background img

Catatan Baharu

TMKH- sebuah kesudahan (2)

“Sini sayang, mari dapat nenek! Aiman nak aiskrim, tak?”

Suara Mak Jah kedengaran nyaring memanggil Muhamad Aiman yang sedang merengek di tepi kolam renang. Anak kecil itu masih ingin bermain air, namun si ayah sudah keletihan melayan ragamnya. Sudah hampir satu jam mereka berendam, tubuh juga sudah menggigil kedinginan tetapi anak kecil itu seakan-akan tidak mengenal erti lelah. Lalu, bila Hisyam menaikkan dia ke tepi kolam, mengelap tubuhnya, dia mula meragam. Nasib baik Mak Jah melaung, jika tidak jenuh juga Hisyam ingin memujuknya.

“Aiman nak aiskrim tak?” Hisyam pula mengumpan, mengenyitkan mata kepada Maria yang sedang memandang mereka dua beranak bersama senyuman cantiknya.

“Nak!” Aiman mula teruja bila diumpan dengan aiskrim. Agaknya di mata anak kecil itu sudah membayangkan cornetto kegemarannya.

Sebaik sudah dipakaikan seluar, Aiman berlari meninggalkan ayahnya yang kemudian terbaring lesu, di pinggir kolam.

“Hmm, letihnya ayah Aiman ni. Penat sangat layan kerenah anak bujang dia, ek?” Maria mengusik sambil menghulurkan tuala kepada Hisyam. Hisyam mengambil kesempatan itu untuk menarik tubuh isteri ke dalam dakapan. Lembut dan penuh kemesraan, maklumlah si isteri sedang mengandung, kan?


“Sayang, Aiman tu ikut perangai siapa agaknya? Kalau dia nak satu-satu benda, mak aii… bukan main lagi dia merengek. Tadi tu, kalau Mak Jah tak panggil dia, memang abang masuk balik dalam kolam, tau. Kesian betul tengok air mata yang dah bergenang tu.” Kata Hisyam sambil membelai rambut Maria yang terjuntai jatuh di dahi.

Maria cuba menyelesakan diri, membetulkan kedudukan agar perut yang sudah sedikit memboyot itu tidak menjadi halangan kepada suami untuk mendakap dirinya.

“Lia rasa anak abang tu ikut perangai mak dialah! Lembut, mudah menangis, manja..”

“Mengada..”

Maria menjegilkan sepasang mata, “Mana ada!” rajuknya.

“Kuat merajuk!” usik Hisyam lagi namun dia semakin mengeratkan dakapannya, jari telunjuk menyentuh bibir isteri, sengaja menggoda.

“Ya ke, bang? Lia kuat merajuk ke?” tanya Maria ingin tahu. Yalah, pada peluang kedua ini, dia tidak mahu sifat-sifat yang buruk itu ada di dalam diri. Dia perlu menjadi manusia yang lebih baik untuk suaminya ini. Kalau boleh, dia tidak mahu Hisyam menemui sebarang kecacatan pun!

Hisyam tersenyum. “Tak apa! Abang tak kisah pun. Lia nak merajuk ke, nak marah ke, nak menangis ke, semuanya abang redha menerima. Asalkan Lia tak pergi tinggalkan abang lagi.” Bisiknya lalu menyentuh sepasang bibir isteri, menyampaikan rasa kasih dan sayang dalam kemesraan yang tiada penghujung. Sentuhan penuh asyik yang cuba untuk meyakinkan isterinya tentang rasa cinta yang mendalam dan bukan untuk diragui.

“Oopss...sori!”

Suara Mazlan mengembalikan pasangan suami isteri itu ke alam nyata semula. Maria cuba membetulkan kedudukannya. Rambut disisir dengan jari. Namun Hisyam relaks sahaja. Malah, dia tersengih bila melihat wajah adik ipar yang serba salah.

“Ya, doktor! Kenapa ‘blushing’ tu?” usik Hisyam selamba. Dia sudah berdiri, membaluti tubuh dengan tuala sebelum menghulurkan tangan kepada Maria yang ingin berdiri dalam susah payah. Sebaik sudah berdiri di sisinya, pinggang Maria dipeluk erat.
 
