Langkau ke kandungan utama

Cerpen : Rindu dan Air Mata

1

Umar melangkah dengan tenang dalam samar-samar sinaran lampu di sepanjang jalan pulang ke rumahnya. Mendongak ke atas, hati terasa damai melihat kerlipan bintang-bintang yang bertaburan di dada langit. Bulan sudah mula mengecil, menandakan bilangan hari berpuasa sudah mahu sampai ke penghujungnya. Ya, malam ini, malam ke 21 bulan Ramadhan, bererti tinggal 9 hari lagi untuk umat Islam mengerjakan ibadah puasa, 9 hari sahaja lagi untuk meningkatkan amalan sebelum Syawal menjelang. Terasa sayu hendak berpisah. Hati dilanda resah dan gelisah bila memikirkan apakah tahun hadapan mereka akan diketemukan lagi. Apakah dirinya masih diizinkan Tuhan untuk menikmati keindahan Ramadhan seperti mana yang dikecapi pada tahun ini? Wallahu’alam. Hanya Dia yang Maha Mengetahui!

Malam ini dia agak lambat sampai ke rumah. Sebaik sudah mengerjakan solat sunat terawih tadi, dia berjalan kaki menuju ke gerai Pak Amir untuk membeli kuih pau berintikan kacang hitam yang dipesan oleh si cilik, Ika, kepadanya, sejak pagi-pagi lagi. 

Ika, satu-satunya permata hati, baru berusia 5 tahun. Tahun ini, anak sulungnya itu menjalani ibadah puasa buat kali pertama. Alhamdulillah sehingga ke hari ini, Zalika, berjaya menyempurnakannya. Tapi, itulah, ada sahaja yang diidamkan semasa berbuka. Semalam, Ika mahu makan nasi ayam. Hari ini, dia mahukan mi bandung dan esok katanya dia teringin hendak makan mertabak pula. Umar amat bersyukur kerana mendapat isteri yang sangat sabar melayan kerenah anak mereka. Alya tidak pernah merungut malah bila Umar mahu membeli sahaja apa kehendak Ika di Bazar Ramadhan, Alya menghalang. Katanya, dia boleh menyediakan semua makanan itu.

Sedar tidak sedar dia sudahpun sampai di hadapan rumah. Dari dalam, suara Ika sedang bertingkah dengan suara Alya. Umar mengukir senyum. Entah apa pula yang direngekkan kepada ibunya kali ini! Ika! Ika! Ada-ada sahaja ragamnya.

“Kawan-kawan Ika semua balik kampung raya ni, ibu!”

Di luar, Umar yang sudah duduk di atas buaian mengerutkan dahi.

Suara lembut isterinya kedengaran. “Semua?”

“Ya, bu! Semua! Habis tu,  macam mana Ika nak pergi ke rumah dia orang? Tak ada siapa nak bagi Ika duit, kan? Sebab semua uncle dengan aunty balik kampung,” balas Ika.

Alya ketawa. 

“Ika, Ika pergi berhari raya tu nak duit lah, ya? Isy, tak baik tu! Patutnya, bila beraya, Ika bersalam-salam dan minta maaf sambil makan-makan,” katanya.

“Alah, ibu dengan ayahpun bagi duit raya pada kawan-kawan Ika jugak, kan? Ika pun hendak juga dapat duit raya daripada dia orang!”

Umar menggeleng mendengar kepetahan anaknya. Memang Ika, kalau pasal berdebat, hmm, mesti hendak menang sahaja.

Lama suasana bisu sebelum Ika bertanya. “Ibu, kenapa kita tak balik ke kampung?”

Umar terkedu mendengar soalan itu. Kaki yang sedang mengayun buaian, terhenti dengan sendiri.

“Kita mana ada kampung?”

“Ibu bohong!”

“Ika?” keras suara Alya menegur.

“Sori!”

Aduhai, si cilik sudah mula menangis. Kasihannya dia!

“Dah, jangan nangis, okey. Ika budak baik, kan!”

Mungkin saat ini, Alya sedang menghentikan apa juga yang sedang dilakukan untuk memujuk Ika. Rajuk Ika akan berpanjangan jika dibiarkan. Alya memang tidak suka jika Ika merajuk. Sunyi seisi rumah, katanya.

Umar melepaskan keluhan. Pertanyaan Ika tadi menyentap tangkai hati. Sakit tertusuk jauh ke dalam. Sudah lama cuba dilupakan namun soalan itu menggamit memori kepada kenangan 10 tahun dahulu. Kenangan di Kg Durian Sebatang, Teluk Intan, Perak. Kampung halaman, tempat dirinya dilahir dan dibesarkan di dalam keluarga yang terdiri daripada emak, ayah, dua orang abang dan seorang kakak. Keluarga yang serba sederhana.
.....................
2

“Ulang balik apa kamu cakap, Umar. Kamu nak kahwin? Umur baru 21 tahun, kerja pun tak tetap, hidup pun masih lagi bergantung pada aku, kamu dah gatal nak kahwin?” Pak Mansor (Pak Cot) menjerit. Wajah Umar, anak bongsunya direnung bagai ingin menelan.

