Langkau ke kandungan utama

Kau bukan dia 7


Sejak hari itu, masing-masing cuba mengelakkan diri daripada bertembung. Setiap arahan diberikan oleh Helmi secara bertulis. Setiap dokumen yang telah siap ditaip, Umairah akan meletakkan di atas meja sewaktu Helmi keluar daripada bilik itu. Tiada komunikasi mulut. Tiada pandangan mata bertembung. Diam dan bisu di antara mereka.


Tengah hari itu, Lela datang untuk mengajak Umairah keluar makan bersama-sama dengannya seperti selalu. Pada masa yang sama, Helmi muncul dan menghulurkan kepada Umairah sebuah sampul surat yang tebal. Sudah tentu di dalamnya penuh berisi dengan dokumen-dokumen dan arahan, apa yang perlu Maira lakukan.  


“Saya nak dokumen ini siap sebelum pukul lima!” arah Helmi tegas sebelum berlalu pergi tanpa mempedulikan raut wajah Umairah yang keruh. 


“Garangnya dia! Kenapa?” Lela menyoal penuh hairan. sebaik bayang Helmi hilang.


“Dia memang macam tu dari semenjak aku mula kerja dengan dia. Garang! Cakap lepas! Bossy! Apa yang hendak kau hairankan?” Balas Umairah sambil tangannya ligat mengeluarkan kertas-kertas yang terdapat di dalam sampul surat tadi. Betul jangkaannya. Dia perlu menaip dokumen-dokumen itu. Dia kemudian mengeluh. Terlalu banyak yang perlu ditaip. Terlalu tebal bilangan kertas.


“Cuba kau tengok ni, Lela. Punya banyak yang aku nak kena taip. Kau tengok nota dia bagi! Apa dia tulis? Dia nak semua ini pukul lima karang. ingatnya ku ni robot ke apa? Memang sah, kan? Memang dia tu pembuli! Kau setuju sekarang?” omel Maira sambil menatap wajah Lela dalam-dalam.


“Alah, Maira. Biar dululah. Jom kita pergi makan sekarang." Lela mula mahu meninggalkan bilik, mengharap Umairah membuntutinya. 


"Tak naklah. Malas nak pergi makan, dah hilang mood aku ni. Lainlah kalau kau nak tolong aku nanti? Nak ke? Tolong aku menaip semua ni nanti?" tanya Umairah penuh mengharap. Anak mata temannya ditatap tajam bersama sekuntum senyuman.


Lela tersengih. “Malaslah! Kerja aku kat atas tu pun melambak-lambak, Maira.” 


Umairah ketawa. Jawapan yang sudah diduga, didengari. Kawannya ini memang suka bertangguh kerja, sebab itu kerjanya masih banyak yang belum beres. Umairah pula tidak begitu. Nasib baik! Jika tidak , bagaimana mahu bekerja di bawah Encik Helmi Qusyairi Ali yang cerewet itu?

“Dah agak dah, mesti itu yang kau jawab. Jadi, kan, Lela, baik kau pergi sekarang. Nanti terlewat pulak. Nampaknya memang aku tak dapat nak ikut kau hari ni. Banyak yang aku nak kena buat ni. Pergilah! Cuma, kalau boleh, kalau kau ni betul kawan aku yang baik, kau tolong belikan aku roti kacang merah? Boleh tak?"


Lela tersengih. “Tak habis-habis dengan roti kacang merah dia.” usiknya.


Umairah ketawa.


“Betul, kau tak nak nasi?”


“Tak naklah! Roti kacang merah aje, cukuplah!” Balas Umairah yang kini sudahpun memulakan pergerakan jari-jemarinya yang halus di keypad komputer.
................................
Kesibukannya menaip membuatkan Umairah terlupa bahawa dia tidak makan sejak semalam. Roti yang dibeli oleh Lela tadi dibiarkan tidak berusik. Dia hanya berhenti untuk sembahyang kemudian menyambung kerjanya semula.


Menjelang pukul empat setengah, kepedihan mula dirasakan di ulu hati. Tinggal beberapa helai lagi draf yang ada untuk disiapkan namun kesakitan itu sudah membuatkan tangannya menggeletar.


Kawan-kawannya semua sudah balik. Tinggal dia, di luar, dan Helmi, di dalam bilik itu.