“Jangan jawab soalan merapu, tu, Lan! Aisyah dengan Muaz mana? Dah masuk ke dalam rumah ke?”

“Ada tu, tengah sembang dengan mami.” Balas Mazlan, sepasang mata leka memerhati wajah abang iparnya.

“Kalau camtu, along masuk dululah!” dia menoleh ke arah Hisyam, mencubit pipi suaminya sambil berbisik, “Masuk cepat, tau! Nanti dapat selsema pulak!”

Sebaik Maria melangkah pergi, Mazlan terus sahaja menyembur. “Abang Long, apa yang abang dah buat ni? Apa yang Lan dengar tentang Salina dengan abang tu betul ke? Abang Long ni tak serik-serik! Esok-esok, Kak Long tinggalkan abang lagi, baru padan muka!”

Hisyam mengeluh. Hatinya kesal mendengar tuduhan Mazlan itu. Begitulah cepatnya fitnah disebarkan oleh mulut-mulut manusia yang tidak bertanggungjawab. Sesungguhnya, memang lidah tidak bertulang sehingga tidak dapat merasai kesan kesakitan akibat cerita-cerita palsu yang ditabur. Dia amat yakin bahawa Mazlan mengetahui semuanya melalui perbualan dengan rakan-rakan sejawatnya. Walau bertugas di hospital yang berlainan, tidak mustahil Mazlan dan kawan-kawannya masih saling berhubungan.

“Jangan layan perempuan gila tu, bang. Nanti, dia salah faham. Kali ni, entah apa pulak yang akan dibuatnya pada along. Menyesal tak sudah abang nanti!” Mazlan menghulurkan nasihat tanpa diminta.

“Dia tahu yang abang tak cintakan dia, Lan!” Hisyam membela diri.

“Naif betul abang ni, ya? Abang Long, dulu pun dia tahu yang abang sayang dan kasih pada Kak Long aje, kan? Tapi, dia tetap berusaha memisahkan ‘you all’, betul tak? Selagi nama perempuan tu ialah Salina, bang, dia tak akan berhenti berusaha untuk memiliki abang! Dia tak akan jemu dan mengalah selagi abang tak kahwin dengan dia! Dan, apa yang Lan takut ialah, dia akan cederakan Kak Long! Ada perempuan yang sanggup berputih tulang, bang! Kalau dia tak dapat, tak seorang pun boleh memiliki abang. Dia sanggup buat apa saja, demi abang! Abang sanggup ke hadapi kenyataan tu nanti kalau berlaku?”

Persoalan itu membuat Hisyam terpana. Berkerut-kerut dahinya. Terangguk-angguk kepalanya. Dia tidak pernah terfikir sejauh itu namun bila mengenangi kata-kata Salina sewaktu di hospital dahulu, dia harus mengakui bahawa keraguan Mazlan bertempat dan dia tidak boleh memandang enteng perkara ini. Ya, teringat kepada suatu perumpamaan Inggeris yang berbunyi;

"Heaven has no rage like love to hatred turned / Nor hell a fury like a woman scorned."

Ramai yang menyangka bahawa sebaris ayat di atas adalah milik William Shakespeare dalam cerita Hamlet. Bagaimanapun, penulis sebenar sepotong ayat itu bernama William Congreve. Satu lafaz yang popular di dalam teater pementasan terkemuka di abad ke 17, bertajuk The Mourning Bride. Kata-kata yang membawa maksud, hati terluka seorang wanita boleh membuat wanita itu mampu melakukan apa sahaja untuk melukakan hati lelaki yang telah mengecewakannya. Apa sahaja! Hatta membunuh sekalipun!

Ya Allah, risaunya rasa di dalam hati! Apakah mungkin Salina setegar itu menyintainya? Apakah segala yang dilakukannya kebelakangan ini boleh menyemarakkan semula harapan gadis itu kepada dia? Tuhan, bukan ini niatnya! Bukan ini yang dia mahu! Dia hanya mengisi permintaan Datuk Yusuf dan Datin Irene Irina Abdullah. Dia tidak ada langsung niat untuk memberikan hati, harapan dan cinta kepada Salina! Tidak! Tidak! 
    
“Abang tak tahu nak buat apa dah, Lan.”

