apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

12.6.10

Air mata cintamu

-->
1

Fasha Farihah merenung gagang telefon yang baru diletakkan. Ada rasa tidak percaya, ada riak kerisauan, terukir di wajah. Berkerut-kerut dahinya, tanda fikiran sedang dibebani persoalan.

‘Bagaimana mereka tahu aku di mana? Bagaimana mereka boleh cari aku? Jumpa aku?’

“Kenapa tu, Fash? Nampak risau aje tu? Siapa yang telefon Fash tadi tu?”

Pertanyaan daripada Kak Sabtuyah, menarik diri Fasha keluar daripada belenggu kekhuatiran. Wajah lembut wanita berketurunan Melayu Sarawak itu, ditatapi seketika. Perlahan-lahan senyum dikuntum.

“Tak ada apa-apa, kak.” Jawabnya walau dia tahu kerani sekolah SMK Rosly Dhoby, Sibu itu, tidak mungkin mempercayai kata-katanya.

Sabtuyah memandang tajam wajah guru perempuan berusia 30 tahun itu. Dipandang dalam-dalam kerana dia ingin melihat perubahan di air wajah yang sentiasa tenang itu. Guru-guru lelaki di sekolah menengah ini menggelarkan Fasha sebagai “Ice Queen”, hmm, satu gelaran yang menjelaskan keseriusan, ketegasan perwatakan wanita yang mula mengajar di sekolah ini 5 tahun dahulu.

Tidak banyak yang boleh dicungkil daripada perempuan ini. Hidupnya terlalu peribadi. Dia terlalu berahsia. Cuma, dari khabar angin yang bertiup entah dari mana, mereka mengetahui bahawa Fasha seorang janda yang meminta bertukar ke Sarawak daripada Kuala Lumpur, kerana ingin membawa hati yang luka dan hancur. Nokhtah! Itu sahaja berita yang diterima. Lain-lain? Tersimpul mati. Terkunci rapat, seperti terkatup rapatnya mulut Fasha Farihah, saat ini!

Fasha Farihah, satu nama yang cukup sedap disebut. Satu nama yang secocok dengan tuan punya diri, ciptaan Allah yang serba lengkap dan sempurna. Cantik mempesona. Anggun menawan. Guru fizik yang sentiasa berjaya mengekalkan pencapaian 100% lulus, setiap kali keputusan Peperiksaan SPM diumumkan, sejak dia mula mengajar di sekolah yang mengambil nama seorang pejuang dalam mempertahankan keutuhan Sarawak terhadap penjajah bernama Raja Brooke.

Fasha disayangi oleh murid-muridnya. Mungkin kerana kesepian yang menghimpit diri, dia memilih untuk memesrai dan menyayangi mereka. Dia sering menjemput anak-anak muridnya untuk bertandang ke rumah, malah, beberapa orang daripada mereka (yang perempuan, ya!) menemani tidurnya di kuarters guru sekolah itu, rumah yang dikongsi bersama-sama dengan Veronica, guru Bahasa Inggeris berketurunan Iban yang berasal dari Kuching.

..........................
2

Di rumah, Fasha termenung lagi. Nampaknya panggilan telefon itu benar-benar membuat dirinya risau. Makanpun dia tidak lalu. Tidak tahan melihat keadaan dirinya begitu, Veronica segera duduk di hadapan Fasha.

“Kak Sab cakap you dapat call dari KL? Tengok you macam ni, I tahu, you dapat berita sedih. Betul tak cakap I ni?”

Fasha Farihah melepaskan keluhan lalu mengangguk.

“Siapa yang call? Siapa pulak yang sakit?”

“Bekas kakak ipar I yang call bagi tahu I, yang bekas mak mentua I sakit dan dia nak jumpa I, ASAP!” Fasha memberitahu dalam 1 nafas. Sebaik sudah membuka rahsia itu, dia merasa lega. Tidak terbeban lagi.

“Kenapa dia nak jumpa you? You bukan menantu dia lagi dah, kan?” Veronica mula mencungkil.

Fasha senyum. “I ni dulu menantu kesayangan dia, bukan I cakap, tapi, dia yang bagitahu I macam tu!” jawabnya.

Dia terbayangkan wajah Puan Nani. Wajah lembut yang sering tersenyum kepadanya. Wanita yang telah diselamatkannya dalam satu kemalangan kecil. Sejak kemalangan itu, dirinya sering dihubungi untuk bertanya khabar. Dan, setiap hujung minggu, sering sahaja dirinya dijemput ke rumah wanita itu untuk makan-makan. Sehinggalah pada suatu hari, Puan Nani melahirkan harapan untuk menjadikan dirinya menantu.
................................
3

“Jadi menantu mak cik?” Fasha Farihah benar-benar terkejut.

Puan Nani segera duduk di sebelah Fasha dan menggenggam erat jari-jemarinya.

“Please!”