Matanya tertancap pada roti kacang merah. Dengan tangan yang terketar-ketar, dia cuba untuk mengambil roti yang terletak di sudut meja. Ketika ingin membuka plastik pembalut, entah mengapa, susah benar untuk dia mengoyaknya. Kebetulan, pada waktu itu, Helmi melangkah keluar dari biliknya. Dia dapat melihat muka Umairah yang sudah berpeluh-peluh. Wajah itu sedang menahan kesakitan.


“Maira, Maira sakit?” Soalnya sambil menghampiri gadis itu. Ada nada kerisauan terbetik
.
Umairah diam. Hati yang sememangnya sakit semakin menyampah. ‘Buat-buat tanya, konon! Buta ke, apa?’ gumam di hati.


“Maira tak makan ke tengah hari tadi?” Soal Helmi lagi. Tajam sepasang matanya menusuk pandangan.


“Macam mana nak pergi makan? Awak tu bagi kerja yang bertimbun- timbun! pada orang!” Marah Umairah. 


Mana boleh sabar dah? Dari pagi tadi lagi rasa geram ini membungkam. Ada kesempatan begini, hmm, memang Helmi sengaja mencari penyakitlah!


Helmi tersenyum kecil. ‘Maira, Maira. Dalam sakit-sakit pun ada hati nak marah aku!’ bisik di hati.


“Mari sini!” Helmi menarik tangan Umairah untuk masuk ke dalam biliknya. Wanita itu didudukkan di atas sofa. Kemudian, dia pergi ke meja, membuka laci dan menuangkan sebungkus nestum ‘3 in 1’ ke dalam cawan yang berisi air suam.


Dia kembali ke sisi Umairah. Tanpa berkata apa-apa, Umairah dipaksa untuk menelan bancuhan itu. Umairah terpaksa akur. Lagipun, waktu itu, perutnya terasa pedih benar. Bagaimanapun, perut wanita itu sudah dimasuki angin. Meminum nestum menyebabkan dia meloya. Dia rasa ingin muntah. Badannya terasa amat lemah. Dahi sudah memercikkan peluh dingin. Kaki dipaksa untuk melangkah ke arah singki. Dan, akhirnya, Umairah memuntahkan segala-galanya di situ.


Entah bila lelaki itu ada di sisinya, Maira tidak menyedari. Usapan tangan Helmi  di belakang tubuh, membuat dia merasakan dirinya terlalu lemah dan tidak berdaya. 


Saat ini, Umairah rasa seperti ingin menangis. Sedih benar dia bila diberi perhatian yang sudah lama tidak diperolehi daripada seorang lelaki. Namun di dalam hati tertanya-tanya juga, mengapakah Helmi terlalu baik kepadanya hari ini?


“Are you ok?” Suara itu begitu lembut menyapa telinganya. Hati Umairah jadi sayu mendengarnya. Dulu, Amir selalu menggunakan suara selembut itu kepadanya. Suara yang membuat hati bergetar. Suara yng membuat hati semakin sayang. 


Kini, mengapa pula  Helmi harus menggunakannya? Adkah kerana kasihan? Tidak, dia tidak memerlukan simpati. Ketegasan hati menyebabkan Umairah mengelak apabila lelaki itu ingin memimpinnya kembali ke sofa. Dia berjalan perlahan-lahan dan duduk walaupun perutnya masih terasa pedih. 


Helmi merenung diri wanita itu dengan penuh perasaan kasihan. Lama wajah Umairah diperhatikan.


“Apa?” Soal Umairah resah. Dia rimas menjadi perhatian Helmi.


“Dalam sakit-sakit pun, Maira ni masih lagi garang! Abang rasa takut ni, tahu!” Usik Helmi dalam tawa yang terhambur.


Umairah yang kesakitan menarik muka masam. Usikan Helmi membuat dia berasa geram. Sudahlah dia sakit, kini lelaki itu menyindirnya pula Geramnya!


“Maira, lain kali jangan begini, ya! Macam mana banyak pun kerja yang abang bagi, pastikan Maira tak kelam kabut nak menyiapkannya. Pastikan, waktu makan, Maira makan. Memang abang cakap yang abang nak dokumen tu pukul lima, tapi kalau sampai Maira sakit macam ni, buat apa? Nanti apa abang nak jelaskan pada Tuan Haji?”
Helmi cuba memujuk gadis yang sudah kelihatan seperti terguris dengan usikannya tadi.