“Jangan pedulikan dia lagi! Atau emak dan ayahnya. Kak Long yang mesti abang jaga. Hati Kak Long tu, jangan biarkan hampa atau kecewa. Abang dah buat silap sekali, jangan ulang lagi!”
.....................
Maria melangkah dengan tenang menuju ke arah yang baru sahaja ditunjukkan kepadanya tadi. Di sekelilingnya ketika ini, sunyi sepi. Bilik-bilik yang dilintasi bagaikan tidak berpenghuni. Seram juga dirinya apatah lagi bila mengingati cerita-cerita misteri tentang hospital, namun langkah tetap diteruskan. Dia lebih takut menghadapi kehilangan Hisyam. Kerana ketakutan itulah, dia nekad mendatangi Salina. Dia ingin membuat perhitungan. Wanita itu harus diajar untuk menghormatinya. Wanita itu harus diajar untuk menerima kekalahan. Salina mesti disedarkan bahawa salah menyintai lelaki yang tidak mahu membalas cintanya. Salina harus diajar untuk membuka hati dan perasaan kepada lelaki lain!

Dia kini sedang berdiri di hadapan pintu bilik wad yang diduduki oleh Salina. Sungguh ironi situasi mereka berdua. Dulu, Salina mendatanginya juga di dalam kamar hospital, merayu, memarahi, mengherdik malah waktu itu Salina mengharapkan kematiannya. Begitu jugakah dirinya? Perlukah merayu? Patutkah memarahi? Mestikah mengherdik? Atau memberitahu Salina supaya gadis itu pergi mati sahaja?

Terhenti Datin Irene daripada mengaji Quran demi terpandang susuk wanita yang memasuki bilik. Tidak perlu diperkenalkan, dia sudah tahu siapa gerangan yang empunya diri. Inilah Maria, isteri kesayangan Muhammad Zaiful Hisyam.

Wajah lembut itu diteliti. Tidaklah secantik mana, fikirnya. Jika hendak dibandingkan dengan anak gadisnya, tentu sahaja Salina berkali-kali lebih cantik daripada wanita ini. Maria tidaklah terlalu tinggi tetapi cukup tinggi bagi seorang gadis Melayu. Tubuhnya yang sedang mengandung itu masih kelihatan ramping walau perut sudah sedikit memboyot. Wajah polosnya terbiar, tidak dimekap. Tidak ada warna gincu di bibirpun. Tudung yang dipakai biasa sahaja, pendek kata, Maria tidak hadir ke sini dengan perasaan tercabar. Maria tidak datang untuk menemui Salina atas alasan ingin merayu supaya Salina tidak lagi mengganggu Hisyam. Tidak ada gentar di wajah. Tidak ada ketidakpuasan hati. Seraut wajah itu tenang, namun jangan ingat air tenang tidak ada buaya! Wanita ini tentu sudah bersedia secukupnya, selengkapnya, sehingga dia berani datang seorang diri untuk menemui Salina!

“Awak ni tentu Maria, kan?” Datin Irene bertanya sekadar berbasa-basi.

Maria tersenyum, ‘Sudah gaharu, cendana pula, sudah tahu bertanya pula!’ bisik di hati, namun dia mengangguk, mengiyakan pertanyaan itu.

“Saya tak mengganggu, kan, auntie?” balas Maria bersahaja sambil melirik senyum. Dia segera menghulurkan tangan untuk bersalam.

“No, eh, tak! Dah lama auntie nak kenal dengan awak sebenarnya.” Pengakuan tulus wanita Inggeris itu kepada Maria yang sedang melarikan pandangan ke arah wanita di atas katil pesakit yang sedang membuka sepasang mata. Kini, pandangan tajam itu sedang melekat di wajah Maria.  

“Awak buat apa di sini, hah? Siapa suruh awak datang sini? Buat apa awak datang? Awak sengaja nak tengok sama ada saya ni dah nak mati sangat, kan? Awak...”

“Lin? Kenapa cakap macam tu? Maria baru saja sampai. Tak baik you marah dia!” Datin Irene segera menegur. Dia malu dengan sikap anaknya yang sombong.

