Langkau ke kandungan utama

Cinta padamu

1

“Hoi, apa yang kau tengok tu? Sampai aku dah terpacak depan kau ni pun, kau tak peduli?” tanya Daniel. Dia kehairanan melihat tingkah sahabat baiknya, Zikri, yang sedari tadi asyik benar memerhati ke arah luar.

“Tu, cuba kau tengok tu!” Zikri membalas sambil memuncungkan bibir ke arah kolam renang.

Daniel menoleh ke arah yang Zikri tunjukkan. Dahinya berkerut-kerut.

“Apa ada kat kolam tu? Orang mandi-manda, kan? Biasalah tu!” katanya lalu duduk untuk menjamu selera. Nasi lemak yang masih panas itu sungguh menyelerakannya.

“Sebab ada yang luar biasalah, aku suruh kau tengok!” balas Zikri pula.

Daniel segera berkalih untuk mencari kelainan yang Zikri katakan. Apa yang dia nampak, masih sama. Kolam renang itu dipenuhi tetamu yang membawa anak-anak untuk bermandi-manda. Kanak-kanak...biasalah! Memang suka bermain air.

“Budak-budak tu ke yang kau maksudkan? Kenapa? Dah teringin nak ada anak? Ajak ajelah buah hati kau si Rahayu tu kahwin.” Kata Daniel sambil tergelak-gelak.

Zikri mendengus kasar. “Aku suruh kau tengok perempuan yang pakai baju warna ungu tu. Dah dekat ½ jam aku perhatikan dia, Danny. Dia sorang-sorang layan kerenah anak-anak  dia yang 3 orang tu. Tak menang tangan, aku tengok! Tapi dia nampak sabar aje, tenang sungguh gelagatnya!”

Pujian itu menyebabkan Daniel mencari-cari wanita berbaju ungu yang Zikri maksudkan. Dia kemudian dapat melihatnya. Perempuan itu sedang duduk di atas simen di tepi kolam. Seorang anak kecil sedang meminum susu di atas ribaannya. Mulutnya terkumat-kamit, mungkin sedang berleter kepada dua orang lagi anaknya, jika benarlah anaknya 3, seperti yang Zikri katakan tadi.

“Hisy, apa yang hebatnya? Biasa aje aku tengok! Dahlah, Zik! Baik kau makan nasi lemak kau yang dah sejuk tu!”

“Aku suka tengok dia... Muka dia tu sentiasa tersenyum. Nampak macam sabar orangnya tu!” Zikri memuji.

Bulat mata Daniel memandang kawannya. “Ni tak lain dah jemu dengan si Ayu tu, kan? Dasar buaya darat betullah kau ni, Zik! Pantang tengok perempuan cantik aje, mulalah kau nak menggoda. Hei, kawan, itu...perempuan yang kau tengah tengok tu, isteri orang, tau! Anak dia dah 3! Apa kes?” omelnya.

“Tak ada kes, Danny! Cuma... aku dah jatuh cinta pandang pertama, kut!” balas Zikri sambil tergelak kecil.


Daniel membulatkan sepasang matanya lagi. “Gila kau?”

Zikri hanya mampu tersengih.

2

“Ibu, Je-ar kuar!”

Mendengar kata-kata Adha, anak sulungnya, Farah segera menutup bonet kereta. Wajahnya pucat bila melihat Azhar sedang berdiri betul-betul di belakang sebuah kereta yang sedang diundurkan. Berlari dia mendapatkan anak keduanya itu. Nasib baik pada masa yang sama, pemandu itu juga sudah tidak mengundur lagi. Farah segera menarik nafas lega.

“Awak okey?” tanya Zikri cemas. Dia sudah berdiri di sisi Farah dan anaknya.

Farah lantas menjeling ke arah Zikri. “Awak, lain kali kan, kalau awak nak gostan kereta, tengok-tengok dulu,tau! Nyaris awak tak langgar anak saya ni. Kalau tidak?”

“Kalau tidak, masuk hospitallah jawabnya!” Zikri menyambung bersama sengihannya.

Farah menjeling lagi. “Awak ingat, accident ni sesuatu yang lucu ke?” marahnya .

Zikri pantas menggeleng.

“Habis tu?”

“Maaf, puan! Saya cuma nak redakan tension kat muka puan aje. Tak ada niat nak langgar anak puan ni!” 

