Langkau ke kandungan utama

akulah kekasihmu

1
Zaharah duduk termangu di tengah rumah. Di sekelilingnya, keadaan sudah semakin sunyi. Kebanyakan tetamu yang datang sudah meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing. Maklumlah, hari  pun sudah lewat petang. Beberapa orang yang tinggal hanyalah jiran-jiran terdekat yang ingin membantunya mengemas apa yang patut di dalam rumah itu.
Baru sebentar tadi, jenazah suaminya sudah selamat disemadikan. Jiwa terasa kosong mengenangi pemergian orang yang tersayang. Sudah hampir 35 tahun hidup bersama-sama, tiba-tiba sahaja suaminya sakit dada semalam. Tup-tup, ketika dia ingin mengurut dada suaminya, sepasang mata redup itu merenungnya dalam-dalam dan tanpa amaran, tanpa ucapan terakhir untuknya, Abdul Rahman pergi, pergi menyahut panggilan Ilahi. Pergi yang tidak akan kembali lagi.
Betapa sedih. Betapa hiba. Betapa sunyi. Dia keseorangan kini. Dia bersendirian meniti usia tua setelah ditinggal mati oleh suami. Dia tidak punya sesiapa lagi...
“Mak cik….! Mak Cik Za?”

Zaharah menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Seorang gadis manis sedang membawa sedulang kecil makanan. Gadis bernama Rozana itu pantas meletakkan dulang tersebut di hadapan Zaharah.
“Dari semalam, Zana tengok mak cik tak makan apa-apa. Ni ada bubur nasi Zana bawak dari rumah. Rasalah, mak cik, lapik perut tu. Nanti kalau masuk angin, mak cik sakit pulak.” pelawa Zana. Wajah tua di hadapannya ditatap. Rasa kasihan menyelimuti hati.

“Terima kasih, Zana.” ucap Zaharah sambil mengesat tubir matanya dengan hujung lengan baju kurung Kedah yang dipakai. Masakan dia tidak sedih! Masakan dia tidak menangis? Gadis ini, gadis yang bernama Rozana ini dahulu pernah dibencinya. Bukan sedikit malah terlalu benci!
Ketika itu dia merasakan gadis ini sengaja ingin menggoda anak lelaki tunggalnya. Mengetahui anaknya yang ketika itu sedang belajar di UTM untuk menjadi seorang jurutera bercinta dengan rakan sekelas bernama Rozana ini, yang merupakan seorang pekerja kilang, amat mengecewakannya.
“Kenapa kamu baik sangat dengan mak cik, Zana? Kenapa kamu tak biarkan mak cik aje? Kenapa kamu tak benci mak cik pada hal dulu mak cik kata kat kamu macam-macam. Takkanlah sikit pun tak ada rasa marah kamu pada mak cik?” soalnya lemah. Dia sebenarnya merasa amat malu dan terkilan. Kerana mulut celuparnya, Zana menarik diri, meminta Azam memutuskan hubungan cinta mereka. Azam yang kecewa, bersumpah, tidak mahu kembali lagi ke kampung Durian Sebatang itu. Itu terjadi tujuh tahun dahulu. Namun, semua itu bagaikan baru berlaku semalam. Kemarahan Azam dan wajah penuh duka anak lelakinya itu kekal berlegar-legar di ruang fikir. Tidak pernah hilang!
“Mak Cik Za, kita hidup di atas bumi Allah ini bukannya lama mana pun. Buat apalah Zana hendak berdendam dengan mak cik? Arwah abah kata, Zana mesti pegang selalu dengan tali Allah. Maksudnya, Zana kena percaya pada takdir. Dah Allah takdirkan, jodoh Zana bukan dengan Azam. Kalau tak disebabkan perbuatan Mak Cik Za pun, kami tetap tak ada jodoh. Tentu kami berpisah jugak. Betul tak, mak cik?” ujar Zana lembut. Dia tidak mahu Zaharah mengenangi peristiwa dulu. Tujuh tahun sudah terlalu lama, sudah sepatutnya Zaharah melupakan semuanya.
Rozana memasukkan bubur nasi ala-ala masakan Cina itu ke dalam mangkuk. Dicampurkan daun bawang, daun sup, lobak masin dan sedikit telur asin. Kemudian dituangkan minyak bijan ke atas bubur tersebut. Harum baunya. Sudu diletakkan dan mangkuk itu dihulurkan kepada Zaharah. Zaharah, walau tidak berselera untuk makan, terpaksa juga menyambut huluran itu demi menjaga hati Zana. Dengan perlahan-lahan, bubur itu disuap ke dalam mulut. ‘Sedap juga!’ bisik hati kecilnya. Selepas beberapa suapan, baru muka diangkat untuk menatap wajah Zana.
“Kalau Azam fikirannya macam kamu, Zana, alangkah baiknya!” Keluh Zaharah dengan suara yang pilu. Ya, kalaulah Azam mahu memaafkan kekhilafan seorang ibu semudah Zana, tentu jiwa tuanya tidak merintih sepi seperti hari ini. Malangnya, itu tidak berlaku. Kerana marahkan dirinya, Azam pergi meninggalkan keluarga dan tidak pernah kembali. Keluarga yang hanya terdiri daripada seorang ayah dan seorang ibu. Keluarga yang tidak dapat menjejaki di mana dia berada kini semenjak dia pergi dahulu.
“Entah di manalah dia sekarang agaknya?” Zaharah merintih lagi. Zana tidak dapat berkata apa-apa. Wajah sedih Zaharah direnung dengan pandangan sayu. Di dalam hati, dia sebenarnya tidak menyenangi sikap Azam. Sebagai anak tunggal, sikap Azam itu dianggapnya tidak matang. Apalah yang Azam rajukkan sangat sehingga perlu pergi membawa hati? Sehingga lelaki itu terpaksa membawa diri?
