apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

2.8.10

cintanya yang gila

1

Hj Husin mengetap bibir, menahan geram.  Tangan kanan dan kiri sedang dikepal-kepal di belakang tubuh. Silap-silap haribulan, mahu dihayunkan tangan-tangannya itu ke pipi gebu si gadis. Wajah yang sedang tunduk itu ingin dicederakannya. Baru puas rasa hati.

Anak yang seorang ini memang degil sejak kecil lagi. Apa yang menjadi larangan, itu yang akan dibuat. Apa yang ditegah, itulah yang ingin dilakukan. Marahlah! Herdiklah! Dia tidak endah. Hanya mementingkan dirinya, itu yang pasti! Perasaan orang langsung tidak pernah dipeduli.

“Duduklah, bang. Pi mai, pi mai macam tu bukan dapat apapun.” Hajah Zaitun memberanikan diri meminta suami yang sedang panas hati, duduk.

Hj Husin mendengus kasar. “Ni, semua ni...salah awak Tun! Awak manjakan sangat anak bongsu awak ni. Apa aje yang dia nak, mesti awak bagi. Saya kata jangan, awak tak peduli. Sorok-sorok, awak belikan dia barang. Sembunyi-sembunyi awak bawak dia pergi ujibakat. Suka sangat anak jadi pelakon. Jadi penyanyi. Bangga benar bila orang puji anak dia!” rungutnya, mengimbau perbuatan isteri suatu waktu dahulu.

Anak perempuan tunggalnya ini memang lincah sejak dari kecil lagi. Di sekolah tadika, dialah ratu dalam pertandingan bercerita, hingga menang mendapat tempat ke 3 di Peringkat Kebangsaan. Jika ada majlis Maulidur-Rasul, aduhai, inilah dia suara penyanyi utama kumpulan nasyid yang membuat persembahan di sekolah. Tetapi, yang langsung membuat Hj Husin bungkam ialah apabila isterinya sanggup bergolok bergadai semata-mata memenuhi kemahuan anaknya ini untuk menyertai suatu pertandingan nyanyian di sebuah stesen televisyen. Kesalnya ada hingga ke hari ini! Yalah, bila sudah berjaya menyandang gelaran Johan, pelajaran yang sepatutnya diutamakan sudah ditinggalkan. Alasan Izz Zayani? Dia sibuk! Sibuk dengan temuramah, sibuk dengan ‘photoshoot’ sibuk dengan pelancaran album itu ini, macam-macam sibuk! 

Selepas dua tahun dikenali sebagai penyanyi, Izz cuba mendekati bidang lakonan pula. Drama pertamanya, Kau Kekasihku, bersama pelakon lelaki terkenal, Fizri Lutfi, meletup, hingga diulangtayang beberapa kali di kaca TV. Kejayaan itu menambahkan kesibukan dunia anaknya sehingga hendak pulang ke kampung pun payah!

Hari ini, selepas 8 tahun, Izz Zayani masih memegang gelaran artis paling popular di Malaysia. Sudah tiga buah kereta yng dimenangi semasa gelaran itu diraih. Satu, Honda Swift, disedekahkan Izz kepada abang sulungnya, Syafiq. Kereta Kia Optima pula dihadiahkan kepada, Syazwan, si Abang Ngah. Yang ketiga, ada di hadapan tangga rumah banglo mereka ini. Naza Ria Special Edition.

Sesungguhnya, sejak mula menjadi artis, hinggalah ke hari ini, Hj Husin tidak menemui perubahan dalam sikap anaknya. Kejayaan tidak menjadikan Izz Zayani sombong atau bongkak. Dia memuji bukan kerana Izz Zayani anaknya, tetapi kerana itu adalah kenyataan.

Walau tidak duduk sekali, tidak tinggal bersama, namun setiap kali Izz balik ke kampung, dia akan memerhati dengan teliti. Apakah kuku dicat? Apakah rambut dikaratkan? Apakah sembahyang dibuat? Jika didirikan, apakah masih di awal waktu macam dulu-dulu? Resamnya yang suka bangun awal pagi, apakah masih diteruskan? Atau sudah pandai tidur meninggi hari? Puasanya? Tutur kata? Semua dibelek-belek! Ditelek-telek! Bimbang ada perubahan. Perubahan sikap yang kecil ke arah keburukan, akan menyebabkan tidurnya sebagai seorang ayah tidak mungkin lena.

Benarlah kata pepatah, menjaga lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga dan mendidik anak dara yang seorang apatah lagi kalau anak dara itu menjadi milik masyarakat. Masyarakat yang sibuk hendak tahu kisah hidup, luar dan dalam! 

Suara Hajah Zaitun mengganggu lamunan.    

