apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

11.4.10

sinar cintamu

Prolog

“Aduhai, handsomenya si Asyraf ni, Reen. Machonya! Gentlemannya! Reen, aku nak dia! Nak dia!”

Nurin Izzati Abdullah tersenyum sinis mendengar suara mengada-ada yang sengaja dibuat-buat oleh teman serumahnya, Salwa. Kepala pula digeleng-gelengkan demi melihat telatah kawannya itu, yang begitu beria-ia memberi sepenuh perhatian ke kaca TV jenama BRAVIA bersaiz 52 inci itu.

Sepasang matanya turut memandang wajah tampan yang sedang berlakon dalam siri drama popular, IGAUAN, drama yang dikatakan bakal memberi peluang untuk Asyraf merangkul gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Layar, tahun ini.

Ah, siapalah yang tidak tergoda melihat jejaka yang kini sering sahaja memegang watak seorang hero itu. Renungan matanya yang redup, ketinggiannya, hidung mancungnya, malah, semua tentang lelaki itu menjadi kegilaan semua wanita di Malaysia barangkali. Lelaki berusia 29 tahun yang juga seorang model itu, amat popular, dan, Nurin yakin, Asyraf tentunya gembira dengan apa yang dikecapinya sekarang. Pencapaiannya kini adalah hasil usaha yang tidak mengenal erti penat atau jemu. Dan, tentu sahaja inilah apa yang dia mahu, sehingga…


1
“Rene, janganlah nangis. Tak guna you nangis macam ni. You pun tahu kan yang hubungan kita ni tak akan ke mana-mana. Antara kita ada banyak sangat batas dan halangannya!”

“Apa batasnya? Apa halangannya? Cuba you cakap terus terang dengan I, Asyraf. Bagitahu I!”

Sudah lama peristiwa itu berlalu, namun kenangannya masih terpahat di dalam hati. Kenangan itu membawa dirinya ke sini, ke Taman Tasik Permaisuri ini. Di atas kerusi ini, dia pernah duduk dan menunggu Asyraf Burhanudin menjatuhkan talak cintanya. Di atas kerusi ini dahulu, dia mendengar alasan demi alasan mengapa dia perlu Asyraf tinggalkan.

“Pertama, sebab you dengan I tak seagama. Nama you, Irene Fernandez. Nama I, Asyraf Burhanudin. I, Islam, sedangkan you beragama Kristian. Jadi,”

“Kan I dah cakap yang I nak convert? Demi you! Demi cinta I pada you!”

Ya, itulah alasan pertama Asyraf. Dia ingin memutuskan perhubungan cinta yang terjalin sejak mereka belajar di Tingkatan Enam di SMK Sultan Abdul Aziz dahulu. Hanya kerana Irene beragama Kristian. Itulah yang sangat-sangat Irene kesalkan dengan sikap lelaki itu. Kalau benarlah agama yang menjadi halangannya, mengapa Asyraf yang mula menghulurkan salam perkenalan kepadanya?

Bukan Asyraf tidak tahu siapa Irene. Irene memang pelajar yang terkenal di sekolah. Mereka sama sekelas sejak di Tingkatan 1 lagi. Lagi pula, Irene sudah nekad untuk memeluk agama Islam. Dia sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab. Malangnya, Asyraf mencampak jauh pengorbanan yang ingin dia lakukan.

“Kedua, I baru dapat offer jadi model untuk satu publisher ni. So, I think, dari situ, I ada peluang untuk jadi popular. You pun tahu apa yang I angan-angankan selama ini, kan?”

“Hmm, you nak jadi macam Mawi. You nak jadi terkenal, pergi sana sini ada aje yang nak mintak autograf. Ada saja yang nak bergambar dengan you.”

Asyraf tersengih. “Tau pun! I tak nak ada ikatan dengan you, sebab nanti, bila I buat semua tu, you tentu cemburu. Rene, I nak enjoy my young life. Hidup sekali aje, dan I nak menikmatinya. I tak nak terkongkong!”

Pedih sungguh mendengar Asyraf meluahkan apa yang dia hajati, yang selama ini tidak pernah Irene ketahui.

“Apa yang ketiga?” Irene bertanya untuk mematikan perkara yang sedang memedihkan hatinya.

“Ketiga?”

Irene mengangguk.

“Oh..okey. Dengar, ya. I rasa, apa yang selama ini I anggap cinta, sebenarnya bukan cinta. Rene, I tak cintakan you. Never! It was just infatuation. Rasa tertarik, mungkin sebab kat sekolah dulu you ni gadis paling terkenal dan I rasa I perlu memiliki you. Masa tu, I bangga sebab berjaya merebut you dari kawan-kawan kita yang lain. Kalau you...”

“Cukup! Raf, I tak nak dengar lagi, cukuplah. Tiga alasan yang you bagi I ni pun dah cukup menyakitkan hati I, melukakan perasaan I. Sampai hati, you, ya, Raf! Kut iya pun you tak cintakan I, janganlah berterus terang macam ni. It hurts, you know! I’m hurt!”

Dinginnya getaran asmara
Sentuhan mula bermadah
Ku tak bisa juarai
Jiwa yang ku tak punya
Dinginnya bila kau berkata
Ruang buatku tiada
Memoriku genggamilah
Biarkan aku beralah



2
“Aku tengok, kau suka sangat termenung sekarang ni. Kenapa, Raf? Kau kelahi lagi dengan Ila ke?” Aizat bertanya sambil menepuk belakang tubuh Asyraf.