Fasha terkedu mendengar perkataan itu. “Tapi,”

“Ammar Fitri dah 3 tahun duduk di Manchester, Fash. Jenuh mak cik suruh dia balik, haram, tak mahunya. Seronok sangat dia di sana sampai nak bermastautin. Nak jadi warganegara Britain!” Puan Nani mula bercerita tentang anak bongsunya yang bernama Ammar Fitri. Lelaki itulah yang hendak dijodohkan dengannya. Lelaki yang tidak pernah ditemui namun gambar-gambarnya yang fotogenik memang penuh di dalam rumah berkembar dua tingkat yang terletak di Taman Midah, Cheras itu.

“Tolonglah, Fash. Mak cik tahu, Fash boleh jadi isteri yang baik untuk Ammar. Mak cik tahu, Fash boleh bawak dia balik ke jalan yang benar. Fash boleh bimbing dia yang dah tersesat jauh.  Fash...”

“Mak cik, apa yang mak cik cakap ni? Apa maksud mak cik?”

Puan Rohani menelan liur. Wajah sudah merona merah. Dia malu untuk menceritakan namun dia perlu memberitahu kebimbangannya demi mengharap agar dengan penjelasannya itu nanti, Fasha mahu membantunya, bukan sahaja membawa Ammar balik ke Malaysia malah membawa Ammar balik kepada Islam.

“Fasha, Ammar anak makcik tu dulu anak yang baik. Bagus akhlaknya. Pelajar terbaik di SMKA, lagi! Sebab itu bila dia dapat tajaan JPA untuk belajar di Universiti of Manchester, mak cik izinkan dia pergi. Manalah mak cik menyangka, yang sikapnya boleh berubah kerana seorang perempuan? Ya, Fash, dia bercinta dengan sorang budak Melayu ni, namanya Mona. Bila satu hari dia jumpa Mona tidur dengan kawan sebilik dia, terus dia mengamuk. Sejak itu, dia mula minum. Dan sekarang...”

Bulat mata Fasha Farihah menanti ayat berikutnya.

“Dia duduk serumah dengan perempuan mat saleh, namanya Bella.”

Fasha segera mengucup jemari tua yang sejuk milik Puan Nani.

Bukan mudah untuk membuka pekung di dada. Bukan mudah menceritakan keburukan perangai anak sendiri. Tepuk air di dulang pasti terpercik ke muka sendiri.    

Fasha faham penderitaan jiwa wanita itu. Dia mengerti. Tapi, kenapa Puan Nani fikir dia yang kerdil ini mampu membawa Ammar kembali ke jalan yang benar? Arghh, pelik sungguh wanita anggun ini!

“Fash, katalah yang Fash sanggup menolong mak cik. Janjilah yang Fash akan cuba mengembalikan Ammar pada mak cik. Tolonglah..”

Fasha segera menggelengkan kepala. “Mak cik, Fash tak boleh janji. Fash ni bukan pandai. Alim? Jauh sekali! Macam mana mak cik boleh letak harapan yang tinggi macam tu pada Fash?” tanya Fasha.

“Sebab mak cik sayang Fash. Fash tentu tak sanggup kecewakan harapan orang yang sayang pada Fash, kan?”
.......................
4

“You kahwin dengan Ammar?”

Fasha Farihah mengangguk. “ Ya, V, I kahwin dengan dia, seminggu selepas dia sampai ke bumi Malaysia.”

“Maaf, kalau I cakap, tapi.... itu bukan perkahwinan yang bahagia. Kan?” Veronica bertanya dengan bersungguh-sungguh.

“Kesilapan terbesar yang pernah I buat dalam hidup I.” Balas Fasha lemah. Melihat wajah ingin tahu Veronica, dia meneruskan cerita, “Dia bawa Bella balik sama-sama ke Malaysia. Mak tak tahu. Semua orang tak tahu sebenarnya. I tahupun sebab Bella cari dia kat apartment kami dua minggu lepas kami kahwin. Masa tu, I rasa tertipu sangat dengan dia. Depan emak, depan adik beradik dia, dia janji, dia akan berubah. Dia janji dia akan berhenti minum. Tapi, sebenarnya, dia terpaksa cakap macam tu sebab mak ugut dia. Mak kata, kalau dia tak nak kahwin dengan I, mak anggap dia anak derhaka dan dia tak boleh tuntut harta mak macam tanah yang banyak kat Melaka dengan duit semua. So you tengoklah, V, sebab harta, dia kahwin dengan I. I yang bodoh ni pulak percaya bila dia cakap dia jatuh cinta pandang pertama kat I, sejak tengok gambar I yang mak dia tunjuk. Bodoh kan, I?”

Veronica menggeleng-gelengkan kepalanya.

“That is called innocent, not stupidity, Fash!” balasnya.

Masing-masing diam, menghalakan pandangan ke arah kaca TV yang sedang menayangkan cerita Adamaya. Satu lagi kisah pergeseran di dalam rumahtangga.

Rapuh sungguh institusi kekeluargaan sekarang ini. Mudah sungguh mahligai yang kononnya dibina atas dasar cinta, dirobohkan. Mudah sungguh melafazkan talak! Tidakkah diketahui bahawa talak adalah perkara halal yang paling tidak Allah sukai?

