apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

27.12.09

Kau bukan dia 6




Sudah sebulan mereka bekerja bersama-sama. Helmi bukanlah seorang ketua yang cerewet dan Umairah tidak mempunyai masalah untuk membuat seperti yang diarahkan. Sesekali Umairah tahu dan sedar bahawa lelaki itu inginkan mereka kembali mesra bagai dahulu.  Helmi cuba berjenaka dengannya. Cuba mengembalikan keceriaan di antara mereka. Namun, dia belum bersedia, walau jauh di sudut hati, dia amat menyenangi gurauan dan usikan itu.

Pagi itu, Umairah berasa amat pelik apabila melihat lampu di dalam bilik bosnya terpasang seawal jam 7.35 pagi! Helmi tidak pernah sampai awal di pejabat.  Mungkinkah lelaki itu mempunyai agenda penting hari ini? Rasanya tidak ada!

‘Nak masuk ke tidak ni? Alah, seganlah! Nanti-nantilah!’ Umairah bermonolog sendiri.

Dalam keadaan serba-salah itu, Helmi tiba-tiba tercegat di muka pintu bilik dengan wajah yang masam mencuka. Tanpa suara, lelaki itu terus keluar meninggalkan Umairah. Semakin terpinga-pinga diri jadinya. 

‘Jangan-jangan, dia berkelahi dengan buah hati dia kut?’ bisik di hati.

Umairah terkenangkan wanita cantik yang datang ke pejabat mereka minggu lepas. Wanita anggun berbaju kurung sutera biru, bertudung dan amat manis orangnya.  Gadis yang bernama Karina. Gadis yang berjaya membuat Helmi Qushairi Ali ketawa. Dan gadis itu jugalah yang berjaya membuat lelaki itu balik seawal jam 4 petang, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Umairah memasuki bilik yang kosong. Bilik itu sudah cerah dengan blind yang telah dibuka seluas-luasnya. Suasana sesak di Jalan Ampang dapat dilihat dengan jelas melalui cermin tingkap. Dia mengambil kesempatan itu untuk mengemas meja Helmi.  Tidak banyak yang perlu dilakukan kerana sememangnya lelaki itu seorang yang kemas dan teratur. Namun sesuatu menarik minatnya. Di atas meja kerja lelaki itu, terdapat sebuah fail. Dia ingin menutup fail itu bila dilihatnya, itu adalah fail peribadi miliknya. Fail sulit Siti Umairah binti Haji Ramli!

Umairah dihimpit rasa hairan. Hati tertanya-tanya. 'Mengapakah fail peribadinya  berada di situ? Apa yang ingin diketahui oleh lelaki itu tentang dirinya? Apa yang menarik sangat untuk diketahui? Mengapa Helmi tidak bertanya kepada dirinya sahaja? Mengapa?

Ketika dia ingin keluar, dia bertembung dengan Helmi di muka pintu. Umairah memandang wajah lelaki itu dengan penuh persoalan. Tapi,  mengapa pula dirinya yang ditatap bagaikan Helmi seekor harimau yang ingin menerkam mangsanya?

“Kenapa di dalam rekod profail awak tu, tidak ditulis bahawa awak sudah berkahwin? Kenapa status awak dibiarkan kosong sahaja? Awak bekerja di bahagian HR sebelum ni, kan? Orang nombor dua lagi! Takkan benda sempoi macam gini pun terlepas pandang?” Helmi Qushairi Ali menembaknya. Soalan-soalan yang menyebabkan pipi merona merah. Dan, hati semakin sakit bila mendengar Helmi menuduh lagi, "Atau awak sengaja membiarkan status awak tu kosong supaya semua orang tahu bahawa sekarang ini awak dah ‘eligible’? 'Free and available'?”

Umairah mengetap bibir. Tampang lelaki itu dipandang dengan geram dan penuh perasaan sakit hati. Tuduhan yang dilemparkan lelaki itu kepadanya, amat melampau namun suara yang keluar daripada seulas bibirnya masih berjaya dikawal. “Tak ada maknanya saya nak buat macam gitu, Encik Helmi!” 

