Langkau ke kandungan utama

Abang mekanikku

1
“Woi! Camne ni? Hari dah gelap. Jalan ni pulak dah lengang. Aku takutlah, Aira.” Noli merengek. “Kau ni betul ke dah call mekanik tu? Nape dia tak sampai-sampai lagi ni? Eeiii, kalau aku tahu nak jadi gini, sumpah! Aku tak naik kereta kau ni. Nama aje kereta BMW. Baru lak tu! Tapi tak leh pakai! Rosak! Ada ke patut.....”


“Eh, makcik! Kau boleh tolong aku tak?”


“Tolong?”


“Ha, ah! Tolong diam! Tak habis-habis membebel dari tadi! Pot pet, pot pet! Kau ingat, kau sorang aje yang susah hati? Yang takut? Nape? Aku ni budak jantan ke? Hero?Tak takut mati?”


Aira Syuhada binti Tan Sri Fahmi sudah naik angin. Terkulat-kulat wajah Norlia, sahabat baik yang dipanggil Noli itu dimarahinya. Terus diam, tidak berani membalas. Noli tahu, kalau wajah Aira sudah merona merah, alamatnya ribut taufan akan melanda. Silap haribulan, mahu dia ditinggalkan Aira keseorangan di tepi jalan yang lengang ini nanti.


“Yang uncle Tony ni pun satu. Dah dekat sejam dah, bayang mekanik dia tu pun tak sampai-sampai lagi. Tak kanlah tak tahu nak ke sini, kut?” Aira merungut sendiri sambil memicit-micit nombor telefon lagi.


Mata tetap melingas memerhati sekeliling. Jam sudah lama meninggalkan angka lima. Tidak lama lagi, pukul enam. Lepas tu, malamlah pulak. Takkan nak tersadai kat tepi jalan nak ke Sepang ni? Di dalam hati dia memang mengakui kesilapan diri. Konon hendak cepat?


Selepas puas bermain air di pantai Port Dickson bersama-sama teman sekuliahnya tadi, kini mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Tadi, dia dan Aizat bertaruh, siapa yang lewat sampai di Plaza Tol Sungai Besi, orang itu akan belanja kawan-kawan lain makan di tempat-tempat mewah selama seminggu. Aduh! Nampak gaya, duit elaun untuk bulan ni akan langsai!


“Aira!”


Sepasang mata Aira bulat merenung Noli.


“Aku rasa, kan....”


“Apa?”


Belum sempat Noli hendak menjawab, sebuah motosikal bersama penunggangnya berhenti berhampiran mereka. Noli segera mendekati Aira. Wajahnya pucat. Aira cuba menghimpun nafas. Dia cemas juga namun terpaksa memberanikan diri. Tidak mahu Noli tahu betapa kecut perut dia.


Lelaki itu diperhati penuh asyik. Hmm, tinggi! Bisik di dalam hati. Sebaik visor diangkat dan topi keledar ditanggalkan, melopong kedua-dua gadis itu. Seorang lelaki muda berkulit sawo matang, hidungnya mancung dengan sepasang mata yang kuyu sedang memerhati mereka.


“Aira....”




“Syyy...”


“Smartnya!”


“Syyy...” Aira kemudian memberanikan diri untuk bersuara bila dilihat lelaki itu begitu leka mengeluarkan sesuatu dari peti simpanan motosikalnya. “Eh, awak! Nape awak berhenti kat sini? Awak tengah buat apa tu? Awak nak rompak kami, ya? Mentang-mentang kami perempuan, berdua aje, awak ingat awak boleh apa-apakan kami, huh?”


Ketika lelaki itu menoleh semula ke arah mereka, dia dikejutkan oleh semburan lada hitam yang selama ini Aira simpan dalam beg tangannya untuk kegunaan di waktu-waktu kecemasan seperti ini.


Lelaki itu menjerit kecil. “Woi!” Mata segera terpejam. Pedih, hangat, pijar...... serta merta terasa. “Cepat ambik air! Aku nak basuh muka ni!”


