apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

16.9.09

Dari lubuk hati paling dalam....


Tadi aku masuk ke satu halaman. Penulis blog ni bercerita tentang seorang guru dan muridnya. Tentang ketidakprihatinan guru itu yang memukul murid tanpa usul periksa. Akhirnya, si guru menyesali pebuatannya setelah mengetahui kedaifan hidup anak muridnya itu.
Memang kita sebagai manusia suka bertindak melulu. Suka buat kesimpulan sendiri. Seperti guru itu. Anak muridnya yang seorang ini, lelaki, selalu benar datang lambat ke sekolah. Dia bertanya kepada muridnya, "Mengapa lambat?" Tiada jawapan. Pantas sahaja dia menyergah, "Kalau esok kamu lambat lagi, saya rotan!" 
Esoknya, murid itu datang lewat lalu dia dirotan. Malangnya, esok lagi, murid itu tetap begitu. Jadi, dia dirotan lagi. Agak lama, baru timbul kesedaran di dalam hati guru itu untuk menyiasat. Apa yang dia selongkar? Menitis air mata aku membaca ketika itu. 
Rupa-rupanya, setiap tengah hari, murid lelaki ini menanti kepulangan abangnya yang bersekolah pagi. Abangnya itu berlari dari sekolah untuk pulang kerana dia akan memberikan pakaian seragam sekolahnya termasuk kasut dan setokin untuk dipakai oleh adiknya pula. Mereka orang susah. Hanya itulah sepasang baju dan kasut serta setokin yang mereka ada!
Apabila guru itu bertanya kepada muridnya, "Mengapa kamu tidak bercerita kepada saya?" Apa jawapannya?
"Mak cakap, kesusahan kita biarlah kita sahaja yang tahu. Usah meminta-minta! Kalau terpaksa dirotan, redhalah!"
Tuhan, aku amat kagum dengan si ibu. Aku yakin, didikannya dapat melahirkan seorang lelaki yang perkasa (Minda, jiwa dan fizikalnya!). Aku yakin anak ini bila besar nanti akan menjadi seorang lelaki yang amat bertanggungjawab!
Sebagai guru, aku akui bahawa sebenarnya murid mendekatkan kami kepada kehidupan masyarakat. Melalui tingkah dan sikap murid, kami mengenali mereka dan boleh meng'agak' bagaimana kehidupan di dalam 'rumah tangga ibu dan ayahnya'. 
Anda semua nak tahu? Novel TMKH aku tu tercetus pada tahun 2005. Tatkala itu, aku menjadi guru kelas T4 Sains 2. Kelas kedua terpandai di sekolah kerana dalam kelas ini terkumpul murid-murid yang mendapat sekurang-kurangnya 2 atau 3 A dalam PMR.
Antara mereka, ada seorang murid cina ni. Namanya biarlah aku panggil Anne sahaja. Mulai bulan Mac, dia selalu tak datang ke sekolah. Surat aku hantar ikut prosedur. Tapi... dia tetap datang dan tak datang ke sekolah ikut suka dia! Satu hari, aku pergi ke rumahnya. Aku benar-benar hendak tahu mengapa murid bijak sepertinya tidak berminat ke sekolah.
Hanya ibunya yang menyambut kedatangan aku dan kaunselor (kawan aku). Dari ibunya yang cacat akibat kemalangan (kaki kanannya sedikit pendek dan berjalan perlukan tongkat) aku diberitahu bahawa Anne sudah pergi ke KL. "Mengapa?" tanyaku. "Dia kelahi sama bapak dia. Bapak dia pukul sebab dia tak mau kasi wang."
Waktu itu baru aku tahu bahawa selama ini, Anne yang menyara keluarga. Abang dan ayahnya kaki judi. Emaknya yang cacat tidak boleh dan tidak mampu buat apa-apa. Dengan sedih, emaknya memberikan aku buku teks yang Anne pinjam. Katanya, "Anne cakap, cikgu mesti datang rumah satu hari. Mesti cikgu mau tanya pasai dia. Sebab cikgu selalu cakap sama dia, budak pandai tak boleh ponteng sekolah." Kata emaknya lagi, "Anne memang mau sekolah, cikgu! Tapi, kalau dia sekolah, siapa mau kerja? Siapa mau kasi makan saya? Itu jantan ha...talak guna punya olang." (Itu ayat tulin emak Anne, ya!)
Sampai sekarang, aku rasa bersalah pada anak cina itu. Aku rasa, aku agak lewat menunjukkan keprihatinanku. Kalau aku sedikit cepat, mungkin Anne masih bersekolah malah mungkin dah masuk universitipun! Jadi, TMKH aku dedikasikan kepada Anne, seorang anak yang baik yang sanggup berkorban untuk ibunya.
Sejak itu, aku cuba  pastikan bahawa aku tidak mengulangi kesilapan yang sama bila dilantik sebagai guru tingkatan. Aku cuba sedaya upaya untuk mengenali anak muridku, sebaik-baiknya.
Hari Ahad lepas, anak lelakiku, Ariff, bercerita pula. Dia menemani kawannya ke stesyen bas untuk membeli tiket. Azim baru dapat upah (dia ni bekerja di ladang kambing pakciknya) jadi duit itulah dia gunakan sebagai tambang untuk balik ke KL. Dia nak sambut raya bersama emak dan ayahnya di sana. Dia malah sudah membeli tiket untuk balik ke sini semula. Azim tinggal di asrama desa sekolahku.
Kalau anda di tempatku, apakah perasaan anda mendengar cerita anakku ini? Entahlah! Mungkin aku ni cengeng kut? Kuat nangis? Tapi memang aku sedih. Azim baru berumur 14 tahun. Dia tinggal di asrama desa sejak di sekolah rendah lagi. Bila sahaja boleh balik, dia tidak balik ke rumah ibu dan ayah tetapi sebaliknya dia bekerja untuk menampung hidup. 
Bukanlah aku hendak mengata atau mengumpat kedua-dua ibubapanya tapi, soalan yang berlegar-legar di fikiranku ialah, di manakah mereka? Di manakah tanggungjawab mereka? Mengapa anak sekecil itu dibiarkan sendirian? Di mana kasih sayang? Di mana mereka jika anak itu sakit demam? 
Keruntuhan akhlak anak-anak muda bermula beginilah! Bila ibu dan ayah sudah tidak menjadikan anak-anak keutamaan mereka. Mereka sibuk mencari rezeki. Konon untuk anak-anak tetapi jika benar, mengapa anak-anak terbiar? Yang perempuan bebas di jalanan pada waktu malam. Yang lelaki dibiarkan balik waktu dinihari. Bila anak-anak ini memberontak, kita marahkan mereka. Tetapi, pernahkah kita cermin diri kita?
Di pagi Syawal, sebaik sudah solat, pasti kita akan berkumpul anak beranak. Aku yakin, inilah satu-satunya detik waktu kita bermaaf-maafan dalam setahun. Tidak ada waktu yang lain. Apa kata, kalau selama ini, anak-anak yang sering minta maaf dan ampun pada kita sebagai emak dan ayah, kali ini kita juga melakukan yang sama. Kita juga meminta maaf kepada mereka atas kelalaian kita mendidik mereka sesempurna mungkin. Moga dengan ini, Allah memberkati kita. Meredhai perbuatan kita.
cheerio.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.