Langkau ke kandungan utama

Beri aku kesempatan

1

Sepasang mata meleret ke arah sekumpulan pekerja yang sedang sibuk mengemas di halaman. Khemah-khemah yang berdiri megah sepanjang pagi tadi, kini sudah dibuka untuk diambil semula oleh tuannya. Sehari dua lagi, pasti akan ada mereka yang lain yang akan menyewa khemah-khemah tersebut.

“Hmm, apa yang kamu tengok tu, Azida?” Pak Aziz bertanya apabila dilihat si anak begitu tekun memerhati pekerja Indonesia seramai 3 orang itu memunggah khemah. Risau pula jadinya, manalah tahu kut-kut nanti terberkenan pula anaknya dengan mat indon, satu hal pula nanti!

Azida melepaskan sebuah keluhan. Dia berpaling, memandang wajah ayah dalam kesayuan. Sepasang mata sedikit berkaca. Suara menjadi serak bila dia menjawab, “Kesian Zira, ayah. Kesian kita! Ayah buat kenduri dengan harapan semua anak beranak kita dapat berkumpul, tapi, tengoklah! Siapa yang tak jenguk sampai ke sudah? Tak ada orang lain! Mestilah Azira binti Aziz. Tiap kalipun, mesti dia!”

Pak Aziz terkedu. Dia tidak menyangka bahawa perkara itu yang sedang Azida fikirkan. Perkara ketidakhadiran Azira, anak keduanya.

Azira ialah adik Azida, namun umur mereka sama. Seorang lahir pada awal tahun, yang seorang lagi lahir di hujung. Umur kedua-duanya sudah mencecah 26 tahun dan Azira sudah pun berkahwin sebaik menamatkan pengajian lebih setahun yang lepas sementara Azida pula masih lagi solo.

“Buat apalah memikirkan orang yang tak sudi hadir kenduri doa selamat tu, Azi. Biarkan aje. Satu hari nanti, dia tentu memerlukan mak dia ni juga. Hah, waktu tu, baru mak hendak sembur dia cukup-cukup! Mak nak luahkan rasa sakit hati emak ni semenjak dia berkahwin.”

Dua pasang mata menatap wajah Puan Islah tajam. Hari ini, buat pertama kali, suami dan anak sulungnya mendengar suara hati yang tersembunyi sekian lama. Hari ini, buat pertama kali, dia melontarkan kemarahan terhadap anak yang selama ini ditatang bagaikan minyak yang penuh. Anak manjanya yang persis sudah lupa kepada jalan pulang ke rumah usang mereka di Gombak Setia.

“Macamlah Azira tu berkahwin dengan orang jauh sampaikan nak balik jenguk emak di sini pun tak boleh. Telefon tidak. Sampaikan pesan pun tidak. Diam, sunyi, sepi dia di Kota Kemuning tu!” Marah Puan Islah lagi.

Azida duduk di atas kerusi. Secangkir kopi kemudian disuakan kepada ayahnya. Dia sendiri mencedok bubur kacang ke dalam sebuah mangkuk lalu menyisipnya perlahan-lahan. Di dalam kepala, dia sudah merancang ingin menjenguk adiknya esok. Dia ingin meluahkan rasa marah atas sikap Azira yang suka mengasingkan diri sejak adiknya itu berkahwin.

“Hairan ya, mak? Perkahwinan sepatutnya mendekatkan dua buah keluarga. Perkahwinan sepatutnya mengeratkan silaturrahim. Malangnya, sampai hari ini, selepas hampir dua tahun Zira tu berkahwin dengan Hasif, usah kata hendak mengenali keluarganya, dengan si Hasif, mangkuk ayun tu pun, kita masih tak mengenali sepenuhnya. Dia tu semacam aje dengan kita semua. Hisy, sombonglah konon! Kalaulah dia tu anak orang kaya, tak apalah juga. Ini, anak pemandu teksi aje!” Luah Azida.

Sesungguhnya, Azida memang tidak langsung menyukai lelaki bernama Hasif itu. Bahasa percakapan lelaki itu terlalu kasar dan kesat. Suka menunjuk-nunjuk. Hidung tinggi! Perasan kacak. Entah macam manalah adiknya boleh terpikat dengan mamat tu, tidak dapat difahaminya.
.................................
2

Hari ini, Azida meminta cuti separuh hari daripada ketua departmennya. Berkerut juga dahi Encik Fariz sewaktu menandatangani surat cuti itu tadi namun Azida buat endah tak endah. Dia sedang risau. Berbagai-bagai perkara yang tidak baik sedang berputar ligat di dalam kepalanya.

