apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

24.4.10

Izinkan Aku

1
Tahun 2007

Alwi masih lagi termenung. Hatinya sedang walang. Dia risau. Sungguh-sungguh risau!

Sejak dia menerima panggilan telefon daripada Insyirah sebentar tadi, segala peristiwa lama itu kembali menerjah mindanya. Fikiran melata nun jauh ke masa silam. Ingatannya berpusat kepada hubungan 4 orang sahabat, 2 lelaki dan 2 orang perempuan. Hubungan di antara dirinya, Adnan, Afiah dan Insyirah. Hubungan yang pada mulanya berlandaskan persahabatan, namun perlahan-lahan ia bertukar menjadi sebuah percintaan pelbagai penjuru. Mana tidaknya? Dia mencintai Afiah, Afiah pula cintakan Adnan. Insyirah juga cintakan Adnan namun cinta lelaki itu hanya untuk Afiah!

Memang sakit bila cinta tidak mendapat balasan. Didorong rasa sakit itu, dia mengambil kesempatan atas dasar persahabatan di antara keluarganya dan keluarga Afiah. Dia telah menyetujui hasrat ibu dan ayahnya, juga hasrat ibu dan ayah Afiah untuk menyatukan mereka berdua. Afiah terpaksa patuh kepada kehendak orang tua, terpaksa melepaskan cintanya untuk berkahwin dengan Alwi. Dan, Adnan? Adnan ada Insyirah untuk memujuk hatinya yang luka.

Itu sejarah dulu. Kisah yang sudah mencecah hampir 30 tahun. Namun kisah itu berkait rapat dengan kisah masa kini. Cerita yang dibawa oleh Insyirah kepadanya tadi tidak pernah dia menyangka akan terjadi. Kalau boleh, dia tidak mahu peristiwa itu terjadi. Tidak mahu!

“Youlah ni! Kenapa you biarkan aje anak you kawan dengan anak I? Sekarang you tau tak apa rancangan dia orang? Dia orang nak kahwin, Wi! Anak I nak kahwin dengan anak you! You faham tak ni?”


Soalan-soalan Insyirah bergema semula, membawa wajah anaknya Syazia di ruang mata. Anak gadisnya yang berumur 27 tahun itu hendak berkahwin rupa-rupanya. Kahwin dengan siapa? Siapakah jejaka yang bertuah itu? Inilah yang menjadi masalahnya sekarang. Lelaki itu anak Insyirah! Anak Adnan! Namanya Ahmad Fuad!

“You pun sama jugak! Konon, kata, hubungan you dengan anak bujang you tu rapat sangat? Habis tu, macam mana you boleh tak sedar anak you tengah tackle anak I?” Dia menghamburkan rasa marahnya.

“Memanglah hubungan kami rapat tapi tak pernah pulak si Fuad tu bagi tahu kat I yang dia ada buah hati. Puas I tanya, tak pernah dia mengaku pun. Tiba-tiba, malam semalam dia terus cakap dia nak I ajak Nan pi uruskan hal dia dengan anak you. Mahu I tak terkejut. Mujur, masa tu ayah dia tak ada. Nan keluar dengan jiran sebelah rumah I, kalau tidak, tentu dia tahu Syazia tu anak you dengan Afiah.” Cerita Insyirah panjang lebar.

Alwi mengeluh, “Patutlah dalam 2, 3 hari ni, Azi asyik bagi hint kat I, konon ada orang nak datang rumah. Rupa-rupanya dia nak beritahu pasal ni, cuma dia malu-malu agaknya. Hisy, macam manalah anak-anak kita ni boleh jumpa, Syirah? Ni, tentu anak you lah ni! Dia lelaki, kan? Mesti dia yang mulakan!” tuduhnya.  

Lama Insyirah mendiamkan diri sebelum berkata, “Wi, now, bukan masa kita nak tuduh-tuduh. Sekarang kita kena cari jalan supaya hasrat anak-anak kita ni tak kesampaian. I tak sanggup berbesan dengan you, Wi! Tak senang hati I ni nanti bila anak I asyik puji mak mentua dia, wife kesayangan you si Afiah tu depan Nan. Tak pasal-pasal, luka lama berdarah balik! Buatnya cinta lama berputik semula, tak ke naya?”

