Follow Us @soratemplates

26.11.09

semangat membara, yeah!

November 26, 2009 0 Comments
salam. .


dah seminggu aku tak masuk post.
kenapa? sibuk?
memang sibuk.
sibuk sangat- sangat.
apatah lagi aku ni pulak bukan pandai nak bahagi-bahagi masa.


kacau jiwa dibuatnya.


aku tengah blur nak siapkan manuskrip tmkh.
memang dah ada yang asal tapi ada aje yang aku tak puas hati.
tiba-tiba aje nak ubah jalan cerita tapi dalam masa yang sama, idea tidak pulak datang mencurah-mencurah dalam pengubahsuaian itu.


pergghhh, geram!


entahlah.
jangan-jangan tak dapat aku nak hantar sebelum hari raya haji.ni (ada sehari aje lagi...kuang, kuang, kuang!)


nak buat camne?


kata-kata perangsang pelbagai bahasa pun dah tak ada gunanya.


sabo aje ler, sofi....


tapi,
semangat mesti sentiasa membara, kan!
hehe....


yeah.....


chaiyok!!!!!


cheerio.


   

22.11.09

Kau bukan dia 3

November 22, 2009 2 Comments

Siti Umairah meletakkan beg tangannya perlahan-lahan di atas meja. Dadanya masih berdebar-debar tidak tentu arah. Rasa berdosa begitu mencengkam diri. Berdosa kerana membenarkan lelaki itu memeluk dirinya. Dia rasa berdosa kepada arwah suaminya.

Mengapa? Mengapa lelaki itu tidak membiarkan sahaja dirinya supaya jatuh terus? Mengapa harus melakukan begitu? Mengapa harus memeluknya?
         
Entah kenapa, dia masih ingat betapa kuatnya dia telah memaut tubuh sasa itu. Begitu cekap pula lelaki itu menangkap dia dengan melingkarkan tangannya di pinggang. Ah, malu sungguh!

Dia sangat-sangat berharap agar lelaki itu tidak akan ditemuinya lagi!   
         
Rasa bersalah mencengkam jiwa. Suaminya baru meninggal dunia. Baru setahun! Dan dia? Dia telah memandang lelaki lain. Dadanya berdebar apabila matanya bertentangan dengan sepasang mata lelaki itu.

Umairah mengeluh. Baru semalam, dia menangis, merintih merindui arwah suaminya. Hari ini? Ya, hari ini, dia seolah-olah merasa bahagia dan selamat dalam pelukan lelaki itu! Oh tidak. Tidak!

Maafkan Maira, abang Amir. Maira tak sengaja! Hatinya merintih.

Wajah sugul itu semakin tidak bermaya. Semakin sayu. Semakin layu. Dugaan ini bagai tidak tertahankan lagi. Dugaan ini benar-benar menduga kesabaran. Menduga keimanannya. Menggoncang tekadnya untuk terus setia. Setia pada cinta. Setia pada yang telah pergi. Dan dia tidak tertahan lagi. Wajah disembamkan ke meja. Umairah menangis teresak-esak di situ. Menangis dan terus menangis lagi!
..................

“Maira, jom makan. Dah dekat pukul satu dah ni!” Lela, sahabat baiknya di pejabat itu mengajak. Tiba-tiba sahaja wajahnya tersembul di muka pintu.

Melihat Umairah diam tidak menyahut panggilannya, Lela masuk ke dalam bilik. Mendekati sahabat yang kelihatan begitu leka menghadap komputer.

“Oi, jom pergi makan!”

Umairah mengangkat wajah. 


“Berapa kali aku nak bagitahu? Jangan jerit! Aku bukan pekak!” Marahnya kepada Lela.

Kali ini, giliran Lela pula yang terpegun. Wajah Siti Umairah dipandang dengan penuh persoalan. Masakan tidak! Wajah Umairah sembab. Di sekeliling mata itu pula kelihatan bengkak. Kesan menangis tentunya!

“Kenapa dengan kau, Maira? Mata tu? Kenapa mata kau tu? Bengkak semacam aje aku tengok!” Soal Lela ingin tahu.

Umairah segera mencapai cermin kecil di dalam laci yang terbuka. Dibelek-belek wajahnya itu. Dia kemudian menggeleng-gelengkan kepala. Memang sangat jelas kelihatan matanya bengkak dan sembab.

“Nampaknya, kenalah aku pakai cermin mata hitam ni lagi, Lela.” Dia memberitahu.

“Macam mana boleh bengkak sampai macam tu? Kau buat apa? Menangis lagi?” soal Lela. Wajah Umairah ditatap. Wajah yang mendung dan penuh hiba. Hatinya turut menumpang sedih. Hatinya turut bersimpati kepada sahabat yang sudah kehilangan suami pada usia yang masih terlalu muda ini.

“Semalam, genap setahun Abang Amir meninggal dunia, Lela.” Umairah memberitahu.
         
Lela terpempan. Wajah sahabat baiknya itu ditatap untuk mencari kesahihan cerita. Melihat wajah sedih Umairah, Lela menarik nafas panjang. Sambil menggosok belakang tubuh Umairah, dia cuba memberikan nasihat.
         
“Sabarlah, Maira!”

Umairah tersenyum hambar.

“Hai, diam tak diam, dah setahun rupa-rupanya. Dah setahun abang Amir tinggalkan kau. Tapi kau ni kan, Maira..... Masih sama aku tengok." Lela berkata dengan suara yang agak sinis. 


"Apa maksud kau, Lela? Sama macam mana tu?" Umairah ingin tahu.


"Yalah, maksud aku, keadaan kau, rupa kau! Walaupun dah setahun dia pergi tinggalkan kau, kau tetap berperangai seolah-olah Abang Amir baru mati semalam. Cubalah diri tu diceriakan sikit! Yang mati dah tentu mati, tapi yang hidup tetap kena teruskan kehidupannya." bebel Lela. 


"Kau tak rasa apa yang aku rasa, Lela. Hanya mereka yang mengalami saja yang tahu rasa kehilangan ini." Umairah membalas.


"Memang betul tu, tapi, kau tu masih muda. Takkan kau nak biarkan diri kau terus tenggelam dalam rasa sedih kau tu? Sampai bila?" marah Lela. 


"Entahlah... yang aku tahu, aku belum bersedia untuk berhadapan dengan dunia. Belum bersedia untuk melepaskan kenangan bersama-sama arwah." lembut  bicara meniti bibir Siti Umairah. 



"Maira, cubalah lupakan dia. Dia dah tak ada. Tapi kau masih hidup. Kau kena belajar meluapakan dia untuk meneruskan kehidupan. Bukan jadi pasif macam gini!” pujuk Laila.

