Langkau ke kandungan utama

Hanya Kamu.








Najwa memimpin tangan ibunya, berjalan beriringan menuju ke kereta. Dia merasa puas setelah keluar dari klinik Dr Linda tadi. Kata doktor, mak Nab hanya demam. Tidak ada tanda-tanda penyakit menular yang lain.

“Kita singgah makan dulu, mak. Lepas tu Ina hantar mak balik, k!” katanya sambil membukakan pintu kereta.

“Ina nak gi mana pulak lepas hantar mak nanti? Isy, anak dara ni tak lekat di rumah langsung!” Mak Nab kurang berpuas hati.

Najwa ketawa. “Nak gi relaks kat shopping complex. Nak cari buaya friend. Kan mak asyik tanya Ina bila nak kahwin?”

Untuk gurauannya itu, suatu cubitan hinggap di paha. “Asyik nak main-main!”

Ketika sedang memandu, telefon bimbit Najwa berbunyi. Tangan kiri sibuk meneroka ke dalam beg tangan, mencari alat itu. Keadaan itu menyebabkan Najwa kehilangan kawalan sebentar. Mak Nab mengucap panjang sambil menarik beg dan cuba menyelongkar isinya.

“Bawak kereta ni elok-elok. Biar mak carikan........”

Belum habis ayat, terasa kereta terdorong dengan kuat ke hadapan. Najwa pantas menekan brek. Nasib baik tidak berlaku kejadian yang buruk. Kereta berjaya diberhentikan.

Melalui cermin pandang belakang, Najwa dapat melihat sebuah kereta pacuan empat roda ikut berhenti di belakangnya. Hati serta merta jadi panas. Dia turun. Melihat bahagian belakang kereta kancil yang kemik teruk, semakin sakit hatinya. Tanpa berfikir panjang, lelaki yang baru turun dari kereta Rexton itu disergahnya.

“Wei, awak ni buta ke? Mentang-mentang bawak kereta besar, awak tak nampak kereta saya kat depan. Tengok ni! Habis kemik! Awak ingat awak tu sape? Samseng jalan raya?”

“Oi, sedapnya mengata orang! Cik adik, kalau saya buta, saya tak boleh memandu! Orang paling bodoh dalam dunia pun tau tu!” Lelaki itu membidas.

Amboi mamat ni, sesedap rasa dia gelarkan aku manusia paling bodoh dalam dunia? Memang nak kena dia ni! “Ah..kalau tak buta, maknanya lesen awak ni tentu lesen kedai kopi, kan?” Perlinya.

“Cik adik, saya punya lesen, ok aje. Lesen awak tu yang mungkin dari kedai mamak mana entah. Sape yang bawak kereta macam ular kena pukul? Bukan awak ke?” Lelaki itu sudah mengetap bibir. Geram!

“Salahkan orang, konon! Kalaupun saya bawak macam tu, yang awak ikut kereta ni rapat-rapat, nape? Ini, mesti tak tau undang-undang ni! Saya...”

“Najwa!” Mak Nab sudah berdiri di antara mereka. Dia tahu, kalau dibiarkan pasti perbalahan tu akan berterusan. Dia faham benar dengan sikap anak gadisnya yang seorang ini. Sentiasa hendak menang walaupun dia tahu dia silap. Wajah tampan yang masam mencuka ditatap sambil berkata, “Maafkan anak makcik ni, ya. Dia ni kalau marah bukan tahu nak mengawal. Ikut sedap mulut dia aje!”

Tegang di wajah tampan itu mengendur sedikit. Wajah wanita separuh abad itu ditatap. Buat pertama kali, bibir mengukir senyum. “Sebenarnya, saya turun ni nak mintak maaf. Memang salah saya melanggar kereta ni. Tapi bila kena amuk, tak tahan saya. Terpaksalah mempertahankan diri.” Ujarnya.

Najwa menjegilkan mata. Menyampah benar melihat sikap ‘gentleman’ itu. Tadi berasap-asap marahkan dia, tapi di hadapan emak, boleh pulak mengaku salah. Tak tahan berlama-lama di situ, dia terus mengajak emaknya balik.