“Fash, dia ceraikan you ke lepas tu?”

Fasha menggeleng. “Tak. Dia cakap, dia tak boleh ceraikan I sebab I ni, mak dia yang pilih.”

“That bas.......”

Fasha ketawa. “You ni! Kalau marah?? Boleh tahan jugak, eh? Perkataan ‘busuk’ macam tu pun you sanggup sebut, ya, V?” sindirnya.

“Habis tu, dah I geram sangat ni, nak buat macam mana! Isk, Fash! Hubby you tu memang lelaki tak guna.” Marah Veronica.

“I cuba bertahan selama 6 bulan. Rahsia dia, I simpan kemas. I cuba bawak dia balik ke jalan yang benar. I suruh dia pujuk Bella peluk Islam supaya dia orang boleh kahwin, taklah hanyut di arus dosa, kan? Tapi.....”

Lama Fasha dibuai kenangan lalu, terdiam seolah-olah setiap yang berlaku itu sedang terlayar satu persatu di hadapannya kini. Dia hanya tersedar bila Veronica menepuk pahanya dengan kuat.

“Ooopps, sori, V! Tadi tu, I bukan berniat nak menunjuk-nunjuk pada you kebaikan yang I dah buat, okey! I cuma....”

“Meluahkan perasaan yang selama ini terkurung, kan? Perasaan yang you pendam sorang-sorang, yang tak pernah you luahkan kepada sesiapapun waima kepada ibubapa you sendiri, betul tak?”

Fasha Farihah bangun berdiri. Dia hendak ke dapur untuk membuat air.

“Alah, Fash! Cerita kasi habislah dulu, baru nak minum ke, makan ke?”

“You bertuah sebab you orang pertama yang I ceritakan semuanya, V. You nak tahu semuanya, kan, jadi biar I buat air dulu. Lepas tu I akan sambung, okey!”
......................................
5

“I ni anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor. Ayah I mati, masa umur I lima tahun. I anak tunggal. Masa I dalam Tahun 3, mak I kahwin lagi. Lepas kahwin dalam 10 bulan macam tu, mak I pulak meninggal dunia. Orang kampung sepakat hantar I duduk kat rumah anak yatim, yalah, semua orang bimbang I tinggal dengan bapak tiri I tu. Dia tu kaki judi.”

“Oh...” Terlopong mulut Veronica mendengar cerita Fasha Farihah.
   
“I membesar di situ. Tapi, tak lama. I kan pandai? So Form 1, I masuk Sekolah Menengah Sains. Tapi, bila cuti, I balik ke sana jumpa adik-adik, kawan-kawan dan Mak Non. Rutin hidup I ‘dull’ aje, V. You pun tahu, I bukan seorang yang ramah tamah. I memang tak ada ramai kawan. Hidup I dari dulu memang sunyi.” Fasha bercerita tentang masa silamnya. Veronica memberi sepenuh perhatian.

“Bila mak memberi perhatian dan kasih sayangnya, I rasa I terhutang budi pada dia. I sayang sangat pada dia. I memang anggap dia mak I sendiri, bukan mak mentua. Sebab itu I cuba bertahan dengan sikap Ammar. Lagipun, Ammar ni pelik. Dia tak pernah belasah I. Tak pernah herdik, tak pernah marah. Tutur kata dia pada I selalu lembut. Cuma yang I tak tahan, itulah... dia buat semua benda mungkar tu. So...”

“So?”

“Antara yang buruk dengan yang baik, antara yang bathil dengan yang hak, I kalah, V. Enam bulan lamanya, I mengharapkan dia berubah jadi baik, tapi dia tetap macam tu jugak. Memang betullah kan bila orang cakap,

‘Attitude is something that you, only you, can change, not anyone else!’

V, I dah cuba mengubah diri dia tapi I gagal, sebab tu I tinggalkan dia.” Cerita Fasha Farihah dengan tenang.

“Mak dia?”

“Entah, I pergi macam tu saja. I tak tinggal jejak pun! Sebab tu bila kakak ipar I, Kak Timah, telefon I semalam, I terkejut. Macam mana dia orang boleh cari I, V?” tanya Fasha dengan wajah kebingungan.
 
“You ni... Belajar sampai masuk universiti tapi ‘meng-ngong”. Fash, senang aje caranya! Dia orang boleh rujuk kat JPN, boleh cari you kat facebook, boleh hantar penyiasat persendirian...”

“Okey, stop! I faham!” Fasha ketawa menjawab.

“Dah buat keputusan?” Veronica ingin tahu.

“Kalau I tak balik, tak apa, kan?” tanya Fasha.

“Terserah! Tapi I takut nanti you menyesal pulak. Yalah, mak mentua you tu sayangkan you, kan? You pun sayang dia jugak. Takkan you tak nak tengok dia?”
..................
6

Fasha merenung wajah bekas kakak iparnya yang sedang memandu. Dia sedang berkira-kira untuk meminta anak sulung Puan Nani dan Encik Burhan ini untuk menghantarnya ke hotel. Mana-mana hotel pun tidak mengapa. Biar bertaraf 3*, dia sanggup, asalkan dia tidak dibawa balik ke Taman Midah.