“Pulak! Tadi masa abang suruh Maira, tak ada pulak abang cakap tak apa, kalau tak siap.” Umairah semakin panas hati.


Helmi ketawa. Dia bangun. 


“Abang nak keluar kejap. Maira baringlah kat sofa ni. Berehat. Pejamkan mata tu. Hilangkan marah. Tenangkan fikiran.”


Umairah mengeluh. Sesungguhnya dia tidak tahu mengapa dia jadi seorang yang perengus apabila dirinya bersama Helmi. Mudah benar lelaki itu menaikkan darahnya. Mudah benar lelaki itu membuat dia rasa tidak selesa. Mudah benar Helmi mengusik perasaannya. Dalam sekelip mata dia rasa ingin ketawa. Semudah itu juga dia rasa ingin menangis. Mengapakah?


Di dalam resah rasa, di dalam teka teki yang tiada jawpan, Umairah akhirnya terlena.


Setengah jam kemudian, Helmi membuka pintu perlahan-lahan. Di tangannya, ada sebungkus bubur nasi untuk Umairah dan sebungkus nasi goreng kampung untuk dirinya. Tadi, dia turun ke tingkat dua untuk membeli makanan itu. Dia juga telah membeli air Hundred Plus untuk mereka.


Memerhati ke arah Umairah yang sedang lena, hatinya terusik. Wajah itu dulu amat ceria. Namun kini, hanya kesedihan dapat dilihat. Hanya kesakitan. Juga keresahan.


Sejak peristiwa tempoh hari, dia telah cuba untuk menjauhkan dirinya daripada wanita ini. Dia cuba mengelak. Dia tidak mahu Umairah merasa tidak selesa. Dia sendiri ingin melupakan keterlanjurannya memarahi.


Marah? Dia terpaksa melakukan. Umairah perlu disedarkan bahawa kematian Amir tidak membunuh jiwanya bersama-sama. Kematian Amir bukan penamat kepada hidupnya juga. Masih ada seseorang yang amat mengharapkan diri wanita itu. Dia! Helmi Qushairi Ali masih memerlukan Umairahnya. Siti Umairah binti Haji Ramli masih didambakan!


Sepuluh tahun dahulu, hidupnya terumbang ambing. Kematian kedua-dua ibu dan ayah amat sulit untuk diterima. Amat sukar untuk dihadapi. Keprihatinan Umairah memberi sinar harapan. Sikap mengambil berat gadis itu terhadap dirinya mengembalikan kebahagiaan. Tanpa sedar, dia akur pada perasaannya. Dia mula jatuh cinta. Jatuh cinta kepada Siti Umairah.


Bagaimanapun, jurang darjat terlalu jauh. Dia segera sedar tentang itu. Rasa rendah diri kerana dia hanyalah anak bekas pemandu, tidak dapat dibuang. Rasa ‘inferiority complex’ amat mencengkam perasaan. Waktu itu diri dirasakan terlalu hina. Waktu itu, diri dirasakan bagai burung pipit. Pastinya tidak layak untuk Umairah, si burung merak. Untuk mengelak, hanya satu cara dilakukan. Dia menjadi pemarah. Dilampiaskan segala kemarahan kepada gadis itu. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Ada-ada sahaja yang ingin dimarahi, ingin dikutuknya sehingga Umairah merajuk.


Akhirnya dia pergi. Membawa diri. Meninggalkan sekeping hati. Hati itu masih dimiliki Umairah. Masih pada wanita itu.


Umairah akhirnya terjaga dengan perut yang terlalu lapar. Dengan perut yang sedang mendendangkan lagu keroncong. Dia ingin makan. Ingin mengalas perut. Arghh, dimanakah dia? Kemanakah lelaki itu pergi? Dia sedang lapar di sini. Apakah Helmi Qushairi tidak peduli? 
Melihat lampu ynag terpasang, dia tahu bahawa agak lama dirinya terlelap.


“Baguslah kalau Maira dah jaga! Dah malam dah ni. Mari makan. Ini ada bubur nasi yang abang beli untuk Maira. Maira makan bubur ni dulu. Nanti kalau rasa lapar lagi, kita pergi makan apa aje yang Maira nak.”


Dan, tangan sasanya itu sudah membukakan bungkusan makanan itu untuk Umairah. Bekas itu dihulurkan kepada wanita itu. “Makan sampai habis!” Pesannya.