“Alah, biarlah! Budak tu nak merasa jadi glamour, bang. Abang duk kutuk-kutuk, selama ni abang tak bangga ke dengan pencapaian anak perempuan abang yang sorang ni? Tiap-tiap minggu muka keluar kat paper. Kat TV. Bila orang tanya, anak siapa tu? Anak Hj Husin, kan?”

Hj Husin mengeluh. “Banggalah sangat! Pakai baju tak menutup aurat, tu yang nak saya banggakan, ya, Hajah? Berlakon pegang-pegang tangan dengan bukan muhrim, tu yang nak buat saya gembira, ya, Zaitun? Macam-macam cerita ditulis dalam akhbar, disiar kat televisyen, awak ingat kepala saya ni tak pening memikir? Betul ke? Tak ke? Izz ke tu? Tidak ke? Weh, Tun, cuba awak tengok rambut saya ni! Dah putih, dah penuh uban, kan? Sebab apa? Sebab asyik fikirkan hal anak bongsu awak ni lah!”

Surat khabar tabloid, Harian Artis, yang khas keluarannya untuk bercerita hal-hal artis, dicampak ke arah Izz Zayani.

“Tu! Apa cerita? Artis wanita ditemui di bilik hotel bersama teman lelaki. Satu Malaysia heboh cakap kamu yang kena cekup tu. Yang kamu pulak, tiap kali ditemuramah, asyik jawab, No Komen! Tak ke kamu tau yang bila kamu jawab macam tu, bermakna, kamu tu bersalah? Kamu bersalah, ya, Izz? Memang kamu ya, si perempuan tu? Hah?” jerkah Hj Husin. Fikirnya si anak akan menjadi kecut mendengar dia menengking kuat tetapi Izz, seperti biasa, tetap dengan ketenangannya.    

“Alah, semua tu gosip je, yah.” Balasnya bersahaja.

Izz Zayani segera duduk melutut di tepi sofa yang diduduki ayahnya. Wajah berusia 55 tahun itu ditatap, melepaskan kerinduan yang ada. Kemarahan ayah tidak langsung memberi kesan. Dia sudah terbiasa. Ayahnya akan membebel, tanda protes, hanya bila dia, Izz Zayani, sudah lama tidak menjenguk ke kampung. Kini ditambah dengan isu panas yang sudah 2 minggu tidak habis-habis digembar-gemburkan, makin menambah berang ayahnya.

“Baru 3 bulan je Izz tak balik, ayah dah mengamuk sakan. Tapi, tak apa, Izz faham, ayah. Dan, untuk pengetahuan ayah, Izz dah mintak cuti selama 3 bulan dengan syarikat. Izz tak tanda tangan apa-apa kontrak dengan mana-mana syarikat, baik syarikat rakaman mahupun filem atau TV. Izz betul-betul nak berehat dengan ayah dan emak. Dan jugak, Izz bercadang nak kumpulkan famili kita semua, pakat-pakat nak pergi jalan-jalan. Cakap aje nak ke mana, dalam Malaysia boleh. Nak ke luar negara pun okey. Jom!” Izz Zayani cuba membeli hati ayahnya.

Si ibu pula yang lebih teruja.

“Bestnya, Izz! Izz, kita pergi Gold Coast ya, nak. Mak dah lama teringin nak ke sana. Abang Wan kamu dengan si Ros, mesti suka. Abang Long dengan Kak Ila toksah cakaplah! Melompat diaorang nanti! Teruja punya! Boleh ya, sayang! Gold Coast?” Hajah Zaitun bersuara merayu bagaikan anak kecil.

Hj Husin tergamam melihat kelakuan isteri yang kebudak-budakan. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Agaknya di minda isterinya saat ini pasti sedang membayangkan kanggaroo sedang melompat sambil menggendong anak di dalam kantungnya. Atau...diakah yang menjadi kanggaroo itu? Sambil melompat, dia memakan cokelat, yang memang terkenal di negara Australia itu?

“Abang...”

“Aduii! Awak ni, Tun! Kut iya pun janganlah tepuk paha saya kuat macam tu! Sakit, tahu tak?” Hj Husin mengerutkan dahi sambil mengurut-urut paha yang sudah kemerahan. Hai, nasib badan bila dah tua macam gini! Bukan lagi cubitan sayang diperoleh, tetapi memang tamparan yang menyakitkan.

“Abang sikit pun tak nak sokong saya. Asyik diam aje. Nanti sebab sikap awak tu, Izz langsung batalkan cuti. Menyampah tau dengan awak ni!” marah Hajah Zaitun kepada suaminya.

“Memang nak kena batalkan pun! Sebab saya ada rancangan yang lebih baik untuk Izz!”