Umairah memandang tepat raut wajah bujur sirih teman baiknya. Bagaimana harus dia memberitahu bahawa bila Amir meninggal dunia, dirinya juga dirasakan bagai sudah mati? Memang jasadnya masih di atas muka bumi ini, namun hatinya telah dibawa pergi. Tiada apa yang tinggal lagi di sini! 

Penderitaan, kesedihan, kelukaan...., semua itu ditanggung sendirian. Tidak tahu bagaimana untuk dikongsikan perasaan ini. Tidak tahu dengan siapa untuk dikongsipun! Apa yang dia tanggung, apa yang dia rasa, siapakah yang benar-benar memahami? Siapakah yang benar-benar mengetahui? Merasai? 

Bukankah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul?

“Insya-ALLAH, Lela. Aku dah tak apa-apa. Aku dah cukup kuat sekarang! Usahlah kau risau. Menangis tu...biasalah, kan? Dia kan suami aku?” Balasnya perlahan, sambil cuba menguntum senyuman.



Lela terdiam. Wajah itu sudah menjadi semakin sedih. Jika dibiarkan, mahu meleleh semula air matanya. Alahai, lebih baik dia mengajak Umairah ke kantin segera. Jika tidak, hilang habis keinginan untuk menjamu selera.


Lela menarik tangan Umairah untuk bangun. Dia mengajak, "Dah, jom! Nanti kau tu bila dah sedih sangat mulalah tak lalu nak makan. Masuk angin perut tu nanti, kau sendiri yang susah. Dah, lain kali kita sembang lagi bab ini, okey. Jom!"


"Kau memang! Kalau pasal memaksa orang..." 


Lela ketawa kecil namun tangan kanan Umairah masih dipegangnya. Bagai anak kecil, wanita itu diheret ke kantin. 
.........................................

Mereka turun ke tingkat dua untuk ke kantin syarikat. Ketika mereka sampai, orang tidaklah terlalu ramai. Selalunya di waktu puncak ini, tak menang tangan Mak Limah dibuat mereka. Tetapi hari ini, dek kerana masih lagi awal bulan, ramai yang memilih untuk makan di tempat lain. Alasan mereka? Sudah jemu!

Lela dan Umairah adalah pengunjung tetap di kantin Mak Limah. Mereka berdua tidak pernah makan di tempat lain kecuali ada insan yang sudi menjadi 'sponsor'. Ramai menuduh mereka berdua kedekut. Tidak dipedulikan. Yang penting, ‘soru tak miss.’

“Hai, apa hal kamu ni, Umairah? Kamu ni kan di dalam kantin Mak Limah? Bukan di tengah padang rasanya! Yang kamu pakai kaca mata hitam tu, kenapa? Nampak ke tidak tu?” Mak Limah menegur, mungkin mewakili khalayak yang ada kerana pada ketika itu, ramai juga yang sedang tersenyum-senyum melihat Umairah.


Umairah segera berbisik di telinga Lela, "Agaknya semua orang ingat aku ni dah biul, kut?"

Tiba-tiba dia teringat kepada lelaki itu. Tadi, lelaki itu juga mengusiknya,  mempersenda dirinya kerana memakai cermin mata hitam di pagi hari. Di dalam bangunan pula tu!


'Aduhai, Maira! Lain kali, menangis lagi, okey!' Diri dimarahi.


“Maira sakit mata, Mak Limah. Bengkak tu! Merah tak usah cakaplah, dah macam bijik saga dah! Kalau dia buka spek tu, sah, mesti menjangkit pada kita semua nanti!” Kata-kata Lela menjadi penyelamatnya. Maira hanya mampu mengukir senyum tanda ucapan terima kasih kepada kawan baiknya itu.


“Kamu tak pergi ke hospital, Maira? Kalau dah pergi, mesti doktor dah bagi MC pada kamu. Takkan bolehnya kamu datang kerja. Diorang takut menjangkit nanti.” Mak Limah inginkan kepastian.

Umairah tersenyum. “Maira malas nak pergi hospitallah, Mak Limah. Tu sebab Maira pakai cermin mata. Esok-esok baiklah, kut.” balasnya.

“Tapi, kalau rasa sakit sangat, baik pergi,ya!” Mak Limah berpesan sambil menghulurkan pinggan yang berisi nasi separuh kepada Umairah. 


Umairah mengangguk dan dengan segera dia memilih lauk yang ada. Kalau diikutkan hati, manalah dia ada selera tetapi dia perlu makan juga. Lantas dia mengambil sedikit sambal belacan, ulam-ulaman, sup sayur dan ikan kembung bakar.

Setelah membayar harga makanan, mereka duduk di tempat biasa, di suatu sudut yang agak terpencil dalam dewan makan itu. Masing-masing diam, menikmati hidangan. Umairah menyuapkan makanannya perlahan-lahan. Melihat Lela yang makan dengan enaknya, dia ingin teruskan suapan sehingga tidak ada sebutir nasipun yang tertinggal nanti.
Tiba-tiba suara Lela memecah kesunyian, “Eh, kau tahu tak yang kita dapat bos baru di bahagian pemasaran?”

Umairah mengangkat wajah lalu menggeleng, tanda dia tidak tahu.


"Tak tahu bila dia masuk kerja, tapi Kak Nora cakap, orangnya handsome, Maira!”         

Bila Umairah masih membisu, Lela tidak berpuas hati. “Maira, aku cakap dengan kau ni, kau dengar ke tidak?” Soalnya.
         
“Dengar! Janganlah menjerit! Aku dengar ni...” Umairah bersuara selepas agak lama mendiamkan diri.
         
“Habis tu, kenapa tak ada respons?” Lela menyoal balas.

Umairah tersenyum. Lesung pipit di pipi jelas kelihatan. Malas dia hendak bercakap atau mencelah.
         
“Menyampahlah bercerita dengan kau ni. Tapi tak apalah, aku tetap nak cerita jugak! Dari maklumat tidak rasmi yang aku terima, dia ni masih belum kahwin, umur 30 tahun macho gila cuma...ego sikit kut! Orang macam aku ni setakat kerani cabuk, dia tak pandang! Tapi tak kisahlah kan? Tak dapat dia, jadi secret admirer dia pun, cukuplah. Betul tak?” Lela memberikan maklumat tanpa diminta.

“Lela, Lela! Kau tu kan dah kahwin? Tapi bila bercerita pasal lelaki, bukan main lagi, ya? Kalau Zaki ada kat sini, mesti dia jeles, tau!” Marah Umairah.