Ya, kata-kata Insyirah tidak dapat dinafikan oleh Alwi. Walau peristiwa lama itu tidak pernah Afiah ungkit di hadapannya, namun Alwi masih dapat merasakan bahawa jauh di sudut hati isterinya itu ada rasa terkilan yang tidak pernah terluah kepadanya. Memang dia tidak dapat menafikan bahawa Afiah seorang isteri yang baik dan taat. Afiah tidak mengingkari arahannya bila dia menyuruh Afiah berhenti kerja. Afiah tidak pernah berkasar dengannya. Tetapi, sehingga hari ini, Afiah juga tidak pernah mengucapkan cinta kepadanya. Walaupun sekali cuma! Tidak pernah!

“Wi, do something! Sebelum Afiah dengan Nan tahu tentang ni, baik you bertindak! Dia orang berdua tu tentulah suka, maklumlah tu anak bekas kekasih, kan? Yang makan hatinya nanti, kita berdualah!” Insyirah mula memaksa dan dalam diam Alwi mengakui kebenaran kata-katanya.

2
“Fuad, awak tak nak masuk dulu? Mak dengan abah ada kat dalam tu. Tak nak jumpa dia orang?”

Lembut pertanyaan yang diajukan, selembut wajah yang sedang memandang dirinya penuh mengharap itu. Wajah yang lembut bagaikan sutera. Wajah gadis yang hatinya sudah dia miliki.

“Syazia! Awak ni memang...! Waktu badan saya dah bau macam kerbau ni, baru nak ajak singgah jumpa Mak Cik dengan Pak Cik. Macamlah saya tak tahu yang awak tu ajak-ajak ayam aje? Tapi tak apa, awak kirim salam saya pada dia orang, okey. Dan, jangan lupa beritahu tentang kita, tentang saya nak bawak rombongan Cik Kiah ke rumah ni nanti.” Balas Fuad menyebabkan Syazia ketawa kecil.

“Kalau macam tu, saya turun dulu, ya.”

“Kejap la! Tak puas lagi ni...”

Syazia semakin galak ketawa sambil menyangkut beg ke bahu. “Selamat malam, wak. Drive carefully, ya. Bila sampai rumah nanti, call saya supaya saya boleh tidur dengan lena.”

Fuad turut keluar daripada kereta, memerhati Syazia memasuki pekarangan rumah dengan sepasang mata nakalnya. Sebaik Syazia berada di ambang pintu dan menoleh ke arahnya, dia melambaikan tangan lalu beredar meninggalkan Taman Perpaduan bersama sebuah senyuman yang masih menyeri bibir.

Alwi memerhati gelagat anak sulungnya dengan perasaan yang berbaur. Melihat senyuman yang menguntum di bibir, dia tahu bahawa Syazia sedang bahagia. Keceriaan itu jelas kelihatan di pandangan matanya.

“Lambat kamu balik, Azi?” Sapaan Afiah membuat Alwi tersentak. Begitu leka dirinya sehingga tidak sedar 
Syazia sudah bersandar di atas bangku di hadapannya. Pandangan mata beralih pula ke arah isteri yang sedang membawa dulang berisi minuman petang. Bau cempedak goreng menusuki hidung.

“Siapa yang hantar kamu tadi tu, Azi?” Alwi bertanya, matanya tajam merenung seraut wajah anak gadisnya yang tiba-tiba kelihatan gugup.

“Kawan Azi, abah. Nama dia,”

“Dia ke yang selama ni dok hantar dan ambik kamu di pejabat?” tanya Alwi lagi dengan suara yang agak nyaring. Harapannya agar Syazia dapat mengesan rasa tidak puas hati yang sedang bersarang.

Syazia mengangguk.

“Kenapa tak ajak dia masuk?”

“Dia...”