“Apa?”

Dua pasang mata melekat di wajah Hj Husin. Mulut ternganga melopong!
..................................
2

“Mintak ampun! Aku tak ingin kahwin dengan dia tu! Tolong!”

Seraut wajah menghiasi pandangannya. Wajah yang tidak pernah digemari sejak dia mengenali lelaki itu. Sejak bila? Sejak dia bersekolah menengah. Sebaik dia melangkah ke tingkatan 1 dan lelaki itu di Tingkatan 4. Lelaki yang menjadi pengganggu setia hidupnya dahulu! Kutu embun, kutu rayau, segala macam kutu, telah digelarkannya kepada lelaki hidung belang itu. Gelaran yang tidak langsung diendahkan sebaliknya menjadi bahan tawa lelaki itu terhadapnya.

“Engkau, Izz, bencilah kat aku sekarang. Tak apa! Nanti bila umur kau 25 tahun, aku masuk meminang, lepas tu kita kahwin, ek!” Ungkapan itu menerjah mindanya.

“Arghh, perasan! Siapa nak pada kau? Dahlah gemuk, ketot pulak tu! Bibir tebal! Rambut keriting, hitam macam N****, benci! Benci!”

Namun lelaki itu hanya ketawa sambil menyanyikan...

“Kau datang kau pergi sesuka hatimu,
Ohhh, kejamnya dikau
Kejamnya dikau padaku,
Bencinya hati ini..
Tapi aku rindu...”

“Benci kau tu, Izz, akan jadi cinta nanti! Percayalah cakap aku ni!”

“Uwekkss, nak muntah!”

Namun sigemuk itu tidak pernah marah. Sebaliknya dia ketawa dengan kuat sekali sebelum berlalu pergi. 

“Entah lagu zaman Tok Kaduk mana yang dia nyanyikan untuk aku masa tu, entah! Benci tapi rindu, konon! Hisy! Tapi...”

“Minggu lepas, lepas sembahyang Jumaat, Qays jumpa ayah. Lama dia berbual-bual dengan ayah tentang kamu. Tentang perasaan dia pada kamu. Dengan bersaksikan Imam Nazri, dia memintak izin ayah untuk jadikan kamu isteri dia. Ayah tak perlu fikir dua tiga kali untuk terima dia jadi menantu ayah, Izz. Dari dulu, ayah yakin dialah yang paling sesuai untuk membimbing kamu. Menjadi suami kamu.”

Kata-kata ayahnya terimbau semula.

“Ayah? Sampai hati ayah terima lamaran dia tanpa tanya pada Izz?”

“Kenapa? Kamu dah ada calon ke? Budak yang dituduh khalwat dengan kamu tu ke? Siapa nama dia? Hairi? Khairil?”

Izz Zayani membentak. “Bukan Izz yang di hotel tu, ayah. Izz tak buat benda tu semua. Kemana Izz pergi, Izz akan angkut semua orang dalam rumah Izz. Dari dulu lagi dah begitu. Macam ayah tak tahu! Ayah, semua tu niatnya hanya nak membusukkan nama Izz aje. Fitnah! Sebab tu Izz malas layan. Lama-lama esok, diamlah diaorang! Takkan sebab kecik macam tu ayah nak kahwinkan Izz dengan budak kutu rayau tu?”

“Tun, awak dengar tu, Tun? Kutu rayau dipanggilnya si Mohd Qays anak Hj Sabri tu.” Hj Husin merenung anaknya dengan pandangan yang tidak dapat Izz mengerti. “Kutu rayau pun tak apa. Janji, hati dia baik. Janji, dia sayang kamu. Janji, dia hormatkan emak dengan ayah! Janji...”

“Izz tak nak! Muktamad! Dari Izz kecik, Izz memang tak suka dia. Izz benci dia! Izz tak berkenan dengan dia. Dia tak padan dengan Izz. Daripada Izz pilih dia, baik Izz kahwin dengan Dato’ Rosli yang tua tu. Sah sah dia banyak duit. Ini...”