Lela ketawa. “Alah, aku cerita aje, bukannya aku hendakkan bos baru tu!"
Umairah tidak lagi mendengar apa yang dikatakan oleh Lela. Matanya terpaku ke ruang masuk dewan makan itu. Hatinya tiba-tiba berdebar terpandangkan lelaki berkemeja kelabu yang sedang berjalan beriringan dengan Tuan Haji Ramli. Tiba-tiba dia menjadi cemas. Dia rasa dia perlu melarikan diri daripada lelaki itu sebelum lelaki itu melihatnya. Peristiwa pagi tadi masih menghantuinya.

“Eh, kenapa dengan kau, Maira? Tiba-tiba aje muka tu jadi pucat?” Lela tersedar akan perubahan pada diri kawannya.

Siti Umairah menggeleng-gelengkan kepalanya yang dipenuhi pelbagai persoalan. Mengapakah lelaki itu berjalan bersama-sama dengan tuan yang empunya syarikat merangkap tuan pengarah? Mengapa serius benar perbualan seolah-olah ada perkara penting yang sedang dibincangkan? Mengapa dirinya selaku Penolong Pengurus Sumber Manusia tidak mengenali siapa lelaki itu?

“Maira?”

Panggilan Lela menyebabkan Umairah merenung ke arah sahabat baiknya semula.

“Aku ok, cuma pening kepala sikit. Kau dah habis makan ke? Kalau dah, jom kita naik!”

Umairah bangun bila melihat anggukan Lela. Dia ingin pergi dari situ. Dia ingin pergi sebelum Tuan Haji Ramli melihat dia. Dia yakin jika Tuan Haji melihatnya, pasti lelaki itu akan datang ke meja. Dan kalau Tuan Haji datang, pasti lelaki berbaju kelabu itu juga akan datang mendekatinya.

Umairah tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki itu. Siapapun dia, Umairah tidak peduli. Yang penting, mereka tidak bertembung lagi. Dia masih tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku pagi tadi. Dia risau jika lelaki itu juga masih mengingatinya. Pagi tadi, lelaki itu mentertawakan dirinya. Tidak mustahil, dirinya akan menjadi bahan usikan lelaki itu lagi.

Umairah menjeling ke arah Lela yang sedang membelek-belek telefon bimbitnya. Tanpa perasaan, tangan sahabat baiknya itu ditarik untuk keluar melalui pintu sisi yang terbuka luas.

“Maira, kau ni apasal? Sakit tangan aku!” Lela tidak senang dengan sikap kasar Umairah.

“Yang kau tu jalan perlahan sangat, apasal pulak? Nanti-nantilah kalau kau nak telefon suami kau tu. Sekarang jom kita ke surau. Nanti lambat pulak masuk ofis.” Umairah berkata sambil meninggalkan Lela terpinga-pinga. 

13.11.09

Kau bukan dia 2

November 13, 2009 5 Comments
kau bukan dia
Hari Isnin. Jam baru menunjukkan pukul 7.45 pagi ketika Siti Umairah sampai di tingkat bawah bangunan 20 tingkat di Jalan Ampang itu. Masih terlalu awal walaupun tadi, dia dalam keadaan tergesa-gesa sewaktu keluar dari rumah. Masakan tidak! Puas dia menggeledah seluruh bilik namun cincin yang selama ini tersarung di jari manis, hilang entah ke mana. Cincin kesayangannya, cincin yang disarungkan oleh Amir ke jarinya pada hari pernikahan mereka. Kalau tidak kerana dipaksa oleh Hj Abas dan Hjh Nurain, tak mahu dia meninggalkan rumah hari ini. Dia mahu terus mencari cincin itu. Bagaimanapun, dia akhirnya mengalah apabila ibu mentuanya berjanji untuk sungguh-sungguh mencari lagi.

Umairah hanya mengenakan sepasang baju kurung berwarna kuning berbunga halus yang dipadankan dengan sehelai tudung berwarna hijau muda. Seperti selalu, dia hanya memakai bedak asas dan mencalitkan sedikit gincu berwarna maple di bibir. Dia tidak mahu ada yang menegur wajahnya pucat lagi. Yang lebih unik pada pagi ini, dia terpaksa memakai kaca mata hitam bagi menutupi sepasang mata yang bengkak akibat terlalu banyak menangis malam tadi.

Walaupun masih lagi awal, orang ramai sudah berpusu-pusu di hadapan pintu lif. Siti Umairah memperlahankan langkah. Dia tidak mahu berebut-rebut. Bukan dia hendak ke manapun, cuma untuk naik ke tingkat lima sahaja.

Mata-mata nakal tetap mencuri pandang ke arahnya. Sebagai seorang wanita yang tinggi mencecah 170cm, ketinggiannya sering menarik perhatian ramai. Wajah cantiknya sering menjadi tumpuan. Namun, wanita yang kehilangan ini tidak pernah mengambil pusing. Malah dia langsung tidak menyedarinya. Kerana, dia masih tenggelam dalam duka. Kerana dia masih bersembunyi di dalam hiba.
        
Tiba-tiba langkah yang diaturnya mati. Terhenti dan menjadi kaku. Seluruh tumpuannya kini terarah kepada sekumpulan lelaki yang sedang berdiri di tengah-tengah ruang legar itu. Sepasang matanya sedang merenung tepat pada suatu susuk tubuh seorang lelaki. Lelaki itu sedang berdiri membelakanginya. Lelaki itu sedang menundukkan kepala. Sedang begitu khusyuk  mendengar celoteh seorang lelaki lain di sebelahnya. Dan, jiwa Umairah amat terseksa melihat sekujur tubuh itu!
        
Dari belakang, lelaki itu dilihatnya seperti Amir. Dari belakang, sekujur tubuh itu adalah Amir. Rambut yang hitam lebat itu sedikit berombak, kemas dan pendek. Bahu yang tegap itu amat bergaya dengan kemeja kelabu berlengan panjang. Seluar slack berwarna hitam yang dipakai nampak begitu sesuai untuknya.

Akal waras Umairah berkecamuk. Kerinduan kepada Amir mengatasi daya fikir. Tidak berfungsi otaknya untuk merasionalkan desakan hati. Yang dia tahu, lelaki itu ialah suaminya. Yang dia pasti, itu ialah abang Amirnya. Saat itu dia benar-benar yakin bahawa Amir Asyraf sudah kembali ke pangkuannya. 

Resah dalam hati selagi wajah itu tidak dapat dilihat.

Kenapa abang Amir begitu asyik berbual-bual? Tidakkah dia ingin berkalih memandang diri ini? Tidakkah rindu pada diriku?

Pusingkanlah tubuhmu itu wahai lelaki!

Seakan-akan mendengar rintihan Umairah, lelaki itu terus sahaja meluruskan badannya. Sejurus selepas itu, dia memusingkan tubuhnya sebanyak seratus lapan puluh darjah. Kini, mereka saling berhadapan. Ya, lelaki itu sedang memandang tepat ke arah Umairah.