Dia tidak mengerti mengapa Azira tidak mengangkat gagang telefon. Azira seorang suri rumah. Sepatutnya, waktu tengah hari begini, Azira ada di rumah. Tapi mengapa panggilannya tidak dijawab?

Ketika sampai, pintu pagar rumah teres dua tingkat itu terbuka luas. Azida terus memandu masuk sehingga di anjung. Dia melihat pintu hadapan juga sedang ternganga.

“Biar betul Zira ni! Semua pintu dibiarkan begitu. Macam mana kalau pencuri masuk? Dah biul ke apa budak ni?” dia mengomel. Dia lemas memikirkan sikap adiknya. Sejak kecil sehingga ke hari ini, Azira masih lalai dalam menjaga harta benda sendiri.

Salam masih tidak berjawab walau sudah berkali-kali diberi. Keadaan ruang tamu pula  bersepah-sepah. Azida mula diburu resah. Risau melatari air wajah. Sebaik pintu dikunci, dia berlari lalu menaiki tangga untuk ke bilik utama. Hati tidak tenteram terutama bila melihat ada tompok-tompok darah di atas lantai.

“Zira?” Pintu bilik dibuka sedikit. Dia bersuara lagi, lebih lantang sekali ini. “Zira?”
Begitu nama dilaung, Azira yang sedang kesakitan di dalam bilik segera menoleh. Dia cuba menyembunyikan muka daripada pandangan kakaknya.

“Zira, kenapa ada tompok-tompok darah dari ruang tamu sampai kat pintu bilik tu? Apa yang dah berlaku?” tanya Azida sebaik sahaja dia terpandang kelibat adiknya yang sedang duduk di hujung katil. Hati semakin diterjah rasa ingin tahu kerana dia menyedari bahawa sekilas, adiknya melarikan wajah daripada pandangan.  

Azida tidak menanti jawapan. Dia segera berdiri di hadapan Azira. Dagu Azira yang sedang menunduk diangkat, walaupun Azira berusaha menyembunyikan wajah. Sebaik terpandang, Azida menarik nafasnya dalam-dalam. Apa yang selama ini dikhuatiri, sudah benar-benar terjadi. Apa yang selama ini dirisaukannya, sudah menjadi kenyataan. Bibir dikertap tanda geram. Penumbuk dikepal, tanda marah.

“Zira okey. Zira tak apa-apa! Luka sikit aje ni!”

Azida hanya mampu menjeling. Dia tidak kuasa bersuara. Hatinya sedang terlalu sakit. Dibimbangi, tangannya naik ke pipi si adik, sebagai hadiah di atas kebodohan Azira selama menjadi isteri kepada lelaki yang tidak berguna itu! Dia lantas menarik tangan Azira supaya bangun berdiri. Ditariknya tubuh yang longlai itu dengan kasar dengan niat membawa wanita itu ke kereta.

“Kak Azi nak buat apa ni? Zira tak boleh ikut kakak. Berdosa tahu kalau Zira keluar tanpa izin Hasif. Lepaskan! Lepaskan Zira!” tangan disentap dengan kuat namun kudrat yang sudah banyak kehilangan, tidak memungkinkan Azira menang di dalam pergelutan itu.

Azida sudah seperti kerasukan. Dia tidak mempedulikan rayuan si adik. Azira ditolak masuk ke dalam kereta Honda Jazz miliknya. 

“Kau ni perempuan paling bodoh dalam dunia, Zira. Kau buang keluarga kerana jantan sial tu! Kau redha apa aje yang dia buat pada kau. Dia pukul kau, dia buat maksiat depan mata kau, dia mabuk, dan, kau masih cakap, ‘berdosa Zira keluar rumah tanpa izin Hasif!’ Habis, apa yang dia buat tu, tak berdosa? Hah? Dah berapa kali aku cakap, tinggalkan dia! Tinggalkan dia! Kau buat pekak! Konon cinta! Sayang! Mujur aku datang hari ini. Kalau tidak, mahu jumpa mayat kau yang dah reput agaknya? Itu yang kau mahu, Zira? Biar kau mati dikerjakannya baru kau nak tinggalkan dia?”

