Langkau ke kandungan utama

Kalau ku turutkan hati......

-->

Aida Nasuha melangkah perlahan-lahan sebaik keluar daripada lif untuk menuju ke pejabat peguam Allahyarham Ikhwan. Keadaan ketika itu agak sunyi kerana hari sudah menjelang petang. Hati tidak langsung mahu masuk ke dalam bilik itu. Dia tahu, dugaan yang lebih hebat berada di dalam sana. Yang pasti, segalanya akan lebih menyakitkan berbanding apa yang sudah dia alami selama ini! 

Semakin dekat dirinya dengan pintu bilik encik Izham, semakin kuat debaran jantungnya. Semakin susah hatinya. Semakin takut! Sekelumit rasa gerun singgah dalam diri. Ya, dia takut untuk berhadapan dengan...lelaki itu! Lelaki yang pasti amat membenci dirinya kini! 

Sepasang mata Aidil Zafran tidak berkalih dari muka pintu. Dia tahu, sebentar lagi sekujur tubuh itu akan tiba. Dia pasti, wanita itu akan hadir juga. Tentu sahaja wanita tamak itu tidak mahu melepaskan peluang untuk mendengar bacaan wasiat arwah Ikhwan. Tentu juga, dia mengharapkan ada yang lumayan menanti dirinya! Arghh, dasar perempuan... 

Pandangan bertembung! Dua pasang mata saling bertatapan. Milik si lelaki penuh amarah, penuh kebencian. Milik si wanita penuh kesedihan, penuh pengharapan! Apakah yang diharapkan Nasuha saat ini? Bahawa Aidil akan memberikan secebis simpati? Atau dia mahukan Aidil memberi peluang untuk dia kembali? 

“Puan Nasuha dah sampai. Jemput duduk, puan!” Pelawa encik Izham tanpa mengetahui ada ketegangan di wajah kedua-dua mereka. 

“Izham, now that she is here, awak baca ajelah wasiat Ikhwan tu cepat-cepat! Tentu janda dia ni tak sabar-sabar nak tahu banyak mana yang jadi hak dia! Itu yang tak menyempat-nyempat dia mintak supaya wasiat Ikhwan dibaca. Orang tamak, macam tu lah!” Bagai peluru ayat-ayat dituturkan oleh Aidil tanpa mengambil kira perasaan Nasuha. 

Nasuha tunduk memandang lantai. Segala tuduhan dan kata-kata nista itu ditelan. Walau pahit tetap diserap juga. Kerana dia tidak mahu bergaduh. Dia sudah terlalu penat bergaduh dengan lelaki yang seorang ini! 

“Puan nak minum? Boleh saya minta Rozi sediakan.” Encik Izham cuba mententeramkan keadaan. 

Nasuha menggelengkan kepala. “Tak payahlah, encik. Lebih cepat encik baca, lebih cepat...” 

“Lebih cepat awak dapat harta tu, kan! Ok, Izham. Baik awak baca sekarang. Saya pun nak tahu apa yang Ikhwan bagi pada isteri kesayangan dia ni!” Tingkah Aidil sambil menarik kerusi di sebelah Nasuha dengan kasar untuk dia duduk. 

Encik Izham membelek-belek fail di hadapannya. Dengan cermat ia dibuka. Dia berdehem sebelum memulakan bacaannya. 

“........... Abang Aidil, abang pun tahu bahawa selama ini bahagian saya dalam syarikat tidak pernah saya usik. Saham sebanyak 30% itu, saya harap sangat agar abang berikan kepada Aida Nasuha. Abang mungkin tidak pernah menghargai dirinya, tapi saya ingin jelaskan di sini bahawa, saya sayang dia. Jasa dia pada saya terlalu besar. Tanpa dia.... saya pasti ‘hilang’. 

......... Wang simpanan saya dalam bank juga, saya amanahkan kepada Su. 

......... Su, ambillah wang itu untuk Su membesarkan anak kita nanti. Su jangan keras kepala nak menolak! Su jugak jangan pedulikan marah abang Aidil pada Su. Dia tak tahu apa-apa! Ingat, Wan dah tak ada. Su kena besarkan anak kita sendirian. Wan nak dia jadi manusia yang berguna satu hari nanti. Kalau Su tak terima wang yang Wan amanahkan, macam mana Su nak besarkan dia dengan baik? 

........ Abang Aidil, maafkan saya. Saya tahu, abang sukar nak lakukannya maklumlah, bagi abang, saya ni perampas! Saya rosakkan rumah tangga abang! Saya musnahkan kepercayaan abang pada Su. Saya...” 

“Cukup, Izham! Saya tak mahu dengar lagi! Cukup!” Kepada Nasuha dia ucapkan, kasar sekali. “Dengar sini, Aida Nasuha! Kau boleh ambik semua harta dan duit laki kau tu! Aku tak kisah! Cuma, aku harap, lepas ni kau berambus dari hidup aku! Aku tak nak tengok muka kau tu lagi! Aku benci!” 