“Kau pernah jatuh cinta, Iz?”

Aizat ketawa. Soalan itu terlalu lucu baginya. Jatuh cinta? Tentulah pernah. Cinta, anugerah Allah, mengajar lelaki dan perempuan mengenali erti kasih dan sayang. Cinta mengajar erti tanggungjawab dan persefahaman.

“Kau yang sedang bercinta, buat apa tanya aku pulak?” Sengaja dia tidak mahu menjawab soalan Asyraf itu. Bagi dirinya, cintanya bukan untuk dikongsi oleh sesiapa, walaupun Asyraf, biarpun Asyraf ialah kawan baiknya.

Asyraf  meninggalkan balkoni untuk duduk di hadapan Aizat. Wajah sahabat baiknya ditatap.

“Kenapa dengan kau ni, Raf? Apa yang ada dalam kepala otak kau tu, cuba kau story sikit pada aku!”

“Aku nak kerja dengan kau, boleh tak?”

Aizat memandang wajah sahabat baiknya dalam-dalam sebelum tawanya meledak. Semakin Asyraf kelihatan resah, semakin galak dia ketawa. Lama, baru Aizat dapat bersuara, “Aku tahulah yang kau dah tamatkan pengajian kau dan sekarang ni kau memang dah layak menjadi seorang peguam. Dan untuk pengetahuan kau, memang syarikat aku kerja tu perlu menambah bilangan peguam, sebab kes yang kami handle makin banyak. Tapi, kerja kau sekarang ni nak kau campakkan ke mana? Lagipun, kau sanggup ke tengok peminat-peminat kau semua tu menangis bila kau resign nanti? Hai, apalah yang dah merasuk kepala otak kawan aku ni? Tadi menung, alih-alih tanya pasal cinta. Lepas tu, duduk tak duduk, nak tukar kerja pulak! Tak faham, tak faham!”  

Asyraf mengeluh, “Entahlah, Iz. Entah kenapa, aku rasa hidup aku sekarang ni kosong sangat.” dia memberitahu.

Aizat tersenyum. “Kosong? Hari-hari, ada aje aktiviti yang kau buat. Setiap masa, ada aje perempuan yang kau kelek ke sana ke mari, tiba-tiba hari ni, kau cakap hidup kau kosong? Pelik ni!” sindirnya.

Asyraf menyandarkan dirinya ke belakang. “Sejak aku berlakon dalam cerita Igauan tu, aku jadi takut. Azlan, hero yang hidupnya liar, tak ada arah, hu ha hu ha ke sana, ke sini, buat maksiat, tak sembahyang, semuanya seolah-olah bukan Azlan, tapi aku! Aku yang dah hanyut sebenarnya! Aku yang lalai! Aku terlalu nak seronok, nak nikmat hidup muda sampai aku lupakan dosa pahala. Aku dah kalah dengan tuntutan nafsu aku sendiri!”

Bagai tidak dapat mempercayai kata-kata yang keluar daripada mulut Ashraf, Aizat melongo memandang wajah sahabat baiknya itu. Dia kemudian bangun merapati Asyraf, duduk di sisi sahabatnya yang sedang merenung dia dengan sepasang mata yang berkaca. Dia tidak bersedia bila Asyraf tiba-tiba memeluk dirinya erat-erat.

“Terima kasih, Iz. Kau memang kawan aku yang baik. Selama ini, kau banyak nasihati aku. Kau tak pernah jemu walaupun aku buat endah tak endah aje dengan nasihat kau tu. Mujurlah, aku tetap tinggal dengan kau kat sini, sekurang-kurangnya, aku masih jumpa jalan balik lepas aku sesat tak ketahuan, kan?” ujar Asyraf beria-ia.

“Syukurlah! Jadi, kau memang dah buat keputusan untuk meninggalkan terus semua yang kau buat sekarang ni?” Aizat inginkan kepastian.

Asyraf mengangguk. “Aku masih terikat dengan beberapa kontrak lagi, tapi tamat aje perjanjian kami tu, aku bebaslah.” jawabnya.

“Tak menyesal?”

Asyraf tersengih. “Terkilanlah jugak! Nanti aku tak dapat nak peluk...” Ketawanya lepas bila dia menepis kusyen yang Aizat baling ke arahnya.

“Tak salah kalau kau masih nak teruskan. Kau minat kerja ni, kan? Cuma, jagalah batasan pergaulan kau. Jaga aurat! Jaga tingkah laku! Letak agama di kedudukan paling atas, barulah kau boleh hidup dengan aman, tak ada keluh kesah macam sekarang.” Aizat berkata setelah lama suasana hening di ruang tamu, apartment mewah yang terletak di Mont Kiara itu.

Asyraf menggeleng-gelengkan kepalanya. “Cukuplah, Iz. Dah 5 tahun aku di situ. Cukuplah! Aku nak cari ketenangan. Aku nak kahwin.”

Bulat sepasang mata Aizat mendengar Asyraf hendak berkahwin. “Dengan siapa? Dengan si Ila tu ke?” tanya dia bersungguh-sungguh.