Kenangan lalu mengusik jiwa. Masih terbayang pertemuan terakhir di antara dirinya dan Azam. Masih terbayang seraut wajah lelaki itu yang sedih. Masih terdengar-dengar rayuan Azam yang penuh hiba terhadapnya.
2
“Aku sayangkan kau, Zana. Sayang sangat! Tolong jangan tinggalkan aku! Aku tak boleh hidup tanpa kau.” Azam berkata sambil menatap wajahnya dalam-dalam. Begitu tegas nada yang keluar daripada bibir Azam menandakan betapa lelaki itu begitu serius mencintainya. Sekilas pandangan mata, Zana tahu tiada dusta sama sekali. Cintanya kepada Azam mungkin tidak seteguh, tidak sekuat cinta Azam terhadap dirinya. Namun...  
“Zam, Mak Cik Za tak suka aku. Dia tak suka aku jadi menantu dia. Maksudnya, dia tak suka aku jadi isteri kau. Jadi, sayang macam mana pun kau pada aku, kau kena lupakan aku. Kita kena putuskan hubungan ini.” Zana membalas lembut. Dia tahu hati Azam terluka. Begitu juga dengan hatinya. Terlalu luka untuk menuturkan ayat-ayat tadi. Tapi dia terpaksa. Terpaksa berkorban perasaan demi untuk melepaskan Azam kembali kepada ibu dan ayahnya.
“Sampai hati kau, Zana. Nampaknya, cinta kau pada aku tak sedalam manapun! Kalau tidak, takkan sebegini mudah kau mintak kita putus! Kau memang tak sayang aku!” Jerit Azam. Suaranya melengking kuat. Ketenangan Zana membuat dia merasa geram. Zana seolah-olah tidak terkesan dengan apa yang sedang berlaku. Permintaan ibunya supaya Azam dan Zana berpisah bagaikan tidak langsung mencalarkan perasaan Zana.
Rozana hanya dapat menggelengkan kepalanya. Dia merasa amat terkilan mendengar tuduhan Azam. Tuduhan Azam tadi amat berat! Tuduhan Azam itu menyinggung perasaan halusnya.
“Kau salah, Azam! Kau salah! Aku sayang kau. Aku sayang kau sunguh-sungguh. Tapi, aku lebih sayangkan Allah. Jadi, aku mahu Allah jugak sayangkan aku. Tapi Zam, sayangkah Allah pada aku nanti kalau aku putuskan silaturrahim? Akan sayangkah Allah kepada hambanya ini yang memutuskan hubungan di antara seorang emak dengan anak lelakinya? Azam, di antara kita, ada Mak Cik Za. Dia mak  kau. Dia suruh kau pilih antara aku dengan dia!”
“Dan aku dah pilih kau!” Azam mencelah, mematikan butir bicara Rozana. Dia berkata begitu dengan penuh keyakinan, untuk menunjukkan betapa dia bersungguh-sungguh inginkan Rozana menjadi isterinya. Dia sanggup dibuang oleh ibunya demi gadis manis di hadapannya ini. Demi cintanya! Tidak ada sesiapa yang boleh memisahkan dirinya daripada Rozana, waima ibunya sendiri! Tidak!
Rozana terkedu. Wajah kekasih ditatapi bersama perasaan kesal yang mendalam. Titisan manik kecil sedang bertakung di dalam kelopak matanya sebagai tanda betapa dia amat sedih mendengar ucapan yang keluar daripada mulut Azam tadi. Aduhai, sungguh cetek pemikiran Azam sehingga dia sanggup mengetepikan hati dan perasaan seorang ibu? Bukan ibu orang lain pulak tu tetapi ibunya sendiri, seorang wanita yang telah berkorban segala-galanya demi Azam. Di mana kewarasan fikiran lelaki itu? Tidakkah mengenangi susah payah Mak Cik Zaharah mengandungkannya selama 9 bulan 10 hari? Tidakkah memikirkan apa yang pernah dilakukan Mak Cik Za sewaktu kecilnya dahulu bilamana wanita itu sanggup berjaga di waktu malam hari, demi untuk memastikan tidak ada seekor nyamukpun menggigit tubuh kecilnya? Tidakkah pernah mengenangi pengorbanan seorang ibu yang sanggup tidak tidur apabila Azam sakit atau demam?
Tanpa kompromi, Zana bersuara dengan tegas, “Tapi, itulah yang aku tak nak kau buat, Zam! Aku tak mahu kau terpaksa memilih kerana sebenarnya kau tak berhak memilih jika dalam pilihan itu ada perkataan ibu, tahu! Kau boleh memilih seorang wanita di antara berpuluh atau beratus perempuan untuk kau jadikan isteri. Tapi... antara perempuan-perempuan itu semua dengan mak kau? Pejam mata pun, pastinya mak kau berada di tempat paling atas! Dialah ibu, perempuan yang paling penting dalam hidup seorang lelaki!”
“Tapi?”
“Tak ada tapi, tapi! Mak Cik Za tu, mak kau! Dan, hidup mati seorang anak, terutama anak lelaki, perlu diabadikan untuk berbakti kepada emaknya, selepas dia mengabdikan diri kepada Tuhannya. Ingat, Zam! Kau tak boleh bertindak mengikut perasaan. Cinta kau pada aku tak boleh melebihi sayang kau kepada Mak Cik Za! Dan sama sekali tidak boleh melebihi kasih dan sayang kau kepada Yang Esa. Aku yakin, kalau kau tahu tu, kau tak akan buat perangai macam ni!” Rozana bersungguh-sungguh memberikan nasihat kepada Azam. Wajah Azam yang keruh direnung. Apa yang terdetik di dalam hati Zana saat itu ialah mengapakah Azam seolah-olah tidak mahu menerima nasihatnya?
