SIAPA NAK ORDER SAMPAI BILA YANG KAK SOFI TANDATANGAN?


SIAPA NAK ORDER SAMPAI BILA YANG KAK SOFI TANDATANGAN, SILA ORDER DI SINI (untuk yang BETUL2 nak beli saja).
Assalamualaikum. Alhamdulillah, Kak Sofi membuka order untuk novel Sampai Bila. Insya-Allah, novel ini kak sofi akan pegang pada minggu akhir April ini. Maka dengan ini kak sofi buka order kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Sampai Bila (ada 50 buah aje). Yang nak Tak Mungkin Kuhindar dan Cintamu Cintaku Satu juga kak sofi dah order tapi tak banyak. Cuma 20 buah masing-masing. 

Apa yang perlu anda buat?

Tak Mungkin Ku Hindar 1


Siapa pernah baca cerita Tak Mungkin Kuhindar? Tak Mungkin Kuhindar ringkasnya TMKH ialah novel pertama kak sofi dengan Fajar Pakeer. Kira macam baby sulunglah gitu. Okey, mulai hari ini kak sofi muat naik semula episod-episod awal TMKH diikuti oleh Cintamu Cintaku Satu dan kemudian Sampai Bila untuk tatapan semua. Selamat membaca....
Bab 1


Perjalanan menaiki STAR LRT di waktu petang begini, amat merimaskan gadis manis itu. Orang ramai sudah bersesak-sesak. Inilah suasana yang sangat tidak digemarinya. Dalam kesesakan itu pasti ada yang cuba mengambil kesempatan. Bimbang diri tidak berkesempatan untuk mengelak.

Sesekali, jam di tangan diintai. Hati semakin lega. Tinggal dua stesen sahaja lagi sebelum dia sampai ke destinasi. Dia mengarahkan pandangan ke luar cermin kaca. Hanya bangunan-bangunan bertingkat yang kelihatan. Puduraya, Masjid Jamek... Akhirnya, dia turut berdiri untuk melangkah turun meninggalkan kereta api laju itu.

Maria terus mengatur langkah. Dia ingin pergi ke Restoran KFC yang berada di sebelah Kompleks Pertama. Adiknya, Mazlan, sedang menunggu dia di situ.

Sambil melangkah, mata memerhati sekeliling.

Berhampiran tempat pejalan kaki itu ialah sebuah kawasan parkir kereta. Di kanannya terletak bangunan KWSP. Nadi Kuala Lumpur ini sangat sibuk. Kenderaan pula sentiasa bertali arus. Tidak berhenti-henti.

"Maria! Tunggu!"

Maria berhenti melangkah.

Silap dengarkah dia? soal Maria sendiri. Namun, bila sekali lagi namanya dilaung, dia menoleh ke belakang.

"Wan?"

Lelaki itu tersenyum meleret.

"Lajunya awak jalan, Lia. Hampir-hampir saya tak dapat cari awak tadi," ujar lelaki bernama Irwan itu dengan lelah yang masih berbaki.

"Awak ikut saya?"

"Dari Stesen Cempaka lagi. Tapi saya tak dapat datang dekat dengan awak. Ramai sangat orang dalam LRT tu tadi. Jadi, bila nampak awak turun, saya pun turun samalah!" Irwan memberitahu.

"Awak nak apa lagi ni?" soal Maria garang.

Irwan tersengih. "Hei, janganlah garang sangat. Awak kan buah hati saya? Dah lama kita tak jalan sama-sama. Hari ni saya ingat saya nak belanja awak makan."

Maria cuba menahan rasa marah, namun suaranya bergetar bila membalas, "Kita dah putus, Wan! Saya dengan awak dah tak ada hubungan dah. Lagipun awak tu dah kahwin. Marah Aliza nanti kalau dia nampak awak dengan saya."

Memang mereka pernah bercinta tapi itu kisah lama. Kisah yang sudah menjadi sejarah.

"Lia, saya masih sayangkan awak. Saya tak boleh lupakan awak. Sayang, saya nak kita bersama semula. Apa pun syarat awak nak beri, saya akan ikut. Asalkan awak sanggup terima saya semula," rayu Irwan bersungguh-sungguh.