“Siapa kata saya kerja tak tetap? Kan saya dok kerja cedok pasir kat depan tu? Bukankah saya bekerja membuat bata dengan taukeh Ah San tu? Saya ada gajilah, ayah! Saya boleh bagi makan anak dara orang. Tak kebulur punya si Alya tu nanti!”

Untuk jawapan yang kasar itu, dia dihadiahkan penampar oleh Pak Cot. Berdarah bibirnya.

“Kamu ni memang anak tak guna, tahu! Dari kecik, ada-ada aje yang kamu nak buat untuk menyakitkan hati aku dengan mak kamu!” Pak Cot mengherdik.

Mak Esah mengangguk. 

“Hmm, betul cakap ayah kamu tu! Eh, Umar! Tak boleh ke kamu jadi macam abang-abang, macam kakak Noni kamu, hah? Tengok dia  orang! UPSR cemerlang, dapat duduk di sekolah berasrama penuh. Keputusan PMR pun terbaik. Tengok Along! Lepas SPM, dah terbang ke Ireland. Sekarang dah bukak klinik sendiri dah! Berjaya dia! Angah pulak? Pun dah ada syarikat guamannya sendiri. Kak alang kamu dah jadi arkitek. Kamu? UPSR? A pun tak ada. PMR? Sama! SPM? Hanyut! Eh, kamu tak malu ke dengan dia orang?” rungutnya.

Umar mengeluh. Balik-balik, itulah yang dilakukan oleh kedua-dua orang tuanya. Asyik sahaja membanding-bandingkan dirinya dengan abang-abang dan kakaknya. Menyesal sungguh mereka mendapat anak yang bodoh sepertinya. Menyesal sungguh mereka mendapat anak bongsu ini yang malas belajar. Dirinya digelar dengan pelbagai nama. Pemalas? Manusia bodoh? Bahlul? Macam-macam yang tidak tersenaraikan!

“Ni, dah nak kahwin pulak! Umur baru 21 tahun dah gatal nak kahwin. Dah banyak duit yang kamu simpan untuk belanja kahwin tu?” Mak Esah bertanya sambil menjeling.

Umar membayangkan wajah buah hatinya, Alya Ishak. Gadis itu juga masih muda. Baru berusia 20 tahun. Baru sahaja menamatkan persekolahan di Tingkatan Enam dan sudah mendapat keputusan Peperiksaan STPM yang baik. Malangnya, gadis itu tinggal bersama-sama ayah tiri dan ibunya. Ayah tirinya, Pak Sameon mahu mengahwinkan Alya dengan anak kawan karibnya. Dia sudah menyatakan bahawa dia mahu perkahwinan itu berlangsung dalam masa terdekat.

Alya yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran hingga ke universiti menolak dengan kerasnya. Dia tidak mahu berkahwin apatah lagi dia sudah mempunyai kekasih hati, iaitu Umar. Katanya, kalau dia berkahwin, tentu pilihannya ialah Umar! Ibu yang memahami, meminta supaya Umar datang ke rumah. Apabila diceritakan apa yang berlaku, tanpa berfikir panjang tentu sahaja Umar mengaku mahu berkahwin dengan Alya. Yalah, tak mungkin dia sanggup melepaskan buah hati kepada lelaki lain, kan? Namun wang simpanan selama 3 tahun hasil penat lelah sebagai seorang buruh kasar tidaklah sebanyak mana, hanya ada dalam RM 1500 sahaja.

“Ai, si Enah tu sanggup jugak nak kahwinkan kamu berdua? Kenapa? Dia nak bagi percuma aje ke anak perempuan dia tu?”

Geramnya Umar namun ditahankannya. 

“Kata Mak Enah, cukuplah sekadar duit mas kahwin RM101.00. Lain-lain tak perlu!” Dia memberitahu.

“Hah! Jual lelonglah tu!” Mak Esah mengutuk.

“Mak?” Suara Umar bergema nyaring.
...........................
3

Tanpa restu daripada kedua-dua ibu dan ayahnya, dia dan Alya berkahwin juga. Pak Sameon, walaupun pada asalnya berasa marah, namun demi isterinya, dia merelakan perkahwinan ini dengan syarat, Alya dan Umar tidak lagi menjejakkan kaki ke rumahnya. Mak Enah terpaksa akur dengan kehendak Pak Sameon.

Pilihan yang ada? Tebalkan muka dan tinggal bersama Pak Cot dan Mak Esah. Hati Umar terusik melihat layanan ibu dan ayahnya terhadap Alya berbanding layanan mereka kepada menantu-menantu perempuan yang lain. Alyalah yang akan memasak. Alyalah yang akan membasuh dan melipat kain, mencuci rumah, mengelap habuk. Alya dianggap sebagai orang gaji di dalam rumah itu.

“Ah, dah dia sorang yang tak ada pelajaran. Orang bodoh mestilah buat kerja berat!” kata ibunya. Kata-kata yang disambut senyuman sinis Along Rahman dan isterinya, Asiah. Sementara Angah Reza dan isterinya, Fida, ketawa besar. Kak Noni? Tersengih tentunya.

