apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

27.2.10

Kerana kau

1

“Tak balik lagi, Cikgu Idayu?” Puan Penolong Kanan Petang, Puan Hamidah yang sedang meninjau-ninjau ke dalam bilik guru bertanya.Tanpa menunggu jawapan, wanita itu terus sahaja berlalu menuju ke bahagian belakang bilik.

“Nahaslah! Mesti ada yang tak masuk kelas tu! Padan muka diorang! Berborak sampai lupa pada jadual masing-masing!” Cikgu Nora, guru yang terkenal dengan sikap cakap lepas itu berbisik kepada Idayu. Ketika itu tangannya sibuk mencuit paha cikgu muda yang sedang asyik menyemak buku latihan matematik anak muridnya. 

Idayu memanggung kepala. Waktu itu dia turut melihat Cikgu Alif sedang tergesa-gesa ingin meninggalkan kumpulan guru-guru lelaki yang tadi begitu rancak berbual-bual. Guru-guru yang lain pula mula bersurai, mula tahu mencari arah meja mereka masing-masing untuk membuat semula kerja yang tertangguh tadi.

“Huh! Hebat betul penangan Puan Hamidah tu, kak Nora! Dia datang aje, semua cikgu lelaki habis bercempera. Bagus betul!” Idayu memuji kehebatan wanita berusia 43 tahun itu. Sejak dilantik menjadi Penolong Kanan Petang di SMK Dato’ Maharaja Lela ini kira-kira setahun yang lalu, keadaan disiplin murid-murid petang sudah terkawal dan bertambah baik. Ketegasannya amat digeruni walau dia hanya seorang wanita.

“Kamu sorang aje yang suka dia, Ayu. Yang kagum dengan dia. Sebab kamu dengan dia serupa!” perli Nora.

Idayu mengerutkan keningnya. “Eh, eh! Mana pulak serupa? Dia dah tualah, kak. Ayu ni masih tersangatlah muda berbanding dengan Puan Hamidah tu! Apalah kak Nora ni!” tingkahnya.

“Hisy! Buat-buat tak faham konon!” Satu cubitan hinggap di paha Idayu. 

“Adoi! Apa ni, kak Nora? Sakitlah!” Marah Idayu sambil menyeringai kesakitan. 

“Ngada!” Nora selamba menuduh. Wajah Idayu direnung sebelum menyambung, “Ayu, akak dah lama ngajor kat sekolah ni. Dah dekat 15 tahun. Kalau kamu nak tahu, Cikgu Midah tu dulu macam kamu ni lah. Terlebih rajin! Datang sekolah awal pagi, balik pulak sama dengan cikgu petang. Ngam tau, kamu dengan dia!” 

“Oh, kalau macam tu, dia lebih sikit rajin dari Ayu, kak. Dia datang sekolah tak balik-balik sepanjang hari tapi Ayu tadi dah balik dah. Dia lagi hebat!” balas Idayu selamba.

“Habis tu! Dah kamu duduk di kuarters. Dekat bebenor. Cuba kalau kamu duduk jauh, kat Teluk Intan misalnya. Memang sah, kamu akan jadi macam dia. Berumahtangga kat sekolah ni!” Nora tidak mahu mengalah.

“Amboi, sedap betul mulut tu mengumpat, ya! Dah, malas nak layan kak Nora ni.” 

Idayu kembali memberi perhatian kepada buku yang sedang disemak. Hati kecilnya mengeluh. Kecewa bila melihat soalan semudah yang diberi tidak dijawab oleh anak muridnya. Ada rasa kesal yang menjengah. Kenapakah anak muridnya yang bernama Umi Nadiah ini tidak bertanya seandai apa yang diajarnya tidak difahami? 

Semalam, beria-ia dia bertanya di dalam kelas 5M3 itu. Awak faham tak ni? Faham tak? Wah! Semua anak muridnya menjawab dengan bangga. “Ya, cikgu!” 

Tapi kini? Sakit matanya melihat jawapan mereka. Salah! Salah! Dan salah! Lebih menyakitkan hati, ada di antara mereka yang langsung tidak menjawab soalan itu. Malah ada yang langsung tidak membuat latihan yang diberi. Yang lebih berani pula, tidak mahu menghantar buku kepadanya. Grrrr.......

“Dah mengeluh pulak?”

Idayu segera memandang wajah Nora. Tersenyum. “Kak Nora.....” Panggilnya.

“Apa?”

“Macam mana nak bagi budak-budak ni faham apa yang Ayu ajar, kak?” 

“Kenapa kamu tanya?” kak Nora sudah ketawa.