“Dia tak nak, ya?” Alwi segera memintas. “Abah ni, Azi, nak nasihatkan kamu. Kalau dah dia usung kamu ke sana, ke sini, tapi dia tak mahu jumpa abah, baik kamu putuskan aje hubungan kamu tu. Abah tak berkenan lelaki yang macam ni. Nampak macam dia nak mainkan kamu aje!”

Ketegasan suara Alwi membuat Syazia tersentak. Dia terkejut mendengar amaran keras itu. Sungguh tidak disangka bahawa ayahnya mempunyai anggapan yang buruk terhadap Fuad.

“Mak sokong cakap abah tu, Azi. Lagipun, dah lama mak perhatikan dia. Kamu kawan dengan dia dah lama, kan? Tapi, kamu tak pernah ke ajak dia masuk? Atau, memang dia yang tak mahu?” Afiah mencelah. Seperti Alwi, dia juga berfikir bahawa Fuad tidak serius dalam perhubungan mereka.

“Mak, abah, sebenarnya,”

“Putuskan hubungan kamu dengan dia!”

Sekali lagi, Alwi memintas kata-kata Syazia. Arahan kerasnya membuat Syazia bukan sahaja terkejut malah air mata sudah merembes keluar. Tiba-tiba dia rasa jauh hati dengan sikap ayahnya yang kasar. Tiba-tiba dia rasa marah dengan ayahnya yang menggunakan kuasa veto, mengarahkan dirinya supaya memutuskan hubungan dengan Fuad. Tiba-tiba dia rasa dia tidak memahami apa yang sudah merasuk fikiran ayahnya sehingga tidak membenarkan dia bersuara.

“Mak..” Diri disembamkan di atas paha ibunya. Hati merasa sayu sekali. Sebak tidak terucap.

“Sayang, mak rasa, apa yang abah cakap tu ada betulnya. Untuk kebaikan Azi, baik Azi pu..”

“Tapi,”

“Syazia? Sejak bila pandai bertapi-tapi ni, hah?”

Tengkingan itu mengejutkan Syazia dan Afiah. Sepanjang hidupnya, inilah kali pertama, dirinya ditengking oleh abah sebegitu rupa dan dia sangat-sangat berkecil hati. Lantas, dia segera meleraikan pelukan ibunya dan berlari menaiki tangga rumah teres dua tingkat itu untuk mengurung diri di dalam biliknya.

Afiah masih memandang wajah suaminya dengan tajam. Dia mengetap bibir, cuba menahan diri supaya bersabar dengan sikap keanak-anakan yang masih ada dalam diri suaminya itu.

“Kenapa tengking anak, bang? Selama ni, dah 27 tahun umur dia, tak pernah awak marah dia. Ni, tak pasal-pasal awak jerkah dia macam tu, tentulah kecik hatinya. Kut ya pun awak tak suka budak lelaki tu, kan awak masih boleh nasihatkan Azi? Tengok sekarang, dah dia merajuk. Dahlah dia baru balik kerja, makan pun belum. Buatnya dia mogok tak makan nasi nanti, baru awak nak gelabah!” Marah Afiah sambil berlalu ke dapur.

Di dalam bilik, Syazia masih terguling di atas katil. Matanya merah kerana menangis. Dia sedang menunggu Fuad menghubunginya. Sebaik telefon berdering, dia segera menekan punat hijau.

“Assalamualaikum, sayang, saya dah sampai kat rumah ni. Tengah salin baju nak mandi.”

Diam, tiada sahutan.

“Hey, dah ngantuk ke? Diam aje?”

“Fuad...”

Wah, terkejut Fuad mendengar suara itu. Dia terduduk di birai katil. Dia tahu, Syazia sedang menangis. Syazia sedang sedih. Tapi, mengapa?

“Fuad, abah saya suruh saya putus dengan awak.” Akhirnya Syazia memberitahu.

“Apa? Kenapa?”

Lama sepi mengisi ruang sebelum Syazia membalas, “Saya pun tak faham, wak..”

“Sayang, dengar sini, ya. Jangan nangis. Jangan susah hati. Esok, saya bawak mak bapak saya jumpa your parents. Biar mereka berbincang. Insya-Allah nanti, mak dengan abah awak tak akan salah faham lagi. Tenang, okey..atau awak nak saya ke rumah awak sekarang, Azi?”