“Tak ada apa yang kurang dengan si Ila tu, Iz.” balas Asyraf bersahaja. Ila atau Norzila ialah heroin drama Igauan. Gosip panas tentang hubungan mereka menjadikan hubungan Asyraf dan Norzila semakin intim di luar lokasi. Namun, merenung wajah cemberut Aizat, Asyraf tahu, sahabat baiknya tidak bersetuju sekiranya Ilalah yang menjadi calon isterinya. Dan, sesungguhnya, bukan wajah Ila yang menghiasi kamar hatinya. Dia tidak pernah menganggap Ila lebih daripada seorang kawan.

“Dahlah tu! Jangan marah aku lagi. Tapi, kan Iz, kau boleh tolong aku tak?” tanya dia membuatkan Aizat yang melopong terus sahaja menganggukkan kepala.

3
Nurin Izzati asyik melihat jam di pergelangan tangannya. Dia berbuat begitu bukan kerana jam itu cantik tetapi kerana dia sudah kesuntukan waktu. Mereka sudah sepatutnya memesan makanan namun Salwa begitu beria-ia hendak menunggu dan memperkenalkan buah hatinya kepada Nurin. Kata Salwa, dia hendak membuat kejutan!

“Pak we kau ni kerja apa, Wawa? Tentu bukan cikgu, kan? Atau pensyarah?” Melihat gelengan Salwa, Nurin terus menyindir, “Hmm, memang patut pun! Kalau dia kerja cikgu, buat malu pada anak murid aje. Menjatuhkan profesion keguruan! Sebab dia sorang habis semua cikgu pun dianggap tidak menepati masa. Tak ada moral value!” marahnya bertubi-tubi.

“Siapa yang tak ada moral value?” suatu suara lelaki menyapa. Salwa tersengih, Aizat sudah ketawa melihat Nurin yang terkejut.

“Tutup mulut tu, Reen, nanti masuk lalat.” Aizat menyuruh sambil mengambil tempat di sisi Salwa. “How are you, sayang?”

Walaupun Aizat bertanyakan soalan itu dengan perlahan sekali, namun Nurin dapat menangkapnya. Dan itu menyebabkan wajahnya semakin penuh tanda tanya. Sejak bila? Dah berapa lama? Serius ke?

Bagai memahami apa yang sedang difikirkan oleh Nurin, Aizat segera memberitahu, “Reen, I tahulah yang you kawan I sejak di bangku sekolah lagi. Dan I jugak tahu yang you rakan sekerja I. Tapi, takkanlah semua rahsia I, I nak kena beritahu kat you, kan? Contohnya, hubungan I dengan Wawa ni. Kita orang mula kawan, as you know, bila you bawak dia pergi dinner last year. Lepas tu, kami jadi teman tapi mesra. Baru dua bulan ni, kami serius and I cadang nak ambil dia jadi isteri I.”

Nurin tersenyum. “Really? Wah, pandai betul kau cover line, Wawa. Sampai aku tak dapat kesan langsung. Apa-apapun, tahniah. Aizat yang aku kenal ni, memang okey. Sesuai benar dengan kau.”

Aizat menjegilkan sepasang matanya, “Okey aje? Are you truly my friend, Reen?”
Nurin dan Salwa ketawa besar. Ah lelaki, mana boleh dipuji keterlaluan, desis di dalam hati Nurin.

“Wei, orderlah makanan cepat, Iz! I ada appointment pukul 2 nanti. Lapar ni, tahu!” Nurin menggesa.

“Isk, you ni Reen, dari dulu kuat makan. Ingat tak lagi, masa dulu, kita bertiga dekat KFC, you, I dengan Raf. Berapa kali si Raf tu you suruh orderkan cheezy wedges for you? 
Sampai....”

Masakan dia dapat melupakan. Kenangan sewaktu mereka baru sahaja tamat menduduki Peperiksaan STPM. Irene teringin benar hendak ke KFC, hendak menikmati cheezy wedges. Asyraf pula memang tidak sukakan keju sama sekali. Kerana ingin menyakat, sebaik pesanan mereka sampai, Aizat akan segera makan dan tidak langsung membenarkan Irene menjamahnya. Asyraf yang tidak sampai hati melihat Irene merajuk, akan bangun dan membuat pesanan lagi. Hampir 5 kali, namun Asyraf tidak langsung merungut, namun bila lelaki itu ingin makan ayam gorengnya, dia bagaikan terkena morning sickness. Nyaris sahaja, Asyraf tidak termuntah di tengah-tengah ruang makan itu. Berlari dia ke tandas untuk memuntahkan segala isi perut akibat terhidu dan termakan sedikit cheese dari cheezy wedges yang terlekat di jari.

“Dah lama, I dah lupakan semuanya.” balas Nurin lemah.

“Termasuk Raf?” Aizat menduga.

“Ya, termasuk,” Sepasang mata terpaku ke arah lelaki yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Lelaki itu baru sahaja menanggalkan kaca mata hitamnya. Nurin amat yakin, langkah yang sedang diatur penuh yakin itu akan terhenti di meja ini.

 “Assalamualaikum!”