“Eh, nanti dulu! Awak, biar saya panggil mekanik saya, k! Lepas tu, saya hantar awak ngan makcik balik. Kos biar saya tanggung. Memang salah saya tadi.” Tulus, lelaki itu menghulurkan bantuan.

Najwa berhenti melangkah. Tanpa mempedulikan deheman ibunya, dia merapati diri lelaki itu. Getaran suara penuh kemarahan tetapi perlahan masih dapat didengari oleh lelaki itu. 

"Awak ingat, saya kisah sangat ke dengan duit awak tu? Hello! Saya pun ada duit dan boleh repair kancil saya ni, tau. Saya tak perlukan bantuan awak!”
...................

“Macam mana? Cantik tak baju ni? Dia yang pilih untuk aku, kau tau!”

Najwa tersenyum melihat gelagat Miza, kawan baiknya yang sedang beria-ia menggayakan baju untuk dipakai masa dinner nanti. Wajah ceria ditatapi. Jelas, Miza bahagia. Maklumlah, dia sedang dilamun cinta.

“Hai, tak lama lagi kahwinlah kawan aku ni!” Usiknya.

Miza tersengih-sengih. “Aku harap pun macam tu. Mak dan ayah aku dengan mak bapak dia memang dah tak sabar nak tengok kami bersanding. Cuma, dia aje! Bila aku nak bincang bab kahwin, mesti mengelak. Dia kata, dia tak ready lagi.”

Najwa mengerutkan dahi. Tidak faham mengapa lelaki itu tidak bersedia sedangkan dia dengan Miza sudah lama berkenalan. Sudah lama bercinta. 

"Tak sedia? Apanya? Duit banyak! Harta melimpah! Kenapa dia tak sedia lagi?” Soalnya tak puas hati.

Miza duduk di sebelah Najwa. “Entah. Aku pun tak tahu. Tapi, it’s ok. As long as kami jadi kahwin, aku sanggup tunggu dia sampai bila-bila! Kau pun tau kan, betapa aku cintakan Fikri?”

Najwa menjungkitkan bahu. Dalam hati bagaimanapun, dia mengkagumi Miza. Kasih sayangnya kepada Ahmad Fikri bin Azhan terlalu teguh. Tidak pernah tergugat walaupun lelaki itu sering bermain tarik tali dengannya. Walaupun lelaki itu bukan seorang yang setia. Sesekali, Miza menangis bercerita tentang Fikri menduakannya. Tentang Fikri dengan gadis lain. Yang dihairankannya, Miza pasti memaafkan setiap kali lelaki itu kembali ke pangkuannya. Sedalam manakah cinta?

Najwa tidak mengenali kekasih kawan baiknya ini. Setiap kali Miza menunjukkan gambar lelaki itu, dia hanya melihat sekali imbas. Mereka tidak pernah bersua. Sebenarnya, dia teringin juga menemui lelaki yang membuat sahabat baiknya gila bayangan. Tampan sangatkah? Hebat benarkah?

“Hari Ahad nanti, aku nak gi umah kak Nor. Kau nak ikut?” soalnya tiba-tiba. Kak Nor ialah kakak angkatnya.

“Rumah kakak cleaner tu?” Miza mencebikkan bibir.

Najwa mengeluh. Inilah sikap Miza yang dia tidak suka. Memandang rendah sesama manusia. “Dia kan kakak angkat aku? Ada majlis doa selamat sikit. Anak dia yang dapat 5A dalam UPSR ari tu dah dapat masuk ke MRSM Beseri.”

“Malaslah. Kau aje le pergi.”
...............

Pagi minggu. Suasana di sebuah rumah kayu, di Kampung Pandan agak sibuk. Kanak-kanak berlari-lari keluar masuk. Najwa tidak mempedulikan kesibukan itu. Dia sedang menikmati laksa Abang Man. Laksa abang Man memang terkenal enak. Hasil jualan laksa di gerainya terutama di bulan puasa memang lumayan.

“Assalamualaikum.”

Satu suara memberi salam. Najwa merenung ke muka pintu. Seorang lelaki sedang berdiri dengan kedua-dua belah tangannya sarat membawa barang.