Syazia segera duduk bila mendengar soalan itu. “Eh, janganlah! Fuad, saya dah okey dah. Cuma awak kena datang rumah saya esok dengan Pak Cik, Mak Cik, ya!”

“Pukul 8 saya sampai!”

“Awak? Takkanlah pukul 8 pulak?”

Namun hanya ketawa riang Fuad menyambut soalan Syazia itu.

3
Suasana di ruang tamu itu hening dan dingin. Sunyi dan sepi. Keenam-enam hamba Allah yang berkumpul di situ sedang melayan perasaan masing-masing. Tiada senyuman. Tiada gelak ketawa. Tiada gurau senda. Segala-galanya kaku. Beku! Bisu!

Ahmad Fuad kebingungan. Malam tadi, sewaktu dia menyuarakan hasrat untuk membawa ayah dan ibunya ke mari, ayahnya kelihatan amat teruja. Beria-ia bertanya tentang Syazia. Berbagai-bagai nasihat telah diberikan termasuk petua-petua rumah tangga. Namun sebaik sampai tadi, wajah girang itu berubah sama sekali. Tegang sahaja kelihatannya. Tiada lagi keceriaan.

Perlahan-lahan, Fuad mencuit lengan ayahnya, meminta Adnan bersuara. Adnan yang masih resah akhirnya memecahkan suasana sunyi itu dengan berkata, “Maaflah, Wi, aku tak tahu budak perempuan ni anak kau. Kalau aku tahu,”

“Awak pun tentu tak merestui hubungan dia orang, kan, Nan? Macam saya dengan Alwi?” Afiah membalas bersama sebuah jelingan. Kata-katanya menyebabkan Alwi memandang wajah Insyirah dalam rasa tidak percaya. Membuat Ahmad Fuad terpempan. Mengakibatkan Syazia menangis.

“Tahu pun, awak! Jadi, nampaknya, Syirah, Fuad, sia-sia aje kita datang ni. Fuad, maafkan ayah, Ayah tak restu hubungan korang berdua. Dah, jom kita balik!”

Bersama-sama lafaz itu, Adnan terus ingin melangkah keluar namun langkahnya mati bila Ahmad Fuad bertanya, “Tapi, kenapa? Apa sebenarnya masalah ayah dengan mak dengan Pak Cik dengan Mak Cik? Kenapa tak restu niat saya dengan Azi nak kahwin? Apa salah kami?”

Suasana sepi seketika. Hanya deru enjin kenderaan di luar rumah mengisi kesepian itu. Keempat-empat orang tua itu tega menghening diri daripada membuka mulut untuk bercerita.

“Kenapa semua orang diam, mak? Abah? Kenapa tak mahu berterus terang?” Giliran Syazia bertanyakan soalan bila pertanyaan Ahmad Fuad dipandang sepi.

“Tak ada sebab, nak! Cuma anggap aje kamu berdua tak ada jodoh!” Adnan bersuara dalam marah yang tertahan.

Fuad mula menunjukkan rasa tidak berpuas hati. Dia mendengus kasar sebelum membalas, “No way! Saya dengan Azi dah sedia nak kahwin. Kita orang dah sedia dari segala segi, mana boleh tanpa alasan yang kukuh, ayah suruh kami anggap yang kami berdua tak ada jodoh? Sebab ada jodohlah, saya mintak ayah dengan mak datang sini. Datang jumpa mak abah Syazia. Ni, dah jumpa dah, tapi kenapa macam jumpa musuh? Tolong jelaskan sikit pada kita orang berdua ni. Kami dah keliru!”

“Macam mana kalau mak cik cakap yang mak cik tak suka ayah kamu? Boleh tak itu jadi alasan yang kuat untuk kamu? Takkanlah bila tak sukakan ayah, kami nak terima anak dia dalam keluarga kami, kan?”