“Ewah! Ada hati lak nak suruh-suruh kita?” Aira menyindir.


Adham Faiz geram.


“Awak! Kalau awak tak ambikkan saya air, saya tak baiki kereta awak ni, tau! Biar padan muka awak berdua. Tidur kat tepi jalan ni! Silap-silap kena seret ngan orang jahat ke dalam hutan tu. Tahu-tahu, esok masuk headline:”DUA MAYAT DIJUMPAI, MATI DISYAKI DIR.....”


“Woi! Cakap elok-elok sikitlah!” Marah Aira sambil membukakan botol air. “Tadah tangan tu! Ni air!”


Sebaik Faiz mendapat penglihatannya semula, dia menatap wajah kedua-dua orang gadis itu seperti hendak menelan. Marahnya masih bersisa.


“Bukan nak tanya ke, apa ke. Terus aje menerkam. Memang betullah kata orang. Fikiran orang perempuan ni memang cetek!” Perli dia. Tanpa menunggu reaksi Aira dan Noli, dia terus sahaja membuka bonet kereta.


“Cuba start!” Perintahnya.


Bencinya! Asyik memerintah orang macam dia tu tuan besar! Berlagak betul! Eeii, sakitnya hati.


Setelah hampir lima belas minit, akhirnya, Faiz menemui punca kerosakan kepada kereta Aira. Rupa-rupanya, salah satu plag sudah tercabut.


“Macam mana boleh jadi gini? Awak tak pernah tengok enjin kereta ni langsung, ke?” soal dia selepas membetulkan apa yang patut.


“Itu bukan kerja saya. Itu kerja mekanik macam awaklah!” sindir Aira.


Sombongnya anak orang kaya ni, fikir Adham Faiz.


“Berapa?” soal Aira sambil mengeluarkan dompetnya.


“Aku bukan cashier. Kau pergi bayar pada uncle Tony esok!” Selamba Faiz menjawab. Dia sudahpun memakai helmetnya semula. Enjin motosikal LCnya sudah dihidupkan. Tanpa pamitan, gadis-gadis itu ditinggalkan.


2
“Awak ni tak ada kerja lain ke selain melangut kat sini, hah?” soal Adham Faiz geram. Sudah seminggu gadis bernama Aira Syuhada itu menjadikan bengkel uncle Tony ini rumah keduanya. Malah, dia rela menjadi penyambut tetamu sukarela, pekerja tanpa gaji yang tentunya amat menggembirakan hati taukeh bengkel yang kedekut itu.  


“Selagi awak tak setuju temankan Aira gi parti tu, selagi itulah awak akan tengok muka Aira hari-hari kat sini.” Aira membalas.


Adham Faiz sudah bercekak pinggang.


“Mentang-mentang kau ni lahir kat England, aku cakap Melayu dengan kau pun kau tak faham, ya?”


Aira tersengih. Dalam hati menguntum harapan. Faiz, Faiz.. kata tak suka kat aku, tapi selidik jugak latar belakang aku nih! Tahu jugak dia kat mana aku lahir, hehe!


“Wei, aku ni bukan pakwe kau, tahu!”


“Belum lagi, itu aje. Nanti kalau awak ikut Aira gi parti tu, semua orang tahulah awak boyfriend Aira.” Manja Aira bersuara. Menggoda sungguh. Namun mengapa Faiz semakin merah padam mukanya? Mengapa jelas kelihatan dia tidak menyukainya?


“Kau ni buat aku pening! Eh, nak kata kau buta, tidak! Nak kata kau ni pekak? Tidak juga! Tapi kenapalah kau ni tak mahu faham-faham, hah? Kenapa tak mahu faham yang aku tak suka kau? Kenapa tak mahu faham yang aku paling benci dengan sikap anak orang kaya macam kau ni? Sombong! Mengada-ngada! Pentingkan diri! Kau ingat kau ni cantik sangat ke? Kau ingat bila kau petik jari aje, semua lelaki akan datang melutut kat kaki kau? Hei pergi balik! Pergi cari jantan lain, k! Bukan aku!”