Helmi mendengus. Wajahnya jelas kelihatan ragu-ragu menerima jawapan itu. Sepasang mata tajam menikam. "Iya ke? Awak jangan nak bohong Puan Siti Umairah. Bila saya ingat balik pada pertemuan pertama kita pagi tu... memang,  memang jelas itulah yang awak cuba memberitahu saya. Bahawa, diri awak ni masih kosong dan boleh dipikat." Tukasnya.


Siti Umairah membulatkan sepasang mata. Rasa tidak percaya bila Helmi sanggup menuduh dirinya. Keterlaluan sungguh! Lupakah Helmi apa yang telah dilakukannya? Lupakah Helmi bagaimana dia cuba mengelak dan mengelak lelaki itu di sepanjang hari?


"Saya masih ingat lagi pada apa yang berlaku. Saya sedang berbual-bual dengan kawan-kawan saya bila saya merasakan bahawa saya sedang menjadi perhatian seseorang. Oh, jangan buat muka macam tu, puan! Waktu saya menyedari bahawa ada orang sedang menengok saya, itu membuatkan saya menoleh pada awak. Masa tu saya hendak mencari siapa yang mempunyai kuasa renungan sehinggakan dada saya berdebar dan hati saya bergetar. Bila nampak awak, saya terkejut. Sungguh-sungguh terkejut. Saya ingin mendapatkan awak dan bertanya mengapa awak tengok saya macam nak tembus bila tiba-tiba, awak pergi. Sebab itu saya ikut awak. Saya hendak tahu sebab itu!"


Lama wajah Siti Umairah ditatap sebelum satu lagi tuduhan dilemparkan. "Awak memang sengaja buat begitu, kan? Sengaja kononnya hendak menaiki tangga dan berpura-pura jatuh supaya saya menyambut tubuh awak. Betul tak?"


“Tolong jangan tuduh Maira macam tu, abang Helmi!” Umairah bersuara seakan-akan berbisik.

Helmi tersentak. Sudah lama dia tidak mendengar Umairah memanggilnya begitu. Malah dirinya sendiri dihalang membahasakan abang dan Maira. Umairah seolah-olah takut orang di sekeliling mereka mengetahui bahawa suatu waktu dahulu hubungan mereka berdua pernah rapat. Bukan setakat saling kenal-mengenali malah sangat-sangat akrab.

Perasaannya berbunga seketika. Namun cuba disembunyikan. Dia tidak mahu Umairah bertindak bagaikan kura-kura. Tidak mahu Umairah asyik bersembunyi di sebalik status jandanya, sepertimana  haiwan itu yang asyik menyembunyikan kepala setiap kali bencana tiba. 


Dia sengaja tidak mengendahkan penafian itu. 


“Habis tu, apa yang menyebabkan Maira merenung abang lama-lama? Maira seolah-olah mengharapkan agar abang menoleh ke belakang. Malah, selepas abang  menoleh dan memandang Maira, Maira masih tetap merenung diri abang sehinggalah Maira tersedar akan perbuatan Maira tu lalu Maira meluru keluar tinggalkan abang di situ!” Tukas Helmi dengan suara yang cukup tegas. Dia seolah-olah sedang menarik Maira kepada peristiwa yang memalukan wanita itu.

“Mana ada? Abang jangan pandai-pandai hendak menuduh!” Siti Umairah sudah meninggikan suara kepada lelaki di hadapannya.

Helmi Qushairi Ali segera mendekatkan dirinya. Dia berbisik, “Siapa yang Maira nak tipu ni? Kita sama-sama tahu, Maira! Yang Maira akhirnya tersedar selepas tengok abang di sebalik kaca mata hitam yang Maira pakai. Abang bukan buta! Lama selepas itu baru Maira buat keputusan untuk meninggalkan abang di situ dan pergi naik tangga. Kenapa? Rasa bersalah pada suami? Oops maaf! Pada bekas suami?”