Maria ketawa. Lelucon apakah ini? Lelaki yang begitu mudah meninggalkannya, kini mengaku masih lagi mencintainya. Aduhai, memang lucu!

"Wan, berapa lama dah awak kahwin? Rasanya baru tiga bulan, kan? Baru sangat lagi! Macam mana awak boleh cakap macam tu?"

"Sumpah, saya tak tipu!"

"Jangan nak bohonglah, Wan! Apa pun awak cakap, saya tak akan percaya dah. Maaflah!"

"Lia, tolonglah. Saya tak bohong! Saya memang…"

Kesabaran Maria semakin nipis. Dia benci lelaki ini.

"Dah berapa kali saya cakap dengan awak, hah? Jauhkan diri awak tu daripada saya. Saya tak nak tengok muka awak lagi. Takkan itu pun awak tak faham?" ujar Maria kasar.

Irwan tersentak. Dia tidak menyangka Maria akan marah sampai begini. Dia rasa malu bila orang-orang yang lalu-lalang berhampiran mereka memandangnya dengan senyuman sinis.

"Kenapa cakap macam tu, Lia? Takkanlah tiba-tiba aje awak bencikan saya."

Maria mengeluh. "Irwan! Dengar sini... Apa yang saya rasa ni bukan tiba-tiba aje datangnya, tau. Dah awak tipu saya, dah awak buruk-burukkan nama saya... Awak ingat saya ni apa? Bodoh sangat nak setia pada awak? Bodoh sangat nak terima awak balik?"

Irwan ketawa. Sukar untuk dia percaya akan apa yang baru didengarinya. Maria yang dia kenali bukan seorang yang keras hati begini.

"Jangan tipu saya, Lia. Saya tahu, awak masih sayangkan saya. Awak sengaja cakap macam tu untuk buat saya marah, kan?" soal Irwan tidak mahu mengalah. Tangan Maria disambar sebelum sempat gadis itu mengelak. Segera dikucupi. Sepasang matanya galak memerhati wajah yang sudah merona merah.

Maria cuba menarik tangan yang digenggam, namun tidak berjaya. Kerana marah, disepaknya kaki Irwan.

Irwan terjerit lantang. Dahinya berkerut-kerut menahan sakit. "Kenapa awak tendang kaki saya ni? Sakit, tahu!" desahnya.

"Padan muka awak! Ikut suka awak aje nak pegang-pegang tangan saya. Wan, awak pun tahu bukan awak sorang aje lelaki dalam dunia ni, banyak lelaki lain lagi yang mahu saya jadi kekasih dia orang," balas Maria dengan sinis.

"Maksud awak? Awak dah ada teman lelaki baru? Saya tak percaya! Tak mungkin!"

Geram sungguh rasa hati Maria mendengar kata-kata Irwan itu. Tak percaya? Kenapa? Dia ingat aku ni anak dara tak laku ke? gumam Maria.

"Awak tipu saya, kan?"

Soalan itu semakin membangkitkan kemarahan Maria.

"Tak, saya tak tipu. Saya memang dah ada pengganti awak. Kami janji nak jumpa kat sini," balas Maria.

"Eleh, kalau betul, mana dia?" soal Irwan dalam rasa tidak percaya.

Maria membalas dengan yakin. "Kenapa? Awak nak jumpa dia ke?"

"Tentulah! Awak takut ke? Mana tahu, entah-entah awak sengaja buat cerita..." jawab Irwan sambil tersenyum-senyum.

Maria mendengus kasar. Kalaulah Irwan tahu bahawa tekaannya itu tepat... masak dia dibuatnya. Namun, dia sudah terlepas cakap. Nasiblah...

Lelaki? Di mana harus dia mencari seorang lelaki saat ini? Hendak menelefon Mazlan? Mazlan, adiknya. Tentu sahaja Irwan dapat melihat persamaan antara mereka. Habis tu?

Mata Maria melingas ke kiri dan ke kanan. Mencari seseorang yang boleh membantunya.

