Langkau ke kandungan utama

Lelaki ini


1

Intan Zulaikha menendang-nendang tayar kereta Proton Wira Aeroback yang diparkir betul-betul di belakang kereta Toyota Viosnya. Dia geram. Waktu dia hendak cepat meninggalkan tempat itu, kereta itu pula menghalangnya daripada mengundur.

“Punyalah banyak tempat parkir yang kosong, di belakang kereta aku ini jugaklah kau hendak parkir, ya, mamat! Arghh, geram!!!” jeritnya. Dia berlari ke kereta lalu membunyikan hon Viosnya berkali-kali. Tanda marah dan memberontak.

“Woi, sorilah! Aku tahu, aku salah parking kat situ tapi aku pergi bukan lama pun. Baru 3 minit aje. Yang kau memekak tekan-tekan hon tu, kenapa?” Fizri Imtiyaz menjerit kepada perempuan yang sedang menekan hon itu. Dia malu bila semua orang asyik melihat ke sini. Nampak jelas sikap dia yang tidak bertanggungjawab kerana meletakkan kereta di tempat yang tidak sepatutnya. Namun, dia bukanlah hendak membela diri. Dia memang kalut benar tadi. Tak sempat hendak berfikir suatu apapun!

“Eh budak, aku tak mahu cakap banyak, okey! Aku tak mahu berkelahi dengan kau. Jadi, boleh tak kalau kau kalih kereta kau sekarang? Aku ada hal penting ni.” Intan berkata sambil menjeling. Dia terus sahaja masuk ke dalam kereta, menutup pintu dan menghidupkan enjin. Dia ingin segera pergi!

Fizri pula cukup pantang bila dipanggil ‘budak’. Memanglah muka dia muka bayi (baby face) tapi dia bukan budak kecil. Umurnya sudah 28 tahun. Perempuan berambut karat ini perlu menyedari hakikat itu, fikirnya. Lalu, diketuknya tingkap cermin kereta itu.

“Weh, kau cakap baik-baik sikit. Jangan nak naikkan darah aku, ya! Aku ni bukan budak kecil, yang semudahnya kau hendak mengarahkan itu ini pada aku, tahu!”

“Hoi, masa bila aku ada bagi amaran itu ini pada kau, hah? Aku cuma minta supaya kau cepat-cepat alihkan kereta kau tu. Itu aje! Yang kau hangin satu badan ni kenapa? ‘Fed-up’ betullah!” Intan menjerit tanda tidak berpuas hati.

Fizri pula membalas lebih kuat lagi, “Aku lagi menyampah tengok kau. Tak menyempat-nyempat!”

“Eloklah kalau kau menyampah tengok aku, budak. Kalih kereta kau tu supaya aku boleh blah dari sini. Mata kau tak sakit, hati aku ni pun tak meluat, nanti.”
.....................
2  

Puan Rozita memerhati sahaja si anak memakaikan lampin cucunya. Walaupun lelaki, Fizri cekap melakukan. Tidak sampai dua minit, dia sudah menepuk bontot Ilham, menyuruh Ilham Imtiyaz bangun dan pergi bermain. 

Fizri tersengih melihat ibunya. Dia tahu, Puan Rozita mengkagumi dia, seorang bapa tunggal yang terpaksa menjadi ayah dan ibu kepada si kecil. Ramai yang mengatakan bahawa dia bernasib malang menjadi duda pada usia 28 tahun namun Ilham anaknya, lebih malang lagi. Ilham menjadi anak yatim sebaik sahaja dilahirkan. Ibunya, Nuriz Aina bekas isteri Fizri menganggap Ilham menyusahkan hidupnya.   

“Kahwin lain, Fiz. Mak kesian tengok kamu ni. Mana nak bekerja, nak jaga anak lagi. Mak suruh ambik pembantu rumah, kamu tak mahu. Mak nak bela Ilham, kamu tak kasi. Tapi, mak tengok kamu dah makin kurus. Makan minum dah tentu tak terurus. Asyik bagi tumpuan pada Ilham sampai diri sendiripun tak berselera perempuan tengok.” Puan Rozita memulakan sesi ceramah dan motivasi tanpa mengendahkan kerutan di dahi anak lelaki tunggalnya. Sesi ceramah yang sentiasa diberi setiap kali dia turun ke Kuala Lumpur, ke rumah Fizri.

Encik Halim yang dari tadi asyik memberikan tumpuan kepada artikel yang terdapat di dalam suratkhabar yang dibaca, segera memanggungkan kepala. Wajah isteri ditatap tajam. Dia geram bila Puan Rozita memberi nasihat kepada Fizri Imtiyaz. Bukan hendak memberikan sokongan dan kata-kata positif, tetapi asyik menyuruh lelaki yang sedang ‘frust’ itu berkahwin sahaja. Adoyai...