“Sampai hati abang tuduh Maira!” desah Siti Umairah lemah. Hatinya walang. Lelaki ini dahulu merupakan lelaki yang sering mendengar keluh kesahnya, namun, pada hari ini, sikap menuduh secara melulu begitu melukakan. 

“Tuduh? Maira tau tak yang perbuatan Maira tu boleh menimbulkan syak wasangka? Bayangkan apa yang akan dikatakan orang bila mereka perasan apa yang Maira buat. Seorang perempuan yang sudah berkahwin begitu galak merenung seorang lelaki lain seolah-olah dia sedang tergoda melihat lelaki yang bukan suaminya itu! Dia bagai mengharapkan lelaki itu mendekat, dan reaksinya memang reaksi seorang perempuan yang.....”

“Yang apa? Perempuan yang desperate? Itukah yang ingin abang katakan? Kerana Maira ni janda yang amat perlu kepada sentuhan dan belaian seorang lelaki?” Umairah semakin marah. Suaranya semakin tinggi. Hati yang sakit mendorong dia meninggikan suara. Helmi bertindak melampau menganggap dirinya yang bukan-bukan!

Ada senyuman terukir di bibir Helmi Qushairi. Saat ini, wajah Umairah bagaikan lava gunung berapi yang selama ini diam, menunggu masa untuk meletus. Sedikit keterujaan menyebabkan gadis itu kehilangan kawalan diri yang selama ini tersembunyi. Rupa-rupanya, hati dan perasaan Umairah masih belum berkubur. Didesak bertalu-talu begini, gadis itu, tanpa sedar sudah berjaya 'bangun' daripada lena. 'Bangun' dan boleh 'hidup' semula!


“Jadi, Maira tak desperatelah ni? Hmm, kalau begitu, cuba terangkan sebab kenapa agaknya Maira buat apa yang Maira lakukan! Terangkan dengan jelas sebab sampai sekarang, abang masih tidak dapat memahami erti renungan itu!” pintanya. 

Pantas Umairah menjawab, “Sebab, Maira terpandang-pandangkan abang Amir bila nampak abang. Maira ingat abang tu...dia!”

Bagai tidak dapat mempercayai, Helmi pula bertanya, “Apa? Orang mati hidup balik? Gila ke apa?”

Umairah menghela nafas yang tersekat. Perlahan-lahan dia memberitahu, “Abang Helmi, hari tu, genap setahun abang Amir pergi tinggalkan Maira.”

Tajam renungan Helmi kepada gadis itu bila dia membetulkan, “Genap setahun dia mati!”

Umairah menggelengkan kepala. “Jangan cakap macam tu!”

Helmi mendengus. “Dia dah mati dan itu adalah kenyataan!” Umairah cuba mencelah namun Helmi segera menghalang. “Jadi, dia dah mati. Genap setahun! Apa hubungkait dengan kejadian pagi tu? Maira ingat abang ni jelmaan dia? Datang balik untuk bersama dengan Maira?” tanya dia. Wajah Umairah ditatap. Demi melihat pipi yang sudah merona merah, Helmi menjadi semakin panas hati. Dia dapat melihat betapa kata-kata dan tuduhan itu semuanya benar belaka. Umairah menganggap dirinya sebagai....

“Maira? Awak ingat abang ni... dia? Oh Tuhan! What the...? Kenapa? Adakah  muka kami sama? Adakah badan abang ni macam dia? Serupa?”

Umairah mula menangis. Kemarahan Helmi kepadanya membuat dia menyedari bahawa dia sudah tersilap. Bukan kecil kesilapannya itu. Dia telah mencari Amir Asyraf dalam diri Helmi Qushairi. Betapa bodohnya dia! Lantas, dia cuba menerangkan apa yang berlaku kepada dirinya pada pagi itu.

“Pagi tu, Maira hilang cincin kahwin kami. Puas Maira cari tapi tak jumpa. Cincin tu tak pernah lekang daripada jari Maira. Bila hilang, Maira susah hati sangat. Maira datang ke ofis dengan rasa bersalah dan rindu yang sarat pada Abang Amir. Dalam kepala Maira ketika itu, hanya ada dia. Sebab itu, bila nampak abang, Maira tersentak. Daripada belakang, ketika abang tunduk, memang Maira menyangka Abang Amir dah pulang..." Luahan terhenti apabila Helmi mendengus kasar namun dia teruskan bercerita. Dia mahu Helmi tahu apa yang dilaluinya pada hari itu. 