Azida mengamuk sambil memandu. Dia benar-benar naik angin. Tangisan Azira tidak dipedulikan. Dia sudah nekad. Hari ini, ibu dan ayahnya perlu tahu apa yang berlaku di dalam rumahtangga adiknya. Dia tidak mahu lagi menyembunyikan hakikat. Dia rela dimarahi ibu dan ayah hari ini kerana telah merahsiakan perkara penting begini namun, dia tidak akan sekali-kali membiarkan Azira lagi! Dia tidak akan membenarkan Hasif menganiayai adiknya walau untuk sekali lagi!
.......................
3

Puan Islah meraung melihat keadaan Azira. Pak Aziz pula mengeluh panjang. Saat ini, hanya kesalan yang merajai hati masing-masing. Mereka amat menyesal kerana menerima Hasif bin Ikbal menjadi menantu mereka. Ya, mereka benar-benar menyesal.

“Kenapa kamu biarkan dia buat kamu macam ni, Zira? Mana perginya akal kamu? Macam mana kamu boleh tahan semua perbuatan dia pada kamu?” tangis Puan Islah.

Azira cuba memujuk dengan berkata, “Sikit aje ni, mak. Kak Azi aje yang lebih-lebih!”

Azida tergelak kecil. Sinis sekali bunyinya. “Sikit? Mata lebam macam nak terjojol keluar tu, sikit ya? Bibir pecah, bengkak, pun sikit? Jalan sampai tak boleh hendak menegakkan badan tu pun, sikit jugak! Kau belalah sangat suami kesayangan kau tu! Bela! Dah setengah mati dikerjakan pun, masih jugak hendak membela si jahat tu!” Jerkahnya.

Azira memberanikan diri membalas renungan menyinga kakak sulungnya. Sejak dulu, dia berasa sukar untuk menerima teguran dan kemarahan Azida terhadap suaminya. Katanya, dia kenal siapa Hasif. Hasif, lelaki pilihannya. Lelaki kesayangannya. Memang, memang dia merelakan apa sahaja yang mahu dilakukan Hasif kepadanya kerana seperti yang pernah Hasif katakan dahulu,

‘Apa sahaja yang Hasif lakukan kepadanya semuanya kerana lelaki itu terlalu menyayangi dirinya. Terlalu menyintainya.’

Azira merelakan. Kerana dia sendiri sangat memerlukan Hasif di dalam hidupnya. Dia tidak mahu nanti disebabkan oleh kedegilannya, Hasif pergi meninggalkan dirinya begitu sahaja! Tidak, dia tidak mahu kehilangan Hasif!

“Akak apa tahu? Akak tak pernah berkahwin! Tak pernah bercinta. Kak, rasa sayang yang ada dalam hati ini mengizinkan Hasif buat apapun pada Zira. Zira tak kisah. Asal dia tak tinggalkan Zira. Zira bukan akak. Zira tak suka hidup sorang-sorang macam akak!” bentak Azira sambil menangis. Dia risaukau Hasif. Bagaimana kalau suaminya balik sekarang? Tentu Hasif merajuk dengannya. Arghh, ini semua Kak Azi punya fasal! Penyibuk!

Azida tersentak. Dia tidak dapat mempercayai Azira sanggup berkata begitu kepada dirinya. Hanya kerana dia belum berkahwin, maka adakah dia suka hidup sendirian begini? Tergamak Azira membandingkan hidup mereka berdua?

“Hasif bukannya jahat sangat. Bukan selalu dia pukul Zira. Dia hanya begini kalau dia tertekan. Nanti, dia akan mintak maaf balik!”

Puan Islah, Pak Aziz dan Azida saling berpandangan. Mereka sungguh-sungguh keliru dengan sikap Azira. Adakah cinta terlalu membutakan mata dan hati? Adakah cinta memaksa diri menerima segala macam perbuatan yang tidak patut dilakukan oleh pasangan? Di mana hak dan kewajipan? Di mana hak dan tanggungjawab?