“Malas saya nak fikirkan soal kahwin, mak. Selagi boleh bertahan hidup macam ni, akan saya teruskan. Hatipun tak sakit. Nanti kalau saya kahwin dan dapat isteri yang macam Nuriz, kesian pulak si Ilham tu.” Balas Fizri dengan penuh perasaan. Jelas, dia serik dengan kegagalan perkahwinan yang pernah dibina. Jelas, dia tidak mahu pisang berbuah dua kali atau tiga atau empat. Jelas, dia takut hendak berkahwin semula.   

“Hmm, ayah sokong kamu, Fiz. Usah terburu-buru nak kahwin lain. Kamu tu lelaki. Makin berusia, makin tinggi saham kamu. Di luar sana, memang banyak perempuan. Kalau ayah bukak mulut aje, tentu kawan-kawan ayah nak buat promosi harga lelong untuk kamu. Anak diaorang, anak saudara, adik, semua ada. Nak yang tua, berumur, muda, bergetah, pakai botox, pakai mekap itu ini, boleh mereka cari. Tapi, sekali ini, kamu tentu mahu rumahtangga yang lebih baik. Bukan lagi sebuah perkahwinan yang berlandaskan kepada paras rupa, harta benda, mahupun cinta membabi buta.”

Kata-kata Encik Halim mendiamkan Puan Rozita. Tidak jadi dia hendak mempromosikan anak saudara Norlia, jiran di depan rumah. Dia amat berkenan dengan sikap gadis itu yang sopan berbahasa dan ringan tulang pula. Semua itu dilihat semasa dia pergi mengikut Norlia menziarahi kakaknya, Normi, yang demam, minggu lepas.

Gadis itu yang telah menyediakan makan tengah hari untuk mereka. Gadis itu yang telah menyuapkan bubur ke mulut ibunya. Gadis itu yang menguruskan lampin pakai buang yang terpaksa Normi pakai kerana tidak larat hendak bangun meninggalkan katil. Memang, hati berkenan benar dengan budak perempuan itu. Entah siapakah namanya, terlupa pula hendak bertanya.

“Jangan serik nak kahwin lain Fizri. Bukan semua perempuan yang berperangai macam janda kamu tu!” Hanya itu yang mampu dikatakan di bawah jegilan Encik Halim yang budiman. Puan Rozita mencebik bila suaminya mengukir senyuman.

“Usahlah awak risau sangat Puan Rozita oi. Nanti, kahwinlah anak jantan kesayangan awak tu.” Usik si suami.

Puan Rozita mendengus. “Awak tu lelaki, memang semuanya ambil mudah. Anak bujang hidup sorang-sorang macam ginipun awak tak kesian. Abang, cucu awak si Ilham tu perlukan belaian seorang ibu. Saya takut nanti bila Fizri hantar dia ke tadika, Ilham akan tertanya-tanya mengapa orang lain ada ibu tapi dia tidak. Bukan senang nak meyakinkan dia bila dah berusia 4, 5 tahun, bang. Kalau Fiz kahwin sekarang, nanti dia anggap perempuan tu mak dia. Dan, perempuan tu pun tentu sayangkan Ilham nanti.”

Fizri Imtiyaz hanya mendengar tanpa berkata apa-apa. Sesungguhnya, masih tidak terbuka pintu hatinya untuk jatuh cinta lagi. Sesungguhnya, dia sudah serik kerana terlalu mengikut perasaan. Sikap terburu-buru membuat keputusan, tidak bersikap matang di sepanjang perkahwinan, mudah merajuk, cepat marah, semua itu menyebabkan perkahwinannya dengan Nuriz Aina tidak dapat bertahan. Dia tidak mahu meletakkan semua kesalahan di bahu Nuriz. Nuriz juga seperti dirinya. Masih muda dan mentah dalam hidup berkeluarga. Muda dan mentah. Budak-budak!

Apa?

Budak?

Perkataan ‘budak’ mengembalikan ingatan kepada wanita garang itu semalam. Apakah benar sikapnya masih keanak-anakan? Macam budak-budak? Masih tidak matang? Betulkah?  
......................
3

Intan Zulaikha dan kawan baiknya Umi Nadiah sedang enak memilih-milih aksesori perhiasan diri di kaki lima pusat membeli belah One Utama. Bermacam rupa bentuk dan fesyen pin rambut sedang digayakan ke rambut masing-masing apabila telinga nipis Intan mendengar bunyi anak kecil menangis. Dia menegakkan tubuh sambil melangkah perlahan-lahan, memasang telinga dengan lebih jelas untuk mencari di manakah bunyi itu terhasil. Tidak lama kemudian sepasang kaki berdiri betul-betul di hadapan sebuah stroller.