“Iyalah! Bila dalam kelas, bukan main lagi diorang jawab. Faham, cikgu! Faham, cikgu! Tapi tengoklah ni...hampeh! Susah hati Ayu tengok jawapan macam gini!” Idayu meluahkan perasaan terkilan. “Cakaplah, kak. Kak Nora kan banyak idea?” 

Idayu benar-benar berharap agar Nora mahu memberi sedikit panduan kepadanya. Maklumlah, Nora sudah lama berkhidmat sebagai seorang guru. Tentu sahaja wanita ini mempunyai banyak idea untuk dikongsi dengannya yang baru sahaja tiga tahun menceburi diri dalam dunia pendidikan ini. Wajah Nora ditatap, penuh mengharap.

“Ala, Ayu. Relakslah! Kamu kan ajar kelas 5M3? Kelas tercorot tu? Kelas tu kan, Ayu...Walau datang cikgu dari bulan, atau Mars atau alien sekalipun, tak ada bezanya. Tak akan pandainya! Usahlah kamu risau sangat. Ajar ajelah setakat yang kamu mampu. Sama ada diorang faham atau nak buat homework atau nak lulus ke, gagal ke, jangan peduli! Buat buang karan aje.....”

2

Satu persatu, nama murid kelas 5M3 dipanggilnya. Memang sudah menjadi rutin bagi Idayu akan memanggil nama murid sebelum dia memulakan pengajarannya di dalam kelas. Tujuannya? Pertama, supaya dia dapat mengingat dan mengenali setiap seorang daripada mereka. Kedua, untuk memerangkap mereka yang ponteng kelas. 

Dan hari ini, buat ketiga kalinya, Mohd Lutfi Ibrahim kantoi lagi. Nama ada namun orangnya sudah lenyap! 

Idayu geram sungguh kepada murid yang seorang ini. Terbayang wajah anak muridnya itu. Siapa yang tidak kenal dengannya. Anak penghulu kampung. Anak manja! Remaja yang lupa diri. Ke sana ke mari bergaya dengan motosikal RXZnya. Mempunyai rupa paras yang handsome dan menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan di sekolah itu. Sementelah pula Lutfi sangat aktif bersukan dan dia merupakan kapten pasukan bolasepak bawah 18 tahun sekolah. Menjadi murid kesayangan guru Setiausaha Sukan sekolah, Lutfi merasakan dia tidak perlu berada di dalam kelas untuk belajar. 

Bukan dia tidak memberi amaran. Sudah! Nampaknya Lutfi sengaja mencabar kewibawaannya sebagai seorang guru dengan melarikan diri entah ke mana.

“Cikgu tak nak cari dia?” Amar bertanya sambil tersengih. Dia tahu Cikgu Idayu sedang marah. 

“Kamu tahu ke di mana dia sekarang?” Balas Idayu tenang. Wajah Amar ditenungi tajam. Sengaja mahu menghadirkan rasa gerun pada pelajarnya yang agak malas ini. 

“Tahu! Jom...”

“Tak apa! Cikgu pun tahu kat mana pot dia! Usah risau. Kamu duduk dan buat apa yang cikgu suruh tadi.”

“Tapi, cikgu!”

Idayu membulatkan sepasang matanya. Garang. Amar tidak berani meneruskan. Teringat lagi kepada cubitan yang berbekas di lengan kirinya. Sakit.......!!! Terus dia menyambung kerja yang terbengkalai. Dia tidak mahu didenda lagi oleh cikgu yang terkenal sebagai singa betina ini.

3

“Cikgu tak ada hak menahan saya macam ni.” Bentak Lutfi keras. Sakit hatinya memandang wajah Cikgu Idayu. Entah macam manalah cikgu yang seorang ini tahu di mana untuk mencarinya. Tiba-tiba sahaja, sebelum loceng akhir berbunyi tadi, wajah cikgu ini sudah tersembul di hadapan bilik setor asrama lama, yang selama ini menjadi tempat persembunyian dia dan geng. Kawan-kawannya berjaya melarikan diri. Dia yang sedang mamai kerana terkejut jaga dari tidur yang lena, terus sahaja dibawa ke dalam bilik disiplin. 

Sekarang sudah melewati jam 2.30 petang. Sudah lewat. Perut sudah bernyanyi-nyanyi. Dia lapar. Namun Cikgu Idayu begitu bersahaja meneruskan kerjanya. Entah laporan apa yang sedang disiapkan oleh cikgu comel ni. Fikir dia dalam hati. Tersenyum kecil kerana dalam geram dan rasa marah, dia turut memuji keayuan wajah guru matematiknya ini. 

“Kenapa awak ponteng kelas saya?” 