Hj Husin mencelah dengan lembut dan perlahan. “Ayah ikut cakap kamu. Tak apa kalau kamu tak kahwin dengan Qays tapi syaratnya kamu kena buat pengumuman yang kamu nak berhenti jadi artis. Ayah dah tak larat dah, Izz Zayani. Ayah malu dicerca orang yang mengumpat mengata ayah hidup atas titik peluh kamu. Ayah malu bila orang cakap sok-sek, sok-sek, yang ayah senang lenang sekarang ni sebab ada anak perempuan yang menanggung hidup ayah dengan menjadi pelakon, penyanyi yang ada ‘sugar daddy’. Ayah dah penat! Jadi, pilih! Nak berhenti jadi artis atau kahwin dengan lelaki pilihan ayah, si Qays tu. Tak payah jawab sekarang. Bagi jawapan kamu bila Hj Sabri dengan Hajah Norasyikin datang petang esok.”
................................
3

Jam di tangan diperhatikan berkali-kali. Dia sudah tidak betah menunggu. Ingin dibuka cermin mata hitam tetapi hati merasa bimbang dirinya dikenali oleh semua orang yang berada di dalam restoran itu. Setakat 20 minit ini, dia yakin tidak siapa mengesyaki siapa dia. Yalah, bersusah payah dia mencari baju kurung Hajah Zaitun untuk dipakai. Gedobeh kelihatannya. Wajah pula tanpa secalit mekap. Sengaja dia berbuat begitu. Tujuannya hanya 1. Supaya lelaki yang bakal ditemui nanti akan terkejut lalu mati! Hisy, tak baiklah kamu ni, Izz. Hati memarahi diri. Okey! Sori! Dia mahu lelaki itu jadi tidak berselera melihat dirinya lalu membatalkan hasrat untuk menikahinya. Hanya dengan cara itu barulah ayahnya akan membenarkan dirinya kembali berlakon, sesuatu yang sudah menjadi darah daging Izz Zayani.

“Hai, dah lama tunggu?”

Ternganga mulut Izz Zayani melihat lelaki yang kini berdiri di hadapannya. Rasa ingin menangispun ada. Inilah dia lelaki yang ayahnya jamin bakal menjadi suami terbaiknya? Inilah lelaki yang ayahnya mahu dia terima di sepanjang hidup hari depannya? Lelaki ini?

Sedikitpun tidak berubah berbanding dahulu malah lebih teruk lagi. Tidak malukah lelaki ini memakai baju T yang lusuh dan koyak-koyak, walaupun sedikit? Seluar jeans yang sama luntur warnanya dan sengaja dikoyakkan dilutut? Pakai Selipar Jepun pulak tu? Rambut? Macam rambut si David Arumugam, Kumpulan Alleycats! Memang adik beradik dah ni! Pakai braces pulak tu! Cermin mata? Aduh!!! Makkk! Tolong Izz!

“Dah puas tengok abang, Izz? Okey, tengoklah puas-puas. Izz mesti rindukan abang kan, sebab dah lama tak jumpa. Abang lainlah! Poster Izz di merata-rata dalam rumah abang. Dalam bilik, jangan ceritalah! Bawah bantal pun ada!” Lelaki itu berkata-kata dengan gaya brutalnya.

“Saya nak balik!” Izz Zayani memang tidak sanggup duduk semeja dengan lelaki ini. Tidak sanggup! Dia segera bangun untuk beredar.

“Izz Zaya...”

Langkah terhenti dan Izz Zayani segera berpaling memandang tajam ke arah Qays. Gigi dikertap. Dia lantas duduk semula.

“Kalau ada yang datang mintak autograf saya, siap awak!” ugutnya.

Qays menyandarkan diri ke kerusi. Wajah cantik yang berselindung di sebalik tudung ‘Arini’ itu di tatap. Dalam hati dia mengeluh. Alangkah baiknya jika wajah dambaannya ini ditutup dari pandangan khalayak kerana itulah tuntutan agama. Bukan memakai tudung kerana ingin menyembunyikan identiti. Atau untuk membuat hati lelakinya beralah!

“Kenapa, sayang? Sayang malu ya orang nampak sayang dengan abang?” Qays sengaja mengusik. Dari dulu, dia memang suka melihat wajah putih itu merona merah bila diusik dan menjadi marah kepadanya.

“Siapa sayang awak? Muka tak sudah macam ni ada hati nak orang terkenal macam saya? Perasan!”

Qays ketawa. Seperti dulu, kata-kata pedih dan sindiran semuanya bagai tidak memberi kesan terhadap lelaki itu.

“Hmm, yalah! Orang cantik macam awak memanglah tak sudi pada abang, kan? Tapi, masa abang cakap abang nak pinang awak dulu, awak tak popular lagilah! So, ayat tadi tu, Quote: Muka tak sudah macam ni ada hati nak orang terkenal macam saya? Unquote: tak boleh diterima pakai, Izz. Actually, kan, Izz kena bersyukur sebab dalam ramai-ramai lelaki yang nakkan Izz, hanya abang sorang aje yang hendakkan Izz sebab diri Izz. Bukan sebab Izz sorang pelakon terkenal. Bukan sebab Izz penyanyi ternama. Bukan juga sebab Izz banyak duit. Tapi, sebab abang sayang Izz dan cintakan Izz. Cinta yang abang semai sejak kita kecik lagi.”

