apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

10.11.09

Kau bukan dia 1

Ini sebuah novel yang pendek. Maksudnya, ia sebuah cerita. Hendak aku tulis sebagai cerpen, idea melimpah (pada masa itu lah!).  Hendak dibuat cerita yang panjang aka novel, jenuh otak diperah, tak keluar-keluar juga ilham rasa. Jadi akhirnya, cukuplah setakat beberapa bab sahaja. Janji, cerita yang aku beri tajuk kau bukan dia ini memberi kepuasan kepada kawan-kawan lama dan baru yang sering menjadi tetamu di blog 'luahan'ku. 
....................................
Kau bukan dia 1 
        
kau bukan dia
Hj Abas dan Hjh Nurain saling berpandangan. Kaku sebentar langkah kaki yang diatur. Tidak jadi mereka hendak meneruskan hasrat untuk tidur, walau jam sudah menghampiri angka 2 pagi. Suara esakan seorang perempuan dari dalam bilik yang sedang dilintasi membuat dada masing-masing dihujani sebak.

"Nur, pergilah awak tengok menantu kita. Dia tengah sedih sangat. Pujuklah dia."

"Abang tak nak masuk? Bukan ke selama ini abang yang selalu nasihatkan dia?" Hjh Nurain bertanya dengan dahi yang berkerut.

"Tak apa. Awak masuk dulu. Cuba sabarkan dia. Nanti abang ikut."  Ujar Hj Abas kepada isterinya sambil melangkah lemah ke arah ruang tamu semula.

Hjh Nurain menarik nafas panjang-panjang. Mulut terkumat-kamit sebelum pintu bilik menantunya diketuk. Lama dia menunggu namun tuan punya diri tidak juga membuka pintu.

"Siti Umairah?" Panggilnya sambil menjenguk ke dalam. Sepasang mata tertumpu ke arah katil.

"Mak..." Siti Umairah bergegas bangun. Sungguh dia tidak menyedari kehadiran ibu mentuanya. Kalau dia tahu....... Tergesa-gesa, dia cuba membetulkan rambut yang kusut masai dengan jari. Rambut separas bahu itu dikuis-kuis.

"Kamu menangis." Bisik Hjh Nurain demi melihat kesan titisan air mata menantu di pipi.

Umairah cuba mengelak pandangan tajam ibu mentuanya.

Hjh Nurain berjalan perlahan-lahan menghampiri Umairah. Dia kemudian duduk di birai katil. Ditepuk tempat kosong di sisi, isyarat menyuruh menantu duduk. Bila Umairah melabuhkan punggung di sisinya, segera tubuh kurus itu dirangkul. Dipeluk dan dibelai. Dibiarkan sahaja Umairah menyambung semula tangisnya. Dibiarkan sahaja Umairah melepaskan segala kesedihan yang terkumpul selama ini. Hampir 20 minit lamanya, namun dia tidak bersuara. Dia terlalu faham perasaan Umairah.

“Diam tak diam, dah setahun dia pergi meninggalkan kita.” Akhirnya Hjh Nurain berbisik. Belakang tubuh Umairah dibelai manja. "Mak faham perasaan kamu, Maira. Mak faham sangat-sangat. Tapi, nak... usahlah dikenangkan sangat. Yang pergi, tetap pergi. Dia makin jauh dari kita." 
        
Perlahan-lahan, Umairah merenggangkan dirinya daripada keselesaan belaian ibu mentua. Dia cuba mengukir sebuah senyuman tetapi hambar. Bagaimanakah bisa menguntum senyum di saat hati sedang gundah? Di saat hati penuh kedukaan?

"Maira mintak maaf, mak. Maira dah janji yang Maira tak nak menangis lagi. Tapi.."

"Tapi, Amir suami kamu. Suami yang baru lima bulan memberi kebahagiaan pada kamu dan tiba-tiba dia pergi dijemput Ilahi."  