“Tak termaktub semasa kamu diijab kabul bahawa seorang suami boleh memukul isterinya sehingga hampir mati, Azira! Malah, seorang suami tidak punya hak untuk memukul isteri sama sekali kecuali untuk menyedarkannya supaya kembali ke jalan Allah. Itupun bukan dengan niat menyakiti, cukup sekadar untuk menyedarkan. Masalah kamu sekarang ialah, suami kamu tu memukul, memijak, mendera kamu semasa dia mabuk. Ayah tak suka tu! Dah jadi tanggungjawab ayah memisahkan kamu dengan dia sebelum yang buruk berlaku. Jadi, kamu tinggallah di sini. Nanti, kita pergi ke hospital, ambil laporan doktor. Daripada situ, kita akan ke balai polis.....”

Buntang mata Azira mendengar kata-kata ayahnya. Dia kemudian menjeling tajam ke arah kakaknya. “Ini semua akak punya pasal! Dah awak tu andartu, janganlah heret Zira supaya jadi janda pulak! Dah awak tu tak laku, jangan kacau rumah tangga adik sendiri. Jangan paksa adik tinggalkan suami! Sepatutnya, akak jaga tepi kain sendiri, tahu! Jangan menyibuk hal rumahtangga Zira! Zira benci akak! Zira...”

Puan Islah menampar pipi Azirah. Sakit hatinya mendengar cemuhan Azira terhadap Azida. Biadap sungguh! Mengapa Azira mampu mengeluarkan kata-kata kesat itu? Azida sekadar ingin menolong namun si kakak dimarah, diherdik dan dicerca dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya diucapkan. Mengapa begini sikap Azira?
.................................
4

Azida memerhati lenggok lelaki itu menghampirinya. Hati sedikit gerun melihat wajah yang masam mencuka. Jarang lelaki itu hendak marah namun Azida tahu bahawa sekali ini, itulah yang telah dia lakukan. Dia, Azida, telah menaikkan angin Syed Aidid Zharfan ke tahap maksimum!

Kerusi ditarik dengan kasar sebelum lelaki itu duduk lantas berpeluk tubuh. Diri yang tegap tersandar ke belakang. Wajah yang putih bertambah merah. Namun, dalam keadaan wajah yang kelihatan berserabut itupun, harus Azida mengakui bahawa inilah lelaki paling tampan yang pernah ditemuinya.

“Err, you nak minum? I pesan air horlicks sejuk kegemaran you, ya?” Azida memberanikan diri untuk bertanya. Harap-harap, turunlah suhu kemarahan Aidid kepadanya selepas minum nanti.

Aidid enggan bersuara. Malas menyahut. Sekeping hatinya masih berbungkam marah. Dia masih tersangat emosi. Berita yang disampaikan oleh ibu dan ayahnya sebaik dia sampai daripada perjalanan yang jauh tadi benar-benar membuat dirinya tidak tenang.

“Kenapa you tolak pinangan I, Azida?”

Bulat mata Azida mendengar pertanyaan itu. Isk, itukah yang Aidid fikirkan? Bahawa dia telah menolak pinangan lelaki itu? Karut betul! Masuk meminangpun tidak, jadi bagaimana dia boleh menolak pula?

“Jawab soalan I tu, Azi. Kenapa you tolak pinangan I? Cakap!”

Hisy, ini yang aku tak berkenan ni! Sampai tersembur habis bila menjerkah orang. Uish! Simpan-simpanlah sikit air liur tu, bang!

Suhu kemarahan Aidid semakin membara terutama bila melihat Azida yang masih mampu tersengih walau dia sudah menjerkah tadi. Apa yang tidak betul dengan soalan yang dikemukakan? Apa yang lucu? Adakah?

“You nak permainkan hati dan perasaan I, ya? You buat I jatuh cinta pada you, tapi bila I nak sesuatu komitmen, you nak lari. You tak mahu kahwin dengan I. Cakap terus terang sekarang. You dah ada lelaki lain dalam hidup you ke?”

Azida membetulkan kedudukannya. Wajah Syed Aidid Zharfan ditatap lama.

“Azi...” Aidid sudah tidak sabar-sabar lagi.

Azida melepaskan keluhan. “Aidid, I mengaku yang I sebenarnya takut nak berikan komitmen. Dalam kata lain, I memang takut nak kahwin.” Bisiknya perlahan sambil menundukkan wajah.  

Lama Aidid memandang seraut wajah yang sudah tertunduk. “You takut apa? I? I tak akan makan you bila kita kahwin nanti.” Entah daripada mana dia mendapat idea untuk mengusik buah hatinya itu.