Aira Syuhada menangis. Masih lagi menangis walau sudah hampir sebulan bengkel itu ditinggalkan dalam keadaan malu yang teramat. Semua mata tertumpu kepadanya. Semua orang mencebik ke arahnya. Mengapa? Salahkah dia jatuh cinta? Ya, dia sudah jatuh cinta kepada lelaki yang bernama Adham Faiz bin Hanafi itu. Dia sukakan ketegasan sikap. Dia sukakan ketampanan wajah. Dia sukakan segala-gala tentang diri lelaki itu. Salahkah? Mengapa Faiz tidak mengerti? Mengapa Faiz bencikan dia?


3
“Kenapa menung tu, Faiz?” Puan Mahani menyoal anak lelaki yang baru sampai dari tempat kerja. Secawan air teh dihulurkan. “Isy, minum tu cuba perlahan-lahan sikit!” tegurnya.


Tiada reaksi daripada anak yang selalu ceria. Risau hati seorang ibu memerhati perubahan yang amat ketara terjadi kepada anak keduanya yang berumur 26 tahun itu.


“Faiz, kamu ni ada masalah, ya. Cuba cerita sikit pada ibu.” Paha anak lelaki ditepuk untuk mengembalikan Adham Faiz ke alam nyata.


“Aira masuk hospital, bu.” Desah Faiz, tanpa menyedari dia sudah menyebut nama itu. Nama gadis yang mengganggu kehidupannya sejak dua menjak ini.


“Siapa Aira tu?”


“Hah?” Adham Faiz tersedar. Adui! Macam mana boleh tersasul ni? Gelabahlah pulak!


“Cakaplah! Beritahu ibu. Siapa Aira tu?”


Tiba-tiba wajah mendung bertukar riang. Berkat jumpa ibu, kut? Desis di hati. Mungkin selepas sekian lama berfikir, menimbang buruk dan baik, ditambah pula dengan rasa kasihan yang membuak-buak kepada anak Tan Sri Fahmi tu, dia akhirnya menemui jalan untuk menguji isi hati Aira terhadap dirinya. Tiba-tiba sahaja, pipi ibu dicium bertalu-talu.


“Esok, Faiz bawak dia jumpa ibu, ya. Sekarang Faiz nak pergi lawat dia kat hospital tu.” Sebelum berlalu pergi, dia berpesan, “Ibu, beritahu kat Jee ngan Yani, esok ada orang nak tumpang bilik diorang. Faiz pergi dulu.  Assalamualaikum, ibu!”


“Waalaikumsalam.” Balas Puan Mahani sambil tersenyum memerhati Faiz dan motosikalnya sehingga hilang daripada pandangan mata.


4
“Assalamualaikum, kak Aira.”


Mata Aira membuntang memerhati sebarisan kanak-kanak yang berdiri di hadapannya. Ada enam orang kesemuanya, berumur dalam lingkungan 5 tahun hingga 19 tahun. Siapakah mereka ini?


“Kenalkan adik-adik saya, Aira.”


Dengan suara yang tegas, Faiz memerintah setiap seorang memperkenalkan diri.


“Nama adik, Burhan. Umur 5 tahun. Panggil Bob aje.”


“Saya Yani, kak. Umur 8 tahun.”


“Saya pulak Ahmad. Panggil Mad, tau!”


“Azizan nama saya, panggil Ojan.Umur 14 tahun, belum berpunya....Adui!”


Aira tergelak kecil melihat Ojan yang kesakitan bila telinganya dipulas oleh Faiz.


“Nama saya Fauziah, kak. Panggil Jee. Nanti, akak tidur bilik Jee tau! Bilik angah kat hujung tu, akak tak boleh masuk lagi....”


“Jee!”


“Ala...angah jugak yang cakap kak Aira ni bakal....”


Adham Faiz sudah menekup mulut adiknya sambil merenung wajah Aira Syuhada yang girang. Berbeza sungguh wajah itu berbanding ketika dia pergi melawatnya di hospital semalam.