Demi melihat Intan, anak kecil itu berhenti menangis. Sepasang matanya bulat memandang wanita itu. Intan memerhati sekeliling. Dengan dahi yang berkerut, dia duduk di hadapan. Kini dia sudah sama tinggi dengan anak kecil itu.

“Hai, sayang. Sorang aje ke?”

Ewah, sekuntum senyuman dihadiahkan kepadanya. Comel!

“Hmm, manisnya senyuman tu. Nak ngorat makcik, ya?” tanya dia sambil tangan menyentuh jemari halus si kecil. Satu perasaan halus mengalir ke dalam diri apabila anak kecil itu membalas pegangannya. Erat dan kemas.

“Hoi, Intan. Jomlah! Yang kau siap bertinggung lagi depan budak kecik ni, kenapa? Tak fasal-fasal nanti mak dia nampak dan ingat kau nak culik anak dia pulak. Tak ke naya?”

Intan diam sahaja. Dia mengagah-agah si kecil menyebabkan anak itu terus-menerus ketawa riang. Gelagat itu menghiburkan hatinya.

“Itulah! Bila disuruh kahwin, memilih sangat. Tapi, bila jumpa budak kecil, teringin nak manja-manja. Intan, cepatlah, weh! Aku banyak lagi benda nak dibeli ni. Bangunlah!” Umi mula menarik muka masam, geram melihat tingkah Intan.

“Umi, kau tak kesian ke dengan budak ni? Entah-entah dia sengaja ditinggalkan di sini kut? Tengok, dah 10 minit aku main-main dengan dia, tak siapa pun datang dekat kita. Baik kita tunggu kejap, Umi.” Intan bersuara dalam nada penuh kerisauan. Di ruang mata, dia terbayangkan kanak-kanak malang yang ditinggalkan dalam pelbagai keadaan oleh insan-insan yang tidak bertanggungjawab. Dia rasa hiba pula. Kalaulah benar anak kecil yang comel dan berpakaian kemas ini sengaja ditinggalkan di pusat membeli belah ini, mahu sahaja dia mengaku anak ini sebagai anaknya. Entah mengapa, dia sudah rasa sayang kepadanya.

“Hello... tak payahlah nak tunggu anak aku tu. Ni, ini bapaknya dah datang. So korang boleh pergi sekarang.”

Suara yang menyapa dengan kasar daripada belakang mereka menyebabkan Umi dan Intan segera berdiri dan berpaling. Intanlah yang terlebih kejutannya bila melihat seraut wajah bengis lelaki itu.

“Awak?”

Err, ada paduan suara pulak! Duet! Umi mengerutkan dahi. Owh, baru perasan. Rupa-rupanya Intan dan lelaki itu yang menjerit. Itu bererti mereka berdua saling mengenali.

Intan lantas menempelak, “Budak ni anak awak? Huh? Apalah malang nasib dia dapat bapak macam awak ni, hah? Sungguh tidak bertanggungjawab! Ikut suka suki awak aje tinggalkan dia di merata-rata macam yang awak buat pada kereta awak kelmarin, kan! Weh, nasib baik aku yang jumpa dia, tahu. Kalau orang lain, dah lama dilarikannya anak kau ni. Hisy, memanglah! Kalau kecil-kecil lagi dah gatal nak kahwin, inilah rupanya. Nak bela anak sendiripun tak tahu.”

Fizri mengepal penumbuk. Sakit hati yang dulu itupun belum habis lagi, kini dengan berani perempuan ini memarahinya sesedap rasa kari emak dia. Geram! Grr.... Kalau boleh jadi incredible hulk, kan bagus?

Umi berusaha menjadi pendamai. “Maaf ya, awak. Kawan saya ni senggugut, tu yang naik angin tak mengira tempat dan masa. Tapi hati dia baik. Buktinya, dia tak sanggup nak tinggalkan anak awak sorang-sorang. Dia takut baby awak kena culik. Tapi, awak dah balik ni, hati dia tentu dah rasa senang. Jadi, kami mintak diri dulu, ya!”