“You tak faham!”

Aik? Azida menangis? Pelik! Lantas Aidid segera merapatkan kerusi mereka.

“Fahamkan I sekarang. Fahamkan I mengapa you sesedih ini setiap kali I mengutarakan soal kahwin. Terus terang dengan I! I nak dengar semuanya.” Pinta Aidid dengan penuh kelembutan. Bila Azida masih diam, Aidid semakin memaksa pula. “Azida, kita dah bercinta dekat setahun dah. Umur kita berdua bukannya remaja lagi, tahu. I dah 35 dan you dah 29. Kehidupan kita masing-masing dah cukup stabil. Apa yang kita perlukan sekarang ialah berkahwin dan membina sebuah keluarga yang bahagia. I teringin hendak punya anak-anak dan I cuma hendakkan you jadi emak diorang. I mahu jadi ayah kepada anak-anak yang you kandung, Azi. Nak hidup dengan you, dengar gurauan you, kena marah dengan you, kena leter dengan you, dan menjadi tua dengan you. Banyak sangat ke permintaan I tu, Azida binti Aziz?”

Azida menggeleng-gelengkan kepala di dalam rasa keharuan. Dia akur. Sememangnya, tidak banyak mahunya lelaki yang duduk di sisinya ini. Tidak banyak yang dipinta. Aidid hanya mahu menjadi suaminya. Aidid hanya mahu menjadi ayah kepada anak-anaknya. Tapi, mengapa dia masih belum mampu memberi peluang itu kepada Aidid? Mengapakah masih ada rasa takut itu? Kenapa masih teringat kepada cerita...

“Aidid, you tak terbang kan, esok?”

Aidid ialah seorang juruterbang pesawat MAS. Jadual kerjanya sudah dihafal oleh Azida. Dia bertanya sekadar berbasa basi. Anggukan lelaki itu memang dinanti.

“Esok you ikut I, ya?” Sepasang mata penuh mengharap.

Aidid melepaskan keluhan. “You selalu hendak lari daripada persoalan yang kita sedang bincangkan. Azi, kita perlu selesaikan...”

Azida segera menarik kembali tangan kanan dan jari yang diletakkan di bibir Syed Aidid Zharfan. Dia kemudian menuturkan, “Apa yang kita akan bincangkan ini ada kena mengena dengan hari esok. You kata, you perlu tahu sebab mengapa I takut hendak berkahwin, kan? Esok, you akan temui jawapannya. You ajak umi dengan abah you sekali, okey? Datang ke rumah I, lepas tu kita sama-sama pergi ke sana.”

Hanya sekuntum senyuman hambar yang mampu Azida sedekahkan kepada Aidid yang keliru. Ya, esok, semuanya akan berakhir. Esok, segala kekusutan akan terlerai. Semuanya akan terjawab esok. Segala-galanya!
................................      
5

Mereka kini berada di luar Bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam. Perbicaraan sudahpun selesai. Akhirnya, selepas hampir 3 tahun, hukuman setimpal di dunia, sudahpun dijatuhkan.

“Defendan Hasif bin Ikbal, kamu didapati bersalah membunuh dengan niat, isteri kamu yang bernama Azira binti Aziz di rumah beralamat, No 2, Taman Kemuning Indah....”

Azida memandang ke arah ibu dan ayahnya yang kini sedang bertangis-tangisan bersama-sama ahli keluarga Hasif. Dia melihat ibu Hasif, Puan Saerah membisikkan sesuatu di telinga ibunya. Dia tahu, sebagai seorang ibu, Puan Saerah tentu tidak pernah berdoa untuk melahirkan seorang pembunuh. Dan, Azida juga tahu bahawa pada saat dan ketika ini, Puan Saerah tentunya berasa tersangat malu dan aib atas perbuatan anak sulung daripada 7 orang anak-anaknya itu. Namun, dapatkah air mata dan kesedihan mereka mengembalikan Azira kepada ibunya, Islah, dan ayahnya, Aziz?

“Kenapa you tak ikut ayah dan mak you jumpa mereka?” Entah bila Aidid berada di sebelahnya, Azida tidak tahu. Soalan yang dikemukakan, walau polos, dirasakan bagai menyindir dirinya.

“I tak ada apa-apa nak cakap pada mereka.” Balasnya ringkas.