Kenapa dada berdebar mendengar pengakuan ini? Mengapa ada sesuatu mengusik di hati bila lelaki ini menuturkan begitu? Ah, gila!

“Qays, saya tak boleh terima awak! Awak nak alasan? Okey, nombor 1, sebab nama awak Qays tu pelik! Saya tak pernah dengar nama mcam tu. Kedua, sebab awak tak kerja. Mak awak cakap awak tak kerja. Jadi, nanti siapa nak tanggung saya. Takkan awak nak jadi sura rumah? Ke 3, rupa awak ni! Terus terang saya cakap, bukan nak menghina, okey! Saya tak ada seleralah! Sori!”

Senyuman sinis tersungging di wajah lelaki itu. Dari kecil, Izz Zayani memang sikapnya suka berterus terang. Kata-kata yang pedih menusuk bagai pisau yang menujah dada, tak mungkin dipeduli oleh gadis ini. Tetapi, dia sudah bertekad. Janjinya pada Hj Husin harus ditunaikan. Kepercayaan Hj Husin tidak mungkin dipersia-siakan. Ini amanah! Satu tanggungjawab!

“Maksudnya, Izz dah sedia nak berhenti menyanyi dan berlakon? Kalau macam tu, abang sedia undur diri.”

Izz Zayani mendengus keras. Marahnya kepda Qays semakin membara.

“Hina ke saya jadi penyanyi tu? Salah ke saya jadi pelakon? Setahu saya, saya tak pernah buat benda yang tak elok, tahu! Kenapa fikiran awak dengan fikiran ayah sama aje? Huh? Geram!”

“Okey, cuba Izz jawab dengan ikhlas. Izz boleh jamin ke yang lagu-lagu nyanyian Izz tu tidak melalaikan semua yang mendengar? Sebab, lagu yang melalaikan sehingga ada yang mendengar sampai tak sembahyang atau leka, Izz pun tau hukumnya, kan? Izz pun nanti sama-sama dapat sahamnya, kan? Tu, bila Izz berlakon, contoh apa yang Izz nak tunjukkan dengan memakai baju terdedah sana, terdedah sini? Cerita Izz yang terbaru, Izz baca tak kutukan orang ramai tentang watak penggoda yang Izz pegang? Izz memang banyak peminat. Dan, Izz memang tak pernah melebih-lebih di luar. Ayah, mak, keluarga Izz semua tahu. Okey! Tapi, orang lain tak tahu! Watak-watak panas yang Izz Zayani lakonkan sekarang sedikit sebanyak mendapat umpat keji masyarakat. Tempiasnya pada siapa? Pada keluarga Izz jugak! Abang rasa, dah jadi tanggungjawab abang untuk menyelamatkan Izz.”

“Penyelamat konon!”

“Ya, sekurang-kurangnya bila kita kahwin nanti, sebagai isteri yang baik dan mentaati suami, Izz tentu akan bincang dulu dengan abang sebelum Izz menerima tawaran berlakon, kan?”

Izz Zayani menatap wajah lelaki di hadapannya dalam-dalam. Tajam-tajam. “Kenapa awak terlalu yakin, hah?” tanya dia.

“Cinta beri seseorang kekuatan, cik adik. Cinta memberi seseorang rasa untuk melindungi. Cinta menzahirkan perasaan ingin menjaga hak dan miliknya. Cinta yang lahir, ikhlas dari hati walau wajah dan rupa tidak setampan Yusuf, tidak seindah Zulaikha! Abang tahu, tak ada apa yang menarik tentang diri ini sebab abang bukan Cristiano Ronaldo, bukan juga Fahrin Ahmad. Tetapi cinta ini cukup dalam untuk mempertahankan seorang Izz Zayani jika Izz menyambut huluran tangan abang ini. Percayalah, yang zahir di mata hanya kulit. Yang jauh di dasar hati, perlu didalami untuk memiliki cinta sejati.”
............................................

4

Air mata menitis saat diri sah bergelar seorang isteri. Tidak disangka-sangka, cuti 3 bulan itu adalah untuk berkahwin. Masin mulut Ina, teman serumahnya. Masin mulut Ika, si model jelita yang menjadi saingannya di dunia lakonan. Hampa pastinya segala Dato’, Tan Sri serta mamat-mamat yang menggilainya.

“Ila, Ros, tengok adik kamu tu. Mekap dia tu, betulkanlah. Ni, si Qays nak masuk untuk batalkan air sembahyang ni!”