Ya, hari ini, genap setahun Amir meninggal dunia. Kapten Pilot Amir Asyraf bin Hj Abas, seorang jurulatih di sebuah syarikat penerbangan yang beroperasi di Ipoh. Amir Asyraf yang berjaya merebut cintanya setelah berhempas pulas mencuba selama hampir tiga tahun. Amir Asyraf, lelaki periang yang tidak kenal erti putus asa untuk memikat dirinya. Dan akhirnya berjaya membina sebuah mahligai cinta indah mereka. Malangnya, baru lima bulan usia perkahwinan mereka kapal terbang kecil 'Cessna' yang dinaiki bersama anak didiknya terhempas di Hutan Belum.

Amir pergi bagaikan kilat, hilang tanpa bayang. Meninggalkan Umairah terkapai-kapai kebingungan. Meninggalkan Umairah keresahan. Selama setahun, Umairah bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Segala-galanya terasa hambar. Segala-gala yang dilakukan dibayangi Amir. Kemana sahaja dia melangkah, Amir Asyraf bagaikan bayang-bayang yang tidak pernah menghilang.

Kerana sayangkan Amir, dia membuat keputusan untuk kekal tinggal bersama mertua. Amir Asyraf adalah anak tunggal kepada Hj Abas dan Hjh Nurain. Dulu, semasa baru berkahwin mereka tinggal bersama dan Umairah tidak sampai hati untuk keluar daripada rumah itu. Dia kesiankan ibu mertuanya. Tetapi yang lebih penting, kenangan dia bersama Amir terlalu banyak dalam rumah itu. Kalau dia berpindah, kenangan itu akan terpaksa ditinggalkan dan Umairah tidak rela. Lagipun, ibu dan ayahnya tidak menghalang. Mereka turut menyetujui bahawa Hj Abas dan Hjh Nurain lebih memerlukan Umairah.

"Maafkan Maira sebab Maira nangis lagi, mak. Tapi Maira tak dapat nak tahan air mata ni. Abang Amir pergi mengejut aje. Itu yang kadang-kadang Maira tak boleh nak terima." Bisik Umairah lemah.

"Tapi Maira kena ingat. Kalau Allah nak ambil nyawa kita, tengah kita duduk macam gini pun, Dia boleh lakukannya. Kita sebagai hambaNya, kena redha. Mak tau, Maira sayang sangat pada Amir. Amir pun sama gak. Tapi, Maira kena teruskan hidup sebab Maira masih muda. Antara Maira dengan Amir dah tinggal kenangan aje. Masa depan Maira di dunia ni pulak masih jauh. Maira faham maksud mak?"

Umairah mengangguk. Sesungguhnya dia mengerti apa yang cuba disampaikan ibu mertua kepadanya. Sesungguhnya itulah juga pesanan Amir kepadanya pada malam terakhir mereka bersama.

Dia teringatkan peristiwa yang berlaku setahun yang lalu. Di atas katil inilah, suami kesayangan merenung wajahnya dengan pandangan redupnya itu sambil berkata, “Bila abang tak ada nanti, Maira jaga diri Maira baik-baik! Duduklah di sini dengan emak, dengan ayah. Abang tahu, mereka amat sayangkan Maira. Mairalah pengganti abang sebab Maira dah macam anak mereka sendiri.”
        
Umairah masih ingat lagi bagaimana dia mempersendakan kata-kata suaminya.
        
“Yalah, Encik Amir. Encik Amir nak pergi mana? Pesan macam gitu pada Puan Umairah? Encik Amir Asyraf dah tak sayang pada Siti Umairah lagi?” Usiknya sambil mencubit pipi suaminya.
        
Mendengar usikan itu, Amir segera memeluknya. Pipinya dicium penuh kasih sayang. Suaminya berbisik lagi, “Maira ni....., abang cakap betul-betul ni, sayang! Abang bukan main-main. Ingat pesan abang ni! Bila abang tak ada nanti, jaga diri tu baik-baik. Jangan bersedih. Insya-ALLAH, Maira akan dapat pengganti yang lebih baik daripada abang.”
        
Mendengar kata-kata suaminya itu, ketawa Umairah hilang. Wajah ceria bertukar muram. Bibir Amir ditekup dengan telapak tangannya.