“Tak guna you marahkan mereka. Yang bersalah dah pun dihukum. Emak dan keluarganya turut tercalar dengan perbuatan Hasif. Pergilah, ikut langkah mak ayah you dan belajarlah memaafkan.” Lembut kata-kata Aidid akhirnya menyebabkan Azida patuh dan bergerak mendekati keluarga bekas adik iparnya. Demi melihat dirinya, Puan Saerah segera memeluk Azida.

“Maafkan makcik sebab makcik tak tahu apa yang dilakukan Hasif pada Zira selama ini. Makcik ingat, mereka bahagia. Makcik tak sangka..”

Azida segera memotong percakapan wanita itu. “Sudahlah, makcik. Semua pun benda yang dah lepas. Tak guna diulang-ulang.”

Hanya itu yang mampu diucap ketika Azida mengusapi belakang tubuh wanita tua itu.        
.................................
6

“Mak, Zira tak ada dalam bilik dia, mak. Dia dah pergi!”

Bertalu-talu pintu bilik ibunya diketuk ketika dinihari menjengah. Hatinya rasa terkilan mengenangi sikap adiknya. Azira sanggup keluar daripada rumah ini di dalam kepekatan malam hanya kerana Hasif.

Pak Aziz terus sahaja melangkah keluar dengan laju. “Jom, jom kita pergi ke rumah diorang. Azira tentu balik ke sana. Jom!” tegas kata-kata dan tindakan bekas pegawai bomba itu.

“Bila agaknya dia keluar?”

“Entahlah, mak. Azi pun tak tau. Azi tak sangka yang dia hendak balik juga ke sana. Kenapa jadi begini, mak? Dia tak tahu ke bahaya yang menunggu dia di rumah itu?” tukas Azida. Dia bingung memikirkan Azira.

“Apa lagi tu? Jom cepat! Nanti kalau jadi apa-apa, menyesal tak sudah kita!”

Dari Gombak Setia, Pak Aziz memandu laju ke arah Lebuhraya MRR2. Keadaan sunyi dan trafik yang sedikit membolehkan dia memecut untuk ke LDP. Puan Islah tidak berleter seperti selalu. Kerisauan akan keselamatan Azira melebihi segala-galanya saat ini. Ada kesalan di dalam hati. Ya, Puan Islah kesal kerana mempercayai kata-kata Azira yang kononnya ingin bersendiri untuk menenangkan fikiran. Dia tidak menyangka bahawa Azira hanya menipu mereka. Dia tidak menyangka bahawa Azira akan sedegil ini!

Alangkah terkejut ketiga-tiga mereka kerana ketika mereka sampai, ada beberapa orang lelaki dan perempuan sedang berada di luar rumah. Sebaik sudah memarkir kereta di tepi jalan, Azida meluru keluar.

“Apa yang terjadi?” tanya dia dalam kegelisahan.

“Kita dengar bunyi orang bergaduh, adik. Suara perempuan menjerit kesakitan, sangat kuat tadi. Bila kita goncang pagar, itu lelaki halau kita. Dia cakap kita jangan sibuk. Tapi, kita risau. Suara itu perempuan sudah tak ada. Sudah diam!” seorang jiran memberitahu.

“Hasif, kamu bukak pintu ni! Jangan kamu dera anak aku lagi! Bukak pintu ni!” Pak Aziz menjerit lantang. Pagar digoncang kuat. Hatinya rawan. Cerita dan perkhabaran yang didengar membuat dia semakin bimbang.

“Tadi, masa itu perempuan sampai, uncle duduk sana bangku.” Mr Lim, jiran yang tinggal di hadapan memberitahu. “Itu lelaki nampak, terus dia pukul kepala. Belakang, dia tutup pintu. Uncle dengar itu perempuan menangis banyak kuat!”

Cerita terhenti apabila sebuah kereta peronda polis tiba. Begitu polis memujuk supaya Hasif membuka pintu rumah namun lelaki itu mendiamkan diri di dalam. Suara Azira juga tidak kedengaran. Keadaan itu berlarutan sehingga sejam kemudian apabila pihak polis akhirnya nekad untuk memecah masuk.

