Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

25 May 2013

Tak Mungkin Ku Hindar 3

Kita dah masuk bab 3 dah. masih menyelami perasaan Hisyam lagi. hehe... enjoy reading ya

BAB 3

Di dalam kereta, fikiran Hisyam masih melayang mengenangi Salina. Dia amat berharap agar gadis itu benar-benar memahami apa yang dikatakannya tadi. Agar selepas ini, Salina tidak lagi menunggu. Agar Salina mahu mencari lelaki yang lain.

Salina! Memang bertuah sesiapa yang memilikinya. Gadis itu cantik. Bergaya. Anak datuk lagi! Manja pula tu. Kalau begitu, mengapakah dia tidak mahukan gadis itu? Mengapa dia menolak cinta gadis itu?

Argh! Hendak dibuat bagaimana sekiranya rasa cinta itu tiada?

Sedar tak sedar, Hisyam sudah sampai di pekarangan rumahnya. Ketika melangkah turun dari kereta, sapaan daripada Datin Syarifah mengejutkannya.

"Baru balik, anak bertuah?"

Hisyam tersenyum mendengar pertanyaan itu. Dia sudah biasa.

"Dari mana?" Dato’ Ahmad pula menyoal.

"Makan dengan kawan," jawab Hisyam ringkas.

"Siapa? Salina ke?" Datin Syarifah mengorek.

Hisyam tersenyum, kemudian mengangguk.

"Kamu dah solat?"

Hisyam tersengih cuma.

Melihat sengihan Hisyam, Dato’ Ahmad mula berceramah. "Memang kamu muda, Syam. Tapi, jangan ingat orang muda tak mati. Bukan susah mana kalau kamu nak singgah kat masjid ke, kat surau ke. Malah, di kebanyakan restoran sekarang ni pun ada surau juga. Pokok pangkalnya, hati."

"Yalah, Syam, betul cakap ayah tu. Solat tiang agama. Solat itu wajib dikerjakan dalam apa juga keadaan. Walau sibuk macam mana sekalipun, walau sedang sakit... Ingat tu! Lain kali, jangan buat lagi, tahu!" Datin Syarifah pula menyampuk, menyokong kata-kata Dato Ahmad’.

Hisyam hanya tersengih tanpa berkata apa-apa.

"Bila kamu nak mami pergi meminang si Salina tu?" Datin Syarifah bertanya.

Mata Hisyam bulat menatap wajah Datin Syarifah. Biar betul! Kahwin dengan Salina? Bila pula dia ada menyuarakan begitu?

"Tengoklah, bang, kan saya cakap, Hisyam tak ada perasaan pada budak tu? Si Salina tu aje yang lebih-lebih. Salina tak cerita ke pada kamu yang dia suruh papa dia merisik pada ayah?"

"Merisik?"

"Ha’ah! Datuk Yusuf suruh ayah kamu masuk meminang Salina. Suruh kamu berdua kahwin cepat-cepat..." Datin Syarifah bercerita.

"Gila!"

"Tahu pun! Dah tu, yang kamu duk usung budak tu ke hulu ke hilir tu buat apa?" marah Datin Syarifah pula.

"Mana ada, mami. Sekali-sekala aje. Lagipun, Syam bukan dengan dia sorang," balas Hisyam selamba.

"Jadi, kamu tak mahulah si Salina tu?" tekan Datin Syarifah lagi.

"Kami kawan aje, mami. Syam dah bagi tau dia tadi. Harap-harap dia faham," jelas Hisyam bersungguh-sungguh.

Datin Syarifah rasa lega. Dia memang tidak mahu gadis itu menjadi menantunya. Salina bukan calon pilihan untuk anak tunggalnya ini. Malah, dia memang tidak ada calon untuk dipadankan dengan Hisyam. Harapannya, biarlah Hisyam memilih seorang perempuan yang berakhlak mulia.

"Susah juga nak cari isteri. Perempuan yang lengkap serba-serbi. Cantik, baik, berbudi bahasa…"

"Yalah tu! Macamlah awak tu baik benar. Sudah nak jadi bujang terlajak pun masih lagi nak memilih."

Hisyam tersentak. Tidak menyangka rungutannya didengari oleh si ibu.

"Bukan memilih, mami, cuma belum berjumpa yang berkenan di hati. Itu saja."

"Macam tu... Punyalah ramai anak dara yang dah kamu bawak ke hulu ke hilir, tak ada sorang pun yang kamu berkenan?"

Datin Syarifah sudah mencubit pipi Hisyam. Hisyam ketawa. Dia memeluk Datin Syarifah sambil menggosok-gosok pipinya yang sakit. Ketam batu Datin Syarifah kalau sesekali menyepit, aduh, pedihnya.

Hisyam tahu betapa kedua-dua orang tuanya risau dengan keadaan dia. Umur sudah menjangkau 30 tahun, tetapi masih tercari-cari calon yang sesuai.

Calon yang sesuai? Entahlah! Sebenarnya, seperti lelaki lain, Hisyam juga ingin mempunyai sebuah keluarga. Ingin bergelar seorang suami. Ingin memiliki seorang isteri. Ingin menjadi seorang ayah. Ingin mempunyai anak-anak yang ramai. Tetapi, sehingga hari ini, dia belum menemui perempuan itu.

Baginya, perkahwinan bukan perkara main-main. Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Perempuan untuk dijadikan isteri perlu dipilih dengan teliti dan berhati-hati. Dia yakin, kalau ada jodohnya nanti, pasti Allah akan memberikan kepadanya isyarat kerana jodoh itu Dia yang menentukan.

"Hai, ke manalah dia berangan-angan tu?"

Hisyam ketawa mendengar usikan Dato’ Ahmad.

"Entahlah, bang, agaknya kita kena mandikan bunga pada Hisyam ni, kut... Sampai sekarang tak laku-laku lagi," omel Datin Syarifah.

"Bagus jugak tu, boleh abang mandi sekali." Dato’ Ahmad menambah.

Kali ini Datin Syarifah pula yang sudah tersengih.

"Abang mandi bunga tu nak buat apa? Nak kahwin satu lagi? Hisy, tak payah. Abang macam ini pun sebenarnya masih laku lagi. Tak perlu mandi bunga! Biar saya saja yang tolong carikan untuk abang. Nak?" ujar Datin Syarifah dengan mata yang sengaja dibesarkan.

"Ya? Betul awak nak tolong carikan? Tak payahlah, Pah. Nanti basah bantal kita dengan air mata awak. Susah pulak abang nak pujuk. Lagipun, abang dah tak larat nak layan kerenah bini muda. Tapi, awak ni memang pandai, ya? Bila saya dah tua macam ini, baru nak suruh kahwin lain. Masa dulu, garangnya bukan main."

Pada ketika itu muka Datin Syarifah sudah merah padam. Paha suami dicubit. Mereka sama-sama ketawa bila Dato’ Ahmad menangkap jari-jemarinya dan mengucupinya satu per satu.

Hisyam tersentak melihat kemesraan ayah dan ibunya. Pada ketika itu, hatinya tertanya-tanya, apakah dia akan mendapat seorang wanita yang sebaik mami? Wanita yang dapat disayangi seperti mana ayah menyayangi mami? Wanita yang mencintai dirinya sebagai mana mami mencintai ayah? Cinta yang tulus! Bukan kerana wajah tampannya. Bukan kerana harta. Cinta suci yang lahir dari hati, hanya untuk dirinya.

Teman wanitanya memang cukup ramai. Silih berganti. Yang mengakui bahawa mereka mencintainya. Cuma, dia tidak pasti apakah cinta itu untuk dirinya atau kerana siapa dia? Dia ragu-ragu pada keikhlasan mereka. Mungkin itu salah satu sebab mengapa dia belum bersedia menyerahkan hatinya kepada sesiapa.

Entah mengapa, malam ini mata Hisyam tidak mahu lena. Dia bangun, menuju ke kolam renang dan pantas saja dia menyerahkan tubuhnya kepada kolam renang itu. Sambil mengapungkan diri, dia kembali memikirkan topik perbincangan antara dia dengan ibunya.

Perempuan! Entah mengapa tiba-tiba dia teringatkan gadis itu lagi. Gadis yang ditemui buat pertama kali hari ini. Gadis bernama Maria.

Bagaimana dengan gadis itu? Bolehkah gadis itu dipilih menjadi bakal isterinya? Tidak! Tak mungkin! Gadis itu bukan seperti teman-teman wanitanya yang lain. Teman-teman wanitanya semua adalah gadis-gadis yang sofistikated. Cara mereka berpakaian. Bijaknya mereka membawa diri dalam majlis-majlis keraian. Berpendidikan tinggi.

Gadis itu? Hisy, tak menarik langsung!

Tapi, bau harum rambut gadis itu mengundang debar di hati. Masih teringat lagi bagaimana keharuman itu menusuk hidungnya. Selembut gaya dan tutur kata yang dilafazkan.

Maria! Aduh, kenapa asyik teringat kepadanya?

Ping Busuk