41 - air mata dan tangisan

Menjalani hidup ini bukan mudah. Onak duri yang dipijak, kalau tidak selalupun, sesekali tertusuk, aduh makkkk, amat menyakitkan! Kadang-kadang, kita tertawa besar hari ini. Namun tahu-tahu? Esoknya, air mata berderaian tanpa henti. Sesekali, hati kita membentak melihat kemungkaran yang dilakukan oleh orang lain. Tiba-tiba? Ahli keluarga kita sendiri melakukannya! Membuat kita termangu! Terpana!
Hari ini, aku ingin berkongsi dua buah cerita dengan anda semua.
Cerita pertama:
Kisah seorang isteri. Aku namakan dia Z. Z menghormati suaminya. Mematuhi, menyayangi, seperti sewajarnya seorang isteri melakukan. Sikap Z tidak pernah berubah walaupun dia terpaksa berkorban wang ringgit, segala, apabila si suami tidak lagi bekerja. Bagi dirinya, meski suami tidak memberikan dirinya kemewahan seperti lelaki-lelaki lain terhadap anak isteri mereka namun ketulusan suami membantu dirinya membuat kerja-kerja rumah (sewaktu Z pergi keluar bekerja) amat dihargai.
Tapi janganlah anda fikir Z terlalu baik. Tidak! Dia manusia biasa juga. Sesekali, bila keadaan kewangan mereka terdesak, hatinya pasti memberontak. Pasti ada rasa kecewa apabila melihat kawan-kawan sekerja sentiasa menukar baju baru. Sedangkan dia? Nak salin setahun sekali pun payah. Sewaktu-waktu, pasti hati kecilnya merintih bila terpaksa berfikir berkali-kali (bukan 2, bukan 3 malah ratusan kali) untuk melakukan sesuatu yang disukai demi mengenangi keperluan anak-anak yang terpaksa didahulukan melebihi keperluan sendiri.
Ibunya pernah mengatakan Z ni bodoh. Pernah mengatakan dirinya seperti seekor lembu yang dicucuk hidung. Pernah marah kerana Z tidak mahu meninggalkan suami. Pernah berdoa begini! “Semoga hidup kau tidak selamat dunia akhirat, Z!”
Lantas....bila siibu sudah tiada (sudah meninggal dunia) dan diri serta kehidupannya masih begitu, hati kecil Z sering tertanya-tanya...Adakah doa ibu sudah Allah makbulkan? Apakah hidupnya ini akan kesempitan begini sehingga ke akhir hayat? Apakah besar benar dosanya kerana tidak mendengar nasihat ibu? Apakah satu kesalahan bila dia, Z,  lebih mengutamakan suami dalam hidupnya? Sampai hari ini, Z masih tidak bertemu dengan jawapannya.
Cerita kedua:
Kisah seorang isteri juga. Seorang isteri yang sudah tidak sanggup lagi hidup bersama suaminya. Seorang isteri yang mahukan suami menceraikannya. Seorang isteri yang menganggap rumahtangga yang dibina tidak ada apa-apa makna lagi. Alasan? Dia sudah benci. Sudah tidak ada persefahaman lagi. Aku namakan siisteri ini sebagai A.
A punya ramai adik beradik. Dari awal, mereka tidak mahu perceraian berlaku. Mereka sayangkan dia. Sayang juga kepada adik/abang ipar mereka. Namun bagaikan pantun di bawah....
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.....
Entahlah...A tidak mengaku dia punya kekasih baru. Katanya, itu semua fitnah. Merosakkan nama baiknya. Namun bukti terlalu nyata. Masakan menuduh sedangkan air yang ditepuk di dulang, pasti terpercik ke muka sendiri. Yang mengguris hati, A bukan sahaja membuang adik, kakak, abang mahu pun saudara mara, malah dia turut meminggirkan ayah (nasib baik ibu sudah meninggal, jika tidak, akan dibuang jugakah?)
Ayah, dulu seorang yang memang terkenal dengan sikap panas barannya. Kalau dulu, pasti tiada maaf bagimu. Namun...kini, dengan anak perempuannya ini, dengan A, marahnya sekejap cuma. Malah, sejak kebelakangan ini, hari-hari, dia akan menunggu si A di suatu tempat. (Ayah sering ke kedai Pakcik I setiap pagi. Dia tahu, A tidak akan balik ke rumah. Jadi dia berharap akan menemui A di situ) Rindukah menyebabkan ayah menanti A setiap pagi? Atau kasih sayangnya bagai lautan tidak bertepi? Setahu aku, ayah tidak pernah marah, menyumpah, mengutuk segala perbuatan A. Aku insaf bila ayah berkata dia selalu mendoakan agar A kembali ke pnangkuan Nya (Ilahi)  
Teman,
Kata orang, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah berkorban nyawa.
Tapi, kalau aku diberi pilihan...aku lebih rela mempunyai ayah seperti ayah A berbanding menjadi anak kepada ibu si Z.
Aku selalu mengingatkan diri ini supaya sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anakku. Aku selalu meminta kepada Tuhan supaya walau ketika marahku, tidak ada perkataan-perkataan yang mengguris akan terkeluar daripada bibir ini terhadap mereka. Kerana aku dapat menyelami betapa tergurisnya sekeping hati Z dengan perbuatan ibunya. Betapa, walau sudah bertahun-tahun peristiwa itu berlaku, ia masih menghantui, masih terkesan di hati. Aku tidak mahu anak-anak aku nanti menjadi seperti Z, menyimpan sekelumit ketidakpuasan hati terhadap aku, ibu mereka!
Kalau A membaca luahanku ini, aku ingin merayu agar dia pergi mencari ayah. Tidak perlu meminta maaf! Tidak perlu meminta ampun! Cuma pergi jumpa! Bencilah yang lain-lain tapi jangan benci ayah! Marahlah yang lain-lain, jangan marah ayah. Ubatilah rindunya. Damaikan hatinya. Sengketa adik beradik, jangan sampai ayah yang tua menjadi mangsa. Ingatlah! Umur ayah sudah menjangkau 70 tahun. Sudahlah tidak berbakti kepadanya, apakah akan dibiarkan sisa-sisa hidupnya ini di dalam tangisan?
Ya Allah, ampuni kami....        

Ulasan

  1. tanpa ayah kte x akn lahir ke dunia...
    syngila ayah slagi mrka ada..
    love u father....

    BalasPadam
  2. salam epy,
    betul tu!
    harap A mengerti.

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

Yang Terakhir: Versi Cerpen

Inikah Cinta? : Versi Cerpen