Dan, Aidil tidak menunggu lagi. Dia terus berlalu. Menunggu bererti luka lama itu akan diguris kembali. Bila tersentuh, darah merah pasti mengalir dari luka itu. Sakit! Sakit sangat! Dia tidak mahu! Kenangan itu amat menyakitkan! Sehingga hari ini, luka itu tidak pernah sembuh. Sampai kini, dendam dan sakit hati meniti bersama kebencian terhadap Aida Nasuha. Ia tidak pernah surut! Tidak pernah padam! 
.....................


Setahun terdahulu 

“Makcik harap, kamu jaga Nasuha ni baik-baik, Aidil. Dia sayang kamu. Jadi, sebagai suami, kamulah tempat Nasuha nak berlindung. Tempat dia menumpang kasih.” 

Aidil Zafran memandang wajah mulus isteri yang baru dinikahi dengan penuh kasih sayang. Gadis yang berjaya mengetuk pintu hatinya dan membuat dia jatuh cinta pandang pertama. Gadis yatim piatu yang dibesarkan oleh seorang ibu angkat dengan penuh rasa tanggungjawab. 

“InsyaAllah, makcik. Saya akan jaga Su baik-baik. Dia ni nyawa saya. Permata hati saya.” Janji Aidil kepada makcik Zauyah membuat orang tua itu menarik nafas lega. 

Ketika itu Nasuha baru menamatkan pengajiannya di universiti dalam bidang komunikasi massa. Pertemuan di sebuah majlis memulakan bibit-bibit cinta. Nasuha merasakan dirinya amat bertuah kerana berjaya memiliki hati lelaki yang bernama Aidil Zafran itu. Kerana itu, bila Aidil melamarnya, terus sahaja dia menerima. Dia yakin pada cinta mereka! 

Aidil membawa Nasuha berbulan madu di Langkawi. Memadu kasih di Pelangi Beach Resorts, hotel bertaraf lima bintang yang indah dan terpencil. Menikmati makan malam hanya bertemankan dian dan lilin serta gesekan biola yang merdu. Pantai Chenang, tempat mereka bermain air. Di situ, tubuh isteri didakap erat ketika Aidil memecutkan ‘jet ski’ melawan gelombang air laut yang terbentang luas. 

Sesungguhnya, memanglah bulan madu itu indah. Bak kata ‘Amy Search’: 

Bulan madu di awan biru, tiada yang mengganggu.... 
Bulan madu di atas pelangi, hanya kita berdua.... 
Mengecap nikmat cinta, yang suci tak terbanding, 
Sesuci embun pagi....
Andai dipisah, laut dan pantai.... 
Musnahlah ilham hilang pedoman
Andai dipisah, cahaya dan bulan.... 
Gelap gelita, punah asmara
.......................................... 

3

“Aida? Aida Nasuha?” 

Nasuha cuba mengamati wajah lelaki di hadapannya betul-betul. Cuba mengecam siapakah dia. Yang pasti lelaki itu mengenalinya. Amat mengenali dirinya kerana lelaki itu kini sedang tersenyum manis sekali. 

“Su, Su dah kenal....” 

Ayat Aidil mati bila lelaki itu menyampuk. “Abang Aidil, tentulah Su kenal saya. Kami ‘classmate’ dan Su was my girl friend masa kat sekolah dulu. Kan, Su?” 

Perlahan-lahan Nasuha mengulum senyum. Wajahnya jadi ceria setelah ingatan kepada lelaki itu kembali di minda. Aduhai, Ikhwan Zamani Anuar rupa-rupanya! Pelajar lelaki yang suka sangat mengusiknya sewaktu bersekolah dahulu. 

“Ikhwan Zamani....” bisiknya mesra. Kepada Aidil dia berpaling menyebut, “Kita datang ke airport nak sambut dia ni? Dia adik abang rupa-rupanya!” 

Wajah Aidil sedikit berubah melihat keceriaan seraut wajah Nasuha. Riak cemburu hadir tiba-tiba. Apatah lagi dengan sikap Ikhwan yang tanpa segan silu terus sahaja memeluk isterinya. 

“Macam mana girlfriend Wan jadi isteri abang Wan pulak ni, hah? Cuba cerita sikit!” Pinta Ikhwan sebaik sahaja pelukan dileraikan. Dia kemudian menarik Nasuha untuk berjalan bersama-sama, meninggalkan Aidil di belakang untuk membawa bagasinya. 
............................ 

“Betul Su bercinta dengan Wan masa sekolah dulu?” tanya Aidil malam itu. Sepanjang hari, persoalan itu asyik menghantui dirinya. 