Umar berasa amat bersalah terhadap Alya. 

“Kalau Alya kahwin dengan Ashraf, anak Pak Hamid tu, tentu hidup Alya tak macam ni,” bisiknya di dalam bilik kecil mereka yang terletak berhampiran dengan dapur.

Alya ketawa. 

“Tapi, Alya dah serahkan diri Alya pada abang. Tentu Ashraf dah tak mahu,” usiknya. 

“Kita pindah, nak?” tanya Umar kepada isterinya. Dia ingin lari daripada kehidupan yang tidak bahagia ini. Baginya, lebih baik dia menjauh daripada ibu, ayah dan adik-beradik yang tidak pernah menghargai dirinya.

Alya meletakkan jari telunjuk di bibir Umar. “Jangan cakap macam tu. Nanti mak dengar, kecik hati dia.”

“Tapi,”

Alya meyakinkannya bahawa apa yang dilakukan sekarang adalah untuk suaminya. Pengorbanannya ini supaya Umar disayangi ibu dan ayah. Dia rela melakukan selagi terdaya. Dengan syarat, kasih sayang Umar hanya untuknya.
     
Namun, kenangan pada pagi hari raya 1421 H, amat melukakan. Isteri Along, Kak Asiah kehilangan kalung berlian pemberian suaminya. Tanpa usul periksa, dia menuduh Alya dan Umar yang mencuri kalung itu.

“Kak Long dah gila ke? Kami nak buat apa dengan kalung tu? Takkan saya nak hadiahkan pada Alya? Bodoh sangat ke saya, nak pakaikan dia dengan kalung Kak Long?” Umar membentak demi terpandang wajah isteri yang sedih.

“Memanglah! Bodohlah kamu kalau kamu pakaikan dia dengan kalung tu! Tapi, tentu kamu tak bodoh untuk jual dan beli barang kemas lain yang dah melekat pada badan dia tu, kan?”

Semua mata tertumpu kepada Alya. Masing-masing sedang memandang ke pergelangan tangan kiri isterinya. Ada seutas rantai tangan yang baru dibelinya ketika mereka ke pekan kelmarin. 

Alya dan Umar saling berpandangan sebelum Umar bersuara lantang. "Maksud kak long, rantai tangan ni?" 


"Mestilah! Jangan cakaplah kau beli rantai tangan tu dengan duit kau hasil kerja susun bata tu. Tak adanya kau mampu!" kutuknya. 


Tiba-tiba, Mak Esah mengamuk. Belakang tubuh Umar dipukul dengan batang penyapu yang sedang dipegang.

“Aku tak pernah ajar anak aku jadi pencuri, tahu! Aku tak pernah ajar anak aku jadi orang jahat! Itulah! Kalau dah anak pungut tu, anak pungut jugak! Tak sedar diri! Kita bagi dia tempat menumpang hidup, bagi dia madu, dibalasnya racun! Puas dididik untuk jadi manusia, tapi kalau dah memang keturunan tak baik, tak mahunya!”

Umar tidak mampu bergerak mendengar caci maki Mak Esah. Hasrat untuk mempertahan diri turut berkubur. Kata-kata ibunya menyentap pedih tangkai hati. 

Yang lain-lain juga turut terpaku di tempat mereka berdiri. Masing-masing sedang mencerna apa yang baru sahaja didengari.

Pak Cot yang baru naik ke atas rumah, terkedu. 

“Apa yang bising-bising ni, Esah?” tanya dia.
Mak Esah masih belum puas hati lagi. Segala rahsia laju dibongkar. Lupa pada janji untuk merahsiakan segala-gala. 

“Ni, anak pungut ni! Anak adik awak yang mati kat penjara tu!”

“Esah?” Suara Pak Cot bergetar, bagaikan memberi amaran kepada isterinya.

“Apa, bang? Sampai bila nak dirahsiakan? Memang si Umar ni anak adik awak, si Zetty, penagih dadah tu! Adik yang sudah dibuang oleh mak dan bapak awak, kan? Awak aje yang kesian pada dia. Yang sanggup bela anak dia! Tengoklah! Perangai jahat tu dah turun dah. Ni, mula-mula jadi pencuri. Kalung Asiah dicuri, dijual. Lepas tu beli gelang tangan untuk bini dia. Baguslah tu! Padan dah! Lama-lama nanti jadi pengedar dadah pulak!” 

Sesungguhnya, tidak ada yang lebih melukakan selain mendengar umpat keji daripada wanita yang selama ini dianggap sebagai ibu kandungnya. Kelukaan yang amat dalam yang tidak mungkin akan sembuh sampai bila-bila. Dia yang selama ini dibesarkan oleh mereka, sudahnya dicerca dan dihina. Jahat sangatkah dia?

Umar terus menarik tangan Alya. Dibuka gelang tangan itu dan diletakkan di atas lantai. Dia kemudian menarik tangan Alya lagi, kali ini mereka memasuki bilik pula. Beg pakaian dikeluarkan. Baju mereka suami isteri dicampak ke dalamnya. Kemudian, mereka melangkah keluar.