Suara Hajah Zaitun memberitahu, membuat hati jadi tidak menentu. Saat itu, lagu keroncong berbunyi tanda perut sudah lapar. Tapi ada juga lagu lain sedang berdendang. Lagu sendu tanda selamat tinggal dunia gadisku. Lagu sedih, tanda hidupnya yang bakal gelap bersama si kutu rayau. Dan, lagu...benci tapi rindu! Tapi, itu bukan berlagu dalam dirinya. Aduh!! Lagu itu berkumandang di luar sana! Kenapalah lagu itu yang dipasang? 

“Cantik dah adik akak ni. Lepas ni, Izz kena jumpa wartawan. Diaorang semua sedang makan kat bawah tu. Tak sabar-sabar nak tengok suami Izz.” Kak Ila berbisik.

Pucat wajah Izz Zayani. Malunya! Hati berbisik! Tentu esok, satu Malaysia akan mengutuk dirinya. Pasti ramai yang mengatakan dia bodoh kerana memilih jejaka itu. Arghh, tak mahu! Kenapalah pernikahan ini bukan satu rahsia? Dia tidak mahu ditemuramah. Dia tidak mahu bergambar dengan Qays. Dia tidak sanggup!

“Kak Ila, batalkan sesi dengan wartawan tu, kak. Izz tak sedia lagi ni. Izz tak nak jumpa dia orang!” Dia merengek.

“Gila kamu, Izz Zayani? Macam mana nak dihalau wartawan yang ramai tu? Cakap?” Kak Ila dan kak Ros bersuara serentak. Hairan dengan sikap adik ipar mereka.

“Tapi...”

“Assalamualaikum.”
Sapaan itu mengejutkan mereka. Masing-masing menoleh ke arah lelaki yang sedang berdiri di muka pintu. Izz Zayani terus mengambil tisu untuk mengelap peluh yang sudah memercik di dahi.

Pengapit si Qays tu dah masuk. Tentu sahaja sebentar lagi sigendut itu juga akan masuk, fikirnya. Iyalah, untuk upacara membatalkan air sembahyang, kan? Aduhai... kenapalah bukan si pengapit yang hensem ini menjadi suaminya? Kenapa harus si Qays tu?

Beberapa orang perempuan, mungkin mereka ibu saudara atau sepupu atau adik-beradik lelaki itu, sudah memenuhi bilik. Masing-masing tidak sabar-sabar untuk menangkap gambar. Ada yang membawa video camera lagi. Wah, tentu bersejarah pernikahannya ini nanti. Tapi, di manakah lelaki itu? Kenapa tidak masuk lagi? Sakit perut agaknya! Entah-entah dah pergi makan, tak?

“Cepatlah Qays! Tunggu apa lagi tu?” dia mendengar suara bertanya. Serta merta wajah diangkat. Pelik! Di dalam bilik itu hanya ada dua orang lelaki kini. Seorang sedang sibuk dengan Sony SLRnya dan yang seorang lagi si...

“Assalamualaikum, Izz Zayani Hj Husin. Dah bersedia ke untuk terima kejutan?” suara berbisik di telinga membuat dia menoleh. Rasa jantungnya berhenti berdegup. Rasa nafasnya berhenti dihembus.

“Kenapa budak Izz tu? Pucatnya dia? Panas kut? Ke tepi semua orang! Ke tepi!” Hajah Zaitun segera menghampiri si anak yang sedang menatap diri suami tidak berkelip-kelip. “Itulah pasal! Bila kita suruh tengok gambar, tak mahu. Kan dah biul jadinya? Yang kamu pun, Qays...buat apalah jadi David Arumugam masa jumpa dia dulu tu? Tengok ni! Macam orang kena sawan dah anak aku kamu buat, tahu!” omel Hajah Zaitun tidak berhenti-henti.

Mohd Qays bin Hj Sabri segera meletakkan jemari kasarnya di bawah dagu si isteri. Wajah dirapatkan sambil berbisik lembut.

“Anak mak ni, kalau Qays cium dia, hmm, baru dia terjaga, kan, mak?”

Izz Zayani segera tersedar lantas menolak suaminya ke belakang. Mujur tidak terjatuh. Dia cuba mengawal diri. Keterkejutan tadi ingin diketepikan.

“Awak tak gemuk. Awak tak hodoh. Awak tak pakai cermin mata besar tu! Rambut awak pun tak keriting. Tapi, kenapa awak biarkan saya dengan ilusi saya? Kenapa biarkan saya dengan bayangan lama tu? Kenapa?” tanya dia dalam sendu.

Qays tersengih lagi. “Sebab, Izz tak tengok pun gambar yang mak abang tunjuk. Sebab Izz yang tak nak kenal diri abang yang baru. Sebab Izz biarkan diri Izz dengan tanggapan buruk tentang abang sampai Izz tak beri peluang pada diri kita untuk saling mengenali. Jadi, rasanya, bukan salah abang kan kalau abang biarkan Izz dengan khayalan Izz tu?” tanya dia.  
“Hisy,, kenapa dia masih boleh tersengih? Gila betul!” bisik Izz perlahan.