Kakak sulung bekas suaminya ini yang menjemput dia di lapangan terbang tadi. Puas dia berkata dan menahan wanita itu supaya tidak menjemputnya namun Fatimah tetap berdegil, tetap menyuruhnya menunggu sehingga wanita ini sampai. 

“Kak long, kita cari hotel kat PB. City Villa okey kut? Boleh Fash jalan kaki aje ke HKL.” Pintanya.

“Alah, Fash. Buat apa nak ke pusat bandar? Kita ni nak balik ke Taman Midahlah!”  balas Fatimah.

“Bukan mak di Hospital Kuala Lumpur ke?” Fasha menjadi hairan.

“Tak! Doktor benarkan mak balik ke rumah semalam.” Fatimah memberitahu.

“Kenapa kak long tak cakap semalam?”

“Sebab, kalau kak long cakap, Fash mesti tak nak balik sedangkan mak rindu sesangat pada Fash. Nama Fash tak pernah lekang dari bibir dia, tahu tak?”

“Kalau macam tu, boleh tak kalau kak long tolong turunkan Fash kat tepi jalan, nanti Fash nak tahan teksi nak pergi sewa hotel. Lepas siap kemas barang, Fash pergi rumah mak. Boleh tak, kak long?” Suara Fasha seakan-akan merayu.

Fatimah menjeling ke sebelah. “Apasal pulak tak nak tidur di rumah mak? Takut ‘terbertembung’ dengan Ammar, ya?” tanya dia dengan selamba.

Fasha terdiam. ‘Peguam ni tahu aje apa yang aku fikirkan..’ bisik di hati.  

“Fash, Ammar bukan duduk rumah mak. Dia masih tinggal di apartment korang.”

Fasha Farihah tersentak. Sangkanya, Ammar sudah balik ke England. Sangkanya Ammar sudah menjualkan apartment itu. Tapi, ini pula yang diketahui. Ammar masih di sini. Di Malaysia. Bermakna, kemungkinan untuk mereka bertemu adalah tinggi. Nasib baik, cuti sekolah cuma 2 minggu. Nasib baik juga, dia membeli ‘open ticket’ yang bermakna dia boleh menentukan sendiri tarikh untuk dia balik ke Sarawak. Oh Tuhan, harap-haraplah, sakit emak tidak serius. Bolehlah dia balik secepat mungkin!

“Fash cuti 2 minggu, kan?”

Fasha tersenyum mengangguk. Senyuman yang hambar.

“Baguslah! Boleh ubatkan rindu mak yang dah bertahun-tahun pada Fash. Sebenarnya, 2 minggu tu bukannya lama manapun, tapi, kak long harap kamu dapat buat mak tersenyum balik. Dapat buat mak gembira semula. Dah lama sangat rumah kita tak ceria.”

‘Hisy, macam ada maksud tersirat aje?’ hati menjadi walang namun dia sudah melangkahkan kaki ke mari. Bolehkah berpatah balik?

Tidak disangka-sangka, kepulangannya disambut oleh seluruh kaum keluarga Puan Nani. Kak Ngah Rokaiyah dan suaminya Basri serta anak-anak kembar mereka, Azmi dan Azim, suami Kak Long, abang Aliff dan anak dara mereka, Emilia, sudah setia menunggu di samping Puan Nani yang duduk di atas kerusi roda.

Demi terpandangkan ibu mentua yang tidak sihat, Fasha Farihah segera mendapatkannya, memeluk tubuh kurus itu erat-erat dan mencium pipi kiri dan kanan berkali-kali, melepaskan kerinduan yang bermukim di dalam hati.

“Apa khabar, Fash?” soalan ditanya sebaik sahaja pelukan dileraikan.

“Alhamdulillah, Fash sihat mak.” Jawabnya.

“Yalah, tok. Cuba tengok pipi Mak Su tu, Kan dah nampak tembam!” Emilia menyampuk, menyebabkan semua menumpukan perhatian kepada Fasha Farihah. Menjadikan wajah merona merah. Menjadikan diri merasa malu. “Kalau Pak Su tengok, mesti dia...”

“Emi...”

Fasha termangu. Mengapalah Emilia, gadis berusia 18 tahun itu menyebut tentang bapa saudaranya? Soalnya pada diri. Nasib baik kak long menegur, jika tidak, tentu malu dia nanti. Seolah-olah kehadirannya di sini untuk bertemu lelaki itu. Hisy...
.........................
7

Sepanjang malam, Fasha asyik bergolek-golek ke kiri dan ke kanan. Nampaknya simptom insomnia sudah menyerang. Beginilah keadaan dirinya setiap kali beralih tempat tidur. Sukar sungguh untuk lena.
  