Tersentak Lutfi mendengar soalan itu. Wajah Idayu ditatap. Dengan selamba dia kemudian menjawab, “Relakslah, cikgu. Bukan waktu cikgu aje yang saya ponteng. Waktu cikgu Karim, cikgu Alan, Cikgu Rosli, diorang tak bising pun!”

Idayu menarik nafas panjang-panjang. Rasa ingin sahaja dia menelan Lutfi hidup-hidup. Sombong betul menjawab soalannya. Macam tidak bersalah sahaja lagaknya.

“Saya memang suka kalau awak tak ada dalam kelas waktu saya mengajar. Tak adalah orang yang asyik menyampuk apa yang saya cakap. Tak adalah orang yang asyik bercakap, bergurau senda entah apa-apa di belakang kelas. Tak adalah orang yang asyik mengusik, membaling roket kertas dan mengganggu tumpuan mereka yang hendak belajar!” Balas Idayu sinis. Wajah Lutfi yang sudah merona merah ditatap. Wajah tampan itu sudah hilang senyumannya. Sudah hilang keceriaannya. Sakit hati mendengar cemuhan Idayu barangkali. 

“Habis tu, buat apa cikgu tangkap saya ni? Sengaja nak memalukan saya, gitu?” tengking Lutfi. Tidak langsung menghormati guru yang sedang memandang dirinya. 

Cikgu Abdul, ketua guru disiplin sudah naik angin. Dia bangun untuk mendapatkan pelajar yang kurang ajar itu. Dia ingin menampar pipi Lutfi namun Idayu menahan. Gelengan kepalanya menghentikan langkah yang Cikgu Abdul ambil.

“Saya cari awak sebab itu tanggungjawab saya sebagai cikgu. Awak mungkin tak tahu apa kesan perbuatan awak. Bagi awak, ponteng kelas tu masalah awak sorang aje. Tapi sebenarnya, bila awak tak ada dalam kelas, saya risau. Buatnya awak sakit perut ke, awak jatuh ke, awak pengsan ke masa awak ponteng tu, apa saya nak jawab pada emak dengan ayah awak?”

“Okey, sekarang cikgu dah nampak saya sihat walafiat. Boleh saya balik?” Lutfi membalas keras. 

Idayu ketawa. Aduhai! Rupa-rupanya, Lutfi tidak langsung faham apa yang dia cuba sampaikan. 

“Ya, hari ini, awak sihat! Esok? Lusa? Awak boleh jamin ke awak akan sihat macam ni selalu?” sindirnya. 

Mata Lutfi terbeliak. Bulat dan mencerlung. “Cakap baik-baik sikit, Cikgu Idayu!” marahnya.

Idayu membetulkan kedudukannya di kerusi. Sengaja mengambil sedikit masa untuk mententeramkan diri yang sudah mula disimbahi api kemarahan.

“Saya bercakap tentang takdir, Lutfi. Qada dan Qadar. Semua manusia perlu percaya padanya. Saya, awak, tak terkecuali. Dengar sini, saya cikgu awak. Tugas saya mengajar awak. Awak suka atau tidak, awak kena ada dalam kelas saya masa saya mengajar Matematik. Kalau awak tak ada, saya mesti cari sebab awak tanggungjawab saya masa itu. Kalau jadi apa-apa pada awak, saya yang kena jawab dengan ibubapa awak, dengan Tuan Pengetua, dengan PPD, dengan JPN, dengan kementerian malah nanti di akhirat saya yang kena jawab dengan Allah SWT. Saya tak mahu masuk Neraka hanya kerana saya mengabaikan amanah yang dah diberikan. Awak faham tak ni?” 

Lutfi ketawa menyindir. “Kenapa cikgu ajar Matematik hah? Cikgu patut jadi ustazah, tahu! Hebat!” 

Cikgu Abdul sudah tidak dapat menahan sabar. Dia bangun lalu menunjal kepala Lutfi ke meja. Dia geram. Tersangat geram! 

“Kamu ni sebijik macam perangai abang kamu, si Firdaus tu. Bila orang bagi nasihat, bukan nak dengar tapi melawan balik. Cakap kamu aje yang betul. Keras kepala! Kepala batu! Nasib baik, abang kamu tu jadi orang jugak! Tapi kamu ni...entahlah! Lagi teruk agaknya?”

Lutfi menjeling tajam. Kalau ikutkan hati, mahu dia melawan balik. Mahu sahaja dia menumbuk muka cikgu Abdul yang menyibuk. Dia sedang bersoal jawab dengan cikgu Idayu, apa kes orang tua itu hendak menyampuk? Suka hati dialah nak buat apa pun dengan cikgu perempuan ni!