Zikri bertenggong di hadapan Azhar, membalas pandangan anak kecil berusia 5 tahun itu.

“Siapa nama?” tanya Zikri sambil tersenyum.

“Je-ar.”

Zikri mendongak, memandang Farah bersama kerutan di dahi.

“Nama dia Azhar.” Farah memberitahu.

Zikri mengangguk. “Je-ar okey, kan?”

Giliran Azhar pula mengangguk.

Zikri menepuk bahu anak itu perlahan-lahan sebelum berdiri tinggi di sebelah Farah semula.

“Dia kata, dia okey.” katanya mengulangi kata-kata Azhar sambil sepasang mata merenung tajam seraut wajah kuning langsat milik ibu muda itu. Ketika itu, Zikri cuba meneka-neka berapakah usia Farah. Perempuan ini terlalu muda untuk beranak tiga, fikirnya.

Farah rimas lalu dengan segera tubuh Azhar yang montel dicempung. Tanpa pamitan, dia melangkah ke arah kereta Toyota Viosnya. Sebaik Azhar didudukkan, dia menekan child lock lalu menutup pintu. Hampir-hampir saja kepalanya tidak berlaga dengan kepala Zikri yang ketika itu sedang melihat ke dalam kereta.

“Apa awak ni?” Marah Farah.

“Awak berempat aje ke? Suami awak mana?” Zikri ingin tahu.

Farah segera berpeluk tubuh. “Yang awak menyibuk sangat ni, apahal?” tanya dia.

“Kalau saya cakap sebabnya, awak marah tak?”

“Kalau apa yang awak cakapkan tu menyakitkan hati saya, tentulah saya marah!”

Zikri menarik sengih. Hati Farah berdebar-debar dibuatnya. Maklumlah, senyuman lelaki ni menawan sangat, fikirnya. Dan, dia yakin lelaki ini tahu tentang itu. Sebab itu dari tadi asyik tersenyum sahaja.

“Saya nak berkenalan dengan awak, boleh?” tanya Zikri.

“Oh, nak berkenalan? Awak nak kena cencang dengan suami saya?” balas Farah pula.

“Ada suamilah ni? Bukan janda? Bukan balu?” Zikri benar-benar ingin tahu. Sedikit terkilan dengan jawapan wanita cantik itu tadi.

“Bukan! Saya isteri orang. Bukan janda, bukan jugak balu. Maaf, ya!” ajuk Farah sambil membuka pintu kereta untuk memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, setelah menghabiskan masa selama 3 hari bercuti di Pulau Pinang. Walau penat melayan karenah anak-anaknya yang tiga orang ini, dia merasa bersyukur kerana Allah mengurniakannya tiga orang cahaya mata yang sangat comel. Anak-anak yang merupakan penyambung kasihnya kepada....

Lamunannya terganggu dek ketukan di cermin tingkap. Farah segera membuka cermin tingkap itu. “Nak apa lagi ni?” tanya dia.

“Nak awak!”

“Hah?”

Walau perlahan, bisikan itu masih dapat Farah dengari, membuat hatinya berdegap-degup serta merta.

Zikri ketawa, “Tak adalah! Saya melawak aje. Ni, nak bagi awak kad nama saya. Manalah tahu kut-kut nanti awak perlukan saya ke?” dia memberitahu sambil menghulurkan kad tersebut yang segera diambil oleh Farah.

“Terima kasih. Ada apa-apa lagi?”

Zikri menggelengkan kepala lantas berdiri tegak. Farah terus sahaja mengundurkan keretanya dan berlalu meninggalkan lelaki itu terpacak di bawah terik mentari.

“My wire has gone loose....” Zikri bercakap sendirian sambil memerhati kereta itu berlalu pergi.

“Bukan setakat wayar yang longgar, aku rasa otak kau tu pun dah mereng!” balas Daniel yang tetiba sahaja sudah berdiri di sisinya.

Sewaktu Daniel menyuruh Zikri ke kereta, dia ke kaunter untuk menguruskan apa yang perlu semasa check out dari Hotel Seri Malaysia itu. Selesai di situ, dia menunggu Zikri di lobi namun sahabatnya itu tidak juga kunjung datang. Akhirnya, dia yang keluar. Dari jauh, dia memerhati gelagat Zikri sehinggalah perempuan itu pergi meninggalkan sahabatnya tadi.