Di tengah-tengah ruang tamu, Umar bersuara lirih. 

“Terima kasih mak, ayah sebab sudi besarkan saya, anak pungut ini. Terima kasih sebab memberitahu asal usul saya hari ini. Terima kasih kerana cuba membesarkan saya menjadi orang yang berguna dan memang bukan salah mak atau ayah, saya jadi macam ni. Mulai hari ini, saya tak mahu membebankan mak ayah lagi. Halalkan makan minum saya. Halalkan semua yang dah mak ayah beri kepada saya. Sebab saya tahu, sampai saya mati, budi baik ini tak akan mampu saya balas. Izinkan saya keluar dari rumah ini. Cuma satu saya nak bagi tahu. Saya mungkin susah, mungkin miskin. Tapi, demi Allah, saya tak curi kalung berlian kak long tu. Tapi, saya bagi rantai ni. Ambiklah! Alya tak perlukannya."

...........................
4

Dari tadi, Alya asyik memerhati suami yang termenung jauh di atas buaian. Ketika Zalika pergi mengambil kuih pau dari tangannya, diserahkan begitu sahaja tanpa mengusik seperti selalu. Ketika dia sendiri menghidangkan air dan meletakkan di meja di tepi buaian, suaminya hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa.

Melihat suami menyeka air mata, Alya tahu, lelaki itu sedang mengimbau kenangan dulu. Begitulah selalunya di setiap Ramadhan. Pasti hati Umar akan terusik. Apatah lagi di pagi hari raya, air mata pasti menitis kerana kenangan tak bisa dilupakan.

Mereka membawa diri ke Kuala Lumpur, mencari kawan karib suaminya, Musa. Mereka menumpang di rumah lelaki itu selama dua hari. Musa membantu Umar mendapatkan kerja di sebuah stesen minyak.

Mereka berpindah ke sebuah rumah sewa satu bilik di Sri Gombak. Di sana, Alya meminta kerja di sebuah tadika. Hanya sebulan dia di situ kerana Alya mendapat tawaran menyambung pelajaran di UKM. Dia tersenyum mengingati kejadian yang berlaku di suatu hari.

“Alya? Apa ni?”

Alya mengerdipkan mata. Dia kemudian menjawab acuh tak acuh, “Surat tu! Alah, buangkan aje, bang!”

“Kenapa? Sebab abang miskin dan tak mampu nak tanggung pelajaran Alya? Gitu?” marah Umar.

“Alya tak cakap macam tu pun!” balas Alya lembut.
 
“Abang dah fikirkan tentang ini semua. Abang dah pergi ke pejabat zakat. Mereka beritahu, Alya boleh isi borang untuk meminta bantuan memasuki U nanti. Ni, PTPTN pun dah bagi pendahuluan sebanyak RM1500. Percayalah, abang akan bekerja keras untuk kejayaan Alya. Yang penting, Alya berjaya!”

Pengorbanan suaminya terlalu besar. Alya hanya perlu belajar dan belajar. Segala perbelanjaan hidup, Umar telah bertungkus lumus menyediakannya. Umar bekerja keras untuk menampung hidup mereka. Selain bekerja di stesen minyak, Umar mengambil inisiatif menjadi pemotong rumput di rumah-rumah di sekitar Gombak. Hanya bermodalkan tulang 4 kerat, mesin pemotong rumput dan minyak, mereka dapat hidup di KL dengan ceria. Hati pun senang sentiasa. Kelahiran Ika tentu sahaja menambahkan kasih sayang dan rasa cinta.

Kini, dia sudah dapat membalas pengorbanan suaminya. Alya sudah memegang segulung ijazah dan bekerja sebagai seorang guru di SMK Taman Kosas. Ya, mereka sudah berpindah kerana Alya sudah membuat pinjaman bank untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Indah. Itupun, duit muka dibayar oleh suaminya yang sangat berjimat orangnya.

“Abang, Alya nak buat permintaan,” pintanya pada suatu hari.

Umar merenung wajah isteri yang kelihatan manis di matanya. 

“Hmm, abang tahu! Alya nak anak lagi. Nak bagi adik pada Zalika, kan?” usiknya nakal.

“Itu pun okey jugak. Tapi, ada yang lebih utama.”

“Apa dia?” tanya Umar sambil menepuk-nepuk tubuh Ika yang sedang lena. Tidak jemu-jemu juga pipi si kecil diciuminya.

“Hmm, Alya nak abang sambung belajar.”

Umar tergelak besar. 

“Buat apa? Alya, kalau dibandingkan gaji Alya dengan pendapatan abang menebas rumput tu, abang punya lagi banyak, tahu!” katanya.

Alya tersengih lebar. 