Fasha menuruni anak tangga perlahan-lahan untuk ke dapur. Dia merasa dahaga. Dia  ingin minum. Dapat meneguk segelas air masak pun jadilah. Bila sudah hilang rasa dahaga itu, dia berhasrat pula untuk menjenguk Puan Nani. Namun, belum sempat Fasha hendak membuka pintu bilik ibu mentuanya, tubuh Ammar Fitri bin Burhan, bekas suaminya berdiri terpaku di tengah-tengah jenang pintu yang sedang dibuka luas olehnya dari dalam.  

Masing-masing tegak berdiri memandang di antara satu sama lain. Masing-masing tidak bersuara. Ada emas di dalam mulut mereka. Atau mungkinkah ada batu yang berat berkilo-kilo?

“Ammar, kenapa tu?” suara lemah Puan Nani mengganggu lamunan mereka.

“Err.. masuklah!” Ammar mempelawa sambil memberi ruang untuk Fasha melintasi dirinya, berjalan ke arah Puan Nani.

Mengapa ya, ada getar dalam hati masing-masing?

“Siapa tu? Fasha ke?” tanya Puan Nani sebaik mata melihat satu gerakan di sisi Ammar.

“Ha’ah, menantu kesayangan mak!” ujar Ammar sambil sepasang mata menangkap renungan bekas isterinya.

“Ex!” bisik Fasha perlahan tetapi tegas kepada lelaki itu.

“Tapi, mak masih anggap awak tu isteri saya!” Ammar juga berbisik, mengiringi Fasha menghampiri ibunya.

“Fash, kenapa tak tidur lagi ni? Dah lewat kan?” soal Puan Nani sambil menghulurkan tangannya.

Fasha segera menyambut tangan yang dihulurkan lantas duduk di atas kerusi di sisi katil.

“Mak nak apa-apa ke? Air? Makan? Boleh Fash buatkan.”

“Mak kenyang lagi, Fash. Terjaga ni sebab Ammar kejutkan mak?”

Fasha Farihah menjegilkan sepasang mata kepada Ammar. Dia rasa tidak selesa bila Ammar dengan bersahaja duduk di birai katil ibunya.

‘Tu lah! Ada otak tapi bubuh kat kepala lutut! Konon ada masters, tapi sikitpun tak boleh nak gunakan akal fikiran yang Allah dah bagi. Selfish, dari dulu sampai sekarang, tak berubah-ubah. Mang-ngang punya orang!’ hati mengutuk.

‘Hmm, marahlah tu! Tentu dia tengah kutuk aku kaw-kaw dalam hati tu. Ingatnya, aku sengaja masuk dan kacau mak? Sengaja mengejutkan mak untuk dengar cerita aku kat pejabat, macam tu ke? Dia ingat aku ni selfish sangat? Bodoh?’ hati Ammar berceloteh sambil sepasang mata tajam memandang wajah di sisi.

‘Tengok aku macam tak pernah tengok perempuan tu kenapa? Weh, aku bukan Bella kau tu! Aku ni janda kau, Fasha Farihah. Janganlah tenung-tenung! Aku tak mahu jatuh cinta lagi dengan kau! Tak mahu! Pusinglah! Pandanglah tempat lain! Jangan kasi hati aku ni cair, please! Please!’ hati kecil merayu-rayu.

‘Fasha, cantiknya awak! Umur awak dah 30, kan, tapi awak nampak muda sangat. Suka tengok pipi awak yang dah merah. Malu ya bila saya tengok awak? Hmm, macam dulu jugak!’ Ammar turut berbicara sendirian.

“Fash, terima kasih sebab sudi balik jenguk mak. Mak ingat, mak tak dapat jumpa Fash lagi dah. Dah 5 tahun Fash pergi, tak sekali Fash hantar khabar berita pada mak. Mak ingatkan Fash dah lupa...”

Fasha tunduk mencium pipi dan seluruh muka ibu mentuanya. Dia sedih! Dia terharu! Dan dia rasa terlalu bersalah. Kejamkah dirinya membuat sekeping hati ibu mentua jadi begitu terluka?

“Fash tak pernah lupakan mak.” Bisiknya perlahan.

Puan Nani tersenyum. Dia tahu itu! Dan, dia juga tahu bahawa Fasha tidak pernah melupakan Ammar.

“Mak tahu!” balasnya sambil melirik ke wajah Ammar. Ammar segera berpaling namun dia tidak dapat menyembunyikan sepasang matanya yang berkaca itu daripada pandangan ibu yang terlalu memahami hati dan perasaannya.      