Intan menjegilkan mata, tanda dia tidak suka Umi mengalah. Kalau diikutkan rasa geram, memang dia hendak terus memarahi lelaki muda itu. Banyak kata-kata nasihat yang ingin diberikannya, termasuk tip-tip penjagaan bayi. Tapi... tak apalah! Tak baik kelahi di depan anak kecil. Tidak elok untuk tumbesaran anak comel itu.

Tanpa berkata apa-apa, tidak juga menoleh kepada lelaki itu, dia menarik tangan Umi untuk meninggalkan anak dengan ayahnya. Dah selamat pun, buat apa menunggu lagi?
.......................
4

Di ruang letak kereta, seorang wanita cantik mundar mandir di tepi sebuah kereta Proton Wira Aeroback. Hatinya berdebaran tidak menentu. Berkali-kali nombor plat kereta itu direnungi. Memang, memang tidak syak lagi. Inilah kereta si dia. Arghh, lelaki itu! Tetap seperti dahulu. Jimat, kedekut, selamba, sebab itu walaupun dia seorang arkitek, imejnya tetap begini juga. Tidak pernah berubah. Asyik low profile, bisik hatinya.

Tiba-tiba pandangan mata dituntaskan ke arah pintu besar pusat perniagaan itu. Semakin rancak debaran jantung apabila wajah yang dinanti muncul. Lebih terharu apabila melihat subjek yang dirindui sedang berada di dalam stroller. Ingin menerkam ke arah mereka agar dapat tubuh sikecil itu dirangkul dan pipi mungelnya dikucupi tanda dia amat merindui.

Fizri berhenti melangkah. Diamat-amati wanita yang sedang berdiri di tepi keretanya. Sebuah keluhan terlontar. Nuriz Aina masih seperti dahulu. Datang seperti ribut. Pergi seperti kilat. Sesuka hatinya untuk keluar masuk di dalam hidup seorang Fizri Imtiyaz.

Langkah tetap Fizri teruskan. Kali ini, dia tidak akan tunduk kepada kata hati. Marah-marahpun bukannya baik, nanti dapat darah tinggi pula.

“Hai, Fiz. Apa khabar?”  Nuriz menegur. Rindunya dia kepada lelaki ini...

“I baik aje. Apa hal you berdiri di tepi kereta buruk I ni?”

Nuriz ketawa mendengar pertanyaan itu. “Tahupun you yang kereta you ni buruk, ya. Habis tu, tukarlah! Bukan you tak mampu!” balasnya.

Fizri Imtiyaz mengerutkan dahi. Dia hairan dengan wanita yang seorang ini. Masih kuat di ingatan kali terakhir mereka hidup bersama dahulu. Nuriz amat garang meminta perpisahan. Dirinya diherdik sebagai lelaki dayus hanya kerana tidak mahu mengikut telunjuk Nuriz yang mahu dirinya diceraikan. Dirinya dituduh oleh wanita ini dengan pelbagai hamburan istilah-istilah bahasa yang amat pedih dan memeritkan telinga.

Tapi, hari ini? Dia hadir dan lembut berbicara pula. Pelik! Wanita memang pelik!

“Dah besar anak I ni!”

Kali ini Fizri ketawa. Terasa lucu mendengar ayat itu.

“Anak you, memang. Tapi itu dulu. I tak boleh nafikan sebab you yang melahirkan dia. Tapi, disebabkan you yang pergi meninggalkan dia, I dah gugurkan status tu. Maaflah, Nuriz. Sekarang ni, anak yang you tinggalkan sebaik saja dia mencelikkan matanya, anak I sorang aje. Faham?”

Nuriz tajam memandang wajah Fizri. Kata-kata amarah yang dihamburkan menyentuh perasaan. Dia tahu Fizri terluka dengan perbuatannya. Dia juga tahu bahawa itu satu kesilapannya. Tapi, masa hampir 2 tahun meniti perpisahan amat menggetirkan hidupnya. Dia tidak sanggup dibiarkan kesepian begini lagi.

“I faham yang you masih marahkan I tapi hakikat tetap hakikat. I ni isteri you dan anak kecil ni anak I, Fiz. You tak kan boleh merubah fakta.”

Fizri malas melayan. Dia membuka pintu kereta, menghidupkan enjin dan memetik suis pendingin hawa. Mudah-mudahan mampu mendinginkan hatinya yang mula membara ini. Si kecil diletakkan di atas kerusi di sisi, dan tali pinggang keselamatan dipasangkan. Semua itu dilakukan di bawah renungan tajam Nuriz Aina.

“Fakta atau tidak, I tak peduli. You dah pergi daripada hidup I. Ingat Nuriz, you pergi atas kemahuan you sendiri. I tak halau you, tahu.”