“Saya datang nak jumpa awak, Salina. Ada sesuatu di antara kita yang belum beres.” Tegas Maria. Bagi dirinya, perhitungan harus dibuat. Dia sudah meyakini suaminya. Memahami lelaki itu dan mengerti betapa tinggi Hisyam menghargai nilai sebuah persahabatan. Jadi, dia harus menyedarkan Salina tentang itu!

“Cakap saja yang kau takut Hisyam balik pada aku!” Salina menyindir.

“Kalau awak di tempat saya, awak tak takut ke?”

“Why should I? Aku cantik, bergaya, manja...everything that a man needs. Bukan macam kau...” Salina mencebik, merenungi Maria dari atas ke bawah, bagaikan jijik melihat wanita itu.

Maria berpaling ke arah Datin Irene. Perasaan kasihan menghiasi diri bila melihat wajah Datin Irene yang sudah menjadi kelat, mungkin malu dengan sikap anak gadisnya yang keterlaluan menghina Maria.

“Datin, kalau boleh, saya hanya nak bercakap dengan Salina sahaja. Tetapi, sekarang, saya dah ubah fikiran. Saya harap Datin sudi menjadi saksi kepada perbualan kami ini. Bukan sebab saya takut pada Salina tapi lebih kepada rasa kasihan kepadanya.” Maria mula mengatur bicara. Dia sudah bosan dengan sikap Salina. Dia menyampah bila gadis itu masih ampuh dengan keangkuhan. Dia tidak mahu lagi menjadi yang kalah dan beralah. Dia tidak mahu tewas!

“Agaknya, kau datang ni sebab kau nak merayu supaya aku kembalikan Hisyam pada kau? Kau rasa tergugat bila siang malam dia di sini menjaga aku? Menemani aku? Suap aku makan? Sayang aku macam dulu?”

Maria sengaja mengulum senyum.

“Saya tahu semua yang dia buat sekarang, Salina. Tidak ada rahsia di antara kami, jadi tak payahlah awak hendak mereka-reka cerita, macam dulu lagi! Awak tak akan berjaya buat saya cemburukan awak” bidasnya lembut. Wajah Datin ditatap sebelum dia menyambung, “Untuk pengetahuan awak, Lin, dulu saya tinggalkan dia bukan untuk awak, bukan juga kerana awak. Saya buat itu sebab saya hendak dia hidup bahagia. Kalau dia bahagia bersama awak, itu dah cukup bagi saya. Tapi, dia tak pilih awak, kan?” tanya Maria.

“You?”

Maria meletakkan jari telunjuknya di bibir meminta agar Salina diam.

“Saya dah dengar banyak penipuan awak. Saya dah puas menangis bila membaca sms, surat dan mendengar awak bohongkan saya dalam telefon. Cukuplah! Hari ini, giliran awak pulak untuk dengar saya bercakap. Dan, hari ini juga, saya nak tamatkan permainan yang awak mulakan ini!”

“Mummy? Are you going to just stand and let this..., this....”

“Saya apa?” Maria mencelah. Suaranya sedikit tinggi menyebabkan Salina terdiam.

“Salina, mummy rasa, sekali ini, you kena dengar cakap Maria. Mummy tak akan masuk campur. Mummy rasa, mummy dah lama beritahu pada you apa pendapat mummy tentang perbuatan you ni. You know where I stand!”  Datin Irene juga turut menempelak anaknya.

“Terima kasih, auntie.”

Datin Irene mengangguk lalu duduk di atas sofa. Maria kembali memberi perhatian kepada Salina.

“Kalau awak tanya saya, macam mana saya boleh jatuh cinta pada Hisyam, saya sendiri tak tahu apa jawapannya. Dia bukan lelaki idaman saya. Sikap pemarahnya, panas baran, suka mengugut, bukan ciri-ciri yang saya suka pada seorang lelaki. Tetapi itulah jodoh namanya. Makin kita mengelak, makin dekat datangnya. Jodoh, ajal dan maut, sesuatu yang sampai kini, malah sampai bila-bilapun, tidak akan tercapai oleh akal manusia untuk memikirnya.”

“Shut up! Aku tak nak dengar!” Salina menjerit sambil menutup kedua-dua telinga.