Nasuha yang sedang menyisir rambut segera merenung wajah kelat suaminya melalui cermin hias. Tidak mengerti mengapa persoalan itu ditimbulkan. 

“Ala..abang percaya sangatlah cakap adik abang tu! Dari dulu, daripada sepuluh yang dia katakan, cuma dua sahaja yang boleh diterima. Takkanlah itu pun abang tak tahu? Dia kan adik abang?” ujarnya. 

Aidil masih tak berpuas hati. “Memang dia adik abang. Tapi kami bukannya rapat sangat. Masa tingkatan satu, abang dah ke sekolah asrama, balik sekali sekala. Habis sekolah gi oversea pulak. Bila abang balik sini, dia pulak ke luar negara. Tak mesra langsung!” 

Nasuha mendekati suaminya. “Kalau macam tu, Su tak mahulah hantar anak-anak Su ke sekolah asrama. Nanti dia orang jadi macam abang dengan Wan. Like strangers! Sampai gambar adik sendiripun tak ada dalam album abang.” 

Aidil diam. 

“Pelik betul Su tengok keluarga abang ni. Dengan papa, dengan mama pun macam orang asing aje. Nak pergi rumah dia orang pun kena buat appointment. Abang sibuk di sini, mama sibuk dengan persatuannya, papa sibuk main golf! Entahlah, bang. Anak yatim piatu macam Su ni teringin sangat nak manja-manja dengan mak dan ayah. Tapi abang? Masing-masing bawa haluan sendiri. Ganjil betullah!” Panjang lebar Nasuha mengkritik keluarga suami sehinggakan berkerut dahi Aidil mendengarnya. 

“Kami sibuk!” Hanya itu jawapan yang dapat diberi. 

“Sibuk? Buat apa? Cari harta dunia? Abang, harta dunia ni...makin dicari, makin kita rasa tak cukup-cukup! Makin tamak kita jadinya. Su takut nanti, disebabkan terlalu sibuk mencari harta, kita lupa pada mati. Tahu-tahu dah tak ada. Apa nanti bekal abang bila Allah jemput untuk jumpa Dia? Harta ni ke? Atau amalan yang baik di dunia?” 

“Su ni macam ustazahlah pulak!” Aidil mengusik, meraih tubuh isteri ke dalam pelukan. 

“Tapi,abang kena ingat. Sehari berlalu, bermakna kita sudah kurang sehari untuk hidup. Kalau asyik bekerja sampai tak ingat nak mati, tak sempat nak buat amal ibadat, tak sempat nak bertaubat, macam mana?” Soal Nasuha. 

“Hmm, macam mana, ya?” Balas Aidil mesra. Dalam fikiran, tidak ada lagi persoalan tentang mati atau Ikhwan. Bau rambut Nasuha yang harum mengetepikan semua persoalan.
.............................. 

4

Sejak kembali ke tanah air, Ikhwan selalu bertandang ke rumah abangnya. Dia gembira dapat bertemu semula dengan Nasuha. Semakin gembira kerana kini Nasuha ialah kakak iparnya. Sikap Nasuha yang mudah mesra membolehkan mereka berbual-bual berjam-jam lamanya. Segala kenangan lama sering menjadi bahan gurauan. Bukan setakat kenangan dulu malah kepada Nasuha dia sering meluahkan apa yang terbuku dalam dada. 

Bagi Nasuha pula, dia semakin gembira dengan kepulangan Ikhwan. Kini dia mempunyai seorang teman untuk berbual-bual. Tidaklah kesunyian apabila ditinggalkan Aidil yang ‘workaholic’ sehari suntuk. Begitupun, dia tahu batas pergaulan di antara mereka berdua. Aurat tetap perlu dijaga. 

Bagaimanapun, ada sesuatu yang merunsingkannya. Ikhwan selalu benar datang di siang hari. Bukan dia tidak suka tetapi dia bimbang akan berlaku fitnah pula. Bila diberitahu kepada lelaki itu, Ikhwan hanya ketawa. Aduhai, Ikhwan memang mengambil mudah semua perkara. Baginya, tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. 

Sebaliknya pada Nasuha. Dia ingin sahaja memberitahu kepada Ikhwan bahawa Aidil amat cemburukan lelaki itu. Entah apa yang hendak dicemburukan, Nasuha tidak tahu. Tidakkah Aidil dapat melihat bagaimana selama ini dia terlalu menjaga diri dan adab sebagai seorang kakak ipar? Mengapa harus curiga? 

“Abang, esok kan...Wan ajak Su temankan dia gi shopping. Dia kata, dia nak beli baju baru sebab minggu depan dia nak mula kerja kat pejabat abang tu. Boleh tak Su pergi?” 