Mana dia? Mesti ada! Mesti ada kat sini.

Saat itu Maria membayangkan wajah lelaki idamannya. Perawakan lelaki yang didambakan untuk menjadi suaminya suatu hari nanti. Tinggi, tegap, segak, sasa, maco, hmm...

Maria mengukir senyum. Lelaki yang digambarkan itu sedang berdiri tidak jauh daripada dirinya dan Irwan. Lelaki itu sedang membelakangi mereka. Lelaki yang baru sahaja turun dari kereta CRV berwarna merah hati.

"Hah, itu pun dia dah sampai! Betul ni awak nak kenal dengan dia? Kalau betul, awak tunggu sini, ya. Nanti saya ajak dia jumpa awak."

Tanpa berlengah, Maria bergegas untuk pergi mendapatkan lelaki yang sedang menanggalkan kot yang dipakai. Hati berdebar memerhati betapa kemas baju kemeja lengan panjang berwarna biru tua yang tersarung di badan lelaki itu. Sungguh bergaya!

Perlukah diteruskan misi ini?

Dalam cemas ada ragu. Bimbang penerimaan lelaki itu nanti. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Dia tidak boleh berundur lagi. Di belakangnya, dia yakin Irwan pasti sedang memandang. Irwan pasti sedang memerhati dengan penuh minat.

Dada Maria berdebar-debar. Kencang sekali. Dia amat takut sebenarnya, namun dia mesti meneruskan misi spontannya. Irwan harus diajar.

Maria semakin mendekat. Lelaki itu pula sudah bersedia untuk meninggalkan tempat parkir itu.

Oh tidak! Tunggu!

Pantas tubuh lelaki itu dipaut Maria. Lengan dicengkam. Dalam satu nafas, Maria berkata. "Maafkan saya, tapi encik aje yang boleh tolong saya sekarang. Tolong berlakon jadi teman lelaki saya, ya? Saya tak ada masa nak terangkan. Cuma, saya harap janganlah hampakan saya. Bukan lama pun, kejap aje. Tolong saya. Please..."

Hisyam terkejut, kebingungan seketika. Tangan yang sedang mencengkam lengannya, diperhati. Perlahan-lahan pandangan dialihkan sehingga seluruh wajah yang terlalu hampir dengan dirinya itu diteliti. Perlahan-lahan, sebuah senyuman tersungging di bibir nipis.

"Berlakon? Jadi apa? Teman lelaki awak?" Suara garau Hisyam menyapa telinga Maria. "Sekarang? Tapi, siapa yang nak tengok kita? Boyfriend awak ke?"

"Bekas!" tegas Maria.

"Oh, Let me see! Dia nak awak balik pada dia, tapi awak tak nak. Betul?" Hisyam meneka. Rasa teruja tiba-tiba.

Huh, banyak soal pulak mamat ni. Hisy, setujulah cepat. Jangan nak membebel, nanti jenuh aku kalau Irwan datang sini, marah Maria dalam hati.

"Bawak saya jumpa dia."

Yes!

Kegembiraan itu tidak lama. Maria tersentak bila secara tiba-tiba, tangan kiri lelaki itu sudah melingkari pinggangnya. Dia benar-benar terkejut.

"Eh, awak ni? Melampau betul! Yang tak pasal-pasal awak peluk pinggang saya ni, kenapa?" marah Maria. Matanya dijegilkan. Tangannya yang sedang memaut lengan lelaki itu sejak tadi, serta-merta dilepaskan. Bagaikan terkena renjatan elektrik.

Hisyam menjongketkan kening. Senyuman sinis terukir di bibir.

Eii... perempuan ni. Yang dia peluk aku tadi, tak apa. Pegang tangan aku macam tak nak lepas-lepas tu, okey pulak. Mengada-ada betullah...

"Tadi awak jugak yang suruh saya jadi kekasih awak... Cuba awak tengok tu..." ujar Hisyam sambil mulut dijuihkan ke kawasan persekitaran. Kepada pasangan-pasangan yang nampaknya tidak segan-silu berpeluk-pelukan di khalayak ramai.

