apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

13.9.09

selamat hari raya, ya!


Waktu sekarang - jam 3.30 minit pagi. Dah terlalu lewat untuk tidur, takut nanti tak terjaga untuk sahur. Jadi aku ambil peluang ini untuk menulis di sini. 
Puasa dah sampai ke hujungnya. Tak lama lagi hari raya. Raya bagi orang macam aku dah tak ada apa yang seronoknya. Semangat raya pun dah menurun. Yang buat aku gembira ialah melihat telatah anak-anak dan kawan-kawan mereka. 
Sememangnya, hari raya ni untuk budak-budak dan golongan muda. Masa hari raya inilah silaturrahim dieratkan; yang jauh didekatkan. Yang dekat dimesrakan (ada ke istilah ini?). Yang hilang tanpa khabar berita selama ini akan pulang. Yang bermasam muka akan bertegur sapa semula. Inilah hikmah hari raya.
Dulu, waktu muda, tiap kali nak berhari raya, pasti akan ke rumah mentua dahulu. Tak  ada kompromi. Raya kedua, baru balik ke rumah emak ayah aku. Dah jadi wajib macam gitu. 
Aku begitu kagum dengan pasangan muda sekarang. Dari awal, mereka dah tetapkan nak ke mana dan boleh pulak bergilir. Tahun ni ke rumah keluarga perempuan tahun berikutnya ke rumah keluarga lelaki. Baguslah macam tu. Ingatlah, semua ini kita lakukan untuk ibu dan ayah serta mentua sementara mereka masih ada. Berbaktilah sebagai anak selagi mereka masih hidup. Esok-esok, bila tutup mata mereka, korang akan sunyi.....macam aku sekarang. Beraya di rumah sendiri. Nasib baik ada anak-anak!
Di sekolah, ada rakan-rakan guru yang bercerita tentang permasalahan hari raya ini. Ada yang kata culasnya nak balik ke rumah mentua. Mula bercerita tentang buruknya saja. Konon dialah yang terpaksa membuat segala bila sampai nanti. Dialah yang memasak, mengemas rumah: macam-macam. Yang nak balik ke rumah emak sendiripun ada yang kelihatan tidak seronok juga. 'Ala, kak...nanti kalau saya yang sampai dulu, saya punya bajet mesti lari. Sayalah nanti yang kena keluar belanja. Hisy, malas betullah!!'
Ada juga yang 'bengkek' dengan sikap adik dan kakak masing-masing terutama yang beranak kecil. Kalau nak tahu, anak kecil ni boleh menjadi alasan untuk mengelak membuat kerja. 
Memang, kalau nak diikutkan, memang boleh sakit hati. Rasa nak merajuk pun ada.  Tapi tanyalah pada diri. Berapa kalikah anda dapat berkumpul ramai-ramai dalam setahun? 10 kali? 8 kali? 5 kali? Atau setahun sekali? Rasanya, kebanyakan jawapan ialah setahun sekali, kan? Ingatlah, cuma setahun sekali aje. Toksah merajuk! Toksah berkira. Toksah bersedih. Ada ganjaran yang besar untuk anda nanti. Maniskan aje muka tu. Senyumlah walau anda rasa penat sangat. Perkara ikhlas yang anda lakukan menaikkan taraf anda di sisi Tuhan. 
Hiburkanlah hati ibu bapa anda. Buktikanlah bahawa anda ialah anak yang baik. Kakak yang baik, adik yang baik selain anda seorang isteri yang sempurna di mata suami.
Kepada yang belum berkahwin atau yang masih remaja, jadikan hari raya sebagai hari untuk beramah mesra dengan tetamu yang berkunjung ke rumah. Juga, jadikan hari raya kali ini hari untuk anda mengenali saudara mara anda. Pergilah, ikutlah ibu dan ayah berziarah. 
Kenalilah siapa bapa saudara anda, sepupu, dua pupu, saudara dekat dan saudara jauh. Menghabiskan masa di depan tv, menonton segala rancangan hiburan yang tak pernah habis di astro itu, tidak langsung mendatangkan faedah. Lagi pula, semua siaran-siaran itu akan diulang. Bukan sekali, malah berkali-kali. Banyak masa yang lain boleh digunakan selain waktu hari raya untuk anda menontonnya.....
Hari raya, hari untuk bergembira. Jadi, bergembiralah! Lupakan segala yang menyedihkan anda dahulu. Hapuskan semua kedukaan. Kepada yang tidak bertegur sapa tu, lupakanlah perselisihan anda. Berbaiklah semula. Kata hati yang tidak elok, elakkanlah! 
Berbahagialah, ya!
Ada yang terasa ke? Ada yang terusik? Atau yang terkecil hati? 
Sempena hari raya Aidilfitri yang mulia ini (ada seminggu lagi) Sofi ingin memohon maaf dan ingin mengucapkan selamat hari raya. Nanti, bila anda balik kampung, pastikan diri selamat di sepanjang perjalanan.
cheerio.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.