Mata Aidil buntang mendengar permintaan isterinya. Hatinya sakit. Sudahlah berhari-hari Nasuha meladeni Ikhwan di rumah, kini hendak pergi membeli belah bersama-sama pula. Dia mengetap bibir. 

“Abang?” 

Fail di atas meja kerja dihempas. 

“Su, tak cukup-cukup lagi ke Su dengan dia? Dah jumpa hari-hari. Dia tidur, makan, minum kat dalam rumah ni. Sekarang nak jalan sama-sama pulak? Siapa suami Su sebenarnya? Dia ke abang?” Marah Aidil. Suaranya keras sekali. 

Nasuha memandang wajah suaminya. Geram dia ditengking begitu. “Abang ni... dengan adik sendiripun abang fikir yang bukan-bukan. Kita orang bukan nak gi dating. Cuma....” 

“Su, jangan degil. Abang cakap, jangan! Maknanya, jangan! Dan satu lagi...., cakap juga pada dia, toksah berulang-alik ke sini, abang tak suka!” Aidil menekankan suaranya. 

“Kenapa Su pulak yang kena beritahu dia? Abang cakap sendirilah!” Balas Nasuha sambil berlalu meninggalkan Aidil terkulat-kulat memandangnya.
.................................


“Su....” 

“Wan? Kenapa tu? Wan kat mana?”

Suara Ikhwan yang lemah merisaukan Nasuha. Mungkinkah demamnya belum kebah? Soal di hati. 

Sejak dia menolak untuk menemani Ikhwan, lelaki itu seakan-akan memahami pergeseran yang berlaku di antara Aidil dengan Nasuha. Dia sudah jarang datang. Hanya sesekali dia akan menelefon. 

Sewaktu mengunjungi rumah mentuanya semalam, Puan Nora memberitahu bahawa Ikhwan demam. Nasuha risau sangat tetapi sepasang mata Aidil yang tajam merenung menghentikan niat untuk dia menghubungi. Ikhwan ialah tajuk pertengkaran mereka dan dia tidak mahu terus-terusan begitu. 

“Su, Wan....” 

Kerana risaukan Ikhwan, Nasuha segera bersiap. Dia ingin segera mendapatkan lelaki itu. Kalau perlu, akan dibawanya Ikhwan ke hospital. Manalah tahu, kut-kut Ikhwan dijangkiti gejala H1N1, fikirnya. Saat itu, dia terlupa pada kemarahan Aidil. 

30 minit kemudian dia sudah berada di hadapan pintu apartment Ikhwan. Berkali-kali loceng ditekan namun tiada suara menyuruhnya masuk. Tombol pintu diputar. 

“Wan...” Panggilnya sambil menolak daun pintu yang tidak berkunci. 

Tiada jawapan. Malah bayang Ikhwan pun tidak kelihatan. Nasuha semakin risau. Beg tangan segera dicampak ke atas sofa. Matanya liar memerhati sekeliling. 

"Isk, mana Wan ni?’ soalnya. 

Ketika berdiri di pintu dapur, dia terpandang sekujur tubuh lelaki sedang terbaring. Tidak syak lagi, itu ialah Ikhwan. Wajahnya pucat dan dia sedang mengerang kesakitan. Ada darah sedang menitis dari hidungnya. 

“Ya, Allah! Wan? Kenapa ni, Wan?” Nasuha cuba menerpa ke arah adik iparnya. 

Ikhwan mendepangkan tangan, mengarahkan Nasuha supaya berhenti. “Jangan dekat, Su!” 

“Tapi.....” 

Ikhwan menuding lemah ke arah suatu laci. Memahami apa yang tersirat, Nasuha segera membuka laci itu dan memakai sarung tangan yang memang sudah tersedia ada di dalamnya. 

“Macam mana boleh jadi macam gini, Wan? Kan Su dah pesan jangan banyak bergerak? Kan Su dah pesan, kalau tak larat, telefon Su! Su boleh tolong!” Marahnya. 

Dengan kudrat yang ada, Ikhwan didudukkan. 

“Wan terjatuh.” Tangan Nasuha yang ingin mengelap darah di hidungnya ditolak perlahan. “Jangan, Su. Nanti darah ni kena tangan Su pulak. Meh sini tuala tu, biar Wan kesat.” Pintanya. 

Nasuha tidak mempedulikan kata-kata Ikhwan. Dia terus sahaja membersihkan muka lelaki itu. “Tangan Su tak luka. Jadi, tak ada masalahlah kalau kena darah Wan ni.” 

“Hati-hati, Su...” 

“Hmm...dah ok dah. Wan ni pun satu, kan doktor dah pesan jangan banyak bergerak? Kenapa degil?” Marah Nasuha. 

“Wan lapar.” Bisik Ikhwan lemah. 

“Dia mana?” 

Mata Ikhwan bulat merenung wajah kakak iparnya. “Kan Su jugak yang suruh Wan putuskan hubungan kami? So hari tu, kami dah clash! Wan dengan dia dah tak ada apa-apa dah. Habis!” 