‘Tuhan, kalau sakit ini dapat mengembalikan semula menantuku kepadaku, aku redha. Sudah terlalu lama dia pergi tinggalkan kami. Sudah terlalu lama dia membawa  rajuk hatinya. Syukur ya Allah, kau lembutkan hatinya untuk kembali. Kembali kepada kami yang memerlukannya. Kembali kepada kami yang menyayanginya. Semoga kau lembutkan hatinya untuk menerima kami dalam hidupnya semula.’ Desis hati seorang wanita tua yang pasrah kepada Yang Satu untuk mengembalikan kebahagiaan yang hilang sekian lama. Doa penuh ketulusan. Doa penuh pengharapan.
.......................................
8

“Assalamualaikum, Mak Non.” Sapa Fasha sambil memeluk erat tubuh Mak Non, wanita yang telah membesarkan dirinya selama dia berada di Rumah Anak-anak Yatim Darul Nadhwah, Kuala Selangor. Dia ketawa bila wanita lewat usia 50-an itu terpinga-pinga. Yalah, sudah lama tidak berjumpa. Mungkin dirinya sudah dilupakan.

“Fasha? Fasha Farihah?”

“Yes! Yes! Mak Non ingat pada Fash lagi. Bestnya!” Pelukan semakin dieratkan.

Mak Non menepuk-nepuk belakang tubuh Fasha.

“Nama kamu tu lain dari yang lain, Fash. Lagipun bila tengok TV nampak pulak Fasha Sandha. Sebab itu manalah Mak Non boleh melupakan kamu, betul tak?”

“Terima kasih, Mak Non. Jasa Mak Non akan sentiasa Fash kenang.”

Mak Non tersenyum. “Eh, Fash, kamu tahu tak yang bapak tiri kamu tu dah meninggal?” tanya dia.

Fasha mengangguk. Dia mendapat berita itu seminggu selepas Hj Akil meninggal dunia.

“Kamu tak nak pergi tengok harta kamu kat Tanjung Karang tu?”

Fasha menggeleng. “Biarlah, Mak Non. Bagi ajelah pada Mak Uda dengan anak-anak dia. Dia lebih berhak. Dia yang selama ini bercucuk tanam padi di bendang. Tanah tapak rumah tu, dia jugak yang jaga. Buat apalah Fash nak rebut. Walaupun tanah tu semua arwah mak Fash yang punya, Fash bukan nak balik ke sana dah. Dah lama sangat tak ke Tanjung Karang. Hisy, tak payahlah! Fash pun dah seronok duduk di Sarawak.” Dia memberitahu dengan panjang lebar.
................................
9
Sewaktu Fasha berura-ura untuk balik semula ke Kuala Lumpur, dia dikejutkan dengan kehadiran Ammar Fitri di rumah anak-anak yatim itu. Tidak terlahir kata-kata bila mengetahui bahawa Ammar datang khas untuk menjemputnya pulang.

Aduhai, kenapa perlu datang mengekorinya di sini? Tidakkah Ammar tahu bahawa nafasnya sentiasa sesak tiap kali lelaki itu hadir di sisi? Tidakkah Ammar tahu bahawa dia ke mari untuk mengelak lelaki itu sebenarnya? Bahawa dia tidak sanggup berlama-lama di Kuala Lumpur menyedari bahawa Ammar sentiasa mengawasi dirinya bagaikan lelaki itu tidak mahu kehilangannya lagi?

Ya, kepulangannya kali ini adalah untuk melihat perubahan total Ammar Fitri. 5 tahun pemergiannya dan bila dia kembali, dia mendapati seorang Ammar yang baru dalam diri lelaki itu. Kata ibu mentuanya, Ammar yang ini sentiasa menjaga solatnya. Ammar yang ini sentiasa sembahyang di awal waktu. Ammar yang ini berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis. Ammar yang ini tidak lagi minum minuman keras. Dan, tidak dapat Fasha hendak menafikan bahawa Ammar yang dulu, yang liar dan angkuh sudah tiada lagi. Sudah mati, mungkin?

Dan Ammar yang baru ini tidak lagi menggodanya dengan kata-kata cinta yang meniti di lidah yang tidak bertulang. Tidak seperti dahulu, bilamana dia sering dibuai perasaan bila Ammar berbisik penuh kemesraan. Hanyut dalam dakapan dan belaian walau hati tidak betah dengan bau arak yang melekat di tubuh lelaki itu. Merelakan diri dicumbui walau ketika itu dia tahu lelaki itu hanya ingin memuaskan nafsu. Sungguh! Perbezaan terlalu nyata!  

“Diam aje?” tanya Ammar ketika mereka sedang berada di atas Jambatan Kuala Selangor. Fasha ketika itu sedang melemparkan pandangan ke arah rumah api. Rumah api itu sangat berguna pada masa dahulu, kalau mengikut sejarahnya.

“Fasha?”

“Ya. Saya dengar. Tapi tak tau nak jawab apa.” Balasnya sambil menjeling sekilas ke arah lelaki yang santai berbaju-T warna hitam dan berseluar jeans sahaja.

‘Aduhai, patutlah Bella tidak sanggup melepaskan lelaki ini dahulu. Dia terlalu kacak! Terlalu sempurna. Tinggi pulak tu! Hai, siapalah yang tidak terpikat, kan?’

“Biasalah, dah 5 tahun tak jumpa. Dah tu, sepanjang enam bulan kahwin dengan saya, saya bukan suami yang baik sama sekali. Jenuh awak menasihatkan saya, satu pun saya tak ikut. Jenuh awak leterkan saya, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Manalah awak boleh tahan, kan?”
       