Nuriz segera menghampiri, sengaja mendekatkan tubuhnya yang wangi ke tubuh Fizri. “Sebab you tak halau I dulu, tu yang I datang balik ni. I nak kita sambung semula perhubungan kita. I mengaku kesalahan I dulu. I janji untuk jadi isteri you yang lebih baik. I tahu, I mampu melakukannya.” Bisiknya sambil mengusap-usap dada Fizri penuh romantis.

“Maaf ya, cik adik, cik abang! Kalau ya pun nak beromantika, tolong balik ke rumah ya. Ini bumi Malaysia, masih ada adab dan budaya yang harus awak berdua patuhi, tahu! Kalau nak buat tidak senonoh, pergilah ke England ke, Afrika ke, ke mana-manalah! Kat sini, mata saya ni sakit tahu!” Intan Zulaikha menghamburkan kemarahan dari dalam kereta. Dia sengaja berhenti betul-betul di hadapan pasangan ini untuk memarahi mereka yang jelas menunjukkan aksi 18XX di khalayak. Oh, memanglah si lelaki itu kelihatan seperti tidak bersalah sahaja. Yang melebih-lebih menggoda dan perlakuannya memanglah si perempuan tetapi oleh kerana si lelaki itu ‘musuhnya’, maka inilah peluang Intan untuk memarahi. Dia seronok melihat wajah tampan itu menjadi sebal.

Fizri Imtiyaz membulatkan sepasang mata. Arghh, perempuan itu lagi! Kenapalah dia asyik terkena dengan perempuan itu? Dia ingin membalas namun Intan terlebih dahulu melayangkan flying kiss kepadanya sebelum memecut pergi.

“Ini semua kau punya fasal, Nuriz! Nuriz, dengar sini. Kau pergi cari lelaki lain yang suka ikut apa saja yang kau cakap. Sebab, kalau kita berdua mulakan semula apa yang pernah kita lalui dulu, aku rasa, tak sampai sebulan, kita akan bercerai semula. Kau pun tahu yang aku ni degil, keras kepala, garang... itu sikap aku, Nuriz dan aku tak boleh mengubahnya. Lagipun, pintu hati aku ni dah aku tutup untuk kau. Luka yang kau tinggalkan dah hampir sembuh tapi parutnya tak akan pernah hilang. Aku dah maafkan kau tapi aku tak akan pernah dapat melupakan semua perbuatan buruk kau pada aku. Maaf ya, Nuriz. Aku pergi dulu!”

Nuriz Aina terkesima. Air mata semakin laju menitis di pipi bersama lajunya kereta Fizri Imtiyaz meninggalkan dirinya di tempat parkir itu.
.................
5

“Boleh tak kau berikan aku sebab-sebab mengapa kita berdua ni selalu aje dipertemukan, huh?” pinta Intan Zulaikha dalam soalan yang dikemukakan kepada Fizri. Ya, mereka bertemu lagi. Kali ini, di Klinik Dr Ehsan pula. Intan diserang selsema dan batuk-batuk sementara Fizri membawa Ilham kerana anaknya itu demam panas.

Tadi, sikecil asyik merengek. Dari rengekan halus itu berubah menjadi tangisan yang membingitkan. Puas Fizri memujuk namun Ilham tidak mampu dipujuk. Intan rasa kasihan pula apatah lagi bila dilihat wajah putih Fizri sudah merona kemerahan, mungkin menahan rasa malu agaknya. Lantas, dia mendekati dua beranak itu dan menghulurkan tangannya kepada Ilham. Pantas sahaja Ilham membenarkan dirinya didukung Intan. Perlakuan yang membuat Fizri terkedu seketika.

Kini, anak kecil itu manja meletakkan kepala di bahu gadis itu. Walau Fizri ingin mendukungnya, Ilham bagaikan tidak mahu melepaskan. Ketika nama Ilham dilaung untuk masuk ke bilik doktor, leher Intan masih dipeluk dengan erat.

“Biarkan aje. Nanti lepas jumpa doktor, kau dukunglah dia balik. Jom kita masuk. Nanti, boleh aku terus mintak ubat aku. Jimat masa!” Intan berbisik ketika mereka melangkah untuk memasuki bilik. Sekuntum senyuman mekar tersungging di bibir Fizri.

“Ya, puan. Anak demam, ek?” Wah, ramah Dr Ehsan menegur mereka.

“Hmm, baru saya tinggalkan sehari dengan ayahnya, dah demam anak saya ni, doktor.” Intan ramah berkata-kata. Dr Ehsan tergelak besar mendengarnya. Fizri membulatkan mata. Semakin buntang bila Intan mengenyitkan mata ke arahnya.