“Betul ni? Jadi sekarang Wan tinggal sorang-soranglah, ya?” Nasuha benar-benar ingin tahu. 

“Dia mengamuk sakan, tau!” Ikhwan memberitahu. 

“Hai..nampak sedih aje tu? Menyesal?” Nasuha tersenyum mengejek. Sempat lagi mengelak tangan Ikhwan yang ingin menyinggungnya. “Isk...isk, sakit-sakit pun ada hati nak pukul orang, ek?” 

Ikhwan tersengih. 

“Alhamdulillah, Su lega dengar berita tu. Sekarang ni, Su harap, Wan berusahalah untuk berubah. Masih belum terlambat, Wan.” 

“Tapi, Wan takut. Masih sempat ke, Su? Masih ada ruang ke untuk diri ini balik ke pangkuanNYA? Sudikah DIA menerima diri ini yang dah banyak sangat berdosa?” Soal Ikhwan bersama manik-manik penyesalan yang menitis di pipi. 

“Allah itu maha pengasih, maha penyayang kepada hambanya. Apa yang penting, Wan kena berubah dan bertaubat nasuha. Jangan ulang perbuatan itu lagi.” 

“Betul cakap Su tu. Masa untuk Wan pun bukan lama lagi. Wan tak mahu mati dalam kekufuran. Wan nak balik ke pangkal jalan. Wan...” 

“Apa ni, Wan? Tiba-tiba pulak cakap fasal mati. InsyaAllah, umur Wan panjang lagi...” Marah Nasuha. 

“Dengan penyakit Wan yang tak ada ubat dan penawar ni? Su ni betul ke tidak?” 

“Dah, jangan nak mengarut. Mari Su tolong angkat Wan duduk kat sofa. Wan rehat kat situ. Su masakkan bubur. Lepas tu kita boleh makan sama-sama.” 

Kini, Ikhwan sudah terlena di atas katil. Nasuha merenung dengan penuh rasa kasihan. Perlahan-lahan, tubuh kurus itu diselimuti. Melihat jam di tangan, dia tahu bahawa dia harus pulang. Bukan dia takut Aidil memarahinya, cuma dia tidak mahu suaminya salah sangka.
...........................


“Dah puas?” 

Soalan penuh sindiran itu benar-benar membuat Nasuha terkejut. Wajahnya pucat demi terpandang Aidil yang sedang tercegat berdiri di muka pintu bilik. Aidil dengan wajah yang amat tegang! 

“A.....abang?” 

“Cakap! Dah berapa lama Su buat perkara ni, hah? Dah berapa lama Su menduakan abang? Dah berapa lama dia ni ambil alih tempat abang!” Soal Aidil bertubi-tubi. 

“Hah?...Apa abang ni? Su tak buat apa-apa pun. Cuma....” 

Tiba-tiba Ikhwan terjaga. “Su...., abang Aidil? Apa abang....” 

“Tak buat apa-apa? Su dalam bilik Ikhwan. Su dengan Ikhwan! Tak buat apa-apa? Boleh percaya ke?” 

Nasuha sudah menangis. Sedih kerana suami mencurigai dirinya. “Demi Allah, Su datang sini sebab..” 

Aidil segera memberi amaran.”Jangan nak bersumpah....” 

“Abang, please...dengar cakap Nasuha dulu! Saya yang....” 

Kata-kata Ikhwan segera dipintas. 

“Aku dah penat bersaing dengan kau, Wan. Sejak kau balik, aku tak ada lagi dalam hati dia ni. Asyik nama kau aje yang dia sebut. Ikhwan itu, Ikhwan ini...Aku dah penat. Dah letih. Jadi, sekarang ni, aku dah nampak dengan sepasang mata aku ni. Aku tak nak sisa kau, Wan.” 

“Abang Aidil, jaga mulut abang tu sikit!” Marah Ikhwan. Dia cuba bangun namun kudrat yang lemah tidak memungkinkannya. 

“Hah? Tau marah? Habis, aku? Nasuha ni bini aku, Wan! Kau tahu tak apa perasaan aku sekarang? Aku rasa macam nak bunuh kau!” Tengking Aidil. 

“Sampai hati abang tuduh Su dengan Wan. Wan sakit, Su cuma...” 

“Kau ingat aku ni buta ke apa, Aida Nasuha? Tu, cuba tengok diri kau tu? Baju kau yang berkedut-kedut tu? Ikhwan yang atas katil tu? Itu bukan bukti ke?” Aidil semakin tidak boleh menahan suara. Tidak ada rasional dalam pemikiran yang sudah dikuasai rasa tidak percaya. 

“Saya sakit, bang!” Terbatuk-batuk Ikhwan cuba membela diri. 

