apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

14.10.10

136. jalan pulang


mereka insan terkenal. 
suara gemersiknya memukau semua. otot-otot perkasa mendebarkan naluri wanita. alunan lagu isabella, fantasia bulan madu menjadi igauan. kekayaannya menjadi idaman.
tidak pernah menyangka, hati mereka sentiasa bergelora. tidak tenang. tidak aman. tidak pernah menyangka, kehidupan mereka selama ini penuh kepahitan demi senyuman yang sering diketengahkan. membaca luahan mereka di ruangan akhabr kosmo, aku terkedu...


begitulah...Jika Dia menghendaki...

Umum mengetahui, penama lengkap Abdul Malek Mohamad Noor atau Malek, 54, mula melewati hidup sebagai pengikut Islam sejati sejak lapan tahun lepas.
Selepas satu demi satu musibah melanda, gerak hatinya berbisik, itu barangkali ujian Allah agar kembali menjadi sebenar Muslim.
Ironinya, selepas tergelincir jauh dari landasan dan tidak mempedulikan Allah sewaktu berada di tengah kota Hong Kong dan Amerika Syarikat awal 90-an, tahun 2002 menjadi saksi apabila jiwa semakin menua itu acapkali tidak tenang biar hidup berbalut kemewahan duniawi.
Didatangi pelbagai mimpi ngeri hampir setiap malam Jumaat termasuk dibakar api neraka, tubuhnya dikelar dengan besi panas, kemuncak Malek mengubah diri saat laungan azan Maghrib berkumandang di balkoni kediamannya yang menghadap Menara Berkembar Petronas.
Masa terus berlalu. Saat anak jati Batu Pahat, Johor itu kini menyerahkan seluruh hidupnya kepada Yang Maha Kuasa, dia mengalami mimpi didatangi arwah ibu, Jairiah Alias menaburkan bunga emas kepadanya dan memimpin ke Masjidil Haram lalu bersujud di depan Kaabah.
Sambil air mata jantannya gugur, ujar Malek, mimpi dialami ini cukup indah sekali gus menyedarkan diri bahawa ibu dan ayahnya yang telah meninggal dunia sentiasa ‘mendoakan’ si anak dari alam kubur. Lantaran itu, tidak hairan apabila kalimat syukur sentiasa terpacul dari bibirnya.
“Saya percaya, doa ibu dari alam barzakh meniupkan semangat ini untuk mendekatkan diri kepada Allah. Diakui, mengambil keputusan untuk bertaubat susah dan ia tidak punya persediaan. Kerana itu, sekali kita ingin kembali kepada Tuhan, kita nekad insaf selama-lamanya.
“Kini, saya puas dengan kehidupan baru. Meski hidup bersendirian selepas dua kali mengalami penceraian, saya mahu bercinta sepenuhnya dengan Allah. Apa jua dilakukan termasuk makan, tidur, memandu, bekerja, keluar rumah dan lain-lain, semua bersama dengan-Nya.
“Sejujurnya, saya tidak minta orang lain bertaubat dan mengikut seperti apa dilakukan ini. Tetapi, tugas saya hanya mahu membuka pintu sedikit kepada orang lain untuk melihat dunia dan akhirat,” tutur Malek yang enggan lagi berhambakan wang ringgit dan material.
Berbeza pengalaman daripada Malek, vokalis kumpulan rock tersohor Search, Amy, awal-awal lagi merasai kelainan dalam diri selepas bergelut dalam belantika muzik tanah air sejak tiga dekad lalu. Pelbagai persoalan melintang di kotak fikirnya tanpa mampu ditolak.
Jelas pemilik nama berdaftar Suhaimi Abdul Rahman, sepanjang bergelar penyanyi dan tingginya populariti diraih, setiap malam sebelum matanya dapat lelap dengan sempurna, dia sering tertanya kepada diri tentang penamat kepada jalan yang diinginkan dalam hidup.
“Hati saya meronta ingin kelahiran semula dan hidup hakiki yang dicintai. Bayangkan, apa jua diminta, Dia beri kepada saya. Situasi ini berlarutan dan saya akui memang tidak mendapat kebahagiaan. Melalui satu proses penceraian dan berlaku lagi dalam rumah tangga.
“Tidak terkecuali, saya mengidam untuk ada anak lelaki dalam hidup. Dalam pada itu, saya bertemu wanita yang kini menjadi isteri. Enggan ambil waktu panjang, saya terus bernikah. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, kami dikurniakan dengan cahaya mata lelaki.
“Kemuncaknya, saya menunaikan umrah buat kali pertama pada tahun 2007 sambil depan Kaabah terfikir kenapa Dia menganugerahkan bakat seni ini. Akhirnya, saya sedar, suara ini sebagai tanggungjawab kepada orang lain,” ucap Amy dengan getar suara perlahan.
Usai pulang dari Tanah Suci, pelantun lagu Isabella itu terdorong untuk menjalani penghijrahan. Tambah lelaki berusia 52 tahun itu, dia seperti menjalani fasa penyucian di rumah Allah sehinggakan menikmati perasaan sukar terucap dengan kata biasa.
“Rupa-rupanya, setelah diimbas kembali, lagu-lagu saya nyanyikan selama ini ada maksud mendalam. Malah, Dia menguji saya dengan ujian yang tidak terpandang termasuk pernah ditipu wang ringgit sehingga menangisi insiden berlaku akibat terlampau kecewa.
“Saya bagaimanapun bersyukur kerana selepas tiga tahun lalu, akhirnya saya mula nampak apa yang diingini dalam hidup. Kalau ada duit banyak sekalipun, ia tetap tidak beri kebahagiaan sebenar. Jiwa kita yang seharusnya ada cinta kepada Dia,” luah Amy.
...........................
tahniah buat kedua-duanya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.