! Aku tak mahu hubungan yang lain!”
...............................................
6
Sudah 3 tahun kami berkawan dan sejak aku menolak permintaannya untuk berkahwin denganku, dia memenuhi semua hasratku. Dia kembali menjadi Nazmi yang suka mengusik. Dia sering ketawa bila aku bengang dengan perangai dan tindakannya. Dan, dia sering bertukar-tukar makwe. Bukanlah dia berniat hendak mempermainkan mereka, cuma, menurut katanya, semua perempuan itu tidak sesuai dengan jiwa halusnya.

“Piiraaahh...jiwa halus konon. Perangai punyalah kasar, mengaku lembut. Nyampes!”

Dia ketawa. Sampai berair matanya, seolah-olah lucu benar kata-kataku itu. Setelah reda, dia lantas membaling pemadam ke arahku dan berkata, “Kenapalah aku dapat kawan macam kau yang suka sangat mengutuk aku hah? Cuba-cubalah kontrol ayu sikit. Kasar-kasar begini, tak laku nanti, tahu!”

Kenapa ya, bila dia berkata begitu hatiku tiba-tiba rasa terhiris? Hati manusia memang beragam-ragam, kan? Dulu, bila dia kutuk aku, aku boleh terima malah aku lanyak dia balik. Tetapi sekarang, aku rasa sayu pula. Pelik perangaiku ini. Gangguan emosi apa agaknya?

Kehadiran Cikgu Alisa, guru baru yang ditempatkan di sekolahku, benar-benar mengubah hidupku. Aku mula merasakan kehilangannya sedikit demi sedikit. Perhatiannya tidak lagi kepadaku. Dia mula meninggalkanku. Dia sudah jarang menelefon. Dia sudah jarang duduk di bilik guru kerana tempatnya kini ialah di Bilik Persediaan Makmal Fizik, bersama-sama Cikgu Alisa. Aku jadi keliru dengan sikapnya.

“Nazmi, boleh tak kau temankan aku pergi pekan hari ini? Aku nak beli barang sikit.”

Peluang bertembung dengannya, aku gunakan untuk mengajak dia menemaniku keluar, sesuatu yang sudah agak lama tidak dilakukannya denganku.    

“Err...”

“Abang Naz, jadi tak temankan Lisa petang ni? Kata dah lama tak makan KFC?”

Entah dari mana si gedik ini datang, entah. Hah, kan...kan dah kena kutuk dalam hati aku? Kacau daun! Tapi, yalah, takkan nak marah pula. Nazmi suka dia. Apa hak aku nak sakit hati atau cemburu?

“Nak makan KFC, ya? Sedapnya....” aku bercanda, dengan harapan Alisa mahu mengajakku pergi bersama. Tentu aku tidak akan melepaskan peluang kalau dijemput. Malangnya, tidak dia, mahupun Nazmi, mempelawaku. Aduhai, hampa rasanya.

Kini, aku sudah mengerti isyarat hati. Perasaan yang selama ini aku tolak, datang menghampiri, di saat aku akan kehilangan dirinya. Rasa cinta yang tidak sepatutnya aku miliki kerana penyakit SLE ini, datang tanpa aku sedari. Rasa yang sudah terlalu lewat kehadirannya kerana saat ini Nazmi dan Alisa sedang hangat memadu asmara.

“Padan muka aku. Dulu masa dia hendakkan aku, aku jual mahal. Sekarang, bila dia dah jumpa dan bahagia bersama Alisa, baru tersedar bahawa aku perlukan dia dalam hidupku. Simpan sahajalah rasa cinta kau, Ika. Kau tak layak untuk lelaki sihat sepertinya. Pendam saja apa yang kau rasa. Jangan beritahu dia! Ya, dia tak akan pernah tahu isi hatiku.”

Dalam diam, borang pertukaran kuisi secara online. Aku ingin balik ke Ampang. Aku ingin duduk sebumbung dengan ibu bapaku. Mereka sudah terlalu lama kutinggalkan.

Nazmi? Arghh, biarlah dia!   
..............................................
7
Aku meletakkan beberapa jilid majalah Anjung Seri di atas meja. Niat di hati, aku ingin mencari dekorasi yang sesuai untuk bilikku. Ayah sudah berjanji untuk mengubahsuai bilik yang sekian lama tidak kuhuni bila aku kembali menetap di KL nanti.