“Dia memang gilakan kamu. Rsanya, he is your number one fan!” bisik seorang wanita kepadanya.

“Weh, itu Mak Long abang, tu! Salam!”

Arahan itu segera dipatuhi. Tangan wanita separuh abad itu segera disambut. Dikucup perlahan-lahan. Selepas itu, dia terus bersalaman selagi ada. Qays memperkenalkan setiap seorang kepadanya. Hari ini, baru diketahui bahawa Qays ialah anak tunggal di dalam keluarga. Bukan setakat anak tunggal, malah dia satu-satunya cucu lelaki kepada Tuan Mahmud, bekas Pegawai Daerah di bandar itu. Kenapa dia tidak tahu tentang semua ini dahulu?
.............................
5

“Berapa lama dah you all ni bercinta, Cik Izz, Encik Qays?”

“Lama, sejak Izz di Tingkatan 1 lagi!” Qays yang menjawab.

“Lamanya? Cinta monyet ni!” usik seorang wartawan.

“Tak! Kami berdua ni bukan keturunan Charles Darwin!” Qays membalas disambut tawa riang semua yang ada.

“Cik Izz...”

“Oops, panggil isteri saya ni, Puan Izz, ya. Puan, bukan Cik!” tegas Qays masih bersama senyuman mekarnya.

Wartawan itu tersengih sambil meminta maaf. “Puan Izz, you akan quit acting ke lepas ni? Dah heboh dah rumours mengatakan you nak berhenti. Betul ke?” dia bertanya, soalan yang pastinya akan menjadi berita panas bila dimasukkan ke dada-dada akhbar nanti.

Lama Izz Zayani tertunduk sebelum dia memandang sekeliling. Wajah pertama yang dilihat, pastilah wajah suami yang sentiasa mengukir senyum untuknya, senyuman yang selama ini tidak pernah diendahkannya.

“Saya tak ada jawapan lagi cuma yang pasti, sekarang ni, suami saya akan menolong memberikan pendapatnya tentang apa yang patut dan tidak patut saya buat. Dah tiba masanya untuk saya menilai kembali pilihan watak. Bukan apa, saya mahu menjadi ikon yang disukai kerana diri saya. Bukan sebab lain. Selama ni sedikit sebanyak saya dah dihanyutkan arus ‘populariti’ itu. Mujur, sebelum terlewat, suami saya dan cinta gilanya ini menyedarkan saya. Terima kasih...”
....................................
Di dalam kamar beradu malam itu, Izz menemui sekeping kad yang di dalamnya Qays menuliskan dengan tulisan tangannya yang menunjukkan ketegasan diri, setegas namanya.

“Hei, jadilah wanita yang kuat, sekuat Izz ku! Kerana aku jatuh cinta padamu bila kau kuat menolak diriku dulu. Kau kuat melawan perasaanmu. Kau kuat mendewasakan dirimu. Dan, Zayani, kaulah kecantikanku. Kerana itu, cantikkan hatimu untuk melengkapi kecantikan parasmu yang menggodaku sejak dahulu. Lengkapkan kecantikan itu dengan menutup apa yang seharusnya kau tutup kecuali untuk penglihatanku, suamimu! Kecantikan bukan untuk dipertontonkan, sayangku. Hehe... dah takut?

Hmm, sayang, perubahan ini tidak perlu kau lakukan dengan drastik, Izz Zayaniku! Cukup sekadar beransur-ansur, kerana aku, suamimu, Qays, tidak mahu engkau merasa tertekan dengan permintaanku ini. Cintaku padamu memang gila namun aku tidak gila untuk memaksa orang yang aku sayang melakukan sesuatu tanpa rela. Aku tidak hairan jika kau kuat menolak kehendak dan harapan kerana kau memang dari dulu kukenali keras, degil dan sering mendapat apa sahaja yang engkau mahu. Namun, kau juga harus tahu bahawa aku tidak pernah gagal dalam usahaku. Tapi, aku rela untuk kalah sekarang kerana, bila Allah mengizinkan, suatu hari, kemenangan pasti milikku, kan?

Izz Zayani, isteriku. Aku tahu, tiada cinta di hatimu untukku. Sepanjang mengenaliku, aku tahu, aku tidak pernah berjaya membuat kau jatuh hati padaku. Tapi, rasanya, hari ini, ruang hatimu sudah kau bukakan untukku, kan? Walau mungkin engkau hanya tertarik kepada luaranku, namun aku yakin, dengan izin Allah, suatu hari, kau akan menyintai diri ini kerana aku! Aku! Si Qays yang tidak jemu akan menggodamu.