“Biasalah, puan. Kami, kaum bapak ni, manalah pandai jaga anak sangat. Buat anak pandailah!” usik doktor tua itu. Hisy, melalut pulak dia. Tapi, kenapa lelaki itu gelak bukan main? Gembiranya dia? Ewah!

“Itulah, anak dah demam. Yang isteri saya ni pulak dah kena flu, doc! Tadi masa nak datang, saya ajak datang bersama, dia tak nak. Sudahnya dia ikut jugak. Dah, kadnya jauh di bawah. Nasib, kan doktor, kan, dapat isteri degil?”

Giliran Intan Zulaikha pula untuk membeliakkan sepasang mata. Kata-kata Fizri begitu bersahaja. Wei, ini sudah lebih!

“Midah, cuba cari kad Puan.....”

“Intan Zulaikha, doktor. Terima kasih. My son tak apa-apa, kan?” Ilham yang sedang lena di atas katil direnungi. Belas sungguh melihat anak kecil itu. Di mana ibunya? Perempuan cantik di tempat letak kereta tempoh hari? Uisy, kalau perempuan tu tahu lakonannya hari ini, masak dia! Teruk kena sumbu nih!

“Anak you demam sikit aje. Come, mai I periksa you pulak. Your period okey, kan? Bukan apa, nanti I bagi ubat, I tak mahulah ubat tu beri kesan kepada kandungan you pulak.”

“Err...”

“Intan ni, ABC doktor. Allah bagi cuti.”

Merah pipi Intan Zulaikha. Sakit hatinya melihat doktor dan lelaki itu ketawa. Tunggulah kau, ya. Kat luar nanti, aku nak cubit-cubit bibir nipis kau yang celupar tu!

Kini, mereka berdua sudah menghampiri kereta masing-masing. Intan masih tidak berpuas hati dengan Fizri. Tadi sewaktu dia ingin membayar, Fizri terlebih dahulu menahan. Kata Fizri, adalah pelik sekiranya mereka adalah suami isteri tetapi bayaran dibuat berasingan. Baru sekejap tadi, dia ingin membayar bahagiannya, Fizri tetap menolak. Kata lelaki itu, anggap bayaran yang dibuat sebagai ucapan terima kasihnya atas pertolongan Intan terhadapnya di dalam klinik itu tadi.

“Intan, ini kad saya. Kalau sudi, telefonlah, ya! Ermm, Intan, saya nak minta maaf sebab saya berkasar dengan awak dalam pertemuan-pertemuan kita yang lepas. Okey, saya pergi dulu. Please call?”
..............................
6

Tanya sama hati
Apa asal sayang
Adakah tandanya nampak dipandang
Kumbang rayu bunga
Bulan dan bintangnya
Punya tanda-tanda hubungan mesra

Tanya sama hati
Pernahkah merindu
Ingat masa lena apa mimpimu
Masa berjauhan
Apa nan dikenang
Bila difahamkan itulah sayang

Umi Nadiah menggeleng-gelengkan kepala. Semakin hari semakin dia tidak dapat memahami tingkah sahabat baiknya ini. Ada sesuatu yang sudah terjadi sejak seminggu dua. Lagu nyanyian alahyarham P Ramlee itu pula meniti di bibir. Hmm, dah angau kawan aku ni, bisik hati kecilnya.

“Tak dapat pegang orangnya, belek-belek kad nama tu boleh jugak hilang rindu kau pada mamat tu, ya?” dia mengusik Intan.

“Hmm, nak buat macam mana. Buah hati suami orang.” Intan membalas smbil tersenyum hambar.

“Habis tu, kalau dah tahu yang peluang kau ‘ilek’, tak ada, buang aje kad tu. Buat apalah hendak diingat pada orang yang tak boleh kau miliki?” 

“Alah, aku pegang kad dia, bukan dia tahu pun! Mm, sedap nama dia, Umi. Fizri Imtiyaz. Orang pun kacak. Memang padanlah dengan isteri dia yang comel lote tu.” Kad nama itu masih dibelek-belek.

“Dia dah bagi kad, yang kau tak cuba telefon. Mesti kecil hati dia.”

“Takkanlah! Dia dah ada bini. Buat apa aku nak rapat. Tak sukalah jadi orang ketiga.”

Umi ketawa. “Jangan mati beragan sudahlah!” usiknya.

“Hisy, aku bukan Laila dalam cerita Laila Majnun tu, tahu. Juga, bukan Juliet dalam Romeo dan Juliet. Aku ni Intan Zulaikha, Umi...”