"Kita kena buat macam gitu jugak." Hisyam mengusik.

"Itu dia orang, bukan saya," balas Maria tegas.

Hisyam sengaja mengerutkan dahi. "Habis nak terus berlakon ke tidak ni?" Wajah serba salah Maria ditatap tajam.

Maria diam tidak berkutik.

"Saudari, saya ada hal ni. Kalau awak dah tukar fikiran, tak apa. Saya..."

Maria tergamam bila Hisyam ingin melangkah pergi. Sambil itu, dia menoleh pula ke belakang. Satu keluhan kedengaran. Irwan masih di situ, masih setia menjadi pemerhati.

Maria serba salah. Ingin sahaja dia membatalkan hasratnya. Tapi, rasa bimbang pula. Bimbang Irwan akan terus-terusan mengganggunya nanti. Hendak diteruskan atau tidak? Dia ada pilihan lain tak?

Perlahan-lahan Maria mengatur bicara. "Maaf. Saya tak patut marah awak. Awak memang betul. Saya dah mintak tolong, jadi saya kenalah betul-betul berlakon dengan awak, kan? Lagipun, saya tak mahu rancangan saya ni gagal. Saya tak mahu dia ganggu saya lagi. Tolong jangan pergi, ya? Jangan tinggalkan saya?"

Pertama kali Hisyam dirayu selembut itu. Bergetar hebat jantungnya membalas renungan lunak gadis itu terhadapnya. Dup-dap, dup-dap.
Akal menyuruhnya pergi dari situ. Tapi, hati? Kasihannya...

"Jadi, awak setuju?" soal Hisyam.

"Setuju apa?" Soalan dijawab dengan soalan juga.

"Cik adik, nak berlakon, berlakon betul-betul. Biar nampak real yang kita ni sedang mabuk asmara. Biar boyfriend awak tu tahu yang dia tak ada peluang dah. Faham?"

Ewah, ewah... Macam bos pulak gayanya. Tapi... Ah, ikut ajelah. Nanti bila dah selesai, aku dengan mamat ni tak akan jumpa lagi. Dia akan jadi sejarah.

Hisyam merapati Maria yang sedang keliru itu. Dia tahu gadis itu merasa serba salah. Jadi, sebelum berubah fikirannya, tubuh itu diraih ke dalam dakapan.

"Okey, jom. Yang pakai T-shirt biru tu ke boyfriend awak? Sejak tadi lagi dia asyik tengok kita. Muka dia garang betul. Macam nak telan saya lagaknya," omel Hisyam untuk mengurangkan sedikit ketegangan di wajah Maria.

Dengan tangan Hisyam melingkari pinggang Maria, mereka berdua melangkah penuh yakin ke arah Irwan yang menunggu.

Tiba-tiba Maria menjadi cemas. Bagaimana harus dia memanggil lelaki ini di hadapan Irwan nanti? Siapakah namanya? Dan, dia? Dia juga tidak memperkenalkan dirinya kepada lelaki ini. Aduh! Bagaimana ni? Mana mungkin kekasih tidak mengetahui nama kekasihnya sendiri?

"Nama saya, Hisyam. Muhamad Zaiful Hisyam bin Ahmad. Awak?" ujar Hisyam berserta soalan. Melihat saja wajah Maria, dia tahu apa yang bermain di benak gadis itu.

"Maria binti Mustafa."

Hisyam tiba-tiba ketawa menyebabkan Maria memberhentikan langkah lantas merenung seraut wajahnya.

"Kenapa gelak?"

"Tak adalah! Maria, eh? Hmm, saya memang suka nama tu. Sedap!"

Maria menggeleng-gelengkan kepalanya. Macam-macamlah dia ni, gumamnya.

Sebaik sampai di hadapan Irwan, Maria segera mendongak memandang wajah Hisyam.

"Syam, mari Lia kenalkan. Ini Irwan, lelaki yang pernah Lia ceritakan pada Syam dulu. Irwan, kenalkan..."