“Sebab itu Alya nak abang belajar di universiti. Ambillah jurusan pentadbiran perniagaan. Takkan selamanya abang nak menebas? Kan baik kalau abang belajar mengurus syarikat? Boleh buka syarikat perkhidmatan memotong rumput. Boleh mengambil pekerja. Dah dapat pahala membantu orang, kan?” Secara lembut, dia memujuk suaminya. Secara lembut, dia memberitahu bahawa tidak rugi jika suaminya menambah ilmu. Ilmu dapat menjadikan Umar manusia yang disegani masyarakat.

Umar terdiam, cuba menyerap kata-kata isteri yang dalam diam menyampaikan kepadanya bahawa, hidup mesti berilmu dan ilmu itu perlu diamalkan. Ya, dia dihina kerana malas belajar. Dia dituduh menjadi pencuri kerana dia miskin. Miskin harta, miskin wang ringgit, miskin ilmu! Tidakkah mahu berubah? Relakah dihina sampai bila-bila?

“Universiti mana hendakkan orang tua macam abang ni?”

Senyuman Alya manis sekali mendengar soalan itu. Soalan yang membawa maksud persetujuan suaminya. 

“Sebenarnya, kan, bang, Alya dah daftarkan abang di Open University. Ijazah Pertama dalam Pentadbiran Perniagaan. Kursusnya antara 3 ke 4 tahun.” Dia memberitahu.
...........................................

5
Alya duduk di sisi suaminya. Kaki halusnya cuba menggerakkan buaian itu. Ika sudahpun lena. Mungkin keletihan berpuasa agaknya.
    
“Abang, kalau rindu, jomlah kita balik ke kampung.”

Umar merenung wajah isterinya dalam-dalam. 

“Rindu pada siapa? Arwah mak Alya dengan Pakcik Sameon dah meninggal pun. Kalau tidak, boleh kita balik ke sana,” jawabnya.

Ya, selepas 2 tahun di Kuala Lumpur, mereka mendapat berita yang Pak Sameon sakit. Umar terus mengajak Alya pulang ke kampung walaupun Alya berat hati untuk mengikut. Alhamdulillah, lelaki itu menerima kedatangan mereka dengan baik malah sudah meminta maaf atas perbuatannya memisahkan Mak Enah dengan Alya. Bahagia sungguh Alya kerana sejak hari itu, mereka sentiasa balik ke kampung untuk menziarahi kedua-dua orang tuanya. Malah sewaktu majlis konvokesyen Alya, Mak Enah dan Pak Sameon turut hadir meraikan kejayaannya.

Pak Sameon meninggal dunia tidak lama selepas itu dan Mak Enah pula mengikut jejaknya dua bulan kemudian. Tidak sempat masing-masing melihat cucu mereka lahir namun Umar dan Alya puas kerana dapat berkhidmat kepada kedua-dua orang tua tersebut, menjadi anak dan menantu yang disayangi juga akhirnya.

“Rindu dah tentu rindu, Alya. Mereka yang membesarkan abang. Walau dah tahu siapa diri ni, abang masih anggap mereka emak dan ayah abang. Tapi, abang tak boleh nak lupa kata-kata penghinaan mak dulu tu. Rasa kecik hati betul sampai sekarang tak boleh dilupakan. Sebenarnya, Alya, setiap kali kita balik ke Teluk Intan ke rumah Mak Enah, abang mesti pergi ke kampung abang. Tapi, langkah kaki sampai di tempat kerja abang dulu aje, kat kedai si Ah San. Tersekat dan tak mampu nak terus melangkah ke rumah mak. Abang teringat semuanya dan abang tak boleh teruskan langkah.” Umar berbisik sedih.

Alya mengusap tangan suaminya, membawa telapak tangan lelaki itu ke pipi, dan diciumi serta dikucupi penuh kasih sayang.

“Satu masa dulu, abang pernah cakap pada Alya tentang tanggungjawab seorang anak. Abang cakap, Alya kena belajar menerima pak cik, sebab dia suami mak. Abang cakap, kalau Alya menganggap pak cik orang asing, mak akan rasa terasing. Kalau Alya buang pak cik, Alya sebenarnya turut membuang mak yang sayangkan pak cik. Alya dah turut kehendak abang supaya menerima pak cik. Alhamdulillah, hidup Alya amat bahagia sejak Alya berubah. Bolehkah Alya buat yang sama pada abang?”

Umar merenung wajah isterinya lagi. Menanti!

“Jomlah kita balik ke Durian Sebatang. Mana tahu, kut-kut mak rindukan abang? Mana tahu, kut-kut ayah akan sambut kepulangan abang? Dah 10 tahun, bang! Tentu hati yang keras menjadi lembut. Alangkan kerikil menipis dihakis air, inikan pula hati manusia yang kerdil, kan? Lagipun, Ika kan nak beraya di kampung? Tentu dia seronok kalau tahu yang kita nak balik kampung.”

Alya tidak tahu mengapa Umar tersenyum secara tiba-tiba. Tangannya pula terus sahaja merangkul tubuh isteri, menarik rapat tubuh itu kepada dirinya. Umar kemudian menghadiahkan suatu kucupan syahdu di dahinya sebelum membisikkan kata.