“Asyraf? Asyraf Burhanudin? Pelakon tu? Betul awak pelakon tu?” Antara Aizat, Nurin dan Salwa, Salwalah yang paling teruja, maklum, di hadapannya kini, yang sedang berdiri ini ialah pelakon pujaannya. Tapi, betulkah? Kalau betul, mengapa restoran ini sepi sahaja? Selalunya di mana sahaja hero ini berada, suasana di persekitaran pasti tidak terkawal. Orang ramai akan bersusun, berbaris semata-mata untuk mendapatkan tanda tangan lelaki ini. Jadi, bukan Asyraf, kut? Pelanduk dua serupa ni? Salwa berteka teki sendiri.

“Sebenarnya, I dah tempah restoran ni, sebab tu tak ada orang.” Asyraf bagaikan tahu apa yang sedang Salwa fikirkan.

“Duduklah, Raf. Makanan kau pun aku dah order dah.” Aizat mempelawa.

“Kau janji nak ajak dia ke sini. Mana dia? Tak ada pun?” Asyraf melahirkan kesalan. 

Semalam, dia telah meminta Aizat menemukan dirinya dengan Irene semula. Dia tahu, Irene dan Aizat sepejabat, walau Aizat jarang mahu bercerita tentang gadis itu kepadanya. Mungkin Aizat juga turut memarahinya dalam diam, kerana memutuskan perhubungan mereka.

“Dia...” Aizat menatap wajah Nurin yang pucat. Gelengan kepala gadis itu menghentikan niat untuk meneruskan bicara. Sedikit sebanyak, Aizat tahu bahawa Irene masih lagi terluka dengan perbuatan Asyraf terhadap gadis itu dahulu.

“Sebenarnya, hari ini aku nak kenalkan kau pada budak ni,” Aizat mengubah cerita. Salwa tersengih bila Asyraf memandangnya. Wajah Asyraf pula kelihatan sedikit terkejut. Renungan matanya pada Aizat meminta agar Aizat segera memberitahu.

“Raf, kenalkan, ini Salwa. Insya-Allah, Salwa bakal jadi suri hidup aku nanti. Tapi, kan, Raf, dia ni dah kecilkan hati aku hari ni.”

Salwa memandang wajah Aizat, tidak mengerti. Asyraf menjongketkan kening.

“Dia lebih teruja bila nampak kau berbanding masa aku melamar dia tadi, kau tahu tak?” 

Kata-kata itu membuat pipi Salwa merona merah, dan Asyraf terus ketawa besar. Namun ketawanya mati bila dia mendengar suara halus di sebelahnya. Aduhai, mengapalah dia tidak perasan tentang gadis di sisinya ini?

Nurin tahu, dia tidak seharusnya bersuara namun kata-kata Aizat yang lucu tidak dapat menahan tawanya dari meletus. Kini, hati menjadi bimbang. Bimbang Asyraf masih mengenalinya. Kerana itu, dia bangun. Nurin ingin pergi.

“Reen, kau nak ke mana?” Salwa bertanya bila melihat Nurin berdiri.

“Alamak, kantoi!” Aizat pula membuat lawak.

“Rene?” Asyraf segera berdiri. Kini Nurin tidak dapat lagi berbuat apa-apa. Dibiarkan sahaja Asyraf menatap raut wajahnya. Kalau kenal, kenallah! Kalau tidak, tak apa! Jarak waktu 5 tahun mereka tidak bertemu tidak memungkinkan lelaki itu dapat mengingat semua tentang dirinya.

“Rene?” Soal Asyraf lagi, nadanya perlahan, bagaikan tidak dapat mempercayai bahawa yang sedang berdiri di sebelahnya ini ialah Irene.

“Ha ‘ah! Irene kau lah, tu!” Aizat mengocak keheningan.

“Rasa tak percaya pulak. Betul ni! You ni Rene?” Tajam Asyraf menatap seraut wajah itu bersama soalan yang menanti jawapan.

Nurin akhirnya mengangguk. “Cuma, you kena betulkan ejaan nama I tu. Bukan lagi R. E. N. E tapi, Reen, R.E.E.N.” dia memberitahu.

“Apa nama Islam you? Sejak bila you peluk Islam? And you, Iz, kenapa tak bagitahu aku?”

Nurin mengerutkan dahi. Dia tak suka bila Asyraf mengemukakan soalan yang banyak tentang dirinya. Dia tidak suka dirinya menjadi topik perbualan. Ah, lelaki, jangan lagi mengambil tahu.

“Reen?” Asyraf tetap ingin tahu juga.

“Nama I sekarang, Nurin Izzati Abdullah. I peluk Islam 5 tahun lepas. Iz tak bagi tahu you tentang I sebab I tak bagi. Tak ada apa-apa tentang I yang ada kaitan dengan you, jadi buat apa nak cerita, kan?” balas Nurin bersahaja.

“Macam mana dengan ibu bapa you? Dia orang boleh terima ke perubahan diri you ni? Reen, maafkan I. Kalau I ada dengan you, tentu you boleh bergantung harap dengan I. Tapi,”

“Tak apalah, Raf. Mak bapak I okey aje. Sebenarnya, dia orang pun dah peluk agama Islam, tahun lepas.”

“Iz?” Asyraf menoleh semula ke arah Aizat.

“Habis tu, dah kau tak tanya, takkanlah aku nak cerita pulak.” Aizat membela diri bila Asyraf kelihatan geram kerana dia menyembunyikan cerita tentang kehidupan Nurin.