Semalam, wajah itu pucat lesi. Tidak bermaya langsung. Mungkin kerana itulah Tan Sri Fahmi dan isterinya, Puan Sri Idayu sanggup datang menemuinya di bengkel. Sanggup melakukan apa sahaja agar Adham Faiz mahu menerima Aira dalam hidupnya. Pelbagai janji ditaburkan demi Aira Syuhada.


Faiz sendiri tidak tahu apakah yang Aira pandang pada dirinya. Layanannya? Kasar, tidak romantis langsung! Bicaranya? Sesedap mulut sahaja.


Aira mengaku mencintainya. Terkesima dirinya mendengar pengakuan itu. Antara percaya dengan tidak. Puas dia berbahas, menolak segala kemungkinan, namun Aira tetap dengan pendiriannya. Cinta gadis itu hanya milik seorang Adham Faiz.
Akhirnya, dia mahukan Aira membuktikan cinta yang sungguh-sungguh dipertahankan. Faiz meminta Aira tinggal di rumahnya selama seminggu. Rumah usang yang masih dalam kategori rumah setinggan di pinggir bandaraya, yang  jauh berbeza dengan mahligai keluarga Aira di Bangsar.


Dia ingin menguji! Dapatkah Aira mempertahankan cinta yang kononnya begitu banyak untuk dirinya seorang. Memang caranya pelik, malah ibunya sendiri tidak menyetujui apa yang dilakukannya ini. Namun Adham Faiz berdegil. Bagi dirinya, kalau benar Aira cintakan dirinya, Aira perlu terlebih dahulu menyayangi ibu dan adik-adiknya yang seramai enam orang itu. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia tidak mahu menjadi seperti along!


Along Hamdan jatuh cinta kepada anak seorang hartawan. Bapa gadis itu memiliki perniagaan bernilai jutaan ringgit. Gadis itu bernama Anita. Along bekerja sebagai jurutera di syarikat milik bapa Anita. Selepas bercinta mereka berkahwin. Tiada sambutan di pihak pengantin lelaki kerana pihak perempuan tidak mahu mendapat malu jika diketahui siapakah keluarga jurutera Hamdan itu. Ertinya, sehingga hari ini, selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga along Hamdan dan isterinya langsung tidak pernah menjenguk mereka. Ibu tidak pernah kenal menantu sulungnya. Malah ibu sudah kehilangan anak sulungnya juga.


Adham Faiz tidak mahu peristiwa itu berulang. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Lagi pula tanggung jawabnya yang besar terhadap keluarga masih ada. Dia masih perlu menyara hidup adik-adiknya. Walau ibunya mendapat pencen arwah ayah yang bekerja sebagai polis, berapa sangatlah wang pencen itu untuk menampung hidup di Kuala Lumpur, kota metropolitan ini?          


“Angah, Akob belum kenalkan diri lagi!”


Faiz  terkejut. Terkedu melihat Akob yang berumur 14 tahun, kembar si Ojan, berjalan menghampiri Aira.


“Nama Yaacob, tapi diorang ni sume panggil Akob aje. Akak pun boleh panggil Akob dengan syarat akak pergi ke dapur sekarang, tolong ibu sediakan makan tengah hari kitorang. Ingat, tolong tahu! Bukan tengok aje. Tahulah akak tu anak orang kaya, tapi kalau akak nak kahwin ngan angah, akak kena biasakan diri hidup susah ngan kitorang. Tak boleh buat perangai macam orang kaya kat sini, okey. Manja manja, tak mainlah!”


Bulat mata Aira mendengar ceramah tanpa bayaran yang Yaacob sampaikan. Ingin meminta simpati daripada Faiz namun Faiz menjungkitkan bahu. Kerana geram, dia berdiri tegak, membetulkan bahu sebelum berlalu dengan megah ke dapur. Menoleh ke belakang, dia dapat melihat kesemua adik beradik itu membuat ‘high five’ masing-masing. Menyedari Aira memerhati, mereka segera berkalih, seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi.  