“Zulaikha juga pernah igaukan, pernah tergila-gilakan Yusufnya, tahu!”
 
”Zulaikha yang itu memang amat beruntung. Dia, Allah pilihkan untuk menemani hidup Nabi Yusuf.”

“Hmm, sebenarnya, kau juga boleh jadi insan bertuah tu mulai hari ini, Intan.”

Bulat mata Intan Zulaikha menatap wajah sahabat baiknya. Hendak dikatakan bergurau, wajah itu serius pulak.

“Semalam, aku terjumpa perempuan cantik tu dengan seorang lelaki. Mesranya mereka, usah cakaplah! Aku serta merta teringatkan kau. So, untuk tahu siapa lelaki yang dengan dia, akupun berlakonlah. Pura-pura konon kami kenal satu sama lain. Menyelap perempuan tu. Dia marah! Dia bagi amaran pada aku supaya jangan nak menggoda bakal suami dia. Aku pun cakaplah yang dia main kayu tiga. Dia gelak. Terus aje cakap yang si Fizri tu ex dia. Bekas suami, you!”

Intan Zulaikha terlopong mendengar. Dalam rasa percaya, ada rasa cemas. Manalah tahu kalau-kalau Umi hanya ingin menyedapkan hatinya?

“Weh, ini bukan dongengan! Si Fizri tu masih kosong. Tapi duda anak satulah! Kalau kau nak, pergilah mengurat lelaki tu. Rasanya, dia pun suka pada kau, kalau tidak takkanlah dia bagi kau kad nama dia, kan?”

Cepat-cepat Intan mengangguk.
..............................
7

“Awak, betul ke ini jalan ke rumah mak awak?”

Fizri berpaling sejenak sebelum mengangguk.

“Awak....”

Fizri meramas jemari tangan kanan gadis itu. Dia faham kekalutan fikiran Intan Zulaikha. Dia sendiri sedang resah memikirkan penerimaan keluarganya terhadap Intan. Tapi, dia sudah nekad untuk memiliki gadis ini. Perkenalan dan kemesraan selama hampir setahun sudah cukup baginya untuk memilih Intan menjadi suri hidup dia dan Ilham.

“Awak jangan susah hati, Intan. Saya kan ada ni. Mak dengan ayah saya tak makan orang tahu.” Katanya sambil tersenyum.

Intan Zulaikha ketawa kecil. Sebenarnya bukan itu yang ingin dia katakan. Habis tu, apa?

“Awak, sebenarnya, ini, lorong ni, jalan nak ke rumah Mak Ngah saya.”

“Laa, iya ke? Rumah siapa, ya? Cuba cakap. InsyaAllah, saya kenal mereka.” Balas Fizri sedikit teruja.

“Mak Ngah saya namanya Norlia. Suaminya kerja bank, Suhaimi.”

Fizri membrek kereta secara tiba-tiba. Terkejut Intan dibuatnya. Nasib baik, tidak ada kereta mengekori mereka di belakang. Kalau tidak, pasti...degummm!

“Kenapa awak tak cakap awal-awal. Mak cik Norlia dengan Pakcik Suhaimi tu rumahnya betul-betul bersetentang dengan rumah mak saya, tahu!”

“Apa?”

Senyuman terus menerus menghiasi bibir. Kerisauan sudah beransur hilang. Intan sudah mendapat rasa konfiden itu semula. Penjelasan Fizri tadi mengembalikan keyakinan dirinya.

Ketika Norlia melihat dia keluar daripada kereta Fizri, wanita itu terpana seketika sebelum akhirnya ketawa girang. Dia terus sahaja menjerit-jerit memanggil Puan Rozita.

“Ita, oh Ita! Cepatlah datang sini. Kau perlu kenal perempuan ni!”

Dahi Puan Rozita sedikit berkerut memerhati wanita muda yang sedang dipeluk oleh jirannya, Norlia. Rasa macam kenal, bisik hatinya.

“Hisy, dahi tu dah berkerut seribu pulak. Mesti dah lupa?” marah Norlia. Kepada Intan, dia berbisik, “Salam makcik tu, Intan.”

Intan segera mencapai tangan yang dihulur oleh Puan Rozita. “Apa khabar makcik?’ tanya dia ramah.

“Khabar baik, nak.” Sepasang mata tajam menrenung sahabat baik yang masih tersengih-sengih. Dia seolah-olah ingin tahu siapakah gadis ini. Santun dan bergaya. Lembut berbahasa.

Norlia sengaja ingin berteka teki. “Bakal menantu kau tak tiba lagi?” tanya dia.