“Kau ni peliklah, Zana. Pelik! Kalau gadis lain, sanggup berkorban apa aje demi cinta. Sanggup gadai jiwa, raga... sanggup serahkan diri dia, sanggup lari, sanggup segala-galanya. Tapi, kau? Baru mak aku bantah sikit, dah mengalah! Baru kena maki sikit dah nak beralah! Tak langsung mahu berkorban untuk aku! Aku ni aje yang sanggup buat macam-macam untuk kau. Sampai aku sanggup lawan cakap mak bapak aku, semata-mata kerana aku nak hidup dengan kau. Semata-mata kerana aku nak kahwin dengan kau! Tapi, sikitpun kau tak hargai apa yang aku buat! Aku benci kau, Zana! Benci!” Tengking Azam sebelum lelaki itu pergi meninggalkannya.
Itulah kali terakhir Rozana melihat seraut wajah itu. Khabarnya, kerana marah, esoknya Azam pergi meninggalkan kampung itu. Fikirnya, Azam pergi kerana marahkan dirinya. Dia penuh yakin bahawa lelaki itu akan kembali semula bila kemarahan itu reda namun hati Azam sekeras kerikil. Dia tidak pulang!
3
Puan Mala memerhati dari muka pintu, diri anaknya yang begitu tekun membersihkan papan putih. Anak-anak muridnya yang seramai 25 orang sudah lama pulang. Selalunya, Zana cepat sahaja naik ke atas rumah sebaik kelas tuisyen itu tamat namun malam ini tidak pula begitu. Itu yang menyebabkan Puan Mala turun ke ruang bawah ini. Dia ingin melihat apakah yang menyebabkan anaknya kelewatan.
“Kenapa dengan kamu ni, Zana? Sejak dua tiga hari ini kamu macam orang yang susah hati aje, mak tengok! Apa yang kamu fikirkan? Apa yang kamu risaukan?” Puan Mala bertanya sambil melangkah menghampiri Zana. Dia kemudian duduk di atas kerusi bertentangan dengan Zana yang baru sahaja mengambil tempat di hadapan ibunya.
“Zana tak fikirkan apa-apa pun, mak, selain daripada prestasi anak murid Zana yang 25 orang ni aje! Zana takut nanti keputusan PMR diorang dalam Matematik dengan English tak sebaik mana, maklumlah guru tuisyen diorang bukannya pandai pun. Cuma pemegang sijil SPM aje. Dah tu bekas pekerja kilang pulak!”
Puan Mala tergelak kecil mendengar keluhan anak gadisnya. “Dah lima tahun kamu buat kerja ni, baru sekarang mak dengar kamu cakap macam tu. Ke mana perginya keyakinan diri kamu selama ni?”
Rozana tersengih.
“Dah banyak anak-anak kampung ni yang kamu bimbing dan berjaya, Zana! Lagipun, memanglah kamu tu cuma pas SPM aje, tapi, keputusan subjek Matematik ngan English bukan teruk pun! Cuma kebetulan, masa keputusan keluar, abah kamu tengah sakit dan kamu terpaksa jaga abah bergilir-gilir ngan mak. Bila kamu dah mula kerja kilang pulak, kamu dah tak nak sambung belajar, alasan kamu, kamu tak nak tinggalkan mak sorang-sorang. Jadi, redha ajelah dengan hidup kamu sekarang sebab ini jalan yang kamu dah pilih.” Ujar ibunya panjang lebar.
“Zana tak menyesal, mak. Jauhlah hendaknya daripada menjadi hamba yang tidak tahu bersyukur. Dan memang Zana redha pun dengan apa jugak yang jadi dalam hidup ni! Sumpah, tak ada sesalan! Tak ada!” Kata Zana bersungguh-sungguh.
“Baguslah!”
“Kenapa mak tengok Zana camtu?” soal Zana bila dia menyedari bahawa ibunya begitu asyik memerhati dirinya.
Puan Mala menghembus nafas perlahan-lahan sebelum bertanya, “Mak Cik Za kamu apa khabarnya?”
Zana merenung wajah ibunya sebelum mengalih perhatian kepada buku dan alat tulis yang bersepahan di atas meja kerjanya. Soalan ibunya dibiarkan berlalu begitu sahaja.
“Dah tiga hari kamu tak pergi jenguk dia, Zana.”
Zana melirik senyum. “Mak kira bilangan hari yang Zana tak pergi ziarah dia?” soalnya.
Puan Mala menggeleng-gelengkan kepala. “Bukan mak yang kira, tapi Mak Cik Za kamu! Dia ingat kamu sakit ke apa.” Dia memberitahu.
Zana menghening diri. Memang sudah tiga hari dia tidak pergi menziarah ke rumah Mak Cik Za. Sudah tiga hari, dia hanya mendengar cerita ibunya tentang diri wanita itu. Ibunya yang menceritakan betapa wanita itu sudah mampu ketawa sekarang. Ibunya juga memberitahu bahawa wanita itu sudah tidak lagi bersedih. Ibunya juga yang memberitahu bahawa Mak Cik Za berkata doa mereka sudah dimakbulkan Tuhan.     
“Mak Cik Za nak kamu datang ke rumah dia esok!”
Bulat mata Zana memandang wajah ibunya. Dahinya sudah berkerut-kerut. Dia mendengus. Dia mengeluh. “Mak ajelah yang pergi. Zana malaslah!” jawabnya perlahan.
“Kenapa? Kamu takut jumpa dia? Tapi, Zana, sampai bila kamu nak melarikan diri macam ni? Kampung Durian Sebatang ni bukannya besar sangat pun. Esok lusa, mesti terserempak juga kamu dengan dak Azam tu. Hah, kalau dah tersempak nanti, ke mana kamu nak lari lagi?” Puan Mala bersungguh-sungguh bertanya. Walau Rozana tidak mahu berkata apa-apa atau mengulas tentang kepulangan Azam, dia, sebagai seorang ibu amat mengerti perasaan anak perempuannya itu.