Suasana sungguh pilu apabila jurucakap polis berbisik bahawa mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sisi katil. Pihak forensik yang tiba kemudian mengesahkan bahawa Azira meninggal dunia akibat hentakan di kepala dan tendangan bertubi-tubi di perutnya. Yang lebih menyedihkan, Azira disahkan keguguran kandungan yang baru berusia 3 bulan.

Tanpa sedar, Puan Islah meluru ke arah Hasif yang dibawa keluar dalam keadaan kebingungan.

“Apa dosa anak aku pada kamu, Hasif? Kenapa kamu bunuh anak aku? Dia isteri kamu. Dia sayangkan kamu! Kenapa kamu buat dia macam ni? Kenapa?”
............................................
7

Azida mengelap air mata yang turun bagaikan hujan lebat di pipi. Inilah kali pertama, dia menceritakan tentang Azira kepada Syed Aidid Zharfan. Inilah kali pertama, dia dapat mengulangi cerita pedih itu. Taman Tasik Permaisuri menjadi saksi dukanya.

“I tak sangka, itu kisah adik you. Selama ini, bila I baca  tentang perbicaraan Hasif, I memang berharap agar dia mendapat hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.” Nafas dihela. “Macam mana dia boleh menjadi sekejam itu pada arwah adik you?” tanya Aidid bersungguh-sungguh.        

“Mungkin sebab dia rasa Azira tak boleh hidup tanpa dirinya. Sejak mereka bercinta, arwah Zira sentiasa akur dengan segala kehendak Hasif. Sebab itu dia besar kepala. Entahlah, Aidid. Dari mula, I memang tak berkenan dengan lelaki tu tapi dia bermulut manis. Depan mak ayah I, dia cukup lembut. Dan Zira memang sangat-sangat menyanjunginya. Sakit dan semua yang Hasif buat, disorokkan daripada kami.”

“Dan, you?” Aidid memandang wajah Azida tepat-tepat.

Azida terkedu. “Kenapa dengan I?”

Aidid ingin mencapai jemari gadis itu namun Azida sempat mengelak. Aidid tersengih nakal.

“Kenapa dengan I?” Azida menekankan soalannya.

“You takut nak kahwin dengan I. You takut nanti I pun jadi macam Hasif jugak. Pukul isteri sesuka hati. Sebab itu you menolak pinangan I. You tak mahu menderita. You takut untuk mencuba!” tuduh Aidid.

Azida hanya mampu menekur. Hanya mampu berdiam diri. Kerana kini, Aidid sudahpun mengetahui apa yang menyebabkan dia menolak lamaran lelaki itu.

“You tak adil!”

Sebuah renungan hampa dibalas dengan pandangan keliru.

“Kalau you nak menghampakan I, you tak sepatutnya membenarkan I jatuh cinta dengan you. You tak sepatutnya jatuh cinta dengan I. Malangnya, perasaan tu dah meresap jauh dalam hati kita. Jadi, I nak merayu pada you lagi, Azi. Beri diri kita peluang untuk hidup bersama. Lupakan Hasif, kerana I bukan dia.”

Azida mendengus keras. “You cakap memang senanglah! You tak mengalami sendiri. You tak tengok mayat adik I tu! You tak tahu!” marahnya.

Aidid memandang seraut wajah yang kusut itu. Cantik namun dibebani dengan pelbagai perasaan yang masih mencengkam diri. Trauma! Itulah istilah yang paling sesuai untuk menggambarkan Azida.             

“Dengar cakap I ni, Azi. Kita, you dengan I, akan sama-sama berjumpa kaunselor. I mahu you mendapat rawatan untuk mengurangkan kesakitan akibat kehilangan Azira. Dan, I pulak, akan cuba mendapat khidmat nasihat untuk menjadi suami yang you harap dan ingini. I serius dengan apa yang akan kita bakal tempuhi. I serius hendak mendirikan rumahtangga dengan you. Bukan sekarang, tapi, bila you sudah bersedia nanti. Sekali lagi, I nak tegaskan pada you yang I bukan Hasif. Dan, I tetap percaya bahawa satu hari nanti, kita akan kahwin dan hidup bahagia.”
..........................
8

Setahun kemudian.....

Azida kini berada di KLIA. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi menanti kepulangan suaminya.