“Entah, si Fizri....”

Kata-kata terhenti bila Fizri mendekat. Pandangan tertuntas kembali kepada gadis yang sedang tersenyum dengan tangan mereka masih berpaut kemas.

“Yang salam dengan mak tu lah Intan Zulaikha. Dia bakal isteri Fiz, kalau mak memberi restu.” Ujar Fizri tenang.

Norlia menepuk belakang tubuh anak jirannya, merangkap sahabat baiknya. “Emak kamu tentu sahaja merestui hubungan kamu berdua, Fiz. Sebab, untuk pengetahuan kamu, anak saudara makcik inilah yang ingin dijadikan menantunya. Dia berkenan benar dengan si Intan ni masa kami melawat mak Intan, kakak makcik yang sakit, berbulan dulu. Dia hendak mengesyorkan pada kamu dulu tapi takut ayah kamu marah. Dia pendam aje selama ni tapi tiap masa kalau sembang dengan makcik, mesti tanya fasal Intan. Tak sangka pulak jodoh korang berdua ni ada, kan?”  

Cerianya Puan Rozita. “Laa, Intan ke ni? Terima kasih, Fiz. Mak restu. Kalau boleh, kahwin cepat-cepat. Biar berseri hidup kamu semula.” Ucapnya.

Tiba-tiba....

“Mama!!!”

Masing-masing menoleh ke arah Ilham. Si comel sedang melangkah, seolah-olah ingin berlari mendapatkan Intan. Intan segera tunduk, mendepangkan tangannya. Sebaik Ilham berada di dalam rangkulan, anak kecil itu dicium, didakap, dipeluk erat-erat.

“Mama... cayang mama!”

Air mata gembira menitis.

“Mama pun sayangkan Ilham juga.” Bisiknya lembut dan penuh kasih sayang.

“Jangan sampai saya yang kena tidur atas lantai bila kita dah kahwin nanti, sudahlah!” sela Fizri dalam berlucu.

“InsyaAllah, tidak. Awak kan bantal peluk saya?” Intan membisikkan.

Jikalau tidak kerana sayang
Kuntuman kasih tak mungkin kembang
Andainya jemu mengganti rindu
Jambangan mesra tentulah layu

Hmm, janganlah merasa jemu hendaknya. Tak mahu jemu mengganti rasa rindu yang baru hendak bercambah ini. Biar mesra dan mekar. Jangan layu. Jangan berakhir. Sampai akhir nanti lelaki ini akan bertahan, akan menyintai seorang Intan Zulaikha.
Ya, lelaki ini yang selalu menyintamu, selalu, tanpa jemu......
.........................
Berilah komen, okey!
Nukilan, sofi.

Ulasan

  1. wah....
    best la crta ni....
    simple ttp mnrik...

    BalasPadam
  2. salam kak sofi..
    jln cerita yg menarik.. tp lebih menarik lagi kalo akan jdkan cite ni novel.. panjang skit baru puas baca.....

    BalasPadam
  3. Salam..
    Alhamdulillah cite yg menarik dan so sweet cikgu sofi../
    suke baca...comei jer..
    teruskan berusaha..(>_<)

    BalasPadam
  4. best jugak tp citer cmne dh biasa dlm novel...
    time baca meme menarik tuk thu ending cmne..meme best(^_*)

    BalasPadam
  5. hihihi..best best

    BalasPadam
  6. salam...
    epy, suka? thanx
    haha, miznza, novel yg ada ni pun dah jenuh dah nak fikir camne nak sambung citer dia
    thanx faridah,
    greeny gurlz, terima kasih atas sokongan,
    albanazir, insyaallah cuba buat kelainan lain kali
    may lin, hihi...thanx

    BalasPadam
  7. salam...kak
    seed suka dengan cite ni...
    x semua perempuan tu sama...yang penting pandanglah dengan keikhlasan hati bukannya rupa semata-mata...

    hehehe...congrates kak

    BalasPadam
  8. salam seed169, thanx atas komen anda itu..sgt2 diharagai, k!

    BalasPadam
  9. suka suka...
    tapi, kalo la bkn intan yang jdi pilihan mak dia lgi best kot...sbb reality slalunya bkn mcm neh...slalu jerk x sama plihan mak bapak ngan plhan sndri

    >>i<<

    BalasPadam
  10. salam anonymous, mmm thanx for that...betul gak. mengapa mesti org yg sama?

    BalasPadam
  11. tahniah sofi..cerpen sofi pelbagai rencah dan perisa. Semoga sukses!

    BalasPadam
  12. your cerpen never disappointing me :)

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…