“Yalah tu!” Aidil mencebik. 

“Jadi, apa yang abang nak buat sekarang?” Nasuha bertanya. 

Satu soalan yang tidak patut ditanya kerana bagi Aidil, soalan itu mencabar kelelakiannya. 

“Aku bukan dayus, Aida Nasuha.” Aidil menatap wajah Nasuha yang basah dengan air mata lalu dia melafazkan, “Aida Nasuha binti Abd Rahman, aku ceraikan kau dengan talak satu mulai saat ini.” 

“Abang!” Nasuha mengejar Aidil yang sudah melangkah laju meninggalkannya. 

“Abang, jangan buat macam ni! Percayalah! Su tak buat semua tu!” 

Tubuh suami dipeluk erat, tidak mahu dilepaskan namun Aidil seolah-olah sudah jijik disentuh oleh Nasuha. Tubuh Nasuha ditolak sehingga jatuh. 

“I’m not your husband anymore!”
..............................


Sudah tujuh tahun peristiwa itu berlaku. Namun ia bagai baru sahaja berlalu. Hati masih terluka. Ingatan masih ada. Yang manis dibawa pergi oleh yang pahit. Amat memilukan. 

Nasuha kini bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah resort di Morib. Minggu ini, resort tempat dia bekerja agak sibuk. Mereka akan menguruskan kehadiran sekumpulan pekerja yang meraikan hari keluarga di situ. Sebentar lagi, rombongan dari Kuala Lumpur itu akan sampai. Dia harus memastikan bahawa segala-galanya memenuhi kehendak pelanggan. 

Sejurus, telefon bimbitnya berbunyi. 

"Assalamualaikum, sayang. Dah makan?” 

“Dah. Aman dah kenyang. Tok Mah bagi Aman makan nasi dua pinggan.” Keletah, suara di hujung talian bercerita. 

“Mmm, nanti gemuklah anak mak, ya? Sayang, mak tak boleh cakap lama-lama ni.” 

“Ok!” 

“Hei, jangan nakal..” Namun pesannya sudah terbang di angin lalu. 

Nasuha tersenyum. Aidil Zamani...kini berusia 6 tahun. Buah hati, pengarang jantungnya. Anak kesayangannya. 

Resah itu datang kembali. Rasa sayu kerana anak kecil itu tidak pernah berpeluang mengenali ayahnya. Ayahnya telah pergi. 

“Argghh, kalaulah Wan masih hidup!” keluhnya sambil meraup muka. 

“Kak Su, dia orang dah sampai.” Sapaan Zarul, pembantunya membantutkan segala angan-angan. Menarik nafasnya dalam-dalam, kini mereka berjalan seiringan untuk menyambut ketibaan rombongan. 

Nasuha memerhati seorang demi seorang menuruni bas. Tiba-tiba dia terpandang suatu tubuh tegap yang amat dikenali. Yang tidak pernah dapat dilupakan. Dada berdegup kencang. Segera, kertas yang dipegang dilihat.

Aduh! Dahi dipukul. Kenapa dia tidak perasan? Syarikat Zamani Holdings! 

“Zarul, kakak sakit perutlah! Zarul tolong uruskan mereka ni, ya! Selesaikanlah! Jangan tunggu kak Su!” 
........................

Nasuha mengambil cuti kecemasan selama tiga hari. Sengaja dia mengambil cuti itu bagi mengelakkan dirinya daripada bertembung dengan bekas suaminya. Pesanan Aidil masih terpahat di hati. 

“....kau berambus dari hidup aku! Aku tak nak tengok muka kau tu lagi! Aku benci!...” 

Itulah yang dilakukannya. Menjauhkan diri dan mengelak. Agar dia tidak nampak kebencian di wajah itu terhadapnya. Agar dia tidak melihat kemarahan dalam pandangan mata lelaki itu lagi. 

Dia kini berada di ‘front desk’. Dirinya sedang membelakangi kaunter ketika suatu suara garau berkata, “Cik, ini kunci bilik saya.” 

Nasuha terkaku seketika. Ingin sahaja dibiarkan malangnya tiada sesiapa di situ bertugas selain dirinya. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia berurusan dengan lelaki itu. 

Aidil melepaskan keluhan sebaik Nasuha memandangnya. Tidak sia-sia dia menunggu, fikirnya. Memang benarlah Nasuha yang dilihatnya tempoh hari. Wajah yang dalam sekejapan waktu lenyap dan tidak ditemui sepanjang dia berada di resort itu. 

Dalam rasa kekok ditenungi sepasang mata Aidil, Nasuha berjaya juga membereskan kerjanya. Dengan cermat, bil diletakkan di atas talam kecil dan ditolak perlahan-lahan di hadapan lelaki itu. 

“Semuanya, RM 310.00.” dia memberitahu.