“Ina, kenapa tak dipelawa Fikri ni masuk?” Kak Nor yang baru muncul dari dapur menegur sikapnya. Mak Nab yang juga baru muncul mengamati seraut wajah itu. "Eh, Ina! Dia ni kan?”

Najwa segera mengamati wajah lelaki itu. Sah! Memang dia. Memang itulah lelaki yang melanggar keretanya hari itu. Tapi, apa yang dibuatnya di rumah kak Nor ni?

“Mak Nab, kenalkan ini pun adik angkat Nor jugak. Fikri. Fik, ini mak Nab dengan anak dia, Najwa.”

Melihat lelaki itu menyalami tangan ibunya, Najwa menjuihkan bibir. Amboi santunnya!

Fikri tersengih memerhati wajah yang sudah merona merah di hadapannya. Marahlah tu, detik di hati. Sengihan semakin lebar bila Najwa menjeling pula. Aduh, boleh jatuh cinta kalau dijeling begini selalu.

Takdir memang tidak dapat diduga. Fikirnya, mereka tidak akan berjumpa lagi. Hanya itulah sekali. Di tepi jalan Mahameru itu! Tapi lihatlah! Rupa-rupanya mereka berdua adalah adik angkat kak Nor. Pertemuan ini amat manis buat Fikri.

“Tak sangka jumpa awak kat sini.” Bisiknya semasa mereka bermain kerusi beracun.

Tinggal mereka berdua sahaja. Untuk menentukan siapa pemenangnya. Najwa tidak sempat menjawab. Lagu sudah dimainkan semula. Dalam kepala, tiada perkara lain yang difikir. Dia ingin menang. Dan, bila lagu berhenti dia terus duduk. Bukan di atas kerusi, tapi di atas ribaan Fikri. Menyedari dia sudah kalah, dia bangun sambil menghentak kakinya bagai seorang anak kecil. Ketawa semua yang melihat.
..........

Kini sudah hampir tiga bulan hubungan terjalin. Mulanya sebagai kawan, kini Fikri mahukan Najwa lebih komited dengannya. Bagi dirinya, dia tahu bahawa dia sudah jatuh cinta buat pertama kali dalam hidup. Hanya Najwa yang berjaya membuat tidurnya tak lena, mandinya tak basah dan makan pun tak kenyang.

“Ina, kita kahwin nak?” Soalnya pada suatu hari.

“Kahwin? Bercinta pun tidak, macam mana tiba-tiba nak kahwin dengan Ina ni?” Soalan dijawab dengan soalan. 

“Jangan nak mengelak! Abang dah banyak kali curahkan perasaan abang pada Ina. Ina aje yang buat bodoh.” Fikri membalas geram.

Najwa ketawa. “Kenapa, ya? Kenapa awak jatuh cinta pada Ina? Ina ni kan garang? Cakap ikut sedap mulut dah tu banyak sangat kekurangan. Peliklah awak ni.” Ujarnya sinis.

Fikri menatap tajam seraut wajah itu. “Abang tak ada alasan untuk abang terangkan. Abang tak tahu macam mana abang boleh jatuh cinta pada Ina. Cuma yang boleh abang kata, abang rindu kalau tak jumpa Ina. Sehari tak dengar suara Ina pun tak boleh. Bisa demam, bah!” Bisiknya sambil memicit hidung kecil Najwa.

Najwa seronok melihat Fikri yang bahagia. Lelaki yang satu ini sebenarnya telah berjaya mencuri hatinya juga. Dia pun sudah jatuh cinta padanya. Cuma, Najwa belum lagi melafazkan. Masih mencari masa yang sesuai.

“Abang sebenarnya nak beritahu Ina satu perkara.”

Najwa menjungkitkan kening.

“Keluarga abang sebenarnya dah ada pilihan dia orang, dah. Anak kawan baik ayah. Nama dia Miza. Dia..”

Najwa tergamam. “Miza?” Soalnya. Wajah Fikri ditenung lama. Diteliti. Akhirnya satu keluhan dilepaskan. “Jadi, awak ni Ahmad Fikri bin Azhan? Tunang Miza?” Soalnya perlahan.