Ya, Azam sudah pulang. Entah dari mana dia mendapat berita tentang kematian ayahnya, namun Azam pulang juga empat hari yang lepas. Seluruh kampung terkejut dengan kepulangannya. Seluruh kampung terkejut dengan kehadirannya. Saban hari, rumah Mak Cik Zaharah pasti dikunjungi ramai tetamu. Mereka datang kerana mereka teringin benar untuk melihat wajah Azam. Mereka ingin benar menatap seraut wajah yang tiba-tiba hadir dengan kereta besar yang menjalar. Mereka ingin benar melihat satu-satu jejaka yang berjaya mewakili kampung itu memasuki menara gading!
“Zana tau, nanti kami tetap akan jumpa jugak. Tapi kalau boleh, Zana tak nak jumpa dia sekarang. Zana belum sedia, mak.” Zana memberitahu.
“Mak rasa, dia belum kahwin, Zana.”
Bulat mata Zana memerhati wajah ibunya sebelum dia melambakkan tawanya. “Pandailah, mak! Dah 7 tahun, mak. Apa yang dia nak tunggu lagi? Ada bininya tu. Mungkin wanita berkerjaya yang tak dapat nak ikut balik dan ambik cuti sebab sibuk dengan kerja dia. Lagipun, sekarang ni bukan cuti sekolah. Anak-anak dia tentu tak boleh tinggalkan pelajaran dia orang.” tegas Zana bersungguh-sungguh. Tanpa sedar, dia sedang mempertahankan diri Azam.
Puan Mala tersengih. “Dari dulu, tak habis-habis nak membela perbuatan buah hati dia!” usiknya.
“Mak! Tak baik mak cakap macam tu!” Zana gelabah dan berpura-pura berkecil hati dengan ibunya.
“Apa-apalah, Zana! Dah, kemas cepat! Jom kita naik. Pintu depan tu mak tak kunci. Karang masuk orang jahat, tak ke haru.”
Zana diam menurut kehendak ibunya. Tidak lama selepas itu mereka naik ke tingkat atas. Malam ini, ada nasi lemak dan pulut inti yang perlu dibungkus dalam daun pisang. Awal pagi esok, Johan, anak Pak Imam Ali, akan datang mengambil bungkusan-bungkusan itu untuk mereka sedekahkan di surau sebaik selesai mengerjakan solat subuh nanti.
4
Di pinggir kampung, sudah ramai kaum Adam memenuhi satu-satunya gerai minuman di kampung itu. Bunyi ketawa dan gurau senda mengisi suasana damai di pagi hari. Keriuhan itu menarik perhatian seorang lelaki. Sudah terlalu lama dia tidak mendengar keriangan di waktu pagi begini lantas sebaik selesai berjemaah di surau tadi, dia terus sahaja melangkahkan kaki menuju ke gerai Pak Lokman. Dia ingin turut serta bersama mereka. Lagipun, mereka bukan orang asing baginya. Mereka orang-orang kampung ini juga.
“Assalamualaikum!” Azam memberi salam.
“Waalaikumsalam.” Riuh rendah suara yang ada demi terpandang wajah Azam. Berebut-rebut ingin memberikan bangku masing-masing untuk lelaki itu duduk. Azam tersenyum melihat gelagat mereka.
“Tak apa, saya duduk di sini aje.” Katanya sambil mengambil tempat di sebelah Pak Akob. Setelah bersalaman dengan semua orang, Azam memesan minuman kegemarannya, air milo kosong. Nasi lemak yang tersusun di dalam pinggan di hadapannya diambil satu.
“Ini tentu nasi lemak Mak Ani, ya, Pak Man.” ujarnya.
“Ingat lagi kamu, ya, Zam?” tanya Pak Lokman bangga. Nasi lemak isterinya memang terkenal sedap dan sentiasa laris jualannya.
“Mana boleh lupa, Pak Man? Dah merata saya pergi, memang nasi lemak yang Mak Ani masak ni lah yang paling sedap.” Balas Azam sengaja ingin membeli jiwa sahabat baik arwah ayahnya itu.
Tiba-tiba Pak Akob menepuk belakang Azam beberapa kali, “Tapi, yang tadi, masa dekat surau tu, rasanya tiga bungkus kamu makan. Tentu sedap jugak tu, maklumlah air tangan si Zana, kan?” usiknya menyebabkan Azam tersedak tiba-tiba. Pedih tekaknya. Tercekik dia. Merah padam wajah. Rasa termengah-mengah seketika. Yang ada semua ketawa melihat dirinya yang jelas gabra secara tiba-tiba.
Arghh Zana...
Sejak dia pulang, hanya itulah sahaja wajah yang tidak lagi dapat dipandangnya. Belum lagi dapat dia melihat Zana. Usahkan kelibatnya, bayangnya juga tidak kelihatan. Hanya nama Zana yang popular meniti dari bibir ke bibir mereka yang dia temui. Zana itu! Zana ini! Namun tuan punya badan bagai enggan menemuinya. Zana bagai tidak sudi melihat dirinya.
“Hmm, sebut nama budak tu aje, dah mengelamun dak Azam ni, kome!” Pak Akob terus menerus mengusik. Suka benar dia melihat wajah cerah Azam memerah.
“Mana ada! Pak Akob ni macam-macam!” Dibalasnya juga usikan lelaki tua itu sambil tersengih, menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi. Menyerlahkan ketampanan wajah.
“Kamu ke mana, Azam? 7 tahun hilangkan diri, tak ada khabar berita? Apa ke halnya?” Pak Leman yang diam dari tadi segera menarik kerusi menghampiri Azam. Dia ingin sekali mendengar jawapan lelaki itu. Dia ingin sekali mengetahui rahsia yang tersimpan kemas dalam hidup Azam. Sewaktu allahyarham ayahnya masih hidup dahulupun, tidak langsung Abdul Rahman bercerita mengapa Azam tidak pulang-pulang. Abdul Rahman tidak mahu membongkarkan rahsia mengapa Azam menghilang begitu sahaja.
Azam melepaskan keluhan. Wajah-wajah di hadapannya di renung satu persatu. Satu soalan keluar daripada bibirnya. “Ayah marah saya ke, Pak Leman?” tanya dia. Ada kerisauan di raut wajahnya.
