Luahan

apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

Aku sedih bila melihat dia sedih. Bila dia macam nak menangis, aku yang terlebih dahulu hujan. Basah sapu tangan yang dia hulurkan padaku te...

Tak akan pernah tahu 1

By Oktober 18, 2010

Aku sedih bila melihat dia sedih. Bila dia macam nak menangis, aku yang terlebih dahulu hujan. Basah sapu tangan yang dia hulurkan padaku terkena rembesan air mata yang tak mahu berhenti. Tapi yang geramnya, bila aku beria-ia menangis, dia akan ketawakan aku. Dia bilang, “Ika, siapa yang putus cinta ni? Kau ke, aku?”

Aku termalu sendiri.

Selalunya begitulah. Aku akan menjadi pendengar yang baik setiap kali dia bercerita. Hmm, wajahnya cukup ceria saat dia jatuh cinta. Aku suka dengar dia ketawa. Jelas kebahagiaan itu kelihatan di wajahnya.

Siapa dia? Siapa pula aku?

Namanya Nazmi Syazwan bin Iskandar. Umurnya 33 tahun, tua 5 tahun daripadaku. Kerja? Dia cikgu. Aku pun sama. Kami mengajar di sekolah yang sama. Nama sekolah? Biarlah rahsia. Tapi, dia cikgu Bahasa Melayu. Aku mengajar Bahasa Inggeris. Oh ya, namaku Syafika. Nur Syafika binti Idris.

Nazmi orang tempatan. Dia memang berasal daripada tempat ini. Dia anak sulung daripada 7 beradik. Ayahnya seorang kerani sementara ibunya seorang suri rumah. Sebagai anak sulung, tanggungjawab Nazmi berat. Sejak bekerja, dia banyak membantu ayah dan ibunya untuk menyara keluarga. Yang bagusnya, Nazmi tidak pernah merungut.

“Itu tanggungjawab aku sebagai anak sulung!” dia sering memberitahuku begitu.

Aku? Aku orang Ampang. Keluargaku? Ayahku guru Sains. Ibuku pula seorang jururawat. Sekarang dah berpangkat bidan di Hospital Ampang Puteri. Adik beradik? Hmm, ini yang menyedihkan sebab aku anak tunggal. Manja? Tentulah! Kata ayah, akulah racun, aku penawar hidupnya. 

Sejak aku mula ditugaskan di sini, aku menginap di kuarters guru. Sewaktu kami datang melapor diri kira-kira 3 tahun dahulu, aku datang bersama-sama 3 orang lagi guru perempuan. Tapi kami tak setuju angin. Awal-awal lagi aku sudah memberitahu mereka yang aku hendak duduk di kuarters. Senang, lagipun keselamatan terjamin. Tapi mereka tak mahu. Kata mereka, sayang aje. Rugi duit elaun rumah dan cola. Jadi, aku pun dianggap sebagai kera sumbang. Duduk menyendiri sementara mereka menyewa di luar. Tidak mengapalah. Aku tak kisah!

Bagaimana sejarah aku dan Nazmi bermula? 

Tak ada sejarahnya. Aku awal-awal lagi dah mengelak dia. Masakan tidak! Dalam bilik mesyuarat, ketika aku diperkenalkan oleh Tuan Pengetua, dia yang lebih-lebih bertanya. Miangnya bukan main! Segala tentang aku ingin diketahuinya. Tiap kali dia bertanya, semua orang di dalam Bilik Gerakan akan ketawa dan kerana sakit hati, aku hadiahkan sebuah jelingan padanya. 

"Kalau awak nak tahu, dialah 'playboy' terkemuka di sekolah ni. Kata orang putih, 'The most eligible bachelor', hah, itulah gelaran kami pada dia. Awak kena hati-hati sikit dengan dia ni. Kena 'ngap' dengan dia, susah awak nanti!" Cikgu Dian memberi amaran kepadaku. 

Jadi, sebaik aku meninggalkan bilik mesyuarat, aku bertekad untuk menjauhi guru lelaki yang bernama Nazmi Syazwan itu. Malangnya nasib aku, rupa-rupanya, di bilik guru, aku duduk bertentangan dengannya. Puas aku mencari tempat kosong yang lain, tak jumpa. Jadi, mahu atau tidak, aku pun duduklah di situ. 

Sewaktu aku sedang mengemaskan meja, dia datang bersama-sama sekeping cermin.

"Bangun!" Arahnya padaku. 

Aku akur. Aku melihat sahaja dia meletakkan cermin itu di atas mejaku.  

"Err, cikgu....." Tergagap-gagap aku memanggilnya, ingin bertanya mengapa dia perlu meletakkan cermin itu di situ. 

"Sebab, aku pecahkan cermin di meja kau tu tahun lepas." ringkas Nazmi menjawab. 

"Berapa saya kena bayar cikgu ni?" tanyaku.

"Belanja aku makan tengah hari di Restoran Minang, karang." balasnya girang. 

Huh, kalau dah memang dasar buaya darat, kan? Gatal tetap gatal. 

"Maaf, ya. Saya tak boleh balas cara macam tu. Saya bayar 'cash' aje! Berapa?" 

Dia merenungku tajam. "Jual mahal, ek?" Dia sedikit berrbisik. 

Aku tersengih, sengaja ingin menyemarakkan api kemarahannya. 

"Saya tak jual apa-apapun, cikgu. Saya datang sini jadi cikgu, macam cikgu. Bukan nak jadi jurujual." balasku sinis. 

Pipinya merona merah. Matanya menjegilku. Agaknya, itulah kali pertama dia kehilangan kata-kata, kut. Tapi, si Nazmi Syazwan ni kemudiannya terus tersengih padaku. 

"Whatever!" bisiknya dan terus meninggalkan aku di situ. 
  

You Might Also Like

4 comments

  1. nampak cam seronok jer jln cerita nie..rase teruja nk terus membaca...teruskan..

    BalasPadam
  2. baca sambungannya..tak akan pernah tahu 2

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.