Pusat sumber amat sunyi di hujung tahun begini. Pelajar-pelajar T3 sudah ramai yang tidak hadir ke sekolah selepas PMR. Malah ada yang sudah bekerja. Murid T4 pula sedang menghadapi peperiksaan Akhir Tahun. Begitu juga murid T1 dan T2. Murid yang bakal menduduki SPM kini sibuk dengan simulasi mereka.

Aku yang banyak mengajar T3 sedikit lapang sekarang. Selain mengisi ruang guru ganti, aku banyak menghabiskan masaku di sini. Yalah, kan! Hendak berbual dengan Nazmi, bayangnya pun sudah tidak kelihatan di bilik guru. Alah, biarkanlah! Dia pun bukan sesiapa dalam hidup aku ni. Hanya kawan, kan?  

Penyakitku? Alhamdulillah, seperti biasalah. Hari-hari, sebiji prednisolone perlu kutelan. Selagi doktor pakar tidak memberikan isyarat untuk aku berhenti memakannya, maka ubat itu adalah juadah bersama-sama sarapan pagiku setiap hari di samping vitamin dan segala jenis makanan tambahan lain.

Kadang-kadang sedih juga. Tertanya-tanya, mengapa aku dapat SLE ini sehinggakan aku takut untuk jatuh cinta dan sudahnya aku kehilangan lelaki yang aku suka. Namun aku segera sedar. Tak semua benda yang kita hendak, kita akan dapat. Buat apa menyesali takdir? Redha, itu yang lebih baik.

Entah dia datang dari mana, senyap-senyap, dia sudah menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Majalah yang banyak di atas meja, dikecamukkannya. Lagaknya macam orang yang hendak mencari fasal denganku.

Aku memandang wajahnya dan dia memandang aku. Sah! Memang dia sedang marah. Baik aku diam jelah, tunggu apa amukannya.

“Kau minta tukar tak bagitahu akupun. Kenapa?”

Owhh, itu rupanya yang dia anginkan. Ingatkan apa tadi.  

“Kau ada ke masuk dalam bilik guru sekarang ni? Tak ada, kan?” jawabku sinis sekali.

“Habis, kau dah tak boleh cari aku? Tak boleh telefon? Sms? Hendak seribu daya, Ika. Tapi tak tahulah aku kalau kau sengaja hendak pindah tanpa memberitahu aku.” Marahnya.

Aku diam, membenarkan kata-katanya. Apa guna menafikan? Memang aku tidak mahu dia tahu, tapi dia dapat juga menghidu perbuatanku. Entah siapa yang gatal mulut memberitahu kepadanya.   

“Kau marah aku?” tanya dia.

Aku mengerutkan dahi. Kepala kugeleng.

“Kau makin jauh dari aku, Ika.”

Terkejut aku mendengar keluhannya. Tapi kujawab perlahan, “Aku ada, masih di sini. Sentiasa di sini. Kau tu yang sibuk dengan buah hati.”

“Dah kau tak mahu aku, terpaksalah aku cari yang lain.”

Arghh, Nazmi sengaja menyakitkan hatiku.

“Habis tu, kau buat apa ke sini? Pergilah duduk di bilik dia.”

Entah kenapa dia naik hantu mendengar kata-kataku yang keras. Majalah di atas meja terus diselerakkannya malah ada yang jatuh ke atas lantai.

“Aku nak pergilah ni! Tak payah halau! Aku datang sebab nak bagitahu kau yang aku nak lamar Alisa. Dah tiba masanya aku fikirkan diri aku dan masa depan aku.” Katanya sambil bergerak meninggalkanku.

Aku sakit hati mendengar ayat terakhir itu. Apakah selama ini, sebagai sahabatnya, aku ini merupakan satu beban? Itukah maksud tersirat yang cuba dia sampaikan? Bahawa janjinya kepada ayah dengan emak untuk menjagaku selama ini menyebabkan dia tidak punya masa untuk memikirkan tentang diri dan masa depannya? Begitukah?

Aku kejar dia. Aku tarik dirinya kasar untuk memandangku. Aku sudah tidak peduli pada papan tanda bertulis ‘Senyap!’ Apa nak jadi, jadilah! Aku hendak mengamuk ni!

“Kau anggap aku beban, kan? Itu yang kau nak sampaikan pada aku? Nazmi, kalau kau nak kahwin, kau kahwin ajelah. Kenapa kau perlu ungkit budi, jasa, pengorbanan kau pada aku? Kau ingat aku ni apa? Patung yang tak bernyawa ke? Yang tak ada perasaan?”