"Memang Maira akui bahawa Maira ingin sekali abang menoleh. Maira memang mengharapkan agar abang ialah Abang Amir. Tapi, bila Maira nampak abang, Maira hampa. Maira kecewa. Maira malu. Sebab itu, Maira ingin lari daripada abang.  Maira bimbang abang menuduh Maira sebagai perempuan gatal yang tidak bermaruah. Tapi, lihatlah! Ketakutan menjadi kenyataan. Abang benar-benar menuduh Maira. Abang benar-benar menyangka Maira seburuk itu!"


Air mata mengalir turun membasahi pipi. Tangisan yang membuktikan betapa dia kecewa. Betapa dia terluka. Hampa!


Jawapan Umairah tidak langsung menimbulkan rasa kasihan di dalam hati Helmi Qushairi sebaliknya benar-benar menaikkan darahnya. Sudahlah wajahnya dikatakan sama dengan wajah Amir Asyraf,  kini, perempuan itu meluahkan betapa dia amat merindui lelaki yang sudah meninggal dunia itu. Hati dipenuhi rasa cemburu. Tertanya-tanya, apakah keistimewaan Amir Asyraf sehinggakan Umairah tidak langsung dapat melupakan? 

“Istimewa sangatkah dia?” soalan bergema di bibir.

“Dia suami Maira, bang!”

“Tapi dia dah mati!”

“Bagi Maira, dia tak pernah mati. Dia ada kat sini, dalam hati Maira!”

“Dia dah mati! The sooner you get that into your head, the better!” Tengking Helmi sambil mendekati Umairah.

Umairah terpana. Wajah Helmi ditatap geram. “Abang tak ada hak cakap macam tu pada Maira! Abang Amir suami Maira. Sampai bila-bila pun dia tetap suami Maira. Tahu tak?” jeritnya.

“Memang dia suami Maira. Tapi itu dulu! Masa dia hidup! Sekarang dia dah tak ada. Dia dah mati! Yang mati tetap mati. Dia makin jauh daripada Maira. Maira yang masih hidup tak boleh nak kejar dia. Tak boleh nak tunggu dia. Tak boleh nak setia pada dia. Maira kena bangkit daripada mimpi! Kena sedar yang hidup Maira bukan habis bila dia dah tak ada. Kena sedar bahawa masa depan Maira masih jauh. Maira perlu meneruskan hidup, bukan menjadi patung bernyawa seperti sekarang!”

Buntang mata Umairah mendengar tengkingan Helmi. Kesakitan di dalam hati tidak terucapkan. Walau dia tahu semua itu benar, dia tidak dapat menerima. Walau dia faham apa yang Helmi cuba sampaikan, dia tidak mahu akur.

“Yang tinggal di anta Maira dengan dia hanya kenangan aje. Maira faham tak ni?” Helmi menendurkan suara.

“Cukup! Jangan cakap apa-apa lagi. Jangan!” pinta Umairah.

Helmi menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah nekad untuk terus meluahkan apa yang dirasai. Dia mahu Umairah berubah sikap selepas ini. Dia mahu Umairah mendengar nasihatnya. Tidak mahu Umairah asyik terkurung dalam duka perasaannya. 


“Abang tak suka tengok Maira abang yang ceria jadi macam ni. Abang sakit hati bila tengok Maira tak bermaya. Abang sedih bila tengok Maira asyik murung. Abang tak sanggup lagi keadaan Maira yang lupa pada kami yang sayangkan Maira!” Helmi mengumpul nafas sebelum menyambung, “Maira asyik fikirkan diri sendiri. Maira asyik menghitung luka Maira sehingga Maira lupa pada ayah, pada umi, pada Akif. Maira tahu tak yang hati ayah, hati umi, hati Akif semua retak dengan sikap Maira ni? Pernah tak Maira fikirkan perasaan umi yang Maira tinggalkan sendirian di rumah sedangkan Maira pergi dan cuba menghiburkan hati ayah dan ibu mentua? Pernah?”