Lama Umairah membalas renungan lelaki itu. Lama dibiarkan mata mereka saling berpandangan. Lama dia memerhati sebelum akhirnya dia meleraikan tatapan.

Bukan dia! Bukan dia! Bukan abang Amir! Bukan! Bukan! Desahnya perlahan.

Mengapa buta benar dirinya? Mengapa tidak perasan? Bagaimana boleh mengatakan itu Amir sedangkan sesungguhnya, lelaki itu begitu jauh berbeza perawakannya? Tiada persamaan langsung di antara kedua-dua mereka!

Amir Asyraf sama tinggi dengannya. Lelaki ini? Dia terpaksa mendongak untuk melihat seraut wajah itu. Amir Asyraf kulitnya sawo matang. Lelaki ini? Cerah. Yang pasti, hidung suaminya kecil dan comel sedangkan lelaki ini? Hidung mancungnya terpacak. Dan yang paling jelas berbeza, suaminya mempunyai bibir yang merah tetapi lelaki ini sedang beria-ia menghembuskan asap rokoknya!

‘Bukan, lelaki itu bukan Amir.’ Hati Umairah merintih sedih.
        
Di sebalik cermin mata hitamnya itu, ada air mata yang sudah menitis. Umairah telah kembali ke alam realiti. Alam fantasinya telah berakhir. Menyedari kesilapan yang baru sahaja dilakukan, menyedari sikapnya yang tidak sopan tadi, membuat dia merasa tersangat malu.

Kerinduan terhadap arwah Amir membuat dirinya tidak keruan!
        
Umairah perlu meninggalkan ruang legar itu. Nafasnya dirasakan sesak tiba-tiba. Udara dalam bilik itu seolah-olah telah kekurangan oksigen. Jantungnya pula berdenyut kencang. Hatinya berdebar-debar. Ya, Umairah tahu, dia harus keluar dari kawasan itu. Dia harus pergi meninggalkan lelaki itu, lelaki yang masih lagi merenung dirinya dengan pandangan yang tajam.
        
Siti Umairah lantas membuat keputusan untuk menaiki tangga sahaja. Memanglah pejabatnya di tingkat lima namun dek kerana malu, walau ke tingkat 20 pun, dia pasti akan meneruskan niatnya. Tidak kisahlah kalau terpaksa merangkak pun, dia rela! Asalkan dia dapat melarikan diri daripada lelaki itu. Ya, dia harus melarikan diri daripada lelaki itu. Dia benar-benar malu.

Oh Tuhan, apakah yang sedang difikirkan oleh lelaki itu terhadap dirinya? Apakah anggapan lelaki itu terhadapnya? Mengapakah pada pagi ini, selepas setahun kematian suaminya, dia melakukan kesilapan ini? Mengapa?
        
Entah kerana kesedihannya atau mungkin kerana tidak menumpukan perhatian kepada anak-anak tangga yang dipijak, kaki Siti Umairah tergelincir. Nyaris dia tidak terguling. Nyaris tidak jatuh tersungkur! Nyaris dirinya dapat disambut oleh seseorang!

‘Alhamdulillah. Nasib baik tak jatuh.’ Bisik Umairah dalam hati. ‘Kussssss semangat!’

Berasa tenang dalam kehangatan pelukan itu. Berasa damai dan selamat dalam dakapan erat itu. Berasa selesa dan ingin terus dibelai oleh tangan yang sedang mengusapi belakang tubuhnya. Mata terpejam rapat. Usapan menyebabkan dia merapatkan diri, membiarkan tubuh disandarkan manja.

“Hei, awak ok tak ni?”

“Hmmm....”

“Cik adik, kita ni bukan muhrim, tau?”

“Hah?”

Siti Umairah segera meleraikan pelukan. Segera menjauh. Dia sedang cuba mencerakin perbuatannya ketika suara garau itu berkata dalam tawa, “Though I like that very much, too!”

Umairah membisu tanpa suara. Dia kebingungan.

“Itulah, yang pagi-pagi buta ini saudari pakai cermin mata hitam tu, kenapa? Macam mana nak nampak tangga? Kan gelap lagi ni? Nasib baik saya ada, kan? Kalau tidak.....?” Lelaki itu terus mengusiknya lagi.

Tidak tahu bagaimana hendak digambarkan perasaan Umairah ketika itu. Pipinya merona merah. Dadanya berdegup kencang. Hatinya berdebar-debar. Yang pasti, sekali lagi, dia telah memalukan dirinya sendiri. Yang pasti, sekali lagi, dia telah melakukan sesuatu yang tidak seharusnya dia lakukan. Yang pasti, dia bukan dirinya hari ini!

Tadi, di ruang legar dia telah melakukan satu kesilapan. Dan kini, dia melakukan kesilapan lagi. Mengapakah dengan dirinya hari ini? Apakah yang tidak kena? Kenapakah dia melakukannya? Di manakah kewarasan fikiran? Atau sememangnya dia sudah hilang akal? Sudah gila?

Siti Umairah ingin meminta maaf. Ingin memberitahu bahawa bukan niat dia untuk melakukan apa yang dia telah buat. Ingin menjelaskan bahawa dia bukan begitu sifatnya, memeluk seorang lelaki sesuka hati. Bukan! Dia bukan begitu!

Demi ingin meminta maaf, Umairah terpaksa mendongak untuk memandang ke arah lelaki yang baru sahaja menyelamatkannya tadi. Namun bila mata bertentangan, dia mendapati bahawa dirinya kini sedang berhadapan dengan lelaki yang berada di ruang legar tadi. Lelaki yang telah dipandang dengan penuh asyik. Lelaki yang sama, yang disangkanya Amir?
        
Umairah tidak jadi hendak meminta maaf. Malah, dia tidak lagi mahu meminta maaf. Saat itu, apa yang ingin dilakukannya ialah dia ingin pergi dari situ. Ingin menjauhi lelaki itu. Dengan harapan mereka tidak akan bertemu lagi. Ya, dia tidak lagi mahu menemui lelaki itu!

Tanpa sepatah kata, Umairah menanggalkan kasutnya. Dari ekor mata, dia dapat melihat lelaki itu menjungkitkan kening, tanda ingin tahu apa yang akan dilakukannya. Umairah tidak peduli. Persoalan yang bermain di minda lelaki itu, tidak harus diambil tahu. Lantas, kasut itu dijinjit. Dia naik ke atas dengan berkaki ayam. Langkah diteruskan untuk menuju ke pejabatnya.Tanpa menoleh, dia dapat mendengar suara garau itu tertawa. Ya, lelaki itu sedang mentertawakan dirinya. Benar-benar ketawa!