"Hisyam!" Hisyam memintas. Tangan dihulur kepada Irwan, namun sepasang mata redupnya merenung Maria. "Buah hati wanita hebat ini."

Maria tidak sempat mengelak bila Hisyam menguis hidung kecilnya. Hmm, romantisnya...

Hisyam semakin galak. Tangan kiri di pinggang Maria membolehkan dia menarik tubuh gadis itu lebih rapat ke dirinya. Sepasang matanya masih melekat di wajah itu. Senyuman masih tersungging di bibir.

Aduh, ulat bulu dah naik daun. Maria mengetap bibir. Dia tahu bahawa sebenarnya dia sudah terperangkap dalam mulut buaya sebaik melarikan diri daripada mulut harimau milik Irwan. Grr...

"Sejak bila awak berdua bercinta ni?" soal Irwan penuh ketegasan.

Wajah Irwan yang tampan diamati Hisyam. Kecewa? Tidak kelihatan sedikit pun di raut itu. Cuma, mungkin egonya tercalar. Maklumlah bekas kekasihnya sudah ada pengganti...

"Sejak bila, Lia? Saya rasa macam dah..."

Mula nak merapulah tu.

"Irwan, bila kami kenal, mula bercinta atau apa saja, tak ada kena-mengena ngan awak." Maria membentak.

"Alah, sayang. Apa salahnya kalau dia tahu..." ujar Hisyam dengan senyuman yang masih menghiasi bibir. Jari telunjuk bermain di bibir Maria yang basah. Bibir yang amat mempesonakan. "Ceritalah! Macam mana awak..."

"Tak apa, tak payah!" balas Irwan. Geram melihat tingkah Maria yang merelakan perlakuan romantis Hisyam di hadapannya. Tidak menyangka sikap Maria berubah bila bersama lelaki ini sedangkan dahulu bila dengannya, Maria langsung tidak mahu diperlakukan sebegitu. Huh!

Kerana sakit hati, Irwan mula mengatur langkah untuk meninggalkan pasangan kekasih ini. "Saya pergi dululah, saya ada hal."

Mendengar suara keras Irwan, Maria segera tersedar. Kiranya dia terleka dalam kemesraan Hisyam? Ralit menatap senyuman lelaki itu. Dibuai mimpi indah bila jari telunjuk Hisyam membelai bibirnya yang mekar.

Aduh, malunya!

Serta-merta perhatian ditumpukan kepada Irwan yang sudah agak jauh meninggalkan mereka.

Fuh, lega! Maria amat pasti bahawa dia tidak akan diganggu oleh Irwan lagi. Maria menghela nafas yang panjang. Terasa beban yang digalas terlepas daripada bahunya. Selesai satu masalah. Kini, dia perlu menyelesaikan masalah yang kedua pula. Melepaskan diri daripada lelaki yang bernama Hisyam ini.

Dalam leka memerhati Irwan, Maria tidak sedar bahawa Hisyam masih memeluknya. Dia cuba melepaskan diri, namun tidak berjaya. Tangan itu masih kejap di pinggangnya.

"Lepaskan saya, Encik Hisyam atau siapa juga nama awak. Lakonan dah tamat."

Hisyam menjongketkan kening. Bagaimanapun, Maria dilepaskan seperti yang dipinta.

"So, what’s next?" soalnya.

Alahai, cakap orang putihlah pulak. Ingat aku ni pandai ke nak balas?

"Terima kasih sebab awak sudi tolong saya."

"Tak ada hal..." Hisyam tersenyum menjawab.

"Saya mintak diri dulu."

Hisyam mengerutkan dahi. "Awak nak pergi macam tu aje?"

Langkah Maria terhenti. Dia menoleh. Apakah lagi yang lelaki ini inginkan? Tiba-tiba wajahnya merona merah. Patutlah! Aduhai, malunya dia. Tidak mengenang budi langsung! Perkhidmatan yang diberi belum dibayar. Lupa pula! Dengan tergesa-gesa, Maria mengeluarkan not lima puluh dan meletakkannya dalam genggaman Hisyam.

"Maaf, saya terlupa," bisiknya.