“Kau, kalau pasal mengutuk....” marah Zikri.

“Mengutuk orang gila macam kau, apa salahnya?” balas Daniel selamba.

3

“Seronok bercuti?” tanya Mak Munah kepada Farah sebaik Farah duduk di sisinya.

“Letih...”

“Tu lah! Mak suruh kamu tinggalkan dia orang dengan mak, kamu tak mahu. Cuti apa kalau dah bawak budak-budak lelaki yang tengah lasak camtu? Lagi penat adalah!” celoteh si ibu.

“Mak, Farah cuti tu pun untuk dia orang tiga beradik jugak. Dah lama Farah tak luangkan masa dengan mereka. Lagipun, dia orang tu tak banyak songeh, mak. Senang aje nak control.” balas Farah sambil tangannya mengambil control untuk menukar siaran Astro. Dia hendak menonton CSI Miami, rancangan kesukaannya.

“Siapa Mohd Zikri Daud ni, Farah?”

Soalan bapanya membuat Farah terkejut. Matanya memandang wajah si ayah namun wajahnya menunjukkan kekeliruan.

“Zikri?”

“Ha ‘ah! Boyfriend baru kamu ke?” tanya Ismail sambil mengunjukkan kad nama kepada Munah. Munah memerhati kad itu sebelum menyerahkannya kepada Farah.

Demi melihat kad itu, Farah ketawa. Beria-ia dia gelak, menyebabkan Mak Munah menepuk pahanya.

“Boyfriend? Isk, tak adalah, ayah. Dia tu mamat kerek yang kita orang jumpa kat Seri Malaysia tu.” dia memberitahu. Kad itu dibelek-belek.

‘Hmm, nama awak Zikri, ya? Sedap jugak tu!’

“Ayah jumpa kad tu kat pintu kereta. Terjatuh agaknya masa kita angkat budak-budak tu masuk tadi.” Ayahnya berkata sambil memandang wajah Farah tajam.   

“Apa budak tu hendak sampai bagi kamu kad tu?” Mak Munah bertanya.

“Alah, biasalah, mak. Nak berkenalan.”

“Eloklah tu! Ada jugak lelaki yang nak berkenalan dengan kamu. Untung-untung, esok-esok dia ajak kamu kahwin dengan dia.” Ismail menyampuk.

“Ayah, anak Farah yang 3 orang tu nak dicampak ke mana?” soal Farah geram.

“Kenapa nak dicampak pulak? Bela ajelah!” usik si ayah mengundang tawa si ibu.

Farah semakin geram. Sikap loyar buruk ayahnya mengembalikan ingatan kepada lelaki bernama Zikri itu. Lelaki itu juga mempunyai sifat yang sama. Loyar buruk juga. Suka main-main. Suka ketawa. Suka bergurau. Suka...

‘Tak kuasa nak ingat pada dia!’

“Umur kamu dah 30 tahun, Farah. Kahwin ajelah kalau ada yang nak jadikan kamu isteri dia. Jangan memilih lagi. Tentang budak-budak tu, toksahlah kamu risau sangat. Mak dengan ayah kan ada? Budak Zikri ni pun nampaknya elok kerja dia ni. Project Manager. Layan ajelah dia kalau dia suka kat kamu.”

Ibu mana yang tidak susah hati bila anak gadisnya masih menyendiri pada usia itu? Di kiri kanan, masyarakat sekeliling sudah bertanya-tanya.

Bila lagi nak dapat menantu, Kak Munah?

Kak Munah, bila si Farah tu nak kahwin?

Kak Munah, mandikan bunga pada si Farah tu, biar jodohnya lekat!

Kak Munah, susah-susah, kahwinkan aje si Farah dengan si Mat anak Pak Harun yang tiga suku tu!             

Geram, marah, kecewa, sedih...bercampur baur perasaannya bila diusik dan disindir begitu namun kedegilan Farah tidak berjaya dicuit. Farah tetap dengan pendiriannya. Keras kepala.

“Farah bagitau dia yang Farah ni isteri orang, mak! Farah cakap, Adha, Azhar dengan Amsyar tu anak Farah.”

