Langkau ke kandungan utama

Kau bukan dia 4

Siti Umairah sedang menyiapkan satu tugasan sewaktu telefon di atas mejanya berdering. Dengan segera dia mengangkat gagang.

“Ya, saya Maira, Kak Idah. Bila? Baiklah, sekejap lagi saya naik.” 


Faridah ialah setiausaha kepada Tuan Hj Ramli. Wanita berusia 30 tahun itu menelefon dirinya untuk memberitahu bahawa bos ingin berjumpa. Umairah merenung jam di dinding. Ah, ada 30 minit lagi. Masih ada masa lagi, fikirnya. Kerja yang terhenti disambung semula.

Kira-kira setengah jam kemudian, dia sudah pun berada di luar pejabat Tuan Hj Ramli. Lama dia terpaku berhampiran meja Kak Idah yang kosong.

‘Ke mana pulak perginya Kak Idah  ni? Tadi dia cakap, aku mesti berada di sini tepat-tepat setengah jam lepas dia call. Ni, dah dia pulak yang tak ada. ’ gumam Umairah sendirian.

Umairah teragak-agak membuat keputusan. Sama ada untuk terus masuk ke dalam bilik Tn Hj Ramli atau turun semula ke biliknya.

‘Tapi, Tuan Haji nak jumpa aku! Mesti ada hal tu! Baik aku  tunggu di dalam bilik dia.’

Umairah mengetuk pintu bilik di hadapannya. Tiada jawapan. Kehairanan, dia menolak daun pintu luas-luas. Dilihatnya, ada asap rokok yang berkepul-kepul dari tempat duduk di penjuru bilik.

‘Sejak bila pulak Tuan Haji ni hisap rokok balik? Dia bukan dah berhenti ke? Memang tak sayang jantung, nih!’ Umairah mengomel sendirian sambil memboloskan diri memasuki bilik tersebut.    
         
“Assalamualaikum. Tadi, Kak Idah cakap, Tuan Haji nak jumpa saya. Maaf, saya lewat sikit. Ingatkan bila Kak Idah tak ada kat luar tu, Tuan Hajipun sama tak ada.” dia berkata. 
Pada ketika itu, Umairah mendengar bunyi seseorang bangun dari tempat duduk, tapi dia tidak melihat ke arah itu kerana pada masa sama dia terpaksa membetulkan tudungnya yang sedikit senget.

Tiba-tiba dia merasakan dirinya sedang diperhatikan. Kepala dipanggung. Terkejut besar bila didapati, bukan Tuan Haji yang sedang merenung tetapi lelaki berbaju kelabu itu. Tidak berkelip-kelip sepasang mata itu merenungnya.
         
Umairah gelisah. Hatinya meradang. Mengapakah hari ini, dia asyik bertembung dengan orang ini? Dari pagi, waktu makan dan sekarang ini, di dalam bilik bos pun mereka dipertemukan. Makin dia hendak mengelak, semakin wajah itu yang ditemui. Dah tu, bila merenung orang, huh, macam tak pernah tengok perempuan. Hello, saya cucuk mata awak tu kang! 

Umairah ingin keluar. Tak sanggup ditenung, tak sanggup direnung, tak sanggup! Dia bukan bahan pameran. Eeii, rimas! Lantas dia berpusing untuk membuka semula pintu yang sudah bertutup. 

“Duduk dulu, saudari. Kejap lagi Tuan Haji baliklah! Dia dengan Idah terpaksa ke bank, ada hal sikit.”  Suara garau itu yang tegas, menghentikan langkahnya.
         
Umairah bingung. Rasa bagaikan dia pernah mendengar suara itu. Pagi tadi pun, semasa lelaki itu bercakap dengannya, dia berfikiran yang sama. Sekarang, perasaan itu datang semula. Rasa bagaikan dia mengenali tuan yang empunya diri. Argh, tak mungkin!

“Kenapa? Takut ke? Saya bukan harimau. Singa pun bukan! Saya tak makan orang!”
         