Hisyam terpanar. Bukan wang yang dia mahu. Namun, entah mengapa, lancar sahaja dia mengusik. "50 ringgit aje? Untuk lakonan hebat tadi? Tak berbaloi ni!"

Maria menggigit bibir. Memang dasar penipu! Penjahat! Mata duitan! Lelaki, semuanya sama. Semua suka mengambil kesempatan.

Maria menghampiri Hisyam. Tajam matanya menikam wajah lelaki yang sedang tersenyum sinis terhadapnya. Sekeping lagi wang kertas RM 50 dikeluarkan dari dompet dan diletakkan di telapak tangan lelaki itu. Dia menjeling marah.

"Cukup?" sindir Maria.

Hisyam masih lagi tersenyum. Wang yang diberi Maria, dimasukkan ke dalam kocek kemeja yang dipakai. Wajah yang putih kemerahan itu ditatapi lagi.

Maria bingung dengan sikap Hisyam. Sedari tadi, pemuda itu asyik menatap wajahnya saja. Entah apa yang bermain di fikiran pemuda itu, tidak pula dia tahu.

Maria mula mengatur langkah. Risau memikirkan Mazlan yang sudah terlalu lama menantinya.

"Hei…"

Jeritan Hisyam mematikan langkah Maria. "Apa? Apa yang awak tak puas hati lagi ni? Kalau duit seratus tu tak cukup, saya mintak maaf. Saya bukan orang kaya. Saya tak mampu nak upah awak ribu-ribu."

Hisyam kini sudah berada di hadapan Maria.

"Saya nak jumpa awak lagi," ujar Hisyam dengan senyuman menggoda.

Maria menjegilkan mata. Wajahnya semakin masam. Benci betul dia dengan lelaki yang seorang ini. Rasa-rasanya, lelaki bernama Hisyam ini lebih teruk daripada si Irwan, gumamnya.

"Dengar sini, Encik Hisyam, dengar baik-baik... Saya dah cukup malu dengan apa yang saya buat tadi. Awak dah tolong saya, terima kasih banyak-banyak. Cukuplah! Tak payah nak jumpa-jumpa saya dah. Tolong lupakan apa yang jadi hari ni, okey!" ujar Maria tegas.
"Awak boleh lupakan saya ke?" soal Hisyam.

Maria terkesima. `Ya tak ya jugak. Boleh ke dia lupakan lelaki tampan ini?’

"Kenapa tak boleh pulak?" tanya Maria pelik.

Tanpa menunggu jawapan balas daripada Hisyam, Maria kembali mengatur langkah. Dia tahu, sepasang mata itu masih merenung ke arahnya.

"Awak ada hutang dengan saya, Maria. Ingat, hutang budi dibawa mati. Tapi, saya tak mahulah awak mati pulak. Saya hanya nak awak bayar hutang tu. Satu hari saya akan tuntut. Jangan lupa tu!"
............................
suka ke? alhamdulillah. nak order? boleh terus berhubung dengan Fajar Pakeer

Review 1 untuk Sampai Bila


fuh lega...dah tamat sampai bila...

Kak Sofi!! Saya suka saya suka saya suka!! Saya suka Sampai Bila itu!!

Tak reti macamana nak kabo. Tapi saya suka watak Alisa. Selain wataknya yg cantik dan menawan, dia juga kuat, berjiwa kental, berani, selamba dan cerdik. Tambah2 lagi semasa dia berhadapan dengan Adnan Malik dan mak dia Fasihah. Saya rasa nak tepuk tangan setiap kali Alisa mengenakan balik duorang itu....

Saya suka juga bagaimana kak sofi melukiskan perwatakan Adnan Malik yg begitu hebat konflik dalamannya. Macam suka tapi kata tak suka. Macam sayang tapi bilang benci. Saya seolah2 dapat merasakan betapa susahnya si A dot M itu menangani perasaannya yg berbaur2 dan bertindih-tindan antara benci dan sayang terhadap Alisa. Tambah2 lagi bila si Alisa itu sungguh pandai menggoda...purrr.... hahaha...tergugat iman!