Terbeliak mata Mak Munah. “Kamu ni... dah sewel ke, apa? Bila kamu beranakkan budak-budak tu?” Perhatian berkalih kepada suami yang sedang tersengih. “Suka awak, ya, bang? Awak tahu tak yang si Farah ni saja aje nak buat saya sakit jantung! Ada ke dia ngaku macam tu? Kalau inilah keadaannya, sampai mak mati pun kamu tak akan kahwin, Farah!”  marahnya.

“Hai, Cik Munah oi! Jangan nak mengarut! Nanti adalah jodoh si Farah ni. Masalahnya, mahu ke budak tu kahwin dengan janda anak tiga?” celah Ismail.

“Janda apanya?”

“Eh, eh...Munah? Awak dah lupa ke yang Farah ni dah menikah dengan si Azman tu?” Ismail kelihatan bingung dengan sikap isteri yang seolah-olah lupa pada kejadian yang berlaku 3 tahun dahulu.

Farah melepaskan keluhan. Dia tahu, ibunya tidak pernah lupa. Begitu juga dirinya. Permintaan arwah kakaknya, Faiza, permintaan terakhir itu masih terngiang-ngiang di telinga.

“Mak, kahwinkan Farah dengan Abang Azman, ya. Iza harap sangat Farah jadi ibu kepada anak-anak Iza. Iza harap sangat ada yang sudi jaga Abang Azman bila Iza tak ada nanti. Janji ya, mak. Kahwinkan dia orang berdua, ya!”

Jadi, dua hari selepas pemergian Faiza, Farah dan Azman berkahwin. Esoknya, Azman berlepas ke London, membawa pesawat  Malaysia Airline kerana dia seorang pilot. Malangnya, Azman terlibat dalam
kemalangan jalanraya ketika bercuti di Perancis. Apa yang menyedihkan Farah ialah berita yang diterima. Bersama-sama Azman di dalam kereta itu ialah seorang pramugari bernama Edleen. Edleen ialah kekasih Azman! Kekasih yang selama ini tidak diketahui oleh sesiapa, mahupun oleh Faiza  sendiri.

Kalau selama ini, dia menyayangi Azman sehingga rela menjadi ganti kakaknya, kemalangan itu membongkar 1001 cerita, memusnahkan segala kepercayaan. Menghilangkan segala rasa hormatnya kepada lelaki itu!

“Alah, dah 3 tahun, bang! Entah-entah dia dah mati, mana kita tahu?”  

Farah hanya diam. Di dalam hati, dia juga tertanya-tanya tentang Azman. Hidupkah, atau sudah matikah? Kalau sudah mati, di manakah kuburnya? Kalau masih hidup, mengapa dia tidak datang menjenguk anak-anaknya yang masih kecil. Malah, kaum kerabatnya juga membisu seribu bahasa. Mengapa?

4

“Farah? Farah Hazwani Ismail?”

Langkah yang diatur terhenti bila nama penuhnya disebut. Farah segera berpaling untuk mencari pemilik suara itu. Seorang perempuan muda sedang memandangnya tajam.

“Are you sure she is the one?” Farah mendengar teman di sebelah perempuan tadi bertanya. Di hadapan mereka, seorang lelaki sedang menatap wajahnya tanpa berkelip.

“Ya, saya Farah Hazwani Ismail. Awak ni siapa?” Sahut Farah. Pipinya merona merah bila menyedari lelaki itu masih memerhati.

Dengan susah payah, wanita yang memanggil dirinya tadi bangun berdiri. Farah mengerutkan dahi. Tanpa diberitahupun, dia dapat meneka bahawa wanita ini cacat kakinya.

Wanita itu menghulurkan tangan untuk bersalam. “Come, join us. Awak duduklah kat sebelah abang saya tu. Saya dah lama cari awak tapi KL ni terlalu besar pulak. Mujur kita jumpa. Duduklah, Farah! Banyak yang saya nak sembang dengan awak.”

Farah duduk selepas mereka bersalaman.

“Nama saya, Edleen.”

Nama itu!

“Edleen? Girlfriend Abang Man?”

“Itu dulu. Sekarang, kami suami isteri. Lepas accident di Paris dulu tu, kami balik ke sini and got married. But he could not forget you or his sons. Dah 3 tahun, tapi ingatannya pada awak dengan anak-anak masih kuat!”