Berkerut dahi Fikri. Tingkah Najwa bagai dia mengenali Miza. Benarkah?

“Miza kawan baik Ina.” Najwa bagai tahu apa yang Fikri fikirkan.

“Jadi, tentu dia banyak bercerita tentang abang pada Ina, kan?”

“Hmm, tapi yang paling penting dia cintakan awak sungguh-sungguh.”

“Abang tak cintakan dia. Abang cintakan Ina.” Tegas Fikri.

“Kalau kita tak jumpa? Tak berkenalan? Tentu awak akan kahwin dengan dia jugak, kan?” Najwa membalas garang.

“Kalau dia pilihan abang, dah lama kami kahwin. Tanyalah dia. Berapa kali abang asyik bertangguh. Dia tak cerita pada Ina?”

Mata bertentangan. Najwa tahu, lelaki di hadapannya ini jujur dengannya. Titipan sepasang mata itu amat meyakinkan. Namun, tegakah dia menghancurkan hati Miza? Dia tak mahu kehilangan seorang kawan kerana Fikri. Tapi... dia juga tak mahu kehilangan Fikri. Aduh, pening kalau macam ni.

“Kalau abang tak kenal Ina pun, pasti abang akan terus-terusan menangguhkan semua.” Bisik Fikri sepi.

“Kenapa tak berterus terang dengan dia orang? Kenapa tak bertindak tegas? Seorang lelaki mesti mempertahankan apa yang dia hendak. Mana boleh awak biarkan mereka terus berharap?” Marah Najwa tiba-tiba.

Fikri ketawa melihat telatah Najwa. Sikap tegas itulah yang menarik perhatiannya dulu. Malah dia senang bila mulut becok itu membebel. Terasa lucu melihat bibir yang merah itu pot-pet, pot-pet!

“Orang serius, dia gelak. Tapi, kan. Ina rasa awak ni pandai nak menjerat Ina, tau. Mula-mula ajak Ina kahwin. Lepas tu, konon nak jadi anak yang soleh, mesti awak kahwin ngan Miza pulak. Eh, macam gitu ke perancangan awak, encik Fikri?”

“Kalau abang jawab, ya?” Fikri menyoal balas sambil tertawa geli hati.

“Well, good bye!” Balas Najwa sambil berlalu meninggalkan Fikri terkedu.
.....................

“Kenapa tak berterus terang dengan dia orang? Kenapa tak bertindak tegas? Seorang lelaki mesti mempertahankan apa yang dia hendak. Mana boleh awak biarkan mereka terus berharap?”

Kata-kata Najwa itu terngiang-ngiang di telinga. Berputar-putar berkali-kali di ruang fikir. Kata-kata yang kini menjadi pembakar semangat untuknya mengatur pertemuan ini. Di Restoran Seri Melayu, segalanya akan terungkai nanti. Bersama-samanya kini, sedang riuh berbual-bual, ialah kedua-dua ibu dan ayahnya. Ibu bapa Miza juga ada. Malah gadis itu sedang leka menatap wajahnya.

“Hmm, dah lama kita tak makan sekali. Tak gitu, Mat?” Encik Azhan bersuara.

“Ya. Nampaknya, ada berita baik ni.” Balas ayah Miza melirikkan senyuman kepada anak dan isteri.

Fikri menelan liur. Pahit rasanya tapi dia tetap akan meneruskan agenda. Tidak mahu bertangguh lagi.

Dia membiarkan sahaja keriuhan itu berterusan. Tidak mahu mematikan selera orang-orang yang amat dihormati itu.

“Kenapa you tak usik pun nasi tu?” Miza tiba-tiba bertanya. Semua orang kini memerhati dirinya.

Fikri tersenyum sumbing. Menarik nafas dalam-dalam, dia akhirnya berkata, “Fik ada perkara nak dibincangkan dengan ayah, mak, uncle, untie dan Miza.”