Tanpa suara, Aidil mengeluarkan kad kredit. Dia kelihatan sabar menanti Nasuha menyudahkan kerjanya. 

“Terima kasih.” Ujar Nasuha sebaik Aidil siap menurunkan tanda tangan. 

“Abang nak cakap dengan Su sikit. Abang tunggu dalam kereta.” 

Aidil tidak menunggu lagi. Dia terus sahaja menuju ke arah kereta yang dibawa oleh Pak Ali, pemandunya, pagi tadi. 
........................ 

“Su sihat?” 

Nasuha tersenyum sinis mendengar soalan itu. Dibiarkan sahaja. 

“Lama kita tak jumpa....” keluhan Aidil menyebabkan Nasuha berpaling memandang seraut wajahnya. Namun dia terus diam. 

“Abang jumpa Izham.” 

Nasuha mula berdebar bila nama peguam itu disebut. 

“Selama ini abang tak tahu pun yang saham Ikhwan tak berusik. Duit dia Su tak sentuh. Hanya bila pihak juruaudit menunjukkannya pada abang, baru abang sedar.” 

Nasuha melepaskan keluhan. 

Lama Aidil merenungi wajah bekas isterinya sebelum dia bertanya lagi, “Dah jelas, Su tak mahukan harta dia. Dan abang juga tahu, Su tak kahwin dengan dia.” 

Kali ini, Nasuha tersentak. “Macam mana abang tau?” Soalnya. 

“Abang pergi tanya Mak Ani.” Mak Ani ialah pembantu rumah yang Ikhwan upah untuk mereka dahulu. Dan dia masih tinggal di apartment itu. 

“Apa semua ni, Su? Apa yang abang tak tahu yang Su sorokkan daripada abang? Su rahsiakan daripada abang?” Soal Aidil galak. 

Nasuha ketawa. Baginya, lelaki di hadapannya ini sedang berkata sesuatu yang lucu. Selepas tujuh tahun baru dia ingin mengetahui segala-galanya? 

“Rahsia yang abang nak tahu tu dah berkubur bersama-sama arwah Ikhwan. Tak payahlah diungkit. Tak payahlah dikenang.” 

“Tapi abang perlu tahu...” 

Nasuha menjegilkan matanya. Marah! “Su tak ada apa-apa nak cakap pada abang. Waktu dulu, bila Su nak cakap, abang tak nak dengar. Abang tuduh Su yang bukan-bukan. Abang tak bagi peluang pada Su untuk membela diri pun!” Dia membidas. 

Aidil tunduk menekur. Kesalahannya, kegopohannya kembali menggamit memori. Rasa menyesal segera hadir. 

“Su nak balik.” Nasuha memberitahu tanpa berpaling ke arahnya. 

Tidak jauh mengatur langkah, suatu soalan bergema. “Anak kita? Boleh abang jumpa dia?” 

Nasuha menoleh. Wajah penuh mengharap itu ditatap. “Abang tahu...” 

“Abang baca balik wasiat Ikhwan tu!” 

Nasuha duduk semula di atas bangku panjang yang menghadap ke laut itu. Fikirannya kacau. Perlukah dia mengizinkan? Bagaimana kalau pertemuan sekali ini menemukan mereka lagi dan lagi? Bagaimana hatinya nanti?
.........................


Hubungan di antara Aidil, bekas suaminya dengan Aidil Zamani, anaknya semakin hari semakin rapat. Lelaki itu terlalu kerap datang menemui mereka sekarang. 

Nasuha jadi serba salah. Hendak ditegah, wajah Aman yang riang terbayang. Tidak sanggup dia membuat anaknya sedih. Hendak dibiarkan pula, dia bimbang pada bisikan hatinya. Bimbang dia jatuh cinta kepada lelaki itu semula. 

Suatu hari, Encik Anuar dan isterinya, Puan Nora datang. Pasangan mentuanya itu ingin benar bertemu dengan cucu mereka. Nasuha menitiskan air mata bila melihat kedua-duanya memeluk dan merangkul tubuh comel itu dengan penuh kasih sayang. 

“Su, mama dengan papa nak mintak maaf pada Su sebab biarkan Su membesarkan Aman sorang diri kat sini.” 

“Su dah biasa, mama, papa.” Jawabnya tenang. 

“Su, Su masih marah pada Aidil?” 

Soalan puan Nora membuat Nasuha tersenyum. “Su tak pernah marah dia, mama. Kecil hati tu adalah. Tapi, itu kan dah lama? Lupakan ajelah!” Pintanya. 