“Oh, saya dah faham sekarang, wak!” Tiba-tiba Salwa memecah kesunyian. Sepasang matanya bulat merenung dari satu wajah ke satu wajah sehinggalah renungan itu berhenti di wajah Aizat. “Inilah Asyraf, boyfriend Reen tu, kan? Alah, yang tadi tu awak asyik sebut, Raf, betul tak?”

“Betul tu, Salwa. Sayalah tu! Sayalah yang dia orang maksudkan tu.” Asyraf mengiyakan, walau dia sendiri tidak tahu apa yang mereka bualkan.

4
Sejak pertemuan di Restoran The Chilli tempoh hari, Asyraf tidak berhenti-henti menghubunginya. Ada-ada sahaja mahunya. Namun Nurin sentiasa mempunyai alasan untuk menolak. Dia sentiasa dapat mengelak.

Salwa tidak memahami sikap Nurin. Di dalam hati tertanya-tanya apakah yang menyebabkan  kedegilan ini. “Kenapa kau asyik menolak bila Raf ajak kau keluar, Reen?” tanya dia.

Nurin bangun untuk mengambil remote control. Dia ingin mengalih siaran. Dari cerita romantis di HBO, dia ingin menonton cerita kartun. Sekurang-kurangnya, hati terhibur menonton kartun-kartun yang comel itu.

“Aku takut!” akhirnya dia menjelaskan sebab mengapa setiap kali Asyraf mengajaknya keluar, dia menolak.

Salwa inginkan penjelasan. “Takut apa?” soalnya.

Nurin menarik nafas panjang-panjang sebelum menjawab. “Aku takut jatuh cinta buat kali kedua.” Melihat wajah Salwa yang penuh persoalan, dia meneruskan, “Dulu, aku cintakan dia separuh mati, Wawa. Bila dia kata, dia tak cintakan aku, aku betul-betul give up. I hated my life then. I hated him. I hated all men. Nasib baik, Allah berikan aku Nur Islam.”

Nurin berjeda, mengingati saat permulaan dia mendekatkan dirinya kepada agama suci ini. “Waktu tu, kereta aku pancit kat satu masjid ni, alah, masjid bersejarah yang dekat Bandar Hilir, Melaka tu. Orang punyalah ramai, sebab waktu tu dia orang nak sembahyang Jumaat. Aku terpaksa tunggu, sebab sorang pak cik ni janji dengan aku, dia akan tolong tukarkan tayar aku. Sementara menunggu, aku duduk kat satu bangku, bawah pokok ketapang. Dari situ, aku dapat mendengar dengan jelas khutbah Jumaat yang disampaikan. Khutbah tu mengajak umat Islam supaya bersatu, buat baik, tak tuduh menuduh, tidak rasuah....dan aku khusyuk mendengar sampai tak sedar, aku menangis. Masa tu, aku kagum sebab, Imam tu bercakap dengan lembut, bacaan surahnya menusuk perasaan dan seminggu lepas tu, aku dah menyerah diri aku di PERKIM.”

“Benarlah, kan? Kalau Allah hendak memberikan hidayah, dengan mudah aje Dia melakukannya!” kata Salwa.

“Tapi, sebenarnya, dari dulu lagi, aku memang nak peluk Islam!” Nurin memberitahu.

“Iya?”

“Ya! Sebab dulu aku ingat Raf nak kahwin dengan aku. Aku pun sanggup tukar agama. Tapi bila dia cakap dia tak cintakan aku, dan tak nak kahwin dengan aku, aku sedih sangat. For me, he was a cheater. Jadi, aku batalkan hasrat aku.”

“Tapi, Allah sayang pada kau. Jelas dah, kau masuk Islam sebab kau jatuh cinta pada agama ni, bukan sebab kau nak kahwin dengan Raf, betul tak?”

Memang Nurin akui, mungkin inilah hikmah di sebalik terputusnya hubungan cintanya dengan Asyraf. Seandainya tidak, tentu sahaja dia menganut agama Islam namun tidak berusaha untuk mendalami agama ini kerana dia menukar agama atas alasan ingin berkahwin. Sekurang-kurangnya, kini, walau masih baru, dia sudahpun khatam al Quran. Dia juga sudah menunaikan fardhu haji di Mekah. Berpuasa di bulan Ramadhan tidak lagi menjadi masalah. Dia masih sedang belajar mendalami agama ini, kerana semakin banyak dia membaca, semakin banyak rasanya yang tidak diketahuinya.

5
Nurin semakin rimas. Sepasang mata lelaki itu sentiasa sahaja mengekori ke mana sahaja dia bergerak. Tidakkah Asyraf ada kerja lain untuk dibuat selain menjadi Pak Tonggok? soalnya di hati.

“Yang I tahu, selama ni, jadual hidup you ketat sangat. Keluar pagi ini, pagi esok baru you balik ke rumah. Tapi, kan Raf, apa yang I nampak, you ni taklah sibuk sangat pun. Dah jadi macam penganggur terhormat pulak, relaks, tengok sana, tengok sini. Sembang sana, sembang sini. Ofis I ni dah jadi macam rumah you pulak. Kenapa? You nak tukar profesion ke? Dah nak jadi peguam pulak? Tak sayang ke pada peminat-peminat you kat luar sana? You nak suruh dia orang semua nangis ke?” Perlinya.