Farah naik berang. “Iya? Dia masih ingat pada kitaorang? Laa...tak sangka pulak! Tapi, kalau betul, kenapa dia tak datang jenguk kami?” marahnya.

“Sebab dia tak boleh!”

“Tak boleh apa?”

“Dia tak boleh bergerak. Dia lumpuh sampai ke pinggang akibat kemalangan tu.”

Farah ketawa geli hati. “Pandainya awak mereka-reka cerita, ya! Alah, cakap ajelah yang dia tak nak jumpa saya. Cakap ajelah yang dia tak nak kenal dengan anak-anak dia. Kan senang? Yang nak raih simpati saya bagitau dia cacat ni buat apa?” ujarnya sebaik rasa geli hati itu hilang.

“Saya tak tipu. Kalau tak percaya, tanya abang saya ni. Dia dengan Azman kawan baik.”

Farah berpaling ke arah kirinya. Pandangan bertaut. ‘Eh, macam kenallah pulak mamat ni!’ bisik di hati.

“Farah? Ingat saya lagi? Zikri? Kita jumpa di Penang dulu?”

Kuala Lumpur mungkin besar tapi saat ini, dunia dirasakan kecil sahaja. Pi mai, pi mai, jumpa juga dengan lelaki ini. Selepas hampir sebulan, peristiwa di Seri Malaysia mengimbau semula. Aduyaiiii...

“Eh, hmm! You dua orang ni dah kenal?” Wanita di hadapan Zikri bersuara bersama riak cemburu di wajahnya.

“Yes, indeed! What happened there was the sweetest moments in my life, Rahayu!” Zikri meluahkan perasaannya.

Farah terkedu.

Rahayu? Rasa ingin disimbah wajah riang Zikri dengan air tembikai yang sedang diminum.

Edleen? Kehairanan.

“Di mana suami saya sekarang?” Sengaja Farah menekankan perkataan suami supaya dapat dia melenyapkan perasaan cemburu yang sedang melata di muka Rahayu. Dan, supaya Zikri tidak bercakap yang bukan-bukan lagi.

“Bekas suami awak, Farah! Dia dah lama ceraikan awak. Sejak di London lagi. Dia lafazkan cerai pada awak di depan saya masa dia pujuk saya kat sana. Malah, cuti di Paris tu dia rancang untuk meyakinkan saya yang dia dah ceraikan awak. Dia kata, arwah isteri dia yang mahukan awak kahwin dengan dia sedangkan dia tak rela pun! Percayalah! Dia suami saya sahaja sekarang. Awak tu janda dia!”

“Mana ada? Saya tak tahu apa-apa pun!”

“Mungkin awak tak baca kat paper agaknya. Ada Man masukkan dalam paper urusan perceraian tu di Mahkamah Syariah, kan, bang?” Edleen meminta sokongan Zikri.

Zikri mengangguk.

“Saya nak jumpa dia, boleh?” pinta Farah.

Edleen mengangguk.
....................................................

Di tempat letak kenderaan, Zikri berkata, “Ayu, you bawak kereta I. Biar I bawak Farah pergi ke rumah Leen. “

“Kenapa pulak macam tu?”

Serentak pula soalan yang sama itu keluar daripada mulut Farah dan Rahayu.

Zikri tersenyum. “Sebab, kalau saya yang drive, awak taklah sesat. Kat KL ni, bukan senang nak buat konvoi, Cik Farah oi!” 

Kepada Ayu, dia menyerahkan kunci kereta. “Dah, jangan banyak tanya! Drive!”

Zikri berpura-pura tidak melihat pemberontakan yang ditunjukkan Ayu kepadanya.

5

“Abang Man mintak maaf, Farah. Mintak maaf kerana selama ni menyembunyikan diri daripada Farah, daripada anak-anak. Daripada emak dengan ayah. Sebenarnya, Abang Man malu dengan perbuatan abang. Malu dengan sikap dan tindakan abang dulu. Abang banyak berdosa pada Faiza.”

Tahu tak pe! bisik di dalam hati Farah namun melihat kepada keadaan bekas suaminya itu, hati merasa hiba. Perasaan kasihan memenuhi ruang hati. Berbeza sungguh Azman yang ini daripada Azman yang dahulu. Tiada lagi lelaki macho yang menjadi kebanggaan arwah kakaknya, Faiza. Tiada lagi!