“Dahlah, Lutfi. Awak boleh balik. Tapi ingat! Pontenglah berapa kalipun, sebanyak itu jugalah saya akan cari awak. Waktu matematik, awak kena belajar matematik. Bukan ponteng atau tidur atau main-main di tempat lain. Dah, awak boleh pergi sekarang!”

“Terima kasih, cikgu Idayu sayang!”

Idayu mengeluh. Kesal melihat tingkah anak muridnya yang begitu berani mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan kepada seorang guru. Hairan benar dia. Kalau hendak dibandingkan dirinya di zaman persekolahan dahulu, memang jauh berbeza. Dia dulu, usah kata hendak menjawab. Hendak mengangkat muka ketika cikgu marahpun tidak berani. Malah ketika berjalan-jalan pun, kalau terpandang sahaja kelibat guru yang digeruni, terus sahaja melencong ke arah lain. Tidak berani hendak bertembung!

“Kalau dia buat lagi kurang ajar macam gitu, cikgu bagi aje nama dia pada saya. Kita gantung sekolah, dua minggu. Aman nanti kalau dia tak ada.” Cikgu Abdul berkata, mengisi keheningan. 

Idayu hanya mampu tersenyum.

3

“Abang, cuba tengok si Ayu tu. Sejak balik bercuti ni, asyik termenung aje. Entah apa yang dia risaukan tu.” Puan Amla memberitahu suaminya. 

Encik Ahmad memandang ke arah yang ditunjukkan. Anak kesayangan mereka sedang menjuntaikan kaki ke dalam kolam renang. Sedang mengocak-ngocak air agar turut bergelora sebagaimana diri yang tidak tenteram barangkali.

“Tanyalah dia, Amla. Tanya apa yang dia fikir. Ke, dia tengah berkelahi dengan boyfriend. Mana kita tahu?” tukasnya. “Hah, tu dia datang sini. Tanya, jangan tak tanya, tau!”

Idayu tersenyum memandang kedua-dua ayah dan ibu yang sedang berbisik-bisik memandang dirinya. Tentu tengah mengutuk aku le tu, gumamnya di dalam hati.

“Emak dengan abah bisik apa? Mengumpat Ayu ke?” soalnya selamba sambil meneguk air oren yang disedikan pembantu rumah mereka tadi.

“Yang kamu asyik termenung tu, ngapa? Terkenangkan si Azman ke? Sudah-sudahlah Ayu. Dah tak ada jodoh kamu dengan dia. Bersabar ajelah! Itupun, nasib baik kamu dengan dia putus tunang. Kalau dah kahwin terpaksa bercerai-berai, tak ke lagi susah dibuatnya?” Puan Amla berleter. Di dalam kepala, hanya itu yang dapat difikirkan. Kesedihan anak bongsunya ini akibat pertunangan yang terpaksa diputuskan apabila Azman yang sedang menyambung pelajarannya di Universiti of Wales berkahwin dengan gadis yang sama-sama belajar dengannya di sana. 

Idayu menggaru-garu kulit kepala. “Mak, dah setahun dah benda tu berlaku. Ayu pun dah tak ingat lagi dah.” balasnya.

“Habis, yang kamu termenung sana, termenung sini tu?” Puan Amla tidak berpuas hati.

“Teringat anak murid kat kampung.”

“Pulak? Dah jatuh cinta dengan budak mentah ke?” 

Idayu ketawa. “Mak ni..!”

Puan Amla dan Encik Ahmad berbalas senyum. 

“Ayu risaulah, mak! Budak yang sorang ni keras kepala bukan main. Nasihat sudah, pujuk sudah, merayu pun sudah supaya dia tak ponteng kelas Ayu. Tapi semua tak jalan. Dia tetap macam tu jugak. Tinggal Ayu tak belangkung kepala dia aje lagi, tau.” 

Idayu melepaskan geram bila teringatkan Lutfi. Fikirnya setelah dinasihati, Lutfi akan hadir ke kelasnya tetapi tidak. Dia tetap dengan sikap angkuhnya itu. Walau setiap kali Idayu akan mencarinya, membawa dia masuk ke dalam kelas semula, namun kehadiran Lutfi di dalam kelas hanya mengganggu kawan-kawannya yang lain. Kelas akan menjadi semakin hingar. Gelak ketawa dan riuh rendah yang tentunya menyebabkan kelas-kelas di sebelah turut kacau.

“Mak, macam mana mak boleh tahan jadi guru sampai pencen? Sedangkan Ayu ni...”

“Kenapa? Dah nak mengalah? Itulah! Kan dulu mak dah cakap. Fikir habis-habis sebelum ambik jurusan ni. Fikir masak-masak. Apa kamu jawab?”

