Langkau ke kandungan utama

Tak akan pernah tahu 3

Cerita tentang angin puting beliung yang ada padaku sudah tersebar luas. Ada yang mengucapkan syabas, tidak kurang juga yang menyindir. Ada juga yang mengucapkan tahniah. Aku hanya mampu tersenyum. Untuk masuk ke bilik guru? Tak berani aku! Malah, kalau aku ternampak kelibat Nazmi, cepat-cepat aku sembunyikan diri. Bukan takut! Sekadar berhati-hati. Yalah, buatnya dia pulak membaling muka comel aku ni dengan buku teks Bahasa Melayu? Tak ke jatuh saham aku nanti?

“Assalamualaikum, cikgu.”

Aku menoleh ke muka pintu. Sekarang ni, aku banyak menghabiskan masaku di Makmal Komputer. Jadi, bila ada murid menyapaku, terkejutlah jugak. Tambahan pula, aku tak cam budak lelaki ini. Siapa dia?

“Cikgu tak jawab salam saya. Berdosa tahu!”

Ewah! Cara dia bercakap sebiji sama macam si Nazmi. Hisy, kenapa pulak nak ingatkan dia tu? Bukankah kerana dia aku menjadi perantau sepi ini? Asyik membawa diri jauh daripada bilik guru?

“Waalaikumsalam. Hah, saya dah jawab salam awak. Nak apa?” soalku penuh ketegasan. Itu pesan ayahku. Menjadi guru mesti tegas, kalau tidak nanti kepala akan dipijak oleh murid.

“Betullah cakap abang saya. Cikgu ni memang sombong. Maklumlah orang KL. Dah tu ajar Bahasa Inggeris pulak. Dalam kelas pun asyik cakap orang putih, bukan peduli anak murid faham ke tidak?”

Memang mencari nahas budak ni. Kenal pun tidak, senang-senang dia mengkritik aku. Dahlah aku tak kenal dia. Ajar dia pun tidak, tetiba aje dia kutuk aku kaw kaw. Dia ingat dia tu siapa? Nazir-nazir pelawat sekolah? Atau dia sedang isi borang prestasi aku, sedang mencatat markah? Grr...geram!!

Akupun berdiri, lantas bercekak pinggang di hadapannya.

“What is your brother’s name? What class is he in? Do I teach him?”

Hah, kan dah bulat mata dia pandang aku? Lepas tu, terus menggaru-garu kepala. Sah! Mesti dia tak faham apa yang aku cakap.

“Err, my brother teacher this school. He....he... suruh bagi surat ni pada cikgu.”

Sebaik dia meletakkan sampul surat berwarna biru di tapak tanganku, budak lelaki itu terus membuka langkah seribu. Agaknya, saat itu, dia mesti mengakui bahawa benarlah khabar angin yang didengarinya. Tentu sahaja akan tersebar di seluruh sekolah bahawa akulah singa betina dan bakal menyandang jawatan guru disiplin tidak lama lagi. Huhu..

Okey, buat pertama kali dalam hidup, aku dapat surat. Memang sesuatu yang tidak terduga. Hai, siapalah anak murid yang dah balik ke zaman / era 80–an ini?

Sebaik sampul itu terkoyak, bau semerbak harum menyentuh hidungku. Hmm...wanginya! Aku pun terus tersenyum, menyangka bahawa aku sudah ada murid yang menjadi ‘secret admirer’. Mestilah seronok! Sekurang-kurangnya terbukti sudah bahawa untuk mempunyai peminat, tidak semestinya menjadi penyanyi, pelakon, penulis ataupun pelawak. Jadi cikgu pun boleh! Kan?

‘Ke hadapan Cik Nur Syafika binti Idris. Sampai bila kau nak lari? Sampai bila nak menyorok? Dah buat salah, tahu pula takut, ya? Lepas kau baca surat ni, kau mesti datang ke bilik guru dan duduk di tempat kau seperti biasa. Kalau tidak, nanti masa perhimpunan pada hari Isnin depan, aku umumkan di hadapan semua murid bahawa kau baling aku dengan buku sebab kau cemburukan aku yang rapat dengan murid-murid perempuan. Dan, aku akan cakap yang kau cemburu sebab kau dah jatuh cinta pada aku. Yang Benar...Kau tentu kenal aku!”

Kalau korang yang dapat surat tu, apa korang buat? Aku? Menangislah! Apa lagi?

Terhendap-hendap aku ketika ingin masuk ke dalam bilik guru. Bimbang dia ada di tempatnya. Bila tempat duduknya kosong, aku segera melepaskan nafas. Fuhh, lega! Dia ada kelas, kut, fikirku.

Banyak mata yang merenungku. Cikgu-cikgu lelaki tersengih-sengih. Agaknya mereka sedang berfikir dan menimbang-nimbang untuk tidak menggangguku di lain kali. Hisy, tentulah mereka bimbang, kan? Nanti entah apa pulak akan kulakukan. Cikgu-cikgu  perempuan seperti biasa, selamba sahaja. Cuma mungkin yang muda-muda dan belum kahwin marahkan aku, kut. Maklumlah, kini, hidung lelaki pujaan mereka sedang terluka.... Nasib baik hidung. Kalau hati? Macam mana?

Ketika aku mengatur langkah ayu dan ingin duduk dengan santun, Nazmi Syazwan Iskandar memasuki bilik. Dalam terkesima, wajahnya kuperhatikan. Ada plaster merentasi hidungnya. Itu saja, tak adalah teruk sangat, fikirku.

Kini dia sedang berdiri tercegat di mejanya. Aku tahu, dia sedang memandangku. Tentu dia masih marah. Yalah, punya lama dia berdiri tanpa suara... Ataukah aku sudah membisukan dirinya dengan balingan itu? Risau pula rasa hati. Aku pun mendongak.

Sebaik sahaja aku melihat ke wajahnya, dia terus menjerit lantang,

“Assalamualaikum semua. Saya nak buat pengumuman. Dengan adanya Cikgu Nur Syafika di sini, bermakna, dia sudah bersetuju untuk menebus balik kesalahannya mencederakan saya. Dan dia dah berjanji akan belanja saya makan di kantin hari-hari mulai hari ini. Jangan jeles, ya!”   

Ulasan

  1. hahhaha....
    klakar lak.....
    adeh...
    kcian ika.....

    BalasPadam
  2. bestlah cerita ini Sofi..
    Nazmi ini pantang dicabar
    ialah guru lain suka kat dia..
    tapi Ika tak lah pula;
    kemungkinan dia memang suka Ika
    cara itu sajalah boleh dia 'tackle' Ika..
    sambung lagi Sofi
    x sabar nak tahu perancangan Ika pula..

    "Ija"

    BalasPadam
  3. salam...
    epy, bacalah...
    anonymous (Ija), mmm dah sambung dah dan hrp sentiasa suka

    BalasPadam
  4. Gila lah nazmi ni
    hahaha
    pndai dia plan ek

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…