“Abang bahagia? Gembira?” Entah mengapa, itu yang ingin diketahuinya.

“Alhamdulillah. Edleen banyak membantu abang!” balas Azman sambil meraih tangan isterinya.

Tindakan spontan itu membuat Farah beralih pandang namun sepasang matanya kemudian bertembung dengan pandangan redup Zikri terhadapnya. Apakah yang lelaki itu fikirkan? Tentang dia? Tentang perasaannya kepada Azman? Tentang dia dan anak-anaknya?

“Farah, boleh abang jumpa anak-anak abang?”

Farah segera melarikan mata daripada tatapan Zikri. Wajah Azman direnungi pula. “Dia orang kan anak-anak abang dengan arwah Kak Iza?” tanya dia.

“Dia orang dah tentu lupakan abang, kan?”

Farah mengeluh. Memang itulah kenyataannya. Walau gambar Azman dan gambar arwah Faiza berada di mana-mana di dalam rumah mereka, namun ingatan itu tentunya semakin pudar terutama Adha dan Azhar. Mungkin seraut wajah Azman sudah tidak mereka kenali lagi. Amsyar?  Lagilah! Bagi anak kecil itu, hidupnya hanya ada Farah, datuk dan neneknya sahaja.

“Nanti, kalau Edleen izinkan, Farah bawak dia orang ke sini.” Farah akhirnya bersuara. Kata-kata yang mengundang senyum di bibir Edleen.

“Boleh, Farah! Bawak aje dia orang ke sini. Saya dengan Azman tak kan ada anak, jadi, saya nak menumpang kasih pada dia oranglah! Insya-Allah, saya akan cuba jadi ibu tiri yang baik buat mereka.”

Jawapan yang merupakan sebuah janji. Jawapan yang menghilangkan rasa marah dan sakit hati Farah selama ini. Hari ini, buat kali pertama, dia rasa dekat dengan Azman. Dia rasa mesra dengan Edleen. Dia rasa.....

“So, semuanya dah settle sekarang, kan?” suara itu mengganggu lamunan Farah. Teguran yang menyebabkan masing-masing menguntum senyum.

Hanya Rahayu yang mengetap bibir tanda geram. Tanda marah. Tanda sakit hati. Dalam diam, dia tahu, bahawa dia akan kehilangan Zikri. Perhatian Zikri terhadap Farah tidak pernah dia perolehi. Keprihatinan lelaki itu, tidak pernah dia nikmati. Senyuman dan lirikan mata Zikri yang menggoda itu, tidak pernah tertumpu kepadanya.

Memang benar kata Daniel, Zikri tidak mencintainya. Memang benar kata Daniel, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Dan, memang benar kata Daniel, dia harus membalas cinta lelaki yang mencintainya, bukan terus-terusan mengejar bayang-bayang Zikri yang tidak mampu digapai tangan! 

6

“Awak, boleh tak kalau awak jangan dok asyik ikut saya? Saya rasa lemaslah!” Marah Farah kepada Zikri yang tidak jemu-jemu membontotinya sepanjang hari. Naik kebas mulutnya menyuruh Zikri pergi ke tempat lain kerana dia sibuk. Maklumlah, hari ini di rumahnya, ayah dan emak mengadakan kenduri doa selamat. 
Kenduri kesyukuran kerana Azman sudah selamat menjalani pembedahan, pembedahan kelima sejak kemalangan itu.

“Saya tolong awak, apa? Tolong kemas! Tolong angkat pinggan-pinggan tu semua. Tolong...”

“Kan saya dah cakap, kalau nak tolong sangat, pergilah duduk basuh pinggan kat sana tu!” Farah menjuihkan bibir ke arah sekumpulan remaja yang sedang sibuk mencuci pinggan mangkuk sambil berceloteh riang.

Sememangnya, di kawasan tempat tinggal mereka, tradisi lama masih diamalkan. Semasa kenduri kendara, kaum lelaki bergotong royong memasak sementara kaum wanita sibuk menyiang dan menyediakan bahan. Anak-anak gadis mengemas meja sementara remaja lelaki akan membasuh pinggan. Tak kiralah sama ada mereka mengadakan kenduri kahwin atau arwah. Kesepakatan itu masih diamalkan.