“Ini cita-cita Ayu sejak kecik!”

“Ingat pun! Kalau dah gitu, buatlah yang terbaik!”

Idayu memandang wajah ibunya dalam-dalam. Sewaktu menjadi cikgu dulu, Puan Amla memang terkenal dengan sifat garangnya. Dia tahu, kerana ibunya adalah gurunya juga. Sepanjang lima tahun di sekolah menengah, Puan Amla menjadi guru tingkatannya. Sesekali terasa lucu juga bila teringat zaman persekolahannya. Sangkanya, bila Cikgu Amla yang mengajar, dia boleh sahaja tidak membuat kerja rumah. Malangnya, dia didenda, sama seperti pelajar yang lain-lain juga. Tidak ada pilih kasih. tidak ada istilah, ‘anak cikgu!’

“Kalau budak tu degil sangat, kamu tampar aje pipi dia. Habis cerita.” Encik Ahmad memberi saranan. 

“Eh awak ni. Ingat boleh nak buat macam tu? Kalau bapak budak tu saman si Ayu ni nanti?” Marah Puan Amla. 

Idayu mula menguntum senyum. “Ayu pun ingat, Ayu nak buat camtu, abah. Ayu dah geram sangat ni. Budak tu ingat dia kebal sangat. Ayu buat apa pun tak lut. Huh, jagalah dia lepas cuti ni nanti.” katanya bersemangat.

Dahi Puan Amla sudah berkerut-kerut. 

“Ikut sangatlah cakap bekas pegawai imigresen ni.” Jelingnya kepada suami. “Ingat, Ayu! Jangan buat tindakan melulu. Nasihatkan aje budak tu. Kalau dia tak dengar apa yang kamu cakap pada dia hari ini, tak apa. Percayalah! Satu hari, bila dia dah besar, dah dewasa, dah matang, dia akan ingat kesungguhan kamu tu. Dia akan ingat segala leteran kamu. Dia akan ingat segala yang kamu cakap pada dia. Waktu tu nanti, dia tetap akan mengucapkan terima kasih pada kamu, walaupun kamu tak ada untuk mendengar ucapan itu.” 

Idayu mengangguk-angguk. Azam baru sudah ditanam. Dia ialah anak Cikgu Amla, Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan tahun 2000. Dia mahu menjadi yang terbaik, seperti ibunya. Dia mahu menjadi guru yang bertanggungjawab, seperti ibunya juga. Yang mendidik, bukan mengajar. Yang membetulkan setiap kesalahan, bukan membiarkan. Yang membimbing, bukan lepas tangan!

4.

“Kita sekarang dah di bulan Mac. Dah tiga bulan kamu di Tingkatan Lima. Sepatutnya, sekarang kamu dah ada jadual mengulangkaji pelajaran kat rumah. Dan seperti yang selalu saya ingatkan pada kamu semua, dalam jadual tu, sediakan ruang selama satu jam selepas balik dari sekolah untuk buat latihan matematik. Ingat, practice makes perfect!” Idayu berbicara dengan penuh ketegasan. 

Sudah tiga bulan dia mengajar kelas 5M3 ini. Daripada 4 kelas matematik yang dipegang, inilah satu-satu kelas yang sering menimbulkan pelbagai masalah kepadanya. Namun masalah itu sudah sedikit berkurang berbanding di bulan Januari dahulu. Sudah ramai yang menunjukkan kesungguhan untuk belajar. Sudah ada yang memberi tumpuan sepenuhnya setiap kali dia mengajar. Buku latihan yang dihantar kepadanya pun sudah banyak yang berjawab. Tidak ada lagi helaian-helaian kosong seperti dahulu. 

Puas? Belum! Idayu belum berpuas hati selagi makhluk Allah yang seorang itu belum mahu berubah. Ya, hanya dia! Hanya Lutfi yang masih lagi keras kepala. Hanya Lutfi yang masih berani melawan. Hanya Lutfi yang masih tidak sedarkan diri!

“Lutfi!” Jerit Idayu ketika dia menghampiri anak muda itu. Dia sebenarnya terkejut dengan apa yang dilihatnya. Patutlah Lutfi tidak menyahut panggilannya. Tekun benar kelihatan dirinya duduk bersendirian di belakang kelas itu. Rupa-rupanya, sedang begitu asyik melihat gambar-gambar tidak senonoh yang pelbagai rupa di dalam sebuah majalah.

Idayu segera merampas majalah itu tanpa sempat dielak oleh Lutfi.

“Cikgu, bagi balik majalah saya tu!” Pinta Lutfi berani.