“Isk, kamu ni, allahyarham tu nak marah kamu? Kamu ni, Azam, bercakap tak masuk di akal. Takkan le dia nak marah anak tunggal dia? Udah le, Azam! Usah kamu nak mengarut! Kalau kamu ingat arwahnya nak bercerita, mengumpat, mengutuk kamu, maknanya memang kamu ni tak kenal bapak kamu sendiri. Berdosa aje kamu menuduh dia yang bukan-bukan! Dia sayang kamu!” Marah Pak Leman, kerana sangkanya Azam lari kerana berkecil hati dimarahi bapanya.
“Tak siapa tahu kenapa kamu pergi dan tak balik-balik selama ni! Nak ditanya pada dak Zana pulak? Hmm, dapat senyum dia ajelah..” along Ramli menyampuk.
“Kenapa saya pergi, tak usahlah kita sebut-sebut lagi, ya, Pak Akob, Pak Leman, along. Yang penting, saya dah balik. Tapi, saya balik ni pun, bukan lama. Saya kerja gomen kat KL tu. Lusa, saya dah kena balik ke sana. Hajat di hati, saya nak bawak mak balik, duduk di sana dengan saya. Itupun kalau dia nak. Kalau tidak, tak tahulah nak buat macam mana nanti.” balas Azam mesra.
“Kamu kerja apa di Kolumpo tu?” tanya Pak Lokman.
“Dia ni jurutera, jangan kamu tak tahu, Man! Macam Encik Manan, Jurutera Daerah yang selalu datang borak-borak dengan kita tu! Tapi si Azam ni kerja dengan Dewan Bandaraya, tak gitu, Zam?” balas Pak Bakar yang diam dari tadi. Dia rasa seronok mengkhabarkan berita itu kepada semua orang, apatah lagi apabila dia melihat ada yang ternganga mendengarnya.
Azam tersenyum lebar sambil mengangguk. Melihat Pak Bakar yang beria-ia bercerita, dia teringatkan isteri lelaki itu. Sejak dia pulang, boleh dikatakan hampir setiap ketika Mak Cik Minah ada di rumahnya. Menurut ibunya, Mak Cik Minah si Mulut Murai itu hendak kenenkan anak daranya kepada Azam. Mengenangi kata-kata ibunya, Azam semakin melebarkan senyuman. Ada-ada sahaja Mak Cik Minah tu? Ada ke anak dara sunti yang baru lepas PMR itu hendak dijodohkan dengan dirinya? Entah pandai atau tidak ke dapur?
“Kamu dah kahwin ke, Zam?” Pak Akob bertanya sambil merenung ke dalam anak mata Azam.
“Belum lagi, Pak Akob. Saya tak ada masa nak fikirkan soal kahwin sekarang ni. Lagi pun, saya ni sibuk memanjang. Insya-Allah, bulan depan saya kena pergi ke Australia, berkursus dua minggu. Balik aje ke KL, dah kena duduk di Langkawi dua bulan. Takut nanti merajuk bini saya bila asyik kena tinggal aje!” Azam memberitahu secara berseloroh.
“Apa pulak? Cari ajelah bini yang tak kerja. Boleh dibawak ke sana ke sini. Hidup sorang-sorang macam sekarang, bukannya seronok. Kalau sakit demam, tak ke payah? Ada bini ni, Zam, bolehle dia tolong picit-picitkan kalau kamu pening kepala!” Pak Lokman segera membalas diikuti oleh anggukan ramai. Dah jadi macam burung belatuk pula masing-masing di warung itu. Semuanya menyokong sebulat suara kata-kata Pak Lokman itu.
Azam tersengih menjawab, “Insya-Allah, nanti saya suruh mak carikan.”
“Buat apa nak cari jauh-jauh, Azam. Dak Zana tu kan ada? Dah 7 tahun dia tunggu kamu.” Pak Akob mengusik.
Air wajah Azam berubah. Dia tidak lagi ceria sebaik nama itu disebut. “Takkanlah, Pak Akob? Apa kes dia nak tunggu saya pulak?” soalnya.
“Dah tu? Cuba kamu bagi tahu pada kami, kenapa dia asyik tolak semua pinangan yang masuk? Sampai Mak Cik Mala kamu naik runsing. Nak dipaksa, si Zana tu menangis. Dia macam tak suka bercakap hal kahwin ni!”
“Entahlah, Pak Akob. Manalah saya tahu. Itu Pak Akob kena tanya dialah!” Balas Azam lemah.
5
Azam merenung ke arah sebuah rumah yang tidak jauh daripada rumahnya. 7 tahun dahulu, rumah itu berbeza daripada sekarang. Kini, rumah itu sudah menjadi rumah batu dua tingkat yang sederhana besarnya. Sejak kepulangannya, sudah dua kali diperhatikan tingkat bawah rumah itu terang benderang dan sebaik jam menunjukkan angka 10 malam, ramai remaja lelaki dan perempuan meninggalkan pekarangan rumah itu. Menurut kata ibunya, Zana mengajar tuisyen selepas dia diberhentikan daripada kilang. Ibunya tidak pula memberitahu mengapa Zana diberhentikan, hanya Azam membuat andaian bahawa gadis itu diberhentikan kerja akibat inflasi yang melanda negara, kerana kilang tersebut mengalami kegawatan ekonomi.
“Kalau rindu, pergi ajelah ke rumah dia! Bukan jauh manapun!”
Azam segera menoleh memandang wajah ibunya. Senyuman kelat yang menghiasi bibir menunjukkan dia malu ditegur begitu. Dia juga malu kerana ibunya melihat perbuatannya mengintai ke arah rumah itu tadi.
“Tak apalah, mak, lain kali ajelah!” balasnya bersahaja.
Puan Zaharah merenung wajah anaknya yang cuba menyembunyikan perasaan hampanya terhadap Rozana. Dia tahu, jauh di sudut hati Azam, anaknya itu masih menyimpan perasaan terhadap Zana. Masih ada sisa-sisa cinta untuk gadis itu walau jarak waktu memisahkan mereka.