Puan Saerah berbalas senyum dengan Puan Liza. Fikri yang melihat, rasa bersalah. Namun ini tentang masa depannya. Tentang perkahwinannya. Dia ingin sebuah perkahwinan yang dapat bertahan sehingga ke akhir hayatnya. Bersama-sama orang yang dia cinta. Najwa! Bukan Miza!

“Mak, ayah, Fik dah sedia nak kahwin. Tapi maafkan Fik, pilihan Fik bukan Miza.”

Suasana hening ketika itu. Fikri memberanikan diri menatap wajah di hadapannya satu persatu. Ada yang marah. Ada yang kehairanan. Ada yang keliru. Ada yang kebingungan. Dan Miza? Dia sudah menangis teresak-esak.

“Fik, apa yang Fik cakap ni? Fik nak kahwin? Tapi bukan dengan Miza? Kenapa? Kenapa bukan Miza? Kalau bukan Miza, maknanya Fik ada calon lain? Apa maksud semua ni?” Soal ibunya berapi-api. Marah benar Puan Saerah nampaknya. Mungkin kemarahan itu semakin menjadi-jadi demi melihat Miza yang terus-terusan menangis.

“Mak, Fik tak cintakan Miza.”

“Dah banyak kali mak cakap, cinta boleh dipupuk lepas kahwin. Mak dengan ayah kau dulu pun tak bercinta gak. Tengoklah! Kekal pun! Dah dekat tiga puluh tahun dah lamanya. Tak ada masalahpun!” tingkah Puan Saerah.

“Fik tahu, cinta boleh dipupuk lepas kahwin tapi masalahnya sekarang ni Fik dah ada kekasih. Fik nak kahwin dengan dia aje. Lagi pun, kalau mak dan ayah dah lupa, biar Fik ingatkan. Dah selalu, Fik bagi hint yang Fik tak nak kahwin ngan Miza. Macam-macam alasan Fik beri. Kenapa tak faham-faham?” Fikri cuba mengawal suara. Dia marah bila ibunya masih tidak mahu memahami hasratnya.

“Siapa dia? Macam mana dia berjaya rebut hati you yang selama ini I tak mampu buat?” Akhirnya Miza memberanikan diri untuk bertanya.

Fikri melemparkan pandangan ke arah pintu. Gadis idamannya sedang berdiri di situ. Gadis yang kelihatan begitu ayu berbaju kurung. Bila pandangan bertaut, Najwa melangkah perlahan tetapi yakin ke meja mereka.

"Ina? Kau? Kau dengan Fikri?” Soal Miza sebaik Najwa berdiri di hadapannya.

Puan Liza menggelengkan kepala. Tidak menyangka, gadis itu yang dipilih Fikri. “Sampai hati kamu, Ina. Rampas boyfriend kawan baik sendiri?” Dia memerli.

“Maafkan Ina, acik Liza. Ina pun baru aje tahu siapa Fikri.” Beralih kepada sahabat baiknya, dia menuturkan, “Miza, kalau aku tahu lebih awal, aku sanggup lepaskan Fikri tapi malangnya, bukan begitu yang ditakdirkan.”

Fikri segera berdiri di samping Najwa. Dengan tegas dia berkata, “Fik minta Najwa datang ke sini. Fik mahu kenalkan dia pada semua orang. Kalau Fik mengecewakan uncle, auntie, mak, ayah dan Miza, sekali lagi, Fik minta maaf banyak-banyak. Bukan niat nak kecilkan hati semua orang. Bukan nak melawan cakap mak dan ayah. Tapi, Fik rayu sekali lagi. Izinkan Fik cari bahagia bersama Najwa. Tolonglah. Restuilah hubungan kami ni, mak, ayah!”
..........................

Bukan mudah memenangi hati Puan Saerah dan Encik Azhan. Najwa hampir-hampir berputus asa. Namun menyedari bahawa dia telah merampas harapan dan impian pasangan suami isteri itu, dia mencuba sedaya upaya untuk menebus kesalahan.

Permintaan Fikri untuk berkahwin dengannya tidak diendahkan. Bagi dirinya, selagi ibu bapa Fikri tidak dapat menerima dirinya, selagi itulah dia akan bersabar. Dan dia sangat berharap agar Fikri memahami kehendaknya. Sekuat mana Fikri berkeras, sekuat itu jugalah dia menentang.