Tuhan sengaja menduga kita
Di mana kesabaran manusia
Engkau isteri yang kusanjungi
Lambang semangat cinta dunia
Pasti engkau terkenangkan
Peristiwa semalam
Saatku menggadaikan cinta
Pada onak dan duri asmara

Entah di mana akal fikiran
Hingga sesat di jalan yang terang
Ini suratan yang diberikan
Menguji kekuatan jiwa


Waktu engkau kulupakan
Dalam kemarau cinta
Betapa hatimu rela
Demi melihatku bahagia

Kau menahan segala seksa
Di hati hanya berdoa
Mengharapkan aku kan pulang
Agar terang cahaya


Ku yang hanyut di arus dosa
Di laut ribut melanda
Dan berenang ke pelabuhan
Kasih sayang sebenar

Air mata cinta darimu
Ku menjadi rindu
Pada syurga di wajahmu
Tiada tanda kau berdosa


Biar aku cium tanganmu
Membasuh lumpur di muka
Ku yang hanyut berarus dosa
Di laut ribut melanda


Kau menahan segala seksa
Di hati hanya berdoa
Ku berenang ke pelabuhan
Mencari cinta sebenar


Kan ku tahan apa hukuman
Di hati hanya berdoa
Biar aku cium tanganmu
Sekali lagi bersama


Bukan sekali jalan berduri
Hanya Tuhan yang pasti
Mengerti...

Terpana Fasha di tempat duduknya, leka menghayati lirik lagu Nyanyian Nash yang sengaja diperdengarkan kepadanya oleh Ammar. Melihat air mata bekas suami yang bergenang, dia pula yang menangis teresak-esak. Menangis semahu-mahunya. Menangis sepuas-puas hatinya. Sapu tangan yang Ammar hulur segera diambil untuk mengelap air mata yang tumpah.

“Awak, awak tahu tak? Saya dah berjanji dengan diri saya yang saya tak mahu menangis kerana awak lagi. Tapi, tengoklah, saya nangis lagi ni. Kenapa, wak?” tanya Fasha perlahan.

“Awak lebih tahu kenapa, Fasha. Awak lebih tahu isi hati awak. Saya? Saya hanya dapat berharap. Dan berdoa!”

“Untuk?”

“Untuk awak berikan peluang kedua kepada saya.” Ammar membetulkan kedudukannya. (Oh ya, kenderaan sudah lama diberhentikan di bahu jalan menuju ke Kapar). Kini, dia sedang mengadap Fasha di sebelah.

“Fasha Farihah, sudikah awak menerima saya, Ammar Fitri menjadi suami awak buat kali kedua?”

Fasha mendongak namun kemudian tertunduk malu. Tidak sanggup membalas renungan penuh mengharap Ammar Fitri.

“Fasha, beri saya peluang untuk hidup dengan awak, perempuan yang telah menyedarkan saya dari mimpi yang lama. Beri saya peluang untuk hidup bersama-sama awak kerana tanpa awak selama 5 tahun ini, baru saya kenal erti sebuah kehilangan. Dan, saya tak mahu kehilangan awak lagi, Fasha. 5 tahun lamanya saya mendidik hati dan diri saya untuk menjadi lelaki yang baik. Sebab untuk wanita sebaik awak, saya perlu menjadi lelaki baik yang awak dambakan. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya selama ini.”

“Boleh saya tanya?”

Ammar mengangguk.

“Sejak bila awak berubah?”

Ammar berpusing untuk merenung ke hadapan. Diri disandarkan ke kerusi. Lama baru dia menyahut, “Bila saya mula rasa sunyi masa saya balik ke rumah kita. Masa saya mula rindukan suara awak waktu awak meleteri saya. Masa saya....”

“Tapi, masa tu awak kan dah ada Bella?” Fasha memintas.

“Allah mendengar doa awak untuk saya. Allah makbulkan doa emak untuk saya. Allah selamatkan saya dari terus hanyut. Bila hidayahNya sampai, keindahan Isabella tak ada lagi. Arak pun jadi busuk. Semua yang haram tak lagi menggoda hati nurani saya. Waktu itu, baru saya faham mengapa awak tinggalkan saya. Dan, mulai saat itu, saya bertaubat nasuha. Saya mintak pada Allah agar saya mampu melawan nafsu, mampu menjadi Ammar yang baru. Saya tak lakukan ini untuk Fasha Farihah. Saya tak lakukannya untuk Puan Nani, tidak jugak untuk sesiapa tetapi saya berubah untuk diri saya sendiri. Untuk saya, Fasha, untuk saya!”

Fasha Farihah menangis semula, menangis gembira sekali ini. Akhirnya, bila Allah mengizinkan,  Ammar berubah juga ke arah kebaikan.

Ya, besar sungguh rahmatNya.         
............................
10

“Fasha...Thanks sebab sudi datang my wedding. I tak sangka betul yang you sanggup hadir dari jauh. Thanks, my friend. I love you.”