Sewaktu kenduri arwah tadi, sepasang mata itu bagai tercari-cari  si Zana. Azam tidak betah duduk diam. Dia turut menyibukkan diri di dapur untuk mengangkat hidang, mungkin dia menyangka Zana ada di situ. Malangnya, yang ada hanya Mak Cik Mala, ibu Zana. Bila ditanya di manakah anak dara itu, Mak Cik Mala memberitahu bahawa Zana tidak berapa sihat.
Dan di hadapannya kini, Azam nyata risau. Dari tadi anak terunanya itu kegelisahan. Duduk tidak kena, berdiri pun tidak kena juga. Dia asyik mundar mandir ke hulu ke hilir.
“Zam, kamu masih marah pada mak ke?” Mak Cik Zaharah bertanya. Wajah anak ditatap tepat dan tajam.
Azam menghampiri ibunya. Dia kemudian memeluk tubuh Mak Cik Zaharah erat-erat. Dalam sendu, dia bersuara, “Ampunkan dosa-dosa Azam pada mak, mak. Azam tak mahu jadi anak derhaka. Maafkan sebab buat mak menderita selama ni. Azam menyesal, mak. Azam menyesal sangat-sangat!”
Mak Cik Zaharah mengusap-usap lembut kepala dan rambut anak bujangnya. Bagi dirinya, sebaik Azam pergi meninggalkannya, kesalan sudah memenuhi keseluruhan ruang hati. Dia tahu kesalahannya. Dia tahu kesilapannya.
“Azam, mak menyesal sangat sebab mak sombong dulu. Mak terlampau bangga dan lupa diri bila kamu dapat masuk universiti. Maklumlah, kampung kita ni kecil, mana ada budak kampung ni yang belajar tinggi sampai ke U? Kamu ajelah! Tu yang sampai mak anggap Zana tak layak untuk bercinta dengan kamu. Apa lagilah kalau sampai nak kahwin. Mustahillah mak nak benarkan budak kilang tu jadi bini seorang jurutera. Sampai mak sanggup kutuk-kutuk dia. Kalau mak kenang-kenangkan balik segala-gala yang mak pernah buat, pernah cakap pada Zana, mak rasa tak tahu nak letak diri mak ni kat mana sekarang. Mak malu dengan Zana. Malu dengan Mak Cik Mala.”
Azam mendesah, Mak Cik Zaharah mengumpul nafas.
“Kamu tahu, Zam, Zana tu tak pernah marahkan mak. Sejak kamu pergi, dialah yang selalu menjenguk mak dengan ayah. Dia seolah-olah nak membayar hutang pada kami. Kata Mak Cik Mala, Zana bimbangkan kami. Kata Zana, bila kamu pergi, sedar atau tidak, kamu macam dah mengamanatkan pada dia supaya menjaga kami. Kata Zana lagi, kamu pergi sebab dia, jadi dia rasa bersalah pada mak, pada ayah. Dia jugak kata, yang dia akan terus bersama kami, akan terus menjaga kami sampailah kamu balik pada kami. Budak Zana tu terlalu baik, Zam. Dia memang budak baik.” dalam tangis, Mak Cik Zaharah memberitahu.
Azam meleraikan pelukannya. Dia bangun, sekali lagi, dia pergi ke tingkap untuk mengintai rumah yang sudah gelap. Mungkin si penghuni sudah lena dibuai mimpi.
‘Ah, Zana, kau gadis yang aku pilih lama dulu. Sejak lama, aku tahu kau memang gadis yang baik dan disebabkan kau terlalu baik, kita berpisah kini. Kau masih memegang kata-kataku yang tidak ingin melihatmu. Tapi itu dulu, waktu aku terlalu marah. Sekarang aku dah balik, Zana, tapi kenapa kau masih tak pedulikan aku? Kenapa tidak sekali kau datang menjenguk aku? Aku tahu kau tak benci aku! Kau tak ada kebencian dalam hatimu, tapi, kenapa aku merasakan seperti kau sengaja menjauhkan dirimu daripadaku? kenapa?’ bisik di dalam hati menambah resah. Azam terlalu rindu untuk melihat seraut wajah itu. Namun dia sakit hati bila Zana seolah-olah ingin menjauhkan diri daripadanya. Bagaikan tiada rindu di dalam hati gadis itu untuk dirinya.
“Zam, kenapa kamu tak pergi jumpa dia?”
Memang itulah soalan yang ingin ditanya oleh Mak Cik Zaharah. Dia tidak mengerti mengapa Azam tidak mencari Zana. Dia hairan kerana dia tahu, Azam merindukan gadis itu.
“Kalau dia tak sudi nak jumpa Azam, tak kan Azam pulak yang nak terhegeh-hegeh pergi jumpa dia, mak? Dia tahu Azam dah balik, tapi dia tak datang pun. Tengok ajelah malam ni, konon dia sakit kepala. Tu, elok aje dia buat kelas tuisyen tadi. Sakit kepala apa tu?”
“Ek eleh, kamu merajuk rupa-rupanya, ya?” Usik Mak Cik Zaharah membuat pipi Azam merona merah.
“Mak ni...macam-macam!” Azam membalas.
Mak Cik Zaharah tersenyum. “Azam, kamu balik pukul 9 pagi esok, kan? Apa kata, kita singgah rumah Mak Cik Mala sebelum kamu bertolak. Bolehlah kamu tanyakan pada Zana kenapa dia asyik mengelak diri kamu tu. Nanti kamu akan tahu jugak sebabnya.”
Dahi Azam berkerut-kerut mendengar kata-kata ibunya yang dilafaz dengan tenang. Entah kenapa dia dapat merasakan bahawa Zana menyembunyikan sesuatu daripada dirinya. Hatinya berdebar-debar. Risau!    
6
“Mak, Zana dah lambatlah! Zana nak gi kedai dah ni. Zana tak sempat nak makan, tapi nanti Zana suruh Johan datang ambik bekal, ya, mak!”