Asyraf ketawa kecil. Wajah gadis kacukan India dan Cina di hadapannya ini ditatap. Sekali imbas, ramai yang menyangka Nurin ialah gadis Melayu. Warna kulitnya yang sawo matang, sepasang matanya yang bundar serta kefasihannya berbahasa Melayu, memang dikagumi. Sukar sekali untuk mendengar Nurin bercakap dalam bahasa ibundanya, sama ada dalam Bahasa Tamil, mahupun Bahasa Cina. Dari dulu, Nurin selalu berbangga menyebut bahawa dia adalah seorang Malaysian.

Nurin mengambil tempat di hadapan Asyraf. Dia membetulkan duduknya sebelum berkata, “I tak suka you buat macam ni, Raf. Dan, I tak faham kenapa you buat macam ni. I tak suka dunia glamour you, tak suka dikait-kaitkan dengan you. You ada hidup you, kan, teruskanlah, supaya nanti I boleh teruskan hidup I. I nak, hidup I tenang balik, Raf.”

Asyraf merenung wajah Nurin sebelum Nurin akhirnya mengalah dan mengalihkan pandangan. Dia mengeluh perlahan, “ I memang ada hidup I, Reen, tapi I sunyi. You nak tahu kenapa?” Tidak dipedulikan gelengan kepala Nurin Izzati. Asyraf terus sahaja memberitahu, 

“Sebab you tak ada di dalamnya.”

Nurin pula membulatkan mata. “You yang tak mahukan I, dulu. You yang cakap pada I, yang you tak cintakan I. It was just infatuation. Kenapa pulak you nak rasa sunyi tanpa I?” marahnya.

“Melepaskan you pergi dari hidup I, 5 tahun dulu,” Asyraf berjeda sebelum menyambung dengan penuh perasaan, “Was the biggest mistake I have ever done in my life!”

“Tak baik menjilat ludah sendiri, Raf.”

Aduhai, Nurin, kenapa keras sungguh hatimu? Aku mengharapkan kemaafanmu, tolonglah, sayang, lupakanlah sengketa lama, pinta Asyraf di dalam hatinya.

“Nurin, boleh tak kalau you bagi I peluang kedua? Boleh tak you bagi I tebus balik dosa I pada you? I perlukan you. I promise, this time, it will be different. I silap dulu. Tapi itu tak bermakna I akan buat kesilapan tu sekali lagi.”

“Asyraf, I ni mualaf. I perlukan lelaki yang boleh menjadi pemimpin untuk I dan anak-anak kami. Kalau you lelaki itu, I tak akan teragak-agak menerima you semula. I sanggup lupakan semua kesakitan yang you pernah beri pada I dulu. Tapi, maafkan I, kalau apa yang I cakap ni menyinggung perasaan you, Raf. You tidak menepati ciri-ciri lelaki idaman I, I am so sorry.”

Asyraf terkesima. Kejujuran Nurin dan sikapnya yang berterus terang, tidak pernah berubah. Kejujuran itu membuat dia malu sendiri. Ya, sesungguhnya, memang benar apa yang Nurin katakan. Dalam diam, Asyraf mengakui bahawa dia sememangnya tidak layak untuk berada di sisi gadis itu. Dia masih serba kekurangan. Terlalu banyak kekurangannya dalam hidup serba mewah yang Allah telah anugerahkan kepada dirinya ini. Ya, dia insan kerdil yang masih perlu banyak belajar!  

6
“Wawa, tolong aku! Tolong aku Wawa! Ayah aku,”

“Reen, listen to me!”

“Raf?”

“Ya, Reen, Raf ni. Tarik nafas dalam-dalam, lepas tu you cerita pada I apa yang dah jadi pada daddy you, okey!”

Suara lembut Asyraf memujuk, selepas berbulan-bulan lelaki itu pergi akibat penolakannya dulu, hampir membuat Nurin menangis lagi. Inilah kehendak Ilahi. Dia menyangka, dia menghubungi Salwa, rupa-rupanya, dia tersalah menekan punat. Mungkinkah kerana nama itu sentiasa ada di hati? Namun, Nurin cepat-cepat beristighfar. Keadaan ayahnya yang lebih penting sekarang. Melihat ibu yang sedang menangis di sisi ayah yang masih tidak membuka mata, merisaukannya.

“Daddy sakit dada. Dia tak boleh bercakap, nafas dia macam semput!” Nurin memberitahu.

Asyraf yang sedang mengenakan pakaian segera bertanya, “Dah call ambulans?”

Nurin menggeleng. “Belum!” Macamlah Asyraf dapat melihat gelengannya itu.

“Okey, letak telefon sekarang dan you pergi urut dada uncle. Nanti I call hospital. Reen?”

“Ya, Raf!”

“Sabar, ya, sayang. Insya-Allah, your father will be alright.” Pujuk Asyraf.
....................................................................................................................................................................
Mulai hari itu, hubungan mereka kembali rapat. Kerana rasa cinta itu masih ada, mudah sahaja untuk Nurin menerima Asyraf semula di dalam hidupnya. Hidup kembali ceria.