Umairah menjegilkan sepasang matanya kepada lelaki itu. Gurauannya  tidak sedikitpun melucukannya. Malah bagi dirinya, lelaki itu tidak perlu menegur pun kerana mereka bukan kawan. Mereka bertemu secara kebetulan sahaja! 


Melihat si gadis masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri, pemuda itu berkata lagi, “Duduklah dulu. Boleh kita berbual-bual!”

Umairah tetap ingin keluar. Suara itu menghantuinya. Dirasakan aneh perasaan ini. Dan, dia ingin lari daripada kenangan lampau. Namun, ketika dia mahu membuka pintu, lelaki itu sudahpun berdiri di hadapannya. Sedang merenungnya. Sekali ini, wajah itu kelihatan begitu serius.
         
“Kenapa? Kenapa sejak pagi tadi, awak asyik hendak melarikan diri daripada saya? Apa salah yang saya dah buat pada awak?” soalan itu diajukan dengan penuh ketegasan. 
         
Perlahan-lahan muka diangkat. Kali ini, tanpa cermin mata hitam untuk melindungi sepasang mata bundarnya daripada sepasang mata yang begitu asyik merenung dirinya.

“Macam pagi tadi. Ni, awak nak tinggalkan saya sebab awak rasa awak kena jauhkan diri awak daripada saya. Kenapa? Awak ingat saya ni pembawa virus H1N1?” lelaki itu cuba berjenaka.
         
Umairah merenung wajah tampan itu. ‘Kenapalah pakcik ni ingat aku hendak melarikan diri pulak?’ Desis di hatinya. Kata-kata lelaki itu dibalasnya. “Tak adalah, encik! Saya nak keluar sebab saya tak mahu duduk di dalam bilik ini. Itu sahaja sebabnya. Tak ada sebab-sebab lain!”

Tiba-tiba pintu dibuka. Tuan Hj Ramli meluru masuk. "Hah, ada kamu di sini, Maira? Sorry, ayah kena pergi ke bank kejap tadi.”

Lelaki berbaju kelabu seakan-akan terkejut mendengar ayat yang baru dilafazkan. Riak wajahnya berubah. Wajah Umairah dan wajah Tuan Hj Ramli dipandang silih berganti. Bukan sekali, malah berkali-kali. 


Umairah tidak dapat memahami mengapa lelaki itu kelihatan amat terkejut. Pelik sangatkah bila seorang anak bekerja dengan ayahnya di syarikat ayahnya sendiri? Oh ya, Tuan Hj Ramli ialah ayahnya dan Umairah ialah anak bongsu. Umairah ialah penolong pengurus di bahagian  sumber manusia. 
“Hai, apahal yang kamu berdua dok tercegat lagi di situ? Takkanlah nak berdiri sampai berjam-jam kut?” tanya Tuan Haji sambil memerhati Umairah dan lelaki itu berbalas renungan.
         
“Duduk sini, Maira!” panggilnya sambil tersenyum-senyum. Senyuman yang kelihatan aneh di mata anak perempuannya.

Apabila Umairah sudah melangkah mendekati kerusi di hadapannya, pandangan Tuan Hj Ramli beralih pula kepada si baju kelabu. Dilihatnya lelaki itu sedang tekun memerhati Umairah. Dia tersenyum.

“Yang kamu tu pulak, apa ke halnya? Datanglah jugak ke sini! Duduk sini! Senang saya nak bercakap bila dua-dua dah ada di depan saya.” Tuan Haji Ramli masih lagi tersenyum namun ketegasan semasa melontarkan suaranya itulah yang menyebabkan dia dihormati seluruh warga syarikat, termasuk Siti Umairah, termasuk juga lelaki yang seorang ini.    
         
Lelaki itu akhirnya melangkah perlahan-lahan tetapi penuh keyakinan mendekati kerusi yang kosong bersebelahan Umairah. Tidak lama selepas itu, dia duduk. Wajahnya masih berkerut-kerut. Mengapakah?