Idayu mengetap bibir. Hari ini, dia tidak lagi dapat mengawal kesabaran. “Berani awak mintak balik majalah ni? Pang!” Serentak dengan nyaringan suara yang keluar, tangannya terus menampar pipi Lutfi berkali-kali. Kiri dan kanan. 

Tergamam seluruh kelas memerhati. Tidak menyangka guru yang bernama Nur Idayu Fatihah binti Ahmad begitu tega melakukan begitu. Sunyi sepi suasana di dalam kelas. 

“Saya cuba nak jadikan awak seorang manusia, Lutfi. Selama ini saya bersabar, banyak bersabar dengan kerenah awak. Apa aje yang awak buat, saya cuba tahan. Tapi hari ini, saya dah faham. Awak ni dah memang tak boleh ditolong dah! Dah tahap kronik! Dah sakit jiwa. Otak awak tu dah kuning!” Nafas disedut kuat. Dia menyambung lagi, “Now, get out of my class. Jangan masuk langsung dah dalam kelas saya. Saya tak nak tengok muka awak. Saya tak suka awak. Keluar sekarang! Keluar!” 

Dalam amarah, Idayu tahu dia tidak patut melakukan begitu. Dia tahu dia sudah melakukan dua kesalahan sebagai seorang guru. Yang pertama, dia sudah memukul muridnya. Yang kedua, dia menghalau murid keluar sewaktu P & P sedang berjalan di dalam kelas. Memang dia mengaku salah tapi.....

“Cikgu, Lutfi jatuh tangga!” Haikal, Ketua Murid SMK Dato’ Maharaja Lela datang memberitahu dalam keadaan tercungap-cungap. Mungkin pelajar itu berlari dari kelas 5S1 tadi. 

“Apa?” Soal Idayu. Dia benar-benar terkejut. 

“Lutfi! Dia kan keluar dari sini tadi. Dia berlari, cikgu. Sampai kat tangga tu, terus terjatuh!” Terang Haikal untuk menjelaskan apa yang dia nampak tadi.

Idayu bersama-sama dengan anak murid kelas 5M3 segera berlari keluar. Waktu itu sudah ramai yang berkerumun di tangga. Hatinya berdebar-debar. Segala yang cuba dihindar terjadi juga pada dirinya. Segala yang cuba dielak daripada berlaku, berlaku juga. 

“He fell from there. I think his right leg is broken.” Mr Lee yang kebetulan ingin naik menuju ke kelas 5S1 sedang memangku tubuh Lutfi, tubuh yang dalam keadaan sedikit terketar-ketar. Wajah pemuda itu berkerut-kerut menahan sakit. Ada air jernih sedang bertakung di tubir mata. 

5

Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Sudah sebulan kelibat Lutfi tiada dalam kelas 5M3. Suasana aman damai setiap kali dia mengajar kini. Tidak ada lagi usikan-usikan nakal terhadapnya. Tidak ada lagi yang berbual-bula kosong. Masing-masing penuh konsentrasi. 

“Saya bukan mengharap kamu semua dapat A+ masa peperiksaan SPM nanti. Bagi saya, kalau ada di antara kamu ni yang boleh skor A+, itu menunjukkan betapa bersungguh-sungguhnya kamu belajar. Kamu berusaha dengan gigih, tentu tidak mustahil untuk mendapatnya. Tapi, bagi yang tak mampu, kalau kamu boleh skor C pun dah memadai bagi saya. Itu menunjukkan bahawa apa yang cuba saya lakukan untuk kamu selama ini tidak sia-sia. Yang penting, kamu kena ada keyakinan diri.” Begitu berapi-api Idayu menasihatkan anak-anak muridnya.

“Tapi, cikgu...” Amar mencelah.

“Tapi apa?” 

“Ala, macamlah cikgu tak tahu!” 

“Kalau kamu tak cakap, macam mana saya nak tahu, Amar?” soal Idayu tegas.

“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu.” Amar berpantun, disambut derai ketawa teman-teman sekelas. “Cikgu, semua cikgu yang masuk kelas ni dah kutuk kitorang kaw-kaw. Kitorang ni kan ke terkenal bodoh, tongong, bangang, biadap, jahat, bengap bla, bla, bla. Buat menyemak kat sekolah ni aje, kan? Kan?” Hampir seluruh kelas mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan kata-kata Amar itu.

Idayu terharu mendengar kata-kata anak murid yang seolah-olah sudah berputus asa. Sesungguhnya memang tidak dinafikan 5M3 ialah kelas yang paling bermasalah di sekolah itu. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Lutfi. 

Idayu masih teringat kejadian waktu mesyuarat guru kali pertama dahulu. Sewaktu jadual waktu diedarkan. Guru-guru yang dilantik mengajar subjek-subjek di kelas itu telah dianggap sebagai guru-guru yang malang. Idayu salah seorang daripada mereka. 