Satu lagi yg saya suka tentang novel ni ialah teknik flashback yg kak sofi garapkan. Pada saya nampak natural dan bersahaja dan tidak mengganggu plot penceritaan. Lancar saja. (kadang2 ada novel yg saya baca, bila dia masukkan cerita flashback agak mengganggu plot ceritanya dan ada yg mengelirukan...)

Saya turut senang dgn sedikit kelainan (pada sayalah) tentang watak antagonis dlm cerita ni. Biasanya watak si penggoda macam Emma mendominasi perlakuan jahat yang menjengkelkan kita semua. Tapi dalam SB, watak hero dan heroinnya sangat sibuk menangani masalah hati masing2 hingga tak sempat si Emma tu nak mencelah. Lagipun ada watak antagonis lain yg lebih besar iaitu Fasihah si ibu hero sendiri menjadikan A dot M berada di persimpangan dilema...

CUMAAA....cuma....saya agak tak lalu baca part Alisa dgn Abang Tiarnya itu. Saya rasa tak selesa dgn hakikat yg Bakhtiar memang jatuh cinta pada Alisa dan pernah mengajaknya berkahwin...sedangkan Alisa sebaya anaknya. Dah la Alisa bahasakan dia 'abang'. Pas tu Bakhtiar pulak duk ber'I - you' dgn Alisa. Panggil sayang segala...ai geli tawwww....Kak Sofi...tak mo dah baca kisah cinta org tua macam ni...tak masuk jiwaku...hehehe

Apapun, tahniah Kak Sofi untuk cerita yg sungguh menghiburkan ini. Bukan hiburan kosong semata....ada mesej yang boleh diteladani...tau...
....................................

terima kasih untuk review terbaharu ini. hati rasa mcm terawang2 tp xboleh kan? kena panggil turun takut riak haha. thanks again ya. sayang xleh nak letak nama atas permintaannya.
fuh lega...dah tamat sampai bila...

Kak Sofi!! Saya suka saya suka saya suka!! Saya suka Sampai Bila itu!!

Tak reti macamana nak kabo. Tapi saya suka watak Alisa. Selain wataknya yg cantik dan menawan, dia juga kuat, berjiwa kental, berani, selamba dan cerdik. Tambah2 lagi semasa dia berhadapan dengan Adnan Malik dan mak dia Fasihah. Saya rasa nak tepuk tangan setiap kali Alisa mengenakan balik duorang itu....

Saya suka juga bagaimana kak sofi melukiskan perwatakan Adnan Malik yg begitu hebat konflik dalamannya. Macam suka tapi kata tak suka. Macam sayang tapi bilang benci. Saya seolah2 dapat merasakan betapa susahnya si A dot M itu menangani perasaannya yg berbaur2 dan bertindih-tindan antara benci dan sayang terhadap Alisa. Tambah2 lagi bila si Alisa itu sungguh pandai menggoda...purrr.... hahaha...tergugat iman!

Satu lagi yg saya suka tentang novel ni ialah teknik flashback yg kak sofi garapkan. Pada saya nampak natural dan bersahaja dan tidak mengganggu plot penceritaan. Lancar saja. (kadang2 ada novel yg saya baca, bila dia masukkan cerita flashback agak mengganggu plot ceritanya dan ada yg mengelirukan...)

Saya turut senang dgn sedikit kelainan (pada sayalah) tentang watak antagonis dlm cerita ni. Biasanya watak si penggoda macam Emma mendominasi perlakuan jahat yang menjengkelkan kita semua. Tapi dalam SB, watak hero dan heroinnya sangat sibuk menangani masalah hati masing2 hingga tak sempat si Emma tu nak mencelah. Lagipun ada watak antagonis lain yg lebih besar iaitu Fasihah si ibu hero sendiri menjadikan A dot M berada di persimpangan dilema...