“Kenapa abang cakap semua ni pada Maira? Kenapa?” soal Umairah keliru.

“Sebab selama ni tak ada siapa yang sanggup cakap pada Maira kerana mereka takut Maira sedih, mereka takut Maira kecil hati. Tapi, sampai bila? Sampai bila baru Maira hendak menerima hakikat hidup, hah? Sampai bila Maira hendak hidup begini?” Marah Helmi.

“Biarkan Maira! Jangan ganggu! Jangan peduli!” Umairah membentak.

“Maira, kalau arwah Amir tu boleh bercakap, tentu dia dah suruh Maira melupakan dirinya. Tentu dia dah cakap yang dia dah tak ada untuk membelai Maira, untuk...”

“Aduh! Lepaskan! Lepaskan tangan Maira! Aduh! Lepslah! Sakit!”

Ketika Umairah ingin menampar muka Helmi, Helmi terlebih dahulu menyedarinya. Pantas sahaja tangan Umairah ditangkap dan dikilas ke belakang. Wajah terlalu dekat bila lelaki itu menyambung kata, "Kenyataan amat pahit untuk ditelan! Abang faham tu! Abang dah ada pengalaman ni. Abang sudah pernah menghadapinya. Bukan Maira sorang aje yang kehilangan orang yang Maira sayang. Abang pun pernah! Maira dah lupa ke? Lupa macam mana mak dengan abah abang meninggal? Lupa?”

Umairah tergamam. Wajah Helmi ditenungi. Sekilas, dapat dilihat sepasang mata itu berkaca. Namun pemuda itu pantas melarikan pandangan.

Aduhai, masakan Umairah dapat melupakan peristiwa yang berlaku lama dahulu. Peristiwa kemalangan yang menimpa  Pak  Mat Ali dan Mak Mah. Bukan di sini, tetapi nun di Mekah. Pasangan suami isteri itu adalah di antara ratusan umat Islam yang meninggal dunia akibat runtuhan bangunan ketika mengerjakan haji pada musim haji itu.

“Masa allahyarham mak dengan abah pergi, mereka sihat walafiat. Riang. Ceria. Gembira. 2 minggu lepas tu, tiba-tiba, abang mendapat berita bahawa mereka berdua dah tak ada. Maira tahu tak kesedihan abang masa tu? Dapatkah Maira selami apa yang abang rasa? Maira, waktu itu, abang rasa kehilangan yang amat sangat! Kesedihan yang tak mampu nak abang luahkan kepada sesiapapun!” 


Helmi membongkar rahsia yang tersembunyi lama di dalam hati. Kelukaan, kesedihan yang ditanggung sendirian kerana dia anak tunggal. Bila ibu dan ayahnya meninggal, dia tahu bahawa dia tidak punya tempat untuk mengadu lagi. Dia sudah tidak ada sesiapa lagi di dalam hidupnya. 

Umairah memulangkan paku buah keras. “Abang yang sengaja menjauhkan diri daripada kami. Puas abang Akif ajak abang main bersama-sama, ajak makan, ajak tidur tapi semuanya abang tolak. Abang asyik termenung saja. Dengan Maira pun abang tak peduli. Kadang-kadang, abang naik angin tidak tentu fasal. Maira selalu kena marah dengan abang. Maira sedih sangat masa tu!”

“Masa tu, Maira sedih sangat. Tapi sekarang, Maira buat abang jadi sedih pulak. Agaknya, Maira hendak membalas dendam kut?” tanya Helmi lembut.

Wajah Umairah merona merah. “Apa pulak?” balasnya.      

3 ulasan:

  1. uuuuuuuu....
    helmi,,sedarkan dye lagikk..
    suke2..

    BalasPadam
  2. salam kt,
    terima kasih, atas komen awak, ya.

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.