“Kamu adalah apa yang kamu fikirkan!” 

“Apa, cikgu?” Noraini bertanya.

“Kamu adalah apa yang kamu fikirkan!” Idayu bersuara sedikit kuat. “Kamu faham apa maksudnya?”

Satu kelas menggeleng-gelengkan kepala.

“Mudah aje!”Dia meneruskan. “If you think you are a loser, then you are a loser. If you think you are a quitter, then you are a quitter. If you....”

“..think you can do it, then do it. Don’t ever look back. Terus melangkah ke hadapan sebab sejuta langkah menuju kejayaan dimulakan oleh langkah pertama yang kita ambil.” Lutfi menyambung beria-ia. Dia menguntum senyum kali pertama kepada guru matematik kelasnya, Cikgu Idayu yang ketika ini sedang memandang dirinya tajam. Mungkin Cikgu Idayu masih marahkan dirinya. 

“Saya mintak maaf sebab saya masuk lambat dalam kelas cikgu ni. Tapi sebelum cikgu marah saya, saya nak jelaskan. Saya datang awal hari ini, pertama kali dalam sejarah saya di sekolah menengah. Tapi, kerana banyak sangat masalah disiplin, saya kena jumpa Tuan Pengetua, PKHEM, Cikgu Abdul...tu yang saya lambat masuk. Saya tahu, cikgu tak nak tengok muka saya dah, sebab itu cikgu langsung tak jenguk saya masa di hospital. Tak apa, saya redha. Memang salah saya.”

“Dah habis cakap? Kalau sudah, pergi duduk. Oh ya! Saya dah tukar tempat awak. Awak duduk depan sini sekarang.”

“Aduh! Betul-betul kat depan cikgu ni!” keluh Lutfi perlahan.

“Ha,ah! Senang saya nak luku kepala awak tu bila awak buat silap nanti.” Bersahaja Idayu mengenakan anak muridnya. Semua yang ada ketawa.

6

Jamuan akhir tahun kelas 5M3 diadakan di salah sebuah restoran makanan segera, KFC. Cikgu Idayu salah seorang guru yang dijemput khas pada hari itu. Idayu terpaksa memandu dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan kerana waktu itu, dia sedang bercuti akhir tahun 2009. 

Sebaik melangkah masuk, satu tepukan bergemuruh kedengaran. Murid-murid perempuan segera berlari dan mendakap tubuh guru kesayangan dengan penuh kerinduan. 

“Cikgu makin cantiklah!” kata Murni.

“Iyalah, cikgu nampak seksi!” usik Manohar. Idayu membulatkan mata. 

“Mana cikgu-cikgu lain?” tanya dia. 

“Mana ada, cikgu. Cikgu sorang aje yang sudi datang bila kami jemput. Maklumlah....”

“Iya tak ya, kan. Kamu kan murid paling bangang, paling tongong, paling bengap, paling...”

“Cikgu!” 

“Kamu adalah apa yang kamu fikirkan!” Serentak semua 25 orang murid itu berkata. 

Idayu tersengih. “Kamu ingat lagi?”

“Tentulah, cikgu! Kata-kata cikgu itulah yang membantu kami untuk berubah. InsyaAllah, SMK Dato’ Maharaja Lela pasti akan terkejut menerima keputusan peperiksaan SPM kelas 5M3 pada bulan tiga tahun depan. Betul tak, kawan-kawan?” 

Sekali lagi, kedengaran mereka bersuara serentak, “Betul tu, Lutfi!”

Lutfi menghampiri Cikgu Idayu. Memberikan sejambak bunga mawar merah yang mengelilingi sekuntum bunga mawar putih kepada cikgunya. Hati Idayu berdebar-debar kerana dia memahami maksud yang cuba disampaikan oleh jambangan mawar itu.

Lutfi ketawa kecil melihat wajah cikgunya yang keliru. Dia segera memberitahu, “Bunga tu bukan saya yang bagi, cikgu. Dia yang bagi.” katanya sambil menunjuk ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di suatu sudut. Sebaik Lutfi menunjuk ke arahnya, lelaki itu melangkah mendekati Idayu. Sepasang matanya tidak lepas daripada merenung seraut wajah itu. 

“Cikgu, mari saya kenalkan. Ini abang saya, Ahmad Firdaus Hakimi bin Ibrahim. Seorang jurutera, umur 29 tahun. Masih bujang. Belum berpunya. Dia....”

“Oh, shut up, Lutfi. I can introduce myself, okey!” Perhatian kembali tertumpu kepada Idayu yang kelihatan gugup di hadapannya.