Tanpa mempedulikan sesiapapun, Veronica terus meluru ke arah Fasha Farihah lantas mendakap tubuh kawannya yang sudah dua tahun tidak ditemui. Rindu betul dia kepada Fasha.

“V?”

“Ya?”

“Boleh tolong lepaskan I tak?”

Mendengar pertanyaan itu masing-masing ketawa. Mahunya tidak! Fasha kelihatan mengumpul nafasnya semula setelah perutnya yang buncit itu terhimpit dek tubuh badan Veronica.

Veronica segera memegang perut memboyot Fasha sambil sepasang mata memandang ke wajah lelaki kacak di sisi sahabatnya.

“I’m so sorry baby, eh, bukan. I’m so sorry, babies.” Bisiknya, sambil meletakkan telinga di situ. Walau terpisah jauh, namun hubungan tetap seerat dulu. Segala kemajuan diri Fasha ada dalam pengetahuan Veronica. Dan dia amat teruja bila mengetahui bahawa sahabatnya itu bakal menjadi ibu kepada sepasang anak kembar.

“And, you must be Ammar.”

“Yes.” Balas Ammar sambil memut bahu isterinya.

“Amboi, romantiknya hubby you? I hope, my Raymond pun macam ni jugak.” Kata-kata yang melebarkan sengihan pasangan suami isteri itu. Kata-kata yang menyebabkan Ammar semakin mengeratkan dakapannya.

“Of course, I am! Macam you tak tahu?” Raymond yang mendengar kata-kata si isteri mengusik, sambil memaut mesra pinggang Veronica.

Fasha Farihah tersenyum senang melihat kegembiraan di wajah Veronica. Bila wajah Ammar dipandang, Ammar memindahkan dua jari yang diletakkan di bibirnya, ke bibir Fasha.

“Fasha sayang abang jugak.” Bisik Fasha penuh perasaan, khas untuk pendengaran Ammar sahaja.

“Terima kasih, Fasha. Untuk segala-galanya.”
.......................................
Yo, akhirnya, dapat juga sofi buat cerpen berdasarkan senikata lagu paling diminati, Pada Syurga di Wajahmu, nyanyian Nash. Jangan marah ya, Nash, sofi pinjam seluruh lirik di sini. Untuk dihayati semua.

Panjang betul, kan? Dah cuba edit, tapi sayanglah pulak. Jadi baca ajelah, k!

Ikhlas dari sofi. 
       

16 ulasan:

  1. cikgu :)
    x kisahlah pnjang ke x janji best ;)
    suka2x
    hehe ;D

    BalasPadam
  2. Hebat..:)
    Ya,Hidayah TUHAN ada dimana- mana. Andai kita mencari, pasti akan ditemui.

    BalasPadam
  3. best sgt cikgu huhuhu mmg tak lepas dr profesion perguruan... all the best

    BalasPadam
  4. salam,
    itu aku...thanx

    haruna hana....thanx jugak

    BalasPadam
  5. salam,
    iffahnazifa...betul tu, hidayah Allah ada di mana2

    anonymous... hehe..maksudnya apa tu? suka berleter, ya?

    BalasPadam
  6. best..best..lagu feveret saya nih..

    BalasPadam
  7. hohohooh...
    best lacrpen ni...
    suke2x...

    BalasPadam
  8. salam,
    blueskyz, kita sama, kan

    epy elina, thanx

    BalasPadam
  9. salam kak sofi..
    wah akak dah kotakan kata2 akak tu..saya bru je bukak blog akak ni..tup2 terbaca that nice name^^ 'fasha farihah'..
    teruja membaca..

    btw..cite ni best..byk pengajaran..hidayah ALLAH ada di mana2..ALLAH akan beri petunjuk kpd sesiapa yg DIA inginkn..

    suka jgk lagu Nash tu..

    thanks kak sofi..u did such a good job!2 thumbs up!!
    ~Farah Farisha~

    BalasPadam
  10. salam farah,
    nak dedicate the story to u only..marahlah peminat I kat luar tu kan, (yoo hooo perasantannnn)
    so thanx sbb farah sukakan citer ni ok!
    mmm mmg sedap kan lg nash nih..layannnzzzz

    BalasPadam
  11. hahahaha...xkisah pun this story is dedicate to me or not...cuma kan akak ada ckp nk wat cite yg watak dia nama fasha farihah..terkejut sbb bru je akak ckp..dh kuar cite ni..

    pape lagu yg best mmg saya layannzzzzzz....
    ~Farah Farisha~

    BalasPadam
  12. salam farah..

    kita serupa..

    BalasPadam
  13. k.sofi..bestnya..boleh nangis bab k dlm kereta tuh..pesal laa menyentuh perasaan sgt.hehehehe

    BalasPadam
  14. salam shima,

    nangis dah? hehe percayalah.. bukan niatku, okey!

    BalasPadam
  15. bestt sgt2....bru bce..hihi

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.