10.11.09

Kau bukan dia 1

November 10, 2009 10 Comments
Ini sebuah novel yang pendek. Maksudnya, ia sebuah cerita. Hendak aku tulis sebagai cerpen, idea melimpah (pada masa itu lah!).  Hendak dibuat cerita yang panjang aka novel, jenuh otak diperah, tak keluar-keluar juga ilham rasa. Jadi akhirnya, cukuplah setakat beberapa bab sahaja. Janji, cerita yang aku beri tajuk kau bukan dia ini memberi kepuasan kepada kawan-kawan lama dan baru yang sering menjadi tetamu di blog 'luahan'ku. 
....................................
Kau bukan dia 1 
        
kau bukan dia
Hj Abas dan Hjh Nurain saling berpandangan. Kaku sebentar langkah kaki yang diatur. Tidak jadi mereka hendak meneruskan hasrat untuk tidur, walau jam sudah menghampiri angka 2 pagi. Suara esakan seorang perempuan dari dalam bilik yang sedang dilintasi membuat dada masing-masing dihujani sebak.

"Nur, pergilah awak tengok menantu kita. Dia tengah sedih sangat. Pujuklah dia."

"Abang tak nak masuk? Bukan ke selama ini abang yang selalu nasihatkan dia?" Hjh Nurain bertanya dengan dahi yang berkerut.

"Tak apa. Awak masuk dulu. Cuba sabarkan dia. Nanti abang ikut."  Ujar Hj Abas kepada isterinya sambil melangkah lemah ke arah ruang tamu semula.

Hjh Nurain menarik nafas panjang-panjang. Mulut terkumat-kamit sebelum pintu bilik menantunya diketuk. Lama dia menunggu namun tuan punya diri tidak juga membuka pintu.

"Siti Umairah?" Panggilnya sambil menjenguk ke dalam. Sepasang mata tertumpu ke arah katil.

"Mak..." Siti Umairah bergegas bangun. Sungguh dia tidak menyedari kehadiran ibu mentuanya. Kalau dia tahu....... Tergesa-gesa, dia cuba membetulkan rambut yang kusut masai dengan jari. Rambut separas bahu itu dikuis-kuis.

"Kamu menangis." Bisik Hjh Nurain demi melihat kesan titisan air mata menantu di pipi.

Umairah cuba mengelak pandangan tajam ibu mentuanya.

Hjh Nurain berjalan perlahan-lahan menghampiri Umairah. Dia kemudian duduk di birai katil. Ditepuk tempat kosong di sisi, isyarat menyuruh menantu duduk. Bila Umairah melabuhkan punggung di sisinya, segera tubuh kurus itu dirangkul. Dipeluk dan dibelai. Dibiarkan sahaja Umairah menyambung semula tangisnya. Dibiarkan sahaja Umairah melepaskan segala kesedihan yang terkumpul selama ini. Hampir 20 minit lamanya, namun dia tidak bersuara. Dia terlalu faham perasaan Umairah.

“Diam tak diam, dah setahun dia pergi meninggalkan kita.” Akhirnya Hjh Nurain berbisik. Belakang tubuh Umairah dibelai manja. "Mak faham perasaan kamu, Maira. Mak faham sangat-sangat. Tapi, nak... usahlah dikenangkan sangat. Yang pergi, tetap pergi. Dia makin jauh dari kita." 
        
Perlahan-lahan, Umairah merenggangkan dirinya daripada keselesaan belaian ibu mentua. Dia cuba mengukir sebuah senyuman tetapi hambar. Bagaimanakah bisa menguntum senyum di saat hati sedang gundah? Di saat hati penuh kedukaan?

"Maira mintak maaf, mak. Maira dah janji yang Maira tak nak menangis lagi. Tapi.."

"Tapi, Amir suami kamu. Suami yang baru lima bulan memberi kebahagiaan pada kamu dan tiba-tiba dia pergi dijemput Ilahi."  

Ya, hari ini, genap setahun Amir meninggal dunia. Kapten Pilot Amir Asyraf bin Hj Abas, seorang jurulatih di sebuah syarikat penerbangan yang beroperasi di Ipoh. Amir Asyraf yang berjaya merebut cintanya setelah berhempas pulas mencuba selama hampir tiga tahun. Amir Asyraf, lelaki periang yang tidak kenal erti putus asa untuk memikat dirinya. Dan akhirnya berjaya membina sebuah mahligai cinta indah mereka. Malangnya, baru lima bulan usia perkahwinan mereka kapal terbang kecil 'Cessna' yang dinaiki bersama anak didiknya terhempas di Hutan Belum.

Amir pergi bagaikan kilat, hilang tanpa bayang. Meninggalkan Umairah terkapai-kapai kebingungan. Meninggalkan Umairah keresahan. Selama setahun, Umairah bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Segala-galanya terasa hambar. Segala-gala yang dilakukan dibayangi Amir. Kemana sahaja dia melangkah, Amir Asyraf bagaikan bayang-bayang yang tidak pernah menghilang.

Kerana sayangkan Amir, dia membuat keputusan untuk kekal tinggal bersama mertua. Amir Asyraf adalah anak tunggal kepada Hj Abas dan Hjh Nurain. Dulu, semasa baru berkahwin mereka tinggal bersama dan Umairah tidak sampai hati untuk keluar daripada rumah itu. Dia kesiankan ibu mertuanya. Tetapi yang lebih penting, kenangan dia bersama Amir terlalu banyak dalam rumah itu. Kalau dia berpindah, kenangan itu akan terpaksa ditinggalkan dan Umairah tidak rela. Lagipun, ibu dan ayahnya tidak menghalang. Mereka turut menyetujui bahawa Hj Abas dan Hjh Nurain lebih memerlukan Umairah.

"Maafkan Maira sebab Maira nangis lagi, mak. Tapi Maira tak dapat nak tahan air mata ni. Abang Amir pergi mengejut aje. Itu yang kadang-kadang Maira tak boleh nak terima." Bisik Umairah lemah.

"Tapi Maira kena ingat. Kalau Allah nak ambil nyawa kita, tengah kita duduk macam gini pun, Dia boleh lakukannya. Kita sebagai hambaNya, kena redha. Mak tau, Maira sayang sangat pada Amir. Amir pun sama gak. Tapi, Maira kena teruskan hidup sebab Maira masih muda. Antara Maira dengan Amir dah tinggal kenangan aje. Masa depan Maira di dunia ni pulak masih jauh. Maira faham maksud mak?"

Umairah mengangguk. Sesungguhnya dia mengerti apa yang cuba disampaikan ibu mertua kepadanya. Sesungguhnya itulah juga pesanan Amir kepadanya pada malam terakhir mereka bersama.