“Abang beruntung dijodohkan Allah dengan Alya. 10 tahun lamanya, Alya tak pernah jemu mengajak abang balik berjumpa mereka. Dengan lembut! Dengan pujukan. Ya, mungkin betul cakap Alya. Mungkin mereka juga rindukan abang. Rindukan Alya. Lagipun, sekarang abang dah tak risau dah. Abang dah berjaya memiliki ijazah. Abang dah berjaya membina hidup abang. Bisnes pun bagus. Anak comel. Isteri pulak seorang cikgu yang komited. Apa lagi, ek?”

“Hmm, Allah cakap, Dia paling benci dengan hambanya yang ujub, riak, takbur, som....”

Umar menutup mulut isterinya dengan tapak tangannya. 

“Terima kasih kerana menasihati abang, ya, sayang.”
.............................
6

Zalika terlalu gembira. Di sepanjang perjalanan, keletihan mengerjakan ibadah puasa tidak langsung melelahkannya untuk memerhati persekitaran. Mulut kecilnya tidak berhenti-henti bertanya. Sawah padi di sepanjang pekan Sekinchan menarik perhatiannya. Gerai-gerai yang menjual buah-buahan turut menjadi tumpuan. Buah jambu madu sudah dibeli. Dia kata, dia ingin makan buah itu bersama-sama dengan datuk dan neneknya, waktu berbuka nanti.

Mereka singgah di Bazaar Ramadan untuk membeli makanan. Sudah kurang yang berjual di hari terakhir bulan mulia ini. Umar membeli popiah dan nasi ayam untuk Pak Cot. Untuk Mak Esah, dia membeli mi bandung dan air tebu. Itulah makanan dan minuman kesukaan ibu dan ayahnya di sepanjang bulan puasa. 

Arghh, tidak sabar-sabar rasa hati ingin menjejakkan kaki ke rumah itu! Tapi...

‘Kenapa rumah ini berkunci? Di mana ayah dan emak? Tidak pernah mereka meninggalkan rumah ini sampai berkunci pintu segala. Mengapa?’ hati Umar tertanya-tanya.
 
“Cari siapa, nak?” seorang lelaki menyapa.

Umar menoleh. Demi melihat lelaki itu, dia terus menerpa lalu mendakap erat tubuh yang kelihatan uzur itu. Lama. Kejap pelukannya! 

“Apa khabar, Pak Abu?” tanya dia lalu meleraikan pelukan.

“Umar!” giliran Pak Abu pula untuk memeluknya. “Kamu balik jugak, nak! Betul kata Cot, satu hari, kamu mesti balik ke sini! Macam ginilah. Kita pun dah nak berbuka ni. Apa kata kalau kamu bawak anak bini kamu berbuka di rumah Pak Abu. Makcik Minah kamu tentu seronok. Taklah kami asyik mengadap muka masing-masing aje!”


Entah mengapa, hati berasa tidak enak namun untuk bertanya, mulut Umar terkunci rapat. 

Pak Abu dudukkan diri supaya dapat berbual dengan Ika, si cilik yang dari tadi asyik merenung dirinya. Dia meramas rambut ikal anak kecil itu. 

“Siapa nama?” tanya dia.

Ika menarik tangan Pak Abu lantas menciumnya. “Ika. Kata ayah, hari ini Ika dapat jumpa atuk dengan nenek.”

Kata-katanya membuat Pak Abu tertawa. “Petahnya, ya! Ini atuklah ni! Nanti, kejap lagi, kita jumpa nenek pulak, ya!”

Ika begitu gembira menikmati hidangan. Dia makan dengan berselera sekali. Mak cik Minah melayannya seperti puteri. Gembira sungguh mereka dengan kehadiran Umar dan keluarganya.

“Cot dah meninggal dunia 3 tahun yang lepas, Umar. Asmanya menyerang secara tiba-tiba.”

“Innalillahiwainnailaihiroji’un!”

Lama suasana hening sehinggalah akhirnya Umar mengeluh. “Salah saya, Pak Abu. Sejak kami pergi, tiap-tiap tahun Alya ajak saya balik. Tapi, hati saya ni keras. Degil! Padan muka saya, sampai ke sudah tak dapat minta maaf pada ayah!”