“Farah, cuba awak teka, kenapa saya suka sangat buat camni?” soal Zikri lembut, meraih perhatian Farah terhadapnya.

“Sebab saya suka awak. Cintakan awak!” dia memberitahu dalam nada suara penuh romantis.

Lama Farah terdiam. Wajah Zikri ditatap tajam.

“Kenapa? Tak percaya? Awak ni, kan, Farah.... peliklah! Semua orang dah tahu tentang isi hati saya ni. It is so transparent! Kenapa awak masih tak faham-faham jugak?” Marah Zikri bila melihat wajah kelat Farah itu.

Awak? Awak ni tak nampak ke? Dah buta? Tak nampak perbezaan antara kita? Awak tu anak teruna trang ,tang, tang lagi..... saya ni pulak janda anak tiga? Macam mana lagi dapat saya buat, dapat saya cakap supaya awak tinggalkan saya? Lupakan saya?” Ucap Farah sambil mengetap bibir. Dia tidak mahu perbualan mereka di tengah-tengah kawasan lapang itu didengari sesiapa.

Zikri ketawa. “Awak? Cinta saya pada awak dah butakan saya. Sebab tu, saya nampak awak aje, tak nampak perempuan lain dah! Berbeza? Tau! Saya lelaki dan awak perempuan, kan? Memanglah kita berbeza! Ni, yang awak risau sangat dengan status janda awak tu, apasal? Saya lagi suka, tahu! Belum apa-apa, saya dah dapat anak segera! Dahlah sememangnya saya ni suka makanan segera, sekarang Tuhan bagi anak segera pada saya. Syukur alhamdulillah!” balasnya.

Farah mengeluh. “Saya tak tahu macam mana nak cakap dengan awak lagi, Zikri! Dah puas saya  fikir, perah otak saya ni untuk reject awak, tapi semuanya tak lut! Awak…”

Kata-kata terhenti kerana Zikri gelak kuat sekali, mengundang perhatian kepada mereka berdua.

“Zikri!”  

“Farah Hazwani Ismail, tak payahlah nak perah otak tu nak fikirkan cara untuk lupakan saya sebab awak takkan boleh lakukannya. Nak tahu kenapa? Sebab awak dah jatuh cinta pada saya!”

Farah terjerit kecil. “Ah, perasanlah awak ni!” balasnya. Pipinya sudah merona kemerahan. Malu bila Zikri mempersendakan perasaannya.

“Awak dah jatuh cinta pada saya sejak pertemuan pertama kita di Hotel Seri Malaysia dulu kan? Alah, jangan nak mengelak! Jangan nak cakap bohong! Saya tahu!”

“Mengarut ajelah awak ni! Macam mana awak boleh cakap macam tu?”

“Sebab, itulah yang saya rasa. Sejak nampak awak kat kolam renang tu, saya rindukan awak. Biarpun masa tu, saya kecewa bila awak cakap awak isteri orang, saya pohon pada Allah agar kita didekatkan kalau ada jodoh kita. Saya jugak mintak agar Allah beri awak kebahagiaan bersama suami awak, kalau dah ditakdirkan kita tak mungkin bersama. Tapi, Farah, sekarang awak dengan Azman bukan suami isteri lagi. Saya rasa, awak tak ada sebab untuk menolak lamaran saya, tau!” ucap Zikri beria-ia.

“Eeii, tak habis-habis cakap merapu. Bila awak lamar saya, Encik Zikri?” soal Farah sambil menjuihkan bibir.

“Laa, awak tak tahu ke? Kat dalam rumah awak sekarang ni, mak dengan ayah saya bersama-sama dengan Azman, dengan Edleen tengah rancak berbincang tentang kita dengan kaum kerabat awak. Saya dah pesan pada mereka, yang saya nak kahwin dengan awak cepat-cepat, paling lewatpun, bulan depan. Kita buat semuanya sekaligus. Tunang, nikah dan kahwin…semuanya buat satu hari aje. Senang! Tadi, Man hantar mesej pada saya. Dia kata, mak awak cakap, duit hantaran yang saya bagi tu mahal sangat…..”

“Berapa?”

“RM 29, 909.”