Kata-kata ibunya membuat Syazia terkejut besar. Wajah kesayangannya itu ditatap dalam-dalam bagaikan dia ingin mengetahui rahsia di sebalik apa yang baru sahaja ibunya lafazkan tadi. Ya, tentu ada rahsia di antara mereka. Rahsia yang menyebabkan mereka bermusuh.

“Baguslah, Afiah. Mujur awak yang beritahu. Jadi selama ni, betullah tekaan saya, ya? Awak cuma berpura-pura dengan saya dulu! Huh! Cinta konon! Rupa-rupanya lakonan semata-mata. Awak memang sengaja permainkan hati dan perasaan saya masa tu, kan? Sebab itu, mudah aje awak tinggalkan saya untuk kahwin dengan Alwi ni? Betul atau tidak?”

5 pasang mata kini memandang tepat ke arah Afiah. Sedikit demi sedikit, mereka sudah mula memahami apa yang tersirat di sebalik penolakan ini. Sikap saling membenci di antara Adnan dan Afiah sudah mula diketahui puncanya.

“Saya kahwin dengan Awi sebab awak tak peduli langsung untuk merebut saya dari dia! Awak biarkan saya jatuh ke tangan dia. Awak tak berusaha bawak saya jauh untuk buktikan kehebatan cinta awak tu! Malah, sebelum kami kahwin, awak dah kahwin dengan Syirah! Sebab tu saya benci awak! Sebab tu saya buang awak dari hati saya!” Afiah meluahkan apa yang dia rasa selama ini. Rasa tidak dihargai kekasih hati. Rasa tidak disayangi sepenuh hati! Rasa kecewa! Rasa dipersiakan!

“Awak tak tahu apa yang saya rasa, Fifi. Yang masuk meminang awak tu, kawan baik saya! Kawan baik kita! Awak tak tahu apa yang saya lalui bila Awi bagi tahu saya yang korang berdua dah bertunang! Memang saya tak cuba merebut awak, sebab saya tak sanggup lukakan perasaaan Awi yang cintakan awak. Memang, kalau diberi pilihan antara awak dengan Awi, berkali-kalipun, Awi adalah keutamaan saya. Kenapa? Sebab, mak ayah dia besarkan saya! Kenapa? Sebab dia abang saya! Kenapa? Sebab dia pilih saya di rumah anak-anak yatim tu. Dia nak saya jadi adik angkat dia. Dia sanggup kongsi semua benda dengan saya dan benarkan saya tinggal di rumah besar dia. Takkanlah saya tidak boleh berkorban perasaan saya untuk dia?”

Panjang lebar Adnan meluahkan apa yang terpendam dalam dada selama ini. Perasaan marah terhadap Afiah yang membenci dirinya. Perasaan geram kepada Afiah yang mendendaminya tanpa usul periksa.Afiah yang tidak menerima Alwi sepenuh hatinya.

Alwi bergerak merapati Adnan lantas mendakap erat tubuh teman baiknya suatu masa dahulu. Ada sesalan sedang menyelusuri seluruh urat nadinya. Ada rasa bersalah sedang menghimpit perasaannya.

“Maafkan aku, Nan. Maafkan aku!” Pintanya.

Adnan hanya mampu menepuk-nepuk belakang tubuh Alwi sebelum merenggangkan rangkulan lelaki itu padanya. “Memang kau patut mintak maaf, Wi. Memang, aku amat terasa dengan perbuatan kau. Kau tahu aku dengan Fifi saling cinta, saling sayang, tapi kau buat taktik kotor kau tu. Kau tikam aku dari belakang. Aku anggap kau macam abang aku, tapi kau? Kau tetap anggap aku ni orang luar, orang asing yang menjadi pengacau dalam hidup kau! Bagi kau, aku bukan sesiapa!” Marahnya. Perhatian kini terarah kepada Fuad.

“Fuad, sekarang kamu dah tahu rahsia itu. Terserahlah! Ayah tak ada apa-apa nak cakap lagi!”