Cikgu Wati menghampiri kami. Dia ialah guru PSS. Tentu sahaja dia merasa terganggu melihat kami bertegang urat.

“Weh, kalau nak kelahi, kat tempat lainlah. Nanti jadi skandal ni. Heboh satu sekolah pulak!” dia cuba berlawak.

Tapi aku sedang marah. Nazmi pun begitu juga. Tentulah tidak mendengar dan peduli pada Cikgu Wati.

Nazmi membetulkan baju yang sedikit renyuk akibat tarikanku tadi.

“Kau ada perasaan ke? Hah? Tak, kau memang tak ada perasaan, Ika. Kalau kau ada, kau mesti rayu aku supaya batalkan hasrat aku. Kau mesti menahan aku dan cakap....,

“Nazmi, tolonglah! Kau tak boleh kahwin dengan Alisa. Jangan! Kau milik aku! Aku cintakan kau. Tolong, Nazmi. Jangan tinggalkan aku. Aku perlukan kau. Aku cintakan kau.”

 Aku ternganga mendengar kata-kata yang sememangnya ingin kuluahkan, meniti keluar daripada bibir nipis Nazmi Syazwan Iskandar.
....................................

Akhir

“Ini apa?”

Nazmi membaling sekeping kertas yang sedikit renyuk ke mukaku. Mujur aku sempat mengelak. Kalau tidak? Aku tidak dapat menahan diri daripada tersenyum bila kenangan lama itu menerpa. Bagaimanapun, bila melihat ke wajahnya yang serius, aku terus membuka kertas itu. Entah apalah benda yang ditanya kepadaku dan apa agaknya yang menjadi misteri?

Hatiku berdebar. Rasa kenal pula tulisan yang bulat-bulat ini. Bukankah ini tulisan tanganku?

aku tak pernah mengerti yang terjadi
mengapa aku selalu menantimu
walau aku tahu kau takkan mahu

kau tak akan pernah tahu
betapa hancur hatiku
saat kau peluk dirinya
aku takkan rela walau kau bukan milikku

seharusnya kau mengerti
betapa aku mencintaimu
walau kau tak akan pernah tahu
akan kusimpan cinta ini selamanya

Mataku berkaca. Sekejap lagi, aku pasti menangis. Kalau Nazmi berkata sesuatu, aku tahu air mataku pasti berderai. Owhh, kenapalah aku lalai sangat sehinggakan kertas yang sudahku buang itu, ditemuinya? Kenapa?

Nazmi ketawa pula. Wah, suka betul dia setelah menduga aku begini. Suka benar dia setelah aku kehilangan kata-kata. Bahagianya dia menjelang perpisahan kami?

“Kau ketinggalan satu rangkap, Ika. Dengar!”

Dan, mataku buntang mendengar Nazmi menyanyikan baris-baris yang sengaja kutinggalkan.......

aku yang selalu untukmu
mencintaimu
kau tak pernah berikan kesempatan
untuk membuktikan isi hatiku

Kuseka air mata ini sambil membalas renungannya. Sambil membalas senyumannya. Bila dia mengulangi kata cinta itu kepadaku hari ini, aku tidak sanggup menolak lagi. Maafkan aku, Alisa. Maafkan aku mencuri bahagiamu, tetapi, Nazmi cintakan aku. Dari dulu sampai hari ini, cintanya tetap untukku. Aku tidak mahu menolaknya kerana kini aku menyintainya. Menyintainya dengan sepenuh hati ini.

“Aku tunggu kau 3 tahun lamanya, Nur Syafika. Dalam kesetiaan, aku menguji dirimu dengan kehadiran mereka. Bila kau sedikitpun tidak berkutik, aku lemah. Aku ingin menyerah, ingin mengalah, ingin menerima cinta Alisa tapi aku tak boleh membohongi diriku.”

Nazmi mendekatiku, merenung tepat ke anak mataku sambil membisikkan, ya, hanya untuk pendengaran aku sahaja sekali ini....

“Cinta aku hanya untuk kau seorang. Kau dah pahat nama kau kat dalam hati aku ni lama sebelum aku tahu kau sakit. Jadi, tak ada istilah cinta kerana simpati. Atau cinta kerana kasihan. Kau faham tak apa aku cakap ni, Ika?”

Hmm, kalau dah diri tu cikgu, soalan yang diajukan kepada kekasihpun bunyinya dah macam bertanya kepada anak murid.

“Kau faham tak apa aku a.k.a. cikgu cakap ni, Ika?”

“Anak murid faham, Cikgu Nazmi!”