Pak Abu sudah mengetahui segala cerita. Sewaktu hayatnya ada, hanya Umar topik perbualan yang boleh membuat Pak Cot tersenyum. Hanya nama Umar akan disebut dengan penuh kasih sayang.

~~~“Inilah kata orang, Abu. Sesal dulu, pendapatan. Sesal kemudian, tidak berguna. Dulu, masa Umar depan mata aku, dia tak pernah elok! Tak pernah baik! Jahat aje dia tu! Malas! Apa yang aku tak kutuk dia?” Pak Cot melahirkan kekesalan. 

Pak Abu hanya mendengar. Biarlah jika rakan baiknya ingin bercerita. Boleh juga dijadikan iktibar. 


“Pada hal, Abu, dia yang menanggung perbelanjaan seisi rumah. Dia yang isi minyak motor aku. Dia yang belikan rokok aku. Semua tu aku tak kenang. Tak nampak!”~~~

“Ayah kamu menyesal sangat membiarkan kamu pergi. Setiap pagi raya, dia tak balik ke rumah. Kata dia, dia sedih bila mengenangkan macam mana kamu pergi tinggalkan mereka pada pagi hari raya tu. Dia rindukan kamu tapi dia redha kamu pergi. Dia kata, dia yang salah sebab tak menahan kamu. Dia kata, satu hari, kamu pasti balik cari dia. Kalau ada rezeki dia nak jumpa kamu masa dia masih hidup, syukur kepada Allah. Tapi, kalau ditakdirkan dia dah tak ada masa kamu balik, dia suruh aku cakap dia minta maaf sebab dia bukan ayah yang baik pada kamu. Dia jugak tahu yang kamu tentu nak mintak maaf pada dia. Dia suruh aku cakap, setiap kali lepas solat dia bagi tahu Allah yang dia dah maafkan kamu. Dan, Umar. Dia suruh aku sampaikan pada kamu yang dia sayang sangat pada kamu.”

Umar menangis teresak-esak. 

Arghh, kenapa terlalu lambat aku pulang? Kenapa setelah dia tiada baru hati ini tergerak untuk kembali? Tuhan, beri aku keampunanMu. Bukan niatku menyisihkan mereka. Bukan niatku membuang mereka.

“Dahlah tu, Umar. Kalau kamu rasa kamu nak menebus balik masa 10 tahun yang hilang tu, pergilah kamu ambil Kak Esah dan bawak dia balik duduk dengan kamu.” Mak cik Minah memujuk.

“Mak di mana, Pak Abu?”
.................................
7

Di pagi raya, takbir bergema daripada corong-corong masjid. Alunan suara beralun memuji kebesaran Ilahi dan kekuasaanNya, menyentuh hati nurani. Kaum lelaki berpusu-pusu menuju ke arah masjid dengan memakai pelbagai fesyen Baju Melayu. Corak pelbagai warna membuat semua orang kelihatan bergaya.

Sudah lama waktu berlalu. Hari juga sudah meninggi. Matahari memancar sinarnya dengan terang. Namun, wanita tua itu masih duduk termenung di atas kerusi batu, di dalam taman. Wajah yang disimbahi terang tetap tidak mengganggu khayalan.    

“Bencilah aku dengan perempuan tua ni! Hisy, kalau tangan tu asyik bergoyang, buat apa pegang gelas kaca. Pakailah gelas plastik yang aku dan beli untuk kau tu!”

Masih terngiang-ngiang bunyi herdikan itu. Rasa tersentap tangkai hati. Tidak disangka-sangka menantu kesayangan sanggup berbuat begitu kepadanya.

“Eh, giliran you all lah pulak jaga orang tua tu! Ingat Noni ni apa? Mentang-mentang Noni ni anak perempuan dia, jadi Nonilah yang kena jadi pengasuh dia? Sorry! Noni dah penat, okey! Noni dah tak sanggup!”

Itu, kejadian sewaktu dirinya demam. Tidak berupaya untuk bangun dan banyak kali pula terpaksa ke tandas. Si anak hanya perlu memimpin namun itupun dirasakan amat membebankannya.

“Mak, mak tahu tak berapa harga cadar ni? Dekat seribu, tahu tak? Boleh mak berak kat atas katil ni? Huh! kalau dah tahu awak tu pengotor, lain kali tidur aje kat atas simen! Tak pun tidur aje kat dalam tandas!”

Air mata mengalir lesu. Bersama kesalan yang tidak pernah berkesudahan. Bersama sayu. Bersama sendu.

"Aku dah tak sanggup nak bela emak. Kalau kau orang nak, ambik! Bawak balik ke rumah kau orang!"

Senyum hambar terlakar. Inilah takdirnya!

Kerana sudah tidak sanggup, anak-anaknya berpakat menghantar dia ke sini. Di pusat jagaan orang-orang tua di Ipoh, Perak. Anak-anak yang bekerja sebagai doktor, lawyer dan arkitek punya banyak duit. Demi menjauhkan dia daripada mereka, mereka sanggup mengeluarkan wang beribu-ribu, konon supaya dia selesa hidup di sini. 

Yalah tu! Macam dia tak tahu? Siapakah yang lebih selesa tanpa dirinya? Hmm, konon!

Kalaulah suaminya masih hidup?

Dia ingin bangun. Dia ingin mendapatkan suaminya. Dia sudah kehilangan. Kaca dianggap permata, menyebabkan kini dirinya diguris luka oleh kaca-kaca yang pecah berderai itu. Permata? Permatanya sudah hilang! Dia yang membuangnya dengan kata-kata hinaan. Dia yang merelakan permata hatinya pergi.