Ahmad Fuad meraup muka. Mendengar keluhan ayahnya, membenam keinginan untuk mengahwini Syazia. Walau rasa cintanya masih membara, dia tidak boleh mengecewakan hati dan kehendak ayahnya. Dan tentu sahaja, dia tidak mahu airmata ibunya yang mengalir sejak tadi terus-terusan mengalir disebabkan oleh keputusannya. Tapi, bagaimana Syazia nanti? Gadis itu juga masih menitiskan air matanya. Tegakah dia melukakan hati dan perasaan  Syazia pula? Sanggupkah dia berlaku kejam?

“Azi?”

Syazia menatap wajah sayu Ahmad Fuad. Dia cuba mengukir senyum. Dia tidak mahu Fuad terpaksa memilih. Dia tidak mahu Fuad merasa serba salah. Dia mahu Fuad menjadi anak yang taat. Seperti dia, yang tidak mahu menjadi anak derhaka.

“Fuad, saya izinkan awak lupakan saya. Saya rela awak tinggalkan saya. Lepaskan saya dari hati awak. Memang jelas, kita tak ada jodoh nampaknya. Saya akan doakan kebahagiaan awak walau nanti kita tak lagi bersama. Jaga diri awak baik-baik, ya! Dah, pergilah awak balik! Mak Cik dengan Pak Cik dah lama tunggu awak kat dalam kereta tu.Pergilah!”

Semua itu diucapkan dalam nada suara yang tersekat-sekat. Betapa hiba perasaan, luluh segala rasa. Punah semua impian, namun kedua-duanya sedar bahawa Allah masih ada untuk mereka mengadu dan meminta belas kasihanNya.

Pandangan sayu Syazia mengiringi pemergian Fuad daripada rumahnya. Hati yang luka mengiringi pemergian Fuad dari hidupnya.

4

Tahun 2010

Ahmad Fuad sedang menerangkan sesuatu kepada bosnya, Encik Shuib ketika dirinya dilanggar oleh seseorang. Habis bertebaran segala alat tulis dan fail yang dibawa oleh perempuan itu di atas lantai. Nasib baik, perbualan di antara Fuad dan Encik Shuib sudah tamat, jika tidak tentulah Encik Shuib akan melenting. Tentu perempuan itu akan dimarahi.

“Awak ni buta ke?”

‘Amboi kesatnya bahasa!’ hati gadis itu memberontak akibat dituduh yang bukan-bukan. Dia segera mendongak. Pandangan bertembung. Wajah Fuad sudah berkerut-kerut. Ingin menyebut nama itu namun dia tahu, gadis yang berada di hadapannya ini bukan Syazia.

“You are not Syazia, right?”

“Tapi, awak ni...Ahmad Fuad? Ahmad Fuad bin Adnan?” Gadis itu bertanya bersama sekuntum senyuman yang manis, sama seperti senyuman manis Syazia.

Fuad segera mengangguk. “Awak kenal saya?” tanya dia.

“Sejak saya balik ke sini hampir 3 tahun lepas, nama awak aje yang saya dengar bermain di bibirnya.”

Nampaknya gadis ini masih berteka teki tentang identiti dirinya.

Fuad menghimpun nafas. “Syazia. Tentu Syazia yang awak maksudkan, kan?”

Syafinaz tersenyum. “Nampaknya, bukan dia sorang yang asyik terkenang-kenangkan awak, ya? Tapi, awak juga tak pernah lupakan dia. Betul tak?” giliran dia untuk mengetahui.

Ahmad Fuad hanya mampu tersengih.

Syafinaz menghulurkan tangannya, “Saya Syafinaz. Saya adik kembar Syazia.” Dia  segera menyembunyikan tangannya bila Fuad tidak menyambut salam yang dihulurkan. Rasa malu sendiri, namun dia akur dengan kekhilafannya.

“Syazia apa khabar, Cik Syafinaz?” Perasaan ingin tahu terlalu mendesak untuk dia bertanya khabar bekas kekasihnya.

Syafinaz melepaskan keluhan. “3 tahun awak tinggalkan dia, Fuad. Tak usahlah tanya tentang dia lagi. Buat apa, kan?”

Fuad diam bila Syafinaz menyindirnya. Ya, juga! Buat apalah bertanya tentang gadis itu yang telah ditinggalkan? Biarlah mereka membawa haluan hidup masing-masing, fikirnya.