“Q, masa 11 tahun tu rasanya tidaklah terlalu lama sehinggakan kamu sampai tidak kenal pada Siti Umairah, anak saya ni, kan? Lagipun, beza umur korang cuma  4 tahun aje. Masa kamu pergi tinggalkan kami, umur kamu 19 tahun dan Maira  pulak, 15. Dan kamu, Maira. Ini, ayah kenalkan, Encik Helmi Qushairi Ali. Pengurus Pemasaran syarikat kita.  Masa kamu mula  bekerja di sini  dulu, Q ni ayah pindahkan sekejap ke cawangan kita di Pulau Pinang. Masa tu, di sana ada masalah sikit. Sekarang ni, kerja dia di sana dah beres. Tu yang bagusnya! Sebab kita memang perlukan dia sangat-sangat kat sini.” 

Tuan Haji Ramli tersenyum memerhati pasangan di hadapannya. Masing-masing cuba menyembunyikan kegugupan. Dia melihat mereka kegelisahan. Dia  perhatikan mereka cuba mengawal perasaan. 


Lama Q terpaku. Cuba mencerna ayat yang baru Tn Hj Ramli sebutkan. Siti Umairah? Anak kedua? Adik Akif? Maira? Auww, terus sahaja dia menepuk dahi.

“Maira? Laa... patut le rasa macam kenal tadi!”

Berkerut-kerut dahi Umairah memerhati Q. Di dalam kepala, hanya ada satu Q yang diingatinya. Q yang.....

“Dia pun dah lupakan kamu, Q. Tengok dahi dia tu! Berkerut-kerut! Maira, Maira. Q pun kamu tak cam.”

Lama Umairah menatap wajah di sebelahnya sebelum dia mengukir senyuman dengan perlahan-lahan. Helmi Qushairi Ali? Aduhai! Nama yang cukup sinonim dengan abangnya, Akif Hj Ramli. Siapa yang tidak kenal mereka? Di mana ada Akif, di situ ada Helmi Qushairi. Begitu juga sebaliknya. Di sekolah, mereka berlumba-lumba untuk menjadi wakil dalam pelbagai acara tetapi kebiasaannya, Helmilah yang akan terpilih walaupun di bidang kepimpinan, abangnya, Akif yang lebih menonjol!

Denyutan jantung semakin laju bila kenangan zaman lalu menerjah ingatan. Setiap apa yang dilakukan di zaman kanak-kanaknya dahulu, Helmi mesti tercatat di dalam memori. Kerana, Helmi ialah sahabat baik Akif. Dan kerana, dia, Siti Umairah, ialah adik kepada Akif!

Dia dengan Akif hanya dua beradik jadi hubungan mereka amat rapat. Kerana itu, dia sering mengekori ke mana sahaja abangnya pergi. Itu menyebabkan hubungan di antara dirinya dengan Helmi juga rapat. Kerana, seperti dia, Helmi juga akan berada di sisi Akif pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Helmi ialah anak kepada pemandu ayahnya, Pak Mat. Helmi anak tunggal. Kerana sering bersama, Helmi sudah dianggap sebagai abang angkatnya. Namun perasaan itu mula bertukar kepada sesuatu yang lebih istimewa semakin Umairah meningkat remaja. Dia mula merasakan kelainan dalam dirinya. Mula pandai merindui sekiranya tidak memandang wajah Helmi walaupun sehari. Mula pandai merajuk jika Helmi memarahi. Bahagia bila bersama, gelisah bila berjauhan.

“Kita jumpa lagi, Maira!” Wajah yang sudah 11 tahun tidak dilihat, ditatap dalam-dalam. Tiada lagi wajah manis keanak-anakan yang dahulu. Wajah mulus dengan rambul ikal separas bahu yang sering ditocang satu itu telah bertukar menjadi lebih dewasa. Lebih jelita. Dan, semakin tidak jemu dipandang.

“Abang Helmi. Abang ke mana selama ini? Hilang tak ada khabar berita. Sampai Abang Akif pun tak dapat menjejaki abang? Kenapa pergi macam tu aje?”

Helmi hanya mampu tersengih. Abang Helmi? Hanya Umairah memanggilnya begitu. Dari dahulu, bila semua orang menggelarkan dirinya Q, Umairah mencebik.

“Nama punyalah panjang, punyalah sedap, tapi dipanggil dengan satu huruf abjad aje. Q? Entah apa-apa!”