“You rasalah, kan, Raf, apa yang Wawa dengan Iz raikan sampai nak belanja kita makan di Eden, ni?” soal Nurin. Mereka kini dalam perjalanan menuju ke sana bila tiba-tiba telefon bimbit Asyraf berbunyi. Nurin menelinga.

“Ila? Sakit? You di mana? Rumah? Okey, tunggu I, ya.”

Dada rasa sesak mendengar tutur kata Asyraf yang lembut. Soalan Asyraf yang mahu tahu apakah dia hendak mengikut, terbiar begitu sahaja. Ketika Asyraf menelefon Aizat meminta maaf kerana mereka tidak dapat ke Eden, tidak dipeduli. Entah mengapa, dia jadi kebingungan.

Di hadapan rumah teres dua tingkat milik Norzila, sudah ramai para wartawan berkumpul. Asyraf mengeleng-gelengkan kepala. “Dia orang ni tau aje cara nak dapat berita panas!” gumamnya.

“Sayang, you nak naik ke?” Asyraf bertanya. Nurin menggelengkan kepala.

“You tunggu I kat dalam kereta ni, ya. Duduk di tempat pemandu! Nanti, bila I dengan Ila masuk, you terus pecut ke Hospital Sentosa. Itu hospital yang paling dekat. Boleh, ya?”

Nurin menunggu. 10 minit kemudian, Asyraf muncul. Hati Nurin merintih melihat lelaki itu, yang sedang mendukung seseorang. Pastilah yang didukung itu, Ila. Tangan halusnya sedang memaut leher lelaki itu dengan penuh mesra.

Esoknya, terpampang gambar romantis itu di dada-dada akhbar. Berbagai-bagai telahan yang dibuat tentang hubungan mereka. Ada yang menulis tentang tarikh perkahwinan pasangan itu. Ada yang menyingkap semula detik-detik pertemuan mereka. Yang menghairankan Nurin, Asyraf hanya ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak dia menafikan, tidak juga mengiyakan. Seolah-olah, apa yang heboh diperkatakan itu tidak penting bagi dirinya. Asyraf bagai tidak mengerti perasaannya, perasaan yang penuh cemburu.

Hujung bulan itu, mereka menghantar ibubapa masing-masing untuk mengerjakan umrah. Sejak mereka berkawan semula, hubungan ayah dan ibu Nurin Izzati juga bertambah erat dengan kedua-dua orang tua Asyraf. Kini, Uncle Yusof dan Aunty Mariam sedang menyatakan sesuatu kepada Asyraf dengan diperhatikan oleh Encik Burhanudin dan isterinya, Puan Jannah. Nurin hanya memerhati kerana sesungguhnya sekarang, dia memang kurang bercakap. Wajahnya merona merah bila kesemuanya kemudian merenung ke arahnya.

Uncle tolong doakan supaya hati Nurin terbuka untuk menerima Raf dalam hidupnya. Sebab bila uncle, aunty, mak dan ayah balik nanti, Raf nak kami kahwin. Tak mahulah macam ni sampai bila-bila, kan?” gurauan yang disambut dengan ketawa riang, namun Nurin menjuihkan bibirnya.

Di tempat parkir kereta, Nurin tidak membenarkan Asyraf menggerakkan kereta. Dia sudah tidak tertahan lagi. Dia ingin meluahkan apa yang terbuku.

“ Kenapa you cakap kita nak kahwin pada mak bapak I?” marahnya.

Asyraf menguntum senyum. Akhirnya! Bukan dia tidak menyedari perubahan sikap Nurin sejak berminggu-minggu, namun dia tidak mahu memaksa gadis itu bersuara. Dia mahu Nurin sendiri meluahkan apa yang dipendamkan di hati selama ini. Dia ingin Nurin memberitahu sendiri kepadanya apaakah yang gadis itu marahkan sangat.

“Aik, memang kita dah nak kahwin, kan? So, apa masalah you?” tanya dia selamba.

Nurin membuka laci di dashboard. Sekeping kertas dikeluarkan dan diletakkan di telapak tangan Asyraf.

“Memang you nak kahwin, tapi bukan dengan I. You nak kahwin dengan Ila, kan? Jadi, kenapa you bohong pada parents kita tadi?” soal Nurin dengan suara tersekat-sekat. Dia menangis kerana sudah tidak tertahan dengan sikap penuh kepura-puraan Asyraf terhadapnya.

Asyraf menatap borang nikah yang di atasnya tertulis nama Norzila Muhamad. Dia mengucap panjang, namun Nurin tetap dapat melihat segarit senyum yang terlukis di bibir. Hatinya bungkam. Melihat Nurin ingin keluar, Asyraf segera mengunci pintu.

“You duduk diam kat tempat you, Nurin, dan I harap you pasang telinga you tu luas-luas, tau!” katanya sambil menatap wajah merah Nurin.

“I nak balik!” Nurin berkeras.

“Kita akan balik, tapi berdua. You tanggungjawab I, so I yang akan hantar you balik, okey!” tegas Asyraf pula.

“I tak nak dengar apa yang you bualkan dengan kekasih you tu!” marah Nurin.

Asyraf tersengih. “Perempuan yang I kasih cuma you sorang aje, tau!” balasnya. Tawanya lepas bila melihat jelingan Nurin.

“Hello, Ila. Apa khabar?”

Nurin yang mendengar, mencebik. Macamlah tak jumpa bertahun, marahnya di dalam hati.