Aik, kenapa Cikgu Wati mengekeh ketawa? Dan, Nazmi? Kenapa tengok aku macam tu? Siap cekak pinggang lagi?

Oops, tentu gara-gara apa yang di fikiran terlepas daripada bibir. Apa nak buat ni? Buat apa? Buat bodoh ajelah! Dan, aku pun tersengih kepada mereka.

“Err, nampaknya, aku kena batalkan pertukaran.” Kataku setelah kami duduk semula di kerusi. Dia di hujung sana, aku di hujung sini.

“Tak payah. Aku dah isi borang pindah tu. Aku ikut kau. Lagipun, alasan kita berdua kuat. Kau perlu dapat rawatan pakar di KL. Aku escort kau. Insya-Allah, kata Tuan Pengetua, dia akan luluskan dan panjangkan ke Jabatan dan Kementerian.”

Nazmi memberitahu bahawa semua orang sudah tahu hasratnya bila dia mengisi borang pertukaran itu 2 hari yang lepas. Alisa juga memahami perbuatannya dan sudah memaafkan. Tak ada apa-apa yang perlu aku risaukan.  

“Cuma, aku nak tahu satu perkara. Kenapa kau tolak cinta aku dulu? Kalau 3 tahun dulu kau terima, kita mungkin dah kahwin dan ada anak.” Nazmi mempersoalkan perbuatanku dulu.

Wajahnya kutatap. Hmm, memang dia punya wajah yang menawan. Rambut ikalnya tersisir rapi, hidungnya mancung, bibirnya kemerah-merahan dan nipis. Sekali pandang macam Robert, si pontianak tu. Dua kali pandang? Macam..... siapa lagi dialah! Nazmi!

“Ika,?”

3 tahun dulu, aku tidak cintakan Nazmi. Lagipun, masa tu, aku memang tutup pintu hati aku ni. Aku tak berani bercinta sebab penyakitku dalam kumpulan kronik. Tapi, sekarang aku dah sedar bahawa kami, orang-orang yang mengidap penyakit kronik juga berhak untuk kecapi bahagia. Berhak kahwin, dapat anak, disayangi dan dicintai. Aku ingin menjalani hidup yang bahagia bersama-sama dia, lelaki yang mengaku menyintaiku. Dan, kalau aku ditakdirkan pergi, harapanku agar dia berada di sisiku, menemani aku di hari-hari terakhirku nanti. Itu yang kumahu.    

Bila aku curahkan rahsia hatiku itu kepadanya, buat pertama kali, aku melihat sepasang mata Nazmiku yang nakal, berkaca. Dan, dia membisikkan padaku....

“Insya-Allah, abang akan menemani Ika sehingga ke akhir hayat kita nanti. Kematian itu pasti, sayang. Tapi, Ika kena ingat, tak semestinya Ika yang pergi dulu, kan?”

Aku bahagia. Mendengar bisikannya, aku merasakan akulah wanita yang amat bertuah. Aku bertekad untuk membahagiakan dirinya. Selagi aku diizinkan Allah untuk bernafas di bumiNya ini, selagi itulah aku ingin menjadi isteri Nazmi dalam suka dukanya, dalam remuk redamnya, dalam hilai tawanya. Dalam hidupnya!  

Ulasan

  1. sungguh menusuk hingga ke hati..mcm ade kaitan je ngn sy..sy ade epilepsy n ubat sntiasa kena amek.. takut nk brcinta..

    BalasPadam
  2. salam anonymous, jgn taku dicintai dan menyintai, allah maha adil. berserah pdnya

    BalasPadam
  3. best..ader mesej yg ingin disampaikan...
    gud job kak sofi

    BalasPadam
  4. As salam cg sofi...thank you so much for writing this story for SLE patient..Im SLE patient too.really appreciate ur writing...mudhan anak cg tabah menghadapi ujian ini...tolong pesan kat dia..jgn putus asa..she can get thru this wit Allah's will..insyaAllah n jgn ponteng makan ubat...btw masa nie dia ok ke?

    BalasPadam
  5. @amal
    thanx amal..and kak sofi harap amal pun cepat sembuh. anak kak sofi okey je alhamdulillah..

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum kak sofi, sepanjang saya x brp sihat ni, saya maraton cerpen2 akak. Suka bc karya2 lama akak..! <3

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks sudi baca my dear Nvel Addct. but you sakit apa ya? maaf kak sofi x tahu pun but anyway, kak sofi harap sgt you cepat sembuh.

      Padam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…