Dia teringatkan peristiwa yang berlaku setahun yang lalu. Di atas katil inilah, suami kesayangan merenung wajahnya dengan pandangan redupnya itu sambil berkata, “Bila abang tak ada nanti, Maira jaga diri Maira baik-baik! Duduklah di sini dengan emak, dengan ayah. Abang tahu, mereka amat sayangkan Maira. Mairalah pengganti abang sebab Maira dah macam anak mereka sendiri.”
        
Umairah masih ingat lagi bagaimana dia mempersendakan kata-kata suaminya.
        
“Yalah, Encik Amir. Encik Amir nak pergi mana? Pesan macam gitu pada Puan Umairah? Encik Amir Asyraf dah tak sayang pada Siti Umairah lagi?” Usiknya sambil mencubit pipi suaminya.
        
Mendengar usikan itu, Amir segera memeluknya. Pipinya dicium penuh kasih sayang. Suaminya berbisik lagi, “Maira ni....., abang cakap betul-betul ni, sayang! Abang bukan main-main. Ingat pesan abang ni! Bila abang tak ada nanti, jaga diri tu baik-baik. Jangan bersedih. Insya-ALLAH, Maira akan dapat pengganti yang lebih baik daripada abang.”
        
Mendengar kata-kata suaminya itu, ketawa Umairah hilang. Wajah ceria bertukar muram. Bibir Amir ditekup dengan telapak tangannya.

“Kenapa mengarut ni,mmm? Kenapa pulak Maira nak cari orang lain sedangkan Maira dah ada suami yang hebat ni? Lagipun, sejak kita kahwin, tak pernah pun Maira pandang pada lelaki lain. Sedih tau, dengar abang cakap macam ni. Nak merajuklah!”
        
Dia telah merajuk pada masa itu. Sengaja dia menjauhkan dirinya daripada Amir. Tapi satu kelebihan suaminya itu ialah dia pandai memujuk. Dengan lemah lembut, Umairah ditarik kembali ke dalam pelukannya. Amir bukan sahaja memujuknya dengan kata-kata malah mesra sungguh perbuatan suaminya waktu itu. Dan Umairah manja membalas. Namun tidak lama kemudian, dengan wajah yang serius, Amir tiba-tiba berkata, “Maira, Maira tahu tak yang Maira tak pernah mengucapkan sayang pada abang walau pun sekali. Maira sedar tak?”
        
Kata-kata Amir membuat Umairah ketawa. "Maksud abang? Abang nak Maira cakap 'I love you?' soalnya.

Amir mengangguk.

"Maira cintakan abang?" soalnya lagi sambil ketawa-ketawa.

Amir angguk lagi.

"Wo ai ni?"

Kali ini anggukan Amir dibalas dengan suatu cubitan di lengan. "Ngada-ngada!" Ucapnya.

Dahi Amir berkerut-kerut. "Kenapa cakap abang camtu? Abang memang nak dengar Maira cakap Maira sayangkan abang. Sebab sejak abang berjaya memiliki Maira, Maira tak pernah sekali mengatakannya pun! Kalau abang mati dan Maira tak sempat cakap, menyesal Maira nanti, tahu!"

Umairah sekali lagi merenung tajam ke arah suaminya. Rasa geram dan sakit hati bila suami asyik menyebut perkataan itu. Mati? Hisy, bukankah mereka masih muda? Kenapa Amir asyik mengulangi perkataan itu? Dia tak suka!

“Abang, kalau kita dah sayang pada seseorang, ucapan itu dah tak perlu dah. Maira rasa Maira dah buktikan kasih sayang Maira pada abang dengan segala tindakan dan perbuatan. Tak cukup lagi?” Soalnya. Ditatap wajah kacak Amir dengan wajah penuh persoalan. Adakah suaminya ini tidak dapat memahami isi hatinya? Apakah selama ini apa yang dia buat tidak mencerminkan kasih sayangnya? Kenapa perlu dilafaz sedangkan dia telah membuktikan dalam pelbagai cara?

“Sudahlah tu! Jangan nangis! Arwah Amir pun tentu tak suka tengok orang yang dia sayang asyik bersedih. Dah tu, dah! Kalau kamu sayangkan dia, doa banyak-banyak untuk kebaikan dia dekat sana.”
        
Hj Abas yang mendengar tangisan isteri dan menantu sudah tidak berdaya lagi menahan rasa. Mereka perlu disedarkan bahawa tidak baik mengungkit apa yang telah terjadi. Ia bagaikan menangisi takdir. Bagaikan tidak menyenangi takdir Allah. Lupa kepada Qadha dan Qadar. 

Bukan tidak sedih melihat menantu yang teresak-esak di dalam pelukan Hjh Nurain isterinya. Bukan tidak bersimpati. Namun sebagai ketua keluarga, dia harus bertegas. Kenduri tahlil yang dibuat malam ini, bukan bertujuan untuk mengimbas segala-gala duka. Kenduri ini hanya sebagai sedekah juga untuk menginsafi diri bahawa hari-hari untuk ke sana semakin hampir buat mereka. Apalah guna dikesali? Allah lebih mengetahui. Tentu ada hikmah yang menanti.

“Maira, esok kan kerja? Apa kata kawan-kawan kat pejabat tu nanti bila dia orang tengok mata kamu tu bengkak?” Haji Abas sudah memujuk.
        
Haji Abas amat mengerti kesedihan yang ditanggung oleh isteri mahupun menantu.  Amir satu-satunya anak mereka, anak kesayangan. Pemergiannya satu kehilangan yang amat sukar untuk diterima. Dan Umairah? Kemalangan itu tentu amat mengejutkannya. Tentu merenggut kebahagiaan yang baru dikecapi.
        
Dia sendiri kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meraung menangis! Menjerit atau apa sahaja. Tapi tegakah dia? Tidak! Sebagai lelaki, sebagai ketua keluarga ini, dia harus kuat! Kerana, kepada dirinyalah isteri dan menantu menyandarkan harapan. Dia umpama tiang seri sebuah rumah. Tumbang dia, segala-galanya akan hancur. Akan musnah.  
        
“Nur, sabarlah. Kesian Maira. Kalau awak sedih, Maira lagi sedih. Awak tak kesiankan Maira, Nur?” Lembut kata diucap selembut tangan yang membelai belakang isteri.  
        
Perlahan-lahan Hjh Nurain merungkaikan pelukannya terhadap Umairah. Air mata menantunya dikesat dengan jari-jemari tuanya. Hatinya sayu melihat wajah itu.
        