5
“Bangun!” Jerit Yani di telinga Aira. Aira segera duduk. Masih dalam keadaan separuh sedar.


“Kak cik, malaslah dia ni! Tengoklah! Dah duduk tapi mata tu masih tutup lagi. Geramnya!”


Jee turut ketawa melihat keadaan Aira. Dia mengenyit mata kepada Yani. “Jom!”


Rupa-rupanya, mereka pergi mengambil cebok berisi air untuk disiramkan ke tubuh Aira. Menggigil gadis itu kesejukan bila disimbah.


“Hoi, apa ni!” Marah Aira yang sudah basah lencun.


“Sape suruh tak jaga bila kitorang gerak?” Balas Yani selamba.


“Ala, akak letihlah!”


Sesungguhnya dia amat letih. Sepanjang tiga hari di sini, macam-macam yang terpaksa dilakukan. Tubuh manjanya sudah tidak mampu lagi menerima namun kerana rasa cinta ini dia teruskan juga menghadapi kerenah bakal adik ipar yang berbagai-bagai.


Baru hendak menolong Ojan, sudah dipanggil oleh Akob pula. Baru hendak buat air untuk Yani, sudah diperintah oleh Bob pula. Memang dia tidak ada masa rehat langsung. Renungan penuh simpati Puan Mahani sahaja yang meringankan beban yang ditanggung.


Hendak diharap kepada Adham Faiz? Huh! Lebih baik minta tolong dengan monyet. Lelaki itu sama seperti adik-adiknya juga. Bila di rumah, macam-macam pintanya. Malah sikapnya lebih teruk lagi kalau hendak dibandingkan dengan mereka. Adakah patut,  Aira disuruh membasuh seluar-seluarnya yang hitam terkena minyak sehingga putih bersih! Gila! Pergi hantar dobilah!


“Kak Aira, bangunlah! Angah dah nak gi kerja tu. Sape nak bancuh air kopi dia dalam bekas. Nanti dia marah, padan muka akak!”


Mendengar perkataan marah, Aira bingkas bangun. Meluru ke dapur, untuk menyediakan bekal kepada buah hatinya. Namun Adham sudah bersiap untuk pergi. Demi melihatnya, lelaki itu menyindir, “Baru bangun, tuan puteri? Kenapa? Baru tiga hari dah tak tahan dah? Dahlah muncul kat depan saya macam gitu! Awak lupa ke syarat-syarat yang saya dah tetapkan, hah? Tak faham-faham ke yang kalau awak nak duduk kat sini, awak kena selalu menutup aurat. Lupa?”


Aira segera mencapai tuala yang tersidai di tepi pintu untuk menutup rambutnya.


“Sorry, okey. Aira tak sengaja. Lagipun, Aira letihlah! ” balasnya.


“Kalau awak nak balik, telefon aje ayah awak. Nanti tentu dia hantar driver dia datang ambik awak, k.” Tukas Faiz.


Aira naik angin. “Awak ni tak adil, tau! Aira bangun lewat sikit aje, dah nak marah-marah. Taulah Aira salah tapi janganlah herdik Aira macamlah Aira tak ada harga diri. Benci awak!” balasnya lantas berlalu ke bilik. Dia ingin menangis di situ.


6
“Adham Faiz!” 


Langkah terhenti mendengar suara ibu yang tegas. Serta merta wajah Puan Mahani ditatap. Wajah yang tiba-tiba bertukar menjadi garang seperti seekor singa betina.


“Duduk!”


“Ibu! Faiz dah lewat ni.” Adham Faiz cuba mengelak daripada disoal siasat oleh ibunya.


“Jangan nak mengelak.”


Alamak, kantoi........Faiz terus duduk kerana dia tahu tidak guna dia berbalah dengan ibunya. Dia tidak akan menang.


Puan Mahani merenung anak lelakinya yang gelisah.