Zana kelihatan kelam kabut di sebalik langsir yang memisahkan ruang tamu dengan ruang makan. Dia tidak langsung menyedari bahawa dirinya sedang menjadi perhatian sepasang mata yang sedari tadi tidak berkalih apabila mendengar suaranya.
“Zana..”
“Kejaplah, mak! Alah, mak ni, Zana nak tengok muka comel Zana jap kat dalam cermin ni hah. Hmm, okey! Ada apa , emakku sayan..”
Langkahnya mati sebaik terpandangkan dua orang tetamu tidak diundang yang sedang duduk di atas sofa. Suara yang tadi ceria terhenti. Wajah yang tadi menguntum senyum, bertukar gundah.
“Mak Cik Za pun ada?” tanya dia perlahan. Tiba-tiba otaknya mencerna sesuatu, lantas sepantas kilat, tangan kirinya dibawa ke belakang. Dia tidak mahu Azam melihat tangannya itu. Dia tidak mahu Azam tahu...Dia perlu keluar dari rumah ini. Kehadiran Azam yang tidak disangka-sangka ini menyesakkan nafasnya. Sukar sekali untuk dia menyedut udara, terasa hampir lemas dirinya.
“Mak, Zana pergi dulu, ya!” Matanya meminta pengertian Mak Cik Mala, seakan-akan merayu agar ibunya melepaskan dirinya dari kemelut ini.
“Zana, kan kita ada tetamu ni? Azam tu dah nak balik KL. Dia singgah nak tengok kamu sebab semalam mak bagitahu semua orang kamu tak sihat. Mari duduk di sini. Sampai bila kamu nak mengelak Azam ni? Lambat laun, dia tetap akan tahu jugak.” tegur Mak Cik Mala.
Zana tidak mempedulikan kata-kata ibunya. Dia benar-benar tidak mahu berada di situ. Azam sedang memandang dirinya dengan pandangan yang menyakitkan jiwa dan perasaannya. Dia tahu lelaki itu sedang marah.
“Kalau kau nak pergi kerja sangat, jom aku hantar kau. Kedai jahit kau tu kat tepi jalan di tepi simpang nak ke jalan besar, kan? Jom!” Azam sudah berdiri. Hatinya panas melihat tingkah laku Zana.
“Eh tak payah, Zam. Aku naik motor aje!” Meluncur laju perkataan itu daripada bibir tanpa sempat Zana berfikir.
Mak Cik Mala menggelengkan kepala. “Zana, kamu mana boleh bawak motor ke, basikal ke? Itulah, nak menipu pun tak pandai.” marahnya.
“Kenapa pulak Zana tak boleh menunggang motorsikal, mak cik?” Dahi Azam sudah berkerut-kerut. Jelas wajahnya menampakkan kekeliruan.
Mak Cik Mala menekup mulut tanda dia sudah terlepas cakap. Zana yang menyedari, ingin segera pergi, sebelum banyak lagi soalan akan ditanyakan oleh Azam kepadanya. Namun belum pun sempat mengatur langkah, Mak Cik Zaharah pula menahannya, “Zana, toksahlah berahsia lagi, nak. Biarkan Azam tahu rahsia kamu tu. Tak selamanya kamu dapat rahsiakan!”
“Mak? Rahsia apa, mak?” Renungan tajamnya kembali ke ruangan wajah Zana. “Zana? Ada apa-apa yang aku tak tahu?” tanya Azam.
“Mana ada? Dahlah, Azam. Kau kan nak balik KL? Pergilah balik!” Zana mengelak.
Azam mula marah. Ibunya dan Mak Cik Mala bercakap berbelit-belit. Namun dia mengesyaki bahawa kedua-duanya cuba menyampaikan sesuatu kepada dirinya. Sedangkan Zana? Zana cuba mengelak setiap soalannya. Zana mahu dia segera pergi. Zana tidak mahu dia berada di situ. Tapi mengapa?
Azam mula mengatur langkah perlahan-lahan untuk menghampiri Zana. Dia ingin tahu apa yang Zana sembunyikan darinya. Zana yang menyedari bahawa Azam sedang mendekat, semakin berdebar. Dia berundur dan berundur dan berundur...
“Berhenti! Azam, kau jangan datang dekat aku! Tolonglah! Pergi dari sini, Azam. Tolonglah!” rayunya.
Azam berhenti di hadapan Zana. Wajah itu diamati. “Baiklah! Dah kau beria-ia nak aku balik KL, okey, aku nak balik dah ni. Bagi aku tangan kau!” katanya tegas.
Zana menjegilkan sepasang matanya. “Nak buat apa? Kita bukan boleh bersalam.” balasnya.
“Aku nak bagi kau duit syiling ni. Aku nak kau letakkan dalam genggaman kau. Lepas tu aku teka. Macam kita kecik-kecik dulu? Kalau aku teka dengan betul, aku balik. Kalau tidak, kau kena pecahkan rahsia kau tu pada aku.” Balas Azam bersahaja.
Dada Zana berombak kencang. “Bawak balik duit syiling kau tu! Dah tua pun perangai macam budak-budak kecik. Nak main gak permainan mengarut tu. Tak payah, okey! Tak perlu!” Marah Zana.
“Kenapa tak perlu?”
“Aku cakap tak perlu, tak perlulah!”
“Bak sini tangan kau, aku nak tengok!”
Zana marah! Marah kerana Azam tidak mempedulikan permintaannya. “Kau ni pekak ke, Zam? Aku cakap aku tak nak, tak naklah.......Aduh!!!!!”
Azam terpanar melihat tangan kiri Zana yang ditarik ke hadapan, tangan yang dia sedari Zana cuba sembunyikan daripadanya. Tangan yang sudah ketiadaan telapaknya. Tangan yang sudah kudung. Tangan yang tidak ada lagi 5 jemari runcing itu!