“Kan senang nak ingat? Q! Satu huruf aje, Maira!”

“Satu huruf tu lah yang boleh menyebabkan orang melupakan abang, tahu!”

Ya, semuanya begitu ketara kini. Amat jelas! Kata-kata yang pernah Umairah lafazkan bahawa Q mudah dilupakan adalah benar. Sememangnya gadis itu sudah melupakannya. Sudah melupakan segala-gala tentang dirinya.
  
“Abang ada, Maira. Cuma Maira aje yang tak mengambil tahu. Maklumlah, Maira kan sudah berpunya? Sudah berkahwin? Seluruh tumpuan hanya untuk dia, betul tak?”

Melihat wajah mendung Umairah yang tetiba, Helmi menyesali diri. Rasa ingin sahaja dia menggigit lidahnya kerana mengeluarkan kata-kata itu tadi. Aduhai, tidak tahu langsung hendak mengawal mulut. Ikut sesuka hati sahaja apabila berbicara.

“Maaf, Maira. Dan takziah dari abang. Sayang sungguh! Abang teringin sangat nak jumpa lelaki yang berjaya mencuri hati adik abang ni. Tapi, belum sempat kenal, dia dah tak ada pulak.”   

Umairah menghela nafasnya. Walau sudah setahun Amir meninggal dunia, setiap kali menerima ucapan takziah, hatinya pasti terusik. Lama baru dia dapat bersuara. “Tak apa, bang. Maira maafkan abang.” ucapnya perlahan.

“Dah, dah! Lebih baik kita jangan membuang masa mengingati peristiwa yang sedih-sedih, Q. Nanti si Maira ni langsung tak boleh nak buat apa-apa pulak. Tengok mata dia tu! Sembab semacam aje. Menangislah tu!” Tn Hj Ramli mencelah.

Umairah lebih senang mendiamkan diri. Renungan Helmi terhadapnya dibiar sepi. Kata-kata sindiran ayahnya tidak dibalas. Dia tahu, ayah dan ibu tentunya risau dengan keadaan dirinya yang masih berdukacita. Yang masih bermurung. Bagaimanapun, dia rasa amat bersyukur kerana mereka belum pernah memarahinya. Mereka tidak juga memujuk. Dia dibiarkan untuk melalui hari-hari sepi tanpa gangguan.

“Maira, ayah sebenarnya nak mintak tolong sikit.”

Umairah mendongak melihat wajah ayahnya. Tidak memahami apakah permintaan ayahnya.

“Ayah nak Maira tolong Q dalam sebulan dua ini. Sebelum kita iklankan pengambilan setiausaha yang baru untuk dia, Maira, ayah lantik Maira jadi setiausaha merangkap PA Q buat sementara waktu.”

Helmi tenang mendengar cadangan itu namun Umairah sudah membulatkan sepasang matanya.
         
”Tapi, ayah? Kerja Maira sekarang pun melambak jugak. Macam mana nak tolong Abang Helmi? Suruh orang lain ajelah. Ramai lagi kaki tangan kita, apa?”

Tn Hj Ramli tersengih. Sudah lama dia tidak mendengar suara Umairah yang lantang seperti tadi.

“Ayah rasa, Q tentu lebih selesa bekerja dengan kamu berbanding dengan orang lain. Tak gitu, Q?”

Helmi tersenyum. “Kalau Tuan Haji dah pilihkan Maira untuk saya, saya yakin, dia tentu seorang yang cekap dan bagus. Tak gitu, Maira?” Matanya seolah-olah  mencabar Umairah untuk menolak.
         
“Cari orang lainlah, ayah. Ramai lagi yang lebih baik! Jauh lebih baik daripada Maira. Orang yang dah bekerja di sini lebih lama dan lebih berpengalaman.”

“Apa masalah kamu, Maira?” Tn Hj Ramli bertanya. Dia berasa tidak berpuas hati dengan sikap Umairah yang seolah-olah tidak mahu mematuhi arahannya.

“Maira risau nanti mereka fikir yang bukan-bukan. Mentang-mentanglah Maira ni anak ayah....”  
         