“Kami datang ni, nak pinang Su untuk Aidil. Dia perlukan Su, Su. Dan mama rasa Su dengan Aman perlukan dia jugak. Dulu, masa kamu berdua kahwin, mama dengan papa tak ambil kisah pun. Kami sangat berharap supaya sekali ini, Su sudi terima pinangan kami ni. Mama dengan papa nak mencuba semula menjadi ibubapa, mentua dan datuk serta nenek yang baik untuk kamu semua. Yang sebelum ini tak sempat kami buat!” Ujar mama dalam tangisan menyebabkan Nasuha segera memeluk wanita anggun itu.
................................

“Aku terima nikahnya Aida Nasuha binti Abd Rahman dengan mas kahwin 101 ringgit, tunai!” 

Dalam satu nafas, kini Aidil dan Nasuha kembali bersatu. Suatu perasaan halus mengusik sekeping hati Nasuha bila dia tunduk mengucupi tangan suaminya. Jiwa tersentuh menatap wajah penuh keriangan ketika Aidil mengucup dahinya. Lama! 

“Terima kasih sebab Su sanggup terima abang semula dalam hidup Su.” Bisikan itu syahdu membelai jiwanya. 

“Boleh abang tanya sikit?” 

Nasuha mengangguk. 

“Mengapa Su tak pernah beritahu tentang penyakit Wan? Kalau Haris tak cerita pada kami.....” Aidil sengaja membiarkan ayatnya tergantung. Berharap Nasuha akan menyambung ayat itu. 

“Wan dah tak ada, bang. Biarkanlah dia aman di sana. Dia pun dah bertaubat. Kita doakan sahaja semoga Allah memberkati rohnya.” Hanya itu yang Nasuha katakan. Dia tidak mahu mengungkit kisah lama itu. 

Untuk apalah keburukan itu diperkatakan? Ya, memang dia tahu, Ikhwan mengidap AIDS, akibat pergaulan bebasnya sewaktu belajar di luar negara. Malah bila kembali ke tanah air pun tabiat itu berterusan kerana dia masih tinggal serumah bersama-sama Haris, kekasih gelapnya. Namun, tazkirah yang Nasuha berikan kepadanya tiap kali mereka bertemu, menimbulkan kekesalan dalam jiwa arwah adik iparnya itu. Sehinggalah Ikhwan akhirnya sanggup memutuskan perhubungan dengan Haris. 

Apabila Aidil menceraikannya, Ikhwan meminta Nasuha tinggal bersama-sama dengannya. Untuk tidak dipandang serong oleh masyarakat sekeliling, mereka menjemput Mak Ani tinggal dengan mereka. Pada waktu inilah, Ikhwan semakin cuba mendalami Islam. Cuba mendekatkan dirinya kepada Allah. Sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya. 

“Abang berdosa pada Wan. Abang tuduh dia yang bukan-bukan!” bisik Aidil lemah. 

Nasuha memeluk Aidil penuh kasih sayang sambil berbisik, “Dia dah maafkan abang. Dia tahu, abang sayang sangat pada Su, sebab tu abang cakap macam gitu.” 

“Dan abang dah buang banyak masa kita berdua, sayang. Kalau tidak, entah-entah anak kita dah empat orang sekarang.” Usik Aidil nakal. 

Nasuha terkesima. Menatap wajah penuh keriangan Aidil dengan hati yang berbunga. Dengan penuh kasih sayang. Perlahan-lahan, senyuman terukir di bibir. 

“Betul tu...” balasnya manja sambil membiarkan diri diraih kembali ke dalam pelukan seorang suami. 

Berharap agar segala yang terjadi tidak berulang lagi. Berharap agar sekali ini, dia seorang isteri yang jauh lebih baik daripada dahulu. Seorang isteri yang tidak membelakangi kehendak suaminya. Seorang isteri yang tahu menjaga diri dan batas agar suami tidak lagi mempunyai prasangka buat selama-lamanya. 

p/s: sila komen, ya! Sofi.

Ulasan

  1. cam mudah jer nasuha maafkan aidil..
    ader ka cam tu dalam kehidupan sekarang...
    klu dikembangkan lg supaya aidil lebih bersusah payah sikit utk dapatkan nasuha lg best..

    BalasPadam
  2. salam..
    crta yg mnrik...
    sy ske mbacanya...
    trdpt unsr pngjaran...
    thniah kpda pnulis...

    BalasPadam
  3. Sofi tazkirah pagi yg menarik dari cikgu sofi....
    Ada pengisian walaupun cerita yg pendek.....Jadi tauladan untuk semua wanita....
    Terima kasih dan teruskan menulis sesungguhnya sofi memang berbakat...

    BalasPadam
  4. buat me insan biasa, saja aje sofi permudahkan dan bukakan pintu hati su terima aidil, supaya ini jd cerpen dan bukan nove, hehe.

    buat epi elina, thanx sofi ucapkan.

    buat Qimi, thanx atas pujian. semoga jadi dorongan buat sofi.

    BalasPadam
  5. agak ekspress! hehehe.. tp bez!!

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…