“Kenapa mengarut ni,mmm? Kenapa pulak Maira nak cari orang lain sedangkan Maira dah ada suami yang hebat ni? Lagipun, sejak kita kahwin, tak pernah pun Maira pandang pada lelaki lain. Sedih tau, dengar abang cakap macam ni. Nak merajuklah!”
        
Dia telah merajuk pada masa itu. Sengaja dia menjauhkan dirinya daripada Amir. Tapi satu kelebihan suaminya itu ialah dia pandai memujuk. Dengan lemah lembut, Umairah ditarik kembali ke dalam pelukannya. Amir bukan sahaja memujuknya dengan kata-kata malah mesra sungguh perbuatan suaminya waktu itu. Dan Umairah manja membalas. Namun tidak lama kemudian, dengan wajah yang serius, Amir tiba-tiba berkata, “Maira, Maira tahu tak yang Maira tak pernah mengucapkan sayang pada abang walau pun sekali. Maira sedar tak?”
        
Kata-kata Amir membuat Umairah ketawa. "Maksud abang? Abang nak Maira cakap 'I love you?' soalnya.

Amir mengangguk.

"Maira cintakan abang?" soalnya lagi sambil ketawa-ketawa.

Amir angguk lagi.

"Wo ai ni?"

Kali ini anggukan Amir dibalas dengan suatu cubitan di lengan. "Ngada-ngada!" Ucapnya.

Dahi Amir berkerut-kerut. "Kenapa cakap abang camtu? Abang memang nak dengar Maira cakap Maira sayangkan abang. Sebab sejak abang berjaya memiliki Maira, Maira tak pernah sekali mengatakannya pun! Kalau abang mati dan Maira tak sempat cakap, menyesal Maira nanti, tahu!"

Umairah sekali lagi merenung tajam ke arah suaminya. Rasa geram dan sakit hati bila suami asyik menyebut perkataan itu. Mati? Hisy, bukankah mereka masih muda? Kenapa Amir asyik mengulangi perkataan itu? Dia tak suka!

“Abang, kalau kita dah sayang pada seseorang, ucapan itu dah tak perlu dah. Maira rasa Maira dah buktikan kasih sayang Maira pada abang dengan segala tindakan dan perbuatan. Tak cukup lagi?” Soalnya. Ditatap wajah kacak Amir dengan wajah penuh persoalan. Adakah suaminya ini tidak dapat memahami isi hatinya? Apakah selama ini apa yang dia buat tidak mencerminkan kasih sayangnya? Kenapa perlu dilafaz sedangkan dia telah membuktikan dalam pelbagai cara?

“Sudahlah tu! Jangan nangis! Arwah Amir pun tentu tak suka tengok orang yang dia sayang asyik bersedih. Dah tu, dah! Kalau kamu sayangkan dia, doa banyak-banyak untuk kebaikan dia dekat sana.”
        
Hj Abas yang mendengar tangisan isteri dan menantu sudah tidak berdaya lagi menahan rasa. Mereka perlu disedarkan bahawa tidak baik mengungkit apa yang telah terjadi. Ia bagaikan menangisi takdir. Bagaikan tidak menyenangi takdir Allah. Lupa kepada Qadha dan Qadar. 

Bukan tidak sedih melihat menantu yang teresak-esak di dalam pelukan Hjh Nurain isterinya. Bukan tidak bersimpati. Namun sebagai ketua keluarga, dia harus bertegas. Kenduri tahlil yang dibuat malam ini, bukan bertujuan untuk mengimbas segala-gala duka. Kenduri ini hanya sebagai sedekah juga untuk menginsafi diri bahawa hari-hari untuk ke sana semakin hampir buat mereka. Apalah guna dikesali? Allah lebih mengetahui. Tentu ada hikmah yang menanti.

“Maira, esok kan kerja? Apa kata kawan-kawan kat pejabat tu nanti bila dia orang tengok mata kamu tu bengkak?” Haji Abas sudah memujuk.
        