“Maira takut kena gosip dengan saya agaknya, Tuan Haji?” Helmi memprovok.

Wajah Umairah yang cerah sudah bertukar kemerah-merahan. Dia geramkan Helmi kerana bertanyakan soalan sebegitu kepada ayahnya.
      
“Mana ada?” Suaranya melengking kuat.

Tuan Haji dan Helmi ketawa serentak. Lucu melihat Umairah yang menggelabah.

“Dah lama ayah tak tengok kamu macam gini, Maira. Dah lama sangat!” ujar Tuan Haji sebaik ketawanya reda.

Umairah tersentak. Benarkah? Berubah benarkah dia? Berubah sangatkah perangainya semenjak Amir meninggal dunia? Tiada keceriaan? Tenggelam dalam duka tanpa memikirkan hati dan perasaan ibu dan bapa yang mungkin terkilan dengan sikapnya?

“Lagipun, apa yang kamu risau sangat? Kamu tu kan lulusan politeknik? Jurusan kesetiausahaan lagi! Apa masalahnya?” Tuan Haji Ramli terus-terusan menyindir anaknya.
         
Helmi mengambil kesempatan itu untuk berkata, “Abang nak Maira bekerja dengan abang. Abang tak nak orang lain. Nak Maira aje! Muktamad!”
         
Umairah melepaskan satu keluhan. Wajah Helmi Qushairi direnungi seolah-olah tidak berpuas hati. Namun dia akhirnya tewas dengan panahan sepasang mata itu. Hati kembali cemas. Kata-kata Helmi tadi dan sinaran sepasang mata itu amat mendebarkan.

Tiba-tiba Umairah menjadi takut. Takut kalau-kalau perasaan yang dulu hilang, hadir kembali. Takut kalau-kalau, rasa itu datang semula. Dia tidak mahu! Tidak mahu!

Wajah Amir pula terbayang. Hari ini, jarang wajah itu hadir di mindanya. Fikirannya terlalu dibebani oleh perkara lain. Sehingga dia lupa suaminya baru sahaja meninggal dan tidak seharusnya dia, Siti Umairah, melupakan!

“Maira?” Lembut dirinya digerakkan oleh suara lunak itu.

Umairah akhirnya mengangguk. Tidak kuasa dia berbalah lagi.

“Okey. Maira terima. Bila nak mula?” Soalnya selamba bagai perkara itu tidak penting sahaja.

“Esok saja. Hari ni, Maira boleh pindahkan apa yang perlu ke pejabat abang.”

“Kalau macam tu, Maira turun dulu. Ayah, kirim salam pada mak, ya.”

Tn Hj Ramli mengangguk. Hatinya merasa lega apabila Umairah melahirkan persetujuannya. Dalam diam, wajah pemuda yang begitu asyik memandang kelibat Umairah diperhati. Sekilas ikan di air, sudah diketahui jantan atau betina. Cuma, harapannya, biarlah rancangannya memanggil Helmi Qushairi balik semula ke sini dan bekerja bersama-sama Umairah dapat mengembalikan semula senyuman di wajah anak manjanya itu. Siapa tahu?

Ulasan

  1. salam...
    wa...makin best la...
    huhuhu...harap2 la Helmi tu dapat balikkan semula senyuman Maira tu...
    huhuhu...tak sabar nak tunggu next n3...
    :D


    Nur said...

    BalasPadam
  2. helmi start suka kt maira bila da besa ke dr kecik lg??

    BalasPadam
  3. Mcm tuan haji ...akak pun berharap Helmi Qushairi dapat mengembalikan semula senyuman di wajah Umairah... kesian kat umairah....

    BalasPadam
  4. salam.

    nur, selamat bersama do blog ini.
    hana aniz rasa...bila ye? kecik ke atau nanti?
    noor, mmm, tunggu!

    cheerio.

    BalasPadam
  5. kamu ketahuan oleh Hj Rami la Helmi oi..
    alala..

    BalasPadam
  6. misz nana, assalamualaikum.

    awak suka ya, helmi kantoi dengan hj ramli...
    tunggu episod akan dtg, k.

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…