So isteriku.....,

Selamat pengantin baru!”

Izz Zayani tersenyum membaca bait-bait terakhir yang ditulis. Hmm, ketika inipun, Qays sudah mula menggodanya. Memeluk tubuhnya dengan erat daripada belakang, bagai tidak mahu dilepaskan. Haruman selepas mandi lelaki itu sedang mewangikan seluruh kamar. Haruman segar penuh kelakian.

“Selamat pengantin baru kepada awak juga, Encik Qays. Hmm, abang Qays, suamiku!” Izz berbisik sambil menoleh untuk menatap wajah si dia yang tadi menulis penuh puitis, penuh romantis, di dada kertas. Namun, dia terkedu dengan apa yang dilihat.

“Abang, abang sengaja nak mainkan Izz, ya? Sengaja nak buat Izz marah?”

Mahunya Izz Zayani tidak menjerit. Kini, Qays sedang galak ketawa dengan memakai baju ‘gemuknya’(entah berapa lapis yang disarungkan ke tubuh?) Bibir digincukan lipstik berwarna hitam untuk kelihatan tebal, Rambut palsu disarungkan ke kepala... Aduh, memang sengaja mencari penyakit kerana saat ini, Izz sedang mencubit-cubit, menampar-nampar diri lelaki itu.
Tangan Izz Zayani bagaimanapun ditangkap dan dikilaskan ke belakang.

“Abang cuma nak tahu satu perkara saja?” bisik Qays beria-ia.

Izz Zayani mengangguk lemah. Saat ini, sepasang tangannya merasa terlalu sakit namun tidak ada tanda-tanda Qays akan melepaskan.

“Kalau inilah rupa sebenar abang, apakah Izz akan terima?”

Wajah Qays ditatap dalam-dalam sebelum Izz Zayani menyahut perlahan, “Waktu abang berjabat tangan dengan ayah, Izz tak tahu rupa sebenar abang, kan? Tapi, Izz terima jugak, sebab Izz pasrah dengan ketentuan Tuhan. Bukankah itu sudah menjadi bukti bahawa Izz terima siapa abang seadanya?”

Qays meleraikan pegangan. Sepasang mata nakal memandang si isteri. “Tapi, malam ni tentu tak seromantik sekarang, betul tak?”

Izz Zayani tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit. Dia mengangguk laju. “Izz tentu perlukan lebih masa untuk didekati oleh si monster!” balasnya.

“What?”

Manusia dijadikan berpasang-pasangan. Orang kata, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Bercinta sebelum kahwin, mungkin hanya dapat melihat kulit namun bercinta selepas kahwin, tidak dapat menyorokkan sikap. Lihat, berapa banyak pernikahan dan perkahwinan berasaskan cinta musnah di tengah jalan sedangkan perkahwinan orang-orang yang terdahulu daripada kita, ada yang boleh bertahan sehingga 50 tahun lamanya.
Izz baru ingin mengenali erti cinta. Qays pasti akan membantunya ke daerah indah itu. Semoga usia perkahwinan mereka akan kekal selagi ada nyawa di badan.
.................................
seperti biasa, andalah yang menentukan kredibiliti ceritaku ini!
cheerio.
sofi.     

10 ulasan:

  1. ssuuukeee...kelakar la citer....
    tahniah kepada penulis,,,,,
    cayoooohhhh!!!!!!!

    BalasPadam
  2. menarik, terutamanya part terakhir.... monster hahahah2x

    BalasPadam
  3. hohohoho...
    best la crta ni....
    thiah kpda cikgu sofi....
    sbb mnghsilkan karya yg best...
    n bnyk pngjran...

    BalasPadam
  4. salam...
    anonymous, thanx

    dont belong2u, monster hehe...yes!

    epy elina, thanx again

    BalasPadam
  5. Menarik.
    Karya2 cg.sofi x pernah menghampakan.
    Tahniah..:)

    BalasPadam
  6. Salam, bestlah...
    lucu pun ada....
    menarik.....yg bestnya ada unsur pengajaran
    tahniah....!!!

    BalasPadam
  7. salam...
    iffahnazifa,
    thanx..

    hani, hehe..biasa je.. anyway terima kasih atas sokonganmu...

    BalasPadam
  8. salam....
    seperti biasa karya yang best dan ada pengajaran diselitkan disamping citer yang menghiburkan..
    tahniah kak sofi kerana dapat menghasilkan karya yang menarik

    BalasPadam
  9. salam seed169,
    seperti biasa...
    terima kasih dan teruslah membaca di sini, ya!

    BalasPadam
  10. Monster hensemm ai pon nakkkkkk ;)

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.