“Sabarlah......” Pintanya lagi bila Fikri merayu.

“Sampai bila? Ina tak kesian dekat abang ke?” Soal Fikri menduga.

“Kesian. Tapi, tak guna kita kahwin kalau makcik dan pakcik tak restu. Kita tak akan bahagia.” Tukas Najwa.

“Ala...esok-esok bila kita ada anak, oklah dia orang tu.” Balas Fikri nakal.

“Betul kata Fikri tu, Ina. Selalunya gitulah. Mak bapak ni, walau mulanya berkeras tapi nanti cucu akan mengeratkan semula hubungan.” Kak Nor menyokong kata-kata Fikri.

Mak Nab diam tak berkutik. Dia tahu, tiada kata-kata pujukan dapat melembutkan hati Najwa. Hanya tindakbalas ibubapa Fikri sahaja yang bisa mengubah pendiriannya.

“Kita berpisah!” Tiba-tiba Najwa bersuara, mengejutkan semua orang terutama Fikri.

“What??” Soalnya dengan suara yang tinggi.

“Ina rasa itu yang terbaik untuk kita. Awak, maafkan Ina. Ina dah rosakkan hubungan awak dengan mak dan ayah awak. Sebab Ina, hubungan keluarga awak dengan keluarga Miza renggang. Ina rasa, kita terlalu pentingkan diri sendiri. Selfish! Ina tak mahu awak terus berdosa. Ina pun tak mahu terus rasa bersalah. So, lebih baik kita berpisah aje. Please!” Bisik Najwa dengan mata yang berkaca.

“Apa sebenarnya, Ina? Kenapa? Ina ingat, kalau kita berpisah, masa boleh patah balik ke? Kalau kita berpisah, abang akan ikut cakap mak? Kahwin ngan budak Miza tu? Macam tu?”

Pandangan semua orang kini tepat kepada Najwa. Menanti jawapan darinya.

“Mungkin!”

Geram sungguh Fikri. Hari ini, lain yang diharapkan, lain yang jadi. Begitu bersungguh-sungguh Najwa ingin memutuskan hubungan cinta mereka. Bagaikan cintanya tidak bernilai di mata gadis itu. Alasan diberi semua tidak masuk di akalnya.

“Baik! Kita putus!” Balasnya sambil berlalu pergi. Najwa ditinggalkan bersama tangisan dalam hati.
....................................

Kad undangan yang diterima pagi tadi ditatapi. Cantik.

“Kau mesti datang, tau!”

Bisikan Miza menambahkan gundah.
............................

Najwa terpaku bila Miza memeluk dirinya kemas. Semakin terpana bila titisan manik-manik kecil jatuh mengalir di pipi yang gebu.

“Maafkan aku, Miza. Aku...”

“Syyy....aku nangis bukan sebab aku sedih tak dapat kahwin dengan abang Fikri. Kau jangan salah faham, Ina. Aku dah cukup bersyukur ditemukan dengan Aizat. Dengan Aizat, barulah aku tahu nikmat bercinta yang sebenarnya. Indahnya perasaan bila cinta kita berbalas. Terima kasih, Ina. Kalau tak disebabkan kau...Eh, kau dengan abang Fikri bila lagi?”

Najwa tersenyum pahit. Fikri! Nama yang semakin jauh darinya. Lelaki yang sudah lama tidak ditemui. Sejak dia meminta mereka berpisah, Fikri langsung tidak menghubunginya. Nampaknya, marah betul lelaki itu dengan dirinya.
......................

Najwa leka memerhati pasangan pengantin yang sama cantik dan sama padan di atas pelamin. Senyuman yang tidak lekang dari bibir menunjukkan keriangan hati Miza. Di sampingnya, Aizat kelihatan bahagia. Ahh...cinta. bisa membuat manusia gembira dan bahagia. Tapi cinta juga bisa merobekkan sekeping hati, seperti dia.

“Kamu dah makan, Najwa?”