Haji Abas amat mengerti kesedihan yang ditanggung oleh isteri mahupun menantu.  Amir satu-satunya anak mereka, anak kesayangan. Pemergiannya satu kehilangan yang amat sukar untuk diterima. Dan Umairah? Kemalangan itu tentu amat mengejutkannya. Tentu merenggut kebahagiaan yang baru dikecapi.
        
Dia sendiri kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meraung menangis! Menjerit atau apa sahaja. Tapi tegakah dia? Tidak! Sebagai lelaki, sebagai ketua keluarga ini, dia harus kuat! Kerana, kepada dirinyalah isteri dan menantu menyandarkan harapan. Dia umpama tiang seri sebuah rumah. Tumbang dia, segala-galanya akan hancur. Akan musnah.  
        
“Nur, sabarlah. Kesian Maira. Kalau awak sedih, Maira lagi sedih. Awak tak kesiankan Maira, Nur?” Lembut kata diucap selembut tangan yang membelai belakang isteri.  
        
Perlahan-lahan Hjh Nurain merungkaikan pelukannya terhadap Umairah. Air mata menantunya dikesat dengan jari-jemari tuanya. Hatinya sayu melihat wajah itu.
        
Wajah itu amat cantik dulu. Menantunya ini tinggi orangnya, sama tinggi dengan Amir, anaknya. Mukanya bujur sirih, alis matanya amat lentik. Matanya galak dan hidungnya mancung. Bibirnya yang nipis itu memang menawan terutama bila mengukir senyuman dengan lesung pipit di pipi kanannya. 
        
Tetapi kini, wajah itu jauh berbeza daripada dulu, setahun dulu. Jarang dia mahu tersenyum atau ketawa. Badannya semakin hari semakin kurus. Hjh Nurain tahu yang menantunya memendam rasa sendirian. Umairah sentiasa dapat mengawal perasaannya di hadapan dia dan suami namun dia tahu jauh di sudut hati, menantunya itu amat menderita.
        
“Tidurlah, nak.” Bisiknya kepada Umairah. “Dah lewat sangat ni. Tidurlah. Tenangkan fikiran. Jangan menangis lagi!”
        
Umairah mengangguk. Sesungguhnya dia amat letih. Sesungguhnya dia amat sedih. Dia sedar dia perlu berehat. Perlu tidur kerana esok dia akan bekerja.  
        
Sebaik Hj Abas dan Hjh Nurain meninggalkannya, Umairah melepaskan keluhan lagi. Mata memang mengantuk tetapi dia tidak boleh lena. Tidak dapat memejamkan mata.  Kenangan lalu masih ingin menerjah ingatannya. Hatinya merasa teramat sayu. Terlalu sedih. Dan… kesunyian amat dirasakan saat ini.
        
“Jaga diri baik-baik!”

Masih terdengar-dengar pesanan terakhir itu. Amir mengucapkannya ketika ingin memasuki kereta untuk ke tempat kerja. Oleh kerana Amir bekerja di Ipoh, dia menyewa rumah di sana dan akan balik ke Taman Kota Cheras dua hari sekali. Hari ini, hari Rabu. Bererti, lusa, hari Jumaat, baru mereka akan bertemu semula.  


"Baik, bang." dia membalas manja sambil mengucup tangan suaminya.


Ketika itu, Amir menatap wajahnya dalam-dalam. 


"Abang sayang Maira!" Tegas diungkapkan dan Amir bagai menunggu respons serupa namun Umairah terdiam, terkedu, tidak mampu membalasnya.
        
Manalah Siti Umairah tahu bahawa itu adalah pesanan terakhir suaminya. Manalah dia tahu itulah kali terakhir dia melihat suaminya bernyawa. Sungguh dia tidak menduga bahawa tidak lama lagi hubungan mereka akan tinggal sejarah.

Semasa seseorang datang menyampaikan berita yang menyakitkan itu, dia tidak dapat berkata apa-apa. Dia terpaku memandang wajah lelaki itu. Dia tidak dapat bergerak.
        
Hatinya tidak dapat menerima namun semua itu adalah kenyataan yang terpaksa dihadapi!
        