“Faiz, ibu nak kamu hantar Aira balik ke rumah dia hari ini. Ibu rasa dah cukuplah apa yang kamu dengan adik-adik kamu buat pada dia. Ibu kesian pada budak tu. Jangan dera dia lagi. Cakap dengan dia baik-baik. Beritahu dia apa yang kamu rasa.”


Faiz mengerutkan dahi. Eh, tak kan nak berterus terang tentang perasaan dia pulak?


“Kamu suka dia, kan?”


“Mana ada, bu?” balasnya sambil mengulum senyum.


“Kalau macam tu lagi senang. Kamu hantar aje dia balik. Cakap dengan si Aira tu yang kamu berdua tak sekufu. Tak ngam. Tak padan. Suruh dia lupakan kamu. Dan kamu pun, cuba lupakan dia.” 


“Tapi, bu...”


“Ha, tahu pun rasa serba salah, kan? Habis tu, kenapa garang sangat kamu ni dengan si Aira tu? Belum kahwin lagi, dah tak tahu nak menunjukkan kasih sayang. Kalau dah kahwin nanti macam mana pulak?” tanya Puan Mahani.


Adham Faiz tersengih. “Dah kahwin nanti, tahulah Faiz, bu!” balasnya.


“Faiz, ibu tahu apa dalam kepala kamu tu. Kamu takut Aira tu sama perangai macam bini along kamu, kan?” Wajah Faiz mula keruh. “Faiz, Aira tu bukannya Anita. Kalau sikap diorang sama, tak mahunya dia jejak kaki kat rumah kita ni. Tapi tengoklah, dia sanggup buat apa aje. Kenapa tu? Sebab dia sayang kamu. Kalau itu pun kamu tak tahu nak hargai, hai, entahlah. Tak tahulah apa ibu nak cakap lagi.”


Di sebalik langsir, Aira Syuhada yang mendengar, tersedu sedan. Pujukan Puan Mahani terhadap Adham Faiz membuat dia rasa terharu.


“Aira?”  Puan Mahani memanggil.


Aira menunjukkan diri. Dia sudah siap berpakaian. Baju kurung yang dipakai nampak semakin anggun dengan tudung warna biru yang menutupi rambut.


“Awak nak ke mana?” Faiz yang kebingungan melihat cara Aira berpakaian bertanya.


“Kan awak suruh saya balik? Saya nak baliklah ni. Saya dah telefon Pak Saad, dah. Kejap lagi dia sampai.” Jawab Aira tenang.   


7
Sudah tiga tahun Aira Syuhada hilang daripada pandangan mata. Perpisahan yang terjadi amat menyeksakan jiwa lelakinya. Penangan cinta Aira membuat dia kehilangan. Tidak bermaya. Tidak berjiwa.


Dia tidak lagi bekerja di bengkel uncle Tony. Dia sudah ada bengkelnya sendiri yang beroperasi di Shah Alam. Satu-satunya bengkel anak Melayu yang mempunyai ramai pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kakitangannya seramai lapan orangpun kadang-kadang terpaksa bekerja sehingga larut malam untuk menyiapkan kereta pelanggan mereka.


“Assalamualaikum. Encik, kereta saya meragamlah kat hujung jalan sana. Boleh tak encik tolong tengok-tengokkan?”


Suara lembut seorang wanita menyapa telinganya yang sedang leka berada di bawah kereta Waja milik seorang klien. Dia segera menolak dirinya keluar. Hampir sahaja dia melanggar kaki perempuan itu kalau tidak dielak.


“Hisy, sikap kasar awak ni tak berubah-ubah dari dulu. Bila entah nak jadi lembut sikit, tak tahulah!” Perempuan itu membebel.


Adham Faiz mengukir senyum. Semakin lama semakin melebar. Wajah suramnya bercahaya. Suara yang dirindu selama bertahun-tahun kini didengari semula.


Kini mereka saling berhadapan. Saling berpandangan. Mata merenung antara satu sama lain penuh kerinduan. Tidak perlu berkata-kata kerana masing-masing sudah tahu bahawa Aira tidak akan kembali kalau cinta itu sudah hilang dari hati.