“Mahalnya! Patutlah! Nanti orang ingat mak nak jual saya pada awak!” Marah Farah tanpa menyedari bahawa kata-kata yang terluah menunjukkan bahawa sudah ada persetujuan di pihaknya untuk menjadi isteri Zikri.

Zikri tersengih. “Tak mahallah, cik adik. 29, 9, 09…awak dah lupa ke?” Melihat dahi Farah berkerut-kerut, dia menyambung, “Tu, tarikh pertemuan kita enam bulan lepas, Farah! Mungkin tak significant pada awak tapi sangat istimewa bagi saya dan keistimewaan itu saya hadiahkan untuk awak. Harap awak sudi!”

Farah kehilangan kata-kata. Renungan lembut Zikri terhadapnya membuat lidahnya kelu. Memukau sungguh perlakuan lelaki itu sehingga tanpa sedar dirinya sudah diamuk cinta. Ya, cinta pertamanya memang bermula di sana….

“Ibu, atuk suruh ibu masuk dalam. Kata atuk, ajak uncle sekali.” Adha memberitahu sambil memaut lengan Farah. Azhar dan Amsyar turut sama mendekat, mengelilingi ibu mereka. Bila Amsyar menyuakan tangan supaya Farah mendukungnya, Zikri cepat-cepat menggendong anak kecil itu dan menggomolnya membuat anak kecil itu kegelian. Seronok dicumbui begitu.

“Uncle, Je-ar nak jugak!”

Amsyar kini bertukar tangan. Farah pula mendokongnya. Je-ar sedang didakap erat oleh Zikri.

Dua pasang mata bertaut. Senyuman saling berbalasan. Masing-masing tahu bahawa cinta dan kasih sayang sudah terjalin. Masing-masing mengharapkan agar masa hadapan tetap seceria sekarang. Bersama-sama anak-anak segera yang mereka ada. Anak-anak yang mengikat hati mereka.
…………………………………..

this is my story. again, semuanya rekaan dan tiada kaitan dgn sesiapapun.
hanya rekaan, ya!

sofi.         

Ulasan

  1. hohohho....
    best la crta ni....
    suke2x....
    thniah cikgu sofi...
    sy bca pnuh ngn pnghayatan...
    kehkeh...

    BalasPadam
  2. wah akak sofi...citer nie mema bagus...sya ske sgat...agaknya masih adakah lelaki macm fikri dlam dunia ni...urmmm...i realy likes tis story...god job..

    BalasPadam
  3. salam,
    epy..sofi suka kl ada org suka citer yg sofi tulis
    thanx

    ayuni,

    hehe..ada byk zikri kat luar sana
    cari mesti jumpa, k!

    BalasPadam
  4. kak..
    nak zikri gak..
    hihihi
    ~gatainya kamu nih..~

    BalasPadam
  5. Best citer nie:)
    Thnx cg.sofi.

    BalasPadam
  6. may lin,

    insya-allah dpt tu...

    iffah, thanx

    BalasPadam
  7. salam kak..
    wah3 produktif sungguh akak nik sorang nih heheh..apapun thumbs up!

    BalasPadam
  8. salam kak..wah3 produktif btoi akak sorang nih hehehe..apapun thumbs up!

    BalasPadam
  9. salam nik

    alhamdulillah, syukur kpd Allah yg memberikan ilham

    BalasPadam
  10. Salam caiyang Sofi

    Dah bertahun tak baca cerpen.. Nice story. Kalu wat drama bleh amik Farid Kamil jadi Zikri. Ihikk. Keep up the good work. Jom singgah teratak maya mama.

    BalasPadam
  11. salam mamawana,

    minat farid kamil
    jugak, hehe

    BalasPadam
  12. first time sy sampai ke sini...

    cerita yg menarik...tersenyum sendir bila sy baca cerita ni... suka..suka.. :)

    slm kenal dari nabilah.. :)

    jom ke APA KATA HATI pulak,
    IKHLAS KE

    BalasPadam
  13. salam nabilah,

    selamat berkenalan

    bacalah sampai habis sume cerita

    BalasPadam
  14. salam..
    nice story..best sgt..

    BalasPadam
  15. Suka baca cerpen k.sofi..biarpun cerpen tu thn 2010.nampak gayanya cuti skolah ni sy jd pengunjung tetap blog akak.nk habiskn apa yg tak pernah sy baca.hehe..

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…