Umairah tersenyum. Senyuman yang menggetarkan perasaan Helmi.
Untuk menutupi resah di dada, Helmi membuka bungkusan makanannya. Nasi goreng disuap ke dalam mulut.


Mereka makan dengan berselera. Dengan cepat, Umairah dapat menghabiskan buburnya. Helmi membukakan tin minuman dan menghulurkan kepadanya.


“Terima kasih, abang Helmi.” Bisik Umairah lembut.


“You are welcome. Hmm, betul dah okey ni?" tanya Helmi.


Umairah mengangguk.


"Kalau Maira rasa dah okey, boleh tak tolong siapkan kerja yang abang bagi tadi?”


“Alah...”
Helmi ketawa sambil memicit hidung Umairah. “Please...” pintanya.


“Baik, bos. Untuk balas budi bos, kenalah Maira siapkan jugak dokumen-dokumen tu semua, kan?”
Hampir pukul 10.30 malam, barulah semua dokumen itu siap dan dapat diletakkan di hadapan Helmi.


“Jom abang hantar Maira balik.” Kata Helmi sambil menyimpan dokumen itu ke dalam beg. Dia akan menyemak semuanya di rumah nanti.


“Tak ada orang marah ke?” Umairah mengusik. Namun sebenarnya dia teramat ingin tahu tentang Helmi. Apakah hati lelaki itu sudah dimiliki?


“Kalau dia bukan Maira, abang tak akan jatuh hati punya.” Bisik Helmi di telinga, meninggalkan Umairah terpinga-pinga.


Di muka pintu, Helmi tersengih memandang. “Cik adik, nak balik ke tidak ni?”


Perjalanan diiringi sepi. Hati Umairah masih teringat kepada apa yang Helmi bisikkan kepadanya tadi.


“Kalau dia bukan Maira, abang tak akan jatuh hati punya.”


Apakah yang tersirat di sebalik kata-kata? Apakah yang terkias di sebalik gurauan? Umairah kebingungan.


Di hadapan rumah, Helmi menoleh. Wajah Umairah ditatapi. Penuh asyik. Penuh kasih.


“Abang pergi tinggalkan Kuala Lumpur sepuluh tahun dulu disebabkan Maira. Sekarang, abang balik ke sini jugak kerana Maira. Abang cintakan Maira. Tak pernah ada perempuan lain dalam hati ini. Hanya Maira aje. Maira, satu-satunya!”


“Maira? Tapi Maira isteri orang.”


“Dulu, ya. Memang dulu Maira isteri arwah Amir.” Sengaja Helmi menekankan perkataan arwah itu. Untuk menyedarkan Umairah tentang status dirinya. “Tapi...”


“Tapi, abang bukan dia. Abang bukan Abang Amir. Hati Maira hanya satu dan Maira dah bagi pada dia. Dia dah mati dan dia bawak hati Maira pergi dengan dia. Hati Maira dah tak ada untuk terima abang dah. Sebab abang bukan dia!” Balas Umairah lemah.


Lama Helmi menatap wajah sendu itu. Ingin benar rasa hati untuk memeluk dan memberi ruang berteduh kepada Umairah. Memberi kekuatan untuk terus menghadapi masa depan.


“Abang tahu, abang bukan dia. Abang jugak tahu, abang tak akan dapat menandingi dia dan cinta dia untuk Maira. Tapi Maira perlu faham yang abang perlukan Maira. Perlukan Maira untuk bagi abang peluang menyayangi, menyintai dan memberi kasih sayang yang abang ada ni pada Maira. Hanya untuk Maira.”


Dengan dada yang bergetar hebat, Umairah turun daripada kereta. Kata-kata Helmi mengiringi langkahnya. Pengakuan jujur lelaki itu membelai emosinya. Hati tertanya-tanya, apakah dia perlu memberi lelaki itu peluang? Perlu memberi lelaki itu kesempatan walaupun Helmi Qushairi Ali bukan Amir Asyraf?


Bingung......
Buntu......
Keliru.......

Ulasan

  1. kuatnya kasih maira pada amir..helmi jangan putus asa..chiayok!!!

    BalasPadam
  2. salam.
    nomie, mungkinkah cinta maira hanya satu?

    lawrian, jap eh...tunggu!

    BalasPadam
  3. cikgu sofi...hmm..kesiannya kat helmi..huhuhu

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…