Maria tersenyum lagi. Hari ini, dia sudah menemui kelemahan Salina. Yang nyata, Salina tidak mahu dengar tentang Hisyam dan dirinya. Mungkin hati Salina terluka bila mengenangkan Hisyam yang boleh sahaja meluahkan rasa cinta kepada Maria tetapi tidak kepada diri gadis itu.

“Awak kena dengar sebab saya nak beritahu awak bahawa Hisyam tidak perlu dikejar untuk dicintai. Kalau Hisyam nak pada awak, dia yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tackle awak, macam mana dia buat pada saya dulu. Awak tahu tak apa dia buat bila saya putuskan hubungan kami? Bila saya fed up sesangat dengan sikap cemburu buta dia tu?” Tanpa menanti jawapan Salina, Maria meneruskan. “Dia jumpa arwah mak saya, dia ceritakan semua kesalahan yang dia dah buat pada saya, dia minta mak restui hubungan kami. Dia paksa mak tunangkan kami! Awak nampak tak apa yang saya cuba sampaikan ni, Salina? Ya, mungkin pada awak, awak anggap saya ni macam sampah aje. Rupa tak ada, miskin pulak tu, pakai baju pun tak adalah bergaya seperti awak atau sesiapa yang pernah jadi girlfriend suami saya tu....tapi, saya ikhlas menyintai dia, mungkin dia tahu tentang itu. Saya tak peduli siapa dia malah saya tak tahu pun yang dia anak Dato’ Ahmad dan Datin Syarifah!”
        
Salina mencebik.

Maria tidak peduli lagi. Dia tetap ingin membuat wanita cantik ini faham tentang Hisyam.

“Mengapa susah sangat untuk awak faham bahawa Hisyam dipinjamkan Allah kepada saya di dunia ini, Lin? Mengapa susah sangat untuk awak faham bahawa jodoh kami kuat, walau awak berusaha sedaya upaya awak untuk memisahkan kami? Mengapa awak masih mengharap kepada lelaki yang penuh rasa kesian dan simpati pada awak, tetapi cinta, kasih dan sayangnya hanya kepada keluarga, kepada isteri dan anak-anaknya? Susah sangatkah untuk awak faham bahawa awak perlu belajar melupakan Hisyam? Cubalah apa juga cara, awak dah tahu yang awak akan kalah, betul kan? Kenapa nak buang masa, Lin? Belajarlah untuk isi semula keriangan dalam diri awak! Awak dah lama terseksa, bersedih, berduka dengan penolakan Hisyam, sampai bila harus begini?”

Akhirnya Salina menangis. Menangis kerana, di sebalik lembut tutur kata itu, tersirat kebenaran yang tidak boleh dinafikan.

Memang benar, dia sudah terlalu banyak menangis kerana Hisyam. Terlalu banyak air matanya tumpah kerana lelaki itu. Untuk apa? Untuk memiliki hatinya! Berjayakah dia? Tidak! Dia asyik gagal. Tapi, mengapa dia harus mendengar daripada perempuan ini tentang kegagalan itu? Mengapa Maria yang harus memberitahu?

Maria meneruskan misi. “Lin, awak carilah kebahagiaan awak sendiri. Kebahagiaan yang tidak tersenarai nama Hisyam di dalamnya. Bukan susah mencarinya sebab bahagia itu ada dalam diri awak. Dalam hati awak! Tapi, awak kena usahalah! Bukan orang lain boleh buat untuk awak. Awak saja yang berhak pada diri awak tu!” ujarnya lagi.

Datin Irene terpaku di kerusi. Terharu mendengar nasihat Maria kepada anak gadisnya. Sangkanya, Maria akan memaki hamun. Sangkanya, Maria akan memarahi Salina. Tetapi... patutlah! Patutlah dia yang Hisyam pilih. Tutur katanya penuh keikhlasan. Tulus! Salina tidak akan mampu menandinginya!

Tiba-tiba Hisyam menerobos memasuki bilik. Melihat keadaannya yang cemas, melihat dirinya yang kalut, semua orang dapat merasakan bahawa fikiran lelaki itu sedang kusut. Mungkin setelah menyedari bahawa Maria ke hospital ini, dia bimbangkan keselamatan isterinya. Memang jelas dilihat kerisauan itu kerana sebaik melihat Maria, Hisyam menarik nafas lega. Tubuh isteri terus ditarik ke dalam pelukannya. Didakap erat-erat, tanda dia bersyukur bahawa tidak ada sesuatu yang buruk sudah menimpa isterinya.