“Wei...abang Faiz senyum. Cepat, cepat! Tangkap gambar dia! Bukan senang nak snap muka dia yang ceria tu. Hehe!”


Usikan Akob tidak dipedulikan. Yang penting, Aira Syuhada ada di hadapannya kini.


8
“Terima kasih sebab awak masih sudi balik cari saya, Aira.” Bisiknya mesra.


“Habis tu? Nak harapkan awak cari saya? Mati beraganlah jawabnya.” Aira mencebik.


“Saya rindu awak, Aira. Kalau awak tak cari saya pun, saya tetap nak ke rumah awak hari ni. Puan Sri bagi tahu saya yang awak nak balik. Saya dah rancang nak gi rumah awak dengan famili saya. Nak pinang awak malam ni.” Faiz memberitahu.


“Semua orang dah ada kat rumah masa saya sampai tadi. Cuma awak ngan Akob aje yang masih dekat sini.” Balas Aira.


Dahi Faiz berkerut. Jelas dia tidak memahami apa-apa.


“Slow betul bakal suami aku ni.” Aira mengusik. Diri didekatkan sehingga Faiz dapat menghidu haruman Mediterranean yang dipakai. “Malam ni kita nikah. Tak kan itu pun awak tak ingat. Berapa tarikh hari ni?”


“20 haribu..” Faiz menampar dahi. “Maaf, sayang. Saya betul-betul lupa.”      


“Alamak..dia panggil sayanglah! Hmm, Tak boleh lagi panggil macam gitu. Kita belum kahwin, k. Dah. Jom balik. Nanti bising pulak diorang kat rumah.”


“Kata tadi, kereta rosak?”


“Encik Adham Faiz Hanafi! Awak ni bendul ke apa? Nama aje ada Ijazah Sarjana Muda Bidang Automatif, tapi taktik nak mengorat pun tak tahu! Bencilah!” Aira bergerak semakin pantas ke arah kereta BMW kesayangannya. Kereta yang memulakan detik percintaan mereka.


“Sayang, tunggu abang!”


Aira Syuhada tersengih. Akhirnya.... Adham Faiz menerima cinta yang dihulur. Betapa bahagia.
......................................
p.s: cerita ini hanya rekaan semata-mata, untuk menghiburkan dan pada masa sama untuk mengingatkan diri kita bahawa darjat, harta dan kedudukan bukan ukuran bahagia, k. macam biasa, tentu sahaja sofi inginkan komen anda, ya.
cheerio.   

Ulasan

  1. comey jer cite nyer,,,

    hehehe,,,

    BalasPadam
  2. best!!sweet jek..hek3..

    BalasPadam
  3. alaahhaiii..
    comel gila...
    suke ngn karektor aira nieh..
    karektor faiz pon 4 bintang la..
    suke gila..
    best2...

    BalasPadam
  4. best2.. da leme ckg sofi x wat cerpen kan?

    BalasPadam
  5. Best..Best.walaupun ringkas jer cerita nie..

    BalasPadam
  6. huhuhu..
    akhirnyaaaa

    BalasPadam
  7. hohohooh....
    best la crta ni...
    sweet...
    btul kta cikgu sofi...
    cnta x mngenal pras rupa or hrta bnd...
    x smua org kaya smbong, depend la pd indvidu...
    kte di sisi allah sma je...
    x ada yg brbza hnya amlan yg mbezakan...

    BalasPadam
  8. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  9. thanks sufi...
    cenyum jer bc cerpen ni..

    BalasPadam
  10. kelakar cite ini:P ego lagi..hehehe

    BalasPadam
  11. hohohohoho!! mesti best perwatakkan adham neh.... heheh.. ske2!!

    BalasPadam
  12. comelnya.. dr siang td jd silent reader.. ni baru nk bagi komen. slalunya, klau ada 1 jd penulis, plot citer tu lebih kurang sama. tp, k.sofi ni mmg lain la. terbaik!!

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…