Mereka diijabkabulkan kira-kira 5 bulan yang lepas. Alhamdulillah, Aidid menepati janjinya. Seperti yang sering diulang-ulang, sesungguhnya, Syed Aidid Zharfan bukan Hasif. Mereka dua lelaki yang berbeza. Dan, Azida sering melafazkan kesyukuran kepada Allah kerana mengurniakan dirinya seorang suami yang cukup sabar melayan kerenah dan ragamnya.

Seulas bibir menguntum senyum yang manis bermadu demi melihat dirinya. Senyuman itu dibalasnya bersama lirikan mata yang menggoda. Sebaik Aidid berdiri di hadapannya, tangan lelaki itu dikucupi mesra.

“Selamat hari jadi, abang.” Bisiknya lembut.

“Oh, abang ingatkan Azi dah lupa. Okey, mana hadiah untuk abang?”

Azida ketawa sambil memberitahu bahawa untuk Aidid mendapat hadiah itu, mereka harus segera pulang. Di rumah, katanya, semua orang sudah tidak sabar-sabar menanti kepulangan mereka. Aidid mengharapkan penjelasan lanjut tetapi Azida enggan bercerita.
.........................
Suasana meriah sekali. Kaum keluarga yang berkumpul kelihatan riang, bergurau senda. Ketika Aidid usai mengerjakan solat dan kini sedang berdiri kacak di muka pintu dengan berbaju Melayu, Azida pantas sahaja meminta ayahnya mematikan lampu. Tidak lama kemudian, skrin LCD terpasang. Seluruh tumpuan kini dihalakan ke situ.

Aidid terjerit kecil melihat paparan yang ditayangkan. Gambar-gambar yang memberitahu bahawa dirinya bakal menjadi seorang ayah tidak lama lagi memenuhi skrin. Dalam suram cahaya, dirinya dipeluk bergilir-gilir oleh ibu, ayah, dan mentua.

“Abang, terima kasih atas kekuatan yang abang tumpangkan kepada Azi selama ini. Terima kasih kerana bersabar. Terima kasih kerana percaya pada Azi. Ini hadiah istimewa Azi untuk abang sempena hari jadi abang. Azi tahu, abang memang dah lama menginginkannya. Semoga, anak kita ini bakal mengeratkan lagi hubungan kita, ya, bang.”

Puan Islah berbalas senyum dengan suaminya, Pak Aziz. Akhirnya, lengkaplah sudah hidup mereka. Duka lama sudah beransur hilang. Dan semoga, tidak ada lagi seorang perempuan pun yang terpaksa menghadapi angin panas baran dan keceluparan seorang suami seperti Hasif.

Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui. Sesungguhnya Dia Pentadbir seluruh Alam. Dia yang mengatur Hidup Kita. Dia Penentu Segala.

“Abang...”

“Hmm..”

“Terima kasih kerana berikan Azi kesempatan menjadi isteri abang, ya.”

Aidid ketawa. “Sekarang dah tak takut lagi, ek?” usiknya.

Azida tersengih lebar. “Takut jugak!” balasnya.

Aidid mengerutkan dahi. “Takut apa lagi?”

Leher suami dipeluk kemas lalu dia menjawab dengan selamba, “Takut terbersalin setiap tahun, bang.”

Senda gurau menemani malam seperti selalu.
..........................

Dah lama tak masuk cerpen. Harap anda suka.
sofi           

Ulasan

  1. hihihi..
    suke suke

    BalasPadam
  2. Kasih & cinta haruslah b'pada-pada.
    Kalau b'lebihan merana jd.nya
    Kan bersederhana itu sgt dituntut.

    Tq cg.sofi, atas bingkisan yg menarik.:)

    BalasPadam
  3. haahaha
    cnfirm suke
    x pnah x suk citer kt cni

    BalasPadam
  4. salam,

    maylin, thanx

    iffahnazifa,betul sesangat kata2 iffah tu!

    itu_aku, terima kasih...

    miznza, thanx hehe

    sayang anda semua
    sofi

    BalasPadam
  5. cinta mesti ada batasan...
    sayang mesti berpada-pada...
    biarlah cinta dan sayang hanya pada pencipta...itu cinta dan sayang yang paling agung...apa pun yang berlaku jgn sekali membelakangkan keluarga...

    cerita yang penuh dengan pengajaran dan ikhtibar...

    tahniah buat kak sofi

    BalasPadam
  6. salam seed169,
    betul, cinta mesti ada batasnya,
    cinta agung hanya pd DIA
    and thanx

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…