Berhari-hari selepas jenazah suaminya dikebumikan, dia menangis. Berpisahlah dia daripada Amir Asyraf. Amir Asyraf tidak akan ditemui lagi. Amir akan hanya menjadi kenangan indahnya sampai bila-bila.
        
Kini hilang sudah tempat dia bermanja. Hilang sudah tempat bermesra.
        
Mengenangi peristiwa pada malam itu, penyesalannya terlalu banyak. Kalaulah dia tahu itu adalah kali terakhir mereka bersama? Kalaulah dia tahu dia tidak akan bertemu lagi dengan suaminya? Kalaulah dia tahu itu adalah permintaan terakhir dari Amir? Kalaulah???
        
Pasti dia tidak akan mempersendakan suaminya. Pasti dia tidak akan mempermainkan Amir. Pasti dia akan memberitahu betapa dia amat menyayangi, betapa dia amat menyintai! Pasti! Pasti!
        
Namun sesalan sudah tidak berguna. Amir telah pergi. Dia tidak akan kembali lagi.
        
Dan Umairah menangis teresak-esak. Basah bantal dengan air matanya. Karam hatinya dalam kesedihan dan kepiluan itu.
        
“Abang, maafkan Maira! Maira rindukan abang. Rindu sangat!” Desahnya.
        
Di ruang tamu, Haji Abas yang masih jaga mendengar esak tangis menantunya itu. Hatinya terlalu hiba. Rasa kasihannya bertambah-tambah terhadap Umairah.

Menantunya itu adalah gadis pilihan anaknya sendiri. Dia tahu betapa Amir sangat menyayangi gadis itu. Sejak Umairah ditemui pada kali pertama sehinggalah ke hari-hari terakhir hayatnya, Amir sentiasa memuji gadis itu.
        
“Maira terlalu baik, ayah. Amir amat bertuah kerana berjaya kahwin dengan dia. Amir tahu, Amir sangat sayangkan dia.” Ujarnya. Wajah Hj Abas ditatapi lalu menyambung, “Ayah, kalau ditakdirkan Amir mati dulu, Amir harap ayah carikan jodoh yang baik untuk Maira. Jangan biarkan dia sendirian. Dia masih muda lagi!”
        
Di dalam hati Hj Abas, dia berdoa kepada ALLAH agar Umairah segera dipertemukan jodoh dengan lelaki yang jauh lebih baik daripada anaknya. Supaya segala derita yang ditanggung itu akan segera hilang. Umairah masih muda, fikirnya.

Memang dia dan isteri telah menganggap Umairah sebagai anak mereka sendiri namun saat ini, Umairah lebih memerlukan kasih sayang dan perhatian seorang yang bernama suami!   

10 ulasan:

  1. waaaaaa..
    best2...intro da sedey..
    huhu..
    smbung2,,

    BalasPadam
  2. blh kembangkan lagi mama..
    intro dah cantik..
    tp nak entry cintaku satu gak..
    haha

    BalasPadam
  3. waaaa..
    crta yg mnyedihkan...
    mst akn ada pnganti arwah amair..
    best2...

    BalasPadam
  4. kak sofi...
    sedih sangat....
    sebak.....

    BalasPadam
  5. mcm ne nk bace cte kau bkn die ni..ade episod 1 je ke?

    BalasPadam
  6. salam, awak pergi dkt page kbd kat atas dan tekan nombor yg awal nak, nnt dia kuar..k!

    BalasPadam
  7. awl2 dah sedih..huhu..nk leh ke abis mau bengkak mata sy,..kak sofi ni teror r wat org nangis...huhuhu

    BalasPadam
  8. salam biey,
    ada tisu tak? hehe

    BalasPadam
  9. mula2 dah sedih cam ni.... airmata meleleh tanpa diundang....menyentuh jiwa...good job....org baik selalu Allah jemput dulu, yg ditinggal masih boleh tambah pahala dgn sabar dan redha

    BalasPadam
  10. salam anonymous,
    selamat membaca!

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.