Najwa terkejut bila melihat gerangan orang yang menyapa dirinya. Tambahan pula senyuman yang mekar sedang menghiasi wajah itu.

“Kenapa kamu datang sorang aje? Kalau datang dengan mak, boleh makcik berkenalan ngan dia.” Puan Saerah menatap seraut wajah yang keliru di hadapannya. Wajah kegilaan anak tunggalnya.

Hampir setahun hubungan antara Najwa dan Fikri tergantung. Semua, gara-gara dia dan suaminya.

Pada mulanya, mereka tidak dapat menerima gadis pilihan Fikri ini. Mereka menganggap gadis ini buruk sikapnya sehingga sanggup merampas kekasih kawan baiknya sendiri. Selepas berpisah dengan Miza, bila gadis itu masih tidak mahu menerima Fikri, mereka seakan-akan tidak percaya. Bagaimanapun, bila hubungan diputuskan, barulah mereka sedar bahawa gadis ini baik orangnya. Gadis ini sanggup berpisah demi menjaga hubungan seorang anak dengan ibubapanya. 

Fikri tidak pernah memberitahu mengapa mereka berpisah. Fikri malah tidak mahu langsung menyebut nama gadis ini. Marah benar anaknya dengan keputusan yang Najwa buat. Namun, sebagai seorang ibu, Puan Saerah tahu jauh di sudut hati, gadis ini masih dirindui. Masih dicintai.

Kini, dia dan suaminya redha. Sudah ini takdirNya, dia sanggup menerima Najwa sebagai menantu. Asalkan hati anak yang terluka, sembuh semula.

“Najwa, balik nanti, beritahu mak Nab, makcik dengan pakcik nak gi rumah kamu. Perkara antara kamu dengan Fikri ni dah lama sangat terbiar. Percayalah, makcik tak nak halang kamu lagi. Makcik terima kamu jadi menantu makcik.”

Akhirnya pengakuan itu didengarinya. Menitis air mata gembira. Tapi...

“Antara kami, dah tak ada apa-apa, makcik. Abang Fikri dah merajuk ngan saya. Dia dah tinggalkan saya.” Najwa berbisik seolah-olah kepada dirinya.

“Abang cuma memenuhi permintaan Ina masa tu. Tapi, dalam hati abang ni, Ina tak pernah jauh. Merajuk? Ya, memang abang merajuk. Tapi untuk tinggalkan Ina? Tak mungkin! Malah, lepas ni, Ina tak akan dapat lari dari abang lagi. Sebab, abang dah ada rantai untuk ikat Ina pada abang.”

Dalam tangisan, sebuah senyuman tersungging di bibir. Ingin diri didamparkan ke arah Fikri agar Fikri tahu betapa rindu dirinya kepada lelaki itu. Ingin diberitahu kepada dunia betapa kini cintanya sudah kembali. Kali ini bersama restu ayah dan ibu.

“Abang cinta, sayang, rindu, bla, bla, bla, pada Ina. Banyak sangat!” Najwa ketawa mendengar kalimah itu. Dulu, Fikri selalu membisikkan begitu. Bla, bla, bla...membawa maksud ‘semua’ Kasih, manja, damba, aduhai...banyak lagi perkataan indah untuk diterokai.

“I love you too!” bisiknya tanpa suara. Yang pasti Fikri mendengarnya.

Pandangan redup sepasang mata Fikri mendebarkan jiwa. Senyuman itu mencairkan hati wanitanya. Resah hati menanti waktu bila nanti mereka akan bersatu. Hidup sebagai pasangan suami isteri. Yang pasti, rasa cinta ini tak akan terlerai lagi. Hanya kamu, Fikri! Cinta ini hanya untukmu!

p/s: harap mendapat komen dari anda yang membaca.

Ulasan

  1. semua cerpen kat sini semua best2

    BalasPadam
  2. best la sume cerpen akak!

    BalasPadam
  3. hmm.. naskah yg bagus n i like the happy ending.. Alangkah indahnya jika semua cerita cinta dalam dunia berakhir dengan happy ending...

    BalasPadam
  4. Bagus,perjalanan cerita x klise, tapi masih happy ending.

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…