“Lia tak apa-apa, kan? Lin tak buat apa-apa pada Lia?” tanya dia. Sepasang mata tajam merenungi Maria. Bila Maria hanya menggeleng, sekali lagi Hisyam memeluknya erat-erat.

“Bila mami telefon abang beritahu Lia tinggalkan Aiman kat rumah dia, abang syak Lia datang sini. Macam-macam yang abang fikirkan. Semuanya buruk-buruk belaka. Abang benar-benar takut, Lia. Abang tak sanggup kehilangan Lia lagi. Kalaulah Lin mengapa-apakan Lia tadi, macam mana? Macam mana abang, sayang? Macam mana Aiman? Tak sanggup hendak memikirkannya pun!” Hisyam meluahkan rasa. Pengakuan yang dapat didengari oleh Salina, yang merobek perasaannya.

Jahat sungguh dirinya di mata lelaki itu sehingga Hisyam sanggup membayangkan dirinya sebagai pembunuh Maria. Jahat sungguh dirinya di mata Hisyam sehingga lelaki itu tidak sanggup membayangkan Maria berdiri di hadapannya! Bagi Hisyam, dirinyalah penjenayah cinta.

Terlalu obseskah dia dengan lelaki ini? Mengapa dia terlalu ingin memiliki Hisyam? Hisyam bukannya terlalu istimewa. Dia lelaki biasa tetapi mengapa diri terlalu inginkan lelaki yang tidak ada sebarang perasaan kepada dirinya ini? Mengapa? Mengapa?

Dia tersedar daripada lamunan yang jauh bila mendengar Hisyam bercakap dengan ibunya.

“..... Auntie, maafkan saya. Saya rasa, inilah kali terakhir saya datang jumpa auntie dan Lin. Saya tak sanggup buat apa yang auntie mintak. Saya tak dapat tunaikan permintaan auntie untuk saya kahwini Salina. Maafkan saya, auntie!”

Datin Irene mengangguk sambil tersenyum.

“Auntie tak marah kamu, Syam. Tak ada sebab auntie nak marah pada penolakan kamu tu. Auntie sendiri dah faham mengapa kamu pilih Maria jadi isteri kamu. Tak payahlah auntie memuji cukup sekadar kamu tahu yang auntie kagum pada sikap tenang dia. Dah, pergilah balik! Maria sedang mengandung, tak bagus kalau dia berdiri lama sangat. Tentang Salina, janganlah kamu risau. Auntie rasa, dia sudah boleh terima hakikat dah! Now, go!”

“Terima kasih, auntie.” Bisik Maria sambil mendakap erat tubuh Datin Irene.

Hisyam kembali meraih tubuh Maria mendekatinya. Pinggang isteri dirangkul sambil mereka melangkah keluar.      

“Lia rasa Salina akan berubah tak?”

“Hanya Allah sahaja yang tahu. Biarlah, bang. Lia dah cakap apa yang perlu Lia cakap. Semoga dia faham dan mengerti. Semoga dia dapat cari apa yang tidak dia temui sekarang, pada satu masa nanti. Yang penting, bukan abang dalam agenda dia nanti!”

Hisyam menghentikan langkah. Dua tangan diletakkan di atas bahu Maria. Sepasang mata beria-ia memandang. Tajam! Redup! Kuyu! Mempesonakan! Menghantar rasa sayang yang tidak terungkap dengan kata-kata. Mengutuskan pesan betapa cintanya tiada sempadan.

Ketika tubuh didekatkan, masing-masing tersentak bila ‘si dia’ di dalam, menendang-nendang. Bukan sekali, malah tiga! Hisyam yang baru pertama kali menikmati peranan seorang ayah terkesima.

“Baby ke tadi tu, sayang? My baby girl tendang mama dia kuat sampai boleh rasa macam tu? Sampai nampak dia gerak-gerak kat kulit perut ni?” tanya dia dalam rasa tidak percaya.

“Mmm, anak abang ni nama aje perempuan tapi kan, dia lebih agresif dalam perut Lia ni kalau nak dibandingkan dengan abang dia, tau! Rasa semput dada ni, bang!”