“Hai, assalamualaikum. Saya, Ahmad Firdaus Hakimi bin Ibrahim nak berkenalan dengan awak. No! Actually, saya dah jatuh cinta dengan awak sejak si Lutfi ni jatuh tangga bulan tiga dulu tu. Sewaktu di hospital, tak ada nama lain yang dia puji dan sebut, asyik nama awak sorang, Cikgu Nur Idayu Fatihah binti Ahmad. Cerita dia tentang awak, tentang kesungguhan awak, tentang ketegasan awak buat saya tertarik pada awak. Dan tanpa sedar, saya dah pun jatuh cinta pada awak. Jadi, hari ini, di depan anak murid awak semua ni, saya nak melamar awak menjadi isteri saya. Awak sudi tak?” 

“Lutfi!!!”

“Saya, cikgu.” Lutfi sudah tersengih macam kerang busuk.

“Dia ni ke yang Cikgu Abdul kata dulu tu? Abang awak yang....”

Firdaus ketawa besar. “Iya! Sayalah tu! Hero SMK Dato’ Maharaja Lela tahun 1999. Ingat lagi Cikgu Abdul pada saya, ya?” katanya bangga.

Idayu memandang tepat wajah lelaki bernama Firdaus, yang baru sahaja meluahkan perasaan cinta kepadanya itu. Aduh... Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kan?

“Patutlah perangai adik macam gitu, perangai abang dia lagi macam hantu!” selanya geram. 

Firdaus tersengih. Duduk di sebelah Idayu tanpa dipelawa. Menatap wajah Idayu tanpa segan silu di hadapan murid, eh bekas murid Idayu, yang tersenyum-senyum.

“Kita kahwin, ya?” bisiknya di telinga. Hanya untuk gadis itu.

“Awak, boleh tolong jaga adab tak? Malu saya depan anak murid saya ni.” balas Idayu bersahaja.

“Tak apa, cikgu. Kami faham. Lagipun abang Firdaus baik. Kami sokong dia jadi suami cikgu, tau!” sampuk Amar tetiba. Disetujui ramai kenyataaannya itu. 

“Hisy, tak boleh belah betul le kamu semua ni!” 

7

Kini, bulan Mac sudah menjelang. Tidak lama lagi keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan. Hati Idayu semakin berdebar-debar. Mungkin lebih berdebar dan takut berbanding Amar, Lutfi, Manohar, Chong, Noraini, Murni dan yang lain-lain itu. Cuma, apa yang diharapkannya sebagai seorang guru ialah, keputusan itu nanti setimpal dengan segala usaha dan penat lelah mereka selama ini. 

Oh ya, Idayu dan Firdaus sudah bertunang. InsyaAllah, kalau tiada aral melintang, mereka akan disatukan pada cuti bulan Mei nanti. Itulah jodoh namanya. Marahkan adik, dia mendapat si abang pula. 
..................................

p.s: Cerpen ini ditujukan kepada seluruh kerabat guru di mana juga anda berada, terutama kepada guru-guru baru dan bakal guru. Jadilah pendidik bukan pengajar. Kecemerlangan generasi masa depan adalah hasil didikan guru masa kini.

cheerio.

8 ulasan:

  1. teringat saya pada cikgu Hamidah, cikgu matematik kat Sekolah Men. Mahsuri Langkawi Kedah..cikgu Hamidah, cikgu SRT masa kat Keroh Perak. dua-dua nama sama..mulut..pok, pek, pok, pek..tapi cikgu ini la yang paling saya ingat...thanks cikgu sofi..kat manala saya nak cari cikgu lama saya ni?

    BalasPadam
  2. salam
    terataibungaindah, terima kasih
    nomie, cari di face book, hehe

    BalasPadam
  3. Best..-)
    I like.
    Itulah cabaran nk jd pendidik di zaman moden ni kan.

    BalasPadam
  4. hmm..best3x..tercapai gak hasrat lizz nk suruh sofi buat cite cikgu..hehe..bagus3x..tapi part Lutfi insaf tu sepatutnya lebihkn sket..pelik gak knapa tiba2 dia insaf..knapa dia jadi liar?? mesti ada sebabkan...besar cabaran jadi cikgu dizaman IT ni..yg ptg as a teacher..kita kena kenal murid & fahami mereka..sabar paling utama..

    BalasPadam
  5. kenapa citer nimacam tergantung je..mcm mane dgn result dorang tu?
    tapi apa pun citer ni memang best..

    BalasPadam
  6. tulaa,,sofi jgn buat citer trgantung,,hilang mood nak baca

    BalasPadam
  7. adilah, ni masa awal2 dlu, mmg byk tergantung hehe...

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.