Wajah itu amat cantik dulu. Menantunya ini tinggi orangnya, sama tinggi dengan Amir, anaknya. Mukanya bujur sirih, alis matanya amat lentik. Matanya galak dan hidungnya mancung. Bibirnya yang nipis itu memang menawan terutama bila mengukir senyuman dengan lesung pipit di pipi kanannya. 
        
Tetapi kini, wajah itu jauh berbeza daripada dulu, setahun dulu. Jarang dia mahu tersenyum atau ketawa. Badannya semakin hari semakin kurus. Hjh Nurain tahu yang menantunya memendam rasa sendirian. Umairah sentiasa dapat mengawal perasaannya di hadapan dia dan suami namun dia tahu jauh di sudut hati, menantunya itu amat menderita.
        
“Tidurlah, nak.” Bisiknya kepada Umairah. “Dah lewat sangat ni. Tidurlah. Tenangkan fikiran. Jangan menangis lagi!”
        
Umairah mengangguk. Sesungguhnya dia amat letih. Sesungguhnya dia amat sedih. Dia sedar dia perlu berehat. Perlu tidur kerana esok dia akan bekerja.  
        
Sebaik Hj Abas dan Hjh Nurain meninggalkannya, Umairah melepaskan keluhan lagi. Mata memang mengantuk tetapi dia tidak boleh lena. Tidak dapat memejamkan mata.  Kenangan lalu masih ingin menerjah ingatannya. Hatinya merasa teramat sayu. Terlalu sedih. Dan… kesunyian amat dirasakan saat ini.
        
“Jaga diri baik-baik!”

Masih terdengar-dengar pesanan terakhir itu. Amir mengucapkannya ketika ingin memasuki kereta untuk ke tempat kerja. Oleh kerana Amir bekerja di Ipoh, dia menyewa rumah di sana dan akan balik ke Taman Kota Cheras dua hari sekali. Hari ini, hari Rabu. Bererti, lusa, hari Jumaat, baru mereka akan bertemu semula.  


"Baik, bang." dia membalas manja sambil mengucup tangan suaminya.


Ketika itu, Amir menatap wajahnya dalam-dalam. 


"Abang sayang Maira!" Tegas diungkapkan dan Amir bagai menunggu respons serupa namun Umairah terdiam, terkedu, tidak mampu membalasnya.
        
Manalah Siti Umairah tahu bahawa itu adalah pesanan terakhir suaminya. Manalah dia tahu itulah kali terakhir dia melihat suaminya bernyawa. Sungguh dia tidak menduga bahawa tidak lama lagi hubungan mereka akan tinggal sejarah.

Semasa seseorang datang menyampaikan berita yang menyakitkan itu, dia tidak dapat berkata apa-apa. Dia terpaku memandang wajah lelaki itu. Dia tidak dapat bergerak.
        
Hatinya tidak dapat menerima namun semua itu adalah kenyataan yang terpaksa dihadapi!
        
Berhari-hari selepas jenazah suaminya dikebumikan, dia menangis. Berpisahlah dia daripada Amir Asyraf. Amir Asyraf tidak akan ditemui lagi. Amir akan hanya menjadi kenangan indahnya sampai bila-bila.
        
Kini hilang sudah tempat dia bermanja. Hilang sudah tempat bermesra.
        
Mengenangi peristiwa pada malam itu, penyesalannya terlalu banyak. Kalaulah dia tahu itu adalah kali terakhir mereka bersama? Kalaulah dia tahu dia tidak akan bertemu lagi dengan suaminya? Kalaulah dia tahu itu adalah permintaan terakhir dari Amir? Kalaulah???
        
Pasti dia tidak akan mempersendakan suaminya. Pasti dia tidak akan mempermainkan Amir. Pasti dia akan memberitahu betapa dia amat menyayangi, betapa dia amat menyintai! Pasti! Pasti!
        
Namun sesalan sudah tidak berguna. Amir telah pergi. Dia tidak akan kembali lagi.
        
Dan Umairah menangis teresak-esak. Basah bantal dengan air matanya. Karam hatinya dalam kesedihan dan kepiluan itu.
        
“Abang, maafkan Maira! Maira rindukan abang. Rindu sangat!” Desahnya.
        
Di ruang tamu, Haji Abas yang masih jaga mendengar esak tangis menantunya itu. Hatinya terlalu hiba. Rasa kasihannya bertambah-tambah terhadap Umairah.

Menantunya itu adalah gadis pilihan anaknya sendiri. Dia tahu betapa Amir sangat menyayangi gadis itu. Sejak Umairah ditemui pada kali pertama sehinggalah ke hari-hari terakhir hayatnya, Amir sentiasa memuji gadis itu.
        
“Maira terlalu baik, ayah. Amir amat bertuah kerana berjaya kahwin dengan dia. Amir tahu, Amir sangat sayangkan dia.” Ujarnya. Wajah Hj Abas ditatapi lalu menyambung, “Ayah, kalau ditakdirkan Amir mati dulu, Amir harap ayah carikan jodoh yang baik untuk Maira. Jangan biarkan dia sendirian. Dia masih muda lagi!”
        
Di dalam hati Hj Abas, dia berdoa kepada ALLAH agar Umairah segera dipertemukan jodoh dengan lelaki yang jauh lebih baik daripada anaknya. Supaya segala derita yang ditanggung itu akan segera hilang. Umairah masih muda, fikirnya.

Memang dia dan isteri telah menganggap Umairah sebagai anak mereka sendiri namun saat ini, Umairah lebih memerlukan kasih sayang dan perhatian seorang yang bernama suami!   

7.11.09

puaskah? perlukah? entah!

November 07, 2009 2 Comments
salam.
Rasa lama bebenor tak meluahkan perasaan kat blog nih. Hisy, jangan le salah tafsir... aku bukan nak marah ke apa, jauh sekali nak bersedih (buat orang sedih tu lain le pulak, hehe).


Nak masuk tmkh, x leh (nanti ingkar perintah (Ya, tuan, tabik!) 
Nak masuk n3 baru cintaku satu...alamak, belum siap lagi kawan-kawanku suma.. kepala ada sikit biol nak teruskan yang kali ni, x tahu nape?
Nak masuk cerpen? alahai.... no idea


aduyai...negatip pulak dah....
chaiyok-chaiyok! bangun! bangun! 
bagi kata-kata mutiara cket.....please!!!!!

Jadi, kat bawah ni adalah kata-kata dorongan untuk aku dan anda semua. 
baca, jangan tak baca! dan......buat, jangan tak buat!

* Berhati-hatilah dengan kemarahan seorang yang sedang bersabar.

* Tanpa permulaan, anda tidak akan sampai ke mana-mana.

* Adalah lebih baik untuk mengetahui kelemahan dan kegagalan sendiri daripada menuding kesalahan kepada pihak lain.