“Dah jumpa apa yang you cari hari tu?”

‘Alah, hati dia kan pada you, mana dia nak jumpa dah?’ Nurin merapu sendiri.

Entah apa yang dijawab oleh Ila, Nurin tidak tahu tetapi hatinya sakit mendengar tawa riang lelaki di sebelahnya. Kalau dapat, dia ingin membubuh tape di bibir itu agar keriangan itu hilang.

“Ada dengan I ni!”

‘Oh, ha’ah, borang tu ada kat tangan dia, Ila.’ Nurin mengajuk.

“Itulah, lain kali, janganlah letak borang penting macam ni merata-rata. Bukan you sorang aje yang susah, tahu? Sekarang ni, ada orang tuduh I nak kahwin dengan you! Siapa lagi? My girl, lah! Iya! Nurin! Ha’ ah, dia memang bodoh! Hmm, dia memang tak tahu menghargai cinta I pada dia. Sekali I buat silap dulu, entah sampai bila, baru dia nak percaya cinta I ni hanya untuk dia.”

Nurin menoleh. Asyraf tidak lagi bercakap di dalam telefon. Kini Asyraf sedang memandang wajahnya tepat-tepat. Wajahnya serius benar.

“Reen, you tak sepatutnya cemburukan Ila. Apa yang I buat pada dia dulu, I akan buat pada sesiapapun yang sakit macam dia masa tu. I bukan sengaja nak dukung dia. Dah tu, you jangan percaya pada gosip. Gosip melariskan jualan akhbar-akhbar tabloid tu. Pedulikanlah!”

“Tapi?”

“Reen, I tahu, I bukan lelaki sempurna idaman you. Tapi I akan cuba menjadi seorang suami yang baik untuk you. Kalau ada kekurangan I, I ada you untuk melengkapkannya. Kalau ada sikap buruk I, you ada untuk merubahnya ke arah kebaikan. I tak janjikan you kebahagiaan, tapi I akan cuba membahagiakan you. I tak janjikan you kekayaan, tapi I akan cuba menyediakan apa saja yang you mintak. Kalau you kata you seorang mualaf yang perlukan seorang lelaki untuk memimpin you menjalani kehidupan, I pulak seorang lelaki yang memerlukan seorang isteri solehah yang mampu mendidik anak-anak I dengan baik nanti. Tolonglah, Cik Nurin Izzati, tolonglah buang keraguan you pada I dan tolong terima I dalam hidup you kerana I, Asyraf Burhanudin sangat-sangat perlukan you untuk menemani I sampai I menutup mata.”

Nurin hanya mampu menitiskan air mata gembira.
............................................................................................................................................................
Epilog
Asyraf dan Nurin sama-sama menatap wajah putera mereka yang telah selamat dilahirkan, kira-kira sejam yang lalu. Wajah mulus itu banyak iras ibunya. Kulitnya yang putih itu sahaja diwarisi daripada si ayah. Namun, saat ini, hanya lafaz kesyukuran yang terlahir. Asyraf bersyukur kerana isterinya selamat melahirkan Darius Firdausi sementara Nurin bersyukur kerana Allah masih mengizinkan dirinya meniti hari-hari mendatang setelah bertarung nyawa semasa proses kelahiran anak lelaki sulungnya tadi.

“Nurin Izzati, abang dah ucapkan ‘I love you’ tak, hari ini?” tanya Asyraf sambil mengucup dahi isteri.

“Kalau sudah pun, takkanlah abang tak boleh ulangkan?” Balas Nurin manja.

Asyraf mengeratkan dakapan. Rasa kasih yang mendalam tidak disembunyikan. Dia mahu Nurin tahu bahawa cintanya hanya untuk isterinya itu.

“Sayang, I love you. Abang cintakan Reen sepenuh hati.” luahnya.

Nurin menggeleng-gelengkan kepala. “Abang ni pelupalah! Apa yang Reen selalu cakap pada abang selama ni?” dia pura-pura marah.

Asyraf ketawa, lantas berbisik lembut, “Sorry, sayang. Reen, abang sayangkan Reen walaupun ranking Reen di no 5, ya.”

Nurin mencubit pipi suaminya. “Hmm, macam tu baru betul. Kasihkan Allah, kemudian kasihkan Rasulullah, kemudian kasihkan emak, yang keempat kasihkan ayah barulah cintakan Reen. Jangan lupa lagi, ek!”
----------------------------------------------------------------------------------------------salam. terimalah buah tangan terbaru sofi ini, bacalah, dan kemudian, seperti biasa, berilah komen agar sofi dapat memperbaiki kelemahan dan memperbetulkan kesilapan.               

6 ulasan:

  1. cite yg menarik.. klo pjg dijdkan novel pun ok gak..ape pun thank kak sofi sbb sudi berkongsi dengan kami sume

    BalasPadam
  2. u r welcome, nza.
    happy reading

    BalasPadam
  3. hohohoho....
    mnarik crta ni....
    wlpun crta cnta tp ttap ada unsr islam n pngjaran....
    thniah cikgu sofi...

    BalasPadam
  4. may lin, mmg kak sofi suka buat citer hepi ending. nangis mcm nak rak pun pd mula2 story, last2 mesti nak gembira...

    sofi

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.