“Puas hati kau, Zam? Dah nampak? Dah tengok kan tangan Rozana yang cacat ni? Tangan yang dah tak ada tapaknya? Tangan yang dah tak ada jari jemari? Tulah! Degil sangat! Orang suruh dia pergi balik ke KL tu, dia buat pekak! Tengoklah muka tu! Kan dah jijik kau tengok aku yang dah cacat ni? Dah! Pergi! Jangan datang balik! Aku tak sanggup tengok muka kau yang penuh benci tu!”
Zana berpaling. Dia ingin menangis. Dia ingin melampiaskan kesedihan ini, tetapi bukan di hadapan Azam. Dia tidak mahu menangis di hadapan Azam. Dia tidak mahu Azam nampak kekecewaannya. Dia tidak mahu Azam menyedari kehampaannya. Bukan dia marah kepada Tuhan kerana memberikan dia nasib malang ini cuma dia tidak sanggup menatap seraut wajah itu.
“Betul kau nak aku pergi, Zana? Aku dah balik, tapi kau nak aku pergi semula? Kau tau, kan, kali ni kalau aku pergi, aku tak akan balik jumpa kau lagi? Kau nak macam tu?” soal Azam tenang. Selepas apa yang dilihatnya, dia sudah boleh memahami sebab mengapa Zana mengelak dari bertemu dirinya. Dan dia juga sudah nekad dengan keputusannya.
“Aku bukan keutamaan dalam hidup kau, Zam, jadi, aku tak kisah apa pun kau nak buat, kau buatlah. Cuma, aku harap kau jaga Mak Cik Za baik-baik. Itu aje!” Zana membalas perlahan.
“Betul ni?”
Zana naik angin semula. Dia geram kerana soalan yang sama diulang-ulang oleh Azam kepadanya. “Kenapa dengan kau ni, Zam? Aku cakap aku okey, aku okeylah! Kau nak apa lagi?” marahnya.
“Aku nak dengar kau cakap, kau sayang aku! Aku nak dengar kau cakap, kau tak mahu aku tinggalkan kau lagi! Aku nak dengar kau cakap, kau percaya yang aku masih cinta dan sayangkan kau walaupun sekarang tangan kau tu dah cacat! Aku nak dengar kau cakap, yang kau tahu, selepas 7 tahun aku pergi, aku tetap balik ke sini sebab aku nak jumpa kau, sebab aku masih mengharapkan kau tak kahwin-kahwin dan tetap tunggu aku! Mak memang keutamaan aku, Zana. Dia wanita paling penting dalam hidup aku. Dia dah terima aku balik dalam hidup dia. Tapi, sempurnakah hidup aku kalau kau tak ada di sisi aku, Zana?”
Sungguh romantis Azam menuturkan kata. Terbuai Zana seketika namun...
“Zam, 7 tahun kau boleh hidup tanpa aku!”
“Mana kau tau? Kau tak ada dekat aku, mana kau tau apa yang aku tanggung selama ni?”
Azam melangkah untuk duduk semula di atas sofa, tersenyum melihat ibunya dan Mak Cik Mala yang keresahan.
“Mak, Mak Cik Mala, agak-agak berapa lama masa yang mak dengan mak cik perlukan untuk nikahkan kami berdua?” tanya Azam.
Mak Cik Zaharah dan Mak Cik Mala berbalas renungan. Bila mereka menyedari apa yang Azam cuba sampaikan, masing-masing sudah ketawa riang. Akhirnya, hasrat di hati mereka sejak tujuh tahun yang lepas, dimakbulkan Tuhan. Tidak mereka pedulikan keadaan Zana yang masih keliru. Mereka tahu dan penuh yakin bahawa sekeras manapun hati Zana menolak, Azam pasti dapat melembutkannya. Mereka tahu dan penuh yakin bahawa penantian selama 7 tahun ini bakal berakhir.
“Tiga bulan dari sekarang, boleh kut?” Mak Cik Mala mengenyitkan mata kepada Mak Cik Zaharah menyebabkan wanita itu ketawa mengekeh.
“Alamak! Lamanya! Mana aci, mak cik!” Azam mengerutkan dahi tanda tidak bersetuju.
“Di rumah ni mana ada aci, Zam? Kamu ni... Habis, kalau tiga bulan tu lama sangat, bila?” Mak Cik Mala menyoal bakal menantunya.
Azam tersengih memandang Zana yang sudah duduk di sisi ibunya. Zana tunduk tersipu-sipu malu bila menyedari Azam memerhati dirinya. Rasa serba tidak kena pula.
“Esok boleh tak, mak cik?” Entah macam mana soalan itu yang ditanya. Hati berbunga riang bila Zana turut mentertawakan dirinya.
Aduhai, syukur ya Allah.....          

Ulasan

  1. hohoooo....
    best la crta ni...
    pnuh ngn pngjaran....
    x smua org stia ngn cnta pe lg 7 thun brpsh...
    n x smua llki blh trma kekrngn kte....
    yg cntik dr pujaan...
    tp x smua llki pntgkan ksmpurnaan...
    yg pntg ati 2 iklas...

    BalasPadam
  2. suka cerita ni! ada unsur suspen yang bagus yang membuat kita nak baca, nak baca lagi..bravo kak sofi..memang best!

    BalasPadam
  3. sofi mulakn cite ni dgn kematian..sedih rasanya..sbb lizz br je kehilangan kakak, suami n anaknya dlm kemalangan kereta di Gua Musang..ahad lepas..sedih rasanya..org yg tersayang pergi begitu jer..Lizz baca cite2 sofi utk ubtkan hati yg pilu..best arr cite ni..cuma last part kurang romantik..tmbah sket rayu2..hehe..

    BalasPadam
  4. salam,epi, betul, kan! cinta x kenal cacat atau cantik dsbnya. thanx, nomie sbb awak selalu menyokong kak sofi and to you, lizz, sabar byk2. Allah lebih menyayangi mereka. Kita pun akan ke sana juga nanti. dan ttg adegan romantik tu..hehe, dlm citer lain, boleh kut? cheerio.

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…