* Setiap malam sebelum tidur, anda perlu menetapkan satu matlamat di dalam minda . Anda menguatkannya dari hari ke hari.

* Jagalah apa yang anda suka atau anda terpaksa menyukai apa yang anda dapat. (Yang ini paling aku suka. mendalam maknanya!)

* Lelaki yang bijak dapat membaca buku dan kehidupan sekaligus.

* Kesabaran akan lebih menguntungkan daripada kekuatan yang dimiliki. (hmmmm, faham. faham.)

* Jika anda hilang segala-galanya, jangan lupa, kerana anda masih mempunyai masa depan.

* Sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan tidak akan mengenal kemanisan. (auw..jadi kena sakit dulu ya, kawan2)

* Masyarakat abad dahulu menggunakan tenaga manusia untuk membina sebuah monumen yang indah sekali. Masyarakat abad kini menggunakan jentera hanya untuk membina sebuah kedai. (lihatlah kehebatan ketamadunan, yeah!)

* Tidak pernah wujud orang malas. Orang yang dianggap malas ialah orang yang tidak dapat mencari pekerjaan yang sesuai dengan minatnya. (masalah nih!)

* Jika poket anda penuh, anda tidak akan kekurangan sahabat. (kawan ketawa senang didapat..hehehe)

* Semua perkara adalah sukar sebelum ia menjadi mudah.

* Mimpi itu adalah perlu dalam hidup.

* Seorang lelaki boleh dikalahkan tetapi tidak boleh dimusnahkan.(ya tak ya, pupuis lak kang, apa jadi pada kaum hawa? eeeiii... katakan tidak!)

* Kemenangan terhadap diri sendiri adalah lebih baik daripada kemenangan terhadap orang lain.

* Orang pengecut ialah orang yang melihat sesuatu yang benar tetapi tidak melakukannya.

* Kemenangan hanya untuk orang yang berhak mendapatkannya.

* Lebih mudah untuk memenuhi impian kita yang pertama daripada cuba untuk mengejar impian-impian lain selepasnya.

* Tidak ketawa walaupun sehari amat merugikan. (ni nak gelaklah ni..hahaha)

* Anda tidak boleh mengubah masa lepas anda. Tetapi anda boleh memusnahkan diri anda kini sekiranya terlalu memikirkan masa depan anda! (ingat tu!)

* Tidak penting sama ada berapa lama kita hidup. Yang penting bagaimana keadaan kita semasa hidup.

* Berdoa dan meminta bukannya perkara yang sama.

* Berterima kasihlah kepada pokok yang memberi anda perlindungan dengan tidak memusnahkannya.

* Sembahyang adalah prinsip utama dalam hidup. Memberi alasan tidak cukup masa untuk melakukannya adalah hinaan kepada Allah.

* Jangan tinggalkan hingga esok apa yang boleh disiapkan hari ini.

* Tiada hiburan yang lebih murah daripada membaca. (Jadi, ajak kawan-kawan lain baca kat sini, k!)

* Apabila semua benda kelihatan semakin hilang, ingatlah bahawa masa depan masih ada.

* Rasuah akan sentiasa wujud selagi masih ada perasaan tamak dalam diri manusia.

* Jangan sangka diri kita adalah yang terbaik kerana kita belum kecapi kejayaan yang orang lain capai.

* Tidak semestinya orang yang berjaya terus berjaya dan orang yang gagal terus gagal.

* Orang yang serba kekurangan kurang mengetahui kelemahan dirinya sebaliknya sentiasa menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku.

* Dalam dunia ini lebih ramai yang berlidah buaya daripada yang berlidah manusia. (eh, aku pernah tengok ke lidah buaya? x pe, nnt bukan nat geo...)

* Dunia bukanlah tempat menunjukkan kekuatan tetapi untuk kita rasai nikmatnya.

* Orang yang sentiasa berusaha ialah seorang yang takutkan kegagalan.

* Seseorang yang cepat mendaki ke puncak akan cepat pula jatuh ke bumi.

* Kepakaran seseorang tidak akan ke mana selagi dia tidak membuktikannya melalui pelaksanaan.

* Sewaktu senang kita lebih menghargai kekayaan tetapi sewaktu susah kita akan lebih menghargai kesihatan.

* Penipu yang mahir sekalipun tidak akan menyedari sekiranya dirinya ditipu.

* Kegagalan adalah permulaan kepada kejayaan. (iya, ke?)

* Harta boleh menjadikan seseorang yang tamak sebagai hambanya.

* Kecantikan dan kebaikan tidak wujud bersama (ouch...betul ke ni?)

* Peperangan hanya boleh menjanjikan kemenangan selepas kemusnahan dan kematian

* Setiap manusia hanya mempunyai dua matlamat iaitu cita-cita dan kejayaan

* Harta menjamin dunia. Iman menjaminkan akhirat

* Penghalang kepada kejayaan adalah fikiran sendiri, bukannya kecacatan atau kekurangan

* Seorang anak tidak akan mengetahui kasih sayang ibu bapa terhadapnya sehinggalah dia mempunyai anak sendiri (ha, hayat...so ko kena kawin cepat2, baru ko tahu macam mana mama sayang kat ko, hehe.)

* Kawan yang sebenar ialah seorang yang dapat menerima diri anda yang sebenar.

* Masa adalah sekolah di mana kita belajar. Masa adalah api di dalamnya kita terbakar.

* Manusia mesti menamatkan peperangan, jika tidak peperangan akan menamatkan manusia.

* Arus masa depan telah tiba dan tiada cara melawannya.

* Kisah cinta yang sebenar tiada akhirnya.

* Bukti terbaik cinta ialah kepercayaan.

* Kita lebih banyak berusaha untuk menegakkan benang basah daripada berusaha memperbaiki kelemahan diri.

* Jika kita melakukan sesuatu dengan keikhlasan, nescaya ganjaran yang kita terima juga setanding dengan apa yang kita usahakan.

* Semangat yang kuat mampu mengatasi apa sahaja cabaran yang datang.

* Selagi kita mencuba dan berusaha, selagi itulah kita akan beroleh apa yang kita hajati.

* Dendam adalah manis. Balasannya adalah pahit. (jangan berdendam! balas jahat dengan kebaikan!)

* Fikiran membawa kepada pekerjaan. Pekerjaan membawa kepada kejayaan. Kejayaan membawa kepada impian.

kawan-kawan,  baca dan fahamilah luahan kali ini. tiap satu membawa maksud tersendiri. yang jelas, ada mesej untuk kita renungi. kalau perlu, berubahlah! demi menjadi seorang yang lebih baik esok berbanding hari ini.

cheerio.