“Maafkan, mak, Umar. Mak malu hendak menatap wajah kamu. Mak tak layak menunggu kamu. Mak tak layak!”

Ketika Umar, Alya, Zalika, Pak Abu dan Mak Cik Minah sampai, pihak pengurusan sedang gawat, terkejut dengan pemergian Mak Esah. 

Umar menangis lagi. Kelmarin, dia pulang hanya untuk melihat kubur arwah ayahnya, Pak Cot. Hari ini, dia hanya dapat merenung sayu pada jasad kaku Mak Esah. 


Ya, dia terlewat lagi. Terlewat dalam menyedari bahawa ibu bapa, walaupun hanya bergelar ibu bapa angkat, tetaplah merupakan mereka yang pernah mencurahkan kasih sayang yang penuh kepadanya. Janganlah diambil hati dengan segala kata-kata mahupun umpat keji kerana marah mereka tidak akan lama. Kenapa dia lupa?

Bilakah rasa kesal ini akan berakhir?

“Abang, apabila mati anak Adam, ada 3 perkara akan mengiringinya ke sana. Ilmu yang dimanfaatkan. Sedekah jariah yang diberi. Dan,”

Kata-kata Alya bersambut, “Dan doa daripada anak yang soleh. Tapi Alya, layakkah abang?”

Alya tersenyum, menyeka air mata yang bergenang di tubir mata suaminya. 

“Tugas kita sebagai hamba-Nya ialah mengerjakan apa yang Dia suruh. Layak atau tidak kita bergelar anak yang soleh, biar Dia yang menentukan. Layak atau tidak kita masuk ke syurga-Nya, biar Dia saja yang menentukan."


"Tapi, abang kesal. Kalaulah abang pulang lebih awal?"


"Berdoalah untuk mereka. Doakan kesejahteraan roh mereka di sana. Abang anak mereka yang baik. Mereka tahu dan mereka redha dengan abang. Yakinlah, Allah ada. Dia tahu apa yang ada dalam hati abang tu."


Pujukan isteri disambut deraian air mata kesalan seorang anak. Meskipun dia tahu yang ibu dan ayah sudah memaafkan namun rasa terkilan ini akan dibawa sehingga ke akhir hayatnya. 


"Tuhan, ampuni dosa-dosaku. Aku lalai menjalankan tanggungjawab kepada orang tuaku sewaktu mereka hidup. Aku tahu aku berdosa kepada mereka. Aku menyesal! Menyesal sangat! Ya Allah, terimalah taubatku. Izinkan aku berbakti dalam doaku kepada mereka. Izinkan aku menjadi anak yang soleh kepada mereka. Cucurilah rahmat ke atas roh emak dan ayah di alam barzakh. Bahagiakanlah! Sesungguhnya, aku sayang sangat pada mereka!"    
..........................

Ya, hubungan sesama insan sering akan ada perbalahan. Tanganilah dengan bijaksana. Agar tidak ada kesalan di waktu kemudian. Kak Sofi ingin mengucapkan selamat mengakhiri ibadah puasa dengan sesempurna mungkin dan selamat menyambut hari raya juga. Maaf zahir dan batin.     
   

Ulasan

  1. kak sofiiiii


    aii nangis tau baca cerpen u ni ..... huhuhuhuhu .... sedih sungguh dan menyayat hati ....

    2 thumbs up .... best best best!!! .... nak di persimpangan kasih plak ... hehehehehhe

    BalasPadam
  2. touching.......mmg tersentuh......begitulah sikap manusia........bila kita layan dgn sebaik2nya,......tak pandang......entahlah.....

    BalasPadam
  3. Allah....sedihnyer.... teringat arwah Ayah ngan Ibu... Al-Fatihah..

    BalasPadam
  4. salam ramadhan semua,
    itu aku, alhamdulillah,
    alya ardini, nak tisu lagi tak?
    aqilah, ya memang betul tu,
    kak mah, alfatihah untuk mereka

    thnx u all...

    BalasPadam
  5. ~ingtlah dia sebelum terlambat..
    mensngus kak..
    thanks untuk karya yang best ini..
    salam lebaran ye..~~

    BalasPadam
  6. adeh...
    sdihnya crta ni...
    mmg bnyk pngjran...
    thniah ckgu sofi....

    BalasPadam
  7. Sgt menyentuh hati.
    Thumbs up cg.sofi.

    BalasPadam
  8. salam...
    nabila, Dia yg Maha Mendengar,
    epy, thanx
    iffahnazifa, thanx to you

    BalasPadam
  9. erm..lain daripada yg lain..selalunya ending mesti umar sempat jmpe mak bapak dia..nice story cikgu sofi!!..=)

    BalasPadam
  10. salam gugu, terima kasih ya

    BalasPadam
  11. Tahniah, walaupun simple tapi padat dgn pengajaran tuk dijadikan tauladan dan sempadan....
    reality yg payah di jumpa......
    tahniah sekali lagi.

    BalasPadam
  12. takutnya!
    tak naklah menyesal seumur hiudp, marah tu memang musuh manusia, so, memang betul la orang kata.. maaf tu perkara paling mahal nak diberi, sebelum menyesal,baik bagi

    BalasPadam
  13. zAr, maafkan org wpun dia pernah menyakiti kitas itu adalah yg terbaik

    BalasPadam
  14. ehh mcm dah pernah baca plak. btw cerpen ni mmg best n bnyk pengajaran. kagum

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…