Mendengar isterinya menyebut semput, Hisyam terus sahaja tunduk lalu mencempung Maria dan terus mendukungnya.

“Abang, apa ni? Turunkan Lia, bang! Lia malu ni! Turunkan cepat!” Maria meminta.

“Sayang, daripada Lia meronta-ronta nak turun tu, lebih baik Lia letak tangan Lia kat leher abang. Abang memang dah lama nak dukung Lia macam gini. Ingat hero Hindustan aje ke boleh dukung heroin? Abang pun boleh, tahu!”

Maria ketawa. Kes cemburu kat hero Hindustan rupa-rupanya. Okeylah! Tak apalah! Dukunglah! Kakinya pun sudah dirasakan kejang sejak tadi. Mata sengaja dipejamkan. Perasaan indah tidak mahu dibuang. Hatinya sudah lega selepas pertemuan tadi. Hidupnya sudah normal kembali. Dia tidak perlu risaukan Hisyam lagi. Tidak juga perlu memikirkan tentang Salina.

Ya Allah, terima kasih atas kurniaMu!
............................................
Cadangnya, cukup dua episod tambahan ini sahaja tetapi jika ada di antara anda yang merasa tidak puas dan inginkan salina menemui yg lain agar dia tidak lg mengganggu, nyatakan, bila anda memberi komen. Akan diusahakan, okey...
sofi.  

15 comments: Leave Your Comments

  1. huhuhu
    nk lg
    tmbh lg byk pun ok!~

    ReplyDelete
  2. tambah lg tambah lagi....

    ReplyDelete
  3. tambah lagi last epi. buatlah salina terima dr. iskandar....ok wut...

    ReplyDelete
  4. nk lgi...nk lgi

    ReplyDelete
  5. syabas maria!!
    nk cerita psl salina plak. kisah dia temui cinta hati dia yg baru dan halal. wuuuuu~~

    ReplyDelete
  6. sy rase cukup setakat ni kot...
    takut mleret2 pulak...huhu.
    pendapat je :)

    ReplyDelete
  7. best gilerrrr......
    tambah lagi satu episod...
    nak tau kisah salina selepas dengar nasihat maria....

    ReplyDelete
  8. kpd semua, salam...
    insyaallah akan sambung jugak
    demi menjaga hati anda peminat tmkh...
    tunggu..

    ReplyDelete
  9. bestnye....

    cemburu pade kebaikan dan keluhuran maria...
    mmg perempuan yg tenang sgt...

    best2...
    nk lg cg sofi...

    :)

    ReplyDelete
  10. bestnye...

    cemburu dgn ketenangan n kabaikan maria...
    tenangnye die....

    xsaba tgu smbgn...

    ReplyDelete
  11. salam kak sofi..

    best sgt... klo bleh sambungla lagi..supaya semua tau yg salina benar berubah dan tak menganggu lagi umah tangga hisyam n maria..

    ReplyDelete
  12. salam rubisya...
    nak lg ya... insyaallah
    miznza, n3 ke 3 dan terakhir akan menyusul slps ini.

    ReplyDelete
  13. salam sofi,

    nk lg klo boleh cite pasal salina dh berubah dn akan menerima lamaran dr Is pula dn Salina tlh insaf dn akn jadi kwn baik lia dn hisyam. biar pula Hisyam merasai bagaimana Lia akan melahirkn anak yg ke2 dlm susah/senang seorg ibu melahirkn.

    walau bagaimanapun biar semuanya happy ending ya..

    salute youlh Sofi he he...

    ReplyDelete
  14. sambunglah lagi ya..... seronok membacanya.

    ReplyDelete
  15. salam

    anonymous, insyaallah
    muna...x lama lg akan disambung

    ReplyDelete

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Novel 5: Suami Sebelah Rumah

Novel 4 : Tiada Yang Lain

Novel 2 : Cintamu Cintaku Satu

Novel 1 : Tak Mungkin Kuhindar

cintamu cintaku satu


Novel TMKH telah mendapat pengiktirafan 4 bintang dari Editor Berita Harian 2010. Cetakan yang ke-6. Anda juga boleh melayari LINK INI untuk membaca bab-bab 1 -15

Novel-novel dalam Bikinan

Followers