“Boleh saya tanya awak satu soalan, Fuad?” tanya Syafinaz.

“Silakan!”

“Awak dah kahwin?”

Fuad ketawa. Di telinganya, soalan itu kedengaran amat lucu. Kahwin? Hatinya sudah tawar untuk memikirkan tentang perkahwinan. Walau berderet calon isteri yang dipilih oleh ibu dan ayahnya, sehingga ke hari ini dia masih boleh menolak. Alasan-alasan yang dia beri masih diterimapakai oleh mereka.

“Azi pun belum kahwin jugak.” Syafinaz memberitahu membuat dada Fuad berdegup kencang. “Tapi, alasan dia tak sama dengan alasan awak. Awak tentu cakap yang awak tak jumpa lagi calon yang sesuai, betul tak? Tapi, Azi,”

“Kenapa dengan Azi, Syafinaz? Apa yang dah jadi pada dia?”

“Betul awak nak tahu?”

Dan, anggukan Fuad menunjukkan kesungguhannya.

5

Fuad menatap wajah pucat yang sedang lena di atas cadar berwarna putih itu. Tiub antibiotik sedang menitis memasuki pembuluh darah. Satu tiub kecil yang berbalut dengan kain berwarna hijau pastinya sedang menitiskan cecair radioaktif  ke dalam tubuh gadis itu yang kini tidak lagi mulus kulitnya seperti 3 tahun dahulu. Hampir menitis air mata jantannya bila mendapati bahawa kepala gadis itu sudah botak. Kalau adapun rambut, ianya masih belum tumbuh sepenuhnya.

“Dah 8 bulan dia disahkan mengidap leukimia, Fuad. Sejak itu, setiap 2 bulan sekali, dia akan ke sini. Mula-mula untuk ambik air tulang belakang, kemudian untuk kemoterapi. Selagi badannya lemah, selagi itulah dia kena duduk di wad ini. Selalunya, ambik masa berminggu-minggu.”

Fuad segera menyentuh dengan berhati-hati telapak tangan Syazia. Digenggam dengan erat sekali. Dibawa ke bibir dan diciumi dengan penuh perasaan. Afiah, Alwi dan Syafinaz menitiskan air mata melihat perlakuannya.

Syazia membuka sepasang matanya perlahan-lahan. Hati tertanya-tanya siapakah yang sedang mengusapi tangannya. Dia kehairanan melihat lelaki itu sedang menangis di sisinya. Mungkin menyedari pergerakannya, lelaki itu mengangkat wajah, membuat Syazia terkesima.

“Fuad?”

“Maafkan saya, Azi. Saya,”

Syazia tersenyum. Tersenyum kerana dia pasti bahawa di hadapannya kini masih Fuad yang sama. Fuad yang pernah mencintainya setulus hati dahulu dan melihat kepada seraut wajah yang terlalu sedih itu, dia dapat meneka bahawa cinta itu masih ada untuknya.

“Saya tak akan tinggalkan awak lagi!” Tegas sekali Fuad mengucapkan kata-kata itu.

Syazia ketawa namun tidak lama. Dia terbatuk-batuk kecil. Dahinya berkerut-kerut menahan sakit. Dia meminta Fuad merapatkan telinga lelaki itu ke bibirnya. Dia berbisik, “Memanglah awak tak akan tinggalkan saya tapi saya yang akan tinggalkan awak....”

Fuad menangis lagi. Hiba hatinya mendengar bisikan gadis itu.

“Fuad, janganlah macam ni..jangan nangis. Awak?”

“Azi, saya sayang awak. Sayang sangat.” Fuad membisikkan.

“Dah lama saya tahu, Fuad.” Bisik Syazia perlahan-lahan sebelum dia kembali lena.
............................................

Mereka dijabkabulkan seminggu kemudian. Kali ini, tiada sesiapa pun yang membantah kecuali Syazia pada mulanya. Namun, Syazia tidak dapat menafikan kemahuan Fuad. Alasan Fuad membuat dia berfikir berkali-kali sebelum akhirnya dia bersetuju menerima lamaran lelaki itu.

“Sayang, tolonglah faham. Saya nak pegang awak. Saya nak peluk awak. Saya nak cium awak. Sampai ke hati awak biarkan saya derita macam ni? Saya tak dapat bantu awak sedikitpun! Saya nak buat semuanya untuk awak tapi saya tak dapat, sebab kita tak ada hubungan yang halal, Azi. Kesianlah pada saya! Saya nak berbakti pada awak.”

Syazia membuka sepasang mata perlahan-lahan. Baru siang tadi, mereka bergembira, malam ini, semua orang menjadi cemas kerananya. Dia pengsan lagi. Mungkin akibat terlalu penat melayani tetamu agaknya.

Wajah Fuad yang tenang di sebelah, ditatapi. Lelaki itu sedang lena.

Perlahan-lahan, rambut suaminya dielus lembut. Penuh berhati-hati agar Fuad tidak terjaga akibat sentuhannya. Dia kemudian membaringkan diri di sisi, menatap wajah suami tanpa jemu. Rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan. Kalau sudah jodoh itu tertulis, mereka akhirnya disatukan juga. Namun, hati tetap kesal kerana menganggap diri tidak sempurna.

“Ya Allah, kalau aku boleh meminta kepadaMU, aku pohon agar Kau panjangkan umurku kerana aku ingin berbakti kepada Fuad, suamiku ini. Ya Allah, beri aku kesempatan untuk membahagiakan lelaki ini kerana aku cintakan dia. Ya Allah, beri aku peluang untuk menjadi isterinya yang solehah. Izinkan aku, ya Allah!

Izinkan aku!
................................................................................

cerpen ini sofi tujukan khas kepada penghuni Wad 1B, Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, termasuklah pesakit, nurses, para doktor, tak lupa kpd Dr Padmini, satu-satunya Pakar Darah di Negeri Perak ini. seperti selalu, harapan sofi cuma satu. semoga garapan ini memberi kepuasan kepada anda. dan kalau boleh, silalah komen, ya.

sofi.       
      

13 ulasan:

  1. sedihnya kak sofi...
    pepagi dah tangkap leleh..

    BalasPadam
  2. sedihnya..huhu
    klu la sy dpt lelaki mcm fuad ne, bertuahnya bdn

    BalasPadam
  3. cite yg menarik,,,
    pengorbanan...

    BalasPadam
  4. :(
    kak sofi tidak pernah hampakan saya.. menarik.. sedih.. suka

    BalasPadam
  5. salam,
    me insan biasa...ciannya, nangis pg2, ya?

    mmg bertuah ya, anonymous

    terima kasih miz ruha

    BalasPadam
  6. hohohoo...
    btul2x...
    sdih r crta ni...
    pnuh ngn pngorbanan....
    sjauh mna pun brlari jika trsurat jdoh ngn dia....
    stu msa akn brsma jg...

    BalasPadam
  7. salam,
    nera, terima kasih

    betul tu, epy, kl dah jodoh, ttp kahwin jugak

    BalasPadam
  8. xpuas la baca..

    kalo panjang lagi mesti best..

    baru dok tengah feeling2 dh abeh..

    hehehe

    BalasPadam
  9. salam gksb, maaf ya guna singkatan..

    insyaallah, cerpen yg lain nnt sofi tulis pjg sikit

    BalasPadam
  10. sedihla kak dengan citer ni...leh tak wak sambungan lagi???nak taw jgak camne akhirnya hubungan diaore..may b ada keajaiban...kan???
    ...nway nice story..i really likes it...mmmmmm

    BalasPadam
  11. salam ayuni,

    kl sbg dan sedih endingnya?

    boleh kan?

    BalasPadam
  12. salam...
    kak sofi walaupun ini sekadar cerpen tapi menyedarkan kita.. tak semua kehidupan kita akan happy selalu... akan ada ujian dan dugaannya.

    BalasPadam
  13. nak tahu kisah parents dorang..nak dgr kata cinta Afiah untk Alwi~

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.