CUMAAA....cuma....saya agak tak lalu baca part Alisa dgn Abang Tiarnya itu. Saya rasa tak selesa dgn hakikat yg Bakhtiar memang jatuh cinta pada Alisa dan pernah mengajaknya berkahwin...sedangkan Alisa sebaya anaknya. Dah la Alisa bahasakan dia 'abang'. Pas tu Bakhtiar pulak duk ber'I - you' dgn Alisa. Panggil sayang segala...ai geli tawwww....Kak Sofi...tak mo dah baca kisah cinta org tua macam ni...tak masuk jiwaku...hehehe

Apapun, tahniah Kak Sofi untuk cerita yg sungguh menghiburkan ini. Bukan hiburan kosong semata....ada mesej yang boleh diteladani...tau...
....................................

terima kasih untuk review terbaharu ini. hati rasa mcm terawang2 tp xboleh kan? kena panggil turun takut riak haha. thanks again ya. sayang xleh nak letak nama atas permintaannya.

Mahligai bernama cinta, kasih yang pulang 2

Assalamualaikum. Kalau kak sofi ambil tajuk lain (sebab ada yang syorkan Duda versus Janda) macam mana? hahaha....

Ikmal Firdaus tersenyum lebar sambil sepasang mata melirik ke arah gadis yang anggun bersimpuh di hujung sana, manis menggayakan busana pengantin yang berwarna ungu, sedondon dengan warna baju yang sedang dipakainya. Gadis itu sedang tertunduk malu sebaik membalas lirikan matanya tadi. Ataukah mungkin mengagumi dirinya yang dengan sekali lafaz sudahpun berjaya menukar title diri mereka berdua. Kini dialah suami dan si dia, Mayesa yang berbulan-bulan dikejar sudahpun sah bergelar isterinya. Ya, gadis cantik itu kini miliknya! 

"Mata tu nak kena cucuk ke? Dari tadi tak toleh ke lain." 

Ikmal Firdaus ketawa lepas. Lelucon daripada abang sepupunya yang menjadi pengapit bidan terjun di sisi, memang buat dia tak menahan tawa. "Dia bini akulah, bang. Kalau aku tak tengok dia, nak tengok siapa lagi?" balasnya sambil berbisik. 

"Itu bukan tengok, itu macam nak telan si dia aje," usik Munif. Dan, sekali lagi, kata-katanya menyebabkan Ikmal melambakkan tawa. 

Dahi Mayesa berkerut. Tidak memahami mengapa Ikmal Firdaus asyik ketawa. 

"Seronok sangat dia dapat kahwin dengan Maya, kak long!" Mayesa terdengar bisikan mak ngahnya. Kata-kata yang berjaya membuat dia tersipu malu. Wajah semakin merah apabila kini si dia sedang mengatur langkah menghampiri dirinya untuk acara membatalkan air sembahyang. 

"Maya, salam tangan suami kamu tu!" 

Suara Mak Ngah Linda memecah lamunan. Terus menyebabkan dia mendongak. Apa lagi, jantung Maya terus berdetak laju. Panahan mata Ikmal Firdaus yang lembut menikam jauh ke ke dasar hatinya. 

"Assalamualaikum isteri abang," 

Suara garau lelaki itu terlontar. Sayup menyapa menyebabkan Mayesa terus sedar bahawa kini dia sudah menjadi milik lelaki di hadapannya ini. Dalam usia yang belumpun masuk 19 tahun, dia, Mayesa sudah menjadi isteri Ikmal Firdaus. Tak sangka, daripada usikan-usikan lelaki itu setiap kali mereka hendak menaiki bas untuk ke dewan kuliah masing-masing membawa mereka hingga ke jinjang pelamin. 

Mayesa tersenyum. Saat dia tunduk mengucup tangan lelaki itu untuk pertama kali, hati memberi isyarat untuk menitip setia. Menitip sekeping hati buat diserahkan kepada lelaki yang diharap bakal memberi kebahagiaan kepadanya. 

"Tak sabar nak berdua-duaan dengan Maya," 

Aik, sempat lagi tu? Mayesa sengaja menjeling manja. Kalau Ikmal cuba menggoda dirinya dengan bisikan semesra itu, apa salahnya dia menggoda dengan senyum, lirikan dan bahasa tubuh